In mengalihkan tubuhnya ke kiri dan ke kanan. Bunyi hujan lebat berderai ke bumi diselangi guruh berdentum di langit mengganggu ketenteraman In. Salah satu kelemahan In adalah bunyi guruh. Sememangnya sejak kecil lagi In takut akan bunyi guruh yang kuat ketika hujan lebat. In memerhatikan jam loceng. Pukul 12.30 tengah malam. Niat hatinya mahu menemui Iqram.
In bangkit dari baringannya. Dia duduk. Sekali lagi bunyi guruh kuat berdentum di telinganya. In menarik selimutnya. In baring lalu menutup seluruh badannya dengan selimut. Bagi In, bunyi guruh seperti satu irama ngeri di langit. In tidak senang duduk. Dia segera bangun lalu keluar sambil membawa bantal, selimut dan ‘Iqram’. In berjalan dengan niatnya yang masih lagi ragu-ragu untuk ke bilik Iqram. In berdiri lama di hadapan pintu itu. Rasa sejuk mula menggigit tubuhnya. In mahu berpatah semula ke biliknya namun bunyi guruh yang semakin kuat membantutkan niatnya. Lantas tangan In mengetuk pintu berwarna hijau itu.
Iqram sedar dari tidurnya setelah mendengar bunyi ketukan itu. Iqram bangun lalu membuka pintu. Ketika itu dia hanya memakai seluar pendek dan singlet sambil menggosok-gosok matanya. In mengalihkan pandangannya ke tempat lain.
“Eh, sorry,” ucap Iqram sebaik sahaja menyedari yang dia berpakaian sebegitu.
Iqram segera mengambil selimut lalu kembali kepada In.
“Awak tak tidur lagi ke?” tanya Iqram sambil membaluti tubuhnya dengan selimut itu.
“Saya tak boleh tidur,”
Iqram menguap.
“Awak tak boleh tidur? Hujan-hujan macam nilah sedap tidur,”
“Awak dah tidur ke?”
“Tadi dah, sekarang saya dah bangun sebab awak ketuk pintu tadi,”
Iqram tersengih.
“Saya minta maaf,”
“Eh, tak apa. Kenapa awak ketuk bilik saya malam-malam ni?”
“Saya takut bunyi guruh,”
Iqram segera memandang wajah In yang polos itu.
“Awak takut bunyi guruh?” nada Iqram seperti mengejek.
“Saya tahulah awak tak ada sivik tapi janganlah ejek saya,”
“Eh, saya tak ejek. Terasa comel pula. Macam budak kecil,”
“Awak, saya bukan main-mainlah. Saya takut betul-betul ni,”
“Ok, sorry. Saya tak maksud apa-apa pun. Tapi memang sweet yang awak sebenarnya takut dengan bunyi guruh,”
In terdiam.
“Ok, apa yang boleh saya tolong? Nak saya perlahankan bunyi guruh tu macam volume radio ke?”
In segera melemparkan anak patung beruang ke arah Iqram. Iqram segera menangkapnya. Iqram baru tersedar yang In turut membawa bantal dan selimut bersamanya.
“Awak ni, sengaja nak kenakan saya. memang tak ada sivik,” ucap In lalu cuba berpatah balik ke biliknya tetapi Iqram sempat memaut tangan In.
“Kenapa bawa bantal? Nak tidur dengan saya ke?” tanya Iqram, spontan dan bersahaja nadanya apabila menanyakan soalan itu.
In merasaka soalan itu menduga perasaannya.
“Saya tak boleh tidur,”
Hanya itu jawapan In.
“Tapi, apa kena mengena dengan bantal, selimut dan ‘Iqram’ ni?”
“Kalau kat rumah mak, saya tidur dengan mak kalau ada guruh,”
“So?”
In hanya membisu. Dia cuba mencari jawapan yang sesuai.
“Kalau kat rumah mak awak, awak tidur dengan mak awak. So, kalau kat rumah ni maknanya awak nak tidur dengan saya lah?”
“Bukan. Saya tak nak tidur dengan awak,” pantas jawapan itu keluar dari mulut In.
“Habis tu?”
Iqram terus menduga.
“Saya just nak tidur dekat dengan awak. Awak tidur kat atas, saya tidur kat bawah,”
“Kenapa awak nak tidur kat bawah? Nanti sakit badan tidur kat lantai. Biar saya yang tidur kat bawah,”
“Tak apa, saya yang pergi bilik awak. Saya yang kena mengalah,”
Iqram tersenyum.
“Awak tunggu sini kejap. Nah, ambil ‘Iqram’ ni,”
In hanya menuruti perintah Iqram. Beberapa saat kemudian Iqram keluar bersama bantal.
