BAB
11
“Masakan singa gah di
hutan, mencari sang semut di pinggiran?”
Terbeliak biji mata
Amsyar apabila mendengar kenyataan Inderawan. Mulutnya sedikit ternganga.
Matanya juga langsung tidak berkerdip. Ternyata dia tidak mampu membendung
perasaan terkejut itu. Benarkah kenyataan yang keluar daripada bibir itu?
Masakan Inderawan, si pelukis jalanan punya hubungan pertalian darah dengan
keluarga berada seperti Jebat Zulqarnain? Mana mungkin kucing mampu menjadi
sang belang.
Amsyar mula melakar
wajahnya dengan wajah tidak puas hati. Tiba-tiba dia merasakan seperti sedang
berkomunikasi dengan insan yang lain tatkala melihat wajah Inderawan.
Inderawan sedang menuam
pipinya yang bengkak itu dengan ketulan ais. Perlahan-lahan dia melakukan
perkara itu. Dia tahu, fikiran Amsyar bersarang dengan pelbagai soalan.
“Bukan main aku berteka
teki siapa Wan sebenarnya. Rupa-rupanya………..”
“Am, aku ada sebab.”
“Bak kata orang
tua-tua, kepala aku ni dah berserabut memikirkan masalah dunia. Dan bertambah
serabut kepala aku bila aku tengok apa yang dah berlaku tadi.”
“Aku dah tahu kau nak
cakap apa,”
“Baguslah, tak payah
susah-susah aku nak cakap dan bertanya,”
“Kau nak tanya apa?”
“Memang hobi kau sejak
azali lagi ke suka jawab pertanyaan orang dengan soalan?”
Inderawan dapat
merasakan jelaga kemarahan Amsyar daripada tutur kata itu.
“Tiba-tiba hari ni aku
rasa, aku macam tak kenal kau Wan. Maksud aku Inderawan. Kau ni tak ubah macam
cuaca, tak diduga. Jadi, ayah kau yang kau cerita selama ni ialah Dato’
Mahmood? Orang yang sama dalam majalah ni? Dan kau ialah Tuah Inderawan?”
Tangan Amsyar
menghulurkan majalah Bisnes itu kepada Inderawan. Dia merenung lama muka
hadapan naskah itu. Jika dipandang secara luaran, segala-galanya nampak
sempurna. Dato’ Mahmood dan Zulqarnain segak mengenakan kot hitam. Senyuman
yang diukir oleh Dato’ Mahmood menunjukkan seolah-olah dia memiliki kehidupan
yang lengkap seperti tiada cacat celanya.
“Ya, aku Tuah Inderawan
bin Mahmood Syah. Aku minta maaf Am. Bukan niat aku nak rahsiakan perkara ni
kepada kau. Aku cuma nak cari kehidupan baru aku. Aku tak nak lalui kehidupan
sebagai Inderawan. Cukup hanya sebagai Wan yang kau kenal.”
Amsyar membulatkan
matanya. Meskipun tadi dia sudah tahu tetapi kali ini dengann rasminya
Inderawan memberitahu nama penuhnya. Ini bukan sudah terang lagi bersuluh, tetapi
ditambah lagi dengan sinaran dari sang mentari. Segala-galanya sudah terbongkar
dan terjawab. Dia menutup mulut dengan kedua belah tapak tangannya. Lantas dia
bangun, ke hulur dan ke hilir.
“Wan, aku minta maaf.
Aku tak tahu kau anak Dato’ Mahmood. Selama ni aku layan kau macam kawan biasa
aku.”
“Sebab perkara inilah
aku rahsiakan daripada pengetahuan yang lain. Asal sebut pangkat, terus diberi
layanan istimewa. Sebut aje harta, terus dipandang tinggi.”
“Tuah Inderawan,
masalahnya kau ni adalah salah seorang pewaris Taming Sari Berhad, salah satu syarikat
pereka hiasan dalaman yang berjaya kat Malaysia ni. Selama ni kau cerita yang
kau ada masalah dengan bapa kau, maknanya Dato’ Mahmood lah?”
“Mesti orang luar ingat
bapa aku tu berjaya gila kan? Tapi hal keluarga, semuanya hancur.”
“Wan, semua orang nak
hidup macam kau. Kenapa kau pilih untuk jadi pelukis kat tepi jalan ni? Memang
tak ada jalan penyelesaian ke?”
“Semua orang nak hidup
macam aku?”
Nada Inderawan berbau
sinis.
“Yalah. Betul kan?”
“Ya, mungkin betul kau
cakap semua orang nak hidup macam aku. Tetapi masalahnya, aku nak hidup macam
semua orang. Kau tak akan faham Am.”
--------------------------------
Zulqarnain melangkah ke
halaman rumah setelah tidak dapat melelapkan matanya. Zulqarnain merenung ke
langit. Memerhatikan sinaran bulan. Terang bulan malam itu kelihatan malap.
Namun, bintang tidak jemu menemani bulan. Zulqarnain menghirup udara malam.
Malam itu kelihatan tenang sekali. Angin yang menghembus mendinginkan sedikit
tubuhnya yang hanya memakai singlet dan seluar pendek paras lutut itu. Namun,
kedinginan itu tidak mampu menghangat jiwanya. Sejak peristiwa itu, dia banyak
mendiamkan diri. Menurut sahaja apa yang diperintahkan oleh Dato’ Mahmood tanpa
ada tentangan suara.
“Jauh merenung ke langit?
Dah sampai mana?” tanya Dato’ Mansoor tiba-tiba.
Zulqarnain sedikit
terkejut, namun ia dapat dibendung.
“Jiwa melayang dah
sampai hujung bima sakti,”
“Kalau jiwa dah
melayang sampai hujung bima sakti, kenapa jasad masih kat sini?” balas Dato’
Mansoor lagi.. Seolah-olah mereka sedang bermadah.
“Jasad tak sampai hati
nak meninggalkan bumi,”
“Jiwa pula sampai hati
tinggalkan bumi?”
Zulqarnain tersenyum.
Hampir kedengaran tergelak kecil.
“Tok ayahanda dah lama
tak nampak Nine senyum macam ni. Seolah-olah cucu tok ayahanda tu dah hilang
entah ke mana.”
“Nine sibuk. Kerja kat
pejabat, persiapan perkahwinan Nine lagi. Nine kan lebih kurang lagi dua minggu
lebih dah nak kahwin.”
“Nine jangan nak menipu
orang yang makan garam dulu daripada Nine. Persiapan perkahwinan tu langsung
kau tak tahu apa-apa kan? Kau tu cuma pergi kursus kahwin aje. Yang lain semua
ayahanda kau uruskan. Silap-silap bakal isteri kau pun kau tak tahu siapa
namanya. Betul tak?”
“Eh, macam mana tok
ayahanda tahu ni?”
“Kau tu cucu aku. Betul
kau memang tak tahu nama bakal isteri kau tu? Ayahanda kau tak beritahu?”
“Nine malas nak ambil
tahu. Yang Nine tahu binti Datuk Ramli. Tu ajelah. Bukannya penting pun kalau
tahu nama dia. Apa, kalau tahu nama dia Nine tak payah kahwin dengan dia ke?”
“Lusa ayahanda kau nak
hantar rombongan meminang kan?”
Zulqarnain mengangguk.
“Kau tak nak lari?”
“Lari?”
“Yalah. Kalau tok
ayahanda jadi kau, dah lama tok ayahanda lari. Zaman sekarang kan kena kahwin
cinta sama cinta.”
“Amboi tok ayahanda.
Perli Nine ke?”
“Yalah, bukannya kau
cakap yang kau suka dengan pengawal peribadi kau tu ke?”
Zulqarnain membulatkan
matanya. Terkejut kerana tiba-tiba sahaja Dato’ Mansoor berbicara akan Wardah.
“Tok ayahanda cakap
pasal Wardah ke?”
“Habis tu, kau tu ada
berapa banyak pengawal peribadi?”
Zulqarnain tersenyum.
Entah mengapa dia sendiri pun tidak pasti tiba-tiba sahaja dia terasa bahagia
apabila menyebut nama gadis itu.
“Tok ayahanda ada jumpa
dia masa dia hantar kau balik dulu. Masa tu kau dah mabuk sangat sampai demam
tak cukup tidur. Ingat? Orang ada masalah bukannya pergi buat dosa, tapi cari
cara nak selesaikan.”
“Ya, tok ayahanda.
Sekarang Nine dah tak minum lagi kan?”
“Tahu pun. Aku ni dah
malas nak cakap dengan kau. Kalau aku cakap pun bukannya kau dengar.”
“Sekarang Nine dah tak
pergi kelab kan? Eh, tadi bukannya tok ayahanda nak cerita pasal Wardah ke?”
Zulqarnain segera mahu
mengubah topik perbualan. Jika dibiarkan, habis sampai keesokan paginya dia
mendapat ceramah secara percuma daripada Dato’ Mansoor.
“Ha, pasal Wardah. Tok
ayahanda tengok dia tu memang lain daripada yang lain. Gayanya lembut tapi ada
tegasnya. Sifatnya sopan namun ada pendiriannya. Itulah ciri-ciri perempuan
Melayu terakhir. Kau tahu tak? Kalau tok ayahanda masih muda, dah lama dah
Wardah tu jadi bakal isteri tok ayahanda.”
“Amboi tok ayahanda.
Berangan jauh sampai ke hujung bima sakti nampak?”
“Kau apa tahu. Harap
aje gaya kaki perempuan, konon kasanova tapi lembap. Ayahanda kau pun dapat
kahwin dengan orang muda, tahu tak?”
“Tok ayahanda, main
kasar nampak?”
Tiba-tiba sahaja ketawa
Dato’ Mansoor kedengaran. Dia memang sengaja mahu memprovok Zulqarnain supaya
lebih banyak bercakap. Dato’ Mansoor dapat melihat perubahan sikap cucunya itu
yang semakin gemar bersendiri. Zulqarnain juga turut tersenyum lebar. Namun
hatinya disuntik satu perasaan tanpa disedari. Wajah Harum Wardah muncul di
benak fikirannya.
“Tok ayahanda, Nine
masuk bilik dululah. Rasa dah mengantuk.”
Kaki Zulqarnain segera
melangkah ke dalam. Dato’ Mansoor mengangguk perlahan. Langkah kaki Zulqarnain
ditemani dengan pandangan lesu datuknya.
“Nine,” panggil Dato’
Mansoor.
Zulqarnain menoleh.
“Tok ayahanda rindu
dengan Jebat Zulqarnain yang dulu. Zulqarnain yang banyak petahnya dan banyak
alasannya."
Zulqarnain hanya mampu
tersenyum lalu kakinya melangkah menaiki tangga.
Kata-kata Dato’ Mansoor
itu sudah pernah dia dengar daripada mulut insan yang lain sebelum ini. Dia
sendiri tidak pasti sejauh manakah perubahan yang telah berlaku terhadap
dirinya. Benarkah apa yang telah dia lalui telah menjadikan dirinya orang lain?
No comments:
Post a Comment