Stylo Clique ^_^

Saturday, October 16, 2010

+_BILA TAKDIR ITU BERBICARA_+ (BAB 43-44)


BAB 43

Iqram mengemaskan tali lehernya yang berwarna merah hati itu. Tali leher itu dikenakan dengan kemeja berwarna ungu pekat. Dia pasti In belum keluar dari biliknya kerana tidak kedengaran bunyi pintu dibuka. Kejadian petang semalam sedikit banyak memberikan dia harapan. Dia merasakan takdir menyebelahinya. Iqram tersenyum sendiri pagi itu. Dia melangkah keluar dari biliknya. Memerhatikan bilik In yang masih lagi tertutup rapat. Dia yakin yang hati In akan menerimanya suatu hari nanti. Dia merasakan perkara itu tidak mustahil berlaku semenjak peristiwa semalam berlaku. Perlahan-lahan Iqram mengetuk pintu bilik In.
“In, awak dah siap belum?”
Iqram menanti jawapan daripada In tetapi tiada balasan.
“In, kita pergi kerja sama-sama. Tak kan awak nak suruh orang nyanyi lagu bahasa Cina lalu kat sini,”
Iqram cuba bergurau dengan In tetapi In tetap tidak bersuara.
“In, awak dah siap belum? Kalau awak tak jawab, saya buka pintu ni. Saya masuk,”
Iqram cuba mengugut tetapi tetap tiada sebarang reaksi daripada In. Hati Iqram agak teragak-agak untuk memulas tombol pintu itu tetapi dalam masa yang sama juga dia risau akan In. Iqram cuba mengumpul kekuatan dan akhirnya dia memulas tombol itu. Tidak kelihatan In. Iqram memandang katil, In masih lagi terbaring di situ. Iqram segera menuju ke arah In.
“In,” panggil Iqram.
In masih lagi memejamkan matanya. Iqram duduk di sisi katil. Sekali lagi Iqram memanggil In.
“Insyirah,”
Tiada sebarang reaksi. Muka In kelihatan pucat. Iqram meletakkan tapak tangannya di dahi In. Terasa panas. Iqram merasa leher In pula namun tetap panas. Iqram dapat mengagak yang In demam.
“In. Bangun In,”
Iqram cuba menggerakkan In. Perlahan-lahan mata In terbuka. In kelihatan lemah.
“Awak tak sihat ni. Awak demam. Mesti sebab awak kena hujan semalam,”
In tidak membalas kata-kata Iqram.
“Awak tak payah pergi kerja hari ni. Nanti saya hantar awak pergi klinik,”
In merasakan dirinya terlalu lemah, tidak mampu untuk membalas kata-kata Iqram. Pagi tadi dia bangun untuk menunaikan solat subuh. Ketika itu In merasakan badannya lemah. Setelah selesai menunaikan solat, In kembali rebah.
Iqram melonggarkan tali lehernya yang tadinya tersemat rapi lalu membuka butang di bahagian atas sekali. Dia membuka butang lengan kemejanya lalu dilipat hingga ke siku. Iqram menarik selimut hingga ke dada In. Iqram mengambil telefon bimbitnya lalu cuba menghubungi pejabat Berjaya Holdings. Iqram mengharapkan ada seseorang menjawab panggilannya kerana jam di tangannya menunjukkan pukul 8 pagi. Masih lagi awal untuk pekerja sampai ke pejabat ketika ini.
Panggilannya tidak berjawab. Iqram menekan butang hijau sekali lagi. Beberapa detik kemudian, kedengaran suara seseorang.
“Hello, selamat pagi. Berjaya Holdings,” ucap Ana.
“Hello, Ana. Ni saya Iqram,”
“Ya Encik Iqram. Ada apa-apa yang boleh saya tolong?”
“Hari ni In cuti. Dia sakit. Kalau Encik Taufiq cari saya, awak cakap saya masuk lambat sikit hari ni,” ucap Iqram.
“Cik Insyirah sakit? Mm..baik Encik Iqram. Ada apa-apa lagi?”
“Oh, ya. Kalau bahagian QS minta pasal design structure untuk column and beam, awak boleh minta dengan Encik Safwan. Saya ada bagi dia semalam,”
“Ok, nanti saya uruskan,”
“Terima kasih Ana. Saya ada hal ni,”
“Sama-sama Encik Iqram. Assalammualaikum,”
“Waalaikummussalam,”
Iqram memutuskan panggilan. Pandangannya beralih kepada In. Perasaan risau dan bimbang mula menyelubungi hati Iqram. Iqram keluar, menuju ke biliknya lalu menukar baju. Setelah itu, dia menuju ke dapur. Iqram membuka peti sejuk, mencari ais untuk dituam di dahi In. Iqram mengambil tuala dan semangkuk air yang berisi ais lalu menuju ke bilik In. Iqram meletakkan mangkuk itu di meja sebelah katil. Iqram sekali lagi merasa dahi In. Panas. Iqram mengambil tuala di mangkuk itu lalu diperahnya. Iqram mengusap-usap rambut In ke belakang. Terasa lembut rambut In di jarinya. Iqram meletakkan tuala yang sejuk itu di dahi In. In memberikan reaksi sedikit kurang selesa. In terkejut, tadi perasaannya merasakan panas dan tiba-tiba ada benda sejuk di dahinya. In membuka mata. Iqram dipandangannya. Iqram memberikan senyuman.
“Awak rehat ok. Saya dah telefon office. Saya cakap awak sakit hari ni,”
In hanya mengangguk.
“Saya pergi dapur. Saya buatkan awak porridge. Nanti pukul 9, kita pergi klinik. Badan awak panas sangat. Mesti awak kena hujan semalam,”
In tidak memberikan sebarang reaksi.
“Awak dah tahu kalah dengan air hujan, masih lagi nak berdegil dengan saya semalam. Seboleh-boleh tak nak saya hantarkan awak balik. Nasib baik ada mamat bangla tu lalu,”
In menahan geram.
‘Aku tengah sakit macam ni pun masih lagi nak kenakan aku,’ hati In mengomel sendiri.
In cuba membidas kata-kata Iqram tetapi dia tidak berdaya.
“Awak tak payah cakap apa-apa. Kalau awak nak lepas geram, tunggu awak dah baik nanti ye,” ucap Iqram lalu keluar menuju ke dapur.
Pandangan In tertumpu pada Iqram. Iqram seolah-olah dapat membaca fikirannya, dapat mengagak reaksinya. In cuba memejamkan matanya. Badannya terasa letih.

In hanya memandang cermin tingkap kereta itu, memerhatikan pemandangan di luar. Baju sejuk ataupun sweater menyelimuti tubuhnya yang dingin. Sebentar tadi dia baru sahaja ke klinik. In memandang Iqram sekali imbas. Jauh di sudut hatinya dia berterima kasih kepada Iqram.
“Awak tak cakap dengan saya pun yang awak tak boleh kena hujan,” Iqram cuba memulakan perbualan.
“Saya rasa benda tu tak penting,”
Kedengaran In terbatuk kecil.
“Awak rasa tak penting tapi saya rasa penting,”
In terdiam.
“Nasib baik doktor cakap just demam biasa. Tadi pagi badan awak panas sangat,”
In tiba-tiba tersedar akan sesuatu.
“Macam mana awak tahu badan saya panas?”
“Saya rasa dahi awaklah,”
“Macam mana awak boleh rasa dahi saya?”
“Saya rasa dengan tangan sayalah. Kenapa?” tanya Iqram, pelik.
Sekali-sekala pandangannya beralih kepada In.
“Maknanya awak dah pernah sentuh saya?”
“Sentuh apa? Saya tak usik apa-apa pun,”
“Habis tu tadi?”
“Saya just sentuh dahi awak je. Saya nak rasa badan awak panas ke tak. Kat rumah mana ada termometer,”
In cuba melawan kata-kata Iqram.
“Awak sentuh dahi je?”
Iqram terdiam, tidak dapat menjawab pertanyaan In.
“Kenapa awak diam? Lebih baik awak cakap,”
“Mm..ada. Saya ada sentuh bahagian lain,” suara Iqram tersekat-sekat.
Muka In sedikit terkejut dan dalam masa yang sama memberikan reaksi marah.
“Kat mana?” suara In sedikit meninggi.
“Kat leher awak. Saya nak rasa panas ke tak. Lepas tu kat rambut awak. Saya nak tuam dengan towel tadi. Rambut awak saya usap ke belakang. Tu je. Betul. Tempat lain saya tak sentuh,” Iqram membuat pengakuan.
In merasa lega. Senyuman sedikit terukir. Iqram menyedari perubahan In.
“Awak marah ke? Kenapa awak senyum? Awak ingat saya sentuh apa?”
“Mana ada saya senyum. Perasan. Saya tak ingat apa-apalah,”
“Saya tahu batas saya. Lagipun sekarang kan saya kawan awak,”
In teringat kembali peristiwa petang semalam. Iqram memulakan semula perhubungan mereka dengan persahabatan dan In menerimanya.
“Tapi, dari sudut lain,saya sentuh tadi tak berdosa kan?”
In faham maksud Iqram. Memang, ia tak berdosa kerana Iqram adalah suaminya. In tidak dapat memberikan sebarang jawapan.
“Eh, ni macam nak pergi office je?”
“Saya nak pergi office kejap. Saya nak ambil barang saya and jumpa Encik Taufiq kejap. Then baru kita balik. Awak nanti tunggu tau. Jangan pergi mana-mana. Tak pasal-pasal saya kena cari mamat bangla semalam suruh nyanyi Hindustan depan awak,”
“Awak sengaja nak kenakan saya. Saya ni demam tau tak,”
“Saya tahu. Ok. Saya tak cakap apa-apa lagi. Awak rehat ok,” ucap Iqram lalu kembali menumpukan perhatian ke arah jalan raya.

