BAB
5
“Sudah diluah, sudah
bersuara, akan tetapi tiada yang mengerti.”
Malam itu, sekali lagi
Inderawan merenung ke langit. Lukisan kanvas yang masih lagi dalam proses
lakaran itu terasa menyemakkan kepala. Pelbagai peristiwa yang telah berlaku
dalam hidupnya itu terus menerus menggamit ingatan. Dia tidak pernah lupa. Inderawan
menghembus nafasnya perlahan-lahan. Jauh di sudut hati Inderawan, dia masih mengharap
apa yang berlaku ini hanyalah mimpi semata-mata. Umpama mimpi ngeri yang
panjang. Tetapi hakikatnya, ia adalah realiti.
Hannum hanya tersenyum
tatkala melihat anaknya itu di halaman rumah. Inderawan gemar melukis pada
waktu malam di tempat itu. Dia kenal benar dengan perangai Inderawan yang satu
itu. Jika Inderawan memandang sepi terhadap kerja seninya, pasti ada yang tidak
kena pada fikiran anak terunanya itu. Inderawan persis wajah Dato’ Mahmood
ketika muda dahulu.
“Kalau dah tak suka
jangan dipaksa, Indera,” ucap Hannum sambil meletakkan mug berisi air Nescafe
berhampiran dengan peralatan melukis Inderawan.
Bibir Inderawan cuba
mengukir senyuman panjang. Dia tidak mahu ibunya risau.
“Bonda ni sama aje
macam Amsyar. Bukan Indera tak suka tapi tak ada ilham.”
“Bonda rasa ada benda
yang kat kepala Indera tu. Sebab tu tak ada ilham. Bila tak ada ilham,
janganlah paksa. Bukannya Indera cakap melukis ni satu seni yang perlukan
keikhlasan, jiwa dan naluri ke? Melukis dengan hati, baru tangan dapat
meluahkan apa yang terbuku.”
Hannum sengaja
mengulang semula prinsip seni Inderawan. Hannum berasa bersyukur dengan bakat
yang dianugerahkan kepada Inderawan. Dengan bakat yang mengalir itulah,
Inderawan menyara kehidupan mereka berdua. Meskipun tidak semewah dulu, tetapi
rezeki yang dikurniakan olehNya mampu menanggung keperluan anak beranak itu.
Kata orang, tidaklah sampai kais pagi makan pagi,kais petang makan petang.
“Bonda, Indera jumpa dengan
ayahanda tiga hari lepas,” luah Inderawan.
Hannum kelihatan tenang
ketika mendengar baris ayat yang disusun oleh Inderawan. Sedaya upaya Inderawan tidak mahu memberitahu
Hannum akan hal itu. Namun semakin ia dipendam, semakin memakan jiwanya. Umpama
belati tajam menghiris setiap inci hatinya.
Inderawan memerhatikan
reaksi wajah ibunya. Dia tahu ibunya itu wanita yang tabah.
“Indera jumpa ayahanda
masa ambil Nine, betul? Nine dah tahu apa yang telah terjadi?”
Hannum perasan akan
perubahan setiap inci yang berlaku pada Inderawan. Usah menipu kepada insan
yang melahirkan kita di dunia ini.
“Sudah bonda.”
“Indera, sudah-sudahlah
bertikam lidah dengan ayahanda.”
“Bonda, macam mana
Indera nak hentikan tikaman lidah ni? Bonda tak ingat ke apa yang ayahanda dah
buat? Sebab perempuan tu, dia buang bonda.”
“Ayahanda tak buang
bonda. Bonda yang minta dilepaskan. Dia ketua keluarga. Pemimpin untuk
anak-anak dia. Dia tetap ayahanda kamu Indera. Bapa kandung kamu. Dia berhak
menentukan apa yang terbaik untuk anak-anaknya.”
“Bonda masih nak bela
ayahanda? Indera rasa bonda adalah orang yang paling tabah yang pernah Indera
jumpa. Ayahanda sepatutnya bersyukur. Selama ni bonda kasi ayahanda kahwin
dengan ummi. Sekarang dengan perempuan tu pula.”
