Stylo Clique ^_^

Friday, September 27, 2013

Encik Pendekar & Mr.Keju - Bab 14

BAB 14

“Bayu pagi segar dihirup, sang mentari muncul mengubah hidup.”

Matanya perlahan-lahan terbuka dengan sendirinya. Dia mengambil telefon bimbit yang terletak di sisi bantal. Skrin menunjukkan pukul 7.16 pagi. Zulqarnain bangkit dari baringnya lalu membuka tingkap bilik yang ditumpangnya itu. Bunyi kicau burung berterbangan jelas di gegendang telinganya. Dia menghirup perlahan udara pagi.

“Segarnya udara kat kampung ni,” ucap Zulqarnain sendiri.

Tidur semalamnya nyenyak. Pagi itu dia merasakan sesuatu yang segar di dalam tubuhnya. Umpama ada suntikan baru meresap ke dalam dirinya. Zulqarnain tesenyum memandang susuk tubuh itu keluar dari pintu belakang.

“Selamat pagi Harum Wardah binti Hasyim,” ucap Zulqarnain.

Alangkah bahagianya jika dia dapat menatap wajah itu setiap pagi. Wardah sedang membawa bakul pakaian yang siap dibasuh terkejut.

“Saya ingat siapalah tadi. Pagi-pagi dah menyebut nama saya. Ingat awak tu cikgu sekolah ke?” rungut Wardah sambil menuju ke ampaian yang terletak berhampiran dengan bilik air.

Zulqarnain hanya mampu tersenyum. Dia segera mengambil tuala dan pakaian yang mahu dipakai selepas mandi lalu keluar menuju ke dapur.

“Eh, dah bangun dah? Mak cik ingat kamu tak bangun lagi,” kata Wadihah yang sedang menggoreng jemput-jemput udang bersama daun kucai.
“Nine dah biasa bangun pagi. Kat rumah pun Nine memang bangun waktu macam ni. Nak kena siap-siap pergi kerja katakan. Pak cik mana? Tak nampak pun,”

Eceh…bangun pagilah sangatkan. Kalau tak dulu, orang dah siap menoreh getah pun belum tentu kau dah bangun.

“Oohh..pagi ni dia cakap nak pergi ke kebun. Nak tengok sayur dengan buah katanya. Kamu ni nak mandi ke?” tanya Wadihah apabila melihat Zulqarnain membawa tuala.
“Ha’ah mak cik. Saya pergi mandi dulu ya.”
“Baik-baik tau mandi pagi-pagi macam ni. Kang tak biasa, tak tahan,” pesan Wadihah.

Dia terpinga-pinga dengan pesanan itu dan mula memikirkan apa yang dimaksudkan oleh Wadihah sambil berjalan menuju ke bilik air. Niat mahu mandi ditunda seketika. Dia berhenti.

“Hai, rajinnya awak,” sapa Zulqarnain.

Wardah sedang menyepit kain di ampaian memandang Zulqarnain.

“Hai,” balas Wardah lalu menyambung semula kerjanya.
“Nyaman udara kat kampung awak ni. Sejuk aje. Banyak pokok. Bunga-bunga yang ayah awak tanam ni pun harum aje. Seharum nama Harum Wardah.”
“Awak ni memang tak ada kerja lain ke? Memang pantang nampak perempuan kan? Asyik nak keluar ayat manis aje. Nasib baik saya ni bukan perempuan macam kat kelab yang awak selalu pergi tu.Semua yang ada kat kampung saya ni memang harum. Baju yang kat ampai ni pun harum. Cuma awak aje yang tak harum sebab awak belum mandi. Busuk,”
“Saya nak pergi mandilah ni,” ucap Zulqarnain sambil kakinya melangkah ke bilik air.
“Nak pergi mandi? Saya bimbang aje anak orang kaya macam awak ni tak mampu nak tahan sejuk air kat kampung. Bilik air kat rumah ni tak ada pemanas air. Kalau Jebat Zulqarnain cukup Melayu, mandilah air sejuk tu. Orang Melayu tulen tak mandi air panas waktu pagi-pagi. Orang putih aje mandi air panas ni.”

Sengaja Wardah berkata sebegitu, mahu mengenakan Zulqarnain.

“Siapa cakap? Kat rumah, saya mandi waktu-waktu macam nilah. Tak pakai heater tau.”

Zulqarnain sempat lagi nak berlagak maco tu. Dia segera masuk lalu menutup pintu.

“Sejuk bandar dengan sejuk kampung ni lain. Semoga berjaya ya,”ucap Wardah sambil mengibas-ngibas baju yang basah itu. Suara Wardah seperti mencabarnya.
 
Zulqarnain membuka paip, memang terasa dingin menggigit tubuhnya. Jari telunjuk kanan Zulqarnain menghala ke aliran air paip.



“Sejuknya. Nine, kau jirus aje terus kat kepala. Tak terasa sangat.”

Zulqarnain cuba memberi semangat terhadap dirinya sendiri. Zulqarnain menceduk air di dalam baldi menggunakan gayung lalu menjirus ke badannya.

