Stylo Clique ^_^

Saturday, October 16, 2010

+_BILA TAKDIR ITU BERBICARA_+ (BAB 47-48)


BAB 47
In memandu keretanya, menuju ke Berjaya Holdings. Kereta yang baru sahaja dibeli minggu lepas. Setelah hampir empat bulan dia bekerja, inilah hasilnya. Terdapat sebab lain yang dia membeli kereta itu. Sebab utamanya ialah, dia tidak mahu Iqram menghantarnya pergi dan balik kerja. Dengan adanya kereta, Iqram tidak lagi mempunyai alasan untuk menghantarnya. Pandangan jalan di hadapan dirasakan sepi. Fikirannya masih lagi melayang akan peristiwa malam tadi. In memandang cermin sisi keretanya. Kelihatan kereta berwarna kuning. In kenal benar dengan kereta itu. Iqram mengekorinya dari belakang. Pagi tadi, In keluar terlebih dahulu daripada Iqram. In membelok ke kanan, meletakkan kereta perodua Myvi miliknya di perkarangan bangunan Berjaya Holdings. Kereta Iqram di sebelah. Iqram mematikan enjin. In merasakan dirinya diperhatikan. Perasaan In tidak menentu semenjak peristiwa malam tadi. In sendiri tidak menyedari yang dia sedang memeluk Iqram semalam. Apa yang In pasti, In benar-benar memerlukan seseorang semalam dan Iqram muncul di sisinya. Iqram menyedari perubahan In. Sejak akhir-akhir ini, In seperti malu bertentang mata dengannya. Iqram keluar lalu mengunci keretanya. Iqram menuju ke tempat letak kereta In. In sengaja membiarkan Iqram keluar terlebih dahulu daripadanya. Sangkaan In meleset. Iqram menuju ke arahnya. Iqram mengetuk cermin kereta. In menoleh. Iqram tersenyum lalu membuka pintu kereta.
“Awak tak nak saing-saing naik dengan saya ke?”
“Tak apalah, awak naik dulu,”
“Kenapa awak tak nak naik saing-saing saya?”
“Saya nak ambil barang dulu sebelum naik,”
“Saya tunggu,”
“Eh, tak apalah. Awak naik je dulu,”
Pandangan Iqram tepat ke mata In. In merasakan Iqram seperti menguji perasaannya.
“Ke awak segan dengan saya pasal malam tadi?”
Muka In menjadi merah padam. Air mukanya berubah tetapi cuba dibendung.
“Mana ada. Kenapa saya nak segan pulak?” In cuba berdalih.
“Orang cakap, orang yang bohong diri sendiri, mulut tak nak mengaku tapi mata awak tak dapat tipu saya. Mata awak dah sampaikan apa yang ada kat dalam hati awak Cik Insyirah,”
Iqram cuba berkias dengan In.
In cuba menatap wajah Iqram.
“Saya tak sengaja pasal semalam tu,”
“Apa yang awak buat sampai tak sengaja tu?”
“Awak ni mengada-ngada. Awak jangan nak salah faham pulak. Perasan,”
“Saya tak perasan tapi saya ada perasaan kat awak,”
In membiarkan Iqram. Malas mahu bertekak, pasti Iqram yang menang dalam situasi sekarang ini.
“Kenapa awak diam?”
“Saya minta maaf pasal semalam,”
“Kalau saya tak nak maafkan?”
“Teruknya. Tak berhati perut,”
“Saya tak berhati perut? Macam mana awak tahu? Awak pernah nampak hati dengan perut saya ke?”
“Awak ni memang sengaja nak cari pasal dengan saya kan?”
“Pernah dengar tak, setiap kesalahan mesti ada hukuman,”
In mengeluh panjang.
“Awak nak suruh saya buat apa?”
Iqram tidak bersuara. Iqram tunduk, menghampiri In yang masih lagi duduk di dalam kereta. Perlahan-lahan wajah Iqram menghampiri wajah In. In terpaku. In merasakan yang dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Iqram merenung anak mata In. Pandangan mereka bertaut. Hati In berdegup kencang. In seperti kalah ketika itu.
“Saya nak minta tolong awak ajarkan saya mengaji,”
In terkejut. Air mukanya berubah.
“Ha?”
Iqram tersenyum.
“Saya dah lupa. Awak tolong ajarkan saya ya?”
“Itu ke hukumannya?”
Iqram memberikan senyuman kepada In lalu mengerdipkan matanya menandakan ya.
“Mm..ok. Saya ingat apa tadi,”
In menjangkakan Iqram menyuruhnya membuat sesuatu yang diluar jangkaannya semasa Iqram tunduk merapatinya sebentar tadi.
“Awak ingat apa?”
“Mana ada saya ingat apa-apa,”
“Awak ingat saya nak cium awak ke?”
Wajah In menjadi merah padam. Iqram seperti dapat membaca fikirannya. Seringkali Iqram dapat mengagak apa yang berada di fikirannya.
“Ke awak ingat saya nak suruh awak cium saya tadi?”
“Awak ni memang selalu perasan kan? Saya tak cakap macam tu pun,”
“Macam saya cakap tadi. Mata awak dah cakap dulu daripada bibir awak Insyirah,”
ucap Iqram lalu melangkah masuk ke Berjaya Holdings. Iqram sempat berpaling ke belakang, memberikan senyuman kepada In. In merasakan senyuman Iqram sejak akhir-akhir ini seringkali menggugat perasaannya.

Mata In menjadi perit setelah lama memandang skrin komputer. In menggosok perlahan matanya. In menyandarkan kepalanya ke kerusi. Matanya beralih daripada memandang komputer dan pandangannya teralih kepada pejabat Iqram yang kosong. In merasa hairan. Sebelum ini Iqram berada di dalam biliknya tetapi kini tiada. Pasti Iqram telah keluar. Fikiran In tia-tiba teringat peristiwa pagi tadi dan akhirnya dia tersenyum sendiri. In sendiri tidak menyangka yang dia akan memeluk Iqram semalam. Benarkah apa yang dirasakannya sekarang? In seperti dapat menerima kehadiran Iqram di dalam hidupnya. In memandag jam di tangannya. Kasih sayangnya terhadap pemilik jam itu masih lagi menebal. In mengambil sehelai kertas kecil lalu menulis sesuatu. In bangun lalu menuju ke pejabat Iqram. Meja Iqram berselerak. In dapat mengagak iqram tidak sempat untuk mengemas. In meletakkan kertas kecil itu di atas komputer riba milik Iqram.

In berada di dalam kereta. Jam di keretanya menunjukkan pukul 5.38 petang. In mengetuk-ngetuk stereng dengan menggunakan jarinya mengikut alunan rentak muzik di radio. In terlihat Iqram baru sahaja keluar dari bangunan Berjaya Holdings. Iqram menuju ke arahnya.
“Saya dapat perutusan yang mengatakan saya kena jumpa awak,”
In memberikan reaksi tidak puas hati.
“Kenapa muka awak macam marah?” tanya Iqram, selamba.
“Nak kata awak ni tak pergi sekolah tapi belajar sampai jadi engineer,”
“Bahasa apa pulak yang awak nak pakai untuk kenakan saya petang ni?” tanya Iqram lagi. Setelah dia selesai berjumpa dengan pelanggannya petang tadi, Iqram menerima nota daripada In yang terletak di atas komputer ribanya. Iqram dapat mengagak nota itu daripada In. Nota itu tertulis,

Buah cempedak di luar pagar,
Buahnya banyak disemai baja,
Kalau awak budak baru belajar,
Jumpa tok guru lepas habis kerja.

“Orang cakap, kalau nak menuntut ilmu, biar kita tunggu tok gurunya tapi awak ni dah terbalik. Saya yang kena tunggu awak,”
Sorry lah. Tadi ada kerja sikit. Apa yang saya kena buat tok guru?”
“Jom, ikut saya,”
“Pergi mana?”
“Awak ikut jelah,”
“Yelah. Tapi saya nak tahu ke mana arah tujunya,”
“Peraturan pertama dalam menuntut ilmu, kena ikut apa sahaja arahan tok guru. Peraturan kedua, tak boleh lawan cakap tok guru. Jadi, awak kena ikutlah peraturan ni,”
“Kalau saya lawan cakap tok guru?” tanya Iqram.
“Awak kena rujuk peraturan pertama,” balas In. Kali ini, kemenangan di pihak In. In tersenyum puas. Iqram menagalah namun sempat tersenyum lalu menuju ke keretanya.

