BAB 45
Iqram tersenyum sendiri di hadapan cermin. Pagi itu dirasakan begitu indah daripada pagi-pagi yang lain. Hubungannya dengan In menunjukkan perubahan semenjak Iqram memutuskan yang mereka hanya berkawan. Iqram mengetatkan tali lehernya yang berwarna putih. Kemeja hitam berjalur putih itu dikenakan bersama tali leher itu. Iqram memperkemaskan rambutnya. In pula sedang membetulkan tudungnya yang berwarna putih itu. Tudung pendek itu dimasukkan ke dalam kemeja. Pagi itu dia turut mengenakan kemeja hitam berjalur putih. Pagi itu hatinya tergerak untuk memakai kemeja itu bersama seluar berwarna hitam. In juga merasakan kesihatannya bertambah pulih. Badannya terasa segar. In memulas tombol pintu, begitu juga Iqram. Mereka sama-sama keluar dari bilik. Pandangan mereka bersatu. Iqram terpegun melihat In pagi itu. Jiwanya bergetar.
‘Cantik,’ bisik hati Iqram.
In turut memandang penampilan Iqram pada pagi itu.
‘Kenapa aku baru perasan yang dia ni boleh tahan juga. Nampak segak dia pakai kemeja ni,’
Hati In turut berkata-kata.
Iqram memandang wajah In dalam-dalam. Dia tersenyum. In membalas senyuman itu.
“Awak nampak confident hari ni,” ucap Iqram.
“Terima kasih. Tapi mesti semalam awak tengok saya ni burukkan,”
‘Tak, awak tetap nampak cantik,’ jawab hati Iqram.
“Ala, biasalah. Orang tengah sakit memang macam tu,”
In tersenyum. In merasakan dia sudah mula boleh menerima Iqram sebagai sahabatnya.
“Mm..awak perasan tak baju kita?”
In melihat penampilannya lalu melihat penampilan Iqram.
“Awak tak kisah ke baju kita sama lagi macam dulu?”
Riak muka In sedikit berubah.
“Awak nak saya tukar baju ke?”
Perasaan serba salah mula menyelubungi hati In.
“Eh, tak apalah. Lagipun kita memang tak berjanji kan?”
“Are you sure? Saya takut awak tak selesa nanti. Nanti staf cakap kita ada jodoh,”
“Tak apa, nanti awak lambat pula. Saya pergi dululah,” ucap In lalu menuju ke pintu.
“In,”
In menolah.
“Kita pergi sama-sama,”
“Tak apa,”
“Saya hantar sebagai seorang kawan,”
In terdiam seketika.
“Lagipun Cik Insyirah kan ada sivik, tak kan nak tolak bantuan yang diberikan oleh seorang kawan,”
“Awak ni saja nak kenakan saya kan?”
“Mana ada. Saya tak ada niat macam tu pun,”
In menjeling, lalu meninggalkan Iqram.
“Awak nak pergi mana?”
“Turun bawah, nak pergi ke kereta Gen-2 warna kuning,”
Iqram ketawa kecil sambil menggeleng-geleng kepala. Geli hati melihat gelagat In. Iqram dapat merasakan In telah menerima kehadirannya.
Keadaan di dalam restoran sedikit panas. Tidak ramai yang makan di restoran pada tengahari itu. Mungkin masing-masing cuba beralih angin.
“In dah baik demam ke?” tanya Nadia.
“Alhamdulillah,”
“Nasib baik Encik Iqram telefon office. Kalau tak risau juga. In ada apa-apa dengan Encik Iqram ye?” tanya Ana.
“Eh, tak adalah. Saya dengan dia biasa je,”
“Kalau biasa, kenapa Encik Iqram yang inform? Kenapa In tak telefon office?” tanya Ana lagi.
Soalan Ana seperti menjerat In. In merasakan dirinya tersepit. Tidak tahu apa jawapan yang sesuai untuk soalan Ana.
