BAB 19
Suasana malam di rumah terasa dingin. Apa tidaknya, rumah di kawasan kampung dikelilingi dengan pokok-pokok. Tidak seperti dibandar. In melipat telekung, baru sahaja selesai menunaikan solat Isyak. Matanyanya membengkak kerana banyak menangis. Kedengaran suara Iqram berbual dengan Zamarul dan Zakuan. Zubaidah menjengah ke dalam bilik, melihat sama ada In sudah selesai solat atau belum.
“In,” panggil Zubaidah lalu masuk ke dalam bilik itu. Kelihatan sekeping sampul surat dan sebuah kotak barada di tangan kanannya. Zubaidah duduk di sisi katil. In tersenyum memandang Zubaidah.
“In, ni barang peninggalan arwah untuk In,” Zubaidah menghulur perlahan sampul surat dan kotak itu kepada In. In menyambut perlahan, menahan sebak. In membuka perlahan kotak itu. Sepasang utas jam tangan kelihatan. Satu untuknya dan satu lagi untuk Zaf. Mata In tidak mampu lagi menampung air mata yang bertakung. Air itu mengalir perlahan.
“Zaf nak kasi hadiah tu dua tahun lepas, semasa ulang tahun In dan Zaf berkawan. Tapi apabila dia dapat tahu dia menghidap barah otak, dia tak jadi nak kasi. Zaf cuba nak mengelak daripada In tapi dia tak boleh. Dia terlalu sayangkan In. Sebab tu, sebelum dia pergi, dia nak tengok In puas-puas,”
In menggenggam erat jam tangan itu.
“Mak cik teringin nak jumpa In. Nak kenal siapa In,”
In tersenyum.
“In kena tabah. Cuba perlahan-lahan terima apa yang dah berlaku,” sambung Zubaidah.
In mengangguk lemah. Dia ingin berkata-kata tetapi suaranya tersekat.
“Jom kita keluar. Mak cik ada buatkan air teh, kita minum sama-sama ya?”
“Baik mak cik,”
Zubaidah keluar. In mengesat air matanya. Perasaannya bercampur aduk. Perasaan terkejut masih lagi menyelubungi jiwanya. Pemergian Zaf menyebabkan jiwanya disentap dan diragut. In melangkah keluar dari bilik. Pandangan matanya terus teralih kepada Iqram. Iqram tersenyum, seolah-olah cuba memberi kekuatan kepada In. In membalas kembali senyuman itu.
“In, sini minum sama-sama,” ajak Zamarul yang duduk di sofa hujung.
In mengangguk lalu duduk di sebelah Zubaidah.
“In tidur sini ke?” tanya Zubaidah.
“Tak apalah mak cik. Saya rasa saya nak balik malam ni juga,”
Iqram sedikit terkejut. Iqram menyangka In akan bermalam di situ..
“Tak apalah In, dah malam ni. Tidur kat sini ye,”
“In banyak kerja kat pejabat mak cik. Tak baik pula tinggal macam tu je. Nanti kalau In senang, In datang sini ye,”
“Yalah, mak cik pun dah tak duduk kat JB lagi. Tu rumah Zaf. Mak cik menumpang kat sana sebab anak-anak mak cik tak ada kat sini. Kalau In ada masa, kalau nak datang sini, datanglah. Mak cik lagi suka,”
Zubaidah dapat merasakan In masih lagi terkejut dengan berita kematian Zaf. Mungkin itu salah satu sebab kenapa In tidak mahu bermalam di rumahnya.
“Tak apa mak cik, saya dah biasa drive malam-malam. Kalau lalu highway tu sekejap je dah sampai. Lagipun rumah makcik ni dekat je dengan highway Pagoh tu.” ujar Iqram.
“Kesian pula Iqram nak memandu malam-malam,” balas Zubaidah.