“Jom, kita pergi bilik awak,”
“Buat apa?”
“Ikut jelah,” ucap Iqram sambil menarik lengan In menuju ke bilik.
In terpinga-pinga. Kini mereka sudah berada di bilik In.
“Awak tidur kat atas, saya tidur kat bawah. Sebab saya datang bilik awak, saya yang akan tidur bawah,”
“Tapi saya macam menyusahkan awak je. Nanti badan awak sakit,”
“Tak apalah. Saya boleh minta awak picitkan,”
Air muka In berubah.
“Saya main-main jelah. Saya gurau,”
Iqram ketawa. In turut tersenyum. In segera mengambil kain.
“Eh, nak buat apa dengan kain tu?”
“Saya nak buat alas tempat tidur awak,”
In segera membentang kain yang agak tebal itu ke atas lantai. Iqram meletakkan bantal di atas kain tersebut. In kembali ke katilnya.
“Awak,” panggi Iqram.
“Ya,”
“Selamat malam,” ucap Iqram.
“Selamat malam,” balas In.
In menarik selimut sehingga ke paras dadanya lalu memeluk ‘Iqram’. Jauh di sudut hati In, ada perasaan itu. Dia seperti sudah mengakuinya. Iqram menjadi tempat berlindung bagi dirinya. In cuba melelapkan mata tetapi ada sesuatu yang menggangu hatinya. Apabila In memejamkan mata, wajah Iqram merenung ke arahnya muncul. In segera mmbuka mata. Kejadian itu seperti benar-benar berlaku.
Sudah setengah jam berlalu, In masih lagi tidak dapat lelap. Bunyi hujan masih lagi sama seperti tadi. Cuma sudah tidak kedengaran bunyi guruh. In memandang ke atas siling, cuba melapangkan fikiranya. In cuba menjengah Iqram yang berada di bawah. Iqram sepertinya sudah terlena. In cuba memerhatikan wajah Iqram dari dekat. In tersenyum apabila fikirannya menggamit kembali memorinya bersama Iqram. Iqram melayannya dengan baik. Walaupun In melemparkan kebencian suatu ketika dahulu tetapi Iqram tetap menunggu dengan sabar. Pelbagai peristiwa telah berlaku dalam kehidupannya sepanjang bersama insan bernama Iqram Iskandar bin Ahmad Taufiq. Kini, wajah itu seringkali bermain di fikirannya dan nama itu juga acapkali menjadi sebutan di hatinya.
“Saya dah mula sayangkan awak,” ucap In tiba-tiba.
In sendiri tidak menyedari ayat itu keluar dari bibirnya. In mengharapkan Iqram tidak mendengarnya. In menampar perlahan mulutnya.
‘Aku cakap apa ni? Dia dengar ke tak?’ bisik hati In.
Iqram bergerak sedikit. In terkejut.
‘Tak tidur lagi ke?’
Iqram perlahan membuka matanya.
“Mm…awak cakap apa tadi?”
In mencari alasan untuk mengelak.
“Awak tak tidur lagi ke?” tanya In.
“Saya tadi baru nak terlelap. Lepas tu dengar awak cakap something,”
“Saya tak cakap apa-apa pun,”
“Ya ke? Takkanlah saya mimpi tadi,”
In hanya mendiamkan diri.
“Awak cakap apa In?”
“Awak dengar apa?”
“Entah, tak jelas. Saya dengar macam saya dah mula……..ha, lepas tu saya tak dengar sangat,”
“Awak mimpi lah tu,”
“Agaknya kot. Tapi betul awak tak cakap apa-apa?”
“Saya tak cakap apa-apa pun,”
“Mungkin saya mengigau agaknya,”
In menarik nafas lega.
“Awak,” panggil Iqram lagi.
Hati In mula berdebar kembali.
‘Alamak, dia nak tanya apa lagi,’ desis hati In.
“Selamat malam,” ucap Iqram.
“Selamat malam,” balas In sambil menghembuskan nafas lega.
Iqram berpaling ke arah bertentangan In. Iqram tersenyum sendiri. Sebenarnya Iqram belum terlena lagi. Dia dapat mendengar dengan jelas ayat tersebut.
“Saya dah mula sayangkan awak,”
Suara In menyebut kata-kata itu masih lagi jelas di fikirannya.
“Terima kasih. Saya dah lama sayangkan awak,” ucap Iqram perlahan.
In seperti mendengar Iqram berbisik mengatakan sesuatu.
“Awak ada cakap apa-apa ke?”