“Kenapa kita nak pergi sini pulak?” tanya Iqram.
Mereka berdua kini berada di hadapan sebuah kedai buku.
“Awak ni kan, banyak sangat tanya,”
“Ayah saya cakap, kalau malu bertanya, sesat jalan,”
“Awak cakap nak belajar mengaji. So, kena mula dari bawah lah,”
“Mula dari bawah?”
“Jom, ikut saya. Saya nak awak beli sesuatu,”
In sudah melangkah ke dalam. Iqram masih lagi terpinga-pinga. In menoleh. Kelihatan Iqram masih lagi tercegat di situ.
“Awak dah lupa peraturan pertama?” tanya In.
Iqram tersengih lalu melangkah masuk. In menuju ke bahagian agama. In mencari buku itu.
“Awak cari apa?”
“Cara cepat untuk pandai baca Al-Quran,”
“Mm? Ada ke buku tajuk tu?”
“Ada tak ada, saya pernah baca,”
Iqram turut mencari.
“Awak cakap awak dah lupa. Betul ke?”
“Saya dah lama tak baca. Entahlah. Saya rasa saya macam dah jauh dengan DIA. Mungkin awak ajar, saya boleh ingat balik,”
In hanya tersenyum.
“Suara awak sedap bila mengaji,”
In memandang Iqram. Iqram tepat ke matanya. In mengalihkan pandangannya ke rak buku sebelah. In tidak mampu bertentang mata dengan Iqram. Dia dapat merasakan pandangan Iqram menusuk ke hatinya.
“Mm..saya nak cari kat rak sebelah,” ucap In, segera beralih ke sebelah.
Setelah seminit mencari, akhirnya apa yang dicari ditemui.
“Awak,” panggil In sambil melambai kepada Iqram.
Iqram berjalan ke arah In. In menghulurkan enam buah buku kepada Iqram. Iqram menyambutnya. Iqram membaca tulisan yang tertera di dada kulit buku itu.
“IQRA’. Satu hingga enam?”
In menganggukkan kepala.
“Ni macam budak-budak baru nak belajar je,”
“Awak lupa nota yang saya tulis tadi?”
Fikiran Iqram ligat berputar mengingat kembali nota yang diberi In.

Kalau awak budak baru belajar,
Jumpa tok guru lepas habis kerja.

Iqram menggaru-garu kepalanya.
“Ini lah buku cara cepat membaca Al-Quran,”
“Tapi….”
“Jangan lupa peraturan pertama,”
“Saya tak lupa,”
“Kalau tak lupa, awak pergi bayar,”
“Saya nak kena pergi bayar?”
“Mestilah, awak yang nak belajar kan?”
“Tapi, segan lah. Mesti cashier tu pandang saya semacam,”
“Kalau nak belajar, jangan ada rasa malu. Kalau ada rasa malu, awak yang rugi. Lagipun, awak belum terlambat lagi,”
“Baik tok guru,”
In tersenyum.
Baru sahaja dua tiga langkah, Iqram mula berpaling semula ke arah In.
“Kenapa?” tanya In.
“Saya ada satu lagi permintaan,”
“Saya buat satu kesalahan tapi kenapa saya diberi dua hukuman?”
“Mm..ni bukan hukuman tapi budi bicara dari awak,”
“Apa dia?”
“Malam ni saya rasa macam nak makan masakan awak lagi lah. Awak masak hari tu sedap,”
Pandangan Iqram ke mata In seperti mengharapkan In setuju. In menatap wajah itu. Kadang-kala In merasakan Iqram seperti anak kecil. In mengangguk perlahan, menandakan yang dia setuju.
“Lepas ni kita pergi supermarket, kita beli barang,” ucap Iqram sambil berundur ke belakang perlahan-lahan, dia tidak mahu melepaskan pandangannya daripada In. In tersenyum dan Iqram membalas senyuman itu sambil mengerdipkan mata kanannya kepada In. In menunjukkan ke arah belakang Iqram. Iqram hampir melanggar seorang lelaki yang sedang beratur untuk membayar buku yang berada di tangannya. Kelihatan Iqram meminta maaf kepada lelaki itu. In hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat telatah Iqram. Semakin hari, In merasakan Iqram bukanlah seperti mana yang disangka atau mungkin perasaannya yang sebenarnya sudah berubah?



