BAB
9
“Bukan niat mengundang
bencana, hati tak rela kerana dipaksa.”
“Ayahanda tak boleh
buat keputusan ni sendiri. Ini soal kehidupan Nine. Nine tak setuju.”
“Ayahanda tak pernah
minta pendapat kau. Ini muktamad.”
“Again and again. Dato’ Mahmood nak tunjuk kuasa. Boleh tak dalam
satu hari ayahanda jangan jadi orang yang pentingkan diri sendiri? Cukuplah
satu hari Nine minta. Ayahanda dah melampau. Ayahanda buat keputusan ni tanpa
pengetahuan Nine.”
Wajah Dato’ Mahmood
sudah berubah. Pada mulanya dia gembira untuk menyampaikan berita itu kepada
Zulqarnain. Sememangnya dia mengharapkan Zulqarnain untuk menunaikan
permintaannya itu. Ikatan persaudaraan yang bakal terjalin nanti pastinya
menguntungkan kedua-dua belah pihak. Datuk Ramli juga seorang ahli perniaagaan
yang berjaya. Dia pengusaha perabot jati. Bekalan perabot yang bermutu pastinya
mudah dimiliki jika mendapat kerjasama daripada bakal besannya itu dan begitu
juga sebaliknya.
“Tak ada apa-apa
kerugian pun kalau Nine ikut cakap ayahanda. Ayahanda pasti ini adalah calon
isteri yang paling sesuai untuk Nine. Keluarga Datuk Ramli tu setaraf dengan
kita. Ayahanda tak nak orang sembarangan masuk dalam keluarga kita.”
“Ayahanda, ayahanda
jangan nak terperangkap dalam cerita Ibu Mertuaku boleh tak? Ayahanda nak cakap
pasal taraf? Ayahanda nak cakap soal orang sembarangan? Habis tu, Tria tu macam
mana pula? Setaraf ke dia dengan kita? Layak ke dia nak masuk keluarga kita?”
“Jebat Zulqarnain,
jangan kau nak hina Tria depan ayahanda. Dia tak ada kena mengena dengan hal
ni. Ayahanda tengah bincang soal masa depan kau. Kenapa kau nak libatkan dia?”
Suara Dato’ Mahmood
sudah meninggi. Hampir bergema ruangan bilik bacaan itu dibuatnya.
“Masa depan Nine?
Entah, Nine rasa ni bukan soal masa depan Nine. Ini soal masa depan ayahanda
dan Taming Sari Berhad rasanya. Nine dah ikut cakap ayahanda supaya masuk
Taming Sari Berhad. Ayahanda suruh Nine belajar jadi CEO, Nine cuba belajar
walaupun Nine tak suka. Nine dah ikut cakap ayahanda supaya tak jumpa abang
Indera. Sekarang ayahanda nak suruh Nine ikut cakap ayahanda supaya kahwin
dengan anak Datuk Ramli? This is too much.
Nine tak boleh nak tanggung lagi. Ayahanda tak boleh buat macam ni. Patutlah
abang Indera jadi biadap dengan ayahanda. Keluarga kita tak macam dulu pun
semuanya sebab ayahanda.”
“Kurang ajar.”
Dato’ Mahmood segera
memberi tamparan kepada Zulqarnain. Dia sama sekali tidak menyangka Zulqarnain
sanggup berkata sebegitu terhadap dirinya.
“Sepatutnya kau
letakkan kesemua kesalahan tu pada Indera. Bukan ayahanda. Aku ni bapa kandung
kau. Kau tahu tak? Aku tahu apa yang terbaik untuk anak-anak aku. Anak tak tahu
untung. Kalau Indera tak keluar daripada rumah ni, kau tak payah susah payah
nak jadi CEO Taming Sari Berhad. Kalau Indera tak melawan cakap aku, kau tak
payah kahwin dengan anak Datuk Ramli. Ayahanda pada mulanya nak jodohkan dengan
abang Indera kau tu tapi dia dah malukan aku. Tak ada satu keturunan aku pun
yang mengemis kat tepi jalan.”
Zulqarnain memandang
tajam ke arah Dato’ Mahmood. Bisa tamparan itu tidak sebisa hatinya. Zulqarnain
sudah tidak mahu berbalah dengan ayahnya. Kakinya segera mahu melangkah keluar
daripada bilik bacaan itu.
“Ingat Nine, ikan tak
akan mampu berenang dan hidup kalau tak ada air,” ucap Dato’ Mahmood. Nadanya
tegas. Zulqarnain cukup mengerti akan kata-kata Dato’ Mahmood itu. Tangannya
segera memulas tombol pintu itu.
--------------------------------
Mata Zulqarnain
memandang ke arah luar. Dia menyandarkan kepalanya ke kerusi belakang. Boleh
dikatakan malam tadi dia hanya melelapkan mata selama tiga jam sahaja. Peristiwa
malam kelmarin ketika di bilik bacaan seperti ulang tayang di mindanya. Untuk
pertama kalinya, malam itu adalah pertengkaran yang terbesar berlaku antara
Zulqarnain dan Dato’ Mahmood. Selama ini, jika Dato’ Mahmood meninggikan suara,
dia akan berdiam diri. Dia membiarkan sahaja Dato’ Mahmood memarahinya. Apabila
ayahnya sudah menyentuh soal kehidupannya, dia sudah hilang sabar.
Semakin dia cuba untuk
melupakan pertengkaran itu, semakin kuat suara Dato’ Mahmood bergema di setiap
ruang benan fikirannya. Untuk menghilangkan suara itu, Zulqarnain memesan
minuman keras daripada pihak hotel. Timbul rasa menyesal kerana meminum
melebihi had dirinya. Zulqarnain sendiri tidak pasti berapa gelas cecair itu
sudah masuk ke dalam badannya. Pagi itu dia merasakan dirinya seperti tidak
sihat. Hilang keseimbangan. Atas dasar itu jugalah Wardah menawarkan diri untuk
memandu keretanya.
Mereka berdua sedang
menuju Taming Sari Berhad setelah pergi ke rumah sewa milik Wardah. Wardah mahu
menukar persalinannya terlebih dahulu sebelum ke pejabat. Mujur persalinan
milik Zulqarnain berada di dalam kereta BMW itu. Sememangnya sudah menjadi
kebiasaan Zulqarnain yang mementingkan penampilan itu menyediakan baju lebih di
keretanya. Manalah tahu ada berlaku apa-apa kecemasan. Jika kotor ataupun
terkoyak pakaiannya, dia sudah menyediakan payung terlebih dahulu sebelum
hujan.
Zulqarnain terbatuk
kecil. Wardah segera memandang majikannya itu dari cermin pandang belakang.
“Encik Nine tak ada
apa-apa ke? Encik Nine nampak tak sihat.”
“Tak apa, saya okey.”
“Kalau Encik Nine nak
pergi klinik, kita boleh pergi dulu.”
“Wardah, saya tak ada
apa-apa. Lagipun saya ada temujanji dengan Encik Wafi. Saya tak nak Dato’
Mahmood bising-bising lagi dengan saya.”
Pandangan Wardah silih
berganti. Sekejap dia memandang ke arah jalan raya dan beberapa ketika kemudian
dia memandang Zulqarnain dari cermin itu. Wardah tahu Zulqarnain mabuk teruk
malam semalam. Dia dapat menghidu bau yang tidak menyenangkan itu.
Zulqarnain
memicit-micit kepalanya yang semakin sakit itu. Ketika itu dia seperti dalam
keadaan separuh sedar. Wardah segera mematikan enjin sebaik sahaja mereka tiba
di perkarangan tempat letak kereta Taming Sari Berhad. Wardah membuka pintu
tempat duduk Zulqarnain.
“Encik Nine,” panggil
Wardah.
Zulqarnain tersentak
lalu membuka kelopak matanya.
“Kita dah sampai. Encik
Nine nak saya panggilkan Haq ke?”
Zulqarnain segera
menggelengkan kepalanya. Kakinya sudah pun melangkah keluar. Raudhah berada
diperkarangan lobi bersama dengan Nina, pengawal
peribadinya. Nina adalah rakan sekerja kepada Raudhah dan mereka juga menyewa
di rumah yang sama.
“Abang Nine,” ucap
Raudhah.
“Kenapa Cik Raudhah?”
soal Nina
“Semalam abang Nine tak
balik rumah. Saya tak tahu dia tidur mana.”
“Semalam Wardhah pun
tak balik rumah juga. Dia ada hantar mesej kat saya tapi dia tak beritahu saya
pula dia tidur kat mana.”
Mereka berdua saling
berpandangan. Raudhah segera pergi ke arah mereka berdua.
Zulqarnain cuba
melangkah gagah. Sedaya upaya dia melawan kesakitan itu. Tidak sampai sepuluh
langkah, Zulqarnain seperti mahu rebah ke bumi namun Wardah sempat untuk
menyambut lelaki itu.
“Encik Nine tak sihat
ni. Semalam Encik Nine tak tidur ke?”
“Saya tak dapat tidur.”
“Sebab tu Encik Nine
mabuk semalam? Encik Nine, ini bukan caranya. Encik Nine sendiri tengokkan apa
akibatnya? Masalah tu hilang ke bila Encik Nine minum? Masalah tu tak hilang
kan? Tapi masalah lain pula yang timbul.”
“Awak tak payah nak
ceramah dengan saya. Cukup awak tu jadi pengawal peribadi saya.”
“Abang Nine, kenapa
ni?” soal Raudhah sebaik sahaja tiba di tempat mereka.
Tangan Raudhah segera
memaut lengan Zulqarnain. Dia membantu Wardah memapah abangnya sehingga ke
dalam bangunan.
“Raudhah buat apa kat
sini? Ayahanda mana?”
“Ayahanda tak ada kat
pejabat. Baru aje dia bertolak dengan aunty Tria. Ayahanda outstation kat
Pahang.”
Zulqarnain menarik
nafas lega tatkala mendengar kenyataan Raudhah. Mereka membawa Zulqarnain
sehingga ke tempat duduk yang berada di ruangan itu.
“Kak Wardah, kenapa
dengan abang Nine?” tanya Raudhah. Dia masih belum mendapat jawapan untuk
persoalannya itu.
“Abang tak ada
apa-apalah. Raudhah tak payah risau. Raudhah boleh pergi buat kerja.”
“Abang Nine, tak payah
nak tipu Raudhah. Raudhah bukannya budak kecil yang tak tahu bezakan gula
dengan gula-gula. Abang mabuk ya semalam sampai tak balik rumah?”
“Abang ada masalah.
Dah, Raudhah tak payah nak risau apa-apa. Abang tahu jaga diri sendiri.”
Raudhah segera
menggelengkan kepala. Ternyata berbeza sama sekali sifat antara Inderawan dan Zulqarnain.
Kalaulah Inderawan nampak apa yang berlaku terhadap Zulqarnain, pasti abangnya
itu naik angin. Inderawan sememangnya tegas akan hal tersebut. Gaya hidup
Zulqarnain sudah ke barat.
“Suka hati abanglah.
Bukannya tahu orang risaukan dia.”
Pada saat itu, Nina
segera menarik lengan Wardah. Jarak Nina dan Wardah sedikit jauh daripada dua
beradik itu.
“Semalam awak tidur kat
mana? Saya risau, awak tahu tak?”
“Saya tidur kat hotel.”
“Awak tidur kat hotel?
Dengan Encik Nine?”
“Sama hotel tapi lain
bilik. Semalam Encik Nine mabuk sampai dia gaduh kat kelab.”
“Gaduh kat kelab?”
Wardah mengangguk.
“Patutlah pipi dia
lebam. Nasib baik Dato’ Mahmood tak ada. Kalau dia nampak Encik Nine macam tu,
boleh runtuh bangunan ni. Habis tu, awak leraikan pergaduhan tu ke?”
“Dah tanggungjawab saya
kan?”
“Kak Nina, saya nak
naik pejabat. Sekejap lagi saya ada mesyuarat. Kak Nina tolong Kak Wardah
tengok-tengokkan abang saya ni. Degil sangat. Adik sendiri tanya pun tak nak
jawab.”
“Baik Cik Raudhah,”
balas Nina.
Raudhah segera menuju
ke lif yang kebetulan sedang terbuka.
“Nina, awak tolong
panggilkan Haq, PA Encik Nine. Saya dengar dia ada temujanji hari ni dengan CEO
Bina Kurnia Berhad.”
Nina mengangguk. Dia
segera beredar. Wardhah menuju ke tempat duduk Zulqarnain.
“Encik Nine pasti nak
jumpa dengan Encik Wafi hari ni? Apa kata Encik Nine tangguhkan dulu. Takkanlah
dengan keadaan Encik Nine yang tak stabil ni dengan lebam kat muka tu nak jumpa
dengan klien Taming Sari Berhad.”
“Lagi setengah jam saya
nak jumpa dia. Awak biarkan saya rehat sekejap.”
Zulqarnain segera
memejamkan matanya. Wardhah tidak mampu untuk berbuat apa-apa jika itu
keputusan Zulqarnain.
Raziq yang baru sahaja
pulang dari tempat projek terkejut melihat keadaan Zulqarnain.
“Wardah, apa dah jadi
ni?”
Sebaik sahaja mendengar
suara Raziq, Zulqarnain segera membuka mata lalu berdiri.
“Uncle, tak ada apa-apa. Cuma Nine tak sihat sikit aje.”
“Kalau tak sihat, pergi
klinik. Uncle tengok macm teruk aje
keadaan Nine ni. Kenapa muka tu lebam? Nine bergaduh ke?”
“Ni sikit aje uncle. Nine tak boleh pergi klinik.
Sekejap lagi Nine ada appointment
dengan Encik Wafi.”
“Wafi Azrel Shah? CEO Bina Kurnia Berhad? Klien tetap kita tu?”
“Wafi Azrel Shah? CEO Bina Kurnia Berhad? Klien tetap kita tu?”
“Ya uncle, sebab tu seboleh mungkin Nine
kena bertahan.”
Akal Raziq terus mengatur
strategi. Ini peluang keemasan yang perlu diambil untuk mengeruhkan lagi
keadaan. Dia mahu mengambil kesempatan di atas kesempitan Zulqarnain ketika
ini.
“Uncle rasa macam nilah. Apa kata Nine rehat kat rumah. Soal Encik
Wafi tu, biar uncle tolong uruskan.”
“Uncle, Nine tahu niat uncle
nak tolong. Tapi Nine tak nak ayahanda bising. Nine dah tak larat nak gaduh
dengan ayahanda.”
“Nine, hari kan
ayahanda Nine tak ada. Biar uncle
jumpa dengan Encik Wafi tu. Uncle
akan rahsiakan perkara ni. Uncle pun
dah anggap Nine macam anak uncle sendiri. Apa sahaja keputusan, uncle akan laporkan kepada Nine. Uncle
tak sanggup nak tengok Nine dalam keadaan macam ni.”
“Tapi….”
“Tak ada tapi-tapi.
Semua bahan ada kan? Tak apa, nanti uncle
minta dengan Haq. Sekarang, apa yang lebih penting Nine rehat.”
“Terima kasih Uncle Raziq. Nine sebenarnya tak larat
juga ni. Sekejap lagi Haq turun, Nine akan suruh kasi maklumat tu pada uncle.”
“Good. Uncle naik dulu. Uncle tunggu
Haq kat atas.”
Zulqarnain
menghembuskan nafas lega. Dia segera melonggarkan tali lehernya.
No comments:
Post a Comment