Iqram tidak mahu In mengetahui yang sebenarnya dia mendengar ayat itu. Iqram mahu membiarkan semuanya terjadi atas tindakan In sendiri. Dia mahu In mengakuinya perlahan-lahan. Iqram tidak mahu mendesak In. Iqram akan tunggu sehingga In bersedia sebagaimana dalam mimpinya. Mimpi itu datang dengan sendirinya dalam hidupnya, begitu juga dengan perasaan itu. Iqram mahu In sendiri mengakui perasaan yang hadir dalam hatinya. Sudah puas Iqram memberitahu In perasaannya, biar kali ini In dengan rela hati memberitahunya. Seperti tadi.
“Mm..?”
“Awak dah tidur ke?”
“Baru terlelap. Kenapa?”
“Saya dengar macam awak cakap sesuatu tapi perlahan bunyinya,”
“Awak ngigau tak,”
‘Ngigau? Macam mana boleh ngigau sedangkan aku belum tidur lagi,’ ucap hati In.
In berfikir sejenak.
“Agaknya kot. Dah malam ni, saya tidur dululah. Selamat malam,”
In menarik selimutnya hingga ke dada.
“Selamat malam,” ucap Iqram. Bibir Iqram terus mengukir senyuman. Dia terlena dengan keadaan begitu.
BAB 68
In duduk di sisi Iqram yang masih lagi lena. In mahu mengejutkan Iqram untuk solat subuh. In seperti teragak-agak untuk menyentuh tubuh Iqram. In mengambil kesempatan itu untuk menatap wajah Iqram. In memandang mata Iqram. Kening Iqram lebat dan baru In menyedari yang bulu mata Iqram sedikit lentik. Pandangan In turun ke hidung. Hidung itu mancung. Iqram berkulit hitam manis. Sememangnya ada sedikit iras Taufik Batisah. Lama In memandang wajah yang semakin indah di dalam hatinya itu. Perasaan sayang semakin menebal. Sedikit sebanyak In seperti dapat menerima pemergian Zaf sejak dia mula mengenali siapa sebenarnya Iqram Iskandar. Iqram seperti berjaya membuka hatinya untuk menerima kasih sayang daripada orang lain. Walaupun nama Iqram sudah mula terukir di hatinya namun nama Aiman Zafirul tetap terpahat di hatinya. Masakan In mudah lupa akan Zaf. In tersenyum sendiri apabila mengingat kembali persamaan antara Zaf dan Iqram. Di awal perkenalan, In pernah membenci mereka. Namun setelah mengenali siapa sebenarnya mereka, hati In mula jatuh kasih. Itulah persamaan mereka.
“Saya tahu, saya memang handsome,”
In terkejut. Iqram membuka matanya. Dia tersenyum memandang In yang sedang terkejut itu.
“Awak dah bangun ke?”
“Dah, lima belas minit yang lepas,”
“Awak memang sengaja kan?”
“Sengaja apa?”
Lidah In seperti terkelu.
“Awak yang sebenarnya yang sengaja,” ucap Iqram sambil bangun setelah hampir enam jam baring di situ.
“Kenapa saya? Awak yang sengaja, pura-pura tidur,”
“Tapi saya tak macam awak. Awak sengaja tengok muka saya semasa saya tidur. Kenapa?”
“Mana ada,”
In cuba mengelak daripada menatap mata Iqram.
“Saya dapat tahu bila awak tipu,”
“Tak ada apa-apalah. Awak bangunlah. Dah subuh ni,”
In cuba bangun tetapi Iqram menahannya. Jari-jemari In digenggam Iqram.
“Thanks,”
In terpinga.
“Kenapa?”
“Terima kasih sebab mempercayai saya,”
“Percayakan awak?”
“Awak percayakan saya. Kalau tak, kenapa awak minta saya temankan awak tidur? Awak tak takut saya buat sesuatu kat awak,”
Mata Iqram tepat ke mata In, cuba mencari perasaan In untuknya. Pandangan Iqram ketika itu seperti meleburkan hati In. In seperti diawangan.
“Kalau awak nak buat macam tu, dah lama awak buat pada saya kan?”
Iqram tersenyum. Perlahan Iqram merapatkan bibirnya ke pipi In. In memejamkan mata, jantungnya mula berdegup kencang. Iqram tidak berhenti terus di pipi itu tetapi Iqram rapat ke telinga In.
“Saya sayang awak,”
Hati In tersenyum,mahu sahaja In membalas ungkapan itu tetapi hatinya seperti ditahan sesuatu. Dia belum bersedia lagi. Pandangan mereka kembali bertaut.
“Mm..saya pergi ambil wuduk dulu. Awak jangan tak balik bilik awak pula,”
Hati Iqram mengeluh.
‘Kenapa tak nak mengaku lagi?’ keluh hati Iqram.
No comments:
Post a Comment