“Tak apa mak cik, saya dah biasa drive malam-malam. Kadang-kadang balik kerja tu dekat-dekat pukul 12,”
“Mak janganlah risau sangat. In bukan balik sorang-sorang. Iqram kan ada dengan dia,” kata Zamarul pula.
“Terpulang In lah. Tapi kalau In nak datang sini lagi, pintu rumah mak cik terbuka untuk In.
“Terima kasih mak cik,”
Jam di dinding menunjukkan pukul 9.30 malam. Setelah berbual hampir 15 minit, In meminta diri untuk pulang. Iqram hanya menurut. Iqram tidak kisah sekiranya In mahu bermalam di situ. Dia dapat merasakan In segan untuk bermalam kerana ada adik-beradik Zaf yang kebetulan semuanya lelaki. Mereka sama-sama menuju ke pintu.
“In minta diri dulu mak cik,” ucap In lalu menghulur tangan untuk bersalam dengan Zubaidah.
“Nanti datang lagi ye. Mak cik ada buat kenduri arwah 40 hari. Nanti In ada masa, datang ye,”
“Insya Allah mak cik,”
In berpelukan dengan Zubaidah.
“Sudah-sudah lah mak, nanti In nangis lagi tu,” ucap Zamarul.
Air muka In ternyata kelihatan dia cuba menahan sebak. Pelukan mereka terlerai.
“Saya balik dulu ye. Balik dulu abang Zam. Kirim salam kat Zaquan,” ucap In.
Zaquan dari tadi tidak kelihatan kerana pergi ke masjid.
“Insya ALLAH. In jangan sedih-sedih lagi,” pesan Zamarul.
In hanya tersenyum.
“Saya balik dulu ye mak cik,” ucap Iqram.
“Terima kasih Iqram kerana bawa In pergi rumah mak cik,”
“Tak apa mak cik. Tak ada masalah,” Iqram bersalam dengan Zubaidah.
“Iqram jaga In ye. Mak cik tahu Iqram suka kan dia,” ucap Zubaidah, seolah-olah berbisik.
Iqram terkesima seketika. Ketara sangatkah perasaan aku terhadap In? Iqram mula menyoal dirinya. Iqram memandang tepat ke dalam mata Zubaidah.
“Mak cik orang tua Iqram. Mak cik dapat rasa. Masakan kamu sanggup tolong dia sampai ke mari kalau kamu tak ada apa-apa perasaan kat dia,”
Iqram tersenyum.
“Hati-hati bawa kereta Iqram,” kali ini suara Zubaidah biasa.
“Insya ALLAH mak cik. Balik dulu Zam,” ucap Iqram sambil bersalaman dengan Zamarul.
“Panjang umur jumpa lagi,” balas Zamarul pula.
“Sampaikan salam pada Zaquan,” pesan Iqram.
“Insya ALLAH. Jangan bawa laju-laju,” sambung Zamarul.
Iqram dan In seiring menuju ke kereta.
“In, kirim salam dengan mak ye,”
“Insya ALLAH mak cik. Assalammualaikum,”
“Waalaikummussalam,’ jawab Zubaidah dan Zamarul.
Iqram menghidupkan enjin kereta. In melambai tangan ke arah Zubaidah lalu masuk ke dalam kereta.
Keadaan di dalam kereta sunyi sepi. Hanya deruman enjin kedengaran.
Tiba-tiba telefon bimbit In berbunyi. Tertera “emak” di skrin.
“Hello,”
“Hello. Kakak kat mana ni? Kenapa tak balik lagi?”
In diam seketika, cuba mengumpul kekuatan dan kata-kata untuk memberitahu ibunya tentang pemergian Zaf.
“Kakak kat Muar, Zaf dah meninggal dunia mak,” itu yang Iqram dengar daripada mulut In.
