BAB
13
“Tepis dihunus tombak,
tabah menempuhi badai. Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi
pantai.”
Bahu Zulqarnain
terhincut-hincut mengeluarkan segala isi yang ada. Dia pun tidak pasti masih
ada lagi isi di dalam perutnya yang boleh dia keluarkan. Tekaknya terasa masam.
Wardah yang berdiri di sebelah hanya menggelengkan kepala.
“Adik, masuk kali ni
dah tiga kali kita berhenti kat perhentian rehat ni. Kali ketiga ni dah tak
menyempat boyfriend adik ni nak pergi
tandas. Nasib baik sempat saya berhenti, kalau tak boyfriend adik tu dah muntah kat dalam bas ni.”
Wardah mengerutkan
dahinya. Tak pasal-pasal orang menyangka dia adalah kekasih Zulqarnain.
“Abang, dia bukan boyfriend saya. Dia bos saya.”
“Mesti adik dah
bengangkan, sebab tu sampai tak nak mengaku lelaki ni boyfriend adik.”
“Abang, betul. Mamat ni
bukan boyfriend saya.”
Pemandu bas itu hanya
tersenyum sambil menggelengkan kepala.
“Biasa dua setengah jam
sampai Muar. Abang rasa hari ni mahu cecah empat jam baru sampai.”
“Abang, minta maaf. Kawan
saya ni memang tak biasa naik bas.”
Wardah menahan geram.
Malu pun ada juga.
Zulqarnain berdiri
tegak semula setelah selesai muntah. Dia menarik nafas lega kerana rasa itu
sudah sedikit hilang.
“Naik bas memang macam
ni ke?”
“Awak tu dah pening dan
mabuk. Orang yang tak biasa naik bas jauh-jauh memang macam tu. Kan saya dah
cakap, awak tak biasa. Ini baru sampai perhentian Machap, dah muntah tiga
kali.”
Wardah segera
menghulurkan botol air mineral kepada Zulqarnain. Zulqarnain mengambil lalu
membuka penutup botol berwarna biru itu. Belum sempat dia meneguk, tiba-tiba
rasa itu muncul lagi. Zulqarnain segera mengembalikan botol itu kepada Wardah
lalu segera muntah di longkang itu sekali lagi.
Timbul rasa kasihan
tatkala melihat keadaan Zulqarnain. Semakin teruk jadinya. Tangan Wardah
menepuk-nepuk perlahan belakang Zulqarnain.
“Makin teruk pula mabuk
awak ni. Saya tengok kat dalam beg saya ada ke tak minyak angin.”
Zulqarnain hanya mampu
mengangguk.
“Abang tengok dah macam
orang mengandung dah,” ujar pemandu bas itu.
--------------------------------
“Akhirnya sampai juga
kat kampung awak,” ucap Zulqarnain sebaik sahaja turun daripada bas ekspres
itu.
Sepanjang perjalanan
tadi, Zulqarnain melelapkan mata. Mujur ada minyak angin di dalam beg tangan
Wardah. Sedikit sebanyak ia melegakan kepala Zulqarnain. Kalaulah mata lelaki
itu celik sepanjang pejalanan, entah berapa kali dia muntah agaknya.
Silap-silap malamlah jawabnya baru sampai.
“Siapa cakap dah
sampai? Kita kena naik bas lagi. Kali ni naik bas tambang pula.”
“Ha? What?! Per
favore (tolonglah)..
I can’t handle this anymore.”
Hampir menjerit suara
itu. Terkejut bukan kepalang.
Dah mula dah mamat ni.
Dah lama tak keluar lidah mat saleh Italy tu sejak gaduh dengan Dato’ Mahmood
hari tu. Desis hati kecil itu.
“Apa awak cakap? Per fa.....apa?
Saya tak faham bahasa Italy tu.”
“Per favore tu maksudnya tolonglah. Rumah awak ni kat mana? Kat hujung dunia
ke? Ke kat kawasan pedalaman hulu sana?”
“Amboi..sedapnya mulut
awak. Kan saya cakap, kampung saya ni bukan kat Milan, Italy. Tak ada lapangan
terbang pun. Dan untuk pengetahuan awak, kat Merlimau tu dah ada Secret Recipe,
Cool Blog dan yang terbaru ni saya dengar nak ada McDonald. Ha, awak ingat tak
hebat ke kampung saya tu.”
Wardah sedikit bangga
tatkala menceritakan pembangunan kampung halamannya.
Ketika itu wajah
Zulqarnain berkerut-kerut, memikirkan apalah yang akan jadi nanti.
“Lepas ni kalau kita
naik bas, berapa kali saya kena muntah?”
Wardah tergelak besar
mendengar pertanyaan Zulqarnain. Wardah merasakan soalan Zulqarnain itu mencuit
hatinya.
“Kenapa awak ketawa?
Ingat tak seksa ke muntah-muntah. Dah macam orang mengandung.”
“Okey…okey..saya minta
maaf ya. Saya rasa bas tambang yang akan kita naik ni mungkin awak tak muntah.
Sebab bas kat sini masih lagi bas buka tingkap. Mungkin tadi kat dalam bas
ekspres tu kan pakai penghawa dingin. Ruangan tertutup. Jadi, itu salah satu
sebab awak jadi mabuk dan muntah-muntah.”
“Awak pasti?”
“Ya. Kalau awak takut
muntah, awak sapu aje minyak angin tu kat kepala dengan tengkuk. InsyaAllah
akan rasa lega. Jom, kita naik bas.”
Zulqarnain hanya
mengangguk. Mahu atau tidak, dia terpaksa mengikuti Wardah. Itu sahaja
pilihannya. Siapa suruh lari kan?
Mereka berdua menaiki
bas menuju ke Merlimau. Perjalanan dari Muar ke Merlimau mengambil masa lebih
kurang setengah jam. Sepanjang perjalanan, Zulqarnain tak henti-henti menyapu
minyak angin di kepalanya.
“Kenapa awak gelak?”
soal Zulqarnain sebaik sahaja melihat Wardah yang sedang cuba untuk menahan
ketawa.
“Saya rasa lepas ni
awak beli minyak angin ni satu tong. Lepas tu awak mandi. Lain kali kalau naik
bas, dah tak mabuk lagi.”
Zulqarnain mencebikkan
bibirnya. Kali ini senyuman Wardah semakin melebar. Sedang asyik Wardah
memerhatikan tingkah laku Zulqarnain, tiba-tiba bas itu berhenti mahu mengambil
penumpang. Sebaik sahaja melihat sepasang warga emas itu, Wardah segera bangun.
“Eh, kenapa awak
bangun? Dah nak sampai ke? Tapi tadi awak cakap setengah jam nak sampai rumah
awak. Ni belum lagi.”
“Bukan. Awak nampak pak
cik dengan mak cik yang baru naik tu?”
“Nampak. Jadi?”
“Awak cakap jadi? Kita
kenalah bagi tempat duduk ni kat dia orang. Dia orang kan warga emas. Kita ni
muda lagi.”
Zulqarnain mengangguk
mengerti. Dia pun turut bangun dan beralih daripada tempat duduknya.
“Pak cik, mak cik…boleh
duduk sini,” pelawa Wardah.
“Terima kasih nak,”
balas lelaki itu yang berusia lingkungan 50-an. Isteri lelaki itu duduk
bersebelahan dengan tingkap dan lelaki itu di sebelah isterinya.
“Sama-sama” balas
Wardah sambil tersenyum.
Zulqarnain memerhatikan
raut wajah itu. Kali ini jarak mereka agak hampir. Wardah dapat merasakan mata
itu merenungnya sekali lagi.
“Kenapa? Ada masalah
ke?”
“Saya tak sangka yang
awak ni prihatin. Tak semua orang boleh buat apa yang awak buat.”
“Saya tak ada buat
apa-apa pun. Itu namanya kesedaran sivik dan tatasusila. Semua orang tahu
perkara tu. Jadi, kenapa awak tengok saya?”
“Saya rasa awak nampak
seksi bila buat macam tu.”
Nine, kau ni mabuk ke
apa? Malam tu kau mabuk pun kau cakap macam ni juga. Eh, tapi kau memang tengah
mabuk pun. Mabuk naik bas tapi mulut kau cakap lagi perkataan tu. Dah kenapa?
Salah faham pula nanti. Rungut hati Zulqarnain sendiri.
Wajah Zulqarnain
sendiri berubah. Dia segera memalingkan mukanya ke arah bertentangan.
“Seksi lagi? Apanya
yang seksi?” Soal Wardah sendiri sambil memerhatikan dirinya.
Setelah beberapa detik
memalingkan muka, Zulqarnain kembali semula memandang Wardah. Dia ingin
mengetahui apakah reaksi gadis itu.
“Awak ni buat malu saya
aje. Kenapa cakap macam tu kat depan pak cik dengan mak cik ni?” soal Wardah
dengan nada suara hanya mereka berdua sahaja yang mendengar.
Pandangan mata
Zulqarnain beralih kepada sepasang warga emas tu. Kelihatan mereka berdua
berbisik sesama sendiri lalu tersenyum memandang dia dan Wardah. Zulqarnain
hanya mampu menyengih, menampakkan baris giginya yang putih itu.
--------------------------------
‘SELAMAT DATANG KE
KAMPUNG SEMPANG’ terpampang di hadapan pintu masuk kampung itu. Zulqarnain
menoleh ke kiri dan kanan seketika, menikmati keindahan berada kampung. Boleh
dikatakan ini pertama kali dia masuk ke kawasan kampung setelah dewasa. Selama
ini, Dato’ Mahmood tidak pernah sama sekali mendedahkan kepadanya apa itu
kampung. Kali terakhir dia berada di kawasan seperti itu ketika umurnya 5
tahun. Itupun kampung ibu kandungnya, Latifah. Setelah kematian datuk dan nenek
belah ibunya, sejak hari itu mereka sudah tidak pulang.
“Lepas ni kena naik bas
lagi ke?” sindir Zulqarnain.
Wardah menjeling.
“Saya tak kasi ikut
balik rumah saya baru tahu.”
“Sejak bila pengawal
peribadi saya dah pandai ugut macam gangster ni?”
“Sejak awak sibuk nak
ikut saya balik kampung. Lepas ni kita kena jalan kaki sikit. Lebih kurang satu
kilometer.”
Kali ini Zulqarnain
tidak banyak karenahnya. Wardah berjalan mendahului Zulqarnain. Seperti biasa,
jika berada di kawasan perkampungan pasti akan ada mata yang memandang apabila
seorang lelaki dan seorang perempuan berjalan bersama. Setelah berjalan lebih
kurang lapan minit, Wardah mengukir senyuman. Kakinya melangkah memasuki susur
jalan kecil ke rumah itu. Rumah berunsurkan kayu itu cantik dipandangan
matanya. Halaman rumah penuh dengan pelbagai tumbuhan. Dan atas sebab itu,
kawasan perkarangan rumah terasa sejuk dan nyaman.
Zulqarnain tersenyum sendiri. Kakinya seperti tidak
mampu melangkah kerana matanya telah terpaku melihat keindahan rumah itu. Rumah
tradisional itu dibina dengan reka bentuk warisan masyarakat melayu termasuklah
ciri-ciri bumbung atap yang panjang dan tangga batu bersalut jubin di samping
ukiran kayu di bahagian serambi yang unik. Sebagai pelajar jurusan seni reka
hiasan dalaman daripada universiti di Italy, penemuan rumah seperti ini sudah
semestinya menarik minatnya. Selain mengagumi kesenian di kota Italy,
Zulqarnain juga meminati kesenian rumah Melayu itu.
“Kenapa awak tercegat kat situ? Jomlah masuk,” ajak
Wardah.
Zulqarnain mengangguk lalu kakinya melangkah. Saat
melalui tangga rumah itu, sekali lagi dia tersenyum. Mata Zulqarnain tidak mahu
melepaskan pemandangan yang indah itu. Tangga rumah tradisional itu dibuat
daripada batuan konkrit. Ada elemen seni bina dari Negara China kerana dihiasi
dengan jubin berwarna coklat dan kuning cair sedondon dengan warna kayu pada
tiang di ruangan serambi. Penggunaan jubin yang pelbagai warna ini jelas menunjukkan
pertembungan budaya seperti Melayu, China dan Eropah. Inilah yang menjadi
identiti unik senibina rumah Melayu Melaka.
Pandangannya
beralih pula kepada tingkap. Tingkap rumah itu adalah dari jenis bukaan ke luar
dan mempunyai kayu kekisi di bahagian bawah tingkap. Bahagian bawah tingkap
terdapatnya ukiran kayu bermotifkan flora. Tangan Zulqarnain menyentuh di bahagian
itu. Sentuhannya dapat merasakan kehalusan dan kesenian hasil kerja tangan si
pengukir. Ternyata seni bina rumah itu menakjubkan. Ada perasan bahagia
disuntik ke dalam hati kecilnya.
“Assalammualaikum,”
ucap Wardah.
“Waalaikummussalam,”
jawab suara itu.
Wardi
muncul di hadapan pintu.
Wardi dan
Wardah jarak umur mereka hanya dua tahun. Pernah sekali orang menganggap mereka
seperti kembar kerana keakraban mereka dan nama mereka. Lagi pula, mereka hanya
dua beradik.
“La…adik
busuk abang seorang ni rupanya. Ayah dengan ibu bising. Tak henti-henti tanya
dengan abang bila adik nak sampai.”
“Kalau
tak takkan lambat. Tapi ada orang tu muntah-muntah tiga kali kat dalam
perjalanan,” ucap Wardah sambil menjeling ke arah Zulqarnain.
“Tak
apalah. Lagipun abang tak adalah risau sangat. Siapalah yang berani kacau adik
abang ni kan? Cuma ibu dengan ayah risau sebab adik kan tengah darah manis ni.”
“Ayah
dengan ibu mana?”
“Ayah
tengah mandi. Ibu apa lagi, tengah kat dapur. Sibuk nak masak lauk kegemaran
adik. Asam pedas ikan parang yang banyak tulang tu.”
Wardi
perasan akan kehadiran Zulqarnain yang berada di situ.
“Ni
siapa pula yang adik bawa ni? Abang macam pernah nampak dia tapi kat mana ya?”
“Oh..lupa
pula. Ni bos adik, Jebat Zulqarnain.”
“Jebat
Zulqarnain anak Dato’ Mahmood tu? Yang masuk dalam majalah Bisnes tu? Salah
seorang pewaris Taming Sari Berhad, salah satu syarikat pereka hiasan dalaman
yang terbaik kat Malaysia ni? Betul ke?” soal Wardi bertubi-tubi untuk
mendapatkan kepastian.
“Ya.
Kan dulu adik ada cakap dengan abang yang adik jadi pengawal peribadi dia.”
“Itu
abang tahu tapi tak sangka pula dapat jumpa dengan dia.”
Wardah
menggelengkan kepala. Sememangnya Wardi mengagumi kerjaya Dato’ Mahmood dan
keluarganya. Wardi bekerja sebagai arkitek di salah sebuah firma arkitek di
Bandar Melaka.
“Nine,
ni abang saya Harun Wardi,” ucap Wardah.
Wardi
dan Zulqarnain saling bersalaman.
“Awak
dengan abang awak ni kembar ke? Nama dan muka awak berdua hampir sama. Seorang
Harun Wardi dan seorang lagi Harum Wardah.”
“Tak
adalah. Saya dengan abang saya ni beza dua tahun. Memang itu pandangan orang
bila dengar nama kita orang.
“Unik
nama tu. Jarang dapat jumpa.”
“Apa
kurangnya nama Encik Nine. Jebat Zulqarnain. Nama pahlawan gah. Panggil saya Wardi.
Encik Nine sihat?”
“Nine.
Eh, tak perlu encik kat depan tu. Panggil Nine aje.”
“Saya
berbesar hati sebab Nine sudi datang ke rumah kami. Dah macam zaman kesultanan
Melayu Melaka pula. Jebat bertandang ke Melaka.”
“This is great and awesome. Rumah awak ni
memang macam istana. Susah nak jumpa rumah yang penuh dengan kesenian macam
ni.”
“Abang
dengar tu? Bukan senang nak dapat pujian daripada graduan universiti dari Italy
ni.”
“Wah…banyak
benda kita boleh bincang ni. Mari masuk. Lagipun dah nak maghrib ni. Nine boleh
bersihkan diri dulu sebelum kita solat maghrib berjemaah nanti.”
Zulqarnain
membeliakkan matanya. Wardah sudah tersenyum. Dia dapat mengagak mengapa
sebegitu reaksi Zulqarnain.
--------------------------------
Berkerut-kerut dahi
Zulqarnain apabila melihat semangkuk hidangan lauk itu di atas meja makan.
Deria hidunya dapat menangkap bau sedikit masam pada lauk tersebut.
“Apa lagi Nine,
ceduklah lauk tu. jangan malu-malu. Lauk ni aje yang ada. Wardah pun tak cakap
dengan pak cik yang dia datang bawa tetamu. Bukan tetamu biasa pula tu,” ujar
Hasyim.
