BAB 17
Jam menunjukkan pukul 1.00 tengahari. Ana mengajak Nadia makan tengahari bersama. Kebiasaannya mereka bertiga, tetapi hari itu In leka memandang komputernya, sibuk menyiapkan sebut harga yang diminta Iqram semalam. Ana mengetuk pintu. In tersenyum, memberikan tanda masuk kepada mereka berdua.
“Cik Insyirah, tak nak makan ke?” tanya Ana.
“Eh, dah waktu makan ke?”
“Dahlah. Cik Insyirah ni betul-betul sibuk hari ni. Waktu makan pun tak sedar,”
“Dah serupa dengan Encik Iqram,” usik Nadia.
“Yela, mana taknya. Hari-hari keluar pergi site dengan Mr.Pelik tu. Lama-lama perangai pun sama,” sambung Ana pula.
“Awak berdua ni ada je nak kenakan saya. Saya tak perasan la. Saya mana ada sama dengan Mr. pelik tu,”
Mr.Pelik, itulah gelaran yang diberikan In kepada Iqram.
Iqram berada di hadapan pintu bilik In.
“In, nanti lepas lunch kita pergi tengok tapak. Area pukul 2 kita pergi,” beritahu Iqram.
“Baik Encik Iqram,”
“Awak tak lunch? Ke awak nak lunch dengan saya then kita terus pergi tengok site?” cadang Iqram.
“Mm..tak apalah Encik Iqram, saya makan dengan Ana dan Nadia. Laipun saya dah janji dengan diorang,”
Iqram mengangguk lalu pergi meninggalkan mereka bertiga.
“Cik Insyirah tipu, mana ada janji dengan kitorang,” ucap Ana.
“Ala, memang saya selalu lunch dengan awak berdua kan?”
“Tapi mana ada Cik Insyirah janji?” sambung Ana lagi.
“Ala..kan sama je tu,”
“Cik Insyirah dengan Encik Iqram ada apa-apa eh?” tanya Nadia dalam nada bergurau.
“Tak adalah. Mana ada,”
“Habis tu yang tadi tu apa? Encik Iqram ajak makan sama-sama dengan dia. Dia tak ajak kitorang pun,”kata Nadia lagi.
“Habis tu yang tadi tu apa? Encik Iqram ajak makan sama-sama dengan dia. Dia tak ajak kitorang pun,”kata Nadia lagi.
“Pukul 2 nanti kan saya nak pergi site dengan dia. Tu yang dia ajak saya sekali agaknya,” In memberi alasan.
“Mana tahu, ada apa-apa. Dah selalu luangkan masa bersama,”
“Dah, jom kita pergi makan. Layan awak berdua ni tak habis-habis kerenahnya nanti,”
Ana dan Nadia masing-masing ketawa apabila melihat reaksi In apabila dikaitkan dengan Iqram. Selalu sangat In mengatakan Iqram pelik.
In dan Iqram baru sahaja pulang dari melawat tapak. Tapak yang baru sahaja dilihat sebentar tadi akan didirikan dewan serbaguna. Iqram menerangkan kepada In prosedur awal sebelum memulakan projek pembinaan.In sibuk meneliti pelan yang baru sahaja dia perolehi daripada Iqram. Pelan mengenai dewan serbaguna yang akan didirikan berhampiran Taman Saujana. Iqram memerhatikan In dari biliknya. Pelindung cermin sengaja dibuka. Tidak jemu-jemu Iqram memandang wajah itu. Mungkinkah In adalah pasangan hidupnya? Mengapa aku seringkali bermimpi akannya sedangkan aku tidak pernah mengenalinya sebelum ini? Soalan itu sering muncul di fikirannya setiap kali dia memandang In. In rasa dirinya diperhatikan disebalik cermin itu. In memandang ke arah Iqram. Lantas Iqram memandang komputer riba dihadapannya. Telefon bimbit In berbunyi. Tertera nama ‘sayang’ di skrin itu. In tersenyum gembira.
“Assalammualaikum,” ucap In sambil melihat jam tangannya, tepat menunjukkan pukul 3.15 petang.
“Waalaikummussalam,” balas pemanggil itu.
Berderau darah In apabila mendengar suara itu. Bukan suara Zaf tetapi suara seorang perempuan.
“Siapa ni?” tanya In.
“Betul ke ini Insyirah?” tanya suara itu.
“Ya, saya Insyirah. Awak ni siapa?”
“Saya Zubaidah,ibu Zaf,”
“Oh, maafkan saya mak cik,”
“Tak apa, lagipun mak cik yang guna handphone Zaf untuk telefon In ni,”
“Ada apa yang boleh saya tolong mak cik?”
