BAB 49
In memulas tombol pintu masuk rumah itu. In memandang sekelilig. Niatnya mahu mengemas pakaian, dia mahu pergi ke rumahnya. Terasa rindu terhadap ibunya. Penat kerja di pejabat masih lagi terasa. Rumah itu terasa sunyi tanpa Iqram. In memandang ke dapur. Peristiwa semalam menggamit fikirannya. Pandangannya beralih ke balkoni. Di tempat itulah, In memeluk Iqram. Perasaan rindu terhadap Iqram mula menyelubungi hati In. In masuk ke dalam biliknya. Dia mahu menghempaskan tubuhnya ke katil. Belum sempat In bertindak sebegitu, In perasan yang anak patung beruangnya tiada tetapi digantikan dengan yang baru. Ada terselit nota di lengan anak patung itu.
Saya tak dapat bawa awak pergi bersama, sebab tu saya bawa teddy bear awak.
Saya minta maaf sebab bawa ‘In’ tanpa kebanaran awak.
Harap-harap ia dapat menemani saya. Saya dah biasa hidup dengan adanya awak.
Saya ternampak teddy bear ni tempoh hari. Dan tiba-tiba saya teringat kat awak.
Saya harap teddy bear baru ni dapat temankan awak, sebagai pengganti saya.
Kalau awak nak marah saya, nak cakap saya tak ada sivik, awak cakaplah kat ‘Iqram’ tu. Anggap ia macam saya. Memang ia baru, tak sama dengan yang lama tapi saya harap ia mampu jaga awak.
Macam saya, walaupun saya baru dalam hidup awak, tapi saya harap awak dapat terima saya seadanya.
Mm..lagi satu, saya ada bawa IQRA’. Tok guru jangan risau ya…
Saya budak baru belajar ni tak lupa peraturan pertama dan kedua tok guru.
Awak jaga diri baik-baik.
-Saya tahu, mesti awak rindu saya =)
In tersenyum sendiri membaca nota itu. In merasakan perbuatan Iqram itu cukup manis dan romantis. Langsung tidak terbit perasaan marah di dalam hati In. In mengambil anak patung beruang jantan itu. Ia berwarna coklat cair dan di bajunya tertulis perkataan ME. Warnanya hampir sama dengan anak patung yang dibawa Iqram.
“Awak memang tak ada sivik. Suka hati je curi teddy bear orang,” ucap In kepada ‘Iqram’.
In menatap anak patung itu. Dia dapat merasakan Iqram turut memandangnya.
In meletakkan semula anak patung itu di atas katil. In menanggal jam tangannya. Tiba-tiba hatinya tersentuh. Setiap kali jam tangan itu ditatap, hati In akan terasa rindu. In tidak pernah lupa untuk menghadiahkan Al-Fatihah kepada Zaf. Semasa mebacakan surah Yaasin untuk arwah ayahnya, In turut mengirimkannya untuk Zaf. Perasaan sayangnya masih lagi berbaki di lubuk hati In.
“Assalammualaikum,” ucap In sewaktu sampai di hadapan rumahnya. Kelihatan Waja Indah di perkarangan rumah.
“Waalaikummussalam,”
In melangkah masuk setelah kedengaran suara Indah menjawab salamnya.
“La, kakak rupanya. Mak ingat siapalah tadi,”
In bersalam dengan ibunya. In memeluk Indah. Terubat rasa rindu di hati.
“Kenapa peluk mak kuat sangat ni?”
“Kakak rindu,”
In meleraikan pelukannya.
“Iqram mana? Tak balik sekali? Kakak gaduh dengan Iqram ya?” duga Indah.
“Taklah. Dia pergi outstation. Iqram yang suruh balik. Kat rumah tak ada siapa-siapa,”
“Mm..baguslah tak bergaduh. Mak ingat kakak dengan dia bergaduh,”
“Mak, adik balik ke? Nampak motor dia kat luar,”
“Ada kat atas tu. Kelmarin dia balik. Cuti seminggu,”
Afiq menuruti tangga. Dia mendengar suara In dari biliknya.
“Ha, ngumpat adik eh?” Afiq berseloroh.
“Mana ada. Tuduh-tuduh je,” balas In.
Afiq bersalam dengan kakaknya. Afiq melihat In membawa beg baju.
“Berapa hari abang Iqram pergi outstation? Lama ke akak tidur kat sini?”
“Mm..mungkin dua tiga hari. Kalau boleh nak tidur lama-lama kat sini,”
“Adik, pergi tolong akak bawa beg naik atas,” suruh Indah.
Afiq menuruti. Pandangan Afiq tertumpu kepada anak patung beruang yang berada di atas beg pakaian In.
“Lepas dah siap semua, turun. Kita makan sama-sama,” sambung Indah lagi.
Afiq mengambil ‘Iqram’.
“Kakak, ni teddy bear kakak ke?”
“Yelah. Dah kakak bawa, tak kan adik punya pulak,”
“Akak punya bukan macam ni. Mana teddy bear yang dulu?”
In mengambil anak patung itu daripada Afiq.
“Adik ni banyak tanya tau. Ada, kat rumah,”
“Kenapa bawa yang ni? Dulu adik sorokkan akak mengamuk cari satu rumah. Sekarang ditinggal-tinggal pula. Lebih baik kakak mengaku,”
“Abang Iqram yang kasi,”
“Abang Iqram? Habis tu yang lama punya kakak buang?”
“Taklah. Mana boleh buang. Kakak sayang teddy bear tu,”
“Habis tu?”
“Abang Iqram bawa pergi outstation,”
In segera menaiki tangga.
“Abang Iqram bawa? Kenapa pula abang Iqram bawa teddy bear kakak? Kakak, jangan naik dulu lah. Adik nak tanya ni,” Afiq segera mengejar In sehingga ke kamar In.
Indah tersenyum sendiri mendengar perbualan Afiq dan In. Dia bersyukur yang In mula menerima Iqram.
Afiq sudah berada di hadapan pintu.
“Kakak dengan abang Iqram dah ok ke?”
“Ok macam mana?”
“Kakak dapat terima dia?”
In meletakkan beg pakaiannya di atas katil. Dia mula mengeluarkan pakaiannya sehelai demi sehelai.
“Siapa kata kakak dapat terima dia. Sekarang ni kakak dapat terima dia sebagai kawan je,”
“Habis tu teddy bear akak tu?”
“Teddy bear je kan. Bukan apa pun. Kakak sayang lagi dengan abang Zaf,”
“Adik mungkin masih muda lagi nak cakap dengan akak pasal ni. Lepas apa yang abang Iqram buat pada kakak, adik tahu bukan senang kakak nak hidup dengan dia,”
“Adik nak cakap apa kat kakak ni? Sini, duduk sebelah kakak,”
In mengajak Afiq duduk di sebelahnya di sisi katil. Afiq menuruti.
“Adik tak tahu abang Iqram tu macam mana. Tapi adik dah lama kenal dengan arwah abang Zaf. Adik tahu kakak sayang sangat dengan abang Zaf. Mula-mula adik rasa abang Iqram kejam sangat, sanggup buat kakak macam tu tapi mak banyak cerita pasal abang Iqram. Mak macam nak kakak terima abang Iqram seadanya. Tapi adik kesian tengok kakak. Terpaksa hadapi semua ni,”
“Habis tu, adik nak kakak macam mana?”
“Adik tak tahu. Adik tak tahu siapa abang Iqram. Adik cuma nak kakak adik ni bahagia je,”
In terharu dengan kata-kata Afiq. Irfan Nur Afiq, satu-satunya adik yang In ada. Dia sendiri tidak menyangka Afiq akan berkata sedemikian.
“Adik sayang kakak. Mungkin betul cakap mak. Abang Iqram ada alasan sendiri. Abang Zaf dah pergi. Adik tak sangka sebegitu banyak kasih sayang abang Zaf pada kakak sehingga dia sakit hampir meninggal pun dia sanggup tak beritahu,”
In tersenyum. Hatinya sudah menangis tetapi matanya masih lagi mampu menahan air mata itu daripada mengalir. Afiq segera memeluk In. In membalas pelukan itu.