Iqram dapat melihat dengan jelas, air mata itu mengalir lagi. Mula timbul cemburu terhadap Zaf. In begitu menyayangi Zaf. Iqram ingin memiliki rasa sayang itu daripada In. Jika Zaf masih hidup, Zaf adalah lelaki bertuah kerana memiliki In. Pasti Iqram tiada peluang untuk memiliki In jika Zaf masih ada. Hati In seluruhnya diberikan kepada Zaf.
“Mak jangan risau, kakak dalam perjalanan balik. Nanti balik rumah, kakak ceritakan pada mak ye. Assalammualaikum,” ucap In lalu beberapa saat kemudian In menekan butang merah pada telefonnya.
“Betul awak nak balik malam ni juga?”
In memandang Iqram.
“Betul,”
“Saya tahu, awak tadi segan dengan abang dan adik Zaf. Lagi satu awak segan dengan saya,”
In tidak membalas kata-kata Iqram. Dalam hati, In membenarkan kata-kata Iqram.
Iqram seolah-olah dapat membaca fikirannya.
“Macam nilah. Keluar daripada kampung ni, kita cari hotel. Kita rehat. Esok pagi kita balik JB. Pasal Encik Taufiq, awak jangan risau. Biar saya yang uruskan,”
In tidak membalas kata-kata Iqram.
“Cik Ilham Nur Insyirah, awak setuju tak?”
“Terpulang awak la. Saya ikut je,”
“Tapi tadi awak cakap dengan mak awak, awak dalam perjalanan balik,”
“Tak apa, saya boleh call balik. Mesti awak penat temankan saya hari ini sedangkan awak tak ada kena mengena pun dalam hal saya,”
‘Saya tak penat temankan awak walaupun untuk seumur hidup saya. Saya rela kongsi semua kesedihan awak In.’ Itu yang muncul di hati Iqram. Mahu sahaja Iqram luahkan, tapi dia tahu,ini bukan masanya.
“Tak apalah. Saya nak tolong awak,”
“Terima kasih banyak-banyak Iqram,”
Iqram memandang In, dia tersenyum lalu mengalihkan pandangan ke hadapan. Menumpukan perhatian semula terhadap pemanduannya. In memandang sepi setiap pemandangan yang hadir di matanya. Semuanya kosong. Satu persatu kenangan Zaf bersamanya muncul di fikirannya.
BAB 20
Suara riuh rendah pelajar sekolah ketika waktu rehat mula menggamit suasana. Pelajar mula berebut-berebut untuk membeli makanan. Pengawas bertugas yang baru sahaja sampai mula mengawal keadaan. Kelihatan seorang pengawas seperti memantau. Pelajar perempuan itu berkemeja biru, bertali leher hitam, skirt labuh berbentuk A, tudung berwarna sedondon kemeja di masukkan ke dalam serta berkot. Jika ada pelajar sekolah yang memakai pakaian seperti itu, pastinya pelajar itu adalah AJK tertinggi badan pengawas sekolah. Jika pengawas biasa, mereka hanya memakai baju kurung biasa berwarna biru. Tertera di tag nama pelajar itu ‘KETUA BIRO TUGASAN, Ilham Nur Insyirah’. Zaf hanya memandang dari jauh. Dia mengenali pelajar itu tapi bukan secara dekat. Nama pelajar itu sering di sebut di bibir guru-guru kerana sering mengacara untuk majlis penting sekolah. Zaf menuju ke arah In yang sedang mencatatkan sesuatu di buku nota kecilnya.
“Hai,” sapa Zaf.
In memandang Zaf. Baru sebentar tadi Cikgu Rosnah merupakan guru pengawas dan guru penasihat Kelab Sejarah memintanya untuk berjumpa dengan pelajar bernama Aiman Zafirul untuk berbincang mengenai bulan kemerdekaan yang akan disambut 2 minggu lagi. In cukup sinonim dengan nama itu. Apa tidaknya, nama itu sering disebut oleh pelajar perempuan sekolah itu. Aiman Zafirul, seorang pengawas, sering menjadi pengerusi kelab, salah seorang pemain bola sepak sekolah, sering menjadi saingan untuk acara olahraga dan pernah mewakili daerah Johor Bahru ke peringkat Negeri Johor. Ditambah lagi dengan senyuman dan kulit hitam manis serta sikapnya yang peramah. Pelajar perempuan sering mengatakan dia macho. In tidak menafikan kelebihan Zaf. Atas dasar itu jugalah Zaf sering dikelilngi pelajar perempuan.
