BAB
17
“Waras fikiran terletak
pada akalnya, hati yang menggila apa ukurannya?”
Zulqarnain menarik
nafas perlahan-lahan. Terasa segar udara itu masuk ke setiap rongga
pernafasannya. Petang itu kelihatan tenang seperti selalu. Sejak dia berada di
situ, fikirannya tidak berserabut. Lupa seketika tentang masalah yang dia
tinggalkan beberapa hari yang lepas.
Tangan Zulqarnain
berada di perutnya sendiri. Perutnya terasa sakit seperti mahu ke tandas tetapi
dia biarkan sahaja rasa itu. Dua tiga hari ini, perutnya kerap meragam. Yalah,
mana tidaknya mulut yang tidak biasa makan pedas tiba-tiba kerap makan pedas.
Orang Melaka memang suka makan makanan yang begitu. Lidah Zulqarnain lidah mat
saleh tetapi semuaya sudah menjadi biasa sejak akhir-akhir ini. Ini semua
gara-gara cencaluk mak cik Wadihah. Sedap bukan main tatkala hidangan itu lalu
ke tekaknya. Bila sudah sedap, perut pun meragam.
Sekumpulan kanak-kanak
lelaki kelihatan di susur masuk ke rumah Wardah. Zulqarnain tersenyum. Masuk
kali ini sudah tiga kali Zulqarnain melihat mereka datang.
“Assalammualaikun abang
Nine,” tegur salah seorang daripada mereka.
“Waalaikummussalam,
Napi,” jawab Zulqarnain kepada Hanafi. Rakan-rakan Hanafi yang lain sudah pun
masuk ke dalam rumah.
Hanafi adalah salah
seorang anak kecil berumur 6 tahun yang belajar mengaji di rumah Wardah. Pada
kebiasaannya, Hasyim yang akan mengajar mereka.
“Amboi, seronok aje
abang Nine tengok Napi ni.”
“Mestilah seronok abang
Nine. Sebab Kak Wardah ada.”
“Kenapa dengan Kak
Wardah?”
“Yalah. Kak Wardah tu
cantik. Napi suka tengok dia. Nanti bila Napi dah besar, Napi nak kahwin dengan
Kak Wardah.”
Zulqarnain ketawa kecil
apabila mendengan kata-kata Hanafi itu. Lucu dibuatnya.
“Napi, kalau Napi nak
tahu abang Nine pun suka kat Kak Wardah tu tapi abang rasa abang tak dapat
kahwin dengan dia.”
“Mestiah tak dapat
sebab Napi yang dapat.”
“Ish budak kecil ni.
Boleh tahan juga dia ni.”
Hanafi sudah pun
kegirangan sambil tersenyum menuju ke rumah kayu itu. Zulqarnain menggeleng-gelengkan
kepala. Tiba-tiba sahaja perutnya memulas. Dia segera ke tandas yang terletak
di luar rumah itu.
Wardah berjumpa dengan
ayahnya setelah melihat semua kanak-kanak yang belajar mengaji sudah tiba.
Kesemuanya lapan orang. Wardah lengkap berbaju kurung warna ungu lembut bersama
dengan tudung berwarna krim sedondon dengan corak bunga yang ada pada baju
kurungnya.
“Ayah, hari ni biar
adik yang ajar ya? “
“Eh? Kenapa pula?”
“Tak apalah. Ayah
rehat. Tak lama lagi kan adik nak kahwin. Adik kena ajar bakal anak-anak adik
nanti ilmu akhirat dan juga ilmu dunia. Lagipun dulu masa ayah demam ke, kan
adik yang tolong ajarkan.”
Sejak Hasyim bersara
sebagai pegawai kerajaan, dia hanya duduk di rumah sahaja. Masa yang terluang
diisi dengan berkebun di kawasan belakang rumah dan pada waktu petang, dia akan
mengajar mengaji untuk anak kecil di kampung itu.
