“NI ke abang Naz?” tanya Qash Alaisyah,
mengulangi jawapan yang diberikan oleh Nazri.
Terkejut seketika wanita itu tatkala melihat
situasi tadi. Masuk sahaja bistro, Nazri melulu mendapatkan pelanggannya yang
sedang duduk berhampiran dengan dinding cermin yang membolehkan pelanggan
bistro itu menikmati pandangan luar. Pastinya Nazri terlebih dahulu mengenali
bentuk tubuh tersebut dari luar. Nazri terus memeluk erat Redza dari arah
belakang sebaik sahaja melangkah ke dalam. Apa lagi, gamat dan kecoh jadinya
Bisrto Karipap La Timah.
“Inilah abang Naz, Kak Syah,” ujar Nazri
sekali lagi. Tangannya melingkari bahu Redza.
“Akak memang tak tahu pun. Abang Yusuf yang serve kaunter. Tadi akak kat belakang. Nak pergi kaunter,
nampak Naz tiba-tiba peluk lelaki ni. Terkejut sekejap.”
Wanita memakai tudung jenis bawal itu
menemukan tapak tangannya ke dada sebagai isyarat yang dia benar-benar tidak
menyangka lelaki tersebut adalah abang kepada Imran Nazri. Bukannya apa, lain
benar abang dengan adik. Lebih-lebih lagi dari segi maskulin dan maconya. Pandangan
Qash Alaisyah sekejap bertaut dengan suaminya yang berada di sisi kanan.
“Eh, tak apa. Saya tahu mesti owner bistro ni sibuk. Saya pun tak nak ganggu.”
“Naz pun tak beritahu yang Encik...”
“Tak payahlah nak berencik dengan saya. Segan
pula. Saya Imran Redza. Boleh panggil saya Redza.”
“Saya Qash Alaisyah. Budak-budak ni semua
panggil saya Kak Syah. Rasanya saya dengan Redza sebaya. Tak payahlah nak puan
bagai semua tu. Panggil nama aje. Ni suami saya, Yusuf Mikhail.”
Redza dan Yusuf Mikhail saling bertukar
senyuman dan huluran salam.
“Apa khabar?” soal lelaki yang berkulit jauh
lebih cerah daripada Redza itu.
“Alhamdulillah. Sihat. Agak fasih bahasa
Melayu awak. Saya dah dapat agak dah yang ni Yusuf Mikhail. Naz bila telefon
saya ada juga bercerita pasal bistro ni.”
“Apa ajelah yang budak bertuah ni cerita,”
ucap Qash Alaisyah sambil memberikan jelingan gurauan terhadap Nazri.
“Saya cakap Kak Syah garang. Selalu membebel
kat saya macam umi saya.”
Semua yang ada di situ tergelak.
“Semuanya yang baik-baik. Saya berterima
kasih kat Syah sekeluarga sebab sudi tengok-tengokkan Naz dengan Nadh kat sini.
Sudi anggap dia orang sebahagian daripada keluarga Syah.”
“Tak ada apalah sangat. Kat Venice ni tak
ramai orang Melayu. Bila kita sesama Malaysia kumpul dan kerja satu tempat,
terasa suasana macam kat Malaysia.”
“Bila abang sebut pasal Nadh, baru Naz
teringat. Mana Nadh, Kak Syah? Dari tadi tak nampak. Cik Salmah tu keluar ke?
Kalaulah Nadh tahu Abang Redza ada kat Venice ni, mahu terkeluar biji mata dia
bertubi-tubi.”
“Ha’ah, dia keluar delivery dengan Al. Pelik juga tak balik sampai sekarang. Dah setengah jam dah.”
“Al ikut Nadh ke, sayang? Patutlah abang tak
lihat dia dari tadi,” ujar Yusuf Mikhail. Dia memandang sekeliling.
“Dating ke dia orang tu Kak Syah? Hairan benar rasanya. Tak
pernah-pernah Cik Salmah tu delivery berteman.”
“Siapa Al tu?” aju Redza. Namun, hatinya
sudah boleh menjangkakan siapakah pemilik
gelaran tersebut.
Belum sempat soalan itu dijawab, bunyi kuakan
pintu kedengaran. Nadhrah dan Qadheer Alauddin tiba.
“Panjang umur budak berdua ni. Kenapa lama
sangat hantar karipap? Customer bising tak?”
“Nadh dah hantar karipap tu kak. Tapi Encik
Al...”
“Al mintak tolong Keris kenalkan dengan
pelanggan bistro kita.”
Gadis itu mencebik panjang. Coretan wajah
diukir dengan perasaan tidak puas hati. Memang benar Qadheer Alauddin
berkenalan dengan pelanggan tetapi sekejap sahaja. Selesai membuat
penghantaran, Qadheer Alauddin mengajak Nadhrah masuk ke dalam deretan butik
pakaian yang mereka lintasi. Masuk kalau membeli tak apa juga. Masuk untuk
membelek, lalu keluar. Memang jelas Qadheer Alauddin punya agenda.
“Nadh?”
Suara Nazri mematikan lamunannya. Dia memandang
rakan baiknya itu.
Bagaikan ada suis, sekelip mata wajah Nadhrah
berubah. Senyuman diukir panjang hingga ke telinga. “Aku dah jumpa dulu Abang
Redza daripada kau.”
“Kau tahu ke abang aku nak datang Venice?”
“Tak tahu pun tapi terserempak kat depan
bistro masa aku nak keluar tadi. Abang Redza cakap, dia nak buat surprise. Rindu sangat
katanya dengan orang Venice.”
Redza menghadiahkan senyuman terhadap
Nadhrah.
Memang jelas ada sesuatu antara mereka berdua pada
pandangan Qadheer Alauddin. Qadheer Alauddin sengaja berdeham sebanyak
tiga kali.
“Eh? Lupa pula nak kenalkan. Inilah Al, adik
saya. Qadheer Alauddin,” ujar Qash Alaisyah.
Redza mengulangi perbuatannya seperti tadi
tatkala diperkenalkan dengan Yusuf Mikhail beberapa tika yang lalu. Genggaman
tangan Qadheer Alauddin terasa padu pada sentuhannya.
Qadheer Alauddin tersenyum tawar.
“Redza duduk Venice lama? Ada booking hotel ke?” soal
Yusuf Mikhail tatkala tangan mereka berdua terlerai.
“Belum lagi. Tulah...
Ingat nak cari kejap lagi.”
“Kalau belum lagi, tak mengapa. Boleh tinggal
di rumah yang saya sewakan pada Naz. Al pun duduk di situ juga,” pelawa lelaki
warga Itali itu dengan bahasa Melayu baku.
“Betul tu Redza. Tak payah nak cari hotel.
Rugi kalau sorang-sorang duduk hotel tu. Duduk aje dengan Naz dan Al.”
“Betul tu. Dah dekat sangat dengan rumah
Nadh,” tambah Nadhrah dengan alunan suara yang teruja
“Kalau semua dah pelawa, takkan saya nak
menolak pula. Memang tak terasa asing duduk kat Venice ni kalau terima layanan
macam ni. Terima kasih banyak-banyak.”
“Perkara kecil tu. Tak ada hal sangatlah,”
balas Qash Alaisyah.
“Sayang, apa kata kita jemput semua makan kat
rumah kita malam ni? Boleh kita masak spageti bolognese meatball,” cadang Yusuf Mikhail.
“Abang Yusuf nak masak? Terbaik. Harus minta
tapau bawa balik rumah. Abang Yusuf, I agree with you,” sokong Naz sambil menunjukkan dua ibu jari.
“Wah, bukan selalu dapat makan spageti air
tangan asli daripada orang Itali ni,”
sambung Redza pula.