“Hai,”
“Awaklah yang nama In ataupun Insyirah tu ye? Tiap-tiap minggu nampak muka awak kat pentas jadi pengacara perhimpunan,”
“Ya, kenapa? Awak pulak nak ganti tempat saya?”
“Eh, tak adalah. Saya tak pandai mengacara. Suara awak memang sedap. Kalau saya yang ganti tempat awak, saya takut hujan pulak nanti,” ucap Zaf, cuba berseloroh dengan In.
In tergelak kecil mendengar kata-kata Zaf.
“Awak tak bertugas ke? Nak saya tolong awak semak kat mana awak bertugas?”
“Eh, lupa. Saya tengah cakap dengan ketua biro tugasan. Mmm…sebenarnya Cikgu Rosnah dah kasi excuse kat saya dan awak untuk tak bertugas masa rehat ni supaya kita sama-sama boleh dating,”
“Ha, apa awak cakap?”
“Eh, tak adalah. Awak ni garang la,” Iqram tersengih.
In terus leka mencatatkan sesuatu di buku notanya itu.
“Memandangkan Cikgu Rosnah tu guru penasihat Kelab Sejarah, saya pengerusinya dan awak naib pengerusinya, saya rasa awak tahu kita kena buat apa,”
In hanya menganggukkan kepala.
“Kita ni nama je satu badan pengawas dan satu kelab tapi tak pernah berbual kan?”
“Awak tu ramai sangat yang minat. Saya malas nak cakap dengan orang yang ramai peminat, silap-silap saya kena gosip dengan awak,”
“Awak ni tak minat saya lah ye?”
In tidak menjawab soalan Zaf.
“Orang tua cakap, kalau diam tu maknanya ya,”
In memandang Zaf. Cuba memberikan reaksi tegas. Zaf hanya tersenyum.
“Tadi Cikgu Rosnah dah cakap dengan saya. Kita bincang kat library. Kejap lagi saya datang. Awak pergi dulu, boleh?”
“Tak pun kita jumpa kat taman mini sekolah. Kat situ sesuai kalau nak dating,”
In menjeling gurau ke arah Zaf. In tahu Zaf bergurau dengannya.
“Ok, ok. Kita jumpa kat library. Awak ni makin garang makin manis la,” ucap Zaf lalu segera menuju ke perpustakaan. In hanya menggelengkan kepala melihat kerenah Zaf.
Air mata In mengalir lagi. Dia terkenang kembali kenangan itu. Peristiwa itulah yang menyebabkan In mula rapat dengan Zaf, mengenali siapa sebenarnya Aiman Zafirul. Lamunan In terhenti apabila kereta Iqram tiba-tiba perlahan lalu berhenti di tepi jalan.
“Kenapa Iqram?” soal In.
“Entah. Saya tak tahu. Ada problem kat enjin kot. Saya periksa dulu,” kata Iqram smbil menarik punat bonet hadapan lalu keluar. In memandang sekeliling. Gelap, hanya sinaran lampu jalan kelihatan menyinari kelam malam.
“Rosak ke?” tanya In yang sudah pun keluar daripada kereta.
“Tak pasti lah. Saya rasa rosak ni. Tapi dah malam. Saya tak tahulah kedai baiki kereta kat sini buka sampai malam atau tak, tapi saya rasa memang dah tutup,”
In hanya mengangkat bahu lalu menuju semula ke dalam kereta. Iqram menutup kembali bonet hadapan keretanya.
“Macam nilah. Awak tunggu kat dalam kereta, saya try tahan kereta minta bantuan,”
In hanya mengangguk.
Iqram melihat ada cahaya kereta, dia cuba menahan tetapi kereta itu terus berlalu pergi. Setelah hampir 10 minit mencuba, tetapi tiada satu kenderaan pun berhenti. Kedengaran guruh dan kelihatan kilat di langit. Iqram mula risau. Beberapa minit kemudian, titisan air terasa di pipinya. Cermin kereta mula kelihatan rintik-rintik hujan. Iqram membuka pintu belakang, mengambil payung yang terletak di belakang.
“Awak nak buat apa payung tu?”
“Hari nak hujan, dah gerimis pun. Takkan saya nak basah kuyup kat luar,” Iqram tahu pasti In kurang selesa jika dia berada di dalam kereta.
“Tak apalah, awak masuk lah. Hujan dah nak lebat. Baju awak dah basah. Kalau hujan sampai pagi, takkan awak nak pegang payung tu sampai pagi. Awak basah kuyup juga nanti,”
“Awak mesti tak selesa,”
“Tak adalah. Awak masuklah. Hujan makin lebat tu,”
Lantas Iqram meletakkan kembali payung itu ke tempat asal dan membuka pintu hadapan kereta lantas masuk ke dalam. Baju Iqram hampir basah terkena air hujan.
“Kan, awak dah basah. Takkan nak tunggu kat luar, hujan lebat,”
“Saya takut awak tak selesa,”
“Saya pun tak selesa tengok awak basah kuyup kat luar tu,”
“Terima kasih,”
In hanya tersenyum. Hari ini In terlalu banyak bermain dengan senyuman. Dia sendiri pun tidak pasti apa makna senyumannya itu. In memejamkan mata, cuba merehatkan matanya. Hari ini terlalu banyak air matanya mengalir. Terasa penat. In cuba mengosongkan fikirannya, cuba mencari ketenangan dan kekuatan. Lama-kelamaan In terlelap. Iqram menyedari In terlelap. Kepala In rapat ke cermin tingkap. Hujan di luar semakin lebat. Seolah-olah tidak mahu berhenti. Wajah In dipandang. Ada wajah sedih masih jelas di wajah itu. Iqram terasa dingin, pasti In turut merasa kedinginan. Iqram mengambil kotnya yang bersarung di kerusi yang didudukinya lalu diletakkan di tubuh In. Kotnya kemas menyelimuti tubuh In. Dan akhirnya Iqram turut terlelap.
Hujan mulai berhenti. Iqram terjaga dari tidurnya. Jam digital di tangannya gelap. Iqram menekan punat yang berada di sebelah kiri. Kelihatan cahaya biru kehijauan terpancar di jamnya. Jamnya menunjukkan pukul 11.45. Iqram menggosok-gosok matanya yang kelihatan kabur kerana tertidur tadi. Iqram menoleh ke kiri. In masih lagi terlena. Nyenyak tidur In. Iqram memerhatikan In. Dia merasakan seolah-olah dia sedang berada di dalam mimpinya. Tidakkah In turut merasakan apa yang dia rasa? Dia merasakan In seperti ada hubungan dengannya. Seperti mereka sememangnya ditakdirkan untuk hidup bersama. Mimpi yang selalu dialaminya itu seolah-olah satu petanda kepadanya. Iqram dapat merasakan dia sudah lama mengenali In. Tangan Iqram perlahan-lahan ingin menyentuh pipi In. Pipi yang dibasahi dengan air mta. Air mata iu mengalir kerana Zaf. Iqram cemburu melihat kasih sayang In untuk Zaf. Apa yang ada pada Zaf sehingga In begitu sekali menangis untuk Zaf. Adakah In terlalu bahagia dengan Zaf? Mampukah dia memberikan kasih sayang dan kebahagiaan seperti itu kepada In? Tapi apa yang pasti, perasaan sayang terhadap In semakin bertambah. Dia mahu In menemani hidupnya, dia mahu berkongsi kesedihan In. Tangan Iqram hampir menyentuh pipi In dan tiba-tiba kedengaran ketukan di cermin tingkap. Iqram terkejut lantas berpaling. Iqram sedang memandang seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40 an memakai kopiah. Di belakang lelaki itu ada dua orang lelaki manakala di sebelah kiri kereta ada lagi dua orang lelaki. Menjadikan jumlah keseluruhanya lima orang. Mereka semua memandang tajam terhadap Iqram dan In. In terjaga dari tidurnya apabila mendengar ketukan cermin sebentar tadi. In dapat merasakan sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. Perasaan resah mula timbul. Iqram menurunkan cermin tingkap keretanya.
“Assalammualaikum,” ucap lelaki yang berusia 40an itu.
“Waalaimummussalam,” balas Iqram, cuba bersikap tenang.
“Kenapa letak kereta kat sini?”
“Kereta saya rosak. Saya cuba nak tahan kereta lain, nak minta bantuan tapi tiba-tiba hujan,”
“Kat sebelah tu siapa?” tanya lelaki itu lagi.
“Kawan saya, kami baru melawat kawan kami yang baru meninggal dunia,”
“Awak berdua je kat dalam kereta ni?” tanya salah seorang daripada mereka.
“Ya,” jawab Iqram, ringkas.
In semakin resah, seolah-olah dapat membayangkan apa yang akan berlaku.
“Tapi kami tak buat apa-apa,” In cuba mempertahankan diri.
“Betul tu encik, kami tak buat apa-apa pun. Kalau kereta kami tak rosak, kami tak kan berhenti kat sini,”
“Kalau kereta tak rosak, awak nak ke mana? Ke hotel pula?” kata lelaki yang bekopiah itu penuh sinis.
“Saya berani bersumpah, kami tak buat apa-apa pun,” ucap In, hampir menangis.
“Betul encik, kami tak buat apa-apa pun,” ucap Iqram berkali-kali.
“Saya susah nak percaya cakap awak. Cara awak berdua-duaan dalam kereta ni boleh menimbulkan syak,”
Sekali lagi air mata In mengalir. In merasakan dirinya sudah jatuh di timpa tangga. Ya ALLAH, adakah ini ujianMU untuk ku? In cuba beristighfar di dalam hati. Cuba mencari kekuatan untuk menempuhi dugaan yang sedang melanda ini.
“Awak ada saksi yang mengatakan awak tak buat apa-apa kat dalam kereta ni?”
In membisu.
“Kami tak ada saksi, tapi kami tak buat apa-apa,”
“Masakan tak buat apa-apa. Kalau lelaki dan perempuan bukan muhrim berdua-duaan, pasti ada orang ketiga iaitu syaitan. Takkan tak ada timbul perasaan apa-apa,” kata lelaki itu lagi, cuba memerangkap mereka.
“Encik, saya dan dia berkawan je. Satu pejabat. Kereta dia rosak. Saya tak ada apa-apa perasaan pun kat dia,” suara In bergetar.
“Kalau dah berdua-duaan tak kira sama ada awak ada perasaan kat dia atau tak. Kalau dah timbul rasa nak buat, awak berdua akan buat,”
Iqram hanya terduduk diam. Hilang kata-kata.
“Zaman sekarang, orang menutup aurat pun boleh buat maksiat kat mana-mana. Awak tak baca surat khabar?” perli salah seorang daripada mereka lagi.
In terasa dirinya bagai dihina atas kesalahan yang dia tidak lakukan.
“Encik, tolonglah percaya cakap saya. Encik dah salah faham,” In merayu, air matanya terus mengalir laju.
“Awak ingat kami percaya dengan air mata awak tu?”
In merasakan maruahnya dipijak-pijak.