BAB 48

Iqram menyuapkan nasi ke dalam mulut.
“Eh, dah baca doa belum?” tanya In.
Iqram berhenti mengunyah apabila soalan itu diajukan oleh In.
“Saya baca dalam hati,” tipu Iqram.
“Mana ada orang baca doa dalam hati. Tadah tangan dulu, baca doa,”
Iqram hanya menuruti seperti anak kecil dimarahi emaknya.
Iqram membaca doa makan dan In turut menadah tangan. Setelah selesai membaca, In bersuara.
“Ha, baru boleh makan,”
“Betul dah boleh makan?”
“Yelah. Awak tak nak makan sudah. Saya makan sorang-sorang,”
Iqram tersengih.
Iqram menyuap semula nasi. Iqram mengunyah nasi dan lauk kegemarannya itu, asam pedas ikan pari dan bendi lalu menelannya.
“Awak masak sedap,” puji Iqram.
“Sedap? Terima kasih,”
“Pandai awak masak,”
“Mak saya ajar,”
Iqram menyambung makan semula. Seleranya terbuka.
“Awak jangan lupa,” kata Iqram.
“Lupa apa?”
“Saya suka lauk ni. Lauk favourite saya,”
Tiba-tiba In teringat akan peristiwa dahulu sewaktu mereka makan tengahari di restoran yang sama. In dan Iqram mengambil lauk yang sama sehingga menjadi bahan gurauan staf Berjaya Holdings. Pada hari itu mereka memakai baju warna yang sama di tambah lagi makan juga lauk yang sama.
In hanya tersenyum.
“Saya tiba-tiba teringat arwah mama saya,”
In memandang Iqram. In baru teringat yang dia tidak pernah mengetahui latar belakang keluarga Iqram.
“Kenapa dengan arwah mama awak?”
“Dalam seminggu mesti satu hari dia akan masak lauk ni. Dia tahu saya suka sangat lauk ni,”
“Mesti mama awak masak sedap kan?”
“Sedap sangat. Macam awak masak juga,”
“Mana boleh samakan masakan saya dan masakan mama awak. Biasanya, air tangan seorang mak tu memang sedap”
Iqram tersenyum. Iqram menghabiskan kunyahan sebelum bercakap.
“Mak saya cakap bagi seorang lelaki, ada dua orang chef terhebat dalam hidup dia,”
“Mm..siapa? Mm..biar saya teka. Yang pertama mesti masakan mak. Betul tak?”
Iqram menganggukkan kepala.
“Dan yang kedua siapa pulak?” tanya In.
Iqram menatap mata In. Bibirnya mengukir senyuman.
“Masakan seorang isteri,”
Perasaan tiba-tiba menjadi tidak menentu ketika itu. Jantungnya berdegup kencang.
“Selama mama saya dah meninggal, saya belum jumpa lagi chef yang terhebat dalam hidup saya. Dan hari ni saya rasa, saya dah jumpa,”
In tertunduk malu. Dia dapat merasakan yang pipinya merah. Dia terharu dengan kata-kata Iqram. Iqram perasan akan perubahan In.
“Kenapa?”
“Kenapa apa?”
“Muka awak macam merah je,”
“Mana ada. Asam pedas ni pedas. Tu yang muka merah, nak tahan pedas,” In cuba berdalih.
Iqram menyambung makannya semula. Baru empat lima suap, Iqram mahu memberitahu sesuatu kepada In tetapi niatnya dikeepikan dahulu. Dia mahu memberitahu In selepas makan.

