BAB 1
PENGUSAHA RESTORAN WARISAN WIRA MENINGGAL DUNIA
JOHOR BAHRU : Pengusaha Restoran Warisan Wira,
Idrus Wira bin Amran Wira meninggal dunia pada usia 56 tahun malam kelmarin di
Hospital Pakar Puteri Johor Bahru. Menurut anak sulung pengusaha ini, Isyraf
Wira, ayahnya terkena serangan angin ahmar secara tiba-tiba setelah jatuh di
dalam kamar mandi seminggu yang lalu. Idrus Wira ketika usia mudanya adalah
seorang ahli perniagaan restoran kecil-kecilan dan lama-kelamaan ia berkembang
menjadi restoran berkonsepkan ala resort pada tahun 1988 sehingga kini.
Restoran Warisan Wira merupakan salah satu restoran terbaik di Malaysia yang
menghidangkan makanan tradisional Melayu Johor serta beberapa makanan dari
negeri yang lain. Jenazah pengusaha bumiputera terkenal itu telah dikebumikan
di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah Johor Bahru kira-kira jam 4.00 petang
semalam.
Sebaik sahaja Qhayrul selesai membaca berita tersebut
sehingga habis, fikirannya tiba-tiba melayang teringat akan majikannya.
“Bilalah giliran orang tua si bakhil ni nak jadi macam ni? Makin kaya
makin kedekut. Kalau anak lelaki dia tu yang ambil alih, senang sikit aku nak
tipu budak tu,” kata Qhayrul sambil menyelak halaman surat khabar yang
seterusnya.
“Qhayrul!”
Lelaki berusia 25 tahun itu terkejut. Sedang enak menikmati waktu rehat,
tiba-tiba suara garau Osman datang dari arah hadapan,
mengganggu dirinya. Qhayrul yang sedang duduk di tangga pintu belakang menoleh.
“Alamak, panjang umur pula orang tua ni. Baru
aje sebut bila dia nak ‘pergi’, tiba-tiba datang terpekik-pekik. Buang tabiat
lagi ke apa orang tua ni?” rungut Qhayrul
sendiri.
“Qhayrul!” Sekali lagi kedengaran namanya dipanggil
“Apa dia, bos? Kan tengah waktu rehat aku
ni? Tak reti tengok jam ke?” rungut Qhayrul lalu mendecit. Ada nada tidak puas
hati di situ.
“Aku memang reti tengok jam, tapi kau tu yang tak reti bahasa,” balas
Osman.
Qhayrul mengeluh panjang. Dia menjeling ke arah Osman lalu bangun
berhadapan dengan majikannya. Surat khabar yang berada di tangan dihempas kuat
ke lantai, menunjukkan tanda protes. “Bos kalau nampak muka aku ni, memang nak
marah aje ke? Apa benda yang aku dah buat?”
Osman menghulurkan sampul surat yang berada di tangan kanannya kepada
Qhayrul. “Ini gaji kau bulan ni. Lepas tu dah tak payah datang kerja lagi.”
Kening itu terjongket tatkala mendengar kenyataan Osman. Senyuman sinis
terukir. Sebelum ini sudah banyak kali Osman berkata sedemikian, tetapi hanya sekadar kata, tidak pada perbuatan.
“Bos dah banyak kali cakap benda yang sama, tapi tetap juga ambil aku kerja.
Kalau nak makan, tak cukup kalau setakat nasi tu ada kat depan mata, tapi langsung tak nak kunyah, bos,” kias Qhayrul
sambil mengambil sampul surat yang dihulurkan oleh Osman. Dia membuka lalu
memeriksa helaian wang kertas tersebut.
“Kali ini aku tak main-main. Bukan setakat kunyah, kalau boleh aku nak
telan kau sekarang ni. Dah berapa kali aku bagi kau peluang, tapi kau tetap curi
duit aku.”
