Stylo Clique ^_^

Friday, October 8, 2010

+_BILA TAKDIR ITU BERBICARA_+ (BAB 35-36)


BAB 35

In telah sampai awal di pejabat. Dia sedang meneliti kertas bersaiz A3 itu. Di kertas itu terdapat lukisan yang telah siap direkabentuk dengan bentuk yang baru daripada yang asal. Lukisan itu ialah pelan bahagian bumbung projek gerai di Taman Indah. Pagi-pagi lagi dia melihat fail semalam yang dia serahkan kepada Nadia berada di atas meja beserta nota kecil melekat di permukaan fail. Nota itu daripada Iqram. In dapat mengagak Iqram pulang lewat semalam. Dia melihat ada perubahan rekabentuk terhadap rasuk bumbung. Itu bermakna, pindaan semalam yang disiapkannya perlu diubah. Tangan kanan In memegang pensel.
“Tok..tok..tok,”
Kedengaran pintu diketuk sebanyak tiga kali.
In mengangkat kepalanya. Iqram dipandangannya. Iqram mengenakan seluar hitam, berkemeja warna biru gelap manakala tali lehernya berwarna biru langit. Iqram nampak segak pagi itu dengan warna kegemaran In. Pagi itu, In mengakui Iqram ada tarikan tersendiri. Iqram berwajah gelap tetapi ada manisnya. Hidungnya sedikit mancung, ada sedikit persis Taufik Batisah, penyanyi Singapura itu. Tetapi itu semua belum cukup untuk menggugat perasaannya.
“Saya dah dapat note awak. So tak payah terangkan apa-apa lagi,” ujar In sebaik saja Iqram masuk ke pejabatnya.
Iqram tersenyum.
“Mesti semalam awak balik lambat kan?” tanya In.
“Habis tu, saya dah tidur kat office. Saya kenalah bayar balik,”
In hanya tersenyum sinis.
“Ada apa-apa lagi ke?”
“Encik Taufiq nak jumpa. Dia nak buat meeting sekejap. Dia nak tanya pasal pindaan yang saya dah buat. Siapa yang terlibat dengan projek tu, Encik Taufiq nak jumpa,”
“Pukul berapa?”
“Pukul 9.30,”
“Terima kasih,”
“Sama-sama,”
In terus menyambung kerjanya. Iqram masih lagi di situ.in memandang Iqram.
“Encik Iqram, pejabat awak kat sebelah. Awak dah salah pejabat. Kat sini pejabat saya,” sengaja In berkata begitu kepada Iqram.
Iqram melangkah ke pintu. Iqram kemudian menoleh. Iqram tersenyum.
“Saya rasa kita berdua memang ada jodoh. Tak sangka kita sedondon hari ini,” ucap Iqram lalu keluar, masuk ke pejabatnya.
Iqram duduk di kerusinya, dia segera memandang In, mahu melihat reaksi In. Iqram sendiri tidak menyangka yang dia dan In memakai baju warna sedondon.
In terkejut dengan kata-kata Iqram. In memandang pakaiannya, seluar slack jeans berwarna putih, kemeja berwarna biru gelap dan selendangnya bercorak bunga berwarna biru cerah. In terkejut, dia sendiri tidak perasan sehingga Iqram memberitahunya. Mahu saja In pulang, menukar pakaian. In tidak selesa. Kerjanya tadi terus terhenti. In memandang Iqram. Iqram tersenyum sambil mengangkat keningnya. Iqram sendiri tidak merancang untuk memakai kemeja itu tetapi pagi itu hatinya tergerak untuk mengenakan kemeja itu di tubuhnya.
“Iqram, Iqram. Kau dengan dia memang ditakdirkan bersama,” Iqram mengomel sendiri. Hatinya gembira. Dia dapat merasakan jiwanya dan In mempunyai keserasian. Sedikit sebanyak, peristiwa semalam mula perlahan-lahan hilang di fikiran Iqram. Senyuman sentiasa terukir di bibir Iqram pada pagi itu.