“Adik sayang kakak. Adik nak kakak bahagia,”
“Terima kasih adik,”
In bersyukur yang dia dianugerahkan adik yang begitu memahami hatinya. Afiq sentiasa menyokongnya tidak kira apa jua yang dilakukannya.
“Kakak pun sayang adik,”
BAB 50
Taufiq meneliti risalah mengenai kawasan peranginan itu. Iqram yang berada di hadapannya masih lagi memandang laut. Mereka baru sahaja habis berbincang dengan pemilik pusat peranginan itu. Mereka telah mencapai kata sepakat yang Berjaya Holdings akan menguruskan segala kerja menaik taraf tempat tersebut. Segala dokumen dijangka siap dalam tempoh dua minggu. Itu bermakna, Iqram perlu pergi ke tempat peranginan ini sekali lagi.
“Siapa orangnya?” tanya Taufiq.
Iqram hairan dengan pertanyaan Taufiq.
“Siapa? Siapa papa?” Iqram membalas dengan pertanyaan.
“Orang yang ada kat dalam hati kamu tulah,”
“Mana ada siapa-siapa pa,”
“Darah kamu dengan darah papa sama. Darah papa mengalir dalam tubuh kamu. Masakan papa tak dapat rasa perasaan kamu Iqram,”
“Papa ni tiba-tiba jadi doktor pula,”
“Kamu macam sembunyikan sesuatu daripada papa,”
“Sembunyi? Tak adalah pa,”
“Papa nampak perubahan kamu,”
“Perubahan?”
“Semalam kamu tidur, ada teddy bear kat sebelah kamu,”
Iqram merasakan dirinya sudah terperangkap dengan jerat yang dipasang ayahnya dan kini dia tidak mampu untuk melepaskan diri. Iqram menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal itu.
“Kenapa diam?”
“Susah nak jawab soalan papa tu,”
“Kamu ada je alasan. Bukan nak beritahu papa. Kamu tu pun satu, dah lama tak balik rumah. Aunty Halimah tanya pasal kamu,”
Iqram malas mahu membincang soal Halimah. Bagi Iqram, biarlah hubungan mereka begini.
“Kamu masih marah papa dengan aunty Halimah ke?”
“Entahlah pa,”
“Papa pernah buat silap. Papa tahu yang dulu papa dah abaikan mama kamu. Papa kahwin dengan aunty Halimah. Papa dah buat mama kamu menderita. Papa tak ada disamping dia sewaktu dia nak melahirkan adik kamu. Dan akhirnya kedua-duanya pergi meninggalkan papa. Cukuplah papa rasa bersalah,”
“Papa sepatutnya berterima kasih dengan mama kerana benarkan papa kahwin lagi tapi papa abaikan mama. Papa tak adil. Sebabkan dia, papa tak hiraukan mama. Bukan senang Iqram nak lupakan semua tu,”
“Setiap manusia berhak diberi peluang kedua Iqram,” ucap Taufiq. Iqram memandang wajah ayahnya. Memang benar apa yang dikatakan Taufiq. Dia sendiri meminta peluang daripada In.
“Insya ALLAH pa. Iqram pun manusia biasa,”
Taufiq cuba tersenyum.
“Walau apa pun yang terjadi, papa bersyukur kerana Iqram masih lagi menghormati papa dan aunty Halimah,”
“Iqram ingat pesan mama. Iqram kena hormat pada orang yang lebih tua tak kira sama ada kita benci atau tidak pada orang tu,”
“Iqram tahu tak yang kamu ni anak yang baik. Papa rasa berterima kasih dengan mama kamu kerana telah mendidik kamu dengan baik. Mungkin pemergian mama dan adik kamu sebagai satu hukuman kepada papa kerana tak menghargai apa yang papa miliki,”
Iqram hanya mampu tersenyum mendengar pujian daripada Taufiq lalu memandang semula ke laut. Rindunya pada mamanya menggamit di dalam hatinya. Dia teringat akan kata-kata In semasa In mengajarnya membaca IQRA’ tempoh hari.