“Mak cik nak beritahu sesuatu. Harap In dapat terima dengan tenang,”
Apabila mendengar kata-kata itu, hati In terus tidak menentu. Kerja di hadapannya diketepikan. In dapat mengagak ada sesuatu yang buruk telah berlaku pada Zaf. Air matanya hampir menitis.
“Apa dia mak cik?”
“Zaf dah meninggal dunia In,”
“Apa dia mak cik?” tanya In lagi. Adakah salah apa yang didengarnya?
“Anak mak cik, Aiman Zafirul dah meninggal dunia,”
“Innalillahiwainnailaihirojiun,”
Suara ibu Zaf bagaikan halilintar di cuping telinganya. Pandangan matanya gelap.
In tergamam lantas air matanya mengalir laju.
“In,” panggil Zubaidah setelah tidak mendengar sebarang reaksi daripada In.
“Ya, mak cik,” kali ini suara In bergetar, air matanya mengalir deras.
“Zaf dah meninggal seminggu In,” kali ini dunia bagaikan gelap gelita.
Air matanya semakin laju. Tiada hentinya.
“Maafkan mak cik. Ini permintaan Zaf sendiri. Dia tak nak In menangis di hadapannya. Dia tak sanggup,”
In ingin bertanya lagi, tetapi suaranya seperti tersekat. In cuba mengumpul kekuatan untuk berbicara.
“Kenapa Zaf meninggal mak cik?”
“Arwah menghidap barah otak. Dah dua tahun. Dia selama ini berulang-alik ke Kuala Lumpur bukan bekerja tapi pergi ke hospital,”
Manik jernih terus mengalir. Hidupnya terus kosong. Terasa hati, jantung, jiwa dan perasaannya disentap. Seolah-olah diragut. Seolah-olah diambil secara paksa, tanpa relanya. Fikiran In kosong. Hanya esakan kedengaran.
“In, In datang ke kampung mak cik kat Muar ye. Zaf dikebumikan di sini. Ada sesuatu yang arwah nak beri pada In sebelum dia pergi. Nanti mak cik sms alamatnya,”
“Baik mak cik,”
“Mesti In istimewa sehinggakan arwah tak sanggup melihat In menangis di atas pemergiannya. Sebelum arwah meninggal, selalu dia cerita pasal In. Setiap hari nama In disebut,” suara Zubaidah sedikit bergetar, cuba menahan daripada air matanya gugur.
Kali ini In tidak mampu menahan sebak. Pantas sahaja pertemuannya yang terakhir itu, In melihat Zaf sakit di bahagian kepala. Zaf memberitahu yang dia hanya pening kepala.
“In jangan lupa datang ye? Ini wasiat arwah untuk In. Mak cik harap In dapat terimanya dengan tenang,”
“Terima kasih mak cik,”
“Assalammualikum,”
“Waalaikummussalam,”
In tidak tahu apa yang harus dilakukannya sekarang. Fikirannya bercelaru.
Iqram memerhatikan perubahan In. Tadi In begitu tekun melihat pelan dihadapan matanya. Sekarang, kelihatan air mata In mengalir deras setelah menerima panggilan. Tiada henti dan ianya terus mengalir. Perasaan risau mula timbul. Apa yang sedang berlaku sebenarnya? Kenapa In menangis? Iqram memandang semula komputer ribanya, cuba tidak menghiraukan. Kalau diikutkan rasa hati, mahu saja dia pergi ke pejabat In, ingin menenangkan In. Iqram membatalkan niatnya. Nanti apa pula kata In. Iqram hanya orang luar, tetapi sibuk mengambil tahu halnya. Iqram melihat semula In yang sedang menangis. Perasaan sayangnya terhadap In yang baru berputik menyebabkan Iqram tidak sanggup melihat In terus menangis. Dia ingin berkongsi kesedihan In. Hati Iqram agak teragak-agak. Melihat In masih lagi menangis, lantas kakinya melangkah ke pejabat In. Iqram membuka pintu.
“In, kenapa?”
In memandang Iqram, terasa Iqram penyelamatnya. Dia memandang Iqram, tanpa suara.
Iqram mendekati In.
“In, kenapa awak menangis?”
In dapat merasakan Iqram mampu menenangkannya.
“Teman lelaki saya…..,” suara In putus-putus.
Kali ini perasaan Iqram pula disentap. In sudah mempunyai teman istimewa? Perasaannya tidak menentu tetapi dia cuba tenang di hadapan In.
“Kenapa dengan dia?”
“Dia dah meninggal dunia,”
In terus menangis. Mahu sahaja Iqram memeluknya, mahu menenangkan In, tapi dia tahu batasnya.
“Innalillahiwainnailaihirojiun,” ucap Iqram.