Keadaan bilik mesyuarat kembali terang setelah masing-masing selesai membentangkan laporan.
“Baiklah. Saya setuju dengan pindaan yang Iqram buat. Ini bermakna, apabila ada pindaan pada rekabentuk, kos kita akan berubah. Insyirah, nanti awak siapkan pindaan kerja tu berdasarkan design yang baru ni. Then, awak kasi semua butiran kerja tu pada bahagian QS. Nanti senang kita buat claim,”
“Baik Encik Taufiq,” balas In lalu mencatatkan sesuatu di atas kertas.
Taufiq mengangguk.
“Iqram, jangan lupa confirm betul-betul dengan client,”
“Saya akan confirm kan nanti,”
“Safwan, awak jangan lupa design semula roof plan. Nanti awak boleh bincang dengan Iqram pasal design baru dipinda ni,”
“Baik Encik Taufiq, saya akan uruskan,”
“Bila semua dah siap, boleh letak atas meja saya, untuk saya sahkan,”
Masing-masing memberikan reaksi yang mereka faham akan arahan majikan mereka.
“Saya rasa tak ada apa-apa lagi. Boleh bersurai,”
Pekerja-pekerja yang terlibat dalam mesyuarat beransur keluar. In sedang mengemas segala kertas yang berada di mejanya itu lalu di masukkan ke dalam fail. Kini, hanya In, Iqram dan Taufiq berada di dalam bilik mesyuarat itu.
“Kamu berdua ni dah berjanji ke?” tanya Taufiq.
Iqram tersenyum. Ayahnya juga turut perasan. In dapat mengagak, pasti akan ada yang menegur mengenai pakaiannya dan Iqram
“Berjanji apa Encik Taufiq?” tanya Iqram, berpura-pura tidak mengetahui maksud Taufiq.
“Baju kamu berdua ni sama warna. Dah berjanji ke?”
“Tak adalah Encik Taufiq,” In menafikan kenyataan Taufiq.
“Ye ke? Saya tak sangka pulak kamu berdua boleh pakai baju warna yang sama hari ni. Takkan kamu tak berjanji?” duga Taufiq sambil memandang Iqram yang sedang tersenyum.
“Saya sebenarnya tadi nak pakai baju warna hijau, tapi baju ni dah bergosok, saya pakailah baju ni,” In cuba memberi alasan, dia tidak mahu dikaitkan dengan Iqram.
“Samalah dengan saya Encik Taufiq. Saya tak ada niat pun nak pakai baju warna ni,”
Iqram sengaja memberi alasan yang sama seperti In.
“Saya perhatikan kamu berdua ni ada keserasian lah. Macam ada jodoh je. Kamu tak rasa macam tu ke In?”
In merasakan Taufiq turut berkomplot dengan Iqram. Tapi dia pasti yang Taufiq tidak tahu mengenai hubungannya dengan Iqram.
“Tak adalah Encik Taufiq. Kebetulan je,”
“Kebetulan eh?”
“Kalau baju saya sama warna dengan Encik Taufiq sekalipun Encik Taufiq rasa kita ada jodoh ke?” gurau In.
“Mm..betul juga. Mungkin,” Taufiq melayan gurauan In.
In tersenyum mendengar gurauan Taufiq.
“Saya keluar dulu,” In meminta diri untuk keluar.
“Yalah,” Taufiq turut tergelak kecil.
In hilang dari pandangannya.
“Ehem..ehem,”
Iqram berdehem kecil.
“Encik Taufiq pun berkenan dengan Insyirah?”
Taufiq memandang mata Iqram.
“Kamu cakap apa tadi?”
“Encik Taufiq pun berkenan dengan Insyirah?”
“Encik Taufiq pun berkenan dengan Cik Insyirah? Kenapa kamu gunakan perkataan pun dalam ayat kamu tu?”
“Papa, sejak bila papa jadi guru tatabahasa ni?”
“Tak ada, papa pelik je. Kenapa gunakan pun? Maksud ayat kamu tu macam ada orang lain pun berkenankan Insyirah tu,” ujar Taufiq, cuba memerangkap perasaan anaknya itu.
Iqram hanya menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu sebagai jawapan kepada soalan Taufiq.
“Kenapa tak jawab? Kalau tak ada orang lain yang berkenan kat Insyirah tu, Encik Taufiq berkenan,” gurau Taufiq.
Iqram memandang tepat ke mata ayahnya.
‘Biar betul orang tua ni, berkenan kat isteri aku,’ tanya hati Iqram.
“Betul Encik Taufiq berkenan dengan Insyirah?”
Sekali lagi dia menduga ayahnya itu.
Taufiq hanya tersenyum melihat reaksi anaknya.
Aunty Halimah kamu kirim salam,” ucap Taufiq menyampaikan salam isterinya.
Iqram tidak memberikan reaksi apa-apa. Dia hanya menjawab salam ibu tirinya itu.
“Waalaikummussalam. Saya keluar dulu Encik Taufiq,” pinta Iqram.
Iqram keluar.
“Iqram,” panggil Taufiq
Iqram menoleh.
“Kamu memang berjanji dengan In ke?”
Iqram hanya mengangkat keningnya lalu tersenyum. Taufiq hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Taufiq tahu Iqram mempunyai perasaan terhadap Insyirah. Senyuman Taufiq terus terukir. Dia gembira jika In adalah pilihan Iqram.