“Aaaaa……Sejuk!!!!!” jerit Zulqarnain.

Wardah yang baru sahaja selesai menjemur pakaian berpaling ke arah pintu biik air sambil tertawa kecil. 


--------------------------------

Zulqarnain menjengah ke dapur setelah selesai mandi. Wardah dan Wadihah sedang bersarapan. Wardi sudah pun terlebih dahulu keluar kerana ada urusan penting di pejabat pada pagi itu.

“Nine, sini makan. Kita sarapan sama-sama,” ajak Wadihah.

Zulqarnain menarik kerusi bertentangan dengan Wardah lalu melabuhkan punggungnya.

“Sejuk masa mandi tadi?” tanya Wadihah.
“Boleh tahan sejuknya.”
 “Nine mandi dalam pukul 7 kira dah tak sejuk sangat. Kalau mandi dalam pukul 6 masa tu lagi sejuk. Macam mandi dengan ais,”
“Ini pun dah sejuk macam ais rasanya.”
“Kasihan Nine, kena buli dengan orang tu ya?” ucap Wadihah sambil menjeling ke arah Wardah.

Wardah sengaja buat tidak tahu.

“Tak adalah mak cik. Ada orang cakap Melayu tulen aje mandi air sejuk ni. Orang putih mandi air panas. Sebab tu saya mandi air sejuk tu.”

Wadihah menyambung jelingannya terhadap Wardah. Wardah mengangkat bahunya menandakan yang dia tidak tahu sambil mukanya seperti tiada kena-mengena dengan kejadian itu.

“Tak apalah ya. Kena biasakan tak? Kalau tak biasa susah pula kan,” ucap Wadihah.

Entah mengapa, bagi Wardah lain benar maksud ibunya itu.

Kena biasa kan? Kenapa kena biasakan? Tak kan dia nak duduk kat sini sampai bila-bila pula. Desis hati Wardah.

Zulqarnain mengangguk sambil mengukir senyuman. Dia mengambil sebiji jemput-jemput. Masih lagi hangat, terasa di deria sentuhannya. Dia menggigit sedikit.

“Mak cik, sedapnya. Kuih apa ni?” tanya Zulqarnain setelah menelan cebisan itu.

Wadihah terkejut dengan pertanyaan Zulqarnain manakala Wardah sudah ketawa berdekah-dekah.

“Awak tanya ni kuih apa? Awak tak pernah makan jemput-jemput udang ni ke?” sinis benar bunyinya daripada bibir Wardah. Wardah kini antara senyum dan ketawa. Kelakar benar rasanya soalan itu.

Zulqarnain menggeleng.

Anak orang kaya campur mamat keju betul budak ni. Tak pernah makan jemput-jemput? Peliknya. bisik hati Wardah.

“Mak Nine tak pernah buat jemput-jemput?”

“Nine pun tak pasti arwah ummi pernah buat ke tidak. Selalunya Nine akan sarapan roti bakar, pankek, sandwich, nugget. Seingat Nine, ummi pernah buat mi goreng dan nasi goreng. Itupun kalau sarapan kat rumah. Selalunya Nine sarapan kat pejabat.”
“Kalau Nine nak tahu, jemput-jemput ni lah sarapan kami sekeluarga selalunya. Bancuh tepung dengan air, bawang besar, garam, sayur kucai dengan udang. Kalau nak pedas, boleh letak cili padi. Jadilah jemput-jemput yang Nine makan sekarang ni,”
“Itu aje ke? Tapi kenapa sedap sangat?”
“Mungkin sebab pertama kali Nine makan.”
“Dan satu lagi bahan rahsia iaitu sentuhan kasih sayang Puan Wadihah yang tak ada di mana-mana. Sebab tu masakan ibu saya sentiasa sedap.”

Wadihah hanya tersenyum apabila Wardah memujinya.

Wardah memandang wajah Zulqarnain. Wajah itu ketika ini seperti anak kecil yang penuh dengan perasaan ingin tahu. Wajah itu juga penuh dengan keinginan untuk belajar sesuatu. 

Pagi itu, Wardah berasa lebih dekat dengan bekas majikannya itu. Ada sesuatu yang orang lain tidak tahu disebalik wajah itu. Wajah yang dahulunya penuh dengan amarah dan kedukaan tetapi pagi ni Zulqarnain seperti menjadi dirinya sendiri.



Zulqarnain sedar yang dia sedang diperhatikan. Dia membalas renungan itu tanpa disedari Wardah. Wardah tidak sempat untuk berpura-pura tidak melihat lelaki itu. Wardah segera menghirup air di cawan. Zulqarnain menyambung semula kunyahannya sambil tersenyum.

--------------------------------


Masuk hari ini sudah tiga hari Zulqarnain menghilangkan diri. Habis satu rumah terkena bahang amarah Dato’ Mahmood. Haqimi juga merasakan tempiasnya.