Badan Qhayrul bersandar pada pintu sambil
sebelah kakinya ditapakkan ke permukaan pintu. Muka itu langsung tidak
mempamerkan rasa bersalah. “Bos ada bukti ke aku yang curi?”
“Duit aku hilang sebelum ni sebab kau,
kan?”
“Tu sebelum ni, bukan sekarang. Entah-entah orang lain yang curi. Bos kan
kedekut, ramai orang dengki,” ucap Qhayrul, selamba.
“Qhayrul, kau ni memang jenis yang tak ada masa depan. Restoran aku buka
pukul 7.00, kau datang pukul 10.00. Itu pun aku tak berkira dengan kau tau. Aku sabar
dan bertahan aje selama ni sebab kau tu pandai masak. Ramai pelanggan yang
datang suka dengan masakan kau, tapi kalau dah
tiap-tiap bulan aku rugi macam ni, kau nak sedut darah aku sampai kering ke?!”
marah Osman. Wajah lelaki tua itu sudah menyinga.
Dahi Qhayrul berkerut sebaik sahaja selesai mengira wang yang berada di
dalam sampul surat. Perasaan tidak puas hati semakin memenuhi jiwa.
“Bos, apa ni? Tak cukup. Ni baru berapa ratus. Bos ingat bos boleh kaya
ke kalau tak sebab aku kerja kat sini? ”
“Kau ingat restoran ni bapa kau punya? Gaji kau, aku dah tolak dengan
duit yang kau curi tu. Itu pun nasib baik aku baik hati nak kasi. Kalau ikutkan
rasa marah aku ni, satu sen pun kau tak dapat tau. Sampul surat tu pun aku tak
nak kasi. Aku tak tahu macam mana mak bapa ajar kau. Kalau kau ni anak aku, dah
lama...”
Tali apron terikat di pinggang
dilepaskan lalu dilempar ke wajah orang tua itu. “Alamak, berkira sangatlah. Nah, ambillah apron kau ni, orang tua. Ingat aku teringin sangat nak kerja
dengan kau? Nak sebut mak bapa pula. Macam kau
kenal aje siapa mak bapa aku.”
“Memang dasar budak kurang ajar. Kau ingat, ada orang nak ambil mat
rempit macam kau ni kerja? Kau ni sampai ke tua memang macam nilah hidup kau.”
Qhayrul mencapai topi keledar yang berada di kabinet dapur. “Argh, pergi jahanamlah. Kerja banyak, gaji sikit. Fikir
guna otak sikitlah orang tua. Duit menimbun macam bukit tu bukannya boleh bawa
masuk kubur pun.”
Qhayrul mengenakan topi keledar lalu melangkah menuju ke tempat letak
motosikalnya. Osman hanya menggelengkan kepala. Memang sudah banyak kali dia
menasihati Qhayrul, tetapi anak muda itu
langsung tidak menghiraukan segala tegurannya.
Rafi Huzaifa berlari-lari mendapatkan Yusra Dahliyaa yang
sudah berada di hadapan pintu pagar. Anak kecil itu kelihatan riang tatkala
melihat wanita tersebut datang untuk menjemputnya pulang. Cikgu Amira yang
merupakan guru kelas Rafi Huzaifah tersenyum dan mengiringi pelajarnya itu
menuju ke pagar. Yusra Dahliyaa melutut dan mendepakan tangan, lantas Rafi
Huzaifa datang memeluk erat Yusra Dahliyaa. Yusra Dahliyaa menatap wajah itu
lalu satu kucupan hinggap di pipi Rafi Huzaifa. Hilang sudah segala penat
lelahnya bekerja seharian tatkala melihat senyuman itu.
“Rafi hari ni nakal tak kat sekolah?”
“Rafi tak nakal. Hari ni Rafi belajar huruf R. Kata cikgu nama Rafi mula
dengan huruf R.”
“Ya? Pandainya anak ibu ni.” Sekali lagi Yusra Dahliyaa mendakap Rafi
Huzaifa. Terasa bangga anaknya mampu menerima apa yang diajar oleh tenaga
pengajar di tadika tersebut.