“Biar saya tolong awak basuh pinggan. Kesian awak, mesti penat. Tadi ajar saya mengaji, lepas tu masak, sekarang nak basuh pinggan,”
“Eh, tak adalah penat pun. Tadi awak ada tolong saya juga,”
“Tak apalah saya tolong awak. Awak cuci pinggan dengan sabun, saya bilas,”
Iqram mula mengambil tempat di bahagian sinki. In memberi ruang kepada Iqram. Mereka kini berdiri bersebelahan.
In tersenyum.
“Kenapa senyum?”
“Mana ada saya senyum,”
“Awak ni tak pandai bohong. Mengaku jelah,”
“Kenapa saya nak mengaku? Saya tak buat apa pun,”
“Awak tak buat apa-apa tapi hati awak ada buat sesuatu,”
“Hati saya buat sesuatu?”
Iqram membilas pinggan yang berada di dalam sinki.
“Hati awak cakap yang saya ni lelaki yang baik, rajin. Susah nak cari lelaki macam saya ni. Betul tak?”
“Awak ni memang kuat perasan,”
“Saya tak perasan tapi saya ada perasaan,”
“Awak syok sendiri je tu,”
Iqram cuba memberi jelingan kepada In tetapi In berpura-pura tidak nampak.
Tangan Iqram ligat membilas pinggan mankuk yang bersabun itu dan secara tidak sengaja, air sinki terpercik ke baju In. Baju In basah di bahagian bawah.
“Awak, tengok ni. Baju saya dah basah,”
Sorry. Saya tak sengaja,”
“Awak sengaja kan?”
“Tak, saya tak sengaja. Mana saya perasan tadi,”
In membiarkan tangannya yang bersabun ke baju Iqram.
“Awak, baju saya bersabun. Dahlah sabun basuh pinggan. Dah bekas sisa makanan, awak letak kat baju saya?”
“Itu hukuman atas kesalahan awak. Awak lupa ke yang setiap kesalahan ada hukuman?” selamba In melontarkan kata-kata itu.
Iqram membalas dengan memercikkan lagi air. Tapi kali ini ke muka In.
“Awak,” jerit In.
Iqram melakukannya berulang kali.
In turut membalasnya.
“Oh, awak balas dendam ye,” Iqram mengambil buih sabun lalu di sapu ke muka In.
“Iqram,” jerit In.
In tidak berpuas hati. In ingin melakukan perkara yang sama kepada Iqram tetapi Iqram sudah mengelak.
“Mana boleh elak. Tak adil,”
“Nasib lah,” In mengejar Iqram.
Habis satu dapur dikelilingi. Iqram tiba-tiba berhenti di hadapan sinki dan In tidak sengaja telah melanggar Iqram. In hampir jatuh, namun Iqram sempat menyambut In. Pandangan mereka bertemu. In terkesima memandang wajah Iqram. In memandang setiap inci wajah Iqram. Wajah itu membuatkan perasaannya bergetar. In merasakan wajah Iqram cukup manis di hatinya ketika itu. In seolah-oah baru menyedari wajah itu mempunyai tarikan tersendiri. Iqram merapatkan wajahnya ke In. Mata Iqram memandang mata In kemudian turun ke hidung dan akhirnya ke bibir. In memejamkan matanya. Takut dengan tindakan Iqram seterusnya. Dia merasakan jari Iqram menyentuh bibirnya. In perlahan-lahan membuka mata.
“Kenapa awak tutup mata?”
In tidak dapat membalas pertanyaan Iqram.
“Bibir awak ada buih sabun. Kalau awak tertelan macam mana?”
Iqram membasuh tangannya. Dia membasahkan tangannya lalu mengambil kain lap. Iqram mengelap bibir In dan seluruh muka In.
“Awak ni,macam budak kecil,” kata Iqram.
“Awak cakap apa?”
“Awak ni pekak eh?”
“Jahatnya mulut. Tak ada sivik eh?”
“Saya tak ada sivik? Yang awak tadi kenapa tiba-tiba pejam mata?”
Wajah In berubah. Dia menyambung semula kerjanya.
“Awak ingat saya nak cium awak eh?”
“Mana ada,”
Iqram tersenyum, sengaja dia mahu menduga perasaan In.
“Saya kena ikut Encik Taufiq pergi Pahang esok,” ucap Iqram, mengubah tajuk.
“Pergi Pahang? Buat apa?”
“Saya tak pasti lagi. Masih peringkat awal. Ada pusat peranginan kat sana berminat dengan hasil kerja Berjaya Holdings. Encik Taufiq cakap, mungkin mereka nak suruh Berjaya Holdings buat projek menaik taraf. That why saya dan Encik Taufiq kena ke Pahang esok,”
Tiba-tiba hati In menjadi rindu.
“Insyirah, awak dengar tak apa yang saya cakap ni?”
“Saya dengar. Awak pergi berapa hari?”
“Mungkin dalam dua tiga hari. Kenapa? Awak nak ikut?”
“Saya tanya je,”
“Mm..saya rasa soalan awak tu macam bagi jawapan pada saya,”
In memberikan reaksi tidak mengerti.
“Dari suara dan pandangan mata awak terhadap saya semasa awak tanya soalan tu tadi, saya dapat rasa yang awak akan rindukan saya,”
Iqram cuba bermain dengan kata-kata. In tidak membalas kata-kata In. adakah benar apa yang dikatakan Iqram? Dia sendiri masih lagi tidak pasti dengan perasaannya. Dia masih lagi keliru tetapi apa yang dikatakan Iqram sebentar tadi, In tidak mampu untuk menafikannya. Semakin hari, In semakin selesa dengan kehadiran Iqram. Iqram seperti perlahan-lahan hadir ke dalam hatinya. Sedikit sebanyak pandangan dan perasaan In terhadap Iqram semakin berubah, tidak lagi seperti dulu.

No comments:

Post a Comment