Hannum segera
menghampiri Inderawan. Tangan sang ibu itu menyentuh belakang Inderawan. Diusap
perlahan bahagian itu dengan penuh kasih sayang. Dia dapat merasakan amarah dan
baran Inderawan yang masih tidak ada kesudahannya. Walaupun Inderwan kelihatan
lebih suka mendiamkan diri, memendam segala rasa yang ada tetapi Inderawan akan
mudah jadi naik marah apabila membincangkan soal ayahnya. Meskipun sudah lebih
setahun mereka meninggalkan banglo itu, keadaan masih tetap sama malah lebih
teruk dan bertambah parah semenjak kepulangan Zulqarnain.
“Ayahanda dah melampau.
Dia sanggup pisahkan anak-anak bonda yang lain daripada bonda. Ingat Indera tak
tahu ke yang ayahanda tak kasi adik-adik Indera tu bertentang mata dengan kita.”
Kali ni suara Inderawan
sudah tidak meninggi seperti tadi. Sejuk hati Inderawan seketika apabila Hannum
memujuknya dengan cara begitu.
“Indera, bonda hanya
ibu tiri mereka.”
“Bonda, sebelum ummi
meninggal dunia lagi kita dah sama-sama putuskan tak ada perkataan tiri dalam
kamus hidup keluarga kita. janganlah bonda terasa hati.”
“Bonda rindu sangat
dengan telatah Nine, Raudhah, Que dengan Shaq. Entah macam mana agaknya makan
minum mereka. Larat ke dia orang makan masakan bibik aje.”
Inderawan memandang
wajah Hannum. Dia dapat melihat ada cecair yang bertakung di mata itu. Dia
bangun lalu memeluk erat ibunya.
--------------------------------
Zulqarnain tergesa-gesa
keluar daripada kereta Vios itu. Keretanya betul-betul diletakkan
bersebelahan dengan kereta Mercedez milik ayahnya.
“Bapa aku ni cepat pula
dia masuk pejabat. Bukannya kat tv tu selalu bos masuk lambat ke?” rungut
Zulqarnain sendiri.
Dia menyingsingkan
sedikit kemejanya. Jam dipergelangan tangan kirinya menunjukkan pukul 10.30
pagi. Langkah Zulqarnain semakin laju sebaik sahaja melihat waktu semakin
pantas meninggalkan dirinya .
“Selamat pagi Encik
Zulqarnain,” ucap pengawal keselamatan yang berada di pintu masuk Wisma Taming
Sari Berhad.
“Selamat pagi,” balas
Zulqarnain sambil tersenyum.
Sebelum terus melangkah
masuk, dia sempat berhenti di hadapan pintu kaca itu terlebih dahulu. Dia
melihat penampilannya. Tangan itu merapikan rambut yang sepertinya tidak kena
pada pandangan mata Zulqarnain. Dia sengaja mendirikan rambut perang itu supaya
kelihatan terpacak. Setelah selesai di bahagian rambut, dia membetulkan tali
leher berwarna biru muda yang disedondonkan dengan kemeja hitam itu.
“Makin handsome pula aku ni kalau pakai macam
ni,” ucap Zulqarnain kepada dirinya.
Kalau tak segak dan
kacak bergaya, bukan Jebat Zulqarnain namanya. Biarlah terlambat macam mana
sekalipun, asalkan bergaya. Boleh jadi terbalik dunia ni kalau rambut perang tu
tak terpacak ke langit.
Zulqarnain
tersengih-sengih apabila merasakan dirinya diperhatikan oleh beberapa orang
pekerja di syarikat itu. Lagi lebar senyumannya apabila perempuan yang
memandangnya. Zulqarnain, memang tetap Zulqarnain. Tapi tak boleh nak salahkan
dia, sebab perangai yang satu tu pun diperoleh daripada ayah dia juga.
Setelah yakin dengan
penampilannya, Zulqarnain segera menuju ke lobi lif.