In tiba-tiba merasakan dia mahu mengajak Iqram menemaninya ke kampung keluarga Zaf. Dia tidak dapat memikirkan apa-apa, melainkan Iqram yang berada dihadapannya.
“Encik Iqram, saya nak minta tolong,”
“Apa dia?”
“Boleh Encik Iqram hantarkan saya ke Muar, tempat arwah dikebumikan,”
“Dah dikebumikan? Bila dia meninggal?”
“Dah seminggu,” suara In bergetar.
Iqram bersimpati dengan In. Pasti perasaan dan fikirannya tidak menentu kerana baru sahaja mengetahui orang yang disayanginya telah pergi buat selama-lamanya. Itupun setelah seminggu pemergiannya. Jika dibiarkan In bersendirian, Iqram khuatir berlaku sesuatu yang tidak diingini. Iqram mahu melindungi In.
“Boleh. Bila kita nak pergi?”
“Sekarang,”
Iqram mengangguk lemah.
“Saya pergi kemas kejap. In siap-siap, then kita terus pergi,”
“Terima kasih Encik Iqram,”
“Tak apa,” ucap Iqram.
BAB 18
Sepanjang perjalanan ke Muar, In hanya membisu. Air matanya terus mengalir. In hanya bercakap dengan Iqram semasa memberikan alamat ke kampung Zaf. Iqram tidak tahu kedudukan sebenar alamat itu. Dia ingin betanya kepada In, tapi apabila melihat keadaan In, Iqram membatalkan niatnya. Biarlah dia mencari sendiri, jika dia tersesat dia boleh bertanya kepada orang. Iqram memandu, untuk seketika dia memandang ke kiri, melihat In. Risau dengan keadaan In. Iqram merasakan dirinya bertanggungjawab untuk menjaga In.
Setelah hampir sejam empat puluh lima minit berada dilebuhraya, mereka telah keluar di susur keluar lebuh raya. Iqram berhenti di kedai seketika. Membeli dua botol air mineral.
“In,” panggil Iqram, lembut.
In terkejut, tersentak dari lamunannya.
“Minum air dulu. Kita dah sampai kat Muar,” kata Iqram sambil menghulur botol air mineral kepada In.
In menyambutnya.
“Terima kasih Encik Iqram,”
“Tak payah panggil saya Encik la. Kita kan kat luar pejabat,”
In hanya tersenyum hambar. Matanya sedikit kecil membengkak akibat menangis.
Iqram melihat jam tangannya, menunjukkan pukul 5.20 petang.
“Kejap lagi kita sampai. In rehat ye,”
Iqram segera menghidupkan enjin kereta.
“Encik Iqram,” panggil In.
“Iqram,” tegas Iqram
“Iqram, saya nak sembahyang Asar dulu,”
Iqram terdiam. Dia hampir terlupa telah masuk waktu Asar. Apa tidaknya, kadang-kala dia buat, kadang-kala tidak.
“Ok, nanti kita berhenti kat masjid,”
Iqram mengambil bahagian kiri jalan setelah melihat papan tanda masjid 100 meter di hadapan. Iqram memandu perlahan lalu membelok ke kiri. Iqram meletakkan kenderannya lalu mematikan enjn. In segera turun lalu pergi ke bahagian perempuan.
Iqram menutup pintu kereta. Pandangan Iqram mengekori In. Hatinya terdetik mengatakan In seorang gadis yang baik dan mampu mengubahnya. Iqram mengambil wuduk. Perlahan-lahan diperlakukan. Terasa tenang.
In selesai menunaikan tahyat akhir lalu memberi salam. Lantas tangannya menadah, memohon kepada ALLAH, semoga dia dapat melalui segala ujian yang diberikan oleh Nya, semoga ALLAH memberikannya kekuatan untuk menghadapi pemergian Zaf dan semoga dia tabah untuk menerima ketiadaan Zaf dalam hidupnya. Dia juga berdoa semoga roh Zaf tenang berada di sana. In melipat kain telekung lalu menyidainya semula di tempat asal. In keluar menuju ke kereta. Iqram sedang menunggunya.
Jam menunjukkan pukul 6 petang. Iqram bersyukur kerana rumah yang dicari berhampiran dengan masjid yang mereka berhenti tadi. Itupun setelah Iqram bertanya kepada orang. Hampir sahaja mereka sesat.
Zubaidah segera keluar, melihat siapa yang datang. In keluar dari kereta, menuju ke arah Zubaidah.
“Assalammualaikum,” ucap In.
“Waalaikummussalam. Insyirah ye?”
“Ya mak cik,”
In tidak dapat menahan air matanya daripada jatuh lagi.
Segera Zubaidah memeluk In. Iqram turut merasa sebak. Setelah hampir seminit mereka berpelukan, akhirnya mereka memulakan perbualan.