“Puan Yusra,” panggil Cikgu Amira.
“Ya, saya. Kenapa, cikgu?” balas
Yusra Dahliyaa, bingkas bangun.
“Saya ada perkara nak bincang dengan puan.”
Daripada riak dan ekspresi muka itu, Yusra Dahliyaa seperti dapat
menjangka perkara yang akan mereka bincangkan sebentar lagi.
“Rafi, pergi main sekejap kat playground sana ya. Ibu
nak cakap sikit dengan Cikgu Amira,” arah Yusra Dahliyaa.
Rafi Huzaifa mengangguk tanpa sebarang soal bicara. Beg sekolah yang
disandang diambil oleh Yusra Dahliyaa.
“Ini berkenaan dengan yuran yang saya cakap pada minggu lepas. Puan Yusra
masih lagi keberatan ke nak bayar? Masuk bulan ni dah tiga bulan tertunggak.
Saya bukan apa, Puan Yusra, saya faham dengan
keadaan puan. Puan kena tanggung sendiri segala perbelanjaan hidup puan dan
Rafi. Tapi...”
“Tak apa, cikgu. Saya faham.”
“Pihak atasan tadika pun dah berulang kali tanya akan hal ini. Kalau puan
tak dapat bayar untuk tempoh tiga bulan, puan bayar untuk sebulan pun tak apa.
Saya akan cuba berbincang lagi dengan mereka.”
Yusra Dahliyaa mendiamkan diri untuk seketika. Wajahnya yang tadi ceria kini sudah berubah.
“Insya-Allah, cikgu. Saya cuma minta
tempoh lagi dua tiga hari. Saya akan usahakan. Lagipun
dalam tempoh tu gaji saya bulan ni dah keluar rasanya. Cikgu dah banyak tolong
saya. Saya minta maaf sangat-sangat kalau keadaan saya yang tak mengizinkan ni
dah menyusahkan cikgu,” mohon Yusra Dahliyaa.
Yusra Dahliyaa, bekerja sebagai seorang kerani di salah sebuah syarikat
swasta di bandar Johor Bahru. Gajinya sebanyak
RM1400 sebulan belum cukup untuk menampung kehidupan mereka berdua di
tengah-tengah bandar metropolitan itu. Hanya berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia
yang ada, itu sajalah yang mampu Yusra Dahliyaa perolehi memandangkan dia tidak
menghabiskan pengajiannya ketika di universiti kira-kira enam tahun yang lalu.
“Baiklah, puan. Saya bagi tempoh lagi tiga
hari.”
“Terima kasih banyak-banyak, cikgu. Saya tak
tahu macam mana nak balas jasa baik cikgu. Cikgu dah tolong saya jaga Rafi masa
saya bekerja. Kalau saya tak dapat hantar Rafi ke tadika ni, saya tak tahu nak
hantar ke mana lagi, cikgu.”
Cikgu Amira tersenyum sambil pandangannya memerhatikan raut wajah ibu
tunggal itu. Dia bersimpati dengan Yusra Dahliyaa. Pandangan itu kemudiannya
dilontarkan kepada Rafi Huzaifa yang sedang seronok bermain gelongsor.
“Rafi ni baik budaknya. Walaupun dia agak pendiam sedikit daripada budak
yang lain, tapi pemikiran dia bijak. Saya
perasan ada beberapa orang bertanyakan akan hal bapanya. Kadang-kadang ada juga
yang nakal tu mengejek dia. Tapi, apa yang Rafi
buat, dia diamkan diri. Seolah-olah dia faham apa yang berlaku. Saya rasa kalau
budak lain, dah lama melawan, tak pun menangis.”
Terbit rasa terharu di hati Yusra Dahliyaa. Hampir sahaja air matanya
mahu menitis, namun masih berjaya dibendung.
