Stylo Clique ^_^

Monday, August 27, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 26 ::.





BAB 26

A.D berjalan perlahan menuju ke arah lelaki yang sedang leka melakukan sesuatu terhadap motorsikal yang berada di hadapannya. Tangannya memegang spanar. A.D sempat memandang sekeliling. Salah seorang di situ mengangkat tangan sebagai tanda mengenali A.D. A.D juga membalas.
“Sibuk nampak?” tegur A.D
Ikmal atau lebih dikenali sebagai Jepun, nama samaran yang diberikan oleh kenalan sudah menjadi sinonim dengan dirinya. Matanya agak sepet dan kulitnya cerah. Jepun menoleh.
“Eh, aku ingat siapa la tadi.” balas Jepun. 

Dia bingkas bangun. Dia meletakkan spanarnya di tepi lalu mengelap tangannya yang penuh dengan minyak.
“Habis tu, kau ingat siapa?”
“Tak adalah…aku dengar suara perempuan, aku ingat awek mana kan yang nak ngurat aku.”
“Beranganlah ni?”
“Apanya nak berangan. Eh, apa cerita? Lama dah kau tak datang sini.”
“Macam nilah, Pun. Kau sibuk ke?”
“Sikitlah. Aku tengah ubahsuai sikit brek motor ni. Nak buat pakai kat litar. Kau ni tak ada angin, tiba-tiba muncul. Mimpi apa semalam?”
“Aku mimpi kau lah. Eh, litar ada orang pakai tak? Budak-budak kau ada buat latihan ke?”

Jepun melihat tangan kirinya. Jam menunjukkan pukul 4.30 petang.
“Lagi setengah jam budak-budak aku nak pakai. Kenapa?”
“Aku nak guna kejap boleh?”
“Kau nak buat apa?”
“Kau ingat aku nak buat konsert ke kat litar kau ni? Mestilah nak kasi bakar motor sikit. Macam tak biasa pula kau ni.”
“Kau ni mesti ada benda yang tak kena ni kan?”
“Kau kasi ke tak ni?”
“Yalah..yalah…pakailah.”
Thanks, bro.”
“Tak ada hallah. Kau tu, bakar, bakar juga. Bawa laju-laju kat litar, jangan lupa keselamatan,” pesan Jepun.
“Aku tahulah. Kau sambunglah kerja kau. Nanti sebelum pukul 5 aku berhenti.”
Jepun menggelengkan kepala melihat telatah A.D. Litar perlumbaan dan motorsikal merupakan dunia kehidupan Jepun. A.D adalah satu-satunya gadis yang pernah dikenalinya yang tahu menunggang motosikal berkuasa besar. Jepun juga mengagumi gadis itu. Sudah menjadi kebiasaan A.D akan turun ke litarnya untuk memecut. Cuma sejak dua menjak ini A.D sudah jarang untuk melakukan hobinya itu.
A.D mengenakan jaket khas untuk perlumbaan ke tubuhnya. Sarung tangan melindungi jari jemari A.D tersarung kemas. Dia mengikat tali kasutnya dengan ketat. Akhir sekali A.D mengenakan topi keledar muka penuh Corsair V miliknya itu ke kepalanya. 
Kini, A.D berada di garisan permulaan. Enjin sudah pun dihidupkan. Kaki kirinya menekan sekali pedal gear. Dia sudah bersedia untuk memulakan aksi. A.D menggenggam pendikit yang berada bahagian kanan. Perlahan dia memerah bahagian tersebut. Motosikalnya mula bergerak. Suara Wafi bergema di fikirannya. Dia tidak mahu mendengar suara yang berjaya menghantui jiwanya. Dia mahu suara itu pergi. 

Semakin lama semakin laju motor itu mengelilingi litar. Dia mahu menenggelamkan suara itu dengan bunyi deruman enjin. Itulah tujuannya kembali ke litar lumba itu. Sejak pulang daripada kampung Wafi, satu-persatu kenangan bersama lelaki itu menjadi bayang-bayang dalam hidupnya. Dia mahu melarikan diri daripada perasaannya sendiri. Setiap kali dia berada dalam keadaan sangat tertekan, litar lumba itulah menjadi tempat untuk dia melepaskan segala-galanya.
 “Izinkan saya kenal siapa sebenarnya awak. A.D yang saya nampak dari luar tak sama dengan A.D yang ada di dalam.”
“A.D, berikan saya peluang.”
“Sebab awak pun mempunyai perasaan yang sama macam saya rasakan sekarang ni kan?”

A.D cuba menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap penunggangannya. Dia memecut laju. Entah mengapa suara itu bergema lagi. Bunyi deruman enjin yang mengaum itu tidak mampu menandingi suara Wafi yang sedang berbisik ke dalam hatinya.
Jepun memerhatikan aksi A.D dari jauh. Dia kagum dengan kebolehan A.D. A.D mampu mengawal motosikal berkuasa besar meskipun A.D tinggi tetapi susuk tubuhnya sedikit kecil. Jika A.D mengikuti latihan sepenuhnya, bakat yang ada pada gadis kasar itu boleh dibawa ke tengah.
“Pun, siapa tu? Budak baru dalam team kita ke?” soal Farid yang baru sahaja sampai untuk menjalani latihan sebentar lagi. Dia merupakan salah seorang ahli pasukan yang berada di bawah bimbingan Jepun.
“Tak adalah, kawan aku tu.”
“Boleh tahan mamat tu. Ada teknik. Kenapa tak nak tarik dia masuk dalam team kita? Ada masa lagi ni kan kalau nak ajar dia?”
Jepun tersenyum mendengar kenyataan Farid. Jepun tahu Farid menyangkakan yang A.D itulah lelaki. 
“Kau tak tengok lagi siapa orang di sebalik topi keledar tu. Kalau kau tahu, mesti kau lagi kagum.”
“Apasal pula?”
“Tengok ajelah nanti.”
Farid hairan dengan Jepun. Jepun membuatkan dirinya tertanya-tanya siapakah gerangan yang sedang memecut itu. 

Setelah melakukan tujuh pusingan, A.D mengambil keputusan untuk berhenti. A.D menurunkan stand motorsikal itu. Dia turun lalu menuju ke arah Jepun dan Farid sambil menanggalkan topi keledarnya.
“Eh? Perempuan? Biar betul?” tanya Farid sebaik sahaja melihat wajah A.D.
“Terkejut kan?”
“Gilalah. Hebat betul minah ni. Awek kau ke Pun?”
“Banyaklah kau punya awek. Dia kawan aku.” jawab Jepun sambil tersenyum.
“Apasal kau tersengih-sengih ni Jepun?” tanya A.D sebaik sahaja tiba. 

A.D memperkemaskan rambutnya, sedikit tidak teratur semasa menanggalkan topi keledar tadi.
“Tak ada bendalah. Budak aku ni lah. Terkejut tengok orang perempuan yang bakar track ni.”
“Kau memang hebatlah. Dah lama ke bawa superbike?” soal Farid, dia begitu kagum melihat kebolehan A.D.
“Dekat 3 tahun jugalah. Bawah team Jepun ke?”
Farid mengangguk.
“Ada tournament tak lama lagi.”
“Baguslah. Jepun ni lagi hebat. Sedut ilmu banyak-banyak sikit daripada dia ni.”
Farid ketawa.
“Sudahlah kau. Eh…Farid, nanti kalau budak-budak dah sampai semua kau pandai-pandailah nak buat apa. Aku nak berbual kejap dengan A.D ni. A.D, jomlah lepak kat bengkel kejap.”
“Ok. Tahulah aku nak buat apa nanti,” balas Farid.
A.D menuruti langkah Jepun sehingga ke bengkel. Jepun mengambil 2 tin air minuman 100 Plus dari dalam peti ais mini lalu diberikan salah satu kepada A.D. A.D meletakkan topi keledarnya ke tepi lalu membuka penutup tin minuman tersebut dan meneguknya.
“Apa cerita ni? Tiba-tiba nak pecut laju-laju? Lama dah kau tak lepak track aku ni.”
“Tak ada bendalah. Saja je nak kasi pecut sebab dah lama tak buat. Aku sibuk sikit. Assignment, kuliah. Serabut sikitlah kepala aku ni.”
“Aku tengok tadi teknik kau masih macam dulu lagi. Cuma masa selekoh tu kurang sikitlah.”
“Kau ni macam tak biasa pula. Memang itu kelemahan aku masa kat selekoh. Kau ajar aku banyak kali pun aku tetap tak pandai masa selekoh.”
“Kalau kau masuk team aku, semua tu boleh dibaiki. A.D, masuklah team aku. Dua bulan lagi ada tournament. Kau satu-satunya perempuan pakai superbike yang aku kenal yang ada skil tu. Kalau asah sikit, dah boleh dah. Sempat lagi kalau kau nak berlatih.”
“Kau nak aku jadi Carl Fogarty ke? Tak pun Valentino Rossi versi perempuan? Kau tahukan aku bawa superbike ni suka-suka aje. Tak pernah terfikir nak berlumba pun. Mungkin ini kali terakhir kot aku bakar litar kau ni.”
“Kali terakhir? Kau nak berhenti? Apasal? Bila?”
“Aku tak tahu lagi bila nak berhenti. Banyak benda aku nak buat. Kuliah aku, aku dah semester akhir. Lepas tu nak uruskan syarikat bapa aku lagi.”
“Kau biar betul ni? Ke pasal hati dan perasaan ni? Siapa yang dah berjaya mencuri hati kau ni?” duga Jepun.
“Kau jangan nak merepeklah Jepun. Mana ada.”
“Hello minah superbike, aku kenal siapa kau tau. Aku tengok muka kau pun aku dah tahu. Kalau setakat kau sibuk dengan kuliah dan kerja, tak ada maknanya kau nak berhenti terus. Kau boleh relaks kejap kan? Ni tidak, nak berhenti terus.”
“Tak adalah. Aku ni perempuan. Sampai bila aku nak naik superbike tu? Takkanlah sampai beruban baru aku nak berhenti. Lainlah kalau kau. Kau lelaki. Motor dengan lelaki memang dah sinonim.”
“Memang sah ada orang yang dah berjaya ubah pendirian kau ni. Lebih baik kau cakap dengan aku. Penat aku mengurat kau dulu tapi kau tak layan pun. Kau cakap apa dengan aku dulu? Kau tak akan jatuh cinta sebab kau cakap lelaki ni semuanya sama aje. Fikir nak seronok dengan perempuan. Tapi sekarang apa cerita?”
“Suka hati kaulah Jepun. Lebih baik kau pergi tengok budak-budak kau buat latihan tu lagi bagus.”
A.D cuba mengelak. Dia tidak mahu sesiapa pun tahu yang dia sudah tidak mampu mengawal hatinya.
“Kau memang sengaja mengelak. Pandai ubah topik. Eh, tapi kau betul ke tak nak masuk team aku? Sayang tau. Kau bukan setakat ada teknik tapi ada potensi untuk bersaing dengan pelumba lelaki yang lain.”
A.D menggeleng. Akan hal itu dia pasti dengan pendiriannya sendiri.
“Kalau kau betul nak berhenti, ninja hijau kau tu kasi jual kat aku.” pinta Jepun sambil matanya memandang ke arah motorsikal Kawasaki Ninja milik A.D.
“Apasal? Berkenan? Tengoklah nanti macam mana. Kalau aku rasa dah tak nak pakai lagi, aku tolak dengan kau.”
“Cantik. Macam tulah.”
A.D hanya tersenyum. Jepun segera menuju ke motorsikal A.D. Dia membelek-belek keadaan motor yang bakal menjadi miliknya suatu hari nanti. 

-----------------------


Wafi meletakkan beberapa gulungan pelan lukisan dan topi keselamatan di tapak pembinaan berwarna putih itu di tempat duduk belakang. Dia baru sahaja selesai melawat kawasan pembinaan itu untuk memastikan terdapatnya perkembangan untuk mengelakkan projek bangunan itu tidak tergendala. Belum sempat kaki kirinya melangkah masuk ke dalam kereta, dia terpandang satu susuk tubuh sedang menghampirinya. Lelaki itu sedang melintas dan menuju ke tempatnya. Dia seperti mengenali wajah itu. Lelaki di pandangannya itu lebih tinggi sedikit daripadanya dan berkulit gelap.
“Tak silap, kau ni Wafi kan?” 
Ya, Wafi pasti dia mengenali pemilik suara itu. Dia cuba untuk mengembalikan ingatannya. 
“Mmmmmmm….tak silap aku. Kejap, Syafiq….Syafiq apa?” soal Wafi sambil jari di tangan kanannya dipetik.
“Syafiq Haikal.”
“Ha….Syafiq Haikal.”
“Panggil Haikal sudah. Jarang orang panggil nama aku Syafiq. Eh, kau buat apa kat sini?”
“Aku baru siap tengok kawasan tapak pembinaan ni. Tengok perkembangan.”
“Bangunan tengah naik ni kau yang uruskan? Hebatlah kau.”
Wafi mengangguk.
“Tak adalah. Biasa aje. Dah jadi tanggungjawab aku. Kau pula buat apa kat sini?”
“Aku baru jumpa client aku. Bos aku sibuk cari pasaran. Wah, rambut kau boleh tahan panjang ni. Dah macam ala-ala Faizal Tahir bila kau ikat rambut kau ni. Aku pun nak cuba jugalah simpan rambut panjang.”
“Kau nak simpan rambut panjang? Kasanova Malaya nak ke rambut berikat macam ni? Tak macho la kan? Apa cerita sekarang? Kiranya kau baru balik dari London la ni? Berapa lama kau kat sana?”
Syafiq Haikal merupakan kenalannya merangkap sepupu kepada Nadhira. Mereka kenal antara satu sama lain semasa awal percintaannya dengan Nadhira. Haikal dan Wafi berkongsi minat yang sama iaitu sukan ragbi. Tubuh Wafi lebih sasa berbanding Haikal meskipun ketinggian Wafi kurang sedikit daripada lelaki itu. Haikal mewakili pasukan ragbi universitinya di London. Jika Haikal pulang ke Malaysia, itulah topik yang akan mereka bincangkan.
“Baru habis belajar. Aku kat sana lebih kurang 3 tahun lebih.”
How London? Awek mat saleh cantik?”
“Mestilah cantik, kulit putih melepak tu. Perempuan mat saleh tak kedekut. Kat sana senang sikit kalau nak berseronok berbanding kat Malaysia ni.”
“Kau tak sudah-sudah dengan perangai kaki perempuan kau tu kan? Memanglah, kalau kau peluk cium kat sana pun siapa nak tangkap kau? Aku rasa kau bukan setakat kasanova Malaya je tau. Silap-silap kasanova London.”
“Nak buat macam mana Wafi, aku tak minta pun untuk dilahirkan dengan muka yang bergaya macam ni.”
“Perangai tak berubah. Sekarang kau kerja kat mana?”
“Sekarang ni aku kerja kat syarikat pak cik aku.”
“Pak cik kau? Maksudnya syarikat Datuk Hamdan?”
“Yalah. Syarikat bakal bapa mertua kau tulah. Dhira tak cerita apa-apa kat kau ke? Kau macam terkejut aje?”
“Memanglah aku terkejut. Aku baru nampak kau sekarang ni.”
“Peliknya. Baru dua tiga hari lepas aku tanya dengan Dhira pasal kau. Takkanlah Dhira tak cerita apa-apa pasal aku dengan kau? Dia cakap kau orang berdua ok aje. Cuma dia cakap dengan aku yang kau sibuk kerja untuk cari duit. Lagipun kau orang berdua dah nak kahwin kan?” tanya Haikal.
Wafi seperti tercengang apabila mendengar pertanyaan Haikal. Dia sama sekali tidak menyangka sejauh itu Nadhira tidak mampu untuk menerima kenyataan. Nadhira berbohong dengan Haikal akan kedudukan sebenar hubungan mereka. 
“Dhira cakap macam tu?”
“Yalah. Kenapa? Kau tak nak kahwin dengan dia ke?”
“Masalahnya aku dengan dia………..”
Tiba-tiba telefon bimbit Haikal berdering. Lantas Haikal membalas panggilan tersebut. Kedengaran perbualan mesra keluar daripada bibir itu. Setelah beberapa ketika, dia memutuskan panggilan.
“Wafi, aku ada hal. Lupa pula dah janji dengan minah ni.”
“Minah mana? Awek baru?”
“Biasalah. Ni kad aku. Apa-apahal telefonlah. Nak main ragbi ke, aku pun dah lama tak main ni,” ucap Haikal sambil menghulurkan kad namanya.
Kad tersebut kini bertukar tangan. Wafi juga mengambil kad nama miliknya lalu menghulurkan kad tersebut kepada Haikal. 
“Wafi Azrel Shah, Chief Executive Officer Bina Kurnia Berhad? Ini baru betul-betul hebat. Gilalah kau. Muda-muda dah jadi C.E.O. Bina Kurnia ni bukan salah satu nama syarikat besar dalam pembinaan ke?”
“Ini namanya rezeki. Kalau kau dapat muka handsome, aku pula dapat benda lain. Inilah rezeki aku yang Allah kasi.”
Haikal hanya mengangguk. Perasaan kagum muncul apabila memandang Wafi. Sama sekali tidak menyangka Wafi sudah jauh melangkah. 



No comments:

Post a Comment