“Saya tak sengaja tertekan nombor dia. Lagipun saya kan selalu kerja dengan dia. Kalau ada apa-apa hal kan saya TA, dah macam pembantu kerja dia. Saya inform jelah kat dia,” lantas alasan itu terus terlintas di fikirannya.
“Kan, betul tak aku cakap?” ucap Nadia kepada Ana.
“Kenapa?” tanya In.
“Tak, semalam saya cakap macam tulah. Macam yang In cakap tu. Seboleh-boleh Ana cakap yang In ada hubungan dengan Encik Iqram,”
“Tapi saya rasa In dengan Encik Iqram tu memang serasi. Tengok hari ni. Pakai baju sama lagi. Sama-sama belang. Duduk rumah lain, tak ada apa-apa hubungan tapi boleh pakai warna baju yang sama. Macam jiwa In dengan jiwa dia sama,”
“Tak adalah. Saya tak rasa apa-apa pun. Merepek je. Dahlah dia tu pelik. Tak kanlah saya ni pun pelik juga,”
“Yang jiwa sama tu saya setuju dengan Ana. Dah dua kali In pakai baju yang sama macam dia. Macam dah di takdirkan,”
Kata-kata Nadia mengingatkan kembali kata-kata Iqram. Dia pernah muncul dalam mimpinya dan akhirnya mereka ditakdirkan berjumpa di alam yang nyata ini.
“Awak berdua percaya tak yang mimpi tu boleh jadi kenyataan. Maksud saya, mimpi dalam tidur,”
“Mimpi dalam tidur jadi kenyataan. Bunyinya macam susah nak jadi, tapi best nya. Lagi-lagi kalau mimpi putera raja tiba-tiba muncul jadi kenyataan,” ujar Ana.
Kata-kata Ana sama seperti situasinya.
“Mm..saya rasa boleh tapi agak mustahil. Macam susah nak berlaku. Mungkin cerita dongeng boleh berlaku. Tapi dalam kenyataan hidup yang sebenar, susah nak cakap,”
In mengeluh panjang setelah mendengar pendapat Ana dan Nadia.
“Kenapa In tanya?” tanya Nadia.
“Tak adalah. Tiba-tiba nak tanya,”
“Ke In mimpikan seseorang?” usik Ana.
“Eh, awak ni suka merepek tau,”
Mereka sama-sama ketawa. In masih lagi ragu-ragu dengan kenyataan Iqram. Benarkah apa yang dikatakan Iqram? Soalan itu masih lagi tiada jawapannya.
Iqram menanti Badrul dan Iqbal. Baru sebentar tadi Iqbal menelefonnya, mahu makan tengahari bersama. Iqram menghirup sirap bandung yang sejuk itu. Terasa nikmat apabila membasahi tekak. Kelihatan kereta milik Badrul menghampiri perkarangan restoran. Iqbal keluar dari kereta, dia mengangkat tangan kepada Iqram. Iqram membalasnya. Iqbal menuju ke Iqram terlebih dahulu, diikuti Badrul.
“Apa mimpi bro telefon aku, ajak aku lunch?” tanya Iqram.
Iqbal duduk bersebelahan dengan Iqram manakala Badrul duduk di hadapan Iqram.
“Kejap la bro, biar kitorang order dulu. Haus gila tekak ni,”
Badrul memanggil pelayan restoran. Pelayan lelaki yang dalam lingkungan belasan tahun itu menuju ke meja mereka.
“Order bang?” tanya budak belasan itu.
“Nasi goreng kampung satu,” pesan Iqram.
“Kasi limau ais dengan mi goreng satu,” ucap Badrul.
“Teh O ais kurang manis dengan nasi goreng paprik,” kata Iqbal.
“Tu je bang?”
“Rasanya tu je. Kalau ada lagi, nanti abang order. Abang ni nak belanja,” gurau Badrul sambil tangannya berada di bahu Iqram.
Budak lelaki itu hanya tersengih lalu menuju ke dalam.
