BAB
12
“Jauh dari pangkal mahu
meredah hatimu. Tanpa sengaja sudah dalam ku menyelami jiwamu.”
Zulqarnain menyelak
sedikit pergelangan kemejanya. Jam tangan berjenama Nixon The Unit berwarna
hitam tersemat kemas itu dipandang seketika. Waktu sudah melepasi pukul 5
petang. Setelah itu, tangan kirinya dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Dia
berjalan perlahan menuju ke tempat Wardah.
“Wardah, awak ada
masa?” soal Zulqarnain.
Wardah seperti
terpinga-pinga dengan pertanyaan Zulqarnain.
“Masa kerja saya
sememangnya untuk Encik Nine.”
“Awak temankan saya
keluar sekejap. Saya rasa dah lama tak ambil angin kat luar. Kita jalan kat
sekitar kawasan sini aje.”
Wardah mengangguk.
Zulqarnain sudah terlebih dahulu jalan meninggalkan Wardah. Mereka bersama-sama
berjalan menuju ke luar kawasan Wisma Taming Sari Berhad. Sepanjang perjalanan,
mereka berdua mendiamkan diri. Wardah sendiri tidak pasti apa motif dan tujuan
majikan mudanya itu.
Wardah memerhatikan
lelaki itu berjalan daripada belakang. Setiap inci anggota Zulqarnain ditenung
oleh Wardah. Rambut perang pekat semulajadi itu sentiasa kelihatan kemas.
Kemeja dan seluar putih yang dipakai membuatkan Zulqarnain bertambah segak.
Pakailah apa sahaja warna sekalipun, pasti Zulqarnain bijak mengenakan kemeja
tersebut dengan gayanya. Kedua-dua tangan Zulqarnain berada di dalam poket. Dia
berjalan bersahaja merentasi orang ramai. Wardah perasan, setiap kali kaum
wanita yang bertentangan dengan Zulqarnain, pasti wanita itu akan tersenyum
tatkala memandang wajah itu.
Langkah Zulqarnain
terhenti seketika apabila merasakan Wardah seperti semakin jauh dengan dirinya.
Dia menoleh ke belakang.
“Kenapa awak tak nak
jalan kat sebelah saya?”
Wardah yang sedang leka
memerhatikan Zulqaranain tiba-tiba tersentak.
Harap-haraplah mamat
keju celup ni tak perasan yang aku tengah tenung dia. Hati Wardah sempat
memohon.
“Saya takut kalau saya
jalan kat sebelah Encik Nine nanti orang anggap saya ni kekasih Encik Nine
pula.”
Wardah cuba berseloroh,
namun entah mengapa dia tidak pasti kenapa jenaka itu pula yang terbit dari
bibirnya. Tangan Wardah sempat menepuk perlahan dahinya sendiri.
Kekasih? Kau ni dah
kenapa Wardah? Ada hati ke nak jadi kekasih mamat kasanova kaki kelab ni? Kau
kan dah nak kahwin dah. Bentak hatinya sendiri.
Zulqarnain tersenyum.
“Awak kan pengawal
peribadi saya. Jadi, apa salahnya awak jalan kat sebelah saya.”
“Baik Encik Nine.”
Wardah segera
mempercepatkan langkahnya dan berjalan seiring dengan Zulqarnain.
“Saya baru perasan
surat perletakan jawatan awak semalam. Dah dekat dua minggu awak letak, saya
baru perasan. Maknanya lagi dua minggulah awak nak berhenti. Kenapa awak tak
nak cakap sendiri dengan saya? Kalau saya tak perasan surat tu macam mana?”
“Saya rasa itu satu
perkara yang formal. Mungkin lebih beretika rasanya kalau saya bercakap dengan
menggunakan kertas.”
“Dato’ Mahmood dah
tahu?”
Wardah mengangguk
sambil memberikan senyuman.
“Encik Nine minta saya
temankan keluar jalan-jalan nak bincang pasal surat tu ke?”
“Awak rasa?” soal
Zulqarnain.
Zulqarnain merenung ke
wajah mulus itu. Hari itu Wardah kelihatan anggun dan kasual dengan mengenakan
kemeja putih dan seluar hitam. Kemeja putih itu disarungkan dengan suit hitam
mengikut potongan badan tetapi tidak terlalu ketat. Rambutnya yang panjang
diikat biasa. Wardah nampak kemas dan penampilannya kelihatan tegas.
