Stylo Clique ^_^

Thursday, September 12, 2013

Encik Pendekar & Mr.Keju - Bab 4



BAB 4

“Turut kemahuan kerana terdesak, turut kehendak kerana terpaksa.” 


Mulut Zara Alisha ternganga luas. Dia menguap panjang. Kepalanya masih lagi terasa berat. Pandangannya masih kabur memandang sekeliling. Dengan keadaan separuh sedar dan mamai, dia menuruni tangga rumahnya menuju ke dapur. 

“Bibik Sal, buatkan Alice air limau suam,” arah Zara Alisha kepada orang gajinya.
“Baik Alice,” balas orang gaji itu. Dia segera berhenti memotong bawang lalu mencuci tangannya.

Tekak Zara Alisha terasa kurang enak. Sepertinya mahu mengeluarkan segala isi perut yang ada. Oleh sebab itu dia meminta air tersebut daripada orang gajinya. Sementara menunggu air itu siap, Dia membuka pintu peti sejuk dua pintu yang terletak di sudut kanan dapur. Dia mencari sesuatu yang boleh dikunyah.

“Awal Alice bangun hari ni,” tegur Datin Aishah.

Zara Alisha terkejut tatkala mendengar suara itu. Dia menutup kembali pintu peti sejuk itu setelah tidak menjumpai apa yang dicarinya.

“Eh, mama. Morning,” ucap Zara Alisha.

Dia menggonyoh perlahan sambil menguap untuk entah keberapa kalinya pada waktu itu.

Morning? Alice tak tengok jam ke dah pukul berapa sekarang? Dah tengahari tahu tak?”
“Mama juga yang cakap dengan Alice tadi awal hari ni Alice bangun.”
“Tengok tu. Budak bertuah ni ada aje jawapannya. Ni kalau abah tahu ni, bising mulut dia. Dengan belum mandi, rambut kusut masai. Lepas tu tak sudah-sudah menguapnya. Alice tak ada kelas ke hari ni?”
“Ala….mama. Sekali sekala Alice tak pergi kelas. Bukannya Alice tak boleh masuk ambil peperiksaan pun.”

Datin Aishah menggelengkan kepalanya. Ibarat mencurahkan air ke daun keladi, sudah puas dia menasihati anak bongsunya itu tetapi masih begitu jua.

“Cik Alice, ni air limau suam yang Cik Alice suruh bibik buat tadi.”

Orang gaji warga Indonesia itu menyerahkan gelas itu kepada Zara Alisha.

“Ni kenapa bangun tidur terus minur air limau ni? Ni mesti semalam Alice mabuk kan? Balik pukul berapa?”
“Mama…tak ada bendalah. Alice nak minum air limau pun salah ke?”
“Memang salah kalau bangun aje dari tidur terus nak minum air limau suam. Mesti tekak tu rasa mual kan?”

Datin Aishah segera merapatkan diri dengan anaknya. Ya, memang benar bau itu menusuk ke hidungnya.

“Tengok, mama dah agak dah. Alice malam tadi minum. Alice tipu mama ya?”
“Ma…Alice semalam keluar dengan kawan aje. Lepak kat kelab. Bukan buat apa pun.”

Zara Alisha meneguk air limau yang masih hangat itu secara perlahan. Lega rasanya apabila air itu mengalir ke tekaknya.

“Alice, kalau abah tahu ni, teruk Alice kena marah dengan abah. Dah, cepat minum air limau tu. Lepas tu mandi. Bersihkan diri tu betul-betul.”
“Apanya yang teruk kalau saya tahu mamanya?”

Suara itu tiba-tiba sahaja mencelah di antara mereka. Entah bila Datuk Ramli menjejakkan kaki ke dapur, Datin Aishah tidak pasti. Hampir tersedak Zara Alisha dibuatnya apabila mendengar soalan itu daripada bibir Datuk Ramli. Zara Alisha dapat merasakan yang ayahnya itu menghidu sesuatu.

Mampus aku kalau abah tahu aku balik dalam keadaan mabuk semalam. Keluh hati kecilnya. Dia masih lagi berpura-pura seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Abang, Aishah tak tahu pula abang balik makan tengahari ni. Ingatkan abang ada mesyuarat tadi.”
“Abang sengaja cakap macam tu. Saja nak tengok apa yang berlaku. Saja nak hidu bangkai gajah yang cuba disembunyikan oleh anak bongsu awak ni,” ucap Datuk Ramli sambil menjeling ke arah Zara Alisha yang masih lagi kusut masai itu.
“Apa maksud abah? Salah ke Alice bangun lambat?”

Zara Alisha mahu mengelak. Dia segera melangkah menuju ke arah tangga, mahu menapak ke biliknya yang berada di tingkat atas.
Datuk Ramli tidak mahu melepaskan Zara Alisha. Anak perempuannya itu harus diberi pengajaran.

“Tadi malam Alice pergi mana? Balik pukul berapa?” soal Datuk Ramli dengan nada yang tegas.

Langkah Zara Alisha terhenti sebaik sahaja mendengar suara ayahnya sudah meninggi. Dia tahu apa itu tandanya. Tandanya, sama ada rela atau paksa dia mesti menjawab pertanyaan itu.

“Malam tadi Alice keluar dengan Tisha pergi kelab. Alice saja aje lepak dan minum dengan kawan-kawan Alice. Itu pun salah ke?”
“Macam mana Alice boleh sampai rumah semalam?”
“Tisha yang hantar sebab semalam Alice memang tak bawa kereta.”
“Pukul berapa balik?”
Zara Alisha sudah mula tidak senang dengan apa yang berlaku. Sememangnya Datuk Ramli bijak membongkarkan rahsianya dengan terus-menerus menanyakan soalan terhadap dirinya. Dia sudah mula menggaru-garu belakang kepalanya.
“Alice balik lewat sikit. Abah dengan mama dah tidur masa tu. Bibik Sal yang bukakan pintu.”

Wajah Datuk Ramli sudah mula menyinga. Sebenarnya dia tahu apa yang berlaku tetapi dia mahu tengok serancak mana rentak irama tarian Zara Alisha.

“Alice makin melampau. Makin abah tegur, makin ligat Alice ya. Makin abah bebaskan Alice, makin teruk Alice dibuatnya. Semalam Alice balik pukul 4 pagi. Abah dengar loceng rumah bunyi sebab kawan Alice tu tak larat nak angkat Alice yang dalam keadaan mabuk tak sedarkan diri. Bukan bibik yang bukakan pintu tapi abah. Apa nak jadi dengan Alice ni?”

Aduh…macam mana aku boleh tak sedar semalam abah yang buka pintu. Mestilah orang tua ni tahu aku minum semalam. Tulah, kau nak menipu sangatkan Alice. Kan dah kasi pecah lubang sendiri. Kali ni matilah kau Alice kena marah dengan abah. Rungut Zara Alisha sendiri.

Dia cuba mengingat kembali apa yang berlaku pagi tadi. Masakan dia tidak ingat sedangkan perkara itu hanya berlaku pagi tadi sahaja. Semakin dia cuba mengimbas kembali apa yang berlaku, kepalanya semakin berat. Dia merasakan dirinya seperti tidak seimbang.

“Abang, sudah-sudahlah tu. Maafkanlah dia. Lagipun dia keluar dengan kawan-kawan dia tu. Mungkin dia tak sengaja.”

Datin Aishah cuba membela anaknya itu.

“Awak cakap tak sengaja? Minum arak tu boleh tak sengaja? Kalau sekali boleh dikira tak sengaja, kali kedua boleh dianggap tersilap tapi kalau ketiga tu kehendak diri sendiri namanya. Masalahnya sekarang ni bukan kali ketiga tapi jari tangan dengan kaki saya ni pun belum tentu cukup untuk menghitung kelakuan tak sengaja anak manja awak ni.”
“Abang…janganlah marah-marah macam ni. Kesihatan awak tu pun tak menentu.”

Zara Alisha hanya membatukan dirinya. Dia sudah biasa dengan kehidupan sebegitu. Mungkin kerana tersilap memilih kawan ataupun mungkin ibunya sering memanjakan dirinya. Apa sahaja yang dia mahukan, pasti akan dia miliki. Dia seronok dengan kehidupan sebegitu.



“Dari dulu lagi abang nak jodohkan si Alice ni dengan anak Dato’ Mahmood tapi awak bela dia. Cakap si Alice ni masih muda lagilah, masih belajarlah.”
“Abah, Alice belum sedia lagi. Kan Alice minta abah bagi masa pada Alice.”
“Bagi Alice masa? Bagi Alice masa untuk bebas lakukan apa sahaja perkara? Bagi Alice bebas minum sampai mabuk? Macam tu?”

Lidah Zara Alisha kelu dibuatnya sebaik sahaja mendengar rungutan ayahnya. Apa sahaja alasan yang diberikan pasti akan terkena semula ke batang hidungnya.

“Abah dah tak larat nak bising-bising dengan Alice. Kalau Alice kahwin nanti, baru tahu macam mana rasa kena tegur, kena marah dan kena tengking dengan orang luar. Biar Alice rasa. Alice memang tak tahu nak hargai apa yang abah berikan pada Alice kan? Abah rasa ni sahaja caranya.”
“Tapi Alice tak nak. Alice nak kahwin dengan orang yang Alice kenal. Macam kakak. Kalau abah boleh kasi kakak kahwin dengan orang yang dia sayang, tapi kenapa tak dengan Alice? Abah memang tak adil.”
“Ok, abah tak kisah kalau Alice tak nak. Tapi Alice kena keluar daripada rumah ni. Abah tarik semula segala kemewahan yang Alice ada. Memang susah jaga anak perempuan ni. Nasib baik kakak Alice tu tahu jaga diri. Abah nak ikut apa sahaja kehendak dia pun abah tak kisah sebab kakak Alice tu tak mabuk sampai ke pagi. Jangan Alice nak soalkan pasal adil dengan abah. Kalau abah tak adil, kenapa abah kasi semua kemewahan dan kebebasan yang Alice mahukan? Abah cuma nak Alice jadi budak baik. Jadi perempuan Melayu. Bukan perempuan yang terus layu dengan kehendak sendiri.”
“Abah, sekarang ni bukannya zaman yang kena pam lampu minyak tanah untuk dapatkan lampu. Zaman tu bolehlah abah buat macam ni, tentukan siapa jodoh Alice.”

Suara Alice kedengaran perlahan seolah-olah sedang bercakap dengan dirinya sendiri tetapi telinga Datuk Ramli mampu menangkap runngutan itu.

“Pandai Alice menjawab ya? Memang sekarang ni bukan zaman kena pam lampu minyak tanah tapi kalau Alice terus-menerus bersikap macam ni, abah rasa masa depan kamu tu yang macam zaman tu.”

Sekali lagi Zara Alisha membisu. Kepalanya terunduk ke bawah.

“Abah dah buat keputusan. Alice kena kahwin dengan anak Dato’ Mahmood. Abah dengan Dato’ Mahmood tu dah lama berkawan. Sejak zaman universiti lagi. Abah tahu orangnya macam mana. Anak-anak dia semua berjaya. Tak kisahlah Alice suka ataupun tak.”

Datuk Ramli segera beredar setelah selesai berbicara dengan Zara Alisha. Otaknya sudah puas memikirkan cara yang terbaik untuk mengubah sikap anak bongsunya itu. Kadang-kala dia sudah letih dibuatnya. Pernah dia suarakan hasrat itu kepada rakannya dan nampak gayanya Dato’ Mahmood juga tiada halangan.

“Mama…..”
“Mama tak dapat tolong kalau abah dah buat keputusan. Dulu pun abah pernah cakap pasal ni kan? Abah kasi peluang sebab alasan Alice masih lagi belajar. Tapi sekarang Alice selalu buat hal. Mama rasa mama tak mampu nak pujuk abah lagi.”

Berkerut seribu jadinya wajah kuning langsat itu. Zara Alisha melangkah longlai menuju ke kamarnya.

“Biar betul aku kena kahwin ni?” 

--------------------------------

Zulqarnain bersandar malas di kerusi yang terletak di halaman landskap rumah setelah selesai makan malam. Jari telunjuk itu ligat menyentuh skrin sentuh Ipadnya.



“Abang,” panggil Raudhah.
“Hmmm..”
“Betul ke abang Nine nak jumpa dengan abang Indera esok?”
“Betullah.”

Tumpuan Zulqarnain masih lagi pada gajetnya itu.

“Walaupun selama ni Raudhah, Que dengan Shaq tahu kat mana abang Indera melukis, tapi kita orang tak pernah jumpa abang Indera kat sana sebab ayahanda tak kasi. Ayahanda tak nak kita orang ada kena mengena dengan pelukis jalanan walaupun kita orang tak pernah anggap abang Indera macam tu. Itu yang ayahanda pesan.”

Zulqarnain menoleh sebaik sahaja mendengar penjelasan Raudhah. Ipad itu diletakkan di atas meja. Zulqarnain bangun sambil kedua-dua tangan menyeluk ke poket seluar pendeknya lalu mundar mandir di kawasan itu. Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri. Dia merasa tidak selesa dengan kenyataan Raudhah.

“Sampai macam tu sekali ayahanda buang abang Indera?”
“Apa yang abang Nine nampak pada hari kelmarin tu belum cukup lagi ke untuk menyuluh segala-galanya?”

Masakan dia boleh lupa peristiwa tiga hari yang lalu, Dato’ Mahmood tanpa ada rasa bersalah memberikan tamparan kepada abangnya.

“Tapi abang Indera bukan pelukis jalanan. Dia CEO Taming Sari Berhad.”
“Tu dulu abang Nine. Semuanya berubah.”

Zulqarnain menghirup nafas dalam-dalam lalu dihembusnya perlahan-lahan nafas itu. Fikirannya terasa kusut. Dia perlu melakukan sesuatu agar tuan muda sulung itu pulang ke rumah.

“Nine, Raudhah…..apa yang dibincangkannya ni? Ayahanda tengok macam serius aje ni?”
“Bila ayahanda balik? Bukannya ayahanda keluar dengan aunty Tria ke?” soal Raudhah, cuba mengalih perhatian ayahnya.

Aunty Tria tu tiba-tiba pening kepala. Tak sihat katanya.”

Aunty Tria? Boleh pula adik aku ni panggil minah tu aunty. Entah berapa agaknya umur dia. Mesti lagi muda dari aku. Tak pun sebaya dengan aku. Silap-silap kalau dia tak kahwin dengan ayahanda, aku memang dah sah-sah boleh kahwin dengan dia. Hish..boleh tahan juga ayahanda aku ni. Hati Zulqarnain mulai berbisik.

“Raudhah boleh tolong ayahanda? Tolong ayahanda sediakan bahan-bahan untuk mesyuarat esok. Ayahanda ada letakkan semua dokumen kat bilik bacaan. Lagipun esok Raudhah juga ada terlibat dengan mesyuarat tu kan?”

Raudhah hanya mengangguk. Dia tahu ayahnya itu mahu menyampaikan sesuatu kepada Zulqarnain.

Boleh dikatakan Taming Sari Berhad adalah empayar untuk keluarga mereka. Empayar Taming Sari Berhad, syarikat yang menguruskan rekaan hiasan dalaman dan landskap itu dibina daripada hasil titik peluh Dato’ Mansoor lagi. Dato’ Mansoor mahu legasi itu diteruskan sampai bila-bila oleh keturunannya. Kasturi Raudhah menjawat jawatan sebagai pembantu akauntan sebaik sahaja tamat belajar di universiti. Jika dahulu jawatan Ketua Pegawai Eksekutif disandang oleh Tuah Inderawan dan kini jawatan itu dipangku sementara oleh Raziq, pengurus kewangan Taming Sari Berhad yang juga kawan baik kepada Dato’ Mahmood.

Zulqarnain duduk semula sebaik sahaja membaca bahasa tubuh Dato’ Mahmood yang sepertinya mahu berbincang dengannya.

“Rajin ayahanda keluar dengan isteri baru ayahanda tu?” soal Zulqarnain dalam nada sinis.
 Ibarat seketul batu terkena pada dahi, Dato’ Mahmood dapat menghidu sesuatu.
“Nine nak cakap yang ayahanda ni tak adil?”
“Adil tak adil, siapa yang tahu.”

Tangan Zulqarnain mencapai gelas berisi jus oren yang terletak di atas meja lalu meneguk sekali air tersebut.

“Ayahanda harap Nine dapat terima Tria sebagai isteri ayahanda. Tolong hormat dia.”
“Setahu Nine, isteri ayahanda cuma bonda dengan ummi. Selepas ummi meninggal dunia, Nine hanya anggap bonda sahaja isteri ayahanda. One and only.”
“Sekarang Tria isteri ayahanda.”
“Habis tu nak cakap two and double?”
“Kalau bonda dengan ummi boleh, kenapa Tria tak boleh?”
“Macam mana Nine nak anggap dia isteri ayahanda sedangkan dia boleh jadi isteri Nine. Lagipun Nine rasa Tria tu macam ada rancangan untuk menggula-gulakan ayahanda.”
“Nine, jangan kau nak jadi Tuah Inderawan yang kedua dalam rumah ni.”
“Ayahanda, alasan apa lagi yang ayahanda mahu gunakan untuk isteri ayahanda yang ketiga ni? Kalau dulu ayahanda kahwin dengan ummi sebab bonda tak mampu nak bagi ayahanda zuriat lagi. Jadi sekarang ni, zuriat mana pula yang ayahanda mahukan lagi? Cukuplah. Nine memang anggap bonda tu satu-satunya mak Nine lepas ummi dah pergi. Dah tak ada yang lain lagi dah.”
“Ayahanda mampu untuk berkahwin lagi. Lagipun bukan ayahanda yang mahu ceraikan bonda, bonda kau yang minta. Ayahanda tak pernah buang dia.”
“Tak pernah buang? Perempuan mana yang sanggup dimadukan dengan perempuan yang sama baya dengan anaknya. Ayahanda tak pernah fikir ke semua tu? Patutlah abang Indera keluar daripada rumah ni. Bonda abang Indera dianiaya oleh darah dagingnya sendiri.”

Muka Dato’ Mahmood sudah merah padam menahan amarah.

“Zulqarnain, jangan kau mahu kusutkan lagi gumpalan benang yang sudah tersimpul.”
“Bukannya Nine yang mencipta gumpalan tu. Ayahanda sendiri yang tidak mahu cari mana pangkal mana hujungnya. Kalau dari awal lagi ayahanda tak lakukan semua tu, takkan terkusut apa yang sudah terurus. Ayahanda, Is it worth to sacrifice something precious for something you are not sure?”
“Nine, ayahanada hantar kau belajar tinggi-tinggi sampai ke Eropah bukan untuk kau mempersoalkan apa yang ayahanda lakukan tetapi untuk tolong ayahanda. Ayahanda tak mahu bertekak dengan kau. Ayahanda nak bincang soal urusan pejabat.”

Zulqarnain membiarkan sahaja Dato’ Mahmood terus berkata-kata. Dia juga masih ada perasaan hormat kepada ayahnya. Dia masih lagi belum sampai tahap seperti Inderawan.

“Ayahanda mahu Nine masuk ke Taming Sari Berhad secepat mungkin. Kalau boleh esok.”
Here go again. Dato’ Mahmood sudah mula tunjuk mandat kuasanya sekali lagi. Dato’ Mahmood sudah mula nak jadi Sultan Mahmud Melaka. Ayahanda, ini paksaan.”
“Nine, ini bukan paksaan tapi tanggungjawab. Kau kena teruskan apa yang telah ditinggalkan oleh abang kesayangan kau tu. Ayahanda nak harapkan siapa lagi?”
Per favore (tolonglah) ayahanda. Jawatan tu untuk abang Indera.”
“Ayahanda tak suruh kau jadi CEO sekarang ni tapi ayahanda akan melihat dahulu kebolehan kau. Nine akan jadi pengurus di bahagian kreatif. Segala urusan rekaan dalaman akan diuruskan oleh Nine.”
Ayahanda, the position is too high for me. I can’t.”
“Jebat Zulqarnain bin Mahmood Syah, tak ada perkataan tidak dalam urusan Taming Sari Berhad. I have prepared everything. Your room, personal assistant and also your bodyguard. You just do it and impress me. Buktikan yang darah ayahanda mengalir dalam diri kamu.”

“Ayahanda, you can lead a horse to water, but you can’t make it drink. Isn’t it?”

Zulqarnain cuba bermain kata-kata dengan Dato’ Mahmood dengan harapan ayahnya itu mengerti dengan kemahuannya.

“Dan paku pun tak akan terbenam kalau tak kena ketuk dengan pahat. Ini masa depan Nine dan juga syarikat kita. Kalau ada perkataan tidak, maka akan ada ikan yang tak mampu lagi berenang di lautan yang luas. Ingat Nine, ikan tak akan mampu bernafas kalau tak ada air.”

Dato’ Mahmood melangkah masuk. Kata-katanya berbaur ugutan dan arahan. Dia mesti bertindak tegas.  Zulqarnain tergamam tatkala mendengar kata-kata Dato’ Mahmood. 

“Gila ke apa kalau hidup aku tak ada apa yang aku ada sekarang ni. Ikut ajelah Nine. Tak rugi apa-apa pun,” sambung Nine lagi.

Mahu atau tidak, Zulqarnain terpaksa akur dengan ayahnya. Itulah Jebat Zulqarnain, sudah biasa hidup dengan kemewahan. Mana mungkin ikan boleh bernyawa kalau tanpa air. Kalau tidak ada, nyawa-nyawa ikanlah jawabnya.



1 comment: