Stylo Clique ^_^

Wednesday, September 18, 2013

Encik Pendekar & Mr.Keju - Bab 10

BAB 10

“Diam ini umpama dendam. Biar di luah agar tiada lagi yang terpendam.”


Wardah sedang menonton televisyen ketika itu. Terasa lega dapat berehat pada malam itu selepas lebih 24 jam bekerja. Mata Wardah fokus terhadap siaran berita itu, namun telinganya tidak mendengar berita yang disampaikan oleh penyampai berita itu. Fikirannya melayang memikirkan lelaki itu. Setelah menghabiskan masa bersama Zulqarnain, dia dapat melihat lelaki itu pada sisi yang lain. Seolah-olah ada personaliti pada Zulqarnain yang mampu menarik hatinya.




“Amboi, termenung jauh nampaknya Cik Wardah kita ni.”

Nina menghulurkan secawan teh panas kepada Wardah. Wardah tersenyum lalu mengambl cawan itu daripada tangan Nina. Nina segera menghenyakkan tubuhnya ke sofa itu.

“Awak fikir pasal siapa? Tersenyum-senyum saya tengok. Nak kata berita kat tv tu kelakar, tak juga.”
“Saya mana ada fikir siapa-siapa. Kan saya tengah tengok berita tu.”

Wardah segera menghirup air teh itu.

“Yalah tu. Saya tahu awak tengah fikir pasal seseorang ni.”

Akhirnya Wardah mengalah. Hatinya terdetik untuk berkongsi dengan rakannya itu.
“Saya tengah fikir pasal bos saya tu.”
“Bos? Dato’ Mahmood ke Encik Nine?”
“Encik Nine lah. Buat apa saya nak fikir pasal Dato’ Mahmood. Dah tentu-tentu saya kerja dengan Encik Nine kan?”
“Ni mesti kes sebab dah terlebih luangkan masa bersama sampai tidur kat hotel. Tu yang jadi macam ni.”
“Nina, ayat awak tu tolong betulkan sikit. Kalau orang dengar boleh salah faham. Tidur hotel yang sama tapi berlainan bilik ya. Saya ni masih lagi perempuan Melayu yang tahu batasan agama, adat dan budaya.”

Wardah sempat mencubit kecil paha Nina.

“Okey..okey..saya minta maaf ya. Saya bergurau ajelah. Sakitlah awak cubit.”
“Tahu pun sakit ya.”
“Tapi saya agak pelik ni. Bukannya awak cakap Encik Nine tu kaki perempuanlah, kaki minumlah, kaki kelablah, kaki disko, kasanova seantero Malaya. Lepas tu mamat tu perasan mat saleh Italy. Kenapa tiba-tiba boleh fikir pasal dia ni?”

Nina segera meletakkan tangannya di dahi Wardah.

“Saya tak demamlah. Entah, saya rasa di sebalik Zulqarnain tu, ada sifat Jebatnya. Saya dapat rasakan dia seorang yang bertanggungjawab. Tahu apa yang dia sedang lakukan tapi tetap degil. Dia tu memang suka hati aje nak buat apa.”

Sifat-sifat itu dapat dilihat tatkala Zulqarnain bersungguh benar mahu melaksanakan tugasnya walaupun dirinya tidak sihat.

“Lagi? Saya rasa ada benda lagi awak nak cakap pasal Encik Nine ni.”
“Tapi saya rasa dia kekurangan kasih sayang. Dia macam perlukan perhatian walaupun memang selama ni dia pergi mana-mana pun memang dia yang jadi perhatian. Maksud saya, perhatian dari dalam. Saya macam dapat rasakan yang Encik Nine tu ada masalah tapi dia seorang saja yang pendam perasaan tu. Dia cuba berlagak tenang, macam tak ada apa-apa berlaku tapi dia cuba sembunyikan semua tu dengan sifat kasanova dia.”

Nina merenung lama tatkala Wardah menerangkan akan keadaan Zulqarnain. Nina dapat merasakan Wardah seperti sudah mengenali Zulqarnain.

“Amboi….dalam masa dua hari dah mampu mengubah perkara negatif menjadi positif?”
“Tak adalah. Saya dapat rasakan yang dia sedang menanggung sesuatu.”
“Sebenarnya saya ada tahu juga sikit-sikit cerita pasal keluarga Dato’ Mahmood ni. Yalah, saya bukannya setakat pengawal peribadi Raudhah tapi merangkap PA dia. Banyak kali dia beritahu saya yang alangkah baiknya jika abang sulung dia kembali semula.”
“Abang sulung? Maksudnya Encik Nine ada abang?”



