Stylo Clique ^_^

Saturday, September 14, 2013

Encik Pendekar & Mr.Keju - Bab 7

BAB 7

“Silap kata sukar diundur, silap langkah layu tersungkur.”


Irama lagu antarabangsa kedengaran kuat di pendengarannya. Gegendang telinga Wardah sakit ketika berada di tempat itu. Lampu yang menyala mewarnai suasana yang gelap. Masuk kali ini, sudah dua kali dia terpaksa menemani majikannya berada di kelab hiburan tersebut. Kelihatan seorang lelaki dan seorang perempuan sedang asyik berpelukan dan bercumbu di suatu sudut. Tiada apa yang perlu dihairankan kerana bukan pasangan itu sahaja yang melakukan perkara sumbang itu, malah tak terhitung dengan jari jemari. Itu belum lagi dikira yang meneguk air yang memabukkan. Namun, orang di sekeliling tampak biasa dan seolah-olah tidak ada salahnya melakukan perkara tersebut.
Wardah memandang ke arah Zulqarnain dan Haqimi. Zulqarnain juga salah seorang di antara mereka. Zulqarnain sudah masuk cawan kelima menelankan cecair itu ke tekaknya. Tetapi Zulqarnain masih lagi kelihatan seperti biasa. Haqimi hanya memesan air minuman berkarbonat. Memang langsung tidak terlintas di hatinya untuk meneguk air syaitan itu. Setitik air arak masuk ke dalam badan, 40 hari amalan ditolak. Cubalah kira berapa titik arak dalam satu gelas tu. Memang beribu-ribu titiklah jawabnya. 

Nampak sangat mamat Italy ni dah biasa minum. Masuk lima cawan pun masih normal dan waras lagi. Desis hati Wardah

Jika bukan kerana tugasnya, pasti dia tidak akan menjejakkan kaki di situ. Tugasnya sebagai pengawal peribadi tamat sebaik sahaja Zulqarnain pulang ke rumah. Pada hari itu, Zulqarnain sama sekali tidak mahu pulang ke rumahnya. Seharian dia menemani Zulqarnain. Zulqarnain langsung tidak menjejakkan kakinya ke pejabat. Wardah dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Zulqarnain tidak kelihatan seperti selalu. Wajah itu seperti memendam kemarahan.

“Bos, nak minum lagi ke? Dah nak habis lima cawan bos minum.”
“Kau kenapa? Takut aku balik rumah tak jejak bumi?”
“Aku takut Dato’ Mahmood bising.”
“Ala..kau tak payah nak fikir sangat ayahanda aku tu. Dia pun sama. Bukannya betul sangat.”

Zulqarnain sakit hati tatkala mendengar nama itu. Kepalanya terasa sedikit berat ketika itu. Kemungkinan air berwarna kuning itu sudah memberi kesan terhadap keseimbangan dirinya. Dia masih lagi dalam keadaan sedar.

Suasana di kelab semakin hangat dan ramai apabila menghampiri lewat malam. Zara Alisha sedang rancak menari di lantai yang dipenuhi dengan pasangan masing-masing. Zara Alisha sedang menari bersama rakan kolejnya, Danny. Tisha, rakannya entah ke mana. Sememangnya pusat hiburan itu seperti rumah kedua mereka. Jika salah seorang mereka mengalami tekanan atau masalah, tempat itulah yang menjadi hala tuju mereka untuk melepaskan apa yang terbuku di kepala.

Tubuh Zara Alisha dan Danny semakin rapat. Sememangnya Danny sengaja. Bukannya Zara Alisha tidak tahu Danny menyimpan perasaan terhadapnya tetapi sengaja dia buat tidak faham. Danny adalah tempatnya bergantung atau mungkin lebih tepat lagi, tempat dia mengambil kesempatan. Apa sahaja kehendak Zara Alisa, pasti akan ditunaikan oleh Danny. Sememangnya dari kecil lagi, apa sahaja yang dimahukan pasti akan dia miliki.