“Kenapa In buru-buru datang? Baru tadi pukul 3 mak cik telefon. Sekarang dah sampai,”
“Saya tak tahu. Saya rasa nak tengok kubur Zaf,”
Zubaidah tersenyum. Dia dapat merasakan In begitu menyayangi anaknya.
“Ni siapa pula ni? Tanya Zubaidah setelah melihat Iqram berdiri di sebelah In, menghulurkan tangan mahu bersalam dengannya. Zubaidah menyambut.
“Ni Iqram, engineer tempat saya kerja. Saya tak tahu macam mana nak pergi sini. Saya tak ada kereta. Tu yang saya minta tolong dengan Iqram,”
“Jom, kita naik dulu,” pelawa Zubaidah.
“Mak cik, tak apa, saya nak tengok Zaf dulu,”
Zubaidah memandang sayu terhadap In. Agak lama dia memandang In. Pandangan In seolah-olah mengharapkan Zubaidah bersetuju dengan permintaan In.
“Tak apalah, hari pun masih petang lagi. Kubur arwah lebih kurang 15 minit dari sini. Mari kita pergi. Mak cik pakai tudung sekejap ye,”
Zubaidah masuk semula ke dalam rumah. Dia bersiap-siap, mengambil tudung lalu memakainya. Dia memberitahu kepada anaknya, Aiman Zamarul dan Aiman Zaquan yang sedang duduk di sofa hadapan yang dia mahu ke kubur Zaf. Zaf merupakan anak keduanya. Zamarul, anak sulungnya, bekerja sebagai guru sekolah menengah di Kuala Lumpur manakala Zaquan merupakan anak bongsu yang masih lagi belajar di UKM. Suaminya telah meninggal dua tahun lalu akibat kemalangan. Zubaidah keluar.
“Mari kita pergi,”
Iqram menuruti mereka. Zubaidah menunjukkan jalan menuju ke tanah perkuburan kampung itu. In cuba mengumpul kekuatan.
Zubaidah membetulkan kain yang dipakainya. Sedikit teralih apabila duduk di dalam kereta sebentar tadi. In keluar dari kereta, lalu menutup pintu. Matanya memandang berpuluh kubur di hadapannya. Tertanya-tanya, yang mana satu milik Zaf. Iqram menekan punat kecil di kunci keretanya. Terdengar bunyi pintu keretanya berkunci.
“Mari In, mak cik tunjukkan,” ucap Zubaidah lalu tangan kanannya memimpin tangan In manakala tangan kirinya membawa sebotol air untuk disiram di atas kubur anaknya. Iqram mengekori dari belakang. Setelah berjalan hampir 15 langkah, Zubaidah berhenti.
“Ini kuburnya In,”
Mata In terpandang timbunan tanah yang masih lagi merah. Nisannya masih belum ada. Hanya dua batang kayu yang terpacak sebagai penanda. Bunga-bunga masih lagi segar berada di atas timbunan tanah itu. In tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir. Perlahan-lahan In tunduk lalu dia duduk. Hatinya bertambah sayu apabila memikirkan punca Zaf meninggal dunia. Kenapa Zaf tidak mahu memberitahunya? Kenapa Zaf menanggungnya sendiri? Pantas sahaja panggilan dan mesejnya tidak berbalas. Rasa bersalah timbul di hatinya kerana berfikir bukan-bukan mengenai Zaf.
Manik jernih itu terus mengalir. Zubaidah yang berada di sisi In cuba menenangkan In. In memeluk Zubaidah.
“In, tak baik macam ni. Tak baik menangis depan kubur dia. Dia nampak In datang sini,”
Hanya esakan kedengaran. Iqram sebak, sayu hatinya melihat reaksi In apabila sampai di kubur Zaf. Iqram dapat merasakan betapa dalamnya kasih sayang In terhadap Zaf. Mampukah dia memiliki cinta In seperti mana In memberikan kasih sayangnya terhadap Zaf? Mahu sahaja rasanya Iqram menyapu air mata yang mengalir di pipi In. Iqram mahu menghapuskan rasa sedih yang menyelubungi hati In. Saat itu, Iqram berjanji pada dirinya, mahu melindungi In, menjaga In sepenuh hatinya selepas pemergian Zaf.
Perlahan-lahan Zubaidah meleraikan pelukan mereka.
“In, jangan nangis lagi. Tak baik kita menangisi orang yang dah pergi. Lebih baik kita sedekahkan Fatihah kepada Zaf,”
In mengangguk lemah.
In membacakan surah Al-Fatihah lalu dia berdoa semoga roh Zaf tenang berada di sana. Zubaidah menyerahkan botol yang berisi air itu kepada In. In menyambutnya. Perlahan-lahan In menyiram air ke atas kubur Zaf.
No comments:
Post a Comment