Stylo Clique ^_^

Friday, July 3, 2015

Keris Di Venice - Bab 4



NADHRAH menekup mukanya sendiri. Wajah itu tidak semena-mena terasa panas, umpama terkena bahang matahari. Malu pun ada. Tidak tahu mahu disorokkan ke mana wajahnya itu. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia bekerja separuh hari.
“Ya Allah, macam mana aku nak mengadap muka dia lepas ni?”
Tanpa Nadhrah sedari, ada seseorang sedang menghampiri.
“Haaa!” jerit Nazri dari arah belakang. Dia mahu mengusik Nadhrah yang sedang berbicara sendiri itu. Nadhrah tersentak. Mukanya terkejut. Seram sejuk pula tengkuk gadis itu tatkala disergah oleh Nazri.
“Kenapa dengan kau, Cik Salmah? Nampak hantu mat salih ke?” soal Nazri dengan gaya lembutnya.
“Kau datang awal pula hari ni, Encik Ramlee?”
“Hari ni kelas aku habis awal. Pensyarah aku pergi seminar katanya. Oleh itu, haruslah Encik Ramlee ni datang kerja dengan lebih awal. Muka apasal merah padam ni?”
“Ha?”
“Aku tanya kenapa muka tu merah padam? Kau pakai blusher satu muka ke? Kau belajar kat Youtube?” usik Nazri sambil jarinya menyentuh pipi Nadhrah.  
“Naz…”
Nadhrah ketara risau.
“Panas ke? Sekarang akhir bulan April. Musim panas kat Venice ni belum lagi rasanya. Ke ada sesuatu yang lebih panas daripada karipap Mak Cik Timah yang ada kat kaunter ni?”
“Naz, aku malu gila hari ni.”
“Nak malu apanya, Cik Mah? Kau pakai baju, bukannya tak pakai baju.”
“Encik Imran Nazri bin Muhamad Ruslan,” panggil Nadhrah dengan serius.
“Alamak! Tatkala Cik Keris Nadhrah Sari sudah sebut nama hamba dengan penuh siap berbin ni, mestilah kes serius, kan? Ampunkan patik yang bergaya lagi bijaksana ini. Janganlah dihunus patik dengan Keris Taming Sari. Silap-silap darah putih susu mengalir kat Grand Canal tu. Ada gosip baru ke? Kau buat apa aje, Cik Mah?”


Sila bayangkan yang kat dalam kaca tu, semuanya karipap ya. Inilah imaginasi kaunter
Bistro Karipap La Timah. Tapi ni besar sgt. Lebih kurang macam nilah. :)



BIBIR Nadhrah mengukir senyuman kepada pelanggan yang berada di kaunter. Tangannya menghulurkan baki wang kepada pelanggan wanita yang berada di hadapan.
Grazie. Terima kasih. Datang lagi,” ucap Nadhrah kepada wanita warganegara Itali itu. Sudah berapa kali dia melihat wanita itu berkunjung ke Bistro Karipap La Timah. Wanita itu menundukkan kepalanya sedikit sambil tersenyum.
Sebaik sahaja wanita tersebut beredar, Nadhrah terus mengambil pesanan untuk pelanggan seterusnya. Qadheer Alauddin memerhatikan segala tingkah laku gadis itu dari ruang kecil yang saiznya memuatkan satu daun pintu antara kaunter dan bahagian dapur. Nadhrah kelihatan ceria dan peramah ketika berhadapan dengan pelanggan. Bibir itu juga petah berbicara.
Entah mengapa, Nadhrah seperti tidak selesa. Dia dapat merasakan ada seseorang berada di belakang. Selesai sahaja memenuhi permintaan pelanggan yang datang, Nadhrah menoleh ke kiri dan ternyata jangkaan gadis itu benar sama sekali. Mata Qadheer Alauddin tidak berkedip memandang dirinya.
Eh, mamat ni kenapa berdiri kat situ aje? Dah dapat kerja ke? soal Nadhrah di dalam hati.
Nadhrah cuba menguntum senyuman walaupun tidak pasti lelaki tersebut mahu membalas ataupun tidak. Reaksi wajahnya diukir dengan muka ingin tahu. Nadhrah menunjukkan tanda ibu jari sambil mulutnya bergerak tanpa bersuara bertanyakan sesuatu.
Ok ke?
Qadheer Alauddin dapat mengagak pergerakan bibir Nadhrah. Namun, dia tidak memberikan sebarang tindak balas.
Eh dia ni, menyombong lagi tak sudah. Takkanlah tak faham yang aku ni tanya dia dapat ke tak kerja tu? Tapi kan… apasal macam pernah nampak kelibat dia ni? Sekali lagi jiwa dalaman Nadhrah bersuara. Otaknya ligat memutarkan segala ingatan yang ada.
Dari bawah hingga ke atas Nadhrah memerhatikan penampilan Qadheer Alauddin. Lelaki itu memakai kemeja T lengan pendek jenama Polo berwarna merah dan putih beserta seluar jean biru gelap. Penglihatannya terhenti tatkala sampai berada di leher lelaki tersebut.
Headphone?



Bayangan pada fikiran Nadhrah seperti samar-samar. Kejadian pagi tadi menjelma umpama tayangan kabur.
“Nadh?” panggil Qash Alaisyah yang berada di sisi Qadheer Alauddin. Entah bila majikannya berada di situ pun dia tidak perasan.
“Ya Kak Syah,” sahut Nadhrah.
“Nadh sibuk ke kat kaunter?”
“Tak adalah kak. Kenapa ya?”
“Nadh ke sini kejap. Akak nak kenalkan dengan krew sementara kita kat bistro ni.”
Nadhrah menapak menuju ke arah Qash Alaisyah.
“Akak kenalkan pada Al, ni Keris Nadhrah Sari. Kita orang panggil dia Nadh. Nadh ni tugas dia kat kaunter dan penghantaran. Ada sorang lagi yang jaga bahagian kaunter merangkap kerja kat dapur. Tapi dia belah petang sikit baru ada, sebab dia kerja part time. Si Naz tu student U kat sini.”
Intonasi Qash Alaisyah agak berbeza apabila memperkenalkan nama panggilan Nadhrah kepada Qadheer Alauddin.
“Ya kak. Al faham.”
“Ok, bagus kalau faham. Dan Nadh, ni Qadheer Alauddin. Kita orang satu keluarga panggil dia Al.”
Air liur yang berada ditekak ditelan kelat. Nadhrah mula tidak tentu arah.
“Satu keluarga? Maksud akak?”
“Yalah. Keluarga akak. Al ni adik akak. Dia arkitek kat Melaka. Al akan duduk kat Venice ni lebih kurang sebulan sebab dia nak bercuti katanya. Sementara kita tak dapat orang lagi untuk pembantu dapur, Al kata dia nak tolong akak kat bistro ni.”
Bulat anak mata hitam Nadhrah semakin membesar. Bukaan penglihatan gadis itu juga menjadi lebih luas. Ketara benar dia terkejut. Raut muka Nadhrah tidak menentu. Dahinya sudah mula berpeluh.
Ya Allah… Nadh, kau hembus hentam aje cakap mamat ni nak datang interviu? Padahal adik bos. Nak aje aku uli muka kau ni Nadh macam tepung karipap tu. Biar jadi leper, senang sikit nak sorok kat celah almari yang ada. Nadhrah merungut sendiri.
“Nadh?” panggil Qash Alaisyah.
Nadhrah membatukan diri. Mukanya merona merah.
“Nadh, okey ke tak ni?”
Tangan Qash Alaisyah menyentuh lengan Nadhrah.
“Ha? Apa dia kak?”
“Nadh okey ke tak ni? Ada masalah?”
Belum sempat Nadhrah membalas pertanyaan Qash Alaisyah, suara Yusuf Mikhail kedengaran dari arah belakang.
“Syah, boleh tolong abang sekejap tak?”
“Ya bang, Syah datang ni. Kau orang berdua kenal-kenal sendiri. Akak nak pergi belakang, tengok Abang Yusuf kau orang tu.”
Pandangan mata Qadheer Alauddin dan Nadhrah bertaut.
“Ya kak. Tak ada masalah rasanya. Nadh memang harap tak ada masalah lepas ni,” ucap Nadhrah sebaik sahaja Qash Alaisyah beredar. Nadhrah mengerdipkan matanya berulang kali. Dia mahu menyembunyikan perasaan malu daripada lelaki yang sedang berdiri di hadapannya itu. Nadhrah menyengih lalu perlahan-lahan mengundurkan langkah. Dia berpaling daripada Qadheer Alauddin tetapi lelaki itu pula bersuara.
“Awak ada buat salah dengan saya ke?”
Dia berdiri memeluk tubuh lalu dia bersandar pada dinding. Nadhrah membalas dengan menggeleng laju sebaik sahaja menatap lelaki itu semula.
“Agak-agak, awak pernah tak jumpa saya sebelum ni?”
Alamak! Ni soalan apa pula ni? Sejarah SPM ke?
“Encik Al pernah jumpa saya ke?”
“Awak rasa?”
Nadhrah menggaru-garu kepalanya. Nampaknya dia memang tidak boleh lari lagi.
“Pagi tadi, sebelum saya sampai sini, saya ada dapat pesanan daripada seseorang. Dia cakap, lain kali jangan pakai headphone kalau lalu kat lorong Venice ni.”
Nadhrah memejamkan mata. Tak sanggup rasanya mendengar ayat daripada mulut Qadheer Alauddin. Memang itulah ayat yang dia tuturkan. Tiada satu perkataan pun tertinggal.
“Hai, encik yang pakai headphone.”
“Awak… perempuan naik skateboad yang nyaris tumpahkan air kopi kat baju saya tadi, kan?” ucap Qadheer Alauddin berbau sindiran.
“Yang pasal pagi tadi tu…”
Qadheer Alauddin memberikan senyuman sinis.
“Dah pandai bagi pesanan, sekarang rasa bersalah pula?”
Nadhrah tidak meneruskan kata-katanya. Lelaki bertubuh sasa itu melangkah menuju ke belakang. Nadhrah memejamkan mata dan dalam masa yang sama dahinya berkerut. Beberapa detik kemudian tapak tangan Nadhrah menekap ke dahi, cuba menahan gejolak hatinya.
Lebih kurang begini saya bayangkan Bistro Karipap La Timah.
Kedai kecil, reka bentuk bangunan klasik, ada dinding kaca
& yg penting, lampu klasik yg melekat kat dinding tu.

“MACAM tu ke ceritanya? Patutlah masa aku nak masuk bistro ni terasa bahang. Umpama bahang asmara yang memanah ke dalam kalbu gitu.”
“Kau terkena bahang, aku ni yang kena panah dengan pandangan tajam dia. Memang sah dia marah kat aku. Dahlah terlanggar dia pagi tadi, lepas tu salah faham pula ingat dia datang nak cari kerja. Malu. Malu tahu tak?”
“Habis tu sekarang ni kau nak aku ambil rolling pin kat dapur tu, lenyek muka kau? Macam tu? Ni mesti Encik Headphone tu handsome. Kalau muka ala-ala Charlie Chaplin misai kontot tak adanya kau menggelabah macam ni, Cik Mah.”
“Kak Syah tu cantik, adik mestilah boleh tahan. Sekali imbas tengok macam pahlawan Roman yang berlawan kat Colosseum tu.”
“Ya Allah, mantapnya kalau dah stok macam tu, Nadh oi. Mahunya aku kerja kat Bistro Karipap La Timah ni dari siang sampai ke malam. 24 jam, 7 hari seminggu. Kalau gitu ceritanya, mana Encik Headphone tu sekarang ni?”
Kepala Nazri sekejap ke kiri sekejap ke kanan. Pandangannya melilau mencari kelibat Qadheer Alauddin.
“Kau jangan panggil dia Encik Headphone. Nama panggilan dia Al. Kena panggil dia Encik Al sebab dia adik bos.”
Qash Alaisyah menjengah ke kaunter tatkala mendengar suara Nazri.
“Kak Syah dah agak mesti budak ni dah sampai. Kalau tak, memang sunyilah bistro ni. Sampai awal pula Encik Ramlee hari ni?”
Cik Salmah dan Encik Ramlee, itulah tema perbualan Bistro Karipap La Timah. Nazri yang memulakan perbualan sebegitu. Gelaran itu diambil daripada filem lakonan P.Ramlee, Seniman Bujang Lapok. Kata Nazri, perbualan begitu untuk mengurangkan rasa rindu pada Malaysia. Akhirnya, semua ahli Bistro Karipap La Timah menggunakan panggilan tersebut.
“Kak Syah, hari ni Naz tak ada kelas. Pensyarah Naz pergi seminar. Tu yang datang awal hari ni.”
“Elok sangatlah tu. Akak nak kenalkan Naz dengan Al. Al, mari sini kejap.”
Nazri menyengih terhadap Nadhrah sambil mengangkat kening berulang kali. Langkau lima saat kemudian Qadheer Alauddin berdiri di sisi Qash Alaisyah.
“Al, ini akak kenalkan Imran Nazri. Kat sini semua orang panggil dia Naz. Dia nilah yang akak ceritakan kat Al tadi. Naz, ni adik akak, Qadheer Alauddin.”
“Hai Encik Al,” sapa Nazri dengan ceria dan teruja.
Dia menghulurkan salam dan lelaki itu juga membalas.
“Rumah yang Abang Yusuf sewakan untuk Naz tu, Al pun akan duduk sekali nanti. Al akan duduk situ lebih kurang sebulan. Dan kebetulan, Al, rumah tu berhadapan dengan rumah Nadh. Seberang jambatan aje. Biasanya Nadh dengan Naz akan balik kerja sama-sama. Jadi, nanti Al tak ada masalah. Yalah, Al kan tak biasa lagi kat Venice ni. Venice ni memang banyak sangat lorong. Kalau tak biasa boleh sesat.”
“Macam tu ke, Kak Syah? Boleh sangat. Pucuk dicita, pokok ulam dengan akak-akar sekali yang mendatang. Naz lagi suka. Tak adalah macam orang gila nyanyi sorang-sorang kat dalam rumah tu,” balas Nazri.
“Akak harap sangat kau orang bertiga boleh bekerjasama. Ada lagi satu benda akak nak beritahu. Hari ni kita tutup awal bistro. Lepas maghrib datang rumah akak. Akak ada buat makan malam sikit, sambut Al datang Venice.”
“Alhamdulillah. Mudah-mudahan makin luas rezeki Kak Syah sebab bagi makan free kat Naz. Kecil tapak tangan, gondola dengan pendayung gondola kat Grand Canal tu Naz tadahkan.”
“Amin… Baguslah kalau kau doakan akak macam tu. Lepas ni, akak, Abang Yusuf dengan Al nak balik dulu. Kau orang berdua jaga kedai ya.”
“Baik kak. Tak ada masalah,” balas Nadhrah.

No comments:

Post a Comment