“Selamat pagi Encik
Zulqarnain,” sapa Farah yang bekerja sebagai penyambut tetamu sebaik sahaja
Zuqarnain berada di tingkat dua.
“Buongiorno,”
“Maafkan saya? Saya tak faham maksud Encik Zulqarnain."
“Buongiorno tu
maksudnya selamat pagi tapi boleh juga digunakan untuk selamat tengahari dan
petang. Saya memang suka cakap bahasa Italy dengan orang yang cantik ni.
Sedap
mata memandang bila nak datang kerja bila tengok receptionist yang cantik macam awak ni.”
Zulqarnain sempat lagi jual minyak tu.
“Terima kasih Encik
Zuqarnain tapi saya dah ada anak seorang pun. Masih cantik lagi ke?”
Zulqarnain terkedu
seketika lalu menyengih menampakkan baris giginya yang putih itu.
“Pagi tadi Dato’
Mahmood ada pesan dengan saya. Kalau Encik Zulqarnain datang, Encik Zulqarnain
boleh terus masuk ke pejabat dia.Ada apa-apa yang boleh saya bantu Encik Zulqarnain?”
soal Farah sebaik sahaja melihat reaksi Zulqarnain sebegitu rupa.
Zulqarnain segera
menggeleng kepala lalu beredar daripada situ. Bengang tak benganglah kan?
Sebaik sahaja tiba di
ruangan Dato’ Mahmood, Zulqarnain segera menemui setiausaha ayahnya, Suraya.
“Encik Zulqarnain,
selamat pagi.”
“Selamat pagi. Saya nak
jumpa dengan Dato’ Mahmood.”
“Silakan. Memang dah
lama Dato’ Mahmood tunggu Encik Zulqarnain. Encik Zulqarnain boleh terus
masuk.”
Setelah mendapat
kebenaran, Zulqarnain mengetuk pintu kayu itu sebanyak tiga kali. Sementara
menunggu arahan Dato’ Mahmood, dia sempat memandang sekelilingnya. Jika tiga
tahun lepas bukan begitu hiasan dalam pejabat ayahnya. Kali ini apa yang boleh
Zulqarnain simpulkan ialah pejabat Dato’ Mahmood kelihatan klasik dan
menerapkan elemen Melayu. Mana taknya, ukiran pada pintu sahaja sudah cukup
menggambarkan Dato’ Mahmood punya citarasa tersendiri. Kalau tidak, masakan dia
boleh jadi Pengarah Urusan syarikat hiasan dalaman terkemuka di Johor ini.
“Masuk.”
“Sorry ayahanda. Nine lambat sikit hari ni.”
“The early bird catches the worm, Nine,” perli Dato’ Mahmood
“Sì, hai ragione mio padre (Ya, ayahanda memang betul). but
the second mouse gets the cheese,” bidas Zulqarnain.
“Masalahnya kamu tu dah
tikus keberapa. Dah hari keempat, tak hilang-hilang lagi lidah Italy tu
walaupun dah makan masak lemak cili padi?”
“Yes, that’s my point. I have jet lag and I can’t sleep. Ayahanda,
beza Malaysia dengan Italy 6 jam. Kalau sini waktu 6 pagi, kat sana baru pukul
12 tengah malam. Jadi, Nine baru tidur pukul 5 pagi.”
“Ok, ayahanda faham.
Mungkin seminggu ni Nine perlu sesuaikan diri. Tapi macam yang ayahanda cakap
semalam. Tak ada perkataan tidak untuk urusan Taming Sari Berhad. Sekejap lagi
ayahanda akan adakan mesyuarat dengan bahagian kewangan. Ayahanda akan kenalkan
Nine kepada semua staf. Tapi sebelum tu…..”
Tok..Tok..Tok…
Kedengaran pintu itu
sekali lagi diketuk.
“Masuk.”
Zulqarnain menoleh ke
arah pintu. Sebaik sahaja pintu itu dikuak, dua orang kelihatan di hadapan
matanya. Bibir Zulqarnain mengukir senyuman tatkala memandang salah seorang di
antara mereka. Siapa lagi kalau salah seorang tu perempuan kan?
