Stylo Clique ^_^

Friday, October 8, 2010

+_BILA TAKDIR ITU BERBICARA_+ (BAB 39-40)


BAB 39

Iqram sedang menonton Buletin Utama. Iqram menonton sambil menyandarkan tubuhnya ke sofa. Badannya terasa letih, penat kerana seharian berada di tapak pembinaan. Dia meneguk air sejuk di hadapannya. In keluar dari bilik. Iqram menoleh.
“Awak nak tengok tv ke? Boleh temankan saya,” ajak Iqram.
In tidak menjawab pertanyaan Iqram.
“Kenapa In?” tanya Iqram setelah melihat reaksi In.
“Hujung minggu ni saya nak pergi kampung arwah Zaf,”
Iqram terkejut dengan kenyataan In.
“Kenapa?”
“Keluarga arwah ada buat kenduri 40 hari arwah meninggal. Saya nak pergi,”
Iqram memperlahankan suara televisyen. Dia masih lagi terkejut dengan permintaan In.
“Mak saya cakap, saya kena minta izin dengan awak kalau saya nak pergi. Saya tanya awak ni pun sebab mak saya,” terang In lagi.
Iqram hanya mendiamkan diri.
“Kalau awak tak bagi saya pergi sekalipun, saya tetap akan pergi. Saya masih tak dapat lupakan dia. Saya cuma nak beritahu awak je,” ucap In, lalu melangkah masuk ke biliknya.
“Saya temankan awak pergi sana,” kata Iqram
Langkah In terhenti mendengar ayat Iqram.
“Saya rasa tak payah. Saya boleh pergi sendiri,” balas In.
“Biar saya temankan awak,”
“Tak apa, awak tak payah susahkan diri awak lagi. Kali ni saya tak minta pertolongan awak. Awak tak payah nak susahkan diri awak. Saya tak nak pisang berbuah dua kali,” kata In dengan nada tegas.
“Apa maksud awak cakap macam tu?”
Tangan Iqram mengambil alat kawalan jauh lalu menekan butang merah, televisyen menjadi gelap. Kini perhatiannya sepenuh terhadap In yang berada di hadapannya.
“Awak faham maksud saya Iqram,”
“Kenapa awak cakap awak tak nak pisang berbuah dua kali?”
“Awak dah lupa yang awak buat malam tu Encik Iqram?”
Iqram hanya mendiamkan diri.
“Kalau awak lupa, biar saya ingatkan awak Encik Iqram. Malam tu, mulut awak yang menyebabkan keadaan saya hari ni,”
“Saya ada sebab,”
“Awak tak habis dengan sebab awak tu. Awak ada alasan. Apa alasan awak? Saya kenal awak baru dua minggu Iqram, kita tak buat apa-apa malam tu. Tapi awak yang dah hancurkan semuanya. Awak ingat saya ni barang mainan?”
Sekali lagi In melepaskan geram kepada Iqram akan peristiwa malam itu.
“Memang saya ada alasan kenapa saya cakap macam tu pada malam tu,”
“Saya dah muak Iqram. Saya dah jemu dengan alasan awak. Saya sendiri tak faham apa tujuan awak. Awak nak apa dari saya?”
Iqram tidak membidas kata-kata In.
“Awak ingat saya senang nak terima awak dalam hidup saya? Awak ingat hati saya ni senang nak bagi ruang untuk awak?”
“Saya minta maaf,”
“Itu je perkataan yang awak tahu sebut? Maaf, maaf, maaf. Semua salah boleh hilang kalau sebut perkataan maaf? Saya yang menanggungnya Iqram. Saya kuatkan diri saya berhadapan dengan awak setiap hari. Awak ingat hati saya ni batu? Saya tak nak jumpa awak lagi sejak peristiwa malam tu. Saya menyesal yang saya pernah minta tolong dengan awak. Saya tak sangka malam tu awak sanggup cakap yang awak akan bertanggungjawab sedangkan kita tak buat apa-apa. Kita tak bersentuhan langsung. Awak biarkan semua orang percaya yang saya buat perkara terkutuk tu dengan awak,”
Iqram hanya duduk di sofa, tertunduk. Dia membiarkan In melepaskan geram dan marah yang terbuku di hati.