“Mestilah. Kalau dah ada Jebat, tak kan tak ada Tuah kan? Tuan muda sulung kita tu namanya Tuah Inderawan. Dulu dia CEO Taming Sari Berhad. Tapi sejak Dato’ Mahmood kahwin dengan isteri ketiga ni, anak sulung dia terus keluar daripada rumah. Saya rasa awak pun tahu kan perangai Dato’ Mahmood tu macam mana. Dia pun kaki perempuan juga. Bila Dato’ Mahmood dah buat keputusan untuk kahwin dengan perempuan yang sama baya dengan umur anak dia, Inderawan tak boleh terima. Yang lebih teruk lagi, Dato’ Mahmood ceraikan isteri pertama dia.”
“Isteri ketiga tu sama baya macam umur kita? Bila ada isteri ketiga, maknanya ada isteri kedua kan? Isteri kedua Dato’ Mahmood pula macam mana?”
“Dah meninggal enam tahun lepas. Sebab ada sakit asma rasanya. Dato’ Mahmood kahwin dengan isteri kedua sebab isteri pertama dia tak mampu untuk bagi zuriat lagi selepas lahirkan seorang anak.”
“Maksud awak, Tuah Inderawan adalah abang tiri kepada Jebat Zulqarnain?”
“Ya. Mereka semua ada lima adik-beradik. Kebetulan kan? Macam zaman kesultanan Melayu Melaka dulu. Kasturi Raudhah anak ketiga. Yang keempat dan kelima kembar. Lekiu Naqiuddin dengan Lekir Noor Syaqir. Menurut Raudhah lagi, tak ada istilah tiri dalam kamus kehidupan dia orang. Dia orang semua dah anggap Tuah Inderawan tu adalah abang sulung keluarga tu dan Jebat Zulqarnain adalah abang kedua.”

Wardah seperti terkesima seketika apabila mendengar cerita Nina. Dia terkejut. Sama sekali tidak menyangka sebegitu besar sekali masalah keluarga Zulqarnain. Luaran, segala-galanya nampak sempurna. Dalaman, sebaliknya. Allah itu Maha Adil. Jika ada terlebih bahagian ini, pasti ada kurang di bahagian yang lain. Tiada siapa yang sempurna di dunia ini melainkan Dia.

“Wardah,” panggil Nina.
“Ya, kenapa?”
“Awak fikir apa lagi?”
“Tak. Saya tak sangka jalan cerita keluarga Encik Nine sampai macam tu sekali. Nampak sahaja air laut itu biru, tapi sebenarnya tak kan? Tiba-tiba rasa simpati pula kat Encik Nine tu. Dia cuba untuk mencari sesuatu tapi tak jumpa.”
“Simpati? Bahaya ni bila dah simpati. Mula-mula memang simpati lepas tu terjatuh hati. Ha…tak boleh jatuh hati. Awak tu dah nak kahwin. Kalau saya tak apalah. Handsome kan Encik Nine tu? Bahagianya kalau jadi pengawal peribadi dia.”
“Bahagia apanya. Nanti awak kena ikut dia pergi kelab. Tempat tu entah apa-apa. Awak lupa ke dia tu kaki kelab?”
“Ya, saya tahu. Tapi tak salahkan minat kat dia? Semangat sikit nak pergi kerja. Eh, cakap pasal awak nak kahwin ni, Encik Nine dah tahu ke awak nak berhenti kerja?”

Wardah hanya menjongketkan bahunya. Sudah tiga hari Wardah meletakkan surat itu di atas meja pejabat Zulqarnain. Dia sendiri tidak pasti sama ada Zulqarnain tahu atau pun tidak akan hal tersebut. Semuanya berlaku begitu pantas.