KEPALA yang berselindung di sebalik dinding
dijengahkan sedikit ke ruangan tingkap. Qadheer Alauddin menampakkan sedikit
bahagian anggota kepalanya. Matanya menumpu dan fokus terhadap bangunan yang
berada di hadapannya. Lelaki itu sedang mencuri pandang. Lampu bilik tidur
Nadhrah masih menyala. Itu tandanya gadis tersebut belum melelapkan mata.
Agak lama Qadheer Alauddin begitu. Dia tidak
mahu Nadhrah mengetahui perbuatannya. Manalah tahu, tiba-tiba sahaja perempuan
itu muncul di ruangan jendela. Kalau secara terang-terang dia menampakkan diri,
memang ketara sangatlah Qadheer Alauddin menantikan Nadhrah muncul pada
penglihatan.
Telinga Qadheer Alauddin berada dalam mod
berjaga-jaga. Hati kecil itu merintih. Dia berharap sangat telefonnya
berdering. Tatkala pulang dari rumah Qash Alaisyah tadi, Nadhrah langsung tidak
mempedulikan Qadheer Alauddin. Sibuk benar Nadhrah menghabiskan masa bersama
Redza dan Nazri sehinggakan sampai di hadapan rumah setengah jam yang lalu
mereka masih lagi berbual. Sudahnya, Qadheer Alauddin mengambil keputusan untuk
membiarkan mereka bertiga berbicara sesama sendiri.
Hembusan nafas Qadheer Alauddin kedengaran
berat. Dia mengeluh. Kelopak mata itu terpejam. Kemesraan Redza dan Nadhrah
pula yang muncul. Fikiran Qadheer Alauddin menayangkan peristiwa siang tadi.
Hatinya tidak pasal-pasal menjadi berdebar tatkala tangan Redza singgah pada wajah Nadhrah.
Qadheer Alauddin mengambil keputusan untuk
beredar. Dia menuju ke arah meja. Kamera dan telefon bimbit terletak pada
permukaan objek yang diperbuat daripada kayu itu. Rutin hariannya sebelum tidur
pasti akan membelek isi kandungan yang ada pada kamera tersebut. Entah mengapa,
malam itu tanpa ada perasaan ragu-ragu, tangannya menggapai telefon bimbit lalu
Qadheer Alauddin baring ke permukaan tilam.
“Telefonlah...”
pinta Qadheer Alauddin. Skrin yang gelap diharapkan menyala.
“Semalam sibuk nak bercerita, hari ni takkan
dah lupa?”
Qadheer Alauddin mengetap bibir. Baris gigi
atas bertemu dengan deretan gigi bawah. Geram dengan perasaan yang sedang dia
lalui. Harapan yang tidak pasti sama ada tertunai ataupun tidak membuatkan
jantung lelaki itu berdetak dengan lebih kencang.
“Memang sah ada yang tak kena ni, Al.”
Tubuh yang sedang baring dipaksa bangkit. Dia
turun dari katil. Kemudian melangkah empat tapak. Qadheer Alauddin meletakkan
alat komunikasi miliknya itu ke lantai.
“Kau dah lama tak pumping ni
agaknya. Sebab tu jantung tak pasal-pasal jadi macam ni. Kau kena bersenam, Al.
Kembalikan semula jantung kau kepada asal.” Qadheer Alauddin menarik nafas lalu
meghembus secara perlahan.
Malam itu Qadheer Alauddin mengenakan kemeja-T tanpa lengan berwarna hitam dan seluar
pendek paras lutut bercorak celoreng askar. Dia tunduk dan merenggangkan segala
anggota. Badan Qadheer Alauddin menghadap ke
lantai. Lengan yang terdedah itu lurus tegak menyokong tapak tangan yang
menekap ke lantai. Dia melunjurkan kaki lalu hujung jari-jemari
kakinya berada di atas katil.
Dengan posisi begitu, jelas Qadheer Alauddin
mahu melakukan tekan tubi secara decline push up. Tekan tubi cara tersebut lebih sukar
dilakukan dan memerlukan lebih banyak tenaga daripada melakukan rutin itu
secara sepenuhnya di lantai. Ia lebih sukar
kerana otot yang akan terlibat untuk melakukan latihan ini ialah dada, bahu,
lengan, belakang serta kaki. Lalu, kesannya ia akan menguatkan otot perut
secara langsung ketika melakukan senaman ini.
“Kau kena ingat tujuan asal kau kat Venice
ni. Kau tak boleh ada perasaan ni untuk Keris.”
Qadheer Alauddin memulakan gerakan. Dia
membengkokkan tangan lalu dada menghampiri lantai. Saat itu Qadheer Alauddin
sedang menahan berat tubuhnya sendiri. Langkau sesaat, dia kembali ke kedudukan
asal. Sekejap penglihatannya menghampiri telefon dan
beberapa tika kemudian objek itu menjauh, seiring dengan pergerakan yang
dibuat. Otot bahagian lengan menghampiri bahu sekejap mengembang sekejap
beralih semula ke asal.
Dia berusaha sehabis daya menangkis rasa yang
ada. Semakin dia berusaha, apa yang cuba disingkirkan semakin mencengkam hati.
Memang benar, manusia tidak mampu menipu hati. Qadheer Alauddin sepertinya
benar-benar mengalah dengan perasaan yang sedang dilalui ketika ini. Antara
fikiran dan jiwa dalaman, ternyata bicara jiwanya sudah menguasai diri.
Permukaan skrin telefon masih kosong. Gelap.
Untuk membuang perasaan resah, lelaki itu
terus melakukan aktivitinya. Urat yang berada di pergelangan tangan timbul dan
semakin ketara kelihatan. Titisan peluh mengalir dari dahi lalu menuruni dagu.
Al, teruskan Al. Hati dengan jantung kau tak
patut jadi macam tu bila pandang Keris. Tekan tubi ni baik kekuatan dada kau. Normalkan balik jantung
kau bila pandang Keris. Jangan nak berdegup laju sangat. Jiwa dalaman Qadheer
Alauddin bermonolog sendiri.
Qadheer Alauddin memaksa otot
abdomen, pinggul dan belakangnya terus bergerak. Selain bekerja sehingga lewat
malam, ini merupakan salah satu cara dia mengisi lapang sejak Anis Nadhira
pergi meninggalkan diri lelaki tersebut
untuk selama-lamanya. Jika tidak berhadapan
dengan gulungan lukisan, Qadheer Alauddin akan kerap ke gimnasium. Baginya, aktiviti sedemikian merupakan terapi
terbaik untuk melupakan rasa sedih meskipun memorinya kuat menyimpan kenangan
bersama Anis Nadhira.
“45,
46, 47...”
Niat Qadheer Alauddin mahu menghabiskan kiraannya sehingga ke 50. Baki tenaga
yang ada digunakan.
“48,
49...” Dadanya menghampiri ke lantai.
“Lima pu...”
Detik itu juga, telefon
bimbit yang gelap tidak semena-mena menyala. Nama Keris Nadhrah Sari terpampang
nyata. Apa lagi, terkejut bukan main kepalang dibuatnya. Lengan sasa yang kukuh
menyokong tubuh serta-merta menjadi lemah kerana tidak menyangka nama itu akan
tertera. Badan Qadheer Alauddin sepenuhnya bertemu ke dada lantai.
Tanpa berlengah, lelaki itu
mengambil gadjetnya. Dia baring terlentang. Dia melepaskan
lelah seketika. Wajah yang serius diukir dengan senyuman yang panjang. Hujung
ibu jari kanan Qadheer Alauddin mahu menyentuh skrin. Namun, otaknya segera
menyekat.
“Jangan jawab, Al.”
Nada dering yang bergema
memenuhi ruang kamar seakan-akan ada kuasa
magis. Qadheer Alauddin tidak mampu untuk bertahan. Dia mengeluh. Makin hari
makin dia tidak memahami perasaannya sendiri.
“Tak boleh jawab cepat-cepat.
Kang nampak sangat aku tunggu call dia.”
Fikiran Qadheer Alauddin
mengatur strategi. Dia berdeham sebanyak tiga kali. Jari dilungsurkan dari kiri
ke kanan pada skrin telefon. Dia memejamkan mata tatkala objek di tangan berada
di telinga.
“Hmm...
Helo...” ucap lelaki itu. Sengaja Qadheer
Alauddin mengalunkan rentak suaranya seolah-olah dia baru tersedar daripada
tidur.
“Oh...
Encik Al dah tidur rupanya,” balas Nadhrah di hujung talian.
Qadheer Alauddin menguap
panjang. Lakonannya harus benar-benar kelihatan natural, bukan dibuat-buat.
“Awak nak apa telefon saya
malam-malam macam ni?” soal Qadheer Alauddin sambil menonyoh
mata.
Kau memang dah tak waras, Al.
Kalau ya pun berlakon, tak payahlah nak tonyoh mata tu. Bukannya orang nampak
pun. Marah lelaki itu terhadap dirinya sendiri.
“Saya minta maaf Encik Al.
Saya tengok lampu bilik Encik Al masih menyala. Jadi...”
“Kenapa? Tak boleh ke saya
tidur dengan lampu terpasang macam ni?” Laju Qadheer Alauddin memintas butiran
kata gadis tersebut.
Nadhrah memandang telefonnya.
Terkebil-kebil sekejap. Hairan dengan kenyataan insan itu. “Saya tak cakap
macam tu pun. Memang tak salah kalau tidur lampu masih terpasang. Saya cuma
ingat Encik Al tak tidur lagi aje. Kalau tak tidur lagi, saya boleh bacakan
cerita. Encik Al dari siang tadi tak habis-habis bagi alasan yang pelik. Saya
tak tanya tapi Encik Al cakap panjang berjela-jela.”
Lidah Qadheer Alauddin
menjadi kelu. Dia tidak dapat membidas kenyataan Nadhrah. Memang benar apa yang
dikatakan oleh gadis tersebut. Dia sendiri tidak mengerti mengapa segala
tindak-tanduk yang dilakukan berada di luar kawalannya.
“Encik Al?” panggil Nadhrah
apabila tidak mendengar balasan suara adik Qash Alaisyah itu.
“Hmm...
Saya dengar apa yang awak cakap. Ingat awak dah lupa apa yang awak janji.
Yalah, Abang Redza busuk awak tu kan ada kat Venice ni.”
“Takkanlah saya nak lupakan
Encik Al. Encik Al kan suka kenakan saya sejak hari pertama lagi kita jumpa.”
Ayat terakhir diucap dengan
nada perlahan. Akan tetapi, Qadheer Alauddin dapat mendengar dengan terang
malah jelas. Lelaki itu tersenyum. “Saya dengar ayat awak yang hujung tu.”
“Saya minta maaf sebab buat
Encik Al terjaga. Saya ingat yang saya dah janji dengan Encik Al semalam.
Sebelum tidur, saya akan bacakan cerita untuk Encik Al. Rasanya lebih elok
Encik Al sambung tidur. Selamat malam.”
“Siapa cakap saya nak sambung
tidur?”
“Ha?”
“Awak dah kejutkan saya. Jadi
awak bertanggungjawab untuk tidurkan saya semula.”
Air liur yang berada di
ruangan mulut ditelan. Nadhrah mula merasakan udara bahang menyapa ke mukanya. “Encik
Al nak saya sambung baca cerita semalam ke?”
“Kalau tak sambung baca, awak
nak buat macam mana biar saya dapat tidur?”
“Okey,
okey... Saya sambung cerita semalam.”
No comments:
Post a Comment