Stylo Clique ^_^

Thursday, October 7, 2010

+_BILA TAKDIR ITU BERBICARA_+ (BAB 27-28)


BAB 27

Iqram memandang skrin komputer ribanya. Dia sedang menyiapkan laporan tapak bagi pembinaan dewan yang sepuluh peratus kerja sudah dilakukan. Laporan itu akan dijadikan panduan untuk menuntut bayaran daripada pemilik projek. Biasanya In akan menyiapkannya tetapi sudah seminggu In tidak datang ke pejabat. Dia mengurut-urut kepalanya. Terasa berat. Berat dengan masalah hidupnya. Setengah jam yang lalu, rakannya dari syarikat hartanah menghubunginya. Ada dua lot kondominium yang hendak dijual. Iqram akan bersetuju setelah dia sendiri melihat kondominium itu. Taufiq sedang memintas pejabatnya. Iqram mendengar ketukan pintu. Kemudian Taufiq masuk.
Iqram memandang ayahnya itu.
“Iqram, esok meeting bentang projek kat dewan tu and ni ada dua lagi tender kita nak isi,” kata Taufiq lalu meletakkan dua buah buku yang tebal, kira-kira lebih daripada seratus helai.
“Baik Encik Taufiq,”
Iqram menerima arahan tetapi wajahnya kelihatan letih.
“Iqram,” panggil Taufiq.
“Ya Encik Taufiq,” balas Iqram.
Taufiq duduk di hadapan Iqram.
“Iqram, undang-undang pejabat ni tak ada pula termaktub yang anak tak boleh panggil ayahnya papa semasa berada di pejabat,”
“Tapi anak papa ni pekerja kepada Ahmad Taufiq. Sama macam pekerja yang lain, Encik Taufiq,”
Taufiq hanya tersenyum mendengar alasan Iqram.
How Brunei papa?”
“Soalan yang Iqram tanya ni ada musykil sikit. Iqram sebagai pekerja Ahmad Taufiq ke sebagai anak kepada Ahmad Taufiq?” kali ini Taufiq cuba bergurau dengan anaknya.
Come on papa,” Iqram tidak mampu bermain tarik tali dengan ayahnya.
“Papa dah balik Malaysia dah dekat empat hari baru nak tanya?”
Sorry la pa. Banyak kerja. Kadang-kadang papa kat pejabat, Iqram kat luar. Iqram kat pejabat, papa kat luar. Macam mana nak jumpa?”
“Kamu tu ada je alasan. Bukan tak boleh balik rumah,”
Iqram tidak membalas kata-kata Taufiq. Taufiq memerhatikan wajah anaknya itu. Kelihatan wajah yang penuh dengan masalah.
“Kamu marah lagi pasal dulu ke Iqram?” tanya Taufiq.
Sekali lagi Iqram membisu apabila mendengar pertanyaan Taufiq.
“Cubalah kamu terima kehadiran mak tiri kamu tu,”
“Pa, Iqram tak nak cerita pasal ni dulu lah. Banyak lagi benda yang Iqram nak settle. Kerja office ni pun banyak,”
Tiba-tiba Taufiq teringat akan In.
“In mana? Lama dia cuti?”
“Mungkin lama kot pa. Saudara dia masih sakit lagi,” tipu Iqram.
“Kamu tu, boleh handle sorang-sorang?”
“Boleh pa. Dulu masa Sofian berhenti, kan Iqram yang uruskan sebelum In datang gantikan tempat dia,”
“Papa risau juga pasal In tu. Mana tahu dia ada masalah lain sampai seminggu tak datang kerja,”
“Eh, tak adalah pa. Saudara dia sakit kat kampung tu. Dia ada cakap dengan Iqram,” I
qram cuba melindungi rahsianya. Ayahnya seperti tahu-tahu yang dia tipu. Ini semua terjadi kerana Iqram. Iqram perlu menutup segala-galanya daripada Taufiq.
“Papa janganlah risau,”
“Papa tak risau, cuma bimbang kalau ada apa-apa terjadi kat In tu,”
“Hai pa, lain macam je ayat. Bimbang dengan In pula. Kenapa? Sayang ke?” duga Iqram.
Taufiq bangun dari tempat duduknya. Menuju ke pintu untuk melangkah keluar. Iqram hanya memerhatikan Taufiq. Setelah sampai di pintu Taufiq menoleh ke arah Iqram.
“Kalau papa sayang dia pun kenapa? Kamu ada masalah ke?”
Iqram tersenyum.
“Kenapa kamu senyum pula? Senyum kamu tu bukan bagi papa jawapan,”
Iqram mengangkat bahunya. Taufiq turut tersenyum.
“Balik la rumah papa. Papa ada bawa buah tangan dari Brunei untuk kamu,”
Taufiq mengharapkan Iqram pulang ke rumahnya. Dia mahu kembalikan hubungan baik antara ayah dan anak. Dia tiada anak yang lain, melainkan Iqram. Iqram sememangnya degil. Dia tahu, sifat degil Iqram itu diwarisi daripadanya.
“Papa bawa balik buah tangan untuk Iqram je? Tak bawa untuk In sekali?”
Kali ini Iqram pula menduga Taufiq.
“Ada, untuk In memang ada,” Taufiq melayan kerenah anaknya itu tetapi sebenarnya Taufiq turut membawa buah tangan untuk In yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri.
“Saya ingat papa bawa balik buah hati untuk Iqram,” Iqram cuba bergurau dengan ayahnya.
“Buah hati? Buat apa papa bawa buah hati dari Brunei untuk kamu? Kamu kan dah ada buah hati kat sini,” balas Taufiq sambil matanya mengerling ke sebelah, ke arah pejabat In yang kosong lalu Taufiq keluar.
Iqram dapat membaca pandangan Taufiq itu, seolah-olah Taufiq mengerti perasaan dan hatinya. Ketarakah perasaan aku terhadap In? Iqram mula menyoal dirinya. Sudah dua orang dapat meneka dengan tepat akan perasaannya terhadap. Dulu, Zubaidah, ibu kepada Zaf. Kini ayahnya. Jika ketara, kenapa In tidak mengerti perasaannya? Kenapa In tidak nampak kasih sayangnya? Iqram memandang sepi pejabat In. Seminggu lalu dia dapat menatap wajah itu dari pejabatnya tetapi hari ini segalanya berubah. In tiada di situ. Tiada lagi reaksi pelik yang diberikan In jika Iqram memintanya senyum. Kini, hanyalah kebencian yang In berikan.