“Hai, I Tisha,” sapa Tisha kepada Zulqarnain. Tangannya sudah pun menunggu untuk disambut oleh lelaki itu. Sudah lama Tisha memerhatikan Zulqarnain. Wajah kacak itu menarik perhatiannya.

Zulqarnain tersenyum. Seperti biasa, jika dia berada di mana-mana pasti dia mampu menarik perhatian.

“Nama I Nine. Seorang aje ke?” ucap Zulqarnain lalu menyambut tangan Tisha.
“Seorang tapi datang bertiga. Kawan I tengah menari, I aje yang tak ada pasangan.”
“Kalau tak ada pasangan, boleh duduk minum dengan I.”

Ibarat pucuk dicita ulam mendatang, Tisha segera duduk di sebelah kanan Zulqarnain.

“You datang seorang aje ke?”
“I pun datang bertiga. Ni Haqimi dan yang tegak berdiri macam Tugu Negara kat sebelah sana tu Wardah.”

Dia cakap aku Tugu Negara? Dia tak tahu ke aku tak suka pergi tempat macam ni? Kalau bukan sebab kau, aku tak jadi Tugu Negara kat sinilah. Ni mesti dah mabuk sangatlah ni sampai panggil orang macam tu. Bentak hati Wardah.

“Hai Haqimi,” ucap Tisha sambil menghulurkan tangan.

Haqimi tersenyum lalu membalas.

“Wardah tu girlfriend you ke? Tak baik you cakap dia Tugu Negara. Dia merajuk dengan you ke?”

Zulqarnain gelak kecil mendengar kata-kata Tisha.

“Cik Tisha, saya bukan girlfriend Encik Nine,” balas Wardah.
“Bukan girlfriend? Habis tu siapa?”
She is my bodyguard. Dia memang kena ikut I pergi mana-mana,” jawab Zulqarnain pula.
Bodyguard? Come on, dear. Takkanlah orang perempuan jadi bodyguard you?”

Zulqarnain hanya tersenyum. Malas dia mahu menjawab pertanyaan itu.

Anyway, where are your friends? Tak nak kenalkan dengan I ke?”
“Tu, you nampak yang tengah asyik sangat menari tu? Yang pakai baju warna merah dan lelaki pakai baju puth tu.”

Zulqarnain memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Tisha. Zulqarnain seperti mengenali raut wajah gadis berambut perang itu. Rambutnya panjang dan ikal di hujung sengaja dilepaskan menambahkan lagi kecantikan pada wajah itu.

Danny cuba merangkul pinggang Zara Alisha, tetapi ditepis lembut oleh perempuan itu. Zara Alisha sememangnya seperti jinak-jinak merpati. Mungkin kerana terlalu asyik dan dibuai nafsu, Danny cuba untuk mengambil kesempatan terhadap Zara Alisha.

“Danny, apa ni?”
Come on Alice.”
I tak suka.”
“Kalau you tak suka, kenapa menari dengan I?”
“Kepala I tengah serabut sangat. Sebab tu I ajak you dengan Tisha keluar. Boleh tak you jangan tambahkan masalah I?”
I tak buat apa-apa pun.”
Just stop it Danny. I dah tak ada mood.”

Zara Alisha segera mencari Tisha. Matanya meliar dan akhirnya dia terpandang Tisha bersama Zulqarnain.

“Beb, aku nak balik.”
“Kenapa ni? Bukannya kita baru sampai ke?”

Zulqarnain tersenyum memandang gadis itu. Ya, memang tidak salah lagi. Gadis itu adalah gadis yang sama di lapangan terbang tempoh hari. Mana boleh otaknya lupa tatkala melihat penampilan Zara Alisha yang menawan itu. Kalau Zara Alisha memberinya peluang ketika itu, pasti hari ini gadis itu sudah menjadi teman istimewanya.