Wardah perasan akan
renungan itu lalu Wardah membalas persoalan Zulqarnain dengan mengangkat
bahunya sebagai tanda tidak tahu.
“Boleh saya tahu apa
sebabnya? Ke sebab awak tak tahan kena ikut saya sampai ke kelab?”
“Encik Nine jangan
salah faham. Apa yang telah berlaku tak ada kena mengena dengan perletakan
jawatan saya. Saya anggap itu semua cabaran kerja saya. Sebenarnya, lebih
kurang sebulan lagi saya nak kahwin. Itu permintaan bakal suami saya. Dia cakap
kerja saya ni terlalu berbahaya. Kalau boleh dia minta saya cari kerja lain.”
Gegendang telinganya
menangkap jelas kata-kata gadis itu. Namun tatkala sampai ke hati, ada sesuatu
perasaan yang mencengkam ke jiwanya. Terasa sakit dan pedih. Dia tidak pernah
mengalami perasaan itu sebelum ini. Tangannya segera berada di dada. Melalui
sentuhannya sendiri, dia dapat merasakan degupan jantungnya semakin pantas.
Zulqarnain merasakan dadanya seperti mahu pecah.
Kenapa aku rasa sakit
sangat ni? Kenapa aku rasa semuanya seperti tak kena? Aku tak pernah rasa macam
ni sebelum ni. Perasaan apa ni? Soal Zulqarnain kepada dirinya sendiri.
“Encik Nine….Encik Nine
tak ada apa-apa ke?”
“Saya tak ada apa-apa.”
Tangan yang berada di
dada tadi segera diselukkan ke dalam poket seluar. Mestilah kena tunjuk diri tu
maco kan? Takkanlah nak tunjuk diri tu ada yang tak kena pula. Kenalah pandai
berselindung di sebalik penampilan yang bergaya tu.
“Awak tak pernah cerita
dengan saya pun. Jadi, selama ni awak dah bertunanglah ya?”
“Tak, saya belum
bertunang lagi. Tiba-tiba aje pihak lelaki nak langsungkan. Saya ikut aje.
Lagipun elok juga cepatkan apa yang baik ni. Saya dan dia perhubungan jarak
jauh. Kami agak jarang berkomunikasi. Dia pun sibuk. Saya tak ada rancang pun
nak bertunang. Saya rasa lebih elok kalau terus buat majlis pernikahan. Mudah,
ringkas dan menjimatkan. Saya ni anak orang biasa aje. Lainlah kalau saya anak
orang kaya macam Encik Nine. Oh, saya belum ucapkan tahniah lagi kepada Encik
Nine. Encik Nine pun nak melangsungkan perkahwinan dalam waktu terdekat ni
kan?”
“Terima kasih.”
“Bila nak langsungkan
pertunangan?”
“Saya pun tak pasti.
Rasanya dalam waktu terdekat ni juga. Dato’ Mahmood yang uruskan segala-galanya.
Lagipun pilihan keluargakan?”
“Biar betul Encik Nine
tak pasti? Tapi agak logik jugalah. Yalah, kalau diikutkan bakal pengantin
lelaki memang tak tahu menahu pun pasal urusan pertunangan tu. Semuanya pihak
keluarga yang uruskan. Cuma sediakan duit dan cincin aje.”
“Maksud awak? Saya tak
berapa faham.”
“Kalau diikutkan adat
dan budaya orang Melayu dulu-dulu, sepatutnya lelaki tak boleh datang masa
majlis pertunangan. Semua urusan diserahkan kepada pihak keluarga. Dan bila
masa merentasi peredaran zaman, ada juga yang berpendapat bakal pengantin
lelaki perlu datang. Yalah, masa nilah semua sanak saudara nak tengok kan? Bagi
saya semasa majlis pertunangan, pengantin lelaki tak payah datang pun tak apa.
Lainlah kalau majlis pernikahan kan? Mestilah ada pengantin lelaki. Tapi, zaman
sekarang kebanyakannya memang pengantin lelaki tu datang.”
“Jadi, awak ni golongan
yang mengikut adatlah ya?”
“Saya masih lagi
mementingkan adat dan budaya melayu tapi ada juga unsur yang boleh diubah
mengikut peredaran zaman.”
Zulqarnain mengangguk apabila mendengar
penjelasan Wardah.
“Tak sangka masih ada
lagi orang Melayu yang masih lagi mengamalkan adat dan budaya Melayu.”
“Kenapa Encik Nine
cakap macam tu? Gaya cakap macam tak beberapa gemar aje jadi orang Melayu.
Jebat sendiri mengatakan dia tidak berbangga menjadi Melayu? Tuah pasti
menangis air mata darah tatkala mendengar saudaranya sendiri cakap macam tu.”
“Saya tak cakap macam
tu tapi banyak sangat pantang larang. Kenapa kita tak nak berfikir secara
moden?”
“Moden macam budaya
barat tu? Kalau Encik Nine nak tahu, zaman dulu kalau nak berdagang kat empayar
Melaka, kena pandai cakap Melayu. Zaman Melaka lagi kita sudah mempunyai ilmu sains dan
teknologi yang hebat. Walaupun tidak sehebat Tamadun Yunani dan Arab namun kita
harus berbangga kerana orang Melayu dahulu kala sudah mempunyai kemahiran dalam
sains, perdagangan dan teknologi besi untuk pembuatan senjata seperti keris.
Selain itu, kita juga bijak dalam sains maritim terutamanya pembuatan jong dan
kapal. Kalau tak ada kapal, macam mana kita nak berdagang sampai ke tanah China
sana?”
“Betul ke macam tu?”
“Hebat kan? Zaman
kegemilangan Melaka dahulu banyak dipandang tetapi sekarang kita yang memandang
keluar. Orang zaman sekarang memang tak nak apa itu sejarah. Celik mata dah
senang. Kita kena bangga dengan bangsa kita sendiri. Kalau bukan kita, siapa
lagi..”
“Bangga? Maksudnya,
perlu ke buktikan diri ini melayu dengan aksi-aksi silat dan keris dipinggang?”
“Encik Jebat
Zulqarnain, tak perlulah sampai macam tu sekali. Cukup kita tahu siapa kita dan
asal usul kita. Melayu ni unik. Melayu itu luas. Bukan bermaksud duduk di
nusantara sahaja Melayu. Tak kisahlah dia kat mana sekalipun, kat Afrika,
Australia mahupun Italy asalkan dia cukup sekadar dengan tiga syarat. Tidak perlu berdarah
keturunan Melayu. Paling penting ialah dia mesti beragama Islam, pandai
berbahasa Melayu dan mengamal budaya Melayu. Tetapi
banyaklah pecahan keturunan Melayu tu macam Jawa, Bugis dan Patani. Sebab tu
Hang Tuah cakap, Takkan Melayu hilang di dunia.”
Zulqarnain terkesima seketika. Kagum dengan huraian dan
penjelasan Wardah. Terpancar wajah bangga dan semangat apabila Wardah
bercerita.
“Kenapa Encik Nine tiba-tiba jadi bisu ni?”
“Tiba-tiba saya rasa macam
kelakar pula saya ni. Hidup dengan pemikiran moden tapi kena kahwin mengikut
pilihan orang tua. Belajar jauh-jauh merentasi benua tapi bila bab kahwin
terperangkap ke zaman Ibu Mertuaku. Kena kahwin sama taraf.”
“Itu namanya jodoh
Encik Nine.”
Zulqarnain memberikan
senyuman hambar.
“Jadi, bila awak
bertolak balik ke kampung? Kampung awak kat mana? Nak minta siapa-siapa tolong
hantarkan ke? Kalau Wardah nak, saya boleh minta tolong Haq.”
“Kampung saya kat
Melaka. Eh, tak apa Encik Nine. Saya dah biasa balik naik bas. Hari terakhir
saya bekerja kan hari Jumaat. InsyaAllah, mungkin Ahadnya saya balik ke kampung
rasanya. Setakat ni, itulah perancangan saya.”
Zulqarnain mengangguk
perlahan setelah mendengar penjelasan Wardah.
“Saya doakan semoga
semuanya berjalan dengan lancar. Semoga perkahwinan awak memberikan kebahagiaan
sehingga akhir hayat awak. Saya juga nak ucapkan terima kasih banyak-banyak
atas khidmat yang diberikan oleh awak.”
“Terima kasih Encik
Nine. Itu tanggungjawab saya.”
“You are the bravest woman I’ve ever met. Mm..maybe not. I think you are
the second because the first position is my ummi and my bonda. Saya belum
jumpa perempuan lain yang macam awak. Saya ucapkan terima kasih. Saya masih
ingat apa yang Dato’ Mahmood pernah cakap dengan saya dulu. Awak adalah salah
seorang pengawal peribadi dia yang terbaik.”
Wardah memerhatikan
wajah Zulqarnain. Sedikit janggal apabila Zulqarnain meluahkan kata-kata itu.
Ternyata Zulqarnain adalah orang yang menghargai insan yang berada di
sekelilingnya. Sekali lagi Wardah melihat Zulqarnain di sisi yang lain.
“Kenapa? Saya salah
cakap ke?”
“Tak. Saya sangat
hargai kata-kata Encik Nine tu. Saya tak sangka. Terima kasih. Walaupun saya
baru aje sebulan lebih kerja dengan Encik Nine. Tapi saya kenal siapa Encik
Nine. Encik Nine yang sekarang tak sama dengan Encik Nine yang dulu.”
“Kenapa? Awak rindu ke
dengan Jebat Zulqarnain yang dulu?”
Wardah tergelak kecil.
“Adalah juga sikit tapi
tak semua. Encik Nine yang dulu suka buat apa sahaja mengikut kehendaknya
sendiri. Encik Nine yang dulu bukan jenis yang boleh diduga. Dia akan melakukan
apa sahaja yang dia rasakan betul dan Encik Nine yang dulu banyak senyum serta
kedengaran gelak tawanya.”
Tiba-tiba langkah
Zulqarnain sekali lagi terhenti. Begitu juga Wardah.
“Macam nilah. Lain kali
kalau awak tiba-tiba teringat kat saya, awak tutup mata awak. Kemudian awak
bayangkan saya, sebut nama saya dalam hati awak. Awak kira satu sampai tiga.
Bila awak buka mata, saya akan ada kat depan mata awak.”
Wardah tergelak lagi.
“Ini jampi mantera
saya. Kalau awak tak percaya, awak cubalah nanti. Itupun kalau awak teringin
nak jumpa dengan sayalah,” gurau Zulqarnain. Namun disebalik gurauannya itu,
ada menyimpan seribu erti.
Terkebil-kebil Wardah
seketika di situ.
“Kenapa tercegat kat
situ? Saya laparlah. Kat sini tak ada restoran makan Italy ke? Saya nak makan
Lasagne.”
Wardah menggelengkan
kepalanya sambil tersenyum. Memang dasar mat saleh. Mamat ni memang keju celup.
--------------------------------
Wardah tersenyum sendiri apabila mengenangkan peristiwa petang itu. Dia termenung sambil bibirnya senyum melebar terkenangkan sikap dan perangai majikannya. Wardah kini berada di Terminal Bas Larkin. Dia sudah pun membeli tiket bas ekspres untuk pulang ke kampungnya yang terletak di Merlimau, Melaka. Wardah mengambil tiket perjalanan daripada Johor Bahru ke Muar, dan dari Muar dia akan mengambil bas tambang biasa untuk ke Merlimau.
Suasana di situ agak
hiruk-pikuk. Setiap selang 10 minit ada sahaja bas ekspress yang bergerak
menuju ke destinasi yang telah ditetapkan. Almaklumlah, hari itu hari Ahad.
Pasti aktiviti perjalanan lebih sibuk daripada hari biasa.
“Macam
nilah. Lain kali kalau awak tiba-tiba teringat kat saya, awak tutup mata awak.
Kemudian awak bayangkan saya, sebut nama saya dalam hati awak. Awak kira satu
sampai tiga. Bila awak buka mata, saya akan ada kat depan mata awak.”
Entah mengapa secara
tidak sengaja ayat itu terngiang-ngiang di cuping telinga Wardah. Terdetik di
hatinya untuk mencuba jampi mentera yang diberikan oleh Zulqarnain walhal dia
tahu perkara itu adalah mustahil untuk berlaku. Ini bukannya cerita Harry
Potter atau pun Nujum Pak Belalang.
Wardah memejamkan
matanya seketika. Hatinya juga menyebut nama itu.
“Satu……..dua……tiga,”
Setelah selesai
mengira, dia membuka kelopak matanya. Ternyata Zulqarnain tiada.
“Merepek aje,” ucap
Wardah sendiri.
Dia
menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia juga keliru bagaimana dirinya boleh mencuba
melakukan jampi mentera itu.
Aku ni dah gila macam
dia agaknya. bisik hati Wardah.
“Apa yang merepek?”
Suara itu tiba-tiba
kedengaran. Dia cukup kenal dengan suara itu. Wardah segera menoleh ke
kanannya. Wardah memejamkan lalu mencelikkan matanya sekali lagi. Manalah tahu
itu semua khayalannya. Ternyata jelas dan ia bukan mimpi. Jebat Zulqarnain
berada di hadapannya.
“Encik Nine.”
Jelas suara Wardah
terkejut.
“Apa yang merepek?
Cakap seorang diri pula tu.”
“Tak ada apa-apa. Saya
tak sangka Encik Nine tiba-tiba muncul kat depan mata saya.”
“Kenapa pula? Saya tak
boleh datang sini ke? Ke awak ada baca jampi mentera yang saya kasi kat awak
hari tu?”
Zulqarnain sengaja
bermain dengan kata-katanya. Zulqarnain memang cerdik lagi bijak bestari kalau
pasal menduga hati perempuan ni.
Wardah terkedu. Dia
tidak dapat membalas. Dia perlu mencari sesuatu untuk mengubah tajuk perbualan
mereka.
“Encik Nine buat apa
kat sini? Saya dengar bukannya hari ni hari pertunangan Encik Nine ke?”
Mata Wardah sempat
menangkap sesuatu. Ada beg galas belakang yang disangkutkan di kedua-dua bahu
lelaki itu.
“Ada orang pernah cakap
dengan saya, kalau diikutkan adat dan budaya orang Melayu dulu-dulu, sepatutnya
lelaki tak boleh datang masa majlis pertunangan. Semua urusan diserahkan kepada
pihak keluarga. Jadi, sebab tu saya tak pergi. Bukan macam tu ke adat Melayu
kita?”
“Tapi saya rasa Encik
Jebat Zulqarnain yang saya kenal sudah berfikiran moden dan kehadapan. Bukannya
Encik Nine sudah merentasi benua ke?”
Zulqarnain tersenyum.
Sememangnya bukan itu alasan dan sebab dia berada di situ.
“Awak juga yang cakap
pengantin lelaki tak payah datang pun tak apa. Lainlah kalau majlis pernikahan
kan? Mestilah ada pengantin lelaki. Betul tak?”
Pagi tadi Dato’ Mahmood
ada berbicara dengannya akan hal pertunangan itu. Dato’ Mahmood meminta
Zulqarnain untuk turut serta ke majlis tersebut. Namun, alasan yang sama dia
gunakan untuk mengelak. Alasan apa lagi kalau bukan adat melayu tak kasi
pengantin lelaki datang ke majlis pertunangan. Mujur Dato’ Mahmood tidak banyak
soal. Dato’ Mahmood juga pasti anaknya itu akan menurut sahaja perintahnya memandangkan
dia tahu apa kelemahan Zulqarnain. Zulqarnain tidak akan berani untuk
mengingkari arahannya. Dari kecil sudah biasa disuap dengan wang ringgit dan
Dato’ Mahmood juga yakin mampu mengikat Zulqarnain dengan alasan itu.
Zulqarnain sudah
memikirkan rancangan untuk lari. Dia sudah mengatur strategi dan pada hari
inilah masanya yang paling sesuai. Ini memang kerja gila. Dia mahu melarikan
diri. Kata-kata datuknya malam itu difikirkan beribu kali. Walaupun dia tahu
Dato’ Mansoor hanya bergurau tetapi idea itu boleh dipakai. Ya, itulah yang
sebenarnya. Akhirnya Zulqarnain mengambil keputusan di luar jangkaannya
sendiri. Jebat Zulqarnain mahu melarikan diri daripada kemewahan yang melimpah
ruah? Boleh ke? Bukankah ikan tidak mampu bernafas tanpa air?
“Awak tak payahlah
panggil saya Encik Nine. Bukannya awak pengawal peribadi saya lagi. Betul tak?”
sambung Zulqarnain lagi.
“Betul juga. Awak buat
apa kat sini? Takkanlah nak naik bas kut? Siap bawa beg sandang bagai ni.”
“Ohh..saya ingat nak
pergi bercuti.”
“Bercuti? Naik bas? Nak
pergi mana?”
“Saya nak ikut awak
balik kampunglah.”
“Ha?”
Terbeliak biji mata
Wardah dibuatnya. Sudahlah terkejut ‘jampi manteranya’ menjadi. Sekarang mamat
keju ni nak ikut dia balik kampung pula.
“Nak buat apa ikut
saya?”
“Yalah. Ikut awaklah.
Awak kan dah nak kahwin. Awak juga yang jemput saya pergi majlis awak tu kan?”
“Memang saya jemput
tapi bukan sekarang. Lagi 2 minggu majlisnya. Saya jemput masa hari perkahwinan
tu nanti. Lagipun saya ada terdengar khabar angin yang tarikh kahwin awak lebih
kurang sama dengan saya kan? Awak masih sempat lagi nak pergi rumah saya?”
“Saya ambil keputusan
untuk bercuti sebelum saya berkahwin. Yalah, tak salah kan? Setelah apa yang
saya lalui dan saya rasa awak pun tahu ceritanya, apalah salahnya bagi peluang
kat diri saya ni untuk berehat. Tak gitu?”
“Tapi kenapa nak ikut
saya?”
“Sebab awak nak balik
kampung dan saya tak pernah rasa kehidupan kat kampung macam mana. Tambahan
lagi kampung awak kat Melaka kan? Jadi, apa salahnya Jebat pulang ke Melaka.
Ibarat sirih pulang ke gagang. Takkan Pahlawan Melayu tak boleh nak pergi ke
Melaka kan? ”
Hentam sajalah Nine apa
pun alasan kau. Asalkan kau dapat lari daripada semua ni. Nyawa-nyawa ikan pun
lantaklah. Yang penting aku tak nak kahwin dengan anak Datuk Ramli tu. Biar
ayahanda rasa. Ingat perintah dia tu aku tak boleh bantah? Ingat abang Indera
aje boleh keluar daripada rumah tu? Hati Zulqarnain bermonolog sendiri.
“Pandai cakap pahlawan
Melayu. Awak ni belacan dah kena celup dengan keju. Saya tak kisah tapi takut
awak aje yang tak selesa. Kampung saya tu bukan macam kat Milan, Italy.”
“Awak perli saya ke?”
“Siapa yang makan cili,
dialah yang terasa pedasnya.”
“Mentang-mentanglah
saya ni bukan bos awak lagi. Awak perli saya ya? Ok…tak apa, kali ni saya tak
kisah sebab saya nak minta awak tolong saya satu perkara.”
“Apa dia?”
“Tolong belikan saya
tiket bas sama macam awak boleh?”
Wardah membulatkan
matanya.
“Tak pandai beli tiket
bas?”
“Tak.”
“Kat Italy dulu pun
langsung tak pernah naik bas?”
Zulqarnain menggeleng
sambil menyengih.
“Saya dari kecil memang
tak pernah naik pengangkutan awam.”
“Ya ke? Tipulah. Awak
ni memang anak orang kaya kan?”
“Yalah. Kenapa? Tak
percaya? Saya dari kecil dah ada pemandu yang bawa saya ke mana-mana tempat
yang saya nak pergi. Kat Italy pun saya ada kereta saya sendiri. Oh..lupa pula.
Tadi saya datang sini dengan teksi. Jadi, maknanya saya pernah naik
pengangkutan awam yang bernama teksi tapi tak pernah naik bas.”
“Awak ni memang tak diduga. Suka buat apa
sahaja mengikut kehendak sendiri. Tiba-tiba aje nak ikut saya balik kampung.
Kenapa awak selalu sangat buat perkara yang di luar jangkaan? Awak buat apa aje
yang awak suka. Lepas tu awak hadapi akibatnya dengan biasa aje.”
“Hidup saya memang
macam ni. Hargai masa yang kita ada dan buat apa yang kita suka. Kita tak tahu
apa yang berlaku pada hari esok dan tak payah nak fikir banyak-banyak. Lagipun,
bukannya ini ke Jebat Zulqarnain yang awak rindu? Awak juga yang cakap kan?
Jadi, saya kembali kepada Jebat Zulqarnain yang dulu.”
Kata-kata diucapkan
diiringi renungan yang dalam. Seperti ada sesuatu perasaan yang cuba dialirkan
dari hati itu ke hati Wardah. Wajah Wardah sudah berubah kepada merah.
“Bak sini duit, saya nak
pergi beli tiket,” ucap Wardah, dalam keadaan yang pura-pura tegas.
ada sambungan lagi ke kena tunggu novel? ? eheh
ReplyDeleteSIC pun tak beli2 lagi sampai sekarang. teringin nak tahu cerita lanjutnya.
Encik Pendekar & Mr.Keju ada sambungannya lagi..
Deletehihi..ain tak sempat nak update sbb keje
kalau publish pun novel ni rasanya dalam tahun depan..
hihi..takpe..kat kedai masih ada lagi kat rak.. ^_^
hohoho..daku sudah tergoda dgn jebat zulqarnain..sila jgn bgtahu sis NA yek..hahaha..hargai masa yg kita ade..setuju dgn jebat..melting!!!..hahaha
ReplyDelete