“Awak tahu saya baru kehilangan Zaf. Saya terlalu sayangkan dia. Dan dalam masa yang sama awak ragut semua perasaan saya. Awak memang kejam. Awak bunuh perasaan saya. Hati saya ketika itu belum dapat terima pemergian Zaf dan awak tambah lagi dengan cerita karut awak tu pada hari yang sama. Saya manusia Iqram. Hati saya bukan batu, bukan besi. Saya tak dapat terima apa yang awak buat terhadap saya,”
Mata In menjadi merah, menahan sedih dan marah.
“Saya dipaksa nikah dengan awak malam tu. Saya dihina pak cik-pak cik malam tu atas perkara yang saya tak pernah buat. Awak ingat saya ni apa? Perempuan bersepah?”
“Tak, awak bukan perempuan yang macam tu,”
“Kalau awak dah tahu saya bukan perempuan macam tu, kenapa malam tu mulut awak celupar sangat. Awak tak pedulikan perasaan saya. Awak ketepikan kebenaran,”
“Saya tak ketepikan kebenaran In,”
“Saya tahu awak ni jenis lelaki apa. Lelaki yang tak pernah cukup dengan seorang perempuan dalam hidup awak. Awak nak apa sebenarnya? Awak dah ada Natasya. Sekarang awak tinggalkan Natasya kemudian libatkan saya dalam masalah awak?”
“Saya tak libatkan awak antara saya dan Natasya,”
“Awak tak libatkan saya? Hari tu apa Iqram? Natasya hina saya depan orang ramai. Saya dituduh perampas. Siapa sebenarnya perampas? Saya atau awak?”
“Bukan awak atau saya,” ucap Iqram perlahan.
“Sekali lagi saya dituduh atas perbuatan yang tak pernah saya lakukan. Semuanya disebabkan awak. Sekali lagi maruah saya dipijak-pijak tanpa belas kasihan. Sebab tu saya tak nak awak ikut saya ke kampung Zaf,”
Perlahan-lahan manik jernih itu gugur.
Iqram menarik nafas panjang lalu dihembus keluar. Dia memandang tepat ke mata In.
“Tapi saya suami awak,”
“Saya tak ada perasaan kat awak Iqram. Awak tak ada tempat dalam hidup saya. Saya tak tuntut cerai dengan awak sebab mak saya. Saya masih kerja di Berjaya Holdings sebab Encik Taufiq, saya duduk serumah dengan awak sebab mak saya. Tak ada satu sebab pun saya lakukan kerana awak. Saya ketepikan perasaan saya sebab mak saya. Terlalu banyak pengorbanan yang saya lakukan, semuanya bukan sebab awak,”
“Malam tu saya lakukan perkara itu sebab awak,” balas Iqram.
“Sebab saya? Awak nak salahkan saya?”
In melemparkan semua kesalahan ke atas bahu Iqram. In membiarkan air matanya mengalir. In merasakan malam itu dia harus melakukan perhitungan dengan Iqram.
“Saya sayangkan awak,”
Mata Iqram tepat ke In. Kata-kata Iqram sampai ke hati In. Mata In tidak berkedip setelah mendengar pengakuan Iqram.
“Saya sayangkan awak lebih dari seorang kawan. Itu alasan saya,”
Nafas In turun naik, menahan sebak.
“Awak tipu. Awak ingat senang nak persendakan perasaan saya. Awak ingat dengan ucap perkataan tu akan mengubah semuanya,”
“Saya tak tipu. Saya sayangkan awak In,”
Iqram cuba merapatkan dirinya kepada In.
“Saya bukan Natasya yang senang tertipu dengan perkataan sayang,”
“Sebab awak bukan Natasya lah, saya sayangkan awak,”
“Apa maksud awak? Awak nak pijak lagi perasaan saya? Kalau awak sayangkan saya, kenapa awak buat macam tu kat saya? Kenapa malam tu awak tak lindungi saya? Kenapa awak buat saya menanggung kesalahan yang saya tak lakukan?”