“Hai, ingat saya lagi tak?” sapa Zulqarnain.

Tisha dan Zara Alisha terkejut apabila mendengar kata-kata Zulqarnain. Tisha dapat merasakan Zulqarnain lebih tertarik kepada rakannya itu.

“Awak? Saya tak kenal awak rasanya.”
“Awak ada bertembung dengan troli siapa-siapa tak masa kat lapangan terbang dalam tiga atau empat minggu yang lepas?”

Zara Alisha terpinga-pinga.

Macam mana mamat ni tahu aku ada kat lapangan terbang? Troli?
Suara fikirannya mula bergema lalu otaknya ligat memutarkan ingatan ke masa itu.

“Oh..awak yang langgar saya sampai beg saya jatuh tu kan? Lepas tu, cuba nak pujuk saya untuk keluar minum dengan awak.”
“Saya rasa awak yang langgar saya. Lagipun perempuan akan jadi tak beberapa nak nampak keadaan sekeliling kalau bertembung dengan saya. Dan saya rasa atas sebab itulah awak masih ingat kat saya. Kalau petang tu awak tak jual mahal, mungkin kita dah lama kenal. Saya Nine.”
“Alice.”
“Alice? Wow, nice name. Jadi, sudi tak minum dengan saya hari ni?”

Senang betul bos aku ni dapat perempuan. Sekejap Tisha lepas tu Alice. Ilmu apa yang dia pakai ni? Soal Haqimi di dalam hati.

Dari tadi Haqimi memerhatikan gelagat Zulqarnain. Hebat benar majikannya itu tetapi memang diakui rupa Zulqarnain mampu menarik mana-mana perempuan yang berada di situ. Gayanya bersahaja.

“Bos awak ni memang kaki perempuan ke?” soal Wardah kepada Haqimi.
“Mungkin,” balas Haqimi.

Sudah terang lagi bersuluh, kau jawab mungkin aje? Tahulah sama-sama lelaki. Bisik hati Wardah.




“Awak nak belanja saya dengan Tisha minum ke?” soal Zara Alisha, mahu memancing perhatian.
Why not? Meraikan perkenalan kita pada hari ni.”
“Alice, I’m sorry. I janji tak akan buat macam tu lagi.”

Danny tiba-tiba sahaja mencelah antara mereka. Pada mulanya dia tidak kisah dengan pertengkarannya dengan Zara Alisha tadi. Tetapi melihat Zulqarnain cuba mendekati gadis itu, hatinya menjadi tidak keruan, diselaputi perasaan cemburu.

Danny, I said stop it. I tak nak tengok muka you.”
“Alice, I sayangkan you. You tahu tak?”
“Danny, boleh tak jangan nak tambahkan kusut kepala I ni?”
“Alice? Kenapa ni?” soal Zulqarnain. Dia dapat melihat Zara Alisha tidak selesa dengan lelaki itu.
“Hei, kau jangan masuk campur. Ni urusan aku dengan girlfriend aku. Aku tak suka kau cuba nak rapat dengan dia.”
Danny, I’m not your girlfriend. Jadi, suka hati I lah nak kawan dengan siapa-siapa pun. Lantak siapalah nak rapat dengan I sekali pun.”

Zara Alisha segera merapatkan dirinya dengan Zulqarnain.

So, you memang tak kisahlah mamat ni goda you? Habis tu I ni siapa? Siapa yang selalu you cari kalau you tengah banyak masalah? I ke mamat ni?”
“Bro, aku rasa kau dah cukup jelas dengan apa yang berlaku. Dia dah tak nak kat kau. Terima ajelah hakikat.”
“Kurang ajar.”

Danny segera memberikan tumbukan ke wajah Zulqarnain. Serta merta tubuh itu tersembam ke lantai. Zara Alisha terkejut. Begitu juga dengan Tisha. Sama sekali tidak menyangka sejauh itu tindakan Danny.