Iqram melangkah ke Berjaya Holdings. Dia masuk ke pejabatnya. Dia mencari fail mengenai pembinaan dewan di Taman Saujana. Dia perlu memberikan fail itu kepada Taufiq. Iqram mengambil fail berwarna kelabu itu. Dia melihat sekali imbas dokumen itu lalu menutup kembali. Dia menuju ke pejabat Taufiq.
“Sarah, Encik Taufiq ada?” tanya Iqram apabila melewati meja Sarah.
“Ada Encik Iqram,”
“Dia ada cari saya tak?”
“Tak ada pula,”
“Mm..tak apalah. Biar saya sendiri jumpa dia,”
Sarah hanya membalas dengan senyuman. Iqram mengetuk pintu sebanyak tiga kali. Kedengaran suara Taufiq mengarahkan masuk. Iqram membuka pintu, dia masuk lalu menutup kembali pintu itu. Taufiq mendongak.
“Ha, Iqram. Kenapa? Kamu tak kerja ke hari ni?” tanya Taufiq setelah melihat anaknya itu hanya berseluar jeans berwarna biru lusuh dan berbaju kemeja T berwarna hitam.
“Rasanya tak Encik Taufiq. Saya ada hal,” jawab Iqram sambil duduk di hadapan Taufiq.
“Habis tu kenapa kamu datang sini kalau dah tahu cuti hari ni?”
“Ni report pasal projek dewan tu. Saya dah kasi report kat bahagian QS. Saya dah arahkan diorang buat claim. Design structure saya dah siapkan untuk projek baru tu. Saya dah arahkan Safwan kasi Encik Taufiq satu salinan and Encik Taufiq boleh check semula,” terang Iqram.
Taufiq membelek-belek isi kandungan fail itu.
“Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu. Pasal lawatan tapak hari ni, saya dah arahkan technician pergi,” pinta Iqram.
Setelah selesai membelek, Taufiq menutup kembali fail itu lalu diletakkan di atas meja. Dia menanggalkan cermin matanya lalu memandang Iqram.
“Ni soalan dari seorang ayah kepada anaknya,”
Iqram membisu, menanti pertanyaan Taufiq.
“In hari ni cuti sakit, kamu pun cuti juga tapi papa tengok kamu tak sakit. Siapa sebenarnya yang sakit ni Iqram?”
“Soalan papa ni boleh membunuh,”
“Papa tak kan nak soal kalau Iqram tak ada jawapannya. In yang sakit, kenapa kamu pula yang telefon office?” Soalan Taufiq seperti menjerat Iqram.
Iqram menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu.
Tiba-tiba telefon Iqram berbunyi. Tertera nombor In di skrin telefonnya. Iqram memandang Taufiq.
“Telefon tu berbunyi, kenapa kamu tengok papa? Muka papa ni ada macam muka telefon kamu ke?”
“Soalan papa tu Iqram tak boleh jawab. Papa kena tunggu keluaran akan datang lah,”
“Selalunya, orang bercinta je yang gelabah macam ni,”
Iqram hanya tersengih.
“Orang cakap, sabar tu separuh daripada iman. Jadi papa kena tunggulah kalau nak tahu jawapannya. Saya keluar dulu Encik Taufiq,”
Taufiq hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Hari ke hari, dia merasakan perangai anaknya itu semakin pelik. Soalan itu benar-benar bermain di fikiran Taufiq. Insyirah dan Iqram. Taufiq merasakan mereka ada menyembunyikan sesuatu daripadanya. Iqram menuju ke pejabatnya. Dia mengambil komputer riba, beberapa fail dan tiga gulungan pelan lalu menuju ke tempat letak keretanya.