BAB 28

In membuka pintu peti sejuk, mencari air untuk membasahi tekak. Sudah seminggu dia tidak ke pejabat. Hatinya masih lagi berbelah bagi sama ada dia masih mahu bekerja di Berjaya Holdings atau tidak. Dia tidak mahu kecewakan Taufiq. Dia juga tidak mahu bertentang mata dengan Iqram. Kejadian tempoh hari sudah cukup menyeksa In.
“Kakak,” panggil Indah.
In menoleh.
“Mak nak bincang sikit,” ucap Indah lalu menuju ke meja makan. In menuruti sambil tangan kanannya memegang segelas air sejuk. In menarik kerusi lalu duduk.
“Mak tak nak kamu terus macam ni,”
In meneguk air sejuk itu. Tekaknya terasa nyaman.
“Maksud mak?”
“Mak rasa lebih baik kakak duduk dengan Iqram,”
In terkejut. Air sejuk yang terasa nyaman tiba-tiba menjadi pahit.
“Mak,” suara In sedikit meninggi.
“Kamu isteri dia,”
“Mak, kakak tak nak. Kan kakak cakap kakak nak tuntut………..,”
Indah segera memintas.
“Mak tak mahu kamu cakap soal cerai lagi. Mak tak suka. Berdosa Insyirah,”
“Apa yang dia buat pada kakak tu tak berdosa ke mak?” tanya In kepada Indah.
“Mak tahu, apa yang dia buat pada kakak tu salah. Habis tu? Kakak nak ikut juga buat salah macam dia?”
“Bukan macam tu mak. Kakak tak sanggup hidup dengan dia,”
“Kakak tak cuba. Jangan keruhkan lagi keadaan Insyirah. Kakak kena beri dia peluang untuk tebus kesalahan dia,”
“Tak mak. Tak semudah tu,”
“Kenapa kakak keras hati sangat? Cuba lembutkan hati tu,”
“Hati kakak memang dah keras semenjak Iqram buat macam tu pada kakak. Iqram yang buat kakak tak ada perasaan. Iqram yang buat kakak benci pada dia. Iqram yang buat kakak jadi macam ni. Mak patut salahkan dia,”
“Astaghfirullahalazim. Tak baik macam tu,”
“Mak tak faham,”
“Memang mak tak faham. Mak tak nak kakak bertindak mengikut perasaan dan hati. Kita sebagai orang permpuan lebih banyak bertindak mengikut hati daripada fikiran. Kamu ingat senang hidup bercerai berai ni?”
“Kakak lebih rela hidup macam tu mak daripada hidup dengan Iqram,”
“Astaghfirullahalazim,” sekali lagi Indah beristighfar. Dia cuba menenangkan anaknya yang sedang bertindak mengikut emosi itu.
“Kamu tak baik cakap macam tu. Mak tak ajar kamu jadi macam ni. Macam orang tak ada pegangan,”
In terdiam. In sedar yang dia sedang melakukan kesalahan tetapi bagi In, ini ialah jalan terbaik untuknya dan Iqram.
“Mak nak kamu berdua duduk serumah. Kakak isteri Iqram dan Iqram ialah suami kakak. Cuba hadapi kenyataan Insyirah. Mungkin apa yang berlaku sekarang ni ada hikmah. ALLAH nak bagi kamu sesuatu yang kadang-kadang kita sendiri tak tahu. Semua yang berlaku ni ada sebabnya. ALLAH lebih tahu,”
Indah cuba menenangkan In. bagi In, ibunya tidak merasa penderitan yang ditanggungnya. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. In bangun lalu menaiki tangga.
“Kakak, kalau kakak sayangkan mak, kakak dengarlah cakap mak ni. Apa yang mak cakap ni untuk kebaikan kakak juga,” pesan Indah. Dia tahu In pasti tidak bersetuju dengannya. Langkah In terhenti. Dia menangis di situ juga. Kenapa emak tidak mengerti perasaanku? Mengapa aku mesti melakukannya tanpa kerelaan hatiku? Salah aku di dalam hal ini? Hati In tidak henti-henti menanyakan soalan itu. Akhirnya in terus melangkah laju ke bilik. Dia menutup pintu lalu dia menangis di belakang pintu. Hatinya tidak kuat. Lama-kelamaan In terduduk, menangis semahu-mahunya.

No comments:

Post a Comment