“Haq, Wardah…come in. Your boss is here,” arah Dato’ Mahmood.
“Let
me guess. She is Wardah and she is my PA and Haq is my bouguard. Am I right?” teka
Zulqarnain tanpa ada rasa ragu-ragu.
Memang golongan yakin tegar
si Jebat Zulqarnain ni.
“Ayahanda memang pandai
cari PA untuk Nine. Memang kena dengan citarasa Nine,” sambung Nine lagi.
Dato’ Mahmood membiarkan
sahaja tekaan anaknya itu.
“Ini anak saya, Jebat
Zulqarnain. Nine, ini Luthfi Haqimi. Kerja Haq adalah pembantu peribadi kamu.
Dan yang cantik manis ni, Harum Wardah. She
is your bodyguard. Dan itu memang kerja dia.”
“What? Ayahanda salah cakap atau Nine silap dengar ni?”
“Tak ada yang silap dan tak ada yang salah
Nine tapi Wardah salah seorang pengawal peribadi terbaik ayahanda. Dah dekat
setengah tahun dia kerja dengan ayahanda.”
Zulqarnain cuba menahan
dirinya daripada ketawa besar. Senyum simpul jadinya bibir itu.
Biar betul ayahanda aku
ni. Sejak kahwin dengan orang muda ni, dengan bodyguard sekali dia ambil orang perempuan. Takkanlah minah cun
melecun macam ni jadi bodyguard aku?
Nyawa aku dan hidup aku di bawah jagaan dia? Bisik hati Zulqarnain.
Wardah cuba berlagak
tenang. Memang itulah reaksi yang diberikan sebaik sahaja dia diperkenalkan
sebagai pengawal peribadi untuk Dato’ Mahmood. Dato’ Mahmood juga memberikan
reaksi yang kurang senang tatkala dia diperkenalkan oleh persatuan silatnya
sebagai salah seorang pelajar yang terbaik di situ.
“Sepertimana saya
terangkan kepada kamu berdua semalam, kamu berdua sudah tahu kan apa tugas kamu
kepada Nine?”
Mereka berdua
mengangguk, menandakan faham.
“Ayahanda, kenapa tak Wardah
yang jadi PA Nine?”
“Haq pernah jadi PA
Indera. Jadi dia tahu selok-belok syarikat ni. Ayahanda tahu apa yang terbaik.
Dan satu lagi.”
Dato’ Mahmood mengambil
sesuatu di atas mejanya lalu menyerahkan benda itu kepada Zulqarnain.
“Kunci apa ni? BMW?”
“Kereta baru Nine.
Selamat datang ke Taming Sari Berhad, Jebat Zulqarnain. Sebelum ayahanda
terlupa. Esok ayahanda ada interviu dengan Majalah Bisnes. Esok ayahanda akan
kenalkan Nine kepada media and make sure
you are the early bird catches the worm tomorrow.”
Terbeliak mata
dibuatnya apabila mendengar kenyataan Dato’ Mahmood.
--------------------------------
“Bos, bos pasti ke tak
nak masuk pejabat dulu?” soal Haqimi kepada Zulqarnain sebaik sahaja dia
diperkenalkan kepada semua staf di Taming Sari Berhad.
“Pasti. Sebab aku nak
kerja kat luar.”
“Wah, hari pertama bos
dah nak pergi melawat tempat projek. Kalau macam tu, kita pergi kat kawasan
berhampiran dengan…….”
“Bukan nak melawat
tempat projek. Hati aku ni belum ada hati lagi nak buat kerja.”
Haqimi tercengang
jadinya. Begitu juga dengan Wardah. Mereka saling berpandangan antara satu sama
lain.
Kaki Zulqarnain sudah pun melangkah keluar
daripada bangunan itu. Sebenarnya dia sudah tidak sabar untuk melihat kereta
baru miliknya itu.