“Tadi saya nampak awak cuba nak pegang dia kan?” tanya lelaki berkopiah kepada Iqram.
Iqram terkesima. Perbuatannya tadi diketahui oleh lelaki itu. Pandangan lelaki itu tepat ke dalam matanya, seolah-olah mata itu sedang menikam hatinya. Iqram hanya terdiam. Dia tidak dapat menafikan kata-kata lelaki itu.
“Kenapa awak diam? Saya nampak tangan awak tu nak sentuh pipi dia. Tu apa maknanya?”
In memandang tajam ke arah Iqram. Cuba mencari kebenaran disebalik wajah itu. Iqram berpandangan dengan In. Iqram mengusap rambutnya ke belakang, cuba mencari alasan.
"Saya tak buat apa-apa,”
“Awak masih lagi nak menafikan semua tu. Takkan mata saya ni pulak yang berbohong?”
“Iqram, cakaplah semua tu tak betul,” nada In agak tegas.
Iqram tidak dapat menafikannya. Memang dia cuba menyentuh pipi In tapi dia tidak ada niat apa-apa.
“Sudah, tak payah nak buat drama kat sini. Saya nak ambil kenyataan awak berdua. Lebih baik kamu telefon keluarga kamu,”
Berderau darah In, seolah-olah darah di dalam tubuhnya tidak mengalir. Air mata In menitis lagi.
“Keluarga saya kat JB. Saya tak nak libatkan keluarga saya. Tak boleh ke encik percaya? Saya sanggup bersumpah,” ucap In.
“Zaman sekarang. Sumpah orang macam kamu ni dah macam sampah. Sudah, jangan nak bagi alasan lagi. Saya boleh tunggu keluarga awak datang sini,”
“Keluarga saya tak ada kat sini. Mak saya dah meninggal, ayah saya kat luar negara,” ucap Iqram. Dia memang tidak berbohong. Taufiq pergi ke Brunei kerana ada kursus di sana. Terlintas fikirannya untuk menghubungi Iqbal dan Bad, tetapi tidak jadi. Pasti kecoh nanti.
‘Ya ALLAH, kenapa berat sekali ujian Mu terhadap ku? Apakah kesalahan yang telah aku lakukan sehingga Engkau memberikan dugaan yang begitu hebat?’ Hati In tidak henti-henti beristighfar. Hari itu, dia baru sahaja diberi ujian di atas pemergian Zaf, dan sekarang ini, dia dituduh melakukan perbuatan itu, perbuatan yang tidak pernah dilakukannya.
Dua jam setengah kemudian, Indah dan Afiq sampai. Afiq yang berada di Merlimau hanya mengambil masa sejam untuk sampai dengan menaiki motorsikal. Dia tidak percaya yang kakaknya akan melakukan perkara itu. Mereka berkumpul di balai raya kampung berdekatan.
“Mak, kakak tak buat semua tu,” ucap In teresak-esak sambil memeluk emaknya. Indah memeluk anaknya itu, air matanya turut mengalir.
Afiq hanya terdiam, memerhatikan apa yang berlaku. Dia masih lagi terkejut dengan apa yang berlaku ke atas kakaknya itu.
“Kakak sanggup bersumpah dengan Al-Quran, demi ALLAH, kakak tak salah mak,”
“Awak berdua-duaan dalam kereta dengan lelaki yang bukan muhrim tu awak kata awak tak salah? Awak tahu kan, berdua-duaan di tempat yang gelap dan sunyi boleh menimbulkan syak, berdosa,”
“Saya dah cakap, kereta dia rosak lepas tu hujan, takkan saya nak biarkan dia berhujan kat luar,” kata In sambil memandang ke arah Iqram yang terduduk diam.
“Dan manalah saya tahu yang dia nak sentuh saya. Saya tidur masa tu,”
“In, saya tak ada niat nak sentuh awak,”
“Sudah, awak jangan nak menafikan apa-apa. Saya nampak tangan awak tu nak sentuh pipi dia,”
“Iqram, kenapa awak buat macam ni kat saya? Apa salah saya. Saya rasa menyesal minta awak temankan saya. Kalau saya tak ajak awak, mesti tak jadi macam ni,”
“Kakak, jangan cakap macam tu. Jangan nak salahkan takdir,”
“Kakak tak salahkan takdir mak. Kakak salahkan diri sendiri. Dan awak Iqram, kenapa nak ambil kesempatan kat saya?”
“In, saya tak ada niat buat perkara tu kat awak. Percayalah,”
“Habis tu, kenapa awak nak sentuh pipi saya tadi? Kenapa awak tak nak menafikan cakap pak cik tu tadi?” kali ini In bertekak dengan Iqram.
Iqram tidak mampu berkata apa-apa. Memang benar dia ingin menyentuh pipi In tapi di hatinya jauh niat untuk melakukan perkara itu.
‘Percayalah In, saya tak akan buat macam tu kat awak sebab saya sayangkan awak, saya nak lindungi awak. Percayalah In,’
Hati Iqram menjerit. Mahu sahaja diluahkan apa yang dirasa tapi dia tahu, jika dia buat begitu pasti mengeruhkan lagi keadaan.
“Sudah-sudah. Awak berdua jangan nak menegakkan benang yang basah. Saya ingin menerangkan bahawa perbuatan mereka berdua-duaan di dalam gelap dengan bukan muhrim boleh menyebabkan mereka terjerumus ke perbuatan maksiat, dan perbuatan itu adalah dosa. Mereka disyaki berkhalwat dan mereka boleh……….,”
Belum sempat lelaki iu menghabiskan kata-katanya.
“Pak cik, saya bertanggungjawab dengan atas apa yang berlaku,” Iqram yang dari tadi tidak dapat menafikan kata-kata pak cik itu tiba-tiba berkata begitu.
“Iqram. Awak dah gila ke?” kata In, hampir menjerit.
Pengakuan Iqram memeranjatkan In. Hatinya bagai disentap sekali lagi.
“Iqram, tolong jangan buat saya macam ni,”
In memohon kepada Iqram, merayu supaya dirinya tidak diperlakukan seperti itu.
“Saya sedar dengan apa yang saya cakap tadi,”
“Iqram, kenapa awak buat macam ni? Awak tahu kan saya tak ada apa-apa perasaan kat awak. Dan awak pun tahu kita tak buat apa-apa pun tadi. Awak dah hilang akal ke apa? Atau awak memang nak ambil kesempatan ke atas saya?”
In tidak peduli dengan keadaan sekeliling. Iqram tidak berkata apa-apa. Langsung tidak menjawab persoalan In. Iqram nekad dengan keputusannya. Walau apa pun dia tidak akan berpatah balik.
“Insyirah, kenapa macam ni? Bawa mengucap banyak-banyak,” tegur Indah.
“Mak, kakak tak buat semua tu. Kenapa kakak nak tanggung semua kesalahan yang kakak tak buat?”
“Kalau ya pun, jangan bertindak macam orang tak waras,”
“Siapa yang tak waras? Kakak atau Iqram?”
Air mata In terus mengalir. In menangis semahu-mahunya. Hari ini air matanya begitu murah sekali. Dia selama ini menganyam impian untuk hidup bersama Zaf, ingin menjadi isteri Zaf tetapi Zaf telah pergi. Dugaan itu telah cukup menduganya. Dan tidak lama selepas itu, Iqram pula membuat pengakuan sebegitu. Kerana pengakuan Iqram itu, hidupnya berubah sekelip mata. Ya ALLAH, kenapa begitu kuat sekali ujian MU kepada ku? Hati In tidak henti-henti menanyakan soalan itu. Terasa jiwa dan maruah In dibuang, dipijak-pijak tanpa belas kasihan.
No comments:
Post a Comment