“Terima kasih, cikgu. Saya bersyukur
sangat ada anak yang memahami macam Rafi tu. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya
minta diri dulu, cikgu.”
“Yalah, saya pun ada beberapa hal lagi yang perlu saya selesaikan ni.”
“Rafi, jom kita balik,” panggil Yusra
Dahliyaa.
Rafi Huzaifa menoleh dan berlari perlahan menuju ke arah dua orang dewasa
itu.
“Salam Cikgu Amira, sayang,” arah Yusra Dahliyaa.
Tangan kecil Rafi Huzaifa menghulur salam terlebih dahulu lantas Cikgu
Amira membalas. Kanak-kanak lelaki itu mengucup tangan perempuan tersebut.
“Assalamualaikum, cikgu,” ucap Rafi
Huzaifa.
“Waalaikumussalam, Rafi.”
Bibir Yusra Dahliyaa tersenyum kemudian
mereka berdua pula bersalaman. Pandangan sayu Cikgu Amira menemani langkah anak-beranak itu sehingga mereka berdua hilang daripada pandangan.
Yusra Dahliyaa dan Rafi Huzaifa menapakkan kaki sambil berpimpin tangan
ke pangsapuri berdekatan. Perjalanan ke kawasan tersebut mengambil masa
kira-kira 20 minit jika berjalan kaki. Yusra
Dahliyaa mengeluh panjang. Keluhannya kedengaran berat.
“Ibu, Rafi nak tanya sikit boleh?” tanya Rafi Huzaifa memecahkan khayalan
Yusra Dahliyaa.
“Rafi nak tanya apa?”
“Cikgu Amira minta duit kat ibu ke?”
Wanita itu terdiam seketika. Seboleh mungkin wajahnya diukir rasa tenang.
“Tak adalah, sayang. Cikgu Amira tak cakap macam
tu pun kat ibu. Cikgu cuma cakap yang Rafi pandai masa belajar kat dalam
kelas.”
“Kalau Cikgu Amira minta ibu duit, Rafi tak boleh nak tolong ibu sebab
Rafi tak ada duit. Kena tunggu Rafi dah besar baru Rafi boleh kerja. Tapi, Rafi boleh tak payah pergi sekolah. Bila Rafi tak
pergi sekolah, ibu tak payah jumpa dengan Cikgu Amira lagi.”
Yusra Dahliyaa tersentak dengan kata-kata anak lelakinya itu. Tidak
semena-mena air matanya gugur. Masakan Rafi Huzaifa yang berumur lima tahun itu
mengerti akan kehidupan mereka? Yusra Dahliyaa menghentikan langkah lalu tunduk
mendekati wajah anaknya itu. Yusra Dahliyaa mengusap lembut pipi Rafi Huzaifa.
“Mana boleh macam tu. Rafi kena pergi sekolah. Rafi kan nak jadi budak
pandai, anak yang baik. Betul tak?”
“Ibu, janganlah nangis. Rafi minta maaf kalau Rafi buat ibu sedih.”
Jari-jemari kecil Rafi Huzaifa singgah di pipi Yusra Dahliyaa pula.
“Tak adalah, sayang.
Rafi tak buat salah apa-apa pun,” ujar Yusra Dahliyaa sambil mengesat habis air
mata yang gugur. Dia cuba tersenyum.
“Jom, kita pergi kedai depan tu. Ibu nak beli ayam,
ibu nak masak ayam goreng. Dah lama kan kita tak
makan ayam goreng?”
“Betul ke, ibu?” Muka
Rafi Huzaifa kelihatan ceria.
“Ya, betul. Tapi, kita
kena cepat. Nanti lambat, ayam kat kedai tu habis,” gurau Yusra Dahliyaa, cuba
mengalihkan perhatian Rafi Huzaifa.
“Kalau macam tu, kita kena cepatlah, ibu. Jom,” balas Rafi Huzaifa lantas tangannya
menarik tangan Yusra Dahliyaa.