--------------------------------

“Bos, Dato’ Mahmood nak jumpa bos,” ucap Haqimi dalam keadaan gelabah.
Zulqarnain memerhatikan wajah pembantu peribadinya itu. Dia dapat melihat raut wajah itu seperti gelisah. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.
“Apasal ni Haq? Kenapa Dato’ Mahmood nak jumpa aku?”
“Dato’ Mahmood macam mengamuk pasal temujanji bos dengan Encik Wafi tiga hari lepas.”
“Kenapa? Bukannya Uncle Raziq cakap tak ada apa-apa masalah ke?”
“Masalahnya Dato’ Mahmood dah salah faham. Aku dah cakap dengan dia bukan bos yang tak nak pergi tapi bos tak sihat masa tu.”
“Kejap…kejap..apa dah jadi ni?”
“Encik Raziq cakap, bos sambil lewa buat kerja sampaikan temujanji yang sepatutnya bos pergi tu dia yang kena gantikan.”
What?!! Nonsense.”

Pensel yang dipegang dari tadi dicampak ke meja. Dia segera menuju ke lobi lif untuk turun ke tingkat dua, tempat terletaknya pejabat Dato’ Mahmood. Wardah yang berada di tempat duduknya terkejut keadaan Zulqarnain yang sepertinya meluru keluar.

“Encik Nine nak pergi mana?” soal Wardah tatkala melihat keadaan Zulqarnain.
Zulqarnain membiarkan sahaja soalan itu tanpa ada jawapan.
“Awak ikut aje. Saya takut bos kita tu buat sesuatu di luar jangkaan. Awak pun tahu kan bos kita tu macam mana?” balas Haqimi.

Tanpa berfikir panjang, Wardah segera mengangguk.

Entah mengapa dia merasakan pintu lif itu begitu lama untuk terbuka. Zulqarnain tidak mahu untuk terus menunggu lantas dia segera menuju ke tangga kecemasan dan melalui anak tangga itu. Haqimi dan Wardah menuruti langkah Zulqarnain. Sudah puas Haqimi menerangkan segala-galanya akan hal sebenar kepada Dato’ Mahmood tetapi kata-katanya langsung tidak diendahkan.

Zulqarnain sudah hilang sabar. Sudah menjadi pantang larang hidup Zulqarnain akan satu perkara itu. Dia akan cepat melenting jika dituduh melakukan sesuatu perkara sedangkan perkara itu langsung tidak pernah dilakukan olehnya. Dia mampu menanggung kesalahan itu jika benar dia melakukan perkara tersebut.

Sebaik sahaja tiba di pejabat ayahnya, tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu Zulqarnain meluru masuk.




“Kau dah tak reti nak ketuk pintu tu dulu?”
“Dato’ Mahmood sendiri cakap nak jumpa saya kan? Where is Uncle Raziq?”
Uncle Raziq sibuk. Kau ingat dia tu macam kau ke? Kerja sendiri suruh orang lain buat?”
“Nine tak pernah suruh dia buat kerja Nine. Uncle Raziq yang nak tolong Nine. Apa yang dia bentangkan masa hari tu adalah hasil kerja Nine. Ayahanda ingat Nine sengaja ke?”
“Ok, ayahanda nak tanya. Siapa yang jumpa dengan Wafi masa hari tu? Uncle Raziq ke Nine?”
“Ayahanda, masa tu memang bukan Nine yang jumpa dengan dia. Uncle Raziq yang jumpa. Masa tu Nine memang nak pergi tapi……”
“Dah, kau tak payah nak bagi penjelasan apa-apa. Memang dah terang-terang kau cakap uncle Raziq yang pergi kan? Bila masa nak pandai kalau kasi kerja kat orang lain? Sampai bila diri tu nak maju? Jangan ingat ayahanda tak tahu apa yang kau buat? Kau bukanya ambil tahu sangat pasal syarikat ni kan? Masuk pejabat lambat lepas tu entah pergi ke mana-mana.”
“Dato’ Mahmood, saya rasa ada salah faham kat sini. Encik Nine bukan macam yang Dato’ fikirkan.”
“Haq, just shut your mouth and listen. Tak ada apa-apa yang perlu dijelaskan lagi.”




Haqimi tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu Zulqarnain. Nampaknya pandangan Dato’ Mahmood sudah diselaputi dengan kenyataan Raziq. Sebenarnya, pada hari tersebut lagi Haqimi sudah merasa tidak sedap hati dengan tawaran Raziq. Akan tetapi dia tiada pilihan ketika itu. Zulqarnain benar-benar tidak sihat. Haqimi juga hanya bertindak mengikut arahan Zulqarnain.