“Haq, betul kau dah cari semua tempat?”
“Sudah Dato’, termasuk rumah Puan Hannum. Dah lebih setengah hari saya mengintip hari ni tapi Nine tak ada kat situ.”
“Dah cari kat kelab tempat selalu dia minum?” soal Dato’ Mansoor pula.
“Sudah Tuan Pengerusi. Semua tempat yang Nine selalu pergi berhibur saya dah siasat. Saya ada tanya juga dengan pengawal kat kelab tu, manalah tahu Nine ada datang tapi semua jawapan negatif.”
“Sekali lagi aku nak tanya ni, betul atau tidak kau tak tahu Nine pergi mana? Kau kan PA dia. Mesti ada rahsia yang cuba dia sembunyikan pada kami sekeluarga yang mungkin kau tahu.”
“Dato’ Mahmood, meskipun Dato’ cuba meletakkan pedang yang tajam mahupun keris Taming Sari di leher saya ni jawapan saya masih sama. Saya memang tak tahu. Dia tak pernah cerita apa-apa dengan saya.”



Dato’ Mansoor yang sedang duduk di sofa itu kehairanan. Mustahil cucu keduanya itu lenyap begitu sahaja. 

“Ke mana sahaja budak bertuah ni pergi. Kereta ada kat rumah. Dia pergi mana agaknya,” ucap Dato’ Mansoor lagi.

Jam dinding antik rumah itu tiba-tiba sahaja berbunyi sebanyak sepuluh kali. Itu menandakan waktu sudah menjengah pukul 10 malam.

“Ada anak semuanya menyusahkan aku. Aku nak tengok sejauh mana langkah dia. Semuanya jenis tak kenang budi.”
“Ada bapa yang tak betul macam kau, macam mana anak kau semua nak kenang budi kau,” ucap Dato’ Mansoor, bersahaja.
“Ayahanda, tindakan Nine dah melampau. Dia boleh hilangkan diri masa macam ni. Kurang dua minggu saja lagi majlis perkahwinan dia. Dia memang sengaja nak buat malu keluarga.”
“Mahmood, Nine tu bukan budak kecil lagi yang kau boleh paksa. Dia dah besar.”
“Saya buat semua ni untuk kebaikan dia juga. Semuanya buat hal. Yang seorang malukan keluarga mengemis kat tepi jalan, yang seorang lagi buat tindakan sesuka hati.”
Dear, you janganlah marah-marah. Nanti you sakit. Mungkin esok lusa Nine balik. Manalah tahu dia pergi tenangkan fikiran ke, tak pun jumpa dengan kawan-kawan dia. Kita tak tahu kan?”



Tria cuba memujuk sambil memegang lembut tangan Dato’ Mahmood.

I tak kisah kalau dia nak pergi ke mana sekalipun. Masalahnya sekarang kalau betul dia hilangkan diri, I nak jawab apa dengan Datuk Ramli tu? Masa pertunangan hari tu pun Datuk Ramli dah tanya. Nasib baik I ada jawapan. Sekarang ni macam mana? Kalau dia tak muncul juga masa hari tu, siapa nak gantikan? Semua persiapan hampir siap.”
Dear, you jangan risau ya. Nanti kalau dia dah puas kat luar tu, dia baliklah. You pun tahu kan dia macam mana. Sekarang ni you kena jaga kesihatan you.”
“Betul juga cakap you tu. Nanti duit dia dah habis, mesti dia tahu jalan nak balik rumah ni. I nak tengok sejauh mana permainan dia.”

Seisi rumah termasuk Haqimi memerhatikan tingkah laku Tria dan Dato’ Mahmood. Terasa meluat pun ada apabila melihat kemesraan yang cuba ditampilkan oleh mereka. Sekejap sahaja marah Dato’ Mahmood berubah sebaik sahaja dipujuk oleh Tria.

I dengan you konon. Aku kat sini dah terasa macam batang kayu. Shaq, Que, hantar tok ayahanda naik atas. Kalau aku lama-lama kat sini mahu tumbuh cendawan juga telinga aku ni.”

Shaqir dan Naqiuddin cuba menahan diri daripada tergelak. Raudhah sudah menekup mulutnya terlebih dahulu. Tidak tahan rasanya dengan kenyataan datuk mereka.


“Raudhah, sini,” panggil Dato’ Mansoor sebelum menaiki tangga. Dato’ Mansoor membisikkan sesuatu ke telinga Raudhah lalu Raudhah mengangguk mengerti.

Wajah Tria dan Dato’ Mahmood berubah sebaik sahaja disindir begitu.

“Haq, malam ni pergi tengok lagi kat kelab yang selalu Nine pergi. Aku tahu sangat perangai dia tu. Kalau dia ada masalah atau cari tempat nak berhibur, situ sahajalah tempatnya. Esok pagi beritahu aku kat pejabat kalau ada apa-apa perkembangan,” arah Dato’ Mahmood lalu mengajak isteri mudanya berehat.

“Baik Dato’.”

Sebelum Haqimi keluar daripada banglo itu, terlebih dahulu suara itu memanggilnya.

“Haq.”

Haqimi menoleh.

“Tok ayahanda saya nak jumpa awak kat bilik dia,” ucap Raudhah.

1 comment:

  1. sweet!!!..sweet!!!...alahai sis Ain buat hati ni tergolek-golek..hihihi

    ReplyDelete