“Suara awak baca Al-Quran sedap,”
“Mana awak tahu?”
“Saya dengar awak baca Yaasin hari tu. Tapi suara awak macam menangis. Kenapa?”
“Saya bacakan Yaasin untuk arwah ayah saya dan arwah Zaf. Saya terlalu rindukan mereka. Apabila saya rindukan ayah saya, saya akan hadiahkan Al-Fatihah dan surah Yaasin,”
“Kalau awak rindukan Zaf?”
“Saya pun akan hadiahkan Al-Fatihah dan Yaasin pada dia. Saya tak mampu berbuat apa-apa. Itu je yang saya dapat lakukan kalau saya rindukan dia. ALLAH lebih berkuasa, saya sebagai hambaNYA hanya mampu menerima segala takdir yang telah ditetapkan,”
Kata-kata In itu masih lagi segar di dalam ingatannya. Iqram berjanji, setelah dia sudah boleh membaca Al-Quran, dia akan menghadiahkan surah Yaasin kepada arwah ibunya. Sudah lama dia tidak berbuat begitu. Hidupnya bertambah tertekan dengan pemergian ibunya. Segala kewajipan mula Iqram tinggalkan. Solat hanya dilakukan sekali sekala. Sejak In hadir di dalam hidupnya,segalanya berubah. In mula menyedarkannya daripada terus hanyut. Lamunan Iqram terhenti apabila Taufiq memanggilnya.
“Iqram,”
Iqram menoleh.
“Uncle Fadhil dah balik Malaysia,”
“Uncle Fadhil dah balik? Tak stay kat Melbourne lagi ke?” tanya Iqram.
Ahmad Fadhil, adik kepada Taufiq yang sudah menetap di Melbourne hampir enam tahun. Sekali dalam setahun dia akan pulang ke Malaysia.
“Tu papa tak pasti. Dia cakap mungkin dia nak tinggal kat Malaysia,”
“Qistina dengan Qhairul balik sekali ke?”
“Mestilah diorang ikut. Lagi-lagi Qistina. Dia selalu balik Malaysia ni nak jumpa kamu,”
“Pa, dia sepupu Iqram kan. Iqram dah anggap dia macam adik je,”
“Memanglah tapi papa tengok dia suka sangat kat Iqram,”
“Tapi Iqram suka dia sebagai adik je,”
“Habis tu kamu suka siapa?”
“Mana ada siapa-siapa pa,”
“Kamu suka dengan tuan teddy bear tu kan?”
“Tak adalah pa,”
“Kalau tak ada, susah sangat kamu kahwin je dengan Qistina tu,”
“Ish, papa ni. Merepek je. Dia sepupu Iqram. Sudah-sudahlah pa, satu hari nanti Iqram kahwin,”
Akhirnya Taufiq mengalah.
“Papa gurau jelah pasal Qistina tu. Papa pun kurang suka kalau kahwin sepupu ni. Tapi kalau jodoh kamu dengan Qis, papa serahkan pada kamu je,”
“Pa, Iqram nak masuk bilik dululah. Nak tidur lah,”
“Bertuah betul. Datang jauh-jauh,dah sampai tempat cantik-cantik ni tak nak mandi ke, scuba ke. Ni tak, nak pergi tidur,”
“Penatlah pa. Kalau papa nak, papa pergilah,” Iqram berlalu pergi meninggalkan Taufiq. Taufiq hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat kerenah anaknya itu.
Iqram berada di balkoni biliknya. Biliknya menghadap kawasan laut. Iqram menghirup udara laut, terasa nyaman.
‘Kalau ada In mesti lagi best,’ bisik hati Iqram. Iqram mengambil ‘In’ yang berada di atas katil.
“Awak rindu saya tak?” tanya Iqram.
Tangan Iqram menyentuh anak patung beruang itu. Sedikit sebanyak rindunya terubat.
“Kenapa diam?” tanya Iqram lagi.
“Memanglah dia diam. Teddy bear ni mana boleh cakap,” Iqram menjawab pertanyaannya sendiri.
“Lebih baik aku tanya tuan kau. Mana tahu dia rindu,” ucap Iqram kepada ‘In’.
Iqram mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia mula mencari nombor telefon In. Hatinya terasa rindu yang teramat terhadap In. Iqram meletakkan telefon ke telinganya. Dia mengharapkan In akan menjawab panggilannya. Beberapa detik kemudian, kedengaran suara In.
“Assalammualaikum,” ucap In.
Suara In di dalam telefon cukup membuatkan hati Iqram berbunga.
“Waalaikummussalam,” balas Iqram.
“Awak sihat?”
“Sihat. Awak semalam tidur kat rumah mak awak tak?”
“Ye, saya tidur kat sana. Mm..awak dah baca IQRA’?”
“Mmm..hari ni belum, semalam dah,”
“Jangan lupa baca. Nanti balik dari Pahang, tok guru nak check bacaan awak,”
“Baik tok guru. Tok guru macam tak sabar je,”
“Tak sabar? Tak sabar apa pulak?”
“Tak sabar nak tunggu saya balik. Awak dah rindukan saya kan?”
“Memang, memang saya tak sabar nak tunggu awak balik,”
“Awak mengaku pun,”
“Tapi bukan sebab saya rindukan awak. Saya nak marah awak,”
“Marah saya?”
“Awak dah curi teddy bear saya. Tak ada sivik,”
“Eh, awak tak boleh cakap macam tu. Saya ada sivik. Saya gantikan teddy bear awak dengan yang baru,”
“Tak kira, mengambil barang orang tanpa kebenaran di kira mencuri,”
“Tapi, saya gantikan dengan yang baru. Awak ada bawa pergi rumah mak awak tak?”
“Tak, saya tinggal kat rumah,”
“Sampainya hati awak,”
“Saya memang jahat,”
“Tapi saya tahu, awak mesti bawa. Awak mana boleh tidur tanpa teddy bear. Lebih baik
awak mengaku,”
“Ya, saya bawa,”
Iqram tersenyum mendengar pengakuan In.
“Awak bawa tidur sekalilah ya? Awak peluk tak?”
Iqram cuba bermain dengan perasaan In.
“Kenapa awak nak tahu?”
“Mestilah, saya yang belikan awak teddy bear tu,”
“Menyibuk je. Dahlah, saya ada banyak kerja ni. Nanti tak siap, awak juga yang susah,”
“Ala..jawablah soalan saya,”
“Saya tak nak jawab,”
“Saya cuma harap yang dia dapat temankan awak sepanjang saya tak ada,”
“Mm..bila awak nak pulangkan teddy bear saya? Tak malu eh? Mana ada orang lelaki bawa teddy bear,”
In cuba mengejek Iqram.
“Nanti awak balik, saya nak marah awak puas-puas,”
Iqram hanya membisu, membiarkan In mengomel sendiri.
“Iqram, awak dengar tak?”
In mula merasakan yang dia hanya berbicara sendiri.
“Insyirah,” panggil Iqram, lembut.
In membiarkan Iqram berbicara.
“Saya rindukan awak. Esok saya balik. Awak tunggu saya ya?” pinta Iqram.
In tidak dapat membalas kata-kata Iqram. Bagi In, kata-kata Iqram cukup indah kedengaran di telinganya.
“Assalammualaikum,” ucap Iqram.
“Waalaikummussalam,” balas In. In memutuskan panggilan telefon terlebih dahulu. Iqram mengambil semula ‘In’ yang berada di atas katil. Iqram baring samil menatap ‘In’. Dia tersenyum sendiri. Satu persatu kenangan manis bersama In bersarang di fikirannya. Kejadian In memeluknya dan ketika mereka mencuci pinggan bersamanya. Iqram memeluk ‘In’ erat-erat. Kini ‘In’ sudah berada di dalam pelukannya. Iqram memejamkan matanya, bibirnya masih lagi tidak lekang dengan senyuman dan tanpa disedari Iqram terlelap bersama memori terindah dan mengharapkan ianya berlanjutan hingga ke alam mimpinya dan ia akan menjadi kenyataan.
“Insyirah, saya sayangkan awak,”
No comments:
Post a Comment