Stylo Clique ^_^

Monday, October 7, 2013

Encik Pendekar & Mr.Keju - Bab 16

BAB 16

“Ingin ku padam ukiran di pasir, namun sang ombak datang menerpa. Ingin ku lenyap dendam di hati, namun ku tahu ada sukarnya.”

“Macam mana boleh jadi macam ni Mahmood? Majlis tu dah nak dekat. Pengantin lelaki pula buat hal? Kau ingat perkahwinan anak aku ni macam main masak-masak ke?”

Nada Datuk Ramli kedengaran seperti tidak berpuas hati.

“Ramli, aku rasa Nine tu tak pergi mana pun. Dia pergi bercuti agaknya.”
“Kalau kau rasa dia tak pergi mana, kenapa kau tak dapat nak hubungi dia? Kau tahu ke dia pergi mana? Kau jangan nak buat hal Mahmood. Ni melibatkan maruah keluarga. Persiapan semua hampir siap. Kalau anak kau tak muncul-muncul juga sampai hari tu nanti macam mana? Kau nak aku dapat malu ke?”

Perbincangan yang tadi mulanya kelihatan tenang menjadi tegang apabila berada di pertengahan.

“Aku faham Ramli. Ini pun melibatkan keluarga aku juga. Aku tahu anak aku tu macam mana.”
“Kalaulah aku tak datang ke pejabat kau hari ni bertanyakan pasal Nine, mesti kau senyapkan hal ni kan?”
“Aku tak ada niat lain. Bukan niat aku nak rahsiakan perkara ni. Aku tak nak kau risau. Perkara ni aku boleh selesaikan. Aku janji dengan kau yang Nine akan hadir masa majlis tu nanti.”

Petang tadi Datuk Ramli pergi ke Taming Sari Berhad untuk berjumpa dengan Zulqarnain. Asalnya dia mahu mengenal dengan lebih rapat menantunya. Namun penyambut tetamu mengatakan Zulqarnain tidak masuk ke pejabat sudah lebih tiga hari. Timbul syak wasangka di hati orang tua itu lalu dia mahu berjumpa dengan Dato’ Mahmood tetapi Dato’ Mahmood tiada kerana sedang bermesyuarat di luar. Dia menahan rasa itu dan membuat keputusan untuk ke banglo Dato’ Mahmood pada malam harinya.

“Aku nak kau selesaikan masalah ni secepat yang mungkin. Masa sekarang bukan macam dulu Mahmood. Sekarang masa macam tekan suis lampu. Bila kau celik mata dah pagi dan bila kau pejam mata sekali lagi dah malam. Aku tak akan teragak-agak untuk saman malu kalau majlis ni ada masalah disebabkan anak kau tu.”

Tria yang berada di sofa itu hanya mendiamkan diri. Anak-anak Dato’ Mahmood yang lagi tiga itu hanya mendengar dari tingkat atas. Begitu juga dengan Dato’ Mansoor. Terhendap-hendap Naqiuddin dibuatnya. Hendak turun ke bawah takut dikatakan menyibuk hal orang tua.



“Tok ayahanda tak dengarlah kawan ayahanda kau tu cakap apa.”
“Shaq pun tak dengar sangat. Cuba tanya dengan Que tu sebab dia kat depan.”
“Que, apa yang dia orang tengah gaduhkan tu?” soal Dato’ Mansoor.

Naqiuddin segera membuat isyarat senyap dengan meletakkan jari telunjuknya di bibir.


“Senyap, Que tak dengar sangatlah tok ayahanda. Que tengah pasang telinga besar-besar ni.”

Dato’ Mansoor menggelengkan kepala.

“Kau ni spy yang tak boleh pakailah. Kau tak servis telinga ke?”

Raudhah dan Shaqir sudah pun ketawa mengekek-ngekek.

“Tok ayahanda turunlah bawah. Kalau Que yang turun nanti ayahanda cakap Que busybody pula.”

“Malas aku nak turun bawah. Nak dengar masalah ayahanda kau tu buat apa? Siapa suruh dia pandai-pandai tentukan jodoh Nine tu. Kan dah lari budak tu. Mula-mula yang sulung, lepas tu yang nombor dua pula. Cucu aku masing-masing memberontak.”
“Habis tu yang suruh Que jadi spy ni kenapa?”
“Aku pun nak tahu juga apa yang dah jadi. Dah-dah, kau dengar cepat.”

Naquddin pula yang menggelengkan kepala. Mahu ketawa pun ada juga apabila melihat telatah datuknya yang ala-ala wartawan Melodi itu.  Naqiuddin melangkah turun lagi dua tapak anak tangga. Kali ini sepertinya lebih jelas. Naqiuddin membeliakkan matanya sebaik sahaja mendengar kata-kata Datuk Ramli.

“Tok ayahanda, Datuk Ramli nak saman ayahanda kalau abang Nine tak datang masa majlis tu nanti.”

Suara Naqiuddin seperti berbisik, namun dapat didengar dengan jelas oleh mereka bertiga. Tiada sebarang reaksi bibir diberikan melainkan mereka hanya bertentangan antara satu sama lain. Naqiuddin terus memainkan peranannya sebagai pemberi maklumat.

“Aku tak peduli Mahmood. Sama ada kau suka atau tidak, kau kena selesaikan masalah ni. Aku nak perkahwinan ini diteruskan.”

Belum sempat Dato’ Mahmood berbicara, pintu utama rumah itu dikuak perlahan. Seseorang sedang melangkah masuk. Mereka yang berada di ruang tamu menoleh ke arah lelaki itu. Bukan main terkejut wajah Dato’ Mahmood. Tidak sangka anak lelakinya itu kembali ke rumahnya. Pandangan Tria seolah-olah tersenyum tatkala melihat susuk tubuh itu semakin hampir ke ruang tamu.

“Kau buat apa kat sini?” soal Dato’ Mahmood dengan nada marah.

Datuk Ramli memerhatikan wajah anak muda di hadapannya itu. Dia kenal dengan lelaki itu. Pada mulanya dia menyangka Zara Alisha akan dijodohkan dengan anak sulung Dato’ Mahmood tetapi jangkaannya meleset. Rupa-rupanya Dato’ Mahmood mahu menjodohkan anak perempuannya dengan Zulqarnain. Datuk Ramli tahu yang Inderawan sudah tidak bekerja di syarikat ayahnya namun dia tidak pasti apa alasannya.

“Datuk Ramli, saya datang untuk membetulkan apa yang telah saya lakukan. Sepatutnya anak Datuk Ramli dijodohkan dengan saya dan bukannya dengan adik saya. Jadi, saya yang akan ada pada majlis tu. Datuk Ramli jangan risau.”

Berkerut-kerut dahi lelaki itu apabila mendengar baris ayat daripada mulut Inderawan.

“Apa sudah jadi ni Mahmood?”

Pandangan Datuk Ramli beralih kepada Dato’ Mahmood.

“Aku nak jodohkan Alice dengan Nine. Bukan Indera.”
“Dulu ayahanda juga yang cakap ayahanda mahu jodohkan Indera dengan anak Datuk Ramli tapi sekarang yang jadi mangsa antara kita adalah Nine. Indera mahu bertanggungjawab sebab ini adalah tanggngjawab Indera.”
“Anak aku bukan anak patung yang boleh kau tolak ke sana dan tarik ke mari. Aku sebenarnya dari awal sangka yang kau nak jodohkan Alice dengan Indera. Kalau Indera nak bertanggungjawab atas perkahwinan ni aku setuju. Sebab dia abang. Dia sedar peranan dia, tak macam Nine yang melarikan diri macam tu aje. Tak tahu apa yang jadi dengan Alice kalau dia kahwin dengan Nine. Apa yang aku tahu perkahwinan ini mesti diteruskan. Aku minta diri dulu.”

Datuk Ramli segera keluar daripada rumah itu. Baginya, masalah besar itu sudah selesai.
Inderawan cuba bertentangan mata dengan Dato’ Mahmood yang sedang terduduk di atas sofa baldu itu. Dia masih lagi terkejut dengan kata-kata Inderawan. Egonya seperti sedikit tercabar. Dia sama sekali tidak mahu pertolongan daripada Inderawan. Sama sekali tidak pernah terlintas difikirannya untuk mengharapkan Inderawan menyelesaikan masalahnya. 

Selama ini harapan menggunung tinggi diletakkan di atas bahu Zulqarnain kerana dia merasakan Zulqarnain tidak membantah. Malah dia mampu mengawal anak keduanya itu dengan kemewahan. Kini, semuanya musnah.



Tria yang duduk di sebelah Dato’ Mahmood cuba untuk memberikan senyuman menggoda kepada Inderawan. Inderawan membalas dengan wajah yang mencuka. Dia tidak mahu menghiraukan masalah perempuan itu dalam hidupnya.

“Pelukis jalanan tiba-tiba sahaja muncul? Kau buat apa datang sini? Nak ketawakan aku sebab adik kau tu pun memberontak macam kau atau kau nak mengemis kat rumah ni?”
“Indera tak ada niat apa-apa ayahanda. Indera pun tak ada hati nak mengemis kat sini. Indera cuma nak terangkan apa gelap dan nak suluhkan apa yang malap.”
“Oh, sekarang ni kau nak jadi herolah? Nak aku maafkan kau, macam tu?”
“Indera rasa Indera tak perlukan semua tu ayahanda. Indera tak nak Nine terus jadi mangsa. Ini semua salah Indera.”
“Sedar pula salah kau. Aku tak akan kahwinkan kau dengan Alice.”

Tria yang tadinya duduk, kini berdiri. Dia segera memaut lengan suaminya.

Dear, I rasa elok kalau Indera balik semula dengan kita. Pasal Nine, kita tak tahu ke mana dia menghilang. Hari tu pun makin dekat. Jadi, apa salahnya Indera selesaikan masalah tu. You tak payahkan fikirkan semua ni lagi. Masalah dah selesai pun. Bukannya memang dulu you nak jodohkan mereka berdua ke? You jangan fikir banyak-banyak. You pun tak sihat sangatkan? I tak nak you sakit. I sayangkan you.”

Marah Dato’ Mahmood seakan reda apabila mendengar pujukan rayu daripada Tria. Sememangnya Tria bijak dalam memujuk hati lelaki.

Wajah Inderawan mempamerkan rasa meluat terhadap ayah dan ibu tirinya itu. Macam tak ada tempat lain nak bermesra dan berkasih sayang.
Dato’ Mahmood duduk. Dia cuba untuk berfikiran rasional setelah mendengar kata-kata Tria.

Naqiuddin yang sedang menjadi penyiasat untuk Dato’ Mansoor segera menekup mulutnya sendiri. Terkejut bukan kepalang sehinggakan mahu menjerit rasanya apabila mendengar suara lelaki yang tiba-tiba muncul itu. Shaqir yang berada di belakang kehairanan.

“Apasal kau tutup mulut kau? Apa dah jadi?” soal Shaqir.

Besar biji mata Naqiuddin dibuatnya. Dia segera melangkah menaiki tangga.

“Apasal? Ada maklumat terbaru ke?”

Naqiuddin mengangguk laju.

“Kenapa? Ayahanda gaduh dengan Datuk Ramli sampai bertumbuk ke?” duga Raudhah.
“Bukan. Tiba-tiba ada orang lain datang,” ucap Naqiuddin.

Berkerut-kerut dahi mereka bertiga.


“Siapa yang datang? Abang Nine ke? Abang Nine dah balik?” teka Shaqir pula.
“Abang Indera.”

Hampir menjerit Raudhah dan Shaqir dibuatnya. Tetapi Naqiuddin sempat membuat tanda senyap.

“Abang Indera buat apa kat sini?” soal Raudhah.
“Abang Indera cakap dia nak gantikan tempat abang Nine masa hari pernikahan tu nanti.”
“Ha…!!!!”

Kali ini bunyi itu sudah terlepas. Sudahnya tadi terkejut dengan kehadiran Inderawan ke banglo itu. Sekarang lagi gila dibuatnya apabila mendengar keputusan abang sulung mereka. Naqiuddin segera menekup mulut kembarnya manakala Dato’ Mansoor menekup mulut cucu perempuan tunggalnya. Setelah sedikit reda, mereka berdua melepaskan tangan mereka. Dato’ Mansoor kelihatan tenang mendengar kenyataan Naqiuddin.

“Biar betul ni? Maknanya abang Indera setuju nak balik semula ke rumah kita?” tanya Shaqir.
“Aku tak tahu. Aku dengar aje abang Indera cakap macam tu, mahu nak terkeluar jantung aku ni sebab terkejut. Sebab tu aku tutup mulut aku tadi. Kita nak buat apa ni? Kita nak turun aje ke?”

Dato’ Mansoor hanya mendiamkan diri. Raudhah memerhatikan tingkah laku datuknya. Agak pelik apabila melihat reaksi Dato’ Mansoor tidak seperti mereka.

“Tok ayahanda, ini rancangan tok ayahanda ke?”

Dato’ Mansoor mendiamkan diri. Angguk pun tidak, geleng pun tidak.

“Hari tu tok ayahanda ada suruh Raudhah panggil Haq. Jadi, ini ke rancangannya?”
“Ya dan tidak. Tok ayahanda tanya Haq apa yang berlaku sebenarnya. Ada masalah ke kat Taming Sari Berhad. Kemudian Haq cakap kemungkinan ada duri dalam daging.”
“Siapa tok ayahanda?”

Raudhah menyoal dengan terkejut. Dia juga bekerja di syarikat itu, masakan dia tidak perasan jika ada yang tidak kena.

“Tok ayahanda tak nak tuduh siapa-siapa. Sebab tu tok ayahanda suruh Haq cari Indera. Tanyakan dengan abang sulung kau orang tu, manalah tahu dia tahu kat mana Nine. Tok ayahanda cakap dengan Haq, buat apa yang patut sebab dia pembantu peribadi untuk kedua-dua abang kau orang. Tok ayahanda tak ada niat nak suruh Indera kahwin. Tok ayahanda cuma harap dia dapat selamatkan apa yang tok ayahanda bina untuk darah daging tok ayahanda selama ini. Tok ayahanda terkejut juga sebenarnya ni.”
“Jadi, kita nak buat apa sekarang ni? Kak Raudhah?” tanya Shaqir.
“Akak rasa lebih baik kita dengar dulu apa yang berlaku kat bawah tu.”

Mereka berempat memandang antara satu sama lain lalu mengangguk menandakan setuju dengan cadangan Raudhah.

“Baik, aku terima keputusan kau tu. Bila kau setuju nak kahwin dengan anak Datuk Ramli, kau tahu kan apa maknannya? Setelah kau kahwin, kau kena duduk rumah ayahanda.”
“Indera tahu. Indera dah fikir semua tu dan Indera ada permintaan.”
“Baru sahaja pulang ke lautan yang luas, ada hati mahu terus memancing?” sindir Dato’ Mahmood.
“Sama ada ayahanda setuju ataupun tidak. Ini keputusan Indera. Indera akan jejakkan kaki ke rumah ni semula pada hari pernikahan Indera. Bukan sekarang.”
“Baik, ayahanda turutkan kemahuan kau tu. Pasal pekerjaan kau yang mengemis kat tepi jalan tu…..”

Inderawan segera memintas kata-kata ayahnya.

“Indera bukan pengemis. Ayahanda jangan risau. Indera akan masuk semula ke Taming Sari Berhad. Indera tahu ayahanda pandang hina dengan kerja Indera sekarang.”
“Bagus. Nampaknya kau sudah fikir semasak-masaknya. Ayahanda akan uruskan semua pasal majlis tu nanti. Aku cuma nak kau kotakan apa yang telah kau katakan.”
“Ayahanda tak perlu risau. Saya bukan ayahanda yang hanya tahu mementingkan diri sendiri.”

Inderawan sempat juga memerli ayahnya. Kaki Inderawan laju mahu meninggalkan banglo itu. Terasa rimas dan lemas menghirup udara di dalam rumah itu.

“Tuah Inderawan,” panggil Dato’ Mansoor yang sudah berada di tengah-tengah tangga. Begitu juga dengan Raudhah, Shaqir dan Naqiuddin.


Timbul perasaan sebak di hatinya apabila mendengar suara itu memanggil namanya. Tipu jika dia mengatakan tiada sekelumit perasaan rindu terhadap empat orang yang berada di atas itu. Raudhah sudah pun mengalirkan air mata. Gembira bercampur sebak mendengar keputusan abangnya tadi. Raudhah tahu abangnya terseksa dengan tindakan itu. Inderawan dapat melihat air mata yang mengalir di pipi adik perempuannya itu. Inderawan menggelengkan kepala. Tak sanggup rasanya melihat manik jernih itu mengalir. 

Inderawan segera menaiki tangga menuju ke arah mereka. Dia mengucup lama tangan Dato’ Mansoor lalu memeluk erat datuknya. Terasa bersalah meninggalkan datuknya yang semakin tua itu. Akhirnya Raudhah, Shaqir dan Naqiuddin sama-sama memeluk abangnya yang sedang mendakap Dato’ Mansoor. Inderawan memandang wajah Raudhah. Tangannya sempat menyapu air mata yang mengalir di pipi itu.


“Kita orang rindukan abang,” ucap Shaqir.
“Abang tahu. Lepas ni abang ada kat sini.”
“Tok ayahanda tak sangka akan jumpa dengan Indera malam ni. Indera pasti dengan keputusan ni? Sempat lagi kalau Indera nak ubah fikiran. Tok ayahanda tahu Indera tak nak semua ni. Tok ayahanda cuma harap Indera dapat balik semula ke Taming Sari Berhad tapi bukan perkahwinan ni.”
“Ini keputusan muktamad Indera. Indera tak mahu lari lagi. Indera kena berhadapan dengan masalah. Masalah Nine lari tak akan ada kalau Indera tak tinggalkan rumah ni. Indera kena betulkan apa yang silap. Indera balik dulu.”

Langkah Inderawan sudah pun menuruni anak tangga itu. Dia mahu menuju ke pintu.

“Indera, kau tak akan terpisah dengan adik beradik kau kalau kau tak keluar daripada rumah ni.”

Inderawan hanya mendiamkan diri. Malas mahu bertekak dengan ayahnya. Tatkala tangannya mahu memulas tombol pintu utama itu, suara itu kedengaran lagi.

“Indera, ayahanda nak kau tukar kereta yang kau pakai sekarang ni. Tak kan CEO nak pakai kereta macam tu. Ayahanda boleh tebus balik kereta kau dulu kalau kau nak.”

Inderawan menoleh dan memandang tepat ke mata Dato’ Mahmood walaupun jarak mereka agak jauh.

“Indera tahu ayahanda pentingkan kedudukan. Baik. Kali ini Indera akan ikut rentak tarian ayahanda. Indera tak mahu kereta yang dulu tu sebab Indera yang sekarang bukan Indera yang dulu. Indera akan cari yang lain. Ayahanda tak perlu risau. Indera bukan pengemis yang akan menjatuhkan maruah ayahanda.”

Kata-kata Inderawan seperti belati tajam yang menghiris hatinya. Ada sahaja bantahan daripada anak sulungnya itu.

Setelah Inderawan keluar, Dato’ Mahmood segera memandang ke arah tiga orang lagi anaknya yang beraa di tangga.

“Mulai hari ni, jangan ada sesiapa sebut nama Jebat Zulqarnain kat dalam rumah ni. Anak tak tahu dek untung. Berani dia buat perkara macam ni pada saat akhir hari perkahwinan tu. Ayahanda tak akan benarkan sesiapa pun sebut nama tu lagi. Aku nak tengok setinggi mana yang dia boleh terbang. Bila dia patah sayap nanti,  mesti dia balik semula ke rumah ni. Masa tu baru dia tahu langit tu tinggi ke rendah. Bila sampai masa tu, tahulah aku macam mana nak mengajar dia.”
“Kau tak sudah-sudah nak menyumpah darah daging sendiri. Kalau kena sumpah dengan ayah yang macam kau ni, tak akan ada apa-apa kesan pun Mahmood. Kau tu pun bukannya bijak sangat mendidik anak. Kalau tak, anak kau tak akan memberontak macam ni. Aku takut sumpahan kau tu memakan diri sendiri aje,” ucap Dato’ Mansoor dengan nada yang tegas.

Dato’ Mahmood hanya mendiamkan diri. Terpukul rasanya dengan kata-kata ayahnya yang berbau sindiran itu.


1 comment:

  1. huhuhu..sedihnya bila tuah muncul..oklah..i fall in love dgn tuah inderawan..takkan berebut dgn sis NA lg..hihihi

    ReplyDelete