BAB 36

In sedang makan tengahari bersama Nadia dan Ana. Ramai pekerja Berjaya Holdings gemar ke restoran itu. Makanan di situ boleh dikatakan enak dan harganya berpatutan, tambahan lagi hanya berhadapan dengan bangunan Berjaya Holdings. In mengambil lauk asam pedas ikan pari dan sayur campur bersama jus oren. Nadia dan Ana duduk berhadapan dengan pintu masuk retoran manakala In di hadapan mereka.
“Hari ni panas kan?” tanya Nadia lalu menghirup air sirap bandung.
“Yalah. Terasa bahang. Nasib baik kita duduk kat kipas angin ni,” kata Ana pula.
“Panas, panas lepas tu minum ais, hilang dahaga,” sambung In.
Mereka sama-sama menjamu selera. Iqram dan Safwan melangkah masuk ke restoran. Nadia dan Ana terpandang Iqram.
“Saya lupa nak tanya. In dengan Iqram memang dah berjanji nak pakai baju warna sama eh? tanya Ana kerana terpandang kemeja Iqram.
“Kenapa tanya pasal dia pulak?” In tidak selesa apabila Ana menanyakan soalan itu.
“Dia baru masuk kat dalam restoran ni,” Kata Nadia, menjawab soalan In.
In menoleh. Iqram sedang memandangnya. Iqram melemparkan senyuman. In memandang Ana dan Nadia semula, langsung tidak membalas senyuman Iqram.
“Saya pun perasan juga. In dengan Mr.Pelik pakai baju warna sama. Dah selalu bersama, jiwa pun sama,” gurau Nadia.
“Mana ada. Kalau saya tahu dia pun pakai baju warna biru jugak, saya tak pakai baju ni. Saya pakai baju lain,”
“Itu kalau In tahu, sekarang In tak tahu. Saya rasa In dengan Mr.Pelik tu ada chemistry la,” kata Ana.
“Saya tak suka lah,”
“Tapi saya rasa Mr. Pelik tu suka,” ujar Ana.
“Kenapa pula?” tanya In.
“Sebab Mr.Pelik tu nak datang kat meja kita,” jawab Ana.
In menahan geram. In terus menyuapkan nasi ke dalam mulut.
‘Aku tengah nak makan pun nak ganggu juga ke?’ tanya hati In.
Iqram dan Safwan duduk di meja sebelah yang kebetulan kosong.
“Encik Iqram pun makan lauk asam pedas ikan pari ke?” tegur Nadia.
“Ha’ah. Kenapa?”
“Cik Insyirah pun makan lauk yang sama juga,”
In tersedak. Iqram tersenyum.
“In, kenapa?”
In segera meneguk jus orennya.
“Encik Iqram, saya ingat Encik Iqram dengan Cik Insyirah pakai baju sama je hari ni. Makan nasi pun lauk yang sama juga?” tegur Safwan yang turut berkomplot dengan Nadia dan Ana.
“Saya memang suka lauk asam pedas ikan pari ni,” ucap Iqram sambil menjeling ke arah In yang sedang leka menyuap nasi ke dalam mulut.
“Macam dah berjanji pula,” sambung Nadia pula.
In tidak memberikan sebarang reaksi.
‘Kenapa ni? Hari ni semua nak cakap aku dengan Iqram berjanji, ada jodoh, ada chemistry, sehati sejiwa. Bosannya. Kenapa nak mesti kaitkan aku dengan dia. Dahlah hidup aku terikat dengan dia. Benci. Benci. Benci,’ hati In terus menjerit. Marah dengan Iqram.