“Wah, aku je kena payung,”
“Mestilah. Dah lama tak balik rumah, kenalah belanja,” sambung Iqbal.
“Apa cerita ni? Macam ada something je,” ucap Iqram.
“Tak adalah bro. Dah lama tak lepak dengan kau. Nak berbual juga, nak tahu cerita baru member kita ni,” kata Badrul.
“Cerita apa? Aku macam ni jelah. Busy,”
“Hari tu kitorang ada jumpa dengan bapak kau,” ujar Iqbal.
Air muka Iqram sedikit berubah namun dapat dibendung.
“Jumpa dengan bapak aku? Kenapa pulak? Macam tak biasa pulak korang jumpa dengan bapak aku,”
“Dia cakap kau dah lama tak balik sana,” kata Badrul.
Iqram terdiam.
“Kau duduk mana bro?” tanya Iqbal.
Iqram tersengih, menggaru-garu kepalanya. Dia tidak pernah menyangka yang mereka akan bertemu dengan ayahnya.
“Kau tak duduk dengan kitorang, kau pun tak duduk kat rumah bapak kau. Habis tu,kau sekarang stay mana?” tanya Badrul pula.
“Aku dapat agak, takkan kau nak duduk kat rumah bapak kau. Kau dengan mak tiri kau tu bukan baik sangat,” sambung Iqbal lagi.
Iqram menghirup airnya lagi, cuba mencari alasan yang sesuai tetapi buntu. Tidak jumpa jalan keluar. Iqram tidak mampu berkata apa-apa.
“Orang cakap, kalau membisu ni sebenarnya dia tak pekak, tapi pura-pura tak dengar,” Badrul cuba berkias.
“Aku macam berdepan dengan wartawan pulak,”
“Wartawan tak wartawan. Doktor dengan pensyarah pun kadang-kadang boleh tukar kerjaya jadi wartawan,” ujar Iqbal.
“Soalan korang tu susah lah aku nak jawab,”
“Tuan punya badan pun tak ada jawapan? Aku ingatkan kitorang je yang teraba-raba dalam gelap,”
“Ceritanya panjang,”
“Cerita jelah. Aku sanggup ambil cuti separuh hari semata-mata nak dengar cerita kau kalau cerita kau tu boleh buat drama bersiri,” kata Badrul.
“Ni ada kena mengena dengan In eh?” teka Iqbal.
Iqram memandang wajah Iqbal. Iqbal seperti dapat membaca fikirannya.
“Kenapa pula dengan In?”
Iqram cuba mengelak.
“Kalau badan orang lain yang sakit, kenapa kau pulak yang ambil cuti?” tanya Iqbal.
“Siapa pula yang sakit? Siapa pula yang ambil cuti?”
Iqram cuba berpura-pura tidak tahu.
“Kalau In yang sakit, kenapa kau yang susah payah tak kerja? Taulah anak bos,”
Iqram merasakan dirinya sudah tersepit, terperangkap dengan jerat Iqbal dan Badrul.
“Wah, kau tak kerja kat office bapak aku tu pun boleh tahu cerita ni eh?”
“Angin monsun yang bertiup kat office kau tu sampai kat telinga kitorang,”
Iqram hanya menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum.
“Sekarang, kau jawab soalan kitorang. Kat kepala kitorang ni dah banyak sangat benang kusut sampai tak ada jalan. Kau tinggal kat mana sekarang? Apa yang berlaku sekarang ni ada kena mengena dengan In ke?” tanya Badrul.
“Kadang-kadang soalan tu lebih berkuasa daripada jawapan,” kali ini Iqram pula berkias.
Iqram belum bersedia lagi untuk memberitahu Iqbal dan Badrul akan pernikahannya dengan In. Badrul dan Iqbal berpandangan. Harapan mereka untuk membongkar rahsia Iqram terhenti di situ.
“Nanti, korang akan tahu juga satu hari nanti. Aku rasa belum masanya lagi korang tahu. And, thanks sebab tak beritahu bapak aku pasal ni. Dia pun tak tahu yang aku tak stay rumah lagi,”
“Macam mana kau tahu kitorang tak beritahu bapak kau?”