“Saya tak nak awak jauh dari saya. Saya pasti, lepas peristiwa malam tu, pasti awak akan jauhkan diri dari saya. Saya tak sanggup. Saya tak nak kehilangan awak,”
“Tak nak kehilangan saya? Kita kenal dua minggu masa tu Iqram. Dari mana timbul sayang? Saya tak pernah bagi apa-apa harapan pada awak. Dua minggu Iqram. Dua minggu kita kenal. Dalam dua minggu timbul sayang? Awak ingat ni drama? Senang betul awak ada rasa sayang pada orang lain sedangkan awak ada Natasya,”
In menyindir kata-kata Iqram. Dia tidak percaya ucapan sayang Iqram. Dia tidak percaya Iqram benar-benar maksudkannya.
“Saya dah lama kenal awak. Bukan dua minggu saya kenal awak Insyirah,”
“Bukan dua minggu? Pembohongan apa lagi yang awak nak reka Iqram? Nak cakap kita ni pernah berkenalan? Pernah berjumpa masa sekolah dulu?”
Kata-kata In begitu sinis bagi Iqram.
“Awak muncul dalam mimpi saya,”
“Mimpi? Kenapa awak tak nak cakap yang kita ni sebenarnya pernah berjumpa di alam kayangan?”
Iqram mendekati In. Rapat.
“Awak pandang mata saya In. Saya tak tipu awak. Awak dah muncul dalam mimpi saya sebelum kita berjumpa lagi,”
“Semuanya bohong. Mata awak tak memberikan apa-apa makna kepada saya,”
“Awak muncul dalam mimpi saya. Awak ganggu tidur saya. Awak buat saya jatuh cinta dengan awak. Tapi saya biarkan sebab saya tahu, semua tu mimpi sehinggalah saya jumpa awak pagi tu,”
Iqram teringat akan peristiwa pagi itu. Mereka berlanggar di pintu masuk Berjaya Holdings.
“Saya suka senyuman awak, sebab tu saya suruh awak senyum pagi itu,”
“Awak boleh mereka-reka cerita macam awak lakukan pada malam tu Iqram. Saya tak bodoh,”
“Saya sayangkan awak Ilham Nur Insyirah,”
“Jangan sebut perkataan tu. Awak ingat hidup kita ni macam drama? Boleh jatuh cinta dalam masa dua minggu? Awak pernah jumpa saya dalam mimpi? Dan perempuan dalam mimpi awak tu saya? Encik Iqram, cerita dongeng mana yang awak ambil untuk dijadikan kenyataan dalam pembohongan rekaan awak ni?”
“Sayang saya pada awak bukan dongeng, bukan rekaan, bukan pembohongan,”
“Sayang? Awak tak ikhlas ucapkannya. Awak ambil kesempatan. Kalau awak betul-betul ikhlas sayangkan saya, awak tak akan buat apa yang awak dah buat. Dan lagi satu, awak ingat saya percaya cerita dongeng mimpi awak tu? Saya masih ada otak yang waras untuk berfikir,”
Iqram masuk ke biliknya, mengambil sesuatu dari almari bajunya. Satu gulungan kertas lukisan sudah berada di genggaman tangannya. Iqram menyerahkan kertas lukisan itu kepada In.
“Awak tak percaya? Awak tengok sendiri apa yang ada pada lukisan tu,”
In membuka gulungan kertas lukisan itu. Sedikit demi sedikit lakaran lukisan itu kelihatan. Mata In tertumpu pada wajah di dalam lukisan itu. Mata, hidung, senyuman dan paling memeranjatkan In, rambut pada lukisan itu. Lukisan itu saling tak tumpah wajahnya. Rambut pada lukisan itu, sama dengan rambut miliknya. In tidak pernah mendedahkan rambutnya kepada Iqram.
“Awak dapat dari mana lukisan ni? Bila masa awak nampak rambut saya?”
“Saya tak pernah nampak walaupun sehelai rambut awak In. Lukisan itu adalah perempuan yang muncul dalam mimpi saya. Saya dapat menciri-cirikan setiap inci wajah perempuan dalam lukisan itu sebab kerap kali dia muncul dalam mimpi saya. Saya upah pelukis untuk melukis dia,”
In melemparkan lukisan itu ke arah Iqram.
“Awak bohong, awak tipu. Saya tak akan mudah percaya apa yang awak cakap. Ini semua muslihat awak,” ucap In.
In mahu melangkah ke biliknya tetapi Iqram sempat memaut tangan In.