Iqram mengerak-gerakkan kepalanya ke kiri dan kanan. Pelan bangunan di hadapannya dipandang sepi. Genggaman pensel di tangan kirinya dilepaskan. Matanya letih setelah melihat pelan itu hampir sejam. Dia menanggalkan semula cermin matanya. Cermin mata itu akan dipakai semasa Iqram perlu membaca atau melukis mengenai perkara yang berkaitan. Rabunnya tidaklah terlalu ketara. Iqram mengambil fail keras berwarna kelabu lalu menyandarkan badannya. Dia memerhatikan beberapa helai lalu meletakkan semula fail itu ke atas meja. Fikirannya terasa letih. Iqram mengalihkan pandangannya ke sebelah. Matanya tidak jemu memandang wajah itu. Iqram tersenyum sendiri. In sedang menulis sesuatu di atas kertas. Kemudian beralih semula ke komputer. Beberapa hari lepas, rakan Iqram dari syarikat hartanah menghubunginya. Urusan jual beli kondominium hampir selesai. Kemungkinan bulan hadapan dia dan In sudah boleh menduduki rumah itu. Iqram keluar dari pejabatnya. Dia masuk ke dalam pejabat In.
“Awak ni, memang betul-betul tak ada sivik,” sindir In.
Iqram tersenyum lalu duduk di hadapan In.
“Tengah buat apa?”
“Awak nampak saya buat apa kan?”
Iqram hanya mengangguk-anggukan kepalanya.
“Kita kena bincang,”
“Awak kalau jumpa muka saya tak habis-habis nak bincang. Apa lagi yang nak dibincangkan?”
“Pasal rumah kita,”
“Saya tak ada beli rumah dengan awak,”
“Rumah yang akan kita duduki bersama,”
“Siapa nak duduk dengan awak?”
“Awaklah yang akan duduk dengan saya,”
“Siapa kata saya nak duduk dengan awak?”
“Tapi, kita kena duduk serumah,”
“Kan awak cakap lebih baik kita buat macam biasa. Kita duduk serumah bukan perkara biasa Encik Iqram,”
“Tapi duduk serumah adalah perkara biasa bagi suami isteri,”
In hanya membisu. Dia muak mendengar perkataan itu.
“Awak isteri saya,”
In mengeluh, penat dengan semua yang telah berlaku.
“Saya tak ada masa nak bincang pasal ni,” In mengelak.
“Tapi saya ada masa. Kita bincang lepas office,”
“Nama awak tak tersenarai dalam masa saya,”
“Tapi saya adalah sebahagian nama yang tersenarai dalam hidup awak,”
“Encik Iqram, lebih baik Encik Iqram keluar. Saya ada banyak kerja untuk disiapkan,” Iqram mengalah. Dia keluar dari pejabat In lalu menuju ke pantri. Iqram mengeluarkan dua buah cawan. Iqram mengambil dua bungkus kopi segera lalu menuang air panas ke dalam cawan. Iqram membawa dua buah cawan, menuju ke pejabatnya. apabila dia melintas di pejabat In, dia menolak pintu itu. In tidak mempedulikan Iqram. Iqram meletakkan secawan kopi di atas meja.
“Saya buatkan awak kopi. Awak banyak kerja kan? Mesti awak letih. Minum kopi, boleh rehatkan fikiran awak,” ucap Iqram lalu menuju ke pintu.
“Awak jangan risau, saya tak letak apa-apa pun,” ujar Iqram sebelum masuk  ke pejabatnya.
In hanya menjeling. In membiarkan sahaja cawan itu di situ.

No comments:

Post a Comment