“Kalau kau beritahu, dah lama bapak aku tu tanya kat aku,”
Suasana menjadi senyap.
“Jangan risau, aku akan beritahu korang satu hari nanti. Sebagai ganti rugi, lunch ni aku belanja,”
“Suka hati kaulah. Tapi aku yakin, ni mesti ada kena mengena dengan In,”
Iqram hanya tersenyum.
“Aku jadi terujalah. Macam excited nak tahu siapa sebenarnya Insyirah ni. Mesti ada sesuatu yang special kat dia ni sampai mampu buat kawan aku jadi macam ni,” kata Badrul.
“Kau tu memang. Tak habis-habis nak kenal siapa In,”
Tiba-tiba pelayan tadi datang ke meja membawa air yang dipesan mereka. Perbualan mereka mengenai Iqram terhenti di situ. Badrul memulakan topik mengenai perlawanan bola sepak semalam. Mujur Iqbal dan Iqram mengerti akan kedudukan Iqram. Kadang-kala Iqram serba salah dengan mereka kerana merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan mereka, namun dia masih lagi belum bersedia.
BAB 46
Mia merenung wajah In dalam-dalam. Dia tidak menyangka kawan baiknya itu telah menghadapi pelbagai dugaan yang hebat. Kehilangan orang yang tersayang dan dalam masa yang sama terpaksa hidup dengan orang asing tanpa kerelaannya dalam masa satu hari. Mia cuba mencari jawapan di mana kekuatan In, bagaimana In begitu tabah menghadapi dugaan itu. Timbul perasaan sayu dan simpati dalam hati Mia.
“Maknanya, selama ni kau jadi isteri yang tidak diundang kepada suami yang tidak diingini?” tanya Mia.
In hanya mengangguk lemah.
“Kenapa kau tak cerita dengan aku?”
“Aku tak tahu nak buat apa,”
“Aku minta maaf. Aku tak tahu pasal Zaf,”
Tangan Mia menggenggam tangan In, cuba memberikan sedikit kekuatan kepada In.
“Tak apa,”
“Sekarang kau dengan Iqram macam mana?”
“Aku duduk serumah dengan dia,”
“Aku tak sangka hidup kau jadi macam ni In. Tak sangka kau jadi isteri Iqram,”
“Kita tak tahu masa depan kita Mia,”
“Kau ada perasaan kat dia?”
In menggeleng-gelengkan kepala.
“Aku masih sayangkan arwah,”
“Atau kau masih tak dapat maafkan dia?”
“Aku cuba Mia. Mungkin lama-kelamaan aku dapat maafkan dia. Mak aku cakap walau apa pun terjadi, dia tetap suami aku,”
“Kau tak tuntut cerai?”
“Mak aku tak kasi. Mak aku cakap, cukup dengan apa yang dah berlaku, jangan keruhkan lagi keadaan,”
Mia menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Restoran di dalam plaza itu agak lengang. Mia dapat mendengar dengan jelas setiap butir kata yang terbit di bibir In.
“Aku tak cerai dengan dia sebab mak aku, aku still kerja kat Berjaya Holdings sebab uncle Taufiq,”
“Dia tak pernah buat apa-apa pada kau?”
“Tak. Dia layan aku baik. Dia minta aku bagi peluang kat dia untuk tebus segala-galanya. Dia tak pernah minta apa-apa daripada aku selain peluang tu,”
“Dia sayangkan kau?”
“Dia pernah cakap dia sayangkan aku,”
“Apa alasan dia buat macam tu pada malam tu?”
In hanya mendiamkan diri. In tidak mampu untuk meneruskan lagi cerita hidupnya yang penuh dengan duri itu. Hatinya sudah puas menangis, matanya sudah jemu mengalirkan air mata.
“Apa yang kau nak buat sekarang?”
“Aku tak tahu. Tapi aku boleh terima dia sebagai kawan dalam hidup aku buat masa ni. Aku macam dapat rasa yang dia betul-betul ambil berat pasal aku,”
“Habis tu?”
“Aku tak tahu,”
“Kau nak bagi peluang kat dia?”
“Aku masih sayang Zaf, Mia,”
Mia menarik nafas dan menghembuskan nafasnya perlahan-lahan. Mia terasa beban yang dipikul In begitu berat sekali.
“In, walau apa pun keputusan kau, aku sokong. Asalkan kau bahagia dengan apa yang kau ada,”
In tersenyum.
“Aku tahu, kau seorang yang tabah, yang kuat tapi sampai bila kau nak korbankan perasaan kau sendiri? Aku faham, kau mesti susah nak maafkan dia setelah apa yang dia dah buat pada kau. Kalau aku kat tempat kau, mesti aku jadi gila In,”
In menjadi sebak.
“Apa pun keputusan kau, kau kena fikir betul-betul. Ini soal hidup, kebahagiaan dan masa depan kau,”
“Terima kasih Mia,”
“Kalau ada apa-apa beritahu aku. Jangan simpan je. Walaupun aku tak dapat tolong, tapi aku ada telinga yang boleh kau pinjam untuk aku dengar masalah kau,”
In tersenyum. In segera memeluk Mia. Mia turut membalas pelukan In. Air mata In mengalir. Dia tidak pasti alasan air mata itu keluar, sama ada kerana Mia, Zaf atau Iqram.
In menadah tangan. Tubuhnya kini menghadap kiblat. Tubuhnya dilitupi dengan kain putih. Dia baru sahaja selesai menunaikan solat maghrib. Hatinya pada malam itu begitu sedih dan pilu kerana merindui Zaf.
“Ya ALLAH Ya TUHANku, KAU ampunilah segala dosa-dosaku, dosa kedua ibu bapaku, dosa ahli keluargaku dan dosa arwah Aiman Zafirul. KAU tempatkanlah ayahku di kalangan orang yang beriman. KAU luaskanlah rezeki hambaMU ini, KAU panjangkanlah umur ku supaya aku dapat bertaubat padaMU Ya ALLAH. KAU berikanlah aku kekuatan dan petujukMU untuk aku meneruskan kehidupan ini. KAU bimbinglah aku Ya ALLAH. KAU tunjukkanlah hikmah di atas semua yang ENGKAU telah takdirkan kepada ku. Ya ALLAH, kenapa hati ini begitu rindu padanya. Aku berharap perasaan ini tidak menyesatkan hambaMU yang lemah lagi hina ini. Ya ALLAH, berikan hambaMU ini kekuatan untuk memaafkan segala kesalahan orang lain sebagaimana ENGKAU menerima taubat hamba-hambaMU. Aku hambaMU yang lemah yang sentiasa memohon pertolonganMU. Sesungguhnya ENGKAU Maha Berkuasa dan menentukan segala-galanya,”
In menekup mukanya. Air matanya yang tadi mengalir kini telah meresap ke kain telekungnya. In mengambil Al-Quran lalu dia menyelak setiap helaian dan berhenti pada surah Yassin. In mahu menghadiahkan surah itu kepada ayahnya dan Zaf. Iqram keluar daripada kamarnya. Iqram mahu ke dapur. Dia melewati bilik In. Kedengaran suara In membacakan ayat suci Al-Quran. Langkahnya terhenti di situ. Suara In mendayu-dayu di telinganya. Tiba-tiba hati Iqram tersentuh. Sudah lama dia tidak membaca kitab suci itu. Dia sendiri hampir lupa bagaimana untuk membaca setiap baris yang ada di dada Al-Quran apatah lagi hukum tajwidnya. Dia sendiri lalai untuk menunaikan kewajipannya. Mungkin ini balasan ALLAH kepadanya kerana telah melupakan DIA. Dia sendiri berdosa kepada In kerana telah menyebabkan hidup In tidak bahagia apabila bersamanya. Kerana dosanya kepada ALLAH, ALLAH tidak membukakan pintu hati In untuk menerimanya. Iqram sedar, dia telah banyak melakukan dosa. Dosa kepada ALLAH, dosa kepada ayahnya, dosa kepada ibu tirinya dan dosa kepada In. Hati Iqram ketika itu menjadi tidak menentu. Perasaan bercampur aduk. Tanpa disedari, air matanya perlahan-lahan mengalir.