“Haq, kau tahu kan kat
mana ayahanda aku tu letak kereta tu?”
Haqimi membalas dengan
anggukan. Mereka bertiga menuju ke tempat tersebut.
“Oh My God. BMW 320i in white colour. Sexy. Awesome. Attraente
(menarik).”
Tak sudah-sudah mamat
ni cakap bahasa Italy. Memang jenis belacan celup keju betul.
“Bos, ayat depan tu
faham. Yang belakang tu, attraente?
Apa tu?”
“Itu bahasa Italy.
Maksudnya menarik tertarik kau memang debom. Seksinya kereta ni. Okey, aku nak
keluar sekarang ni. Kau nak ikut? Mesti nak rasa naik kereta ni kan?”
“Bos, nak rasa tu
memanglah nak tapi kita nak pergi mana? Kalau Dato’Mahmood tahu ni mampus aku,
bos.”
Lengan Zulqarnain
segera memaut pada leher Haqimi.
“Apa bidang tugas kau
yang pertama sekali?”
“Ikut sahaja arahan
yang diberikan oleh bos.”
“Jadi, siapa bos kau?”
“Bos,” balas Haqimi
sambil pandangannya kepada Zulqarnain
“Good answer. So?”
“Okey bos.”
“Cool. Tapi Mrs.bodyguard
ni memang kena ikut aku ke mana-mana ke?”
“Memang dah menjadi
tugas saya untuk mengikut jejak Encik Nine sebaik sahaja Encik Nine keluar
daripada Taming Sari Berhad. Apabila saya terima kerja ni, maknanya nyawa Encik
Nine lebih penting daripada saya sebab tugas saya adalah untuk melindungi Encik
Nine.”
Nada suara itu jelas
yakin. Langsung tiada keraguan. Tiba-tiba sahaja Zulqarnain tertarik dengan
sifat tegas yang ditunjukkan oleh Wardah. Dia memerhatikan penampilan Wardah
ketika itu. Rambut itu disimpul moden. Melihat dari gaya simpulan itu, pasti
rambut gadis itu panjang melepasi bahu. Wardah mengenakan kemeja berwarna ungu pekat
dan seluar jeans hitam mengikut sedikit potongan kakinya. Tambahan lagi kasut
jenis ‘wedges’ dikenakan menjadikan gayanya seperti feminin kasual. Kalau orang
cakap dia ni setiausaha Zulqarnain pun boleh jadi juga. Langsung tidak
menunjukkan ciri-ciri sebagai pengawal peribadi.
“Kenapa tak pakai sut
hitam macam kat tv tu? Bukannya bodyguard
selalu pakai kot hitam, seluar hitam, cermin mata hitam ke?”
Mamat ni dah kenapa?
Salah ke aku pakai baju ni? Banyak songeh pula dia. Nasib baiklah kau ni anak Dato’
Mahmood. Kalau tak memang dah kena makan kasut ni. Hati Wardah bermonolog
geram.
“Sememangnya saya
disarankan supaya tidak terlalu menonjolkan diri. Kalau saya pakai macam Encik
Nine cakap tu, nanti orang ingat saya ni pelakon Men In Black pula. Saya memang
suka gaya macam ni. Saya perlu menyembunyikan identiti saya supaya semuanya
kelihatan seperti biasa.”
“Bos, aku rasa bos ni dah terpengaruh tv
banyak sangat ni. Kat tv memanglah macam tu. Kat luar lain.”
Zulqarnain mengangguk
mengerti. Ada benarnya kata-kata Wardah itu.
“Bos, kita nak pergi
mana ni? Takkan nak keluar waktu macam ni? Waktu pejabat ni. Biar betul bos?”
soal Haqimi.
Gila tak risau hari
pertama kerja bos kecil dah ajak pergi jalan-jalan.
“Kita pergi main
boling. Mencabar sikit aktiviti tu,” jawab Zulqarnain, selamba lalu
menghidupkan enjin kereta.
sempoinya encik 9..patotlah ramai suka...hehehe
ReplyDelete