“Muslihat apa yang boleh saya cipta? Lukisan itu dilukis sebelum saya berjumpa dengan awak Insyirah,”
“Saya tak tahu muslihat apa yang awak guna untuk membuatkan semua dongeng mimpi awak jadi kenyataan Iqram,”
Iqram menarik In. Tubuh In rapat ke tubuh Iqram. Iqram memandang tepat ke mata In.
“Lepaskan saya,” pinta In dengan tegas.
“Saya ikhlas sayangkan awak Insyirah,” hembusan nafas Iqram kedengaran di telinga In.
Iqram kelihatan tenang melafazkan ayat itu. In terdiam.
“Keikhlasan itu umpama seekor semut hitam di atas batu hitam di malam hari yang amat kelam. Ianya wujud tetapi amat sukar dilihat dan saya pasti dengan perasaan saya,” sambung Iqram.
Kali ini In terkesima, tidak mampu berkata apa-apa apabila mendengar ayat itu muncul dari bibir Iqram. In memandang mata Iqram, mencari kebenaran kata-kata yang diucapkan Iqram. Nafasnya turun naik. Kata-kata itu hanya In ucapkan kepada Zaf, tidak pernah pada orang lain.
“Dari mana awak dapat kata-kata tu?”
“Perempuan yang hadir dalam mimpi saya. Saya sayangkan awak In. Awak yang hadir dalam mimpi saya,”
Air mata yang tadinya sudah berhenti gugur, kini ianya gugur lagi.
“Awak tipu,” tiada suara kedengaran.
Hanya bibir In yang bergerak tapi Iqram dapat mengerti gerakan bibir In.
Iqram menyapu air mata yang jatuh di pipi In.
“Tak. Saya tak tipu awak. Saya sayangkan awak. Saya cintakan awak,” ucap Iqram.
In hanya mengeleng-gelengkan kepala.
“Saya tak akan tipu perasaan saya terhadap awak. Saya pasti dan saya yakin yang awak adalah untuk saya,” sekali lagi tangan Iqram berada di pipi In.
In menolak Iqram.
“Jangan sentuh saya,”
Perlahan-lahan In masuk ke biliknya. Dia menutup pintu. In menangis semahu-mahunya. Kebenaran atau rekaan yang sedang di alaminya.
“In, percayalah cakap saya. Saya tak bohong,” kedengaran suara Iqram.
In tidak mempedulikan Iqram. Dia masih lagi bingung dengan apa yang didengarnya sebentar tadi. Kebenaran apakah yang sedang direka Iqram. Tetapi ada perkara yang membuatkan In bingung. Lukisan dan kata-kata itu. Setahu In, dia tidak pernah mendedahkan rambutnya di hadapan Iqram dan perkara yang lebih membuatkan lidah In kelu apabila Iqram mengucapkan ayat itu. Ayat itu hanya In ucapkan untuk Zaf, tidak pernah kepada orang lain. Fikiran In bercelaru. Dia tidak tahu sama ada mahu mengakui kebenaran kata-kata Iqram atau dia juga turut terlibat dalam dongeng yang direka Iqram. In bingung dan akhirnya In tidak menyedari bila dia sudah melelapkan matanya.


BAB 40

Air di paip itu mengalir laju. Buih-buih sabun di pinggan sedikit demi sedikit hilang. In merata-ratakan air itu. Pinggan itu diletakkan di atas sinki sebelah kanan. Zubaidah mengambilnya lalu dilap pinggan itu.
“Terima kasih In,” ucap Zubaidah.
“Kenapa mak cik?” tanya In sambil tangannya ligat membersihkan pinggan yang kotor itu.
“Terima kasih sebab datang kenduri arwah,”
“Janganlah cakap macam tu. Lagipun, saya ada masa. Mak cik dah jemput saya,”
Zubaidah memandang In. Kelihatan wajah itu masih lagi menyimpan perasaan sedih. In sedar dirinya diperhatikan. In memandang Zubaidah lalu memberikan senyuman.
“Mak cik tahu kamu sedih lagi,”
In hanya terdiam.
Indah masuk ke dapur. Dia telah selesai mengemas di bahagian ruang tamu.
“Kak, kat depan saya dah kemaskan. Ada apa-apa yang boleh saya tolong lagi?” tanya Indah. Indah memanggil Zubaidah dengan panggilan kakak kerana Zubaidah tua tujuh tahun daripadanya.
Zubaidah menoleh.