BAB 44

Meja makan penuh dengan fail dan pelan. Iqram memandang komputer ribanya. Dia sedang memasukkan data di dalam perisian itu. Perisian itu membantunya untuk mereka bentuk struktur yang dikehendaki, bersesuaian dengan faktor keselamatan sesuatu bangunan dan kehendak pelanggan. Sejam yang lalu, In baru sahaja terlena. Setelah makan bubur yang di masak Iqram dan makan ubat, In memejamkan mata. Mungkin kesan daripada ubat membuatkan In mengantuk. Iqram menyambung semula kerjanya semalam yang terhenti. Dia merasakan hari ini dia perlu berada di samping In. Iqram memandang semula pelan dan spesifikasi yang diberikan oleh pelanggan Berjaya Holdings kepadanya. Sebagai jurutera, dia perlu memeriksa segala aspek untuk memastikan bangunan yang dibina selamat dan selesa untuk didiami. Iqram menanggalkan cermin matanya yang berbentuk segi empat tepat itu. Iqram menyandarkan tubuhnya ke kerusi lalu mengeliat. Melepaskan lelah seketika. Iqram menggosok-gosok matanya yang penat. Dia membuka mata, pandangannya beralih ke bilik In. Iqram mula melangkah menuju ke bilik In. Dia ingin mengetahui keadaan In. Iqram memerhatikan In dari pintu. Dia memerhatikan wajah itu. Wajah yang pernah muncul di alam mimpinya dan kini berada di hadapannya. Wajah itu yang mengubah hidupnya. Iqram dapat merasakan In seorang gadis yang manja. Dalam keras kepalanya, tersembunyi gadis yang manis, gadis yang mampu menerima pendapatnya. Perlahan-lahan Iqram menuju ke katil lalu duduk di sisi katil. Tangan Iqram mahu menyentuh pipi In, tetapi Iqram membatalkan niatnya. Kerana niatnya itu jugalah, In telah menjadi isterinya pada hari ini. Kerana perbuatannya itu jugalah, In pernah membencinya. Iqram menyentuh dahi In, mahu mengetahui sama ada suhu badan In turun atau tidak.
‘Dah kurang sikit,’ bisik hati Iqram.
Iqram mengambil tuala di dalam mangkuk itu lalu dituam sekali lagi ke dahi In.
“In, saya sayangkan awak,” ucap Iqram.
Tubuh In sedikit bergerak. Iqram merasakan In seperti mendengar apa yang dikatakannya.
“Saya cuma harap, awak bagi peluang pada saya untuk saya betulkan segala-galanya. Saya nak bahagiakan awak,” ucap Iqram sambil tangannya mengusap lembut rambut In. Akhirnya, Iqram terlena di sisi In.

Pandangan In gelap. In cuba membuka matanya. In merasakan dia sudah lama terlena. Badannya terasa sedikit bertenaga berbanding pagi tadi. In menyentuh lehernya, terasa suhu badannya sudah turun. Dia merasakan ada sesuatu di dahinya. In mengambil tuala di dahinya. In merasakan sebelum dia terlena, dia tidak tuam dahinya dengan tuala itu. Dia memandang ke sisi katil. Iqram terlena. Iqram duduk di lantai dan kepalanya berada di katil. In perlahan-lahan bangkit dan duduk bersandar di kepala katil. Dia meletakkan semula tuala ke dalam mangkuk. In memandang wajah Iqram yang sedang terlena itu. Dia tidak pernah melihat Iqram lena seperti itu. Peristiwa malam tempoh hari sebelum dia pergi ke kenduri arwah Zaf bermain difikirannya. Benarkah dia pernah muncul dalam mimpi Iqram? Benarkah lukisan itu adalah wajahnya? Benar atau tidak kata-kata itu diucap oleh Iqram pada malam itu.

“Keikhlasan itu umpama seekor semut hitam di atas batu hitam di malam hari yang amat kelam. Ianya wujud tetapi amat sukar dilihat dan saya pasti dengan perasaan saya,”

Kata-kata Iqram malam itu masih segar di ingatan In. In tidak pernah menyebutkan ayat itu di hadapan Iqram. Yang menjadi persoalan bagi In, bagaimana ayat itu boleh terbit di bibir Iqram. Wajah di dalam lukisan itu, memang wajahnya. Rambut itu, persis rambutnya. In tidak pernah mendedahkan rambutnya kepada Iqram sebelum ini, masakan Iqram tahu. Hati in berbelah bagi untuk mempercayai kata-kata Iqram tempoh hari. Perkara itu seolah-olah cerita dongeng, seperti mustahil untuk berlaku di alam nyata ini. Apabila mengingat kembali peristiwa petang semalam, In seperti mengakui kebenaran kata-kata Iqram. Dia sendiri pasti syarat yang diberikan kepada Iqram semalam sukar untuk berlaku tetapi ia berlaku. In sedar, ALLAH yang menentukan segala-galanya.

“Awak tak rasa ke benda tu mustahil nak berlaku?”
“Saya percaya perkara mustahil tu boleh berlaku,”

Adakah ALLAH memberikan aku sesuatu petunjuk? In mula menyoal dirinya. In cuba memandang lebih dekat wajah Iqram. Iqram memiliki wajah yang tampan. In tidak dapat menafikannya. In merasakan Iqram mengambil berat terhadapnya. Jika tidak, mengapa Iqram sanggup mengambil cuti dan membawa kerja-kerja pejabat ke rumah. Sedikit sebanyak, apa yang telah Iqram katakan pada malam itu, ada mengubah sesuatu di dalam hatinya. Namun, di hati In, In masih tidak mampu untuk melupakan Zaf.