“Ayah, Nine ni tak
biasa sangat makan lauk kampung macam ni. Lidah dia tu lidah Italy. Maklumlah
dah duduk sana tiga tahun lebih.”
“Ish…adik ni tak sudah
menyakat orang. Dah nak kahwin pun tak lama lagi, tapi suka mengusik orang.
Kita orang Melayu walau kat mana sekalipun kita berada, kita tetap orang
Melayu. Kita membawa adat dan budaya Melayu. Biarlah kaki kita ni jejak kat
mana jua di bumi ni, asalkan kita tak lupa asal usul kita. Kita kena bangga
sebab masa zaman dulu, semua orang yang nak datang berdagang ke Melaka kena
tahu cakap Melayu termasuklah orang Inggeris mahupun Eropah. Betul kan Nine?”
Zulqarnain menyengih.
Tiba-tiba dia merasakan kata-kata ayah Wardah itu seperti terkena pada batang
hidungnya sendiri.
“Abangnya,
sudah-sudahlah tu cerita pasal zaman Melaka. Budak-budak ni nak makan. Maaflah
ya Nine. Pak cik kamu ni memang macam tu. Bila sebut aje Melayu, semangat Hang
Tuah dia tiba-tiba sampai,” ucap ibu Wardah, Wadihah.
“Tak apa mak cik. Saya
seronok dengar cerita pak cik tu.”
Tangan Zulqarnain
selesai mencedok kuah asam pedas. Sampai ke saat ini Zulqarnain tertanya-tanya
apakah hidangan berwarna ala-ala coklat merah jambu itu.
“Nine, kenapa tak cedok
cencaluk kat depan mata tu? Sedap tau. Nine tak pernah makan ke?” soal Wardi
apabila melihat Zulqarnain hanya mengambil lauk asam pedas sahaja.
La….cencaluk rupanya.
Aku ingat apalah tadi. Pernah dengar tapi tak pernah makan pun. Desis hati
Zulqarnain.
“Saya tak pernah makan. Dari kecil keluarga
saya tak pernah masak lauk ni.”
“Ish…kena cuba. Rugi
kalau sampai Melaka tak makan lauk cencaluk tu. Ni salah satu identiti kat
sini. Cencaluk paling sedap kat sinilah. Nine kena rasa.” pinta Wadihah.
“Eh, tak apalah mak
cik. Lauk asam pedas ni pun dah sedap dah.”
“Kamu kena rasa.
Cencaluk yang mak cik kamu masak ni sedap. Biasanya orang cuma bubuh air limau
dengan cili padi aje. Tapi mak cik kamu ni tumis, masak kat dalam kuali. Letak
bawang besar, lepas tu cili padi lebih sikit kemudian perah limau. Pak cik
kalau makan ni memang dah tak toleh kiri kanan,” ucap Hasyim pula.
“Ohh..patutlah bau
macam ada masam-masam sikit. Letak limau rupanya.”
“Bukan sebab limau aje,
cencaluk ni ada proses perap dalam 4,5 hari. Sebab tu bau dia masam sikit. Ha..cakap
pasal limau ni, pak cik nak kongsi cerita macam mana Merlimau ni dapat nama.”
“Ayah, cerita tu dah
banyak kali adik dengar. Adik sampai dah boleh hafal,” kata Wardah.
“Itu ayah cerita dengan
kau orang adik beradik. Sekarang ni ayah nak cerita dengan Nine pula.”
Siku Wardi sudah pun
menyenggol siku Wardah. Mereka adik beradik saling menggelengkan kepala sambil
tersenyum. Begitulah sifat ayah mereka. Hasyim sememangnya penuh dengan semangat
Melayu di dada. Dia gemar berkongsi cerita tentang sejarah dengan anak-anak
muda kerana dia mahu generasi muda ini tahu asal-usul bangsa sendiri supaya
kita tidak mudah lupa.
“Saya tak tahu pula ada
cerita di sebalik nama Merlimau ni. Tak sangka ada kisah rupanya.”
“Ada, semua tempat ada
kisah dan sejarahnya tersendiri. Sama macam Merlimau. Menurut cerita orang, ada
dua versi sejarah tempat ni.”
Hasyim menyuap sedikit
nasi bersama cencalok. Setelah selesaikan kunyahan, Hasyim menelan perlahan
lalu menyambung semula ceritanya.
“Masyarakat
Melayu dulu seperti yang kita tahu mahir bersilat dan menggunakan keris sebagai
senjata mempertahankan diri. Untuk memelihara ketajaman dan identiti keris itu terdapat
satu upacara yang dipanggil Melimau Keris yang diadakan setiap malam Jumaat.
Bila orang tanya nak buat apa dengan keris tu, penuntut silat ni akan jawab ‘hendak
melimau’, ‘hendak melimau’ dan akhirnya tempat ini dinamakan Merlimau.”
Jelas
kelihatan bersungguh-sungguh Hasyim bercerita akan hal tersebut.
“Macam tu
rupanya. Patutlah orang Melaka ni pandai bersilat sebab memang asal usulnya
begitu. Cerita yang satu lagi macam mana pula pak cik?”
Pandangan
Zulqarnain sempat ke arah Wardah. Zulqarnain mendengar dengan penuh minat.
“Satu lagi
cerita macam ni. Ada seorang pembesar Bugis yang bernama Datuk Kaya Makmun yang
berhijrah ke Melaka. Bila dah sampai kat sini, Datuk Kaya Makmun pun bukalah satu
kawasan penempatan. Asalnya hutan belantara yang besar dan tebal serta banyak binatang
buas terutama harimau. Datuk Kaya Makmun telah mengarahkan orang suruhannya
membuat pagar untuk menahan ancaman dan serangan harimau. Bahasa zaman dulu
sebut bahaya ialah mara dan harimau jadi rimau. Jadi, Datuk Kaya Makmun tu
cakap, tahan mara rimau, tahan mara rimau dan akhirnya jadilah Merlimau. Macam
itulah ceritanya.”
Timbul rasa kasihan di
hati Wardah kerana terpaksa melayan karenah ayahnya. Tetapi jauh di dasar
hatinya mengatakan ada eloknya Zulqarnain mendengar cerita daripada orang tua
itu. Biar ada perubahan terhadap gaya, pemikiran serta hidup lelaki itu.
“Sekarang ni barulah
saya faham kenapa orang Melaka ni pandai bersilat dan garang-garang orangnya.”
Wardah merasakan
Zulqarnain seperti berbicara akan dirinya.
“Mana ada garang. Yang
garang Wardah seorang aje.”
“Ayah, mana ada adik
garang.”
Wardi sudah pun
tersenyum apabila melihat ayahnya mengenakan adiknya.
“Sudah abang. Makan
nasi tu. Kalau abang dah bercerita, orang lain memang tak dapat makan. Lepas
makan nanti, abang boleh sambung cerita kat ruang tamu sana,” kata Wadihah.
“Yalah-yalah. Awak ni
langsung tak bagi peluang kat saya. Saya dah lama tak bercerita ni.”
“Sudah Nine, makan ni.”
Tangan Wadihah
mencedokkan sesudu cencaluk ke pinggan Zulqarnain.
“Mak cik, tak apa.
Kalau saya nak, nanti saya ambil.”
“Rasa dulu. Ni mesti
takut nak makan ni.”
Zulqarnain tersenyum
kelat. Entah apa rasa lauk itu pada tekaknya nanti. Zulqarnain mengambil
secubit lalu digaul perlahan bersama dengan gumpalan nasi. Perlahan-lahan
Zulqarnain memasukkan campuran itu ke dalam mulutnya. Giginya mengunyah sambil
lidahnya cuba mengamati rasa makanan tersebut. Rasa masin, masam, lemak udang
dan pedas semuanya menjadi satu. Agak aneh rasa itu untuk Zulqarnain. Wajahnya
mempamerkan pelik namun bibirnya mengukir senyuman.
“Sedap kan?” soal Wardi.
“Rasanya semua
bercampur tapi saya terasa lemak udang dan campuran rasa masam tu ada rasa yang
unik. Boleh tahan.”
Zulqarnain memberikan
komen umpama juri dalam rancangan masakan.
“Lagi terasa sedap bila
makan dengan nasi panas ni. Tapi terasa pedas sikit,” sambung Zulqarnain lagi.
“Kan, pak cik dah
cakap. Memang sedap.”
Tanpa disuruh, tangan
Zulqarnain laju mencedok lagi sesudu cencaluk ke pinggannya.
hahahha..mamat keju dah pandai makan cencaluk...hehe..suka..suka..patotlah sis NA cop awal2 si mr.9 ni...hehehe
ReplyDelete