“Yalah. Ayah pergi
belakang dulu. Tengok ibu tengah buat apa agaknya kat dapur tu. Tadi ibu tu
sibuk suruh ayah ambil daun pisang kat belakang sana. Nak buat lepat pisang
katanya. Sejak kita ada tetamu ni, seronok dia buat kuih. Mentang-mentanglah
Nine tu suka makan.”
Wardah hanya tersenyum.
Hasyim berdiri lalu menuju ke dapur. Wardah segera duduk menggantikan tempat
ayahnya.
“Assalammualaikum
semua.”
“Waalaikummussalam Kak
Wardah,” jawab mereka semua serentak.
“Okey, sebelum kita
belajar kita baca doa penerang hati dulu ya? Nanti apa yang kita belajar hari
ni cepat kita hafal dan faham.”
Anak-anak kecil itu
menurut sahaja tanpa membantah. Mereka semua bersama-sama membaca doa penerang
hati.
Zulqarnain yang baru
sahaja keluar daripada tandas terkejut apabila mendengar suara perempuan dari
dalam rumah. Biasanya dia akan mendengar suara Hasyim yang menjadi pengajar
tetapi hari itu dia mendengar suara merdu yang tidak pernah dia dengar selama
ini.
Seperti pencuri,
Zulqarnain perlahan-lahan menuju ke tingkap terbuka yang paling hampir dengan
kedudukannya. Dia terhendap-hendap mahu melihat siapakah gerangan suara itu.
Setahunya ada dua orang sahaja perempuan dalam rumah itu. Sama ada Wardah
ataupun ibu Wardah.
Hampir ternganga mulut itu dibuatnya apabila melihat Wardah
berbaju kurung serta bertudung seperti itu. Selama ini dia tidak pernah melihat
Wardah dalam keadaan begitu. Matanya seperti terpaku dan tubuhnya menjadi kaku.
Hanafi merasakan ada seseorang sedang berada di tingkap kerana kebetulan dia
duduk berhampiran dengan tingkap itu. Hanafi segera menoleh namun Zulqarnain
sempat tunduk.
“Fuhh…selamat.”
Zulqarnain
mengurut-urut dadanya sendiri. Akan tetapi semakin lama tangannya berada di
situ, ada sesuatu yang terjadi pada jantungnya. Dia dapat merasakan jantungnya
berdetak dengan lebih cepat. Semakin lama dibiarkan semakin laju ia berdenyut.
Zulqarnain hairan dengan perasaan itu. Seolah-olah perasaan itu menyusup secara
perlahan-lahan ke jiwanya tanpa dia sedari.
“Aku rasa apa ni?
Sakitnya. Rasa macam nak pecah. Aku demam ke?”
Tangan Zulqarnain
berada di dahi pula.
“Apasal aku
berpeluh-peluh ni? Aku kena pergi jumpa doktor ni. Aku rasa jantung aku ni ada masalah.
Tapi tadi aku tak rasa macam ni. Fikir Nine, sejak bila kau kena penyakit ni?”
Zulqarnain bermonolog
sendiri.Zulqarnain cuba berlagak tenang. Dia menarik nafas lalu
menghembuskannnya perlahan-lahan.
“Nine, breath in breath out….breath in breath out..
Arghh..apasal tak tenang-tenang lagi ni. Tadi kat tandas masa membuang tak ada
rasa macam ni. Lepas tu aku dengar suara dia, aku pergi kat tingkap ni.
Jadi………..”
Zulqarnain membulatkan
matanya. Rasanya dia sudah tahu apa puncanya. Zulqarnain kembali menjengah. Dia
melihat lagi wajah mulus itu. Kali ini dia tesenyum. Dia cuba menguji dirinya
sendiri. Tangannya berada di dada. Kali ini degupan jantungnya bertambah pantas
sehinggakan dia rasa serba tidak kena. Rasa mual muncul. Jika Zulqarnain merasa
terlalu gemuruh, perasaannya akan merasa loya.
Tak boleh jadi macam
ni. Makin teruk ni. Dulu pun ada rasa macam ni masa pandang dia petang tu.
Petang ni lagi parah jadinya. Detik hati kecilnya sambil matanya terus
memandang Wardah.
Dia teringat akan
peristiwa petang itu ketika dia dan Wardah berbincang akan hal surat peletakan
pengawal peribadinya. Zulqarnain menyangka perasaan itu tidak muncul lagi
tetapi sangkaannya meleset.
Tanpa dia sedari,
bahunya dicuit seseorang. Zulqarnain segera menoleh.
“Abang Wardi.”
Suaranya perlahan.
Walaupun terkejut, Zulqarnain tidak berani untuk meninggikan suara kerana
khuatir Wardah akan tahu yang dia sedang mengintai gadis itu.
“Kau mengendap apa kat
sini? Kau skodeng adik aku eh?”
“Ish….mana ada abang.
Kan Wardah tengah ajar budak-budak mengaji tu.”
Perkenalan sejak empat
hari yang lalu telah membuatka hubungan Wardi bertambah erat kerana mereka juga
berkongsi minat yang sama iaitu senibina. Zulqarnain juga sudah menganggap
Wardi seperti abangnya. Tak dapat jadi abang ipar, panggil abang pun jadilah.
“Ya ke? Aku tengok kau
gelisah semacam aje. Macam ada buat salah. Berpeluh-peluh ni.”
Zulqarnain hanya
menyengih. Tidak thau jawapan apa yang harus diberikan kepada Wardi.
“Assalammualaikum…Kak
Wardah…Kak Wardah…” ucap Anis yang tiba-tiba sahaja muncul di halaman rumah.
Zulqarnain dan Wardi
yang berada di luar rumah segera menoleh lalu Wardi berjalan menuju ke arah
Anis.
“Waalaikummussalam. Ha…Anis, kenapa macam kelam kabut ni?” soal
Wardi.
Wardah yang berada di
dalam rumah bingkas bangun setelah mendengar suara itu dari luar.
“Abang Wardi….ni pasal
abang Nazim.”
Wardah yang baru sahaja
berada di serambi kehairanan.”
“Anis, kenapa dengan
abang Nazim?”
Nazim Arsyad ialah
bakal suami kepada Wardah. Persahabatan yang sudah terjalin sejak sekolah
menengah telah menjadikan mereka rapat. Tanpa mereka sedari, persahabatan itu
telah menerbitkan rasa sayang antara satu sama lain. Anis Nazihah merupakan
adik kepada Nazim.
“Abang Nazim dah
balik.”
“Abang Nazim dah balik?
Tapi dia cakap dengan akak minggu lepas yang dia nak balik hujung minggu ni.
Dia ada pesan apa-apa ke?”
“Abang Nazim balik
dengan seorang perempuan.”
“Perempuan? Siapa?
Kawan dia?”
“Abang tak cakap
apa-apa. Tapi perempuan tu cakap dia bakal isteri abang.”
Hampir hilang separuh nyawa
dibuatnya tatkala mendengar baris ayat itu dari bibir Anis. Zulqarnain segera
memandang ke arah Wardah.
--------------------------------
“Jadi, ini sebabnya
awak beria-ia nak cepatkan perkahwinan kita? Tak pernah-pernah awak cakap pasal
tunang, tiba-tiba nak kahwin. Saya pun ikut macam orang bodoh. Sebenarnya awak
nak lari daripada dia?”
“Saya sayangkan awak
Wardah. Saya tak nak kehilangan awak.”
Air mata Wardah sudah
pun berjurai dengan lajunya. Namun dibiarkan sahaja manik jernih itu mengalir.
Perasaan sakit di hatinya lebih terasa bisa.
“Awak tipu saya. Selama
ni saya percayakan awak. Awak kat Kuala Lumpur, saya kat Johor. Saya tak pernah
terfikir yang awak sanggup buat saya macam ni.”
“Percayalah Wardah.
Saya tak ada niat nak khianati awak.”
“Tak ada niat awak
cakap? Habis tu macam mana dia boleh mengandung? Awak dah tidur dengan dia kan?
Awak ingat saya ni apa?”
Wardah sudah tidak
kisah dengan keadaan sekelilingnya. Dia seperti sudah hilang pertimbangan. Ibu
bapa Nazim juga tidak bersuara. Malu bertimpa-tima rasanya apabila anak lelaki
mereka melakukan perkara itu. Sudahlah terlanjur, kini ada anak luar nikah pula
yang masih di dalam perut. Tambahan lagi hari perkahwinan Nazim dan Wardah
sudah hampir, Nazim pula buat hal sehinggakan gadis yang bernama Zaliya itu
mengandung.
“Saya dengan Nazim
memang dah lama jalinkan hubungan. Dah dua tahun. Saya kenal dengan dia masa
dia mula-mula kerja dulu. Nazim tak pernah cerita dengan saya pun pasal awak.”
Kaki Wardah sudah tidak
mampu berdiri. Lututnya lemah apabila mendengar kenyataan Zaliya itu. Wadihah
dan Wardi segera memaut lengan Wardah. Lemah hampir mahu tersungkur ke bumi.
Saat itu dia mula tertanya, siapakah dia sebenarnya dalam hidup Nazim. Beberapa
ketika yang lepas, dia bahagia dalam meniti hari perkahwinannya. Dia merasakan
dirinya adalah permaisuri dalam hidup Nazim tetapi sekarang semuanya kabur.
“Liya, jangan nak
kusutkan keadaan I.”
“I kusutkan keadaan?
Masa you mula-mula nakkan I, apa yang you cakap? You akan bertanggungjawab
walau apapun yang terjadi. Kan? Patutlah susah sangat I nak cari you dua tiga
bulan ni, rupanya you nak larikan diri. You cakap you sayangkan I.”
“Nazim, aku tak sangka
kau sanggup malukan abah dengan mak. Kalau ikutkan hati aku, aku memang halau
kau dari rumah ni,” marah ayah Nazim.
Nazim hanya mendiamkan
diri. Dia cuba untuk merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan semua orang
tetapi akhirnya bangkai gajah itu dapat dihidu. Sungguh tak sangka benihnya
bercambah di rahim Zaliya. Dia terlalu mengikut nafsunya sendiri. Dia lupa
Wardah dan keluarganya. Dia lupa Tuhan yang sentiasa memerhatikan tingkah laku
hambaNya. Dia ikutkan rasa hati. Bukan sekali atau dua ia terlanjur dengan
Zaliya. Boleh dikatakan, setiap kali jika pertemuan mereka pada waktu malam
akan berakhir di katil.
“Kalau I tak paksa parents I jumpa you, you
tak akan cakap nak kahwin dengan I kan?
I tak kira, you kena bertanggungjawab.”
“Liya, I tahu. You tak payah nak ulang banyak kali. I tetap nak kahwin dengan Wardah sama ada you suka ataupun tak. Lagi seminggu lebih aje hari perkahwinan I. I sayangkan Wardah.”
Lantas satu tamparan
hingga ke pipi Nazim. Nazim terkejut apabila melihat Wardah sedang berada di
hadapannya.
“Awak tak layak nak
sebut perkataan sayang pada saya. Mulai hari ni, saya dengan awak dah tak ada
kena mengena.”
Nazim segera memegang
tangan Wardah. Wardah segera menepis.
“Wardah, saya sayangkan
awak. Sebab tu saya nak perkahwinan ni diteruskan. Persiapan semua dah siapkan?
Takkan awak tak sayang dengan hubungan kita?”
“Sayang dengan hubungan
kita? Kenapa awak tak nak tanya soalan tu pada diri awak sebelum awak tidur
dengan dia? Saya lebih rela kahwin dengan orang lain daripada saya kahwin
dengan awak masa hari tu nanti. Sebelum kahwin awak dah boleh buat macam-macam
kat belakang saya. Tak tahu apa yang akan jadi pada saya kalau saya kahwin
dengan awak nanti. Saya bukannya buta untuk melihat dan saya bukannya pekak
untuk mendengar.”
“Saya dengan dia satu
kesilapan. Saya nak hidup dengan awak.”
“Kesilapan awak cakap?
Senangnya? Habis tu anak yang bakal lahir tu macam mana? Awak tak fikir? Apa,
awak ingat tengok aje perempuan tu tiba-tiba aje dah jadi anak kat dalam perut
dia? Saya dah tak nak dengar apa-apa lagi. Ayah, ibu adik nak balik. Adik
dah tak nak ada kat sini lagi.”
Wadihah sudah pun
memandang wajah besannya yang tidak jadi itu. Perasaan serba salah terpancar di
wajah mereka berdua. Ibu bapa mana yang mahu anaknya jadi begitu, menconteng
arang ke muka orang tua. Bertambah malu apabila satu kampung sudah tahu akan
perkahwinan Nazim dan Wardah. Wadihah juga terpalit perasaan itu. Anaknya
dipermainkan. Selama ini dia menyangka Nazim adalah orang yang mampu
membahagiakan anaknya.
“Leman, aku rasa aku tak payah nak cakap
apa-apa lagi. Semuanya dah jelas. Aku tak akan serahkan anak aku kepada orang
yang macam ni. Aku bersyukur sebab Allah tu tunjukkan benda ni dari awal lagi,”
ucap Hasyim lalu segera meninggalkan rumah itu.
“Pak cik, jangan macam
ni. Berikan saya peluang. Saya sayangkan Wardah. Saya janji akan berubah. Saya
sumpah saya tak akan ulangi perbuatan saya ni. Saya tak nak kehilangan dia.”
Nazim merayu kepada
Hasyim sehinggakan dia memaut kaki lelaki tua itu. Dia melutut. Dia seboleh
mungkin mahu peluang itu. Wardi yang dari tadi mendiamkan diri sudah hilang
sabar. Begitu berani Nazim melakukan perkara itu di belakang adiknya. Dia
segera menarik kolar baju Nazim dan memaksa Nazim berdiri.
“Kau tak layak nak
merayu dengan ayah aku apatah lagi nak cakap sayang dengan adik aku. Kau dah
hilang semua hak tu. Kau ingat adik aku tu apa? Kalau ikutkan hati aku, nak aje
aku tumbuk muka kau ni sampai pecah. Biar kau tahu betapa sakitnya hati adik
dengan keluarga aku. Tapi kalau aku tumbuk kau pun belum setimpal apa yang kami
rasa. Nasib baik aku fikirkan pasal abah dan mak kau. Aku tak akan benarkan kau
jumpa dengan adik aku lagi. Kalau aku nampak muka kau, nahas kau aku kerjakan.”
Setelah selesai
meluahkan apa yang terbuku, Wardi segera menolak Nazim dan Nazim jatuh
tersembam ke lantai. Emak Nazim mendapatkan anaknya itu. Bimbang jika Nazim cedera.
Walaupun dia tahu anaknya berada di pihak yang salah, dia tidak sanggup melihat
anaknya terus-menerus dihina.
“Abang, tengok anak
kita ni.”
“Aku tak ada anak yang
macam ni. Aku didik anak aku dengan didikan agama. Tak ada satu pun keturunan
aku yang ada anak luar nikah. Memang memalukan. Suka hati kaulah nak jadi apa.
Aku tak nak masuk campur.”
Sulaiman segera beredar
daripada ruang tamu rumahnya. Sakit hatinya dirasakan sampai ke kepala.
nak lagiiiiiiiiiiiii - pn mal.
ReplyDeletehihi..InsyaAllah kak..
Deletenanti saya update lagi beberapa bab ya..
terima kasih baca EPMK ;)