Stylo Clique ^_^

Sunday, August 5, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 23 ::.




BAB 23




Haikal memulas tombol pintu masuk rumahnya sebaik sahaja kedengaran bunyi loceng. Dia hanya mengenakan seluar pendek paras lutut beserta singlet. Dia tersenyum sebaik sahaja memandang Riana di hadapannya.
“Dear, are you okay?” soal Riana.

Haikal sengaja berpura-pura. Wajahnya dibuat-buat sakit. Haikal membuka lemah pintu grille.

I tak tahulah. Kepala I ni pening sangat. Zack tak ada kat rumah. That’s why I call you.”
You macam teruk aje ni.”
“Sebab tu I nak you ada dengan I. I takut nanti I pengsan ke, tak ada siapa yang tahu.”

Kaki Riana sudah pun masuk. Perkenalan selama 3 bulan sudah cukup membuatkan Riana rasa disayangi oleh lelaki itu. Bagi Riana, hanya Haikal yang mengambil berat akan hal dirinya. Perhatian yang diberikan oleh lelaki itu membuatkan hidupnya lebih dihargai.
Haikal menekan ke dalam bulatan kecil yang ada pada tombol. Pintu telah pun berkunci. Riana duduk di atas sofa panjang yang terletak di ruang tamu

“Haikal, sebelum I datang tadi I singgah kedai. Beli ubat pening kepala untuk you. You makan ya?”

Tanpa dipelawa, Haikal terus baring di atas riba Riana. Riana terkejut tetapi dia membiarkan sahaja. Dia tahu Haikal memerlukan perhatiannya ketika itu.

I tak mahu makan ubat. I nak you temankan I. I sakit ni sebab rindukan you la,” ucap Haikal.

Manis benar bicaranya. Sesungguhnya lidah itu adalah menjadi senjata untuk mendapatkan apa yang dia mahu daripada Riana. Baginya, Riana hanyalah gadis mentah yang mudah diperdayakan. Dengan hanya memberi sedikit perhatian dan kasih sayang palsu, Riana sudah masuk ke dalam perangkapnya.

“Yalah tu.”

Meskipun kata-kata Riana seperti tidak percaya dengan Haikal, namun hatinya menguntum senyuman. Dia tidak pernah mengalami perasaan itu sebelum ini.

“Sampai hati you tak percaya. I kan tengah sakit ni, takkan nak tipu you pula.”
You kena makan ubat. Before you take the medicine, you must eat something. You nak apa-apa tak? I boleh tolong buatkan untuk you. Kalau you tak nak makan pun, minumlah.”
I tak nak apa-apa. I cuma nak you aje.” ucap Haikal sambil tangannya mengusap lembut pipi Riana.

Pipi itu pernah dicium beberapa kali. Sebelum mereka berpisah setiap kali bertemu, Haikal akan menghadiahkan ciuman kepada Riana. Malam itu, dia mahu lebih daripada selalu. Riana tersenyum sambil mengusap lembut rambut Haikal.

You kalau sakit memang tiba-tiba jadi macam ni ke?”
Dear, malam ni you tidur rumah I ya? Zack tak ada kat rumah.”
You, mana boleh I tidur rumah you. I temankan sekejap bolehlah. Tak pun, I temankan you sampai you dah tidur.” cadang Riana.
“Alaaa…….bolehlah sayang. Lagipun papa you tak ada kat rumah kan? Buat apa you balik, tak ada sesiapa pun. I ni yang kena diberi perhatian. Please…..you tak kasihan kat I ke?” rayu Haikal.

Riana membisu. Dia sedang memikirkan cadangan Haikal itu. Sememangnya Riana tidak sampai hati membiarkan Haikal. Ada benar kata-kata teman lelakinya itu. Ridzuan tiada di rumah kerana ada urusan di luar negara. Dia sendiri tidak pasti ke mana ayahnya pergi.

“Ok…malam ni I temankan you. Malam ni aje tau.”

Haikal segera duduk. Dia tersenyum gembira.

“Betul ni? You nak temankan I?”

Riana mengangguk.

Thank you. I janji, malam ni aje you kena temankan I.”

Haikal segera mengucup lembut pipi kanan Riana. Matanya menangkap bibir Riana yang merah itu. Dia mengusap lembut rambut Riana.

You temankan I sampai I tidur ya? Jom masuk bilik I. I nak tengok muka you sebelum tidur.” bisik Haikal ke telinga Riana.

Riana mengangguk. Dia sanggup mengikut apa sahaja kemahuan Haikal. Bagi Riana, Haikal adalah segala-galanya. Haikal memimpin tangan Riana lalu masuk ke kamar utama. Haikal tersenyum nakal. Begitu mudah gadis itu diperdayakan.

----------------------

Peristiwa malam itu berulang kembali. Masih segar dalam ingatannya. Hatinya penuh penyesalan. Kalaulah dia tidak terpedaya dengan kata-kata Haikal malam itu, pasti dia tidak merasakan perasaan itu pada hari ini. Begitu mudah A.D memberikan maruahnya kepada lelaki tidak berguna itu. Sudah puas A.D membuang jauh Riana, tetapi dia tidak mampu untuk menipu dirinya. 

Peristiwa itu akan muncul setiap kali hatinya menyebut nama Wafi. Dia tidak mahu Wafi kecewa. Dia tahu, tiada seorang lelaki pun sanggup menerimanya yang sudah ditebuk tupai. Atas dasar itu, dia tidak mahu jatuh cinta. Dia tidak akan membenarkan mana-mana lelaki mendekati dirinya. Disebabkan alasan itulah, terciptanya identiti A.D di dalam hidupnya. Bukan sekadar menutup dosa lampau, tetapi dia berharap dengan adanya A.D mampu melenyapkan Riana buat selama-lamanya. Sepanjang hidupnya, dia dihimpit dosa itu. 
Lamunan A.D terhenti tatkala pintu bilik diketuk. A.D membetulkan kedudukannya punggungnya. Dia sedang duduk di kepala katil.

“A.D……ni nenek ni. Boleh nenek masuk?” suara Nenek Esah kedengaran dari luar.
“Masuklah nek. Pintu tak kunci,” balas A.D.

Nenek Esah membuka pintu sebaik sahaja diberi kebenaran. Tangan Nenek Esah membawa sebotol minyak. Dia duduk di sisi katil sambil tersenyum melihat A.D.

“Ada apa nek?”
“Wafi ada cerita dengan nenek pasal siang tadi. Nenek terkejut bila masuk rumah tadi Wafi dukung A.D. Nasib baik A.D tak ada apa-apa. Mujur Wafi tahu buat apa tu……………nenek lupa namanya. C apa?”
“CPR nek.”
“Ha…CPR. Macam cerita kat tv tu kan? Nenek risau. Tu yang buat nenek bimbang.”

A.D memandang wajah Nenek Esah. Orang tua itu mengambil berat akan dirinya sedangkan perkenalan mereka bermula semalam.

“Kaki A.D kejang kan tadi? Sini, biar nenek tengok.”
“Eh…nenek, kaki A.D tak ada apa-apa. Dah ok. Cuma kejang aje tadi.”
“Tak apa, biar nenek tengok.”

Tangan Nenek Esah melihat kaki kanan A.D.

“Macam keras sikit kat betis A.D ni. Biar nenek tolong urutkan ya?”
“Nenek, tak apa. Lama-lama nanti oklah tu.”
“Ish….janganlah degil. Biar nenek urutkan. Nenek ni tak pandailah sangat mengurut. Tahu jugalah sikit-sikit. Kalau urut betis A.D ni, nanti urat-urat kat situ tak adalah terus membengkak. Aliran darah kat situ akan jadi lancar.”

A.D hanya mengangguk setelah melihat Nenek Esah bersunguh-sungguh mahu mengurut kakinya. Nenek Esah sudah pun bersila di atas katil. Dia mengangkat kaki kanan A.D lalu diletakkan di atas ribanya. Nenek Esah masih lagi nampak kuat meskipun tangannya sudah berurat-urat kerana umur yang sudah menjengah senja. Wajahnya tidak di makan usia. Mungkin kerana sering melakukan kerja kampung seperti bercucuk tanam, itu yang membuatkan dia nampak awet muda. Nenek Esah menuangkan sedikit minyak panas ke tangannya lalu disapu perlahan ke bahagian betis A.D.

“Nenek, kenapa nenek baik dengan A.D?”
“Soalan apa yang A.D tanya ni? Kenapa?”

A.D tertunduk. Dia membisu. Nenek Esah memerhatikan wajah A.D. Dia dapat membaca raut wajah anak gadis itu.

“Sebelum ni, tak ada siapa pernah pedulikan A.D. Mama dah lama meninggal. Papa pula baru aje pergi. A.D dapat rasa kasih sayang papa sekejap aje. Tapi nenek layan A.D macam A.D ni keluarga nenek. Sedangkan nenek tak kenal pun siapa A.D. A.D datang rumah nenek semalam tapi cara nenek layan A.D tak macam orang luar.”

Nenek Esah tersenyum. Dia tahu A.D kurang kasih sayang daripada keluarga berdasarkan tutur katanya.

“A.D……..kasih sayang tak mengira siapa atau keadaan. Nenek anggap A.D macam cucu nenek sebab A.D kawan Wafi. Bila A.D dah jadi kawan Wafi, maknanya A.D bukan orang luar. Wafi cucu nenek, jadi A.D pun cucu nenek juga.”
“A.D tak pernah rasa macam ni sebelum ni. Orang luar layan A.D macam keluarga sendiri. Memang ada orang di sekeliling A.D yang ambil tahu pasal A.D tapi A.D macam kehilangan sesuatu. Bila A.D jejakkan kaki kat rumah ni, A.D dapat rasakan yang rumah ni penuh dengan kasih sayang dan ketenangan. Wafi dengan Wadi bertuah sebab dibesarkan oleh nenek. Walaupun mereka tak dapat rasa kasih sayang seorang ayah dan ibu tapi dia orang tak macam A.D. A.D selalu memberontak. A.D rasa lebih kehilangan bila mama tak ada. Papa makin jauh, itu membuatkan A.D selalu membantah. Sedangkan papa jauh sebab papa sakit. A.D pula tuduh papa yang bukan-bukan sehinggakan A.D pernah buat dosa. Dosa A.D banyak, nek. Kalau boleh, A.D nak putar balik masa. A.D tak nak lawan cakap papa. A.D akan buat apa sahaja yang papa suruh.”

Air mata A.D mengalir. Akhirnya terluah juga apa yang terbuku selama ini.

“Tak ada satu manusia pun kat dalam dunia ni tak pernah buat silap. Kalau tak buat silap dan dosa bukan manusia namanya. Ada sebab kenapa manusia itu buat silap. A.D tahu kenapa?”

A.D menggeleng.

“Manusia buat silap sebab Allah nak kita jadi orang yang lebih baik. Dia nak kita bertaubat kepadaNya. Bila kita betaubat, maknanya kita dekat dengan Dia. Bila kita dekat dengan Dia, maksudnya kita sentiasa ingat Dia. Kita memang tak mampu untuk mengubah apa yang telah terjadi tapi kita boleh baiki dan buat masa depan kita jadi lebih baik.”
“Tapi dosa A.D terlalu besar.”
“A.D, dosa itu adalah satu dugaan. Dugaan itu datang dari Allah. Jadi, kenapa kita tak nak minta dengan Dia supaya kita dapat tempuhi dugaan tersebut? Kita memang tak nampak hikmah di sebalik apa yang berlaku tapi Allah itu lebih tahu. Kadang-kadang apa yg buruk menurut kita adalah perkara yg terbaik menurut Allah untuk hambaNya. Dekatkan hati dan diri A.D dengan dia. Dia tidak akan sesekali menganiaya hambaNya.
“Allah boleh ampunkan dosa A.D ke nek?”

Nenek Esah tersenyum. Sememangnya A.D dahagakan kasih sayang dan perhatian. Nenek Esah mengusap lembut rambut A.D dengan tangan yang satu lagi.

“A.D, Allah itu Maha Pengampun. Selagi kita tak menyekutu Dia, Dia akan ampunkan dosa kita. Dia jugalah pemilik cinta agung. Allah sentiasa sayangkan makhlukNya, cuma kita selalu lupa. Kalau kita ingat Dia, InsyaAllah Dia juga akan ingat kita. Malah Dia beri semua nikmat kepada hambaNya. Kembali semula ke jalanNya, A.D akan nampak apa yang A.D cari selama ini.”

Kata-kata Nenek Esah terus sampai ke dalam hati A.D. A.D sedang mengimbas kembali apa yang berlaku. Selama ini dia jauh daripada landasan agama. Dia hanyut dan kemudiannya lemas dengan arus dunia. Selepas terjadinya sejarah hitam itu, dia terus membiarkan dirinya melakukan kesilapan. Tidak pernah dia bertaubat, malah dia cuba lari dari kenyataan, tetapi kenyataan yang pahit itu semakin mencengkam jiwanya. Dia tidak mampu untuk berlari lagi. Dia juga tidak boleh mengelak. Sebaliknya, pilihan yang A.D ada kini hanyalah menghadapi dan menerima kenyataan tersebut.

Akhirnya, A.D menangis semahu-mahunya. Dia malu dengan diri sendiri. Mungkin kerana dia jauh dengan Maha Pencipta, Allah menurunkan ujian yang berat ini kepadanya sebagai hukuman.
Nenek Esah segera mendakap A.D. Dia membiarkan gadis yang sudah dianggap seperti cucunya itu menangis. Nenek Esah pasti sudah lama A.D memendam perasaan itu sendiri. A.D menyimpannya sehinggakan memakan dirinya sendiri. Kasihan melihat gadis itu, teraba-raba dalam mencari erti kasih sayang.

Wafi yang dari tadi mendengar dari luar mengukir senyuman. Dia sempat melihat apa yang berlaku di dalam biliknya. Itulah sifat A.D yang dia kagumi. Gadis kasar itu mudah menyedari kesilapan. Tidak semua insan memiliki sifat itu. Dia sendiri begitu sukar untuk mengakui kesilapannya tetapi tidak pada A.D yang dikenalinya.

1 comment:

  1. I think this is an informative post and it is very useful and knowledgeable. therefore, I would like to thank you for the efforts you have made in writing this article. indian motorcycle tours

    ReplyDelete