Stylo Clique ^_^

Tuesday, September 3, 2013

Encik Pendekar & Mr.Keju - Bab 1

BAB 1

“Bangkai sang belalai ingin ku tutup, namun baunya ada walau hidung terkatup.”

Bunyi deraian puluhan tapak kaki di lapangan terbang langsung tidak memberi kesan kepada telinga itu. Hatinya sedikit terganggu. Cuba menjangkakan perkara yang akan berlaku sebaik sahaja insan itu tiba. Lengan baju yang panjang disingsing sedikit untuk melihat jam yang berada dipergelangan tangan kanannya. Jarum jam sudah melepasi pukul 3.00 petang. 

Kaki Inderawan sudah pun tiba di lobi utama Lapangan Terbang Senai. Mata bundarnya memerhatikan skrin besar yang memaparkan jadual perjalanan dan ketibaan kapal terbang yang membawa penumpang. Penerbangan daripada Kuala Lumpur sudah pun tiba. Dia pasti tidak lama lagi Zulqarnain akan muncul di celah-celah puluhan orang yang ada. Mata Inderawan kini lebih peka memandang balai ketibaan. Perasaannya gembira bercampur gusar. Sudah lebih 3 tahun dia tidak bertemu dengan Zulqarnain. Kata orang, banyak perkara boleh berlaku dengan hanya sekelip mata apatah lagi dalam tempoh itu. Dalam tempoh itu jugalah terlalu banyak perkara yang berlaku di dalam hidupnya tanpa pengetahuan Zulqarnain.

Tanpa disedari Inderawan, bahunya seperti disentuh oleh seseorang. Tindakan refleks Inderawan, dia menoleh ke kanannya. Pandangannya singgah ke arah lelaki yang sudah berumur lebih 50 tahun itu.


“Pak Hamid,” ucap Inderawan.

Pak Hamid cuba mengukir senyuman. Anak muda di hadapannya itu sudah jauh berubah. Hampir setahun anak majikannya itu membawa diri.

“Indera sihat?” soal Pak Hamid.

Inderawan segera bersalaman dengan pemandu ayahnya itu.

“Alhamdulillah Pak Hamid. Pak Hamid sihat?”

Pak Hamid hanya mengangguk.

“Ayahanda suruh Pak Hamid jemput Nine ke?”
“Dato’ Mahmood tahu yang hari ni Nine balik.”

Inderawan mendiamkan diri. Ada sesuatu yang hadir ke dalam hatinya sebaik sahaja bayangan wajah itu menjelma di mindanya.

“Raudhah, Shaq, dengan Que macam mana? Tok Ayahanda sihat?”
“Adik-adik Indera sihat. Kesihatan Dato’ Mansoor macam tulah juga. Sihat orang tua. Angin sakit tu datang macam ribut tapi nak sihat tu macam langkah semut. Kadang-kadang Dato’ Mansoor ada menyebut nama Indera. Dia rindu dengan cucu sulungnya.”

Sekali lagi Inderawan membisu. Sedih dan pilu menusuk ke jiwanya. Fikirannya kembali semula mengulang tayang peristiwa setahun yang lalu.


Zulqarnain tersenyum lebar sebaik sahaja melihat susuk tubuh itu dