Stylo Clique ^_^

Tuesday, June 12, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 7 ::.




BAB 7


A.D membelek-belek topi keledarnya sambil bersandar di dinding. Pandangannya sekali-sekala ke arah pintu masuk firma itu. Dia menantikan Wafi keluar daripada bangunan tersebut. Jauh di sudut hatinya mengharapkan yang Wafi tidak diterima kerja di situ. Bukan kerana dia dengkikan Wafi, tetapi dia ada rancangannya tersendiri. Dia ada sesuatu untuk ditawarkan kepada Wafi. A.D merasakan Wafi adalah orang sesuai kerana mereka saling membenci antara satu sama lain.

“Hei tomboi, perempuan macam kau ni aku tak akan pandang la. Mulut dah la kurang ajar. Memang aku buta la kalau aku boleh suka kat perempuan macam kau ni, apa lagi nak buat bini.”
“Tak ada maknanya aku nak suka dengan orang lelaki macam budak ni. Selera aku perempuan lemah lembut Melayu terakhir.”

A.D tersenyum sendiri. Jika dahulu dia mendengar ayat itu, dia akan melenting. Tiba-tiba hari ini dia merasakan yang dia patut berterima kasih dengan Wafi kerana menyebut ayat tersebut untuk dirinya. Baru sahaja dia menghubungi Liyana, pembantu peribadi ayahnya. Dia mahu menanyakan jika ada kekosongan jawatan di Bina Kurnia Berhad. Kebetulan Ridzuan sedang mencari seorang jurutera kerana jurutera yang ada tidak mencukupi untuk menguruskan projek. A.D segera memberitahu Liyana yang dia mahu mencadangkan seorang rakan untuk mengisi jawatan tersebut. A.D tersenyum sebaik sahaja melihat Wafi muncul lalu segera menghampiri Wafi. Daripada air muka itu, A.D dapat mengagak keputusan untuk temuduga tersebut.

“Tak dapat?” soal A.D

Wafi terkejut melihat A.D yang tiba-tiba muncul.

“Apasal kau nak tahu?”
“Aku tunggu kau dari tadi tahu tak? Tak kan aku tanya macam tu pun tak nak jawab?”

Wafi malas mahu bertengkar dengan A.D lalu dia menjawab soalan A.D.

“Dia cakap nanti dia hubungi aku. Tapi kalau dah keluar ayat macam tu, kau sendiri pun faham kan?”

A.D mengangguk faham.

“Kau ni baru habis belajar ke?”

Wafi mengangguk lemah.

“Bagi aku kau punya sijil,” A.D segera mengambil fail yang berada di tangan Wafi.

Dia membelek satu persatu dokumen yang ada. Wafi terkejut. Dia membiarkan sahaja A.D begitu. Sememangnya dia tiada perasaan untuk bertengkar dengan A.D.

“Boleh tahan sijil-sijil kau ni.”

Pandangan A.D tertumpu kepada nama unversiti yang pernah dituntut oleh Wafi. Ya, sama dengan universitinya.

“Kau belajar kat sini? Sama dengan aku. Jurusan pun sama. Maknanya kita fakulti yang sama la? Apasal aku tak pernah nampak kau?”
“Kalau boleh, seumur hidup aku tak nak nampak kau.”

A.D hanya mencebik. Dibeleknya lagi keputusan peperiksaan semester Wafi.

“Kau pernah kena tangguh semester? Kenapa?”
“Kau ni banyak tanya la. Bak sini sijil aku,”

Wafi segera merampas fail di tangan A.D.

“Tak adalah, tanya aje pun. Cuma aku pelik, kenapa kau beriya nak cepat cari kerja? Macam kelam-kabut sangat. Sedangkan kau baru je habis belajar.”
“Sebab aku nak kena kumpul duit sebanyak RM20,000 sebab aku kena masuk meminang Nadhira dalam masa 11 bulan ni. Kau faham tak?”

Sekali lagi Wafi melepaskan marah dan geramnya terhadap A.D. Walaupun A.D terkejut tetapi dia mengukir senyuman.

“Nadhira? Awek kau yang aku langgar hari tu?”
“Yalah.”
“Aku ada satu lagi tempat kosong yang sesuai dengan kelulusan kau.”
“Kau jangan nak temberang dengan aku. Bukan boleh percaya kau ni.”
“Kau nak ke tak nak? Kau juga yang nak cari duit banyak-banyak kan?”

Wafi memandang A.D. Dia serba salah untuk mempercayai musuhnya itu.

“Kalau kau nak, kita bincang kat kedai mamak depan tu.”
“Bincang kat kedai mamak?”

A.D mengangguk.

“Orang perempuan makan ke kat kedai mamak?”
“Makan kat kedai mamak la lagi sedap daripada makan kat restoran mahal. Tak leceh. Lagipun kau sendiri pernah cakap dengan aku yang aku ni kan bukan perempuan, lupa?” ucap A.D lalu melangkah meninggal Wafi. Dia pasti Wafi akan setuju dengan cadangannya.

Langkah A.D ditemani dengan pandangan Wafi dari belakang. Wafi sememangnya tidak kisah makan di mana sekalipun. Entah mengapa dia merasakan sifat A.D tidak sama dengan gadis yang lain. A.D jauh bezanya dengan Nadhira. Ibarat langit dengan bumi. Di awal perkenalan, Wafi pernah mengajak teman wanitanya itu makan di restoran biasa. Nadhira sama sekali tidak mahu. Seleranya tinggi, malah cerewet. Kadang-kala memeningkan kepala Wafi. Namun semua itu ditolak ketepi kerana Nadhira ialah gadis idamannya yang penuh dengan kelembutan. Jika Nadhira dengan kasut tumit tingginya, A.D pula dengan topi keledar muka penuhnya. Untuk kali keduanya dia memandang A.D dengan sudut pandangan yang berbeza daripada pandangan pertamanya.

---------------------------

“Uhuk……uhukk………”

Air Nescafe mengalir ke saluran pernafasan Rafiq lalu menyebabkan dia tersedak. Apabila mendengar perkataan tersebut, air yang di minum mengalir ke saluran yang salah. Rafiq segera mengambil tisu yang berada di atas meja. Meskipun ramai orang di restoran tersebut, Rafiq merasakan yang cuping telinganya mampu menangkap dengan jelas suara Wafi.

“Apa? Kahwin?”
“Ya, kahwin. Tomboi tu akan tolong cadangkan nama aku untuk jawatan jurutera kat tempat syarikat bapa dia kerja. Sebagai balasan, aku kena jadi suami dia. Kau tak rasa cadangan tomboi tu gila ke?”
“Memanglah gila. Eh, tapi hari tu aku pernah cakap. Kau ingat tak? Aku cakap mana tahu kau orang berdua memang ada jodoh.”
“Fiq, ini bukan soal tu. Ni antara hidup dengan mati aku. Gaji yang syarikat tu tawarkan tinggi. RM4,000 kau tahu tak? Aku kumpul RM2,000 sebulan, kalau 10 bulan dah dapat RM20,000. Dapatlah aku sahut cabaran bapa Dhira tu.”
“Mak aiii……..RM4,000? Banyak tu. Gila pula kalau tak ambil. Kat mana tempat bapa A.D tu kerja?”
“A.D tak cakap. Kalau aku setuju, baru dia akan beritahu. Aku sekarang dah tersepit. Dah sebulan aku cari kerja kat JB ni, tapi satu pun tak dapat-dapat. Aku dah buang masa sebulan untuk tunaikan harapan Dhira. Kalau ikutkan hati, aku memang nak tolak tawaran si A.D tu. Tapi bila aku fikir pasal Dhira, buat aku terfikir dua tiga kali.”
“Kejap…kejap…yang aku tengah pelik sekarang ni, kenapa A.D nak kau jadi suami dia? Bukan dia benci kau ke?”

--------------------

Wafi memandang wajah A.D yang duduk berhadapan dengannya. Wafi tepat memandang mata A.D. Dia cuba membaca isi hati A.D. Dia juga cuba mencari muslihat di sebalik tawaran gadis kasar itu.

“Kau gila ke apa nak suruh aku jadi suami kau?”
“Jadi suami olok-olok la, pekak.”
“Suami olok-olok kepala otak kau. Habis tu kalau dah nikah tu apa namanya?”
“Kahwin atas nama ajelah. Kau tak faham masalah aku sekarang ni. Bapa aku nak aku kahwin. Prinsip hidup aku, aku tak akan jatuh cinta dengan mana-mana lelaki apatah lagi aku nak kahwin.”
“Habis tu, apa kena-mengena dengan aku?”
“Kau adalah orang yang paling sesuai. Kau dengan aku tahu yang kita saling benci antara satu sama lain kan? Kau pun pernah cakap dengan aku yang kau tak akan suka dan pandang dengan perempuan macam aku kan? Kau pun dah ada Nadhira dan kau tengah usaha kumpul duit untuk kahwin dengan dia. Aku tahu, yang kau tak akan jatuh cinta dengan aku sebab aku ni kasar dan kurang ajar. Selera kau perempuan Melayu terakhir. Dan aku tak akan jatuh cinta dengan lelaki buta, pekak dan sengal macam kau. Jadi, kalau aku dengan kau kahwin, tak ada apa perubahan. Kau boleh berhenti kerja dan ceraikan aku bila duit kau dah cukup. Simple. Itu aje”
“Maksudnya sekarang ni, kau tolong aku dan aku tolong kau?”

A.D mengangguk.

“Kau ingat kahwin ni main masak-masak? Kalau Nadhira tahu aku kahwin dengan kau, macam mana?”
“Kau ingat aku nak semua orang tahu ke yang aku kahwin dengan kau? Aku akan pastikan majlis tu hanya orang tertentu aje tahu. Macam nilah. Kau pergi temuduga dulu, kalau dapat ke tak dapat, terpulang kau nak tolong aku ke tak. Aku tak akan tolong kau untuk masuk ke syarikat tu. Aku cuma tolong cadangkan nama kau aje. Yang lain usaha kau sendiri. Aku tak naklah sebab aku, kau dapat kerja tu.”
“Kau cakap macam kau anak bos kat syarikat tu. Bapa kau kerja bahagian apa?”
“Adalah. Aku bukan tahu sangat. Kebetulan bapa aku kerja kat syarikat kejuruteraan tu.”
“Nantilah, aku fikirkan dulu. Ni kerja gila. Kau memang gila. Aku dengan kau tak pernah nak cakap baik-baik. Tiba-tiba nak kahwin pula.”
A.D mengambil cebisan kertas dan sebatang pen yang berada di dalam begnya. Dia menulis sesuatu di atas kertas itu.
“Nah, ni nombor telefon aku. Aku tak paksa kau. Lagipun, macam kau cakap. Ni memang kerja gila dan ini soal hidup. Kalau kau setuju, telefon aku dalam masa terdekat ni. Kalau tak, aku kena kahwin dengan pilihan bapa aku tu. Aku pun kasihan kat kau. Nak cari RM20,000 dalam masa terdekat ni bukan senang. Kalau kau berat hati nak setuju permintaan aku tu, kau pergi ajelah temuduga tu. Anggaplah tanda minta maaf aku sebab aku langgar Nadhira hari tu. Oklah, aku gerak dulu. Nak cari calon lain, mana tahu boleh jumpa.”

Tangan Wafi segera mencapai kertas itu. A.D segera bangun meninggalkan Wafi di restoran tersebut. Saat  itu, perasaan Wafi berbelah bagi. Ternyata A.D bukan seperti anggapannya.

-------------------------

“Habis tu, kau dah beritahu Dhira pasal benda ni?”
“Aku dah cuba telefon dia. Tapi dia tak angkat. Sejak dia kerja kat syarikat bapa dia tu, makin menjadi-jadi sibuk dia. Dia cuma kasi mesej yang dia ada kat Sarawak. Sibuk nak pasarkan syarikat Datuk Hamdan kat sana. Itu pun aku tak tahu kau tahu tak? Dia tak beritahu aku pun.”
“Aku rasa kau kena bincang hal ni dengan dia. Kahwin ni bukan hal main-main. Kau dengan dia memang bercinta sejak zaman U lagi. Kau sendiri cakap dengan aku yang Dhira tu memenuhi kriteria gadis idaman kau. Perkara ni melibatkan dia juga.”
“Entah, aku pun tak tahu. Aku rasa biarlah dia tak tahu. Aku tahu, Datuk Hamdan tu tak suka kat aku. Dia memang pandang rendah dengan aku sebab aku ni tak habis belajar saing-saing anak dia. Dia ingat aku ni bodoh. Bila aku cakap aku ni anak orang kampung, lagilah sinis mata dia pandang aku. Kalau dulu, aku boleh mengadu dengan Dhira apa masalah aku, tapi sekarang dah lain. Aku perlukan sokongan dia sekarang ni. I’m give up, man. Aku usaha macam-macam sebab dia. Tapi bila aku telefon, tak sudah-sudah mesyuarat, klien, kertas cadangan lah.”
“Wafi, Dhira sekarang wanita bekerjaya. Kau kena faham tu. Nadhira tu wanita bercita rasa tinggi. Apa yang dia buat, mesti nak sempurna. Sebab tu tumpuan dia terhadap kerjaya dia sememangnya seratus peratus. Ok, sekarang ni apa keputusan kau? Kau pun tak ada banyak masa dan A.D pun kesuntukan masa juga.”

Wafi mengeluh panjang. Itu jawapan yang diberikan oleh Wafi kepada Rafiq. Realitinya, dia seperti menemui jawapan untuk penantiannya, tetapi fikirannya menemui jalan buntu. Tawaran A.D harus ditimbang duga dari semua sudut. Wafi menghirup perlahan air sirap limau yang dipesannya tadi. Walaupun terasa manis, tetapi tekak Wafi merasakan kelat dan pahit. Wafi mengambil cebisan kertas daripada kocek seluarnya. Dia memandang lama kertas itu. Dia mengharapkan cebisan kertas yang dilihatnya ketika ini mampu memberinya secebis harapan dan jawapan agar dia mampu membuat keputusan yang tepat.



No comments:

Post a Comment