 “Ayahanda bagi kau tanggungjawab ni supaya kau tahu macam mana cara orang bekerja. Tapi kau gunakan alasan budak-budak. Takkan Uncle Raziq tu nak menipu ayahanda? Dia dah lama kat dalam Taming Sari Berhad ni. Susah senang syarikat ni dia yang tolong. Kerja senang sikit macam tu pun kau tak boleh buat. Kau ambil kesempatan masa ayahanda tak ada kat pejabat. Jangan ingat ayahanda tak tahu, Nine. Ayahanda rasa bukan aunty Tria kau yang nak gula-gulakan ayahanda, tapi kau. Anak ayahanda sendiri.”

Jelas wajah Zulqarnian sedang menahan geram. Dia tidak menyangka begini jadinya.

“Ini semuanya berpunca daripada ayahanda. Nine tak akan mabuk teruk sampai diri sendiri tak sihat. Nine tak akan fikir semua masalah yang ada sekarang ni. Semua beban terpaksa Nine tanggung sekarang ni. Apa yang ayahanda tahu hanya memerintah dengan kuasa yang ada.”
“Berapa kali ayahanda nak cakap, semua ni berpunca daripada abang kesayangan kau tu. Kalau dia tak bertindak bodoh keluar daripada rumah, semua beban ni kau tak akan tanggung. Abang kau yang tak bertanggungjawab. Bangkang semua kehendak ayahanda. Masing-masing anak tak tahu dek untung.”
“Raja yang mementingkan diri sendiri, masih lagi nak mempersoalkan akan tanggungjawab?”
“Nine, jangan nak putar belitkan cerita. Walau apapun yang terjadi, kau kena ikut cakap ayahanda. Kau kena kahwin juga dengan anak Datuk Ramli tu. Ayahanda tak akan berganjak langsung dengan keputusan ayahanda ini walaupun seinci.”
“Baik. Kalau itulah apa yang ayahanda mahukan, Nine akan jadi lembu yang dicucuk hidungnya seperti kehendak ayahanda. Nine akan ikut apa sahaja kehendak ayahanda tanpa ada soal bicara. Hari ni Nine ditimbang tanpa ada neracanya. Masa depan Nine juga telah disimpulkan tanpa ada talinya. Tetapi ingat ayahanda. Kalau terus menerus sikap ayahanda macam ni, ayahanda bukan setakat akan hilang anak ayahanda tetapi ayahanda akan hilang segala-galanya. Jangan nanti sudah terhantuk baru nak terngadah.”

--------------------------------

Kaki kanan Zulqarnain laju menekan pedal minyak kereta miliknya itu. Wardah sempat mengerling ke arah meter. Jarum bacaan menunjukkan 120km/j. Zulqarnain sepertinya sedang melepaskan geram. Sepanjang perjalanan itu, Zulqarnain langsung tidak membuka mulut. Tatkala Wardah menaiki keretanya, dia juga tidak membantah. Mungkin dia tahu tugas Wardah terhadap keselamatan dirinya.




“Sepatutnya kau letakkan kesemua kesalahan tu pada Indera. Bukan ayahanda. Aku ni bapa kandung kau. Kau tahu tak? Aku tahu apa yang terbaik untuk anak-anak aku. Anak tak tahu untung. Kalau Indera tak keluar daripada rumah ni, kau tak payah susah payah nak jadi CEO Taming Sari Berhad. Kalau Indera tak melawan cakap aku, kau tak payah kahwin dengan anak Datuk Ramli. Ayahanda pada mulanya nak jodohkan dengan abang Indera kau tu tapi dia dah malukan aku. Tak ada satu keturunan aku pun yang mengemis kat tepi jalan.”

Sekali lagi suara Dato’ Mahmood berkemundang di telinganya. Ketika dan saat itu dia merasakan dirinya adalah mangsa keadaan. Ya, mangsa kepada dua insan itu. Dato’ Mahmood dan juga Inderawan. Kedua-duanya sama sahaja. Mementingkan diri sendiri!!
Wardah langsung tidak berani untuk bersuara. Selama ini Zulqarnain yang dia kenal adalah seorang periang dan bebas melakukan apa sahaja tanpa memikirkan apa akibatnya. Dan pada hari ini Zulqarnain seperti menjadi orang lain. Ada sesuatu yang selama ini dipendam, dan pada hari itu terpaksa diluahkan.

Pedal brek di tekan kuat sebaik sahaja tiba di Arked Jaya. Wardah sendiri tidak pasti mengapa Zulqarnain mahu berada di situ. Setelah keluar daripada kereta, mata Zulqarnain meliar mencari insan itu.

Berapa kali ayahanda nak cakap, semua ni berpunca daripada abang kesayangan kau tu. Kalau dia tak bertindak bodoh keluar daripada rumah, semua beban ni kau tak akan tanggung. Abang kau yang tak bertanggungjawab. Bangkang semua kehendak ayahanda. Masing-masing anak tak tahu dek untung.”

Hati, perasaan serta jiwanya semakin kuat memberontak. Nalurinya seperti sudah termakan hasutan itu. Gerak hatinya juga bersetuju dengan kata-kata ayahnya.
Tangan Inderawan leka bergerak di atas kanvas. Terdetik di hatinya untuk beralih pandangan. Dia menoleh ke arah kirinya. Dahi Inderawan seperti berkerut memerhatikan lelaki itu dari jauh. Persis adiknya. Semakin lama diperhatikan, memang sudah nyata lelaki yang sedang menuju ke arahnya itu adalah Zulqarnain.

“Nine.”

Inderawan bingkas berdiri sebaik sahaja Zulqarnain tiba. Nafas Zulqarnain menjadi turun naik. Semakin meluap-luap api kemarahannya. Zulqarnain segera merentap baju Inderawan dan memaksa tubuh Inderawan ke dinding. Dengan kekuatan yang ada, Zulqarnain telah menyesakkan nafas Inderawan.

“Nine, kenapa ni?”

Inderawan tersentak dengan perlakuan Zulqarnain.

“Encik Nine!!” jerit Wardah.

Zulqarnain tidak mempedulikan jeritan Wardah.

“Apa yang dah berlaku selama ni sudah cukup memedihkan hati Nine, abang. Kenapa abang biarkan Nine tanggung semuanya? Kenapa?!!”

Suara Zulqarnain membuatkan orang yang lalu lalang di situ terhenti seketika. Semua mata tertumpu kepada mereka. Amsyar yang sedang melayan pelanggan juga terkejut dengan suara itu. Entah apa yang merasuk ke dalam hatinya, Zulqarnain memberikan satu tumbukan ke pipi Inderawan. Inderawan tercampak dari kedudukannya.

“Abang Indera senang lenang jadi pengemis kat tepi jalan ni. Tapi Nine yang kena tanggung semuanya. Duduk kat bangunan yang menyemakkan kepala tu tapi abang rasa bahagia mnghirup udara kat ruangan terbuka ni.”

Zulqarnain memaksa Inderawan bangun. Sekali lagi Zulqarnain memberikan tumbukan tepat ke Inderawan. Cecair merah itu mengalir.

“Wan!!!” jerit Amsyar.

Dia mahu membantu Inderawan meskipun dia tidak pasti apa yang sedang berlaku.

“Kau jangan masuk campur. Ini urusan aku dengan dia,” arah Zulqarnain sambil matanya merenung tajam ke mata Amsyar.
“Am, ini urusan keluarga aku. Biar aku uruskan,” pinta Inderawan. Dia kelihatan seperti rela diperlakukan sebegitu oleh adiknya.

Amsyar terkejut apabila melihat wajah Zulqarnain. Dia seperti pernah melihat wajah itu sebelum ni. Dan akhirnya otaknya memaparkan muka depan majalah itu. Tangan Amsyar segera menggapai majalah Bisnes keluaran terbaru di gerainya. Muka hadapan itu memaparkan wajah Dato’ Mahmood bersama dengan anaknya, Jebat Zulqarnain. Berulang kali pandangan Amsyar bersilih ganti. Dia merasakan orang yang sedang memukul Inderawan adalah orang yang sama berada di majalah itu. Yang menjadi tanda tanya di fikirannya ketika ini ialah apakah hubungan pelukis jalanan dengan anak kepada tokoh perniagaan yang berjaya itu?

Semakin sakit hati Zulqarnain apabila melihat reaksi Inderawan yang tidak mahu memberikan sebarang tindak balas.

“Kenapa abang Indera diam? Pukul balik Nine. Kenapa abang Indera tak nak lawan? Pukul Nine!!”
“Abang tak mahu mengulang semula pertarungan antara Tuah dan Jebat. Kelak kita sendiri yang akan merana, Nine.”
“Abang, Jebat sudah cukup merana akibat perbuatan Tuah. Kenapa Nine kena pikul semua tanggungjawab abang? Kadang-kadang sejarah perlu diulang untuk menyedarkan keadaan. Bangun Tuah Inderawan. Biar Jebat dan Tuah terus bermusuhan.”

Zulqarnain sedang mencabar abangnya. Sekali lagi dia merentap baju Inderawan. Belum terlepas lagi apa yang terbuku. Tangannya sudah dihayunkan ke atas tetapi tangan itu segera menahan.

“Encik Nine, bukan ini caranya.”
“Ini urusan saya. Tugas awak adalah menjaga keselamatan saya.”
“Dan tugas saya juga adalah melindungi Encik Nine. Saya sedang melindungi Encik Nine daripada terus melakukan perkara bodoh ni. Ianya tak menyelesaikan apa-apa pun tapi menambahkan lagi masalah.”

Apabila mendengar kata-kat Wardah, Zulqarnain terdiam seketika. Minda dan perasaannya bertembung. Kedua-duanya tidak sehala. Fikirannya mengakui kata-kata Wardah itu ada benarnya. Tetapi hati Zulqarnain belum puas lagi untuk melepaskan api kemarahannya. Bahang amarah semakin menusuk ke jiwanya.

Akhirnya tangan kiri Zulqarnain melepaskan rentapan baju Inderawan lalu menolak Inderawan supaya jauh daripada dirinya. Dia tidak tahu siapa yang harus dipersalahkan. Semuanya tidak kena.

Wardah mampu bernafas dengan lega. Dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa kerana serangan itu bukan dilakukan oleh pihak lawan tetapi sebaliknya. Wardah memerhatikan wajah mangsa tumbukan majikannya itu. Dia yakin dan pasti itu adalah Tuah Inderawan. Tuan muda sulung pewaris empayar Taming Sari Berhad. Orang luar pasti tidak menyangka mereka adalah beradik tiri. Muka mereka sememangnya saling tak tumpah. Zulqarnain ada iras abangnya. Cuma Inderawan kelihatan lebih tenang dan pendiam berbanding adiknya. Suatu ketika itu lelaki itu pernah menjadi orang penting dalam Taming Sari Berhad, tetapi kini semuanya berbeza. Penampilan Inderawan sama seperti orang biasa. Hanya jeans lusuh dan kemeja T lengan pendek tersemat di tubuh itu.

“Ini semua salah abang. Salah abang!!! Nine tak akan tanggung semua ni kalau bukan sebab abang. Are you happy now?!” jerit Zulqarnain.

Wardah tidak pasti ayat apa yang sesuai untuk diungkapkan kepada Inderawan. Dia hanya mampu memberikan pandangan simpati kepada lelaki itu.

It’s all your fault, my lovely brother.

Kali ini nada ungkapan Zulqarnain tidak meninggi seperti tadi. Kata-kata itu diucap perlahan tetapi sungguh berbisa di hati Inderawan. Zulqarnain segera pergi meninggalkan abangnya di situ. Wardah segera menuruti langkah Zulqarnain namun dia sempat menoleh ke belakang. Daripada gaya Inderawan, Wardah dapat merasakan yang Inderawan juga menyimpan seribu penyesalan di dalam hati kecilnya. Oleh sebab itu dia membiarkan 
sahaja Zulqarnain menyerangnya.

“Wan, itu bukan Jebat Zulqarnain ke?”

Inderawan mengangguk lemah.

“Kenapa dia tumbuk kau? Apasal kau tak melawan aje?” soal Amsyar lagi.

Inderawan membisu. Tidak tahu jawapan apa jawapan yang terbaik yang harus diberikan kepada rakannya itu.

“Dia ada kena mengena dengan kau?”

Bertubi-tubi soalan dilontarkan kepada Inderawan.
Sekali lagi Inderwan membalas dengan anggukan.

“Wan, jawapan tanpa suara itu kurang meyakinkan.”

“Dia adik aku,” balas Inderawan, tenang.


1 comment:

  1. kesiannya mrk berdua..sekali lg dua bersaudara ni bergaduh...Tuah dan jebat..Tuah Inderawan dan Jebat Zulqarnain..huhu

    ReplyDelete