Stylo Clique ^_^

Friday, September 6, 2013

Encik Pendekar & Mr.Keju - Bab 3



BAB 3

“Hati terluka, diam membeku. Namun, raut wajah tidak mampu membisu.”

“Tok ayahanda tak nak turun makan sekali?” soal Zulqarnain sebaik sahaja menemani Dato’ Mansoor ke kamarnya.
“Apa Nine fikir mampukah tekak tok ayahanda menerima sebutir nasi setelah mata tok ayahanda ini melihat tikaman lidah antara ayahanda Nine dan abang Indera kamu?”

Zulqarnain mengangguk mengerti. Dia tahu datuknya itu kecewa. Begitu berat bibir Zulqarnain memulakan bicara untuk bertanyakan akan hal itu. Tangan Zulqarnain pantas meletakkan bantal kekabu empuk itu di kepala katil lalu membantu datuknya itu untuk bersandar.
Dato’ Mansoor merasa sedikit lega apabila menyandarkan kepalanya di situ. Dia memejamkan mata. Zulqarnain menarik selimut yg terlipat kemas di katil sehingga ke pinggang Dato’ Mansoor.

“Ada apa-apa yang ingin Nine suarakan kepada tok ayahanda?” soal Dato’ Mansoor apabila dia membuka mata.

Zulqarnain duduk di sisi katil. Dia mahu mendapat kepastian.

“Tok ayahanda, betul ke abang Indera dah tak duduk kat sini lagi?”

Dato’ Mansoor hanya memandang wajah cucunya itu.

“Betul ke abang Indera pantang bertemu dengan ayahanda? Jika bertemu pasti berlaga suara?”
“Apa yang Nine nampak tadi?”
“Tok ayahanda…..kadang kala, apa yang kita nampak tak sama apa yang tersirat.”
“Jebat Zulqarnain, kadang-kadang apa yang tersirat adalah sama dengan yang tersurat.”
“Jadi, memang betullah abang Indera dan ayahanda bertengkar. Tapi kenapa?”
Dato’ Mansoor tersenyum tatkala mendengar pertanyaan Zulqarnain.
“Keegoan dan kemahuan. Jika manusia itu tak mampu untuk mengawal kedua-duanya, ianya mampu memutuskan air yang mengalir.”
“Sebab ayahanda kahwin lagi? Atau sebab ayahanda suruh abang Indera kahwin dengan anak Datuk Ramli?”

Dato’ Mansoor menepuk perlahan bahu Zulqarnain.

“Tok ayahanda laparlah. Tadi nak turun makan tapi dah dengar perang dunia ketiga meletus dah hilang selera,” ucap Dato’ Mansoor sambil mengusap perutnya yang sedang berkeroncong itu.

Zulqarnain terkejut. Tiba-tiba sahaja datuknya berubah sikap. Tadi bukan main serius dan tegas.

“Tok ayahanda? Lapar? Tadi bukannya tekak tok ayahanda tidak boleh menerima sebutir nasi setelah mata tok ayahanda ini melihat tikaman lidah antara ayahanda dan abang Indera ke?”
“Kau ni Nine, tiba-tiba aje jadi lurus bendul. Aku pun tak faham kenapa ayahanda kau tu hantar belajar kat luar negara jauh-jauh sana tapi jadi macam ni pula. Memanglah tok ayahanda tak selera makan kalau makan sebutir nasi aje. Apa rasa makan kalau setakat sebutir nasi tu, celah gigi pun belum tentu rasa. Kena makan satu pinggan baru selera.”


Zulqarnain tersenyum, hampir ketawa jadinya. Ya, itulah sifat Dato’ Mansoor sebenarnya. Perangainya ada sedikit gila-gila. Dia boleh dikategorikan sebagai datuk yang brutal.

“Jadi, yang kat bawah tadi tu siapa? Yang marah-marah ayahanda dengan abang Indera tu siapa?”
“Itu tok ayahanda berlakon. Tok ayahanda masih lagi orang yang paling tua kat dalam rumah ni walaupun tok ayahanda sentiasa nampak muda. Ayahanda dengan Indera kena hormat kedudukan tok ayahanda sebagai ketua keluarga.”
“Tok ayahanda boleh lagi bergurau dan berlakon dalam keadaan sekarang ni?”
“Tok ayahanda pun tak tahanlah tengok anak-beranak tu tak sudah-sudah bergaduh. Telinga ni boleh jadi bertambah pekak dengar suara dia orang tu kalau bertekak. Tok ayahanda kena tunjuk tegas dan berpendirian dalam hal ni.”
“Tapi kenapa?” Zulqarnain sudah mula muak menanyakan soalan yang masih tiada jawapannya itu.

Tiba-tiba pintu kamar diketuk.

“Ha, pergi buka pintu. Mesti Raudhah bawakan tok ayahanda nasi tu.”

Zulqarnain mengeluh kecil lalu bingkas bangun sebaik sahaja menerima arahan daripada datuknya. Seperti yang dijangka oleh Dato’ Mansoor, Raudhah membawa sedulang hidangan. Dia ditemani oleh Naqiuddin dan Syaqir.

“Adik-adik abang ni pun tahulah muslihat tok ayahanda?”

Mereka bertiga tersenyum lalu melangkah masuk ke dalam kamar Dato’ Mansoor. Naqiuddin dan Syaqir segera berpelukan dengan tuan muda kedua dalam banglo itu.

“We miss you so much abang Nine,” ucap Syaqir, adik beradik bongsu antara mereka berlima.

Raudhah segera meletakkan dulang itu di atas meja lalu menyertai mereka bertiga berpelukan. Dato’ Mansoor hanya tersenyum.

“Okey, sekarang ni siapa yang nak jadi tukang cerita? Apa yang dah jadi kat dalam rumah ni? Dari tadi abang Nine tak nampak bonda. Mana bonda?” soal Zulqarnain sebaik sahaja meleraikan dakapan.

Naqiuddin dan Syaqir sudah menyenggol antara satu sama lain. Raudhah juga menggaru-garu rambut pendeknya yang tidak gatal itu. Mereka seperti berpura-pura tidak mendengar pertanyaan Zulqarnain.

“Sudah gaharu, cendana pula. Sudahlah berpakat, sekarang berpura-pura pula?” usik Zulqarnain sebaik sahaja menutup kembali pintu kamar Dato’ Mansoor. Dia sangat pasti, ada rahsia yang cuba disembunyikan.

Zulqarnain bersandar dibelakang pintu lalu berpeluk tubuh menantikan jawapan daripada salah seorang antara mereka.

--------------------------------

“Jadi, kau keluar daripada rumah tu sebab kena paksa buat benda yang kau tak suka?” soal Amsyar setelah mendengar cerita ringkas daripada Inderawan.
“Bukan setakat tu aje. Habis tu, siapa nak jaga mak aku lepas dia kena cerai dengan ayah aku kalau bukan aku.”
“Ke sebab mak tiri kau yang lebih muda daripada kau tu?”
Inderawan memberikan reaksi yang tidak senang tatkala Amsyar menyebut perkataan tersebut. Langsung tidak enak di dengar pada di telinganya.
“Semuanya bercampur. Aku tak tahu yang mana satu.”
“Jadi atas sebab semua yang bercampur aduk tulah kau gaduh dengan ayah kau? Kau bangkang semua yang dia suruh? Sampai dapat cap mohor besar kat pipi kau tu?”
“Aku ni bukannya orang yang menurut sahaja tanpa perlu berfikir.”
“Jadi kau nak cakap yang kau ni bukan macam Hang Tuah yang boleh menurut apa sahaja titah Sultan Mahmud walaupun memakan dirinya sendiri, macam tu?”

Inderawan mendiamkan diri apabila soalan itu menghinggapi deria pendengarannya.

“Tapi nasib baik kau ni bukan Hang Tuah. Bila menentang aje titah dan arahan sultan, kena pancung kau tahu tak? Kalau aku pun boleh jadi gila dibuatnya. Duduk dalam rumah tapi tiap-tiap hari gaduh, bukan rumahku syurgaku namanya.”
“Am, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya ni.”
“Aku tahu. Tapi…walau seburuk mana pun dia, darah dia tetap mengalir kat dalam tubuh kau ni.”

Inderawan mendiamkan diri. Kepalanya tertunduk. Kata-kata Amsyar ada benarnya. Tidak semena-mena hatinya dirundum bersalah. Perbuatan dan kata-kata yang dilemparkan semasa di rumah Dato’ Mahmood tadi sudah jatuh sebagai anak derhaka.

“Eh, tadi ada sorang awek datang tengok lukisan kau tau masa kau keluar,”  ucap Amsyar, cuba mengalih tajuk perbualan mereka. Amsyar tahu Inderawan tidak menyenangi topik yang mereka bualkan tadi.
“Awek? Awek mana?”
“Entah, aku tak pernah nampak dia sebelum ni. Cantik gila nak mampus kau tahu tak. Dahlah cantik, mengancam pula tu. Rambut dah macam mat saleh.”
“Engkau semua cantik, semua mengancam. Tiang elektrik kat belakang kau tu pun kau cakap awek.”
“Kau ni, melampau betul. Takkanlah mata aku ni tak dapat membezakan keindahan ciptaan Tuhan. Perempuan tu lama juga tengok lukisan kau,”
“Habis tu?”
“Tapi aku lupa pula nak tanya siapa nama dia sebab dia macam nak cepat aje lepas cakap dengan telefon. Tengok dari gaya dia, dia tu macam orang seni juga. Sama macam kau. Cakap ayat yang tak berapa nak aku faham.”
“Apa yang dia cakap?”
“Dia cakap bukan senang nak hasilkan lukisan macam kau lukis tu. Seni lukisan tak cukup dengan ilham, kena ada jiwa, perasaan dan naluri. Setiap garisan dan bayang yang terhasil ada makna yang mahu disampaikan. Kadang-kadang meluahkan sesuatu ke atas kertas lebih lantang bunyinya daripada memekik menggunakan bibir. Lukisan ni ada kuasa untuk berbicara walaupun ia bisu. Kalau melukis dengan hati, orang akan tahu apa yang kita rasa. Ha, lebih kurang macam tulah dia cakap. Wah..tiba-tiba aku kagum dengan sendiri sebab dapat cakap ayat yang aku sendiri pun tak faham. Kau faham?”

Inderawan seperti terkejut dengan ungkapan itu. Gadis yang diceritakan Amsyar seperti memahami perasannya ketika dia menyiapkan setiap hasil kerja seninya.

“Dia cakap macam tu?”

Amsyar mengangguk. Inderawan terdiam seketika,
“Betul tak aku cakap? Dia macam sejiwa dengan kau.”

Inderawan tersenyum. Ada orang lain juga yang faham akan seni mengikut sudut pandangannya.

--------------------------------

Zulqarnain menuruni tangga sebaik sahaja selesai membersihkan diri. Sebelum ke ruangan makan, dia sempat menjeling ke arah jam dinding di ruang tamu. Tepat menunjukkan pukul 8 malam. Harum bau masak lemak cili padi menyengat ke hidungnya. Sudah lama dia tidak menjamah makanan asli orang melayu itu. Sebaik sahaja tiba di meja makan Dato’ Mansoor, Raudhah, Naqiuddin dan Syaqir sudah pun ada. Zulqarnain menarik kerusi di bahagian kiri lalu melabuhkan punggungnya. Dia duduk di tempatnya selalu, sama seperti dahulu.

“Aikk..tok ayahanda…tadi bukannya baru makan ke? Sekarang dah makan lagi?”
“Tadi petang tu makan lauk orang sakit. Bau masak lemak cili padi ni mana boleh tahan.”
“Makan tu makan juga tok ayahanda tapi ingat apa doktor cakap?” pesan Raudhah.
Raudhah sudah seperti jururawat peribadi Dato’ Mansoor. Mahu harapkan siapa lagi kalau bukan cucu perempuan tunggalnya itu menjaga makan minumnya.



“Kau ni Raudhah, mengalahkan doktor. Jangan kau beritahu dengan Doktor Jamal pula tok ayahanda makan masak lemak cili padi ni. Ingat orang Italy aje mengidam ke?”
“Yalah tok ayahanda. Raudhah tak beritahu. Raudhah tahu tok ayahanda teringin. Makan sebutir nasi boleh, jangan makan sampai dua pinggan sudah,” sakat gadis berambut pendek itu.
“Amboi budak ni. Kau perli tok ayahanda ya. Kejap lagi kena rotan dengan tok ayahanda” ucap Dato’ Mansoor dalam nada bergurau.
“Eleh, perangai ni kak Raudhah dapat daripada tok ayahanda jugalah,” ucap Naqiuddin pula.
“Ha…kau pun sama juga ya Que. Jap lagi tiga-tiga tok ayahanda rotan.”
“Eh? Kenapa pula tiga-tiga? Syaq tak cakap apa-apa pun.”
“Adil namanya. Kembar mestilah kena sekali,” balas Dato’ Mansoor.



Deraian ketawa kedengaran sebaik sahaja mendengar gurauan Dato’ Mansoor. Begitulah telatah mereka anak beranak. Mereka bahagia suatu ketika dahulu.
Baru sahaja Raudhah mahu mencedok nasi ke pinggan Dato’ Mansoor, kelibat ayah dan mak tirinya muncul. Keempat-empat adik beradik itu menoleh kecuali Dato’ Mansoor.

“Apa mimpi kau berdua pergi meja makan ni? Bukannya selalu makan kat luar ke?” tegur Dato’ Mansoor tanpa melihat mereka berdua.
“Ayahanda, malam ni saya dengan isteri saya makan kat rumah. Meraikan kepulangan Nine.”
“Bukannya petang tadi kau dah meraikan dengan pertengkaran ke? Buat apa nak meraikan sekali lagi kat meja makan ni?”
“Ayahanda, saya masih lagi ayah kepada anak-anak saya,” tegas Dato’ Mahmood.

Lekiu Naqiuddin dan Lekir Noor Syaqir segera beralih tempat duduk setelah mendengar penjelasan ayah mereka. Entah mengapa suasana di meja makan tiba-tiba sahaja bertukar. Seperti diselaputi dengan kabus kemarahan sesama sendiri.

“Nine, ayahanda belum sempat kenalkan lagi dengan isteri ayahanda. Ni mama Tria.”
“Mama? Ayahanda, biar betul? Takkan Nine nak panggil dia mama. Silap-silap umur dia sebaya dengan Raudhah.”

Tria dapat melihat pandangan yang sinis daripada anak mata Zulqarnain. Sememangnya semua isi rumah itu tidak boleh menerima kehadirannya. Akan tetapi, keadaan itu langsung tidak menjejaskan matlamatnya untuk hidup senang. Tangan Tria segera menggenggam tangan Dato’ Mahmood, konon-konon meminta perlindungan.

“Nine, tolong hormat dia. Dia isteri ayahanda.”

Bagi Dato’ Mahmood biarlah beribu yang menghalang perhubungan dia dengan Tria, dia tetap dengan pilihannya. Dia bahagia memiliki isteri yang menawan seperti Tria. Tria punya segala-galanya. Dia bangga memiliki apa yang menjadi kegilaan ramai. Baginya, satu kebanggan dan kepuasan apabila berjaya memiliki sesuatu yang menjadi rebutan.

“Sudahlah tu Mahmood. Aku dah hilang selera nak makan. Raudhah, tak payah cedokkan nasi untuk tok ayahanda walaupun sebutir. Kau orang semua makanlah. Aku pun tak tahu nak anggap Tria ni siapa. Menantu ke cucu.”
“Ayahanda, saya sudah bincang dengan ayahanda tentang perkara ni banyak kali. Ini pilihan saya.”

Dato’ Mansoor berdengus lalu bingkas bangun. Dia mencapai tongkat yang disandarkan di dinding itu. Zulqarnain juga bangun.

“Nine, nak pergi mana?”
“Nine nak temankan tok ayahanda masuk bilik.”
“Shaq, temankan tok ayahanda sekejap. Lepas tu datang semula ke sini. Kita makan sama-sama. Nine, duduk. Baru aje balik, dah tak nak makan semeja dengan ayahanda?”

Bukan niatnya untuk mengelak, tetapi Zulqarnain sendiri tidak pasti bagaimana caranya mahu berhadapan dengan Tria setelah apa yang berlaku. Apabila dengan baris ayat itu keluar daripada bibir Dato’ Mahmood, niatnya terbantut. Dia duduk semula. Shaqir segera menurut langkah Dato’ Mansoor.

“Sudah, mari makan. Tak baik depan rezeki bertengkar.”

Zulqarnain sempat menjeling ke arah Tria yang duduk bertentangan dengannya. Dia sama sekali tidak menyangka, perempuan di hadapannya itu menjadi salah satu sebab suasana di banglo itu bertukar arah. Tetapi, apabila difikirkan semula, bukan salah Tria sepenuhnya. Dia kenal dengan sikap ayahnya itu. Gemar berfoya-foya. Dengan kemewahan yang dimilikinya hari ini, tidak mustahil perkara seperti itu boleh terjadi.

No comments:

Post a Comment