Yusra Dahliyaa menggelengkan kepala melihat telatah
Rafi Huzaifa. Sememangnya anak kecil seperti itu tidak seharusnya dibebani
dengan masalah orang dewasa.
Bunyi deruman enjin motosikal Yamaha 125Z memenuhi ruang warung makan sewaktu Qhayrul sampai di situ. Qhayrul mematikan enjin sebaik sahaja stand motosikal itu diturunkan. Topi keledar yang tersarung pada kepala ditanggalkan lalu dijinjing ke sisi. Tangan kiri Qhayrul memperkemas rambutnya yang pendek. Apabila sampai di bahagian tengkuk, rambut panjang berwarna perang pekat seakan-akan ekor rambut itu disisir kasar.
Terdapat dua orang lelaki yang sedang duduk
menghabiskan masa tanpa arah tujuan di salah satu meja warung tersebut. Salah
seorang daripada mereka menoleh ke arah Qhayrul.
“Itu bukan Qhayrul ke, Belut? Dia tak kerja ke hari
ni?” soal Fitri, atau nama gelarannya Kucai.
Belut membuang pandangan ke arah yang sama dengan
Kucai. Dia ketawa, seperti dapat mengagak apa yang berlaku.
“Apa cerita tukang masak Restoran Wak Osman kedekut?!”
jerit Belut dari tempat duduknya. Ada nada sinis di sebalik gurauan Belut.
Tatkala mendengar kata-kata Belut, Kucai sudah tergelak. Apabila sampai di tempat duduk mereka, Qhayrul menghempas topi keledarnya di atas meja plastik itu. Bergegar objek tersebut, menyebabkan gelas plastik yang terletak di atas meja hampir sahaja jatuh ke lantai. Cepat-cepat tangan Belut dan Kucai memegang gelas mereka daripada bergolek.
“Main kasar nampaknya kau, Belut. Kang ada juga atas meja ni ada lauk belut masak cili. Kau pula Kucai, kena gaul dengan mi goreng. Daripada aku datang lapar nak marah orang, bila aku balik nanti kenyang sebab makan orang.”
“Woo... Relakslah der. Gurau aje
pun. Lagipun memang betul apa kau tukang masak Wak Osman kedekut tu,” balas
Kucai.
Qhayrul menarik kerusi yang kosong lalu melabuhkan punggungnya.
“Abang, kasi sirap ais satu. Rasa panas sangat hari ni,” pesan Qhayrul sambil tangannya mengibas bahagian dada baju.
“Ni apa kes? Tak kerja ke apa? Bukan patutnya sekarang
ni kau tengah pegang sudip dengan kuali kat dapur ke? Awal sangat kau sampai
hari ni. Baru pukul 6.00,” kata Belut.
“Aku dah berhenti kerja kat kedai orang tua tu.”
“Berhenti kerja?” soal Kucai, antara percaya dengan
tidak.
“Aku dah dapat agak pasal apa pak lebai kedekut tu
berhentikan kau. Tak ada hal lain ni. Mesti sebab kau curi duit dia, kan?” telah Belut.
Qhayrul membisu. Mengangguk pun tidak, menggeleng pun tidak.
“Ke sebab lain? Kau nak aku dengan Kucai ajar orang tua tu ke?”
“Tak payahlah. Malas aku nak fikir masalah orang tua
tu. Buat sakit kepala aje. Memang aku ambil duit dia pun. Gaji dahlah tak besar
mana, kena potong lagi. Kalau aku tahu, aku curi lebih sikit. Biar gugur semua
rambut dia.”
“Itu memang salah kaulah. Aku dah pesan suruh kau
ambil sikit-sikit. Pandai makan, pandai simpan,” ajar Belut.
“Habis tu, apa yang aku simpan tu tak keluar ke, sengal? Bila dah keluar, mestilah ada yang kurang.
Yang kurang tulah kena isi. Tapi, isi pun kalau
paras hidung macam mana nak hidup?”
“Janganlah nak marah sangat der.