Wardah segera bertindak. Dia terlebih dahulu berhadapan dengan Danny. Haqimi segera membantu Zulqarnain berdiri. Keadaan di sekeliling juga tertumpu kepada mereka.

“Encik, apa hal ni?” soal Wardah kepada Danny.

Seboleh mungkin dia tidak mahu terus-menerus menggunakan kekerasan. Selagi boleh dibawa berbincang, dia akan berbincang.

“Hei perempuan. Kau tepi. Ini urusan aku dengan dia.”
“Encik, kalau dah sampai bertumbuk dengan bos saya ni itu sudah dikira sebagai urusan saya.”

Zulqarnain menyentuh pipinya. Terasa perit apabila menerima tumbukan itu secara tiba-tiba.

“Kau ni siapa? Girlfriend dia? Kau duduk rumah, duduk kat dapur diam-diam sudah. Tak payah nak tunjuk handal dengan aku. Jangan nak tunjuk kuat, jangan nak tunjuk hebat,” ujar Danny kepada Wardah. 

Dia sememangnya terlalu memandang rendah terhadap kemampuan gadis di hadapannya itu.
Ego lelakinya tercabar. Tanpa memikirkan hal sekeliling, Zulqarnain segera mengembalikan semula apa yang telah diberikan oleh Danny tadi. Danny terbaring di atas meja bar itu.

“Kau jangan cari pasal dengan aku. Kalau orang dah tak nak tu, jangan kau nak paksa. Kau ingat kau tu siapa? Kau nak sangat bertumbuk dengan aku kan?” ucap Zulqarnain dengan nada yang tinggi.

Meskipun kedengaran muzik lebih kuat, namun suara itu mampu sampai ke telinga Danny. Danny menyapu cecair pekat yang mengalir dari bibirnya. Dia dapat merasakan bibirnya seperti membengkak.

“Jahanam. Aku akan ajar kau cukup-cukup supaya kau tak kacau hak milik orang lain.”
“Danny, sudah-sudah tu. Tak payah nak cari pasal,” ucap Zara Alisha. Dia sudah menggelabah. Kerana dia, dua lelaki itu bertumbuk.

Danny tidak mempedulikan kata-kata Zara Alisha. Amarah sudah merasuk ke jiwanya. Danny sudah bersedia untuk menyerang Zulqarnain. Belum sempat tumbukan itu melayang ke tubuh Zulqarnain, Wardah sudah membuka langkah. Tangan Wardah menepis tumbukan itu. Tangan Danny ditepis ke sebelah luar dan tumbukan tidak mengenai sasaran. 

Danny terkejut. Tidak menyangka Wardah akan bertindak. Kali ini Danny tidak akan memberi muka kepada Wardah. Dia terus mahu menyerang tetapi Wardah berjaya menangkap tangan Danny. Kaki Danny pantas mahu menendang, namun kaki Wardah lebih laju menendang ke bahagian lutut lelaki itu lalu dia mengilas tangan Danny ke belakang dan menyebabkan tubuh Danny berpusing. Dia menendang bahagian belakang kaki Danny. Danny sudah tidak mampu berdiri dan langkahnya berjaya dikunci oleh Wardah. Danny seperti melutut sambil tangannya digenggam kuat oleh Wardah.

“Argggghh..”

Danny mengerang kesakitan.

Mereka semua yang berada di situ terkejut melihat langkah Wardah. Pantas dan cepat. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Orang yang paling terkesima di situ selain Danny ialah Zulqarnain. Hampir ternganga dibuatnya melihat tingkah gadis pengawal peribadinya itu. Selama ini dia belum pernah melihat lagi Wardah beraksi.

“Masih tak puas hati lagi? Kan aku dah cakap bila kau dah bertumbuk dengan bos aku, itu dikira urusan aku. Lagipun kau yang mulakan dulu kan?”