Angin pada malam itu bertiup lembut. Malam itu kelihatan bintang berkelipan di langit. Kedinginan malam menyeliputi tubuh In. In sedang menghirup udara malam di balkoni kondominium itu. Hatinya pada malam itu begitu sayu. In sndiri tidak mengerti kenapa malam itu fikiran, hati, perasaan dan jiwanya terlalu merindui Zaf. Hampir lima bulan Zaf pergi meninggalkannya, pergi jauh daripada hidup In.
“Kalau In dapat rasa hembusan angin malam, itu maknanya Zaf rindukan In. Kalau In dapt melihat bintang berkelip pada malam hari, itu maknanya Zaf perlukan In. Apabila In mendongak ke langit pada waktu malam, In terlihat cahaya bulan, itu maknanya kasih sayang Zaf pada In sentiasa ada, tidak pernah berubah,”
“Tapi kadang-kadang susah nak nampak bulan. Kalau tak ada bulan, maknanya Zaf tak sayangkan In?”
“Walaupun bulan tak ada di pandangan, ia tetap ada kan? Mungkin di sebalik awan ataupun di tempat lain,”
“Mm..betul. So?”
“Maknanya, walaupun In tak pernah nampak Zaf, walaupun Zaf pergi meninggalkan In, kasih sayang Zaf pada In tetap ada,”
Perbualan itu adalah ketika mereka sedang berbual di dalam telefon pada waktu malam suatu ketika dahulu. Ketika tu Zaf meminta In untuk melihat keluar tingkap dan mendongak ke langit. Zaf melafazkan kata-kata indah itu ketika In melihat ke langit. In masih ingat setiap tutur kata Zaf pada malam itu dan pada malam ini, In sekali lagi mendongak ke langit. Air matanya mengalir laju, tiada hentinya. Angin bertiup menyapa setiap helaian rambutnya. Bagi In, ia mewakili rindu Zaf. Iqram keluar daripada biliknya setelah selesai menunaikan solat Isyak. Hatinya pada malam itu begitu tersentuh setelah mendengar lafaz Al-Quran daripada In. Iqram menjengah ke balkoni. Iqram melihat tubuh In dari belakang. Perlahan-lahan Iqram mendekati In. Semakin hari, kasih sayangnya bertambah terhadap In, tidak pernah luak. Semakin Iqram menghampiri In, semakin jelas kedengaran suara In menangis. Perasaan ingin tahu terbit di fikirannya. Perasaan ingin melindungi In semakin menebal di dalam jiwanya.
“Insyirah,” panggil Iqram.
Kini Iqram berdiri di sebelah In. In menoleh. Kelihatan air mata In gugur dengan lajunya. In menoleh ke arah Iqram. Hatinya semakin sayu. Ketika itu, In merasakan dia memerlukan seseorang untuk berada disampingnya dan Iqram muncul di hadapannya. In seperti memerlukan Iqram ketika itu.
“Kenapa awak nangis?” tanya Iqram.
In tidak membalas pertanyaan Iqram dengan kata-kata, hanya esakan kedengaran.
“In, kenapa?” suara Iqram lembut di telinganya. Wajah Iqram ditatap In. Pandangan In pada malam itu seperti memerlukan Iqram di dalam hidupnya lantas In memeluk Iqram. Iqram terkejut dengan perlakuan In. In memeluk erat tubuh Iqram. Iqram terkesima seketika. Benarkah apa yang sedang berlaku ketika itu? Iqram merasakan masa seperti terhenti. Iqram menjadi serba salah untuk membalas pelukan itu, takut disalah erti jika dia turut memeluk In. Agak lama In memeluk Iqram. Setelah pasti, Iqram membalas pelukan In. Iqram dapat merasakan In memerlukannya ketika itu. In menangis di dalam dakapan Iqram.
“In, kenapa?”
Air mata In tidak berhenti. Iqram seperti dapat mengagak sebab In menangis.
“Awak rindukan Zaf?”
In dapat mendengar dengan jelas suara Iqram. Iqram mengusap lembut rambut In, cuba menenangkan In. In hanya menganggukkan kepala.
“Saya tahu, In sayangkan dia,”
“Kenapa dia pergi tak beritahu saya?” tanya In, suaranya bergetar dan seperti menggigil.
Hati Iqram menjadi sayu. Sayu dengan kasih sayang In terhadap Zaf. Zaf seorang yang bertuah kerana menerima kasih sayang daripada In.
“Zaf sayangkan awak. Dia tak mahu awak risau sebab dia pasti yang awak akan sedih,” jawab Iqram dengan tenang.
Air mata In mengalir laju.
“Saya rindukan dia,”
Pelukan Iqram semakin erat.
‘Jangan sedih sayang. Saya ada kat sini,’ bisik hati Iqram.
In merasakan pelukan Iqram hangat menyelimuti tubuhnya. Pelukan Iqram membuatkan perasaannya tenang. Kesedihan yang berada di lubuk hatinya beransur hilang, sedikit demi sedikit. Tiba-tiba In tersedar, In meleraikan pelukannya. Dia segera berpaling ke arah lain.
“In,” suara Iqram kedengaran.
Suara Iqram pada malam itu membuatkan perasaannya tidak menentu.
“Saya minta maaf. Saya tak sengaja. Saya tak nak awak fikir bukan-bukan,”
Iqram tersenyum.
“Tak apa, saya faham,”
Suasana menjadi sepi semula. Iqram dan In sama-sama berdiri di situ. Hembusan angin malam menemani mereka. In berpaling ke belakang lalu kakinya mahu melangkah. Iqram menyedari In mahu beredar dari situ.
“Awak nak pergi mana?” tanya Iqram.
Kaki In terhenti daripada terus melangkah.
“Saya nak masuk dalam,”
“Kenapa?”
“Saya nak masuk dulu. Saya nak lap air mata saya. Dah banyak air mata saya mengalir. Mesti awak cakap yang muka saya ni buruk masa menangis,”
In melangkah ke dalam rumah tetapi Iqram dapat menyambut tangan In lalu menarik lembut In ke tubuhnya. Tubuh In dan Iqram rapat. Pandangan mereka bersatu.
Pandangan Iqram seperti berkias dengan In. In memandang wajah Iqram, cuba mencari sesuatu. Perlahan-lahan tangan Iqram menghampiri pipi In. Jari-jemari Iqram lembut menyapu air mata In yang mengalir di pipi.
“Awak tak payah pergi mana-mana. Tangan saya mampu untuk mengelap air mata awak, Insyirah,” suara Iqram perlahan tetapi jelas kedengaran di telinga In.
In terkesima, dia membiarkan tangan Iqram berada di pipinya untuk menyapu air matanya yang telah banyak gugur. Ketika itu suatu perasaan muncul di hatinya. Hatinya berdebar-debar apabila merenung ke dalam mata Iqram. Pandangan Iqram seperti menyampaikan sesuatu. In mengalihkan pandangannya. Perlahan-lahan In menjauhkan diri lantas dia melangkah ke dalam lalu masuk ke dalam kamarnya. Hatinya tidak menentu. Suatu perasaan muncul di jiwanya. Iqram hanya memerhatikan langkah In. Dia benar-benar mahu menyapu segala kesedihan In. Iqram selalu berharap sentiasa ada peluang untuknya membahagiakan In.
No comments:
Post a Comment