Cakap pasal isi ni, aku ada berita baik punya. Tadi aku dah cerita dengan
Belut. Berita yang bakal kau dengar ni mampu mengisi poket kau yang dah tak
beberapa nak isi tu,” ujar Kucai.
“Berita baik?” Kening Qhayrul terangkat. Perasaan
teruja terbit.
Belum sempat Kucai menyambung butir katanya, lelaki berusia lingkungan 30-an datang membawa minuman yang dipesan oleh Qhayrul tadi. Qhayrul menyedut laju air tersebut sehingga separuh. Terasa lega ketika air sirap sejuk itu melalui tekaknya.
“Malam ni Todak ada buat tiga tiang kat dataran. Aku dengar ramai budak turun,” beritahu Kucai. (tiga tiang- perlumbaan)
“Todak buat tiga tiang? Fuh,
dah lama juga aku tak dengar cerita pasal si Todak ni. Sejak dia kalah dengan
aku dua minggu lepas.”
“Itu yang aku nak beritahu kau ni. Kononnya dia nak
tebus balik maruah dia yang kau dah pijak tu. Kali ni laluan memang gila wa
cakap sama lu. Jalan kasi pusing sana, pusing sini. Kau tak tercabar ke?” tanya
Kucai, sengaja mengapi-apikan keadaan.
“Peluang baik ni. Aku pun tengah ada duit nak letak
ni. Kalau Todak ajak ramai budak turun, maknanya duit yang aku nak menang nanti
tu pun banyaklah juga.”
"Der, aku suka
kalau Todak buat tiga tiang ni. Ada hadiah ekstra tu. Mambang dia, pergh... Telan air liur aku
tengok. Dah lama aku nak tanya kat kau orang. Bapa ayam ke apa si Todak tu?”
soal Belut.
“Aku tak tahulah, Belut, si Todak tu bapa ayam ke apa. Tapi, mamat tu memang banyak kaki. Kau tengok muka dia pun
muka buaya tembaga. Perempuan memang senang lekat kat dia. Banyak duit siot,”
jawab Kucai.
“Pasal perempuan tu aku tak nak pun. Kau tahu kan aku tak main perempuan. Payah kalau dah
terlajak ni. Aku lebih suka menang duit aje. Perempuan yang aku menang hari tu
pun aku tak tahu dari mana. Daripada aku kena HIV tak tentu pasal, lebih baik
aku tak payah rasa. Kalau kau cari padah juga, dah kira bunuh diri namanya tu.”
Belut dan Kucai sudah tergelak mendengar ayat-ayat yang terpacul dari bibir Qhayrul. Sememangnya satu perangai Qhayrul itu berbeza daripada mereka. Mana ada kucing yang menolak ikan yang sudah berada di hadapan mata? Mustahil. Tapi, mustahil macam mana sekali pun, memang itulah satu sikap Qhayrul yang elok berbanding Belut dan Kucai yang perangai dah serupa hantu.
“Kau ni, Qhayrul, memang tolak tuah tahu tak? Orang dah bagi ayam golek siap ada madu, kau balun ajelah. Malam ni kalau menang, kau kasi aku hadiah ekstra tu,” cadang Belut.
“Tuah kepala otak kaulah,
Belut. Tak payahlah kau nak perempuan daripada
Todak tu. Kalau kau dah terlajak, mengandung budak tu, kau nak tanggungjawab
ke?”
“Ustaz Qhayrul dah datang. Terus aku rasa nak pergi
kedai cari kopiah dengan serban,” sindir Kucai.
“Aku cakap benda yang betul. Aku malas nak tambah
masalah dalam hidup aku ni. Yang aku tahu, aku nak menang duit tu malam ni.”
Best. Lama tunggu karya terbaru akk. ;)
ReplyDeletetunggu ya?
Deleteterima kasih banyak2 ya.. akak pun tunggu lama juga nak siapkan cerita ni..
hihi..terima kasih ya sudi singgah :)