Taufiq baru sahaja selesai makan tengahari bersama pemilik projek bangunan yang dibina oleh syarikatnya. Restoran itu agak penuh kerana waktu itu adalah waktu pejabat makan tengahari. Taufiq memandang sekeliling sebelum keluar. Dia melangkah menuju ke pintu keluar. Iqbal dan Badrul masuk.
“Eh, uncle,” sapa Badrul.
“La. Kamu rupanya,” balas Taufiq. Mereka bersalaman.
Uncle baru siap makan ke?” tanya Iqbal.
“Ha’ah. Makan dengan client,”
“Iqram tak ada?”
“Tak, dia cuti hari ni. Kamu tak tahu ke?”
Iqbal dan Badrul saling berpandangan. Masing-masing mula merasakan sesuatu yang tidak kena.
“Kamu kan satu rumah, tak kan tak tahu?”
Iqbal lantas mencelah.
“Tak tahu pula. Mungkin kitorang dah pergi kerja dulu. Iqram tak sempat cakap apa-apa kot,”
“Entahlah, dia cakap ada hal,”
“Mungkin ada benda yang dia nak settlekan tu. Uncle pun tau Iqram macam mana. Tak suka sangat ceritakan masalahnya pada orang,” sambung Badrul pula.
“Entahlah. TA uncle pula sakit. Cuti juga hari ni,”
“Insyirah pun cuti juga?” tanya Iqbal.
“Iqbal kenal dengan Insyirah ke?”
“Saya kenal pun Iqram yang cerita,”
Iqbal dan Badrul seperti dapat membaca fikiran masing-masing.
“Oh. Uncle pun pelik kenapa Iqram yang beritahu office yang In minta cuti sedangkan In yang sakit. Lepas tu dengan dia sekali cuti,”
“Mungkin In beritahu Iqram,” Iqbal mula curiga dengan Iqram.
Aunty Halimah sihat uncle?” tanya Badrul, cuba mengubah topik.
“Sihat. Cuma macam tulah hubungan dia dengan Iqram. Dah lama Iqram tak balik rumah uncle,”
Iqbal dan Badrul semakin bingung.
“Dia busy uncle. Kadang-kadang kat rumah pun buat kerja,”
Kali ini Badrul pula berbohong.
Taufiq tersenyum.
Uncle balik office dululah,”
“Baru ingat nak belanja uncle makan, tahu-tahu uncle dah makan pula,” gurau Badrul.
“Yelah tu Badrul. Lain kali uncle tuntut dengan kamu. Uncle pergi dulu. Assalammualaikum,”
“Waalaikummussalam,” jawab Iqbal dan Badrul.
Langkah Taufiq diiringi dengan pandangan Iqbal dan Badrul. Setelah Taufiq hilang dari pandangan. Iqbal mula membuka mulut.
“Kau tak pelik ke dengan Iqram?” tanya Iqbal. Jelas air mukanya bingung.
“Tau tak apa. Dia cakap hari tu dia duduk dengan bapak dia kan?”
“Tulah. Hari ni bapak dia pula cakap dia dah lama tak balik rumah,”
“Kau rasa Iqram buat apa? Apa yang dia sembunyikan?” soal Badrul pula.
“Aku tak tahu. Macam ada something happen kat Iqram,”
“Kau rasa ni ada kena mengena dengan In tak?”
“Kenapa kau cakap macam tu pulak?”
“Tadi, uncle Taufiq ada cakap yang In cuti hari ni sebab sakit tapi Iqram yang telefon office, beritahu office yang In cuti hari ni. Macam mana Iqram boleh tahu?”
“Mungkin In beritahu Iqram,”
“Buat apa dia beritahu Iqram? Kenapa dia tak telefon office sendiri? Kenapa dia tak beritahu sendiri yang dia sakit. Lebih baik dia telefon office sendiri kan daripada dia jadikan Iqram orang tengah,”
Iqbal mengangguk-anggukkan kepalanya sebgai tanda dia setuju dengan Badrul.
“Logik juga kau cakap tu,”
“Aku rasa macam ada kena mengena dengan In lah tapi aku tak tahu apa dia,”
“Habis tu nak tanya Iqram?” cadang Iqbal.
“Aku rasa buang masa tanya dia. Nanti mesti dia tak nak beritahu,”
“Habis tu? Kita nak jadi PI?”
“Aku pun tak tahu. Tapi macam misteri je sejak In datang dalam hidup dia,”
“Entah-entah diorang kahwin lari tak?”
Iqbal dan Badrul saling berpandangan.
“Ish, takkanlah,”
“Kita lupakan dulu masalah Iqram tu. Aku dah lapar ni. Lebih baik kita pergi makan dulu. Perut dah penuh, baru boleh fikir,” cadang Badrul.
Iqbal dan Badrul mula mengesyaki Iqram. Berbagai-bagai soalan muncul di benak fikiran mereka dan jawapan bagi segala keraguan mereka hanya ada pada Iqram.

Kedengaran bunyi senduk dan periuk bertemu. Ada seseorang sedang berada di dapur. Bau harum masakan sup hinggap ke deria bau Iqram. Iqram membuka matanya sedikit demi sedikit. Badannya terasa lenguh. Tidak kelihatan In di atas katil. Iqram menggosok-gosok matanya untuk memastikan pandangannya lebih jelas dan memang nyata In tiada di situ. Iqram segera bangun, keluar daripada bilik In. Dia memerhatikan sekeliling. Sekali lagi kedengaran seseorang sedang memasak di dapur. Iqram memerhatikan meja makan yang tadi penuh dengan kerjanya tetapi sekarang ia tersusun rapi. Komputer ribanya tertutup, fail-fail tertutup rapi dan gulungan kertas pelan tergulung kemas. Iqram menuju ke dapur. In sedang memotong sesuatu.
“In,” panggil Iqram.
“Eh, awak dah bangun?” ucap In setelah menoleh ke belakang, ke arah Iqram.
Iqram tersenyum.
“Awak dah sihat ke?”
“Alhamdulillah. Rasa macam dah kurang sikit,”
“Cepat juga awak sihat,”
“Tak juga. Mungkin ubat yang doktor bagi tu serasi dengan saya. Tadi saya tengok awak lena tidur. Macam penat je. Tak sampai hati nak kejutkan,”
“Tak apa, awak tak marahkan saya tertidur kat situ?”
“Kalau saya marah, rasanya tak adil untuk orang yang dah bersusah payah untuk saya. Lagi pun awak tidur kat tepi, bukan kat sebelah saya,”
Air muka Iqram sedikit berubah.
“Awak masak apa?”
Iqram cuba mengubah tajuk perbualan.
“Saya masak sup ayam. Kalau saya atau adik saya demam, mak saya selalu buatkan sup ayam. Biar badan berpeluh, nanti demam kebah,”
Iqram mengangguk.
“Mm..terima kasih sebab kemaskan meja tu,”
“Tak apa. Saya tengok awak macam busy. Kenapa tak pergi kerja je? Kenapa bawa kerja office balik ke rumah?” tanya In.
‘Apa aku nak jawab ni. Nak jawab sebab aku nak jaga dia ke? Tapi macam tak kena. Takut In salah faham lagi. Kan aku cakap yang aku ni kawan dia,’ hati Iqram berkata-kata sendiri.
“Saya tengok awak tak sihat. Mungkin awak perlukan apa-apa,”
Kali ini In pula tersenyum. Iqram berpaling, mahu ke biliknya.
“Iqram,” panggil In.
Iqram menoleh.
“Terima kasih,” ucap In.
Iqram mengerti maksud In. In berterima kasih kerana Iqram telah menghantarnya ke klinik pagi tadi dan menjaganya sehingga Iqram terlena di sisi katil.
“Saya harap dengan sup ayam ni boleh diibaratkan terima kasih saya pada awak,”
Iqram tersenyum.
“Saya tak sangka Insyirah pada hari ni seorang yang sivik,” gurau Iqram.
“Ok, tak apa, hari ni saya tak nak gaduh dengan awak sebab awak dah tolong saya. Tapi, kalau lain kali, jangan harap,”
Iqram tersenyum lebar. Begitulah In, pasti tidak mahu mengalah jika dia menggelarkan In seorang yang tiada sivik.

2 comments:

  1. Ain mcm biase,

    "nasib baik doktor cakap just diam biasa"

    diam ke demam ??

    ReplyDelete
  2. hihihi...
    time kaseh ye...
    jasamu ku kenang...
    ko tgk2 kan la lg...aku mls nk checking typing error ni..

    ReplyDelete