Apabila melihat Danny tidak memberikan sebarang reaksi, dia melepaskan tangan itu. Dia juga tidak mahu terus mencari masalah di situ. Kelab hiburan seperti itu sudah semestinya ada pengawal yang menjaga. Tisha segera membantu Danny bangun.

Sebaik sahaja terlepas daripada Wardah, Danny masih lagi ada rasa tidak puas hati terhadap gadis itu. Danny cuba memberikan pukulan curi daripada belakang. Namun pancaindera Wardah dapat merasakan ada sesuatu yang mahu menyerang dari arah itu. 

Lantas Wardah menoleh dan dia sempat mengelak. Wardah segera menangkap tangan Danny lalu dipusingkan anggota itu dan menyebabkan seluruh tubuh Danny terhumban ke bawah. Wajah Danny sudah tersembam ke lantai. Simpulan sanggul pada rambut itu terlerai dan menyebabkan rambut Wardah terlepas. Sekali lagi, mereka semua dihidangkan dengan gerakan dan langkah yang pantas serta teratur daripada Wardah. Kali ini Wardah pasti lawannya itu tidak mampu untuk melawan semula.

“Sekarang ni siapa yang kena duduk rumah, duduk kat dapur diam-diam? Kau ke aku?” sindir Wardah.

Danny langsung tidak memberikan sebarang tindak balas. Malu bukan kepalang apabila dilakukan sebegitu rupa.

“Encik Nine, Haq lebih baik kita balik sekarang. Tak sesuai rasanya kita terus ada kat sini,” arah Wardah sebaik sahaja membiarkan Danny terbaring di situ.

Zulqarnain masih lagi dalam keadaan terkejut.

“Bos, aku rasa betul cakap Wardah tu. Nanti bouncer kelab ni datang, lain pula ceritanya bos,” sambung Haqimi lagi. Dia juga tidak mahu mencari sebarang masalah. Panjang pula ceritanya jika Dato’ Mahmood tahu.
Haqimi segera menarik lengan Zulqarnain. Mereka mahu beredar.

“Dasar pengecut. Kau memang lelaki pengecut sebab perempuan yang tolong kau,” pekik Danny setelah berdiri.
“Danny, kau cakap apa ni?” marah Tisha.

Pada mulanya Tisha menyangka Zulqarnain hanya bergurau akan hal tersebut, ternyata Wardah sememangnya pengawal peribadinya.

Langkahnya terhenti. Dia mahu berpatah balik namun tangan Haqimi sudah menahan Zulqarnain daripada bertindak.  Zulqarnain merasakan maruahnya seperti dipijak apabila dilakukan sebegitu rupa. Entah mengapa, ego Wardah juga tercabar tatkala mendengar kata-kata Danny itu. Kali ini dia membiarkan majikannya pula yang membalas. Dia pasti Zulqarnain juga mahu memberikan hadiah istimewa kepada Danny sebelum beredar.

“Encik Nine, saya rasa Encik Nine patut bagi sebiji penumbuk kat dia.”

Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, Zulqarnain segera menumbuk pipi Danny.




“Aku bukan pengecut. Kau tu yang pengecut sebab tak boleh terima yang orang tak nak terima kau.”

Danny sudah jatuh terjelepok. Malam itu dia menerima serangan pakej. Malu dibuatnya apabila dikalahkan oleh seorang perempuan.

“Apa hal ni? Apasal buat kecoh kat sini?”

Dua orang pengawal kelab hiburan itu sudah pun tiba ditempat mereka.

“Sorry bro. Aku minta maaf. Ada salah faham sikit aje.” balas Zulqarnain.
“Kau kalau nak bertumbuk kat luar sana. Jangan cari pasal kat dalam ni. Lebih baik kau orang semua blah dari sini.” arah salah seorang lelaki berbadan besar itu.

Tanpa banyak bicara, Zulqarnain, Haqimi dan Wardah segera melangkah keluar.



1 comment: