Stylo Clique ^_^

Sunday, September 29, 2013

Encik Pendekar & Mr.Keju - Bab 15

BAB 15

“Jalan bercabang dua terbentang di hadapan, jalan mati terhampar di fikiran.”

Bentuk tubuh lelaki yang berada di dalam kanvas diperkemaskan lagi. Bagi Inderawan, lelaki di dalam lukisan itu melambangkan seseorang dalam kehidupan realitinya. Insan tersebut seharusnya menjadi insan yang paling rapat dengan dirinya selepas ibunya. Tetapi apa yang berlaku sebenarnya jauh dan semakin jauh hari demi hari. Tiada tempat yang boleh dicurahkan melainkan di atas permukaan putih tersebut. 

Inderawan memandang langit seketika. Walaupun hari tidaklah terik tetapi hembusan angin pada ketika itu bahang menembusi kulitnya. Dia menoleh ke kiri sebaik sahaja kedengaran bunyi gitar dipetik oleh Amsyar. Itulah kegemaran Amsyar. Selain menjual bahan bacaan di gerai kecilnya, dia juga gemar bermain muzik. Apabila ada kelapangan atau jika kurang pelanggan, Amsyar akan bermain gitar untuk menghiburkan orang yang lalu lalang di situ. Jika bernasib baik, dapatlah juga pendapatan sampingan. Jika sampai anginnya, Inderawan juga akan turut serta. Selama lebih setahun berada di situ, dia ada mempelajari cara bermain alat muzik tersebut. Bukannya apa, kadang-kala ilhamnya juga tersekat untuk melukis. Selain melukis, muzik juga mampu membuatkan dia mengukir senyuman.



Inderawan tersenyum sambil mengelap peluh di dahi. Dia menyambung semula apa yang berbaki setelah peluhnya menyerap ke tuala. Jiwanya sudah masuk ke alam itu. Lupa seketika masalah yang menimpa.

“Encik Indera,”

Tangan kanannya yang dari tadi laju menari-nari kini terhenti. Suara itu seperti antara kenal dan tidak.

“Haqimi,” balas Inderawan.

Terbit perasan terkejut di hati kecilnya. Dia segera mengelap tangannya lalu bersalaman dan Haqimi juga membalasnya.



Haqimi memerhatikan lukisan-lukisan yang telah siap. Pandangannya tertarik dengan lukisan pemandangan danau tatkala waktu mataharu terbit. Sebuah rumah kecil kelihatan di dalam lukisan itu. Haqimi dapat merasakan ketenangan apabila memandang lukisan itu yang dipenuhi dengan pokok di bahagian kiri dan tengah lukisan itu terdapat sebatang sungai yang mengalir. Entah mengapa, ada satu perasaan muncul. Haqimi dapat merasakan Inderawan mahu kehidupan seperti itu. Kecil dan sederhana namun penuh dengan ketenangan. Jauh daripada segala masalah. Ternyata seni Inderawan tiada bandingannya. Memang benar dia melukis dengan hati dan perasaan. Namun penglihatannya tiba-tiba sahaja tertumpu pada stand kayu itu. Haqimi cuba mengamati lukisan yang belum siap itu. Sepertinya ada seorang lelaki dewasa dan seorang anak kecil.

“Kau sihat?” soal Inderawan sebaik sahaja melihat Haqimi diam seribu bahasa. Inderawan segera mengambil bangku merah lalu mempelawa Haqimi duduk.

“Alhamdulillah. Encik Indera sihat?”

Haqimi melabuhkan punggungnya ke bangku itu.

“Sejak bila kau berencik dengan aku ni? Aku dengan kau dah lama kenal. Kau dengan aku tak ada beza.”

Haqimi tersenyum. Begitulah sifat Inderawan. Masih lagi tidak berubah seperti dahulu semasa dia menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Taming Sari Berhad. Sama sahaja layanannya terhadap insan yang lain.

“Lama tak nampak. Angin bayu mana yang bawa kau ke sini?” soal Inderawan.
“Angin bayu aku ni ada bawa pesan.”
“Pesan dari siapa? Dato’ Mahmood ke Sultan Mahmud? Titah sultan mana boleh disanggahkan?” ucapnya dalam nada sinis.
“Nine dah lari,” ucap Haqimi, pendek.
“Lari? Lari pergi mana? Apasal pula?”
“Kalau aku tahu, tak kan ada angin bayu yang meniup yang menyebabkan aku ke sini. Hari perkahwinan dia dah nak dekat. Lebih kurang seminggu lebih aje lagi. Dah puas aku cari dia merata tempat. Termasuk tempat selalu dia pergi dan rumah kau.”
“Hari perkahwinan Nine? Kau intip aku?”
“Aku tak ada pilihan. Dato’ Mahmood yang suruh.”
“Aku memang tak tahu ke mana dia pergi. Kali terakhir dia jumpa aku pun ada selisih faham. Dia ada lepaskan kemarahan dia kat aku.”
“Kau dengan Nine selisih faham? Seumur hidup aku Tuah dan Jebat yang aku kenal tak pernah berlaga suara apatah lagi mahu bertikam keris sesama sendiri.”
“Sedangkan lidah lagi tergigit Haq. Kau nak apa dari aku ni?”
“Ada benda aku nak bincang”
“Benda? Kau nak cakap pasal Taming Sari Berhad ke?”

Haqimi membalas dengan senyuman.

“Aku pernah dengar yang orang seni ni bukan sekadar berseni aje, tapi dapat nampak apa yang orang lain tak nampak. Aku belum cakap lagi tapi kau dah tahu,”
“Aku cuma teka aje.”

Haqimi merapatkan lagi jaraknya dengan Inderawan. Dia mahu apa yang disampaikan sebentar lagi terus sampai ke hati anak sulung majikannya itu.

“Aku nak minta tolong kau kembali semula ke Taming Sari Berhad.”

Inderawan mengeluh. Sudah muak rasanya mendengar ayat itu. Dulu dari bibir ayahnya dan kini Haqimi pula.

“Aku rasa kau dah tahu apa jawapannya.”
“Selama kau tak ada Dato’ Mahmood yang menguruskan segala-galanya. Kemudian bila Nine balik Malaysia, Dato’ Mahmood cuba bentuk dia untuk gantikan tempat kau. Aku ada nampak potensi dia tapi dia belum bersedia lagi. Untuk pengetahuan kau lagi, dia difitnah oleh Raziq, orang kepercayaan Dato’ Mahmood.”
Uncle Raziq?”
“Ingat tak dulu kau pernah ragu-ragu dengan penyata tahunan syarikat? Kau syak Raziq yang buatkan? Tapi dia berjaya buktikan yang dia tak bersalah. Aku dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena. Nine bertambah tertekan bila dia dipaksa kahwin dengan anak Datuk Ramli. Jadi, sekarang kau dapat agakkan kenapa Nine menghilang tanpa dikesan?”

Inderawan hanya mampu membisu. Pantas sahaja peristiwa hari itu berlaku. Zulqarnain tidak sudah menyalahkan dirinya.

“Aku tak salahkan Nine dalam hal ni. Tambahan lagi dia tahu yang dia ada abang, tempat dia bergantung dan berpaut. Dan tiba-tiba dia kena menanggung semua beban tu secara tiba-tiba. Sebab tu dia lenyapkan diri dia. Tapi tanpa Nine sedar, dia sendiri telah membina jambatan untuk Raziq. Jambatan sebagai laluan Raziq untuk meruntuhkan apa yang keluarga kau dah bina selama ni. Pucuk yang dicita, ulam pun tiba. Perkara ni yang Raziq mahukan. Dia tahu Nine tak macam kau, sebab tu dia ambil kesempatan. Dia makin bertepuk tangan siap bergendang dan menari bila Nine hilang. Aku memang tak ada bukti, tapi aku dah lama kat Taming Sari Berhad. Aku dapat agak kalau ada yang tak kena.”

Inderawan langsung tidak menjawab. Dia hanya seperti patung, membiarkan Haqimi yang juga pembantu peribadinya suatu ketika dahulu terus menerus meluahkan apa yang mahu dia sampaikan.

“Indera, sampai bila kau nak lari?”
“Aku tak lari. Kau pun tahu apa sebab aku keluar daripada rumah tu kan?”
“Aku tahu bukan aku kat tempat kau. Tapi kau kena korbankan perasaan kau untuk selamat seluruh empayar yang telah terbina ni. Jangan hanya sebab perempuan tu, kau nak hancurkan seluruh keluarga kau. Baliklah Indera. Kalau kau terus macam ni, maksudnya kau dah kalah.”
“Kalau aku balik, maknanya aku mengalah. Mengalah maksudnya aku menurut sahaja permintaan ayahanda aku.”
“Indera,mengalah bukan bermakna kita pengecut. Tidak melawan tak semestinya penakut. Sampai bila kau nak lari? Sampai bila?”
“Siapa yang suruh kau merayu kat aku ni?”
“Bukan sesiapa tapi aku kawan kau. Tuan Pengerusi ada minta aku tanya kau pasal Nine. Dia kirim salam kat kau.”
“Tok ayahanda aku sihat?”
“Macam tulah dia. Tengok aje sihat. Tapi hati orang tua tu kita tak tahu. Aku perasan muka dia susah hati bila perkara ni berlaku.”

Tangannya sudah berada di dahi, pening memikirkan kekusutan yang ada.

“Kau dengan Dato’ Mahmood tak ada banyak beza. Masing-masing keras kepala. Mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi.”

Inderawan memandang semula ke langit. Dia sendiri masih lagi bingung. Inderawan cuba mencari jawapan disebalik awan,

“Indera, jangan pandang atas lama sangat, takut lupa kaki masih lagi di bawah.”

Haqimi berkias dengannya. Inderawan memandang semula wajah itu.

“Aku balik dulu. Aku rasa sudah tibanya Tuah kembali untuk membetulkan keadaan. Tuah yang aku kenal bijak orangnya,” ucap Haqimi lalu bangun dan beredar.

Inderawan hanya memerhatikan lelaki itu pergi. Dia bingung.
Baru sahaja kepalanya ringan setelah diluahkan dengan melukis, tiba-tiba beban itu kembali bersarang di fikirannya. Jika dia tidak kuat, boleh gila jadinya. Inderawan memerhatikan sekelilingnya. Mahu sahaja dia menggantikan jasad salah seorang dari mereka yang ada di situ.Dan secara tidak sengaja, ada suara yang membisik ke telinganya.

“Ini semua salah abang. Salah abang!!! Nine tak akan tanggung semua ni kalau bukan sebab abang. Are you happy now?”

Kata-kata adiknya tempoh hari seperti pita rakaman di fikirannya. Namun suara itu tiba-tiba sahaja tenggelam. Bunyi petikan gitar daripada Amsyar menjadi ganti.

“Senyumlah…senyumlah…ahhaaii cek mek molek..”



Amsyar mendendang sebaris lirik lagu itu kepada Inderawan setelah melihat wajah rakannya itu berkerut seribu. Inderawan tersenyum.

“Amacam, banyak dapat hasil basking?”
“Jadilah. Dapat RM5.25 ni. Lepas beli getuk ubi kat depan tu. Eh, siapa tu?” soal Amsyar sambil bibirnya muncung ke arah Haqimi yang sedang berjalan meninggalkan mereka.
“Haqimi, pembantu peribadi aku dulu.”
“Kenapa dia datang?”

--------------------------------

“Assalammualaikum, bonda,” ucap Inderawan setelah melangkah masuk ke dalam rumah.
“Waalaikummussalam. Lambat Indera balik hari ni? Banyak melukis?” soal Hannum yang sedang berada di meja makan.
“Alhamdulillah. Boleh tahan bonda. Rezeki hari ni lebih sikit. Bonda nak buat apa dengan ikan bilis tu?” soal Inderawan apabila melihat tangan Hannum sedang sibuk menyiang ikan bilis.
“Bonda ingat nak buat nasi lemak untuk sarapan esok. Bonda siapkan dulu bahan-bahannya malam ni. Esok pagi senang. Nanti Indera bawa bekal ya? Lepas tu bawakan sekali untuk Amsyar. Amsyar tu suka sangat kalau pasal makan-makan ni. Indera kalau nak makan, ada lauk kari kat dalam periuk tu. Bonda dah panaskan dah tadi.”
“Yalah bonda.”

Inderawan berjalan menuju ke dapur lalu membuka peti sejuk dan mengambil air sirap di dalam jug. Dia mengambil gelas di rak lalu menuang air tersebut. Dia menuju ke meja makan.

“Bonda,” panggil Inderawan.

Hannum menoleh ke arah Inderawan yang sedang menarik kerusi meja makan lalu duduk di sebelahnya.

“Kenapa Indera?” tanya Hannum.
“Indera nak bincang dengan bonda sikit,”
“Nak bincang pasal apa?”
“Kalau Indera kembali semula ke Taming Sari Berhad, bonda setuju tak?” tanya Inderawan dengan wajah yang serba salah.
“Kenapa tiba-tiba aje ni? Ayahanda ada jumpa dengan Indera ke?”
“Tak, ayahanda tak tahu pasal ni. Tapi apa yang pasti Nine dah lari, bonda.”
“Nine lari? Kenapa?”
“Indera rasa ni semua salah Indera. Tanggungjawab Indera yang Indera tinggalkan dulu, semuanya Nine kena tanggung termasuklah kahwin dengan anak Datuk Ramli.”

Hannum mendiamkan diri. Dia terkejut dengan tindakan anak tirinya itu.

“Nine masih mentah lagi untuk lalui semua ni. Tambahan lagi, tadi Haqimi ada datang kat arked. Dia cakap Taming Sari Berhad tengah ada masalah. Ada gunting dalam lipatan, Uncle Raziq.”
Uncle Raziq , kawan baik ayahanda tu?”

Inderawan mengangguk.

“Tapi dia kawan baik ayahanda kamu. Dah lama dia kerja kat situ. Takkanlah dia nak buat macam tu?”
“Indera pun tak pasti bonda. Indera rasa, Indera perlu betulkan semuanya tapi Indera tak sanggup nak bertentang mata apatah lagi bertentang suara dengan ayahanda. Sakit hati ni masih lagi terasa bisanya. Indera takkan boleh lupa apa yang dia dah buat pada kita.”
“Indera, dia tetap ayahanda Indera walauapapun yang terjadi. Ingat tu. Bonda tahu Indera marahkan dia tapi ayahanda tak tahu yang dia tengah dalam kesusahan sekarang ni. Kita tak tahu pun betul ke tidak pasal uncle Raziq tu. Kalau tak betul tak apa tapi kalau betul macam mana? Empayar tok ayahanda bina selama ni akan runtuh. Indera nak macam tu ke? Taming Sari Berhad hasil titik peluh tok ayahanda. Susah payah dia bina semua ni untuk anak cucu serta keturunan dia. Dia tak mahu darah daging dia merempat.”

Umpama melontar dadu, kali ini giliran Inderawan pula yang mendiamkan diri.

“Kalau Indera tak nak buat untuk ayahanda, Indera buat untuk tok ayahanda ya?”
“Tapi Indera kena mengadap perempuan tu juga nanti bonda.”
“Indera juga yang cakap nak betulkan keadaan kan? Sampai bila Indera nak lari? Bonda tahu Indera marah sangat apa yang dia buat pada bonda. Tapi itu hal dia dengan bonda. Indera masih lagi anak dia.”

Kata-kata Hannum hampir sama seperti Haqimi. Benarkah dia sedang melarikan diri selama ini? Benarkah dia cuba untuk mengelak daripada kenyataan? Masih jelas diingatannya kata-kata Amsyar siang tadi setelah dia menceritakan segala-galanya kepada Amsyar.

“Wan, ini masanya untuk kau betulkan kembali keadaan. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ni. Mungkin ada sebab kenapa Allah takdirkan Nine larikan diri daripada semua ni. Semua ni tak akan selesaikan masalah kalau kau terus kat sini. Kau nak sampai ke tua ke nak putuskan hubungan dengan adik beradik kau yang lain. Kau kena lawan Wan. Kau kat sini dah menunjukkan kau kalah sebenarnya. Kau biarkan mak tiri muda kau tu memutuskan apa yang telah telah tersimpul selama ni? Dendam yang terpendam masih lagi nak peram kat hati yang paling dalam sampai jadi pekasam, dihidu masam. Dan akhirnya busuk itu memakan diri sendiri, macam tu?”

Inderawan seakan termenung. Kata-kata Amsyar begitu menusuk ke jantungnya. Selama ini dia merasakan itulah keputusannya yang terbaik. Inilah caranya utuk menentang Dato’ Mahmood. Tetapi setelah apa yang berlaku, dia telah menjadikan Zulqarnain sebagai mangsanya.

“Bonda tak halang Indera. Apa yang Indera rasakan terbaik, bonda akan sokong. Tapi fikirkanlah untuk yang lain. Bonda tahu Indera tak sama macam ayahanda. Indera bukan orang yang mementingkan diri sendiri.”
“Bonda pun tahu kan, kalau Indera kembali semula ke Taming Sari Berhad maknanya Indera pun kena kembali ke rumah tu juga?”
“Bonda tahu. Indera janganlah risau. Jiran-jiran sebelah ni pun selalu tanya khabar bonda, selalu juga jenguk bonda ni kalau Indera kat arked. Kita tak tahu mungkin ada hikmahnya di sebalik semua ni. Mana tahu bila Indera dah kembali semula ke rumah tu, ayahanda benarkana Raudhah, Shaq dengan Que jumpa bonda. Betul tak? Indera timbang dugalah dengan seelok-eloknya.”
“InsyaAllah bonda. Indera kena fikir masak-masak. Terima kasih bonda. Indera naik dahulu.”
Inderawan sempat meghadiahkan kucupan di dahi ibunya. 


4 comments:

  1. br habis baca n suka ngan jalan cerita nie. lain dari yg lain.
    yg penting merlimau & kampung sempang ada dalam cerita...hahahaha.

    teruskan lagi dengan lebih baik. terima kasih & Tahniah

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih byk2 sbb bce EPMK.. ^_^
      senyum2 saya baca komen awak..
      hihi..
      InsyaAllah...saya akan update lagi dalam minggu depan
      hihi..awak org merlimau ke?? ke org kampung sempang?? ;)

      Delete
    2. kerja kat merlimau duk kat sempang...x jauh mana pong :)

      Delete
    3. serius duduk kat kg sempang??
      huhu..saya xpnh masuk lagi kat dlm kg tu..(x pasti sama ke tak gambaran saya dgn keadaan sebenar kg tu)
      merlimau tu biasa tapi itu pun dah dekat 3 tahun xjejak sana..

      Delete