“Tak ada apa-apalah. Terima kasihlah Indah dah tolong akak banyak. Tinggal pinggan mangkuk je ni. In pun dah tolong,”
“Tak apalah kak. Saya tak kisah,”
“Kamu duduklah. Makan kuih tu. Ada air teh kat atas dapur tu. Buatlah macam rumah sendiri.
Indah tersenyum lalu duduk di meja makan. Dia mengambil sebiji karipap.
“Jadi kamu tidur kat sini?” tanya Zubaidah.
“Rasanya jadi mak cik. Lagipun dah malam. Takut juga bawa kereta malam-malam ni. Mata kurang jelas,” jawab In.
“Baguslah macam tu. Nanti mak cik suruh Zamarul kemaskan bilik untuk kamu,”
“Saya ikut In je. Tu yang saya temankan In. Lagipun saya kenal dengan arwah,”
“Arwah selalu ke pergi rumah Indah?”
“Tak lah selalu sangat, tapi saya kenal dia. Arwah baik orangnya,” ucap Indah.
Zubaidah tersenyum.
“Akak terima pemergiannya. Akak redha. Arwah memang seorang anak yang baik,”
In memutarkan kepala paip ke arah lawan jam. Air berhenti mengalir.
“Dah sudah?” tanya Zubaidah.
“Sudah mak cik. Ada apa-apa lagi?”
“Tak ada apa-apa lagi. Kamu pergi makan nasi. Ajak mak kamu sekali. Dari tengahari tadi mak cik tengok kamu tak makan lagi,” arah Zubaidah.
“Betul kata mak cik Zubaidah kamu tu. Mak tengok kakak buat kerja dari petang tadi. Tak makan-makan. Nanti sakit pulak,”
In hanya menuruti. In mengambil dua buah pinggan. Dia mencedok nasi lalu meletakkan sesenduk nasi ke atas setiap pinggan. Zubaidah memasak nasi ambang untuk kenduri 40 hari pemergian Zaf. In mengambil sedikit serunding, mi goreng, ikan masin, sambal tumis dan kerabu pegaga. In memberikan sepinggan kepada Indah. In duduk di hadapan ibunya.
“Mak, akak ingat nak pergi kubur Zaf esok,”
Zubaidah mengambil kain lap lalu mengelap tangannya yang basah.
“Mak pun sama. Nak melawat juga kubur arwah,” Indah bersetuju dengan cadangan In.
Zubaidah tersenyum di dalam hati. Dia dapat merasakan kasih sayang In terhadap arwah anaknya itu. Zaf beruntung dapat berkawan dengan In. Jika arwah masih hidup, Zubaidah pasti anaknya hidup bahagia bersama In. Dari air muka In, Zubaidah dapat membaca perasaan In. Pasti In rindukan Zaf. In sedang menahan kesedihan di atas pemergian Zaf. Jelas dari riak muka In, In cuba kuatkan hati untuk berhadapan dengan dugaan yang begitu mencabar ini. Jauh di sudut hati Zubaidah, dia berdoa satu hari nanti In mampu hidup bahagia bersama dengan insane yang menyayanginya.
“Iqram tak ikut?” tiba-tiba Zubaidah teringat akan Iqram. Dari mata Iqram, Zubaidah dapat melihat kasih sayang Zaf terhadap In.
In terkejut dengan pertanyaan Zubaidah. Begitu juga Indah.
“Dia ada kerja. Biasalah, engineer memang selalu sibuk,” jawab In, acuh tidak acuh.
Indah memerhatikan rekasi wajah In. In seolah-olah cuba mengelak daripada pertanyaan Zubaidah itu.
“Mak cik ingat dia ikut masa kamu datang tadi. Sebab hari tu dia datang kan,”
Indah dan In cuba tersenyum tetapi senyuman In kelihatan hambar. Hatinya masih lagi bingung dengan kenyataan Iqram tempoh hari. Sejak peristiwa malam itu, sudah tiga hari In tidak bertegur sapa dengan Iqram. Iqram cuba mendekati In, tetapi In sentiasa mengelak. Dia masih tidak tahu sama ada Iqram benar-benar tidak mereka cerita atau ianya hanya muslihat Iqram untuk mengambil kesempatan ke atasnya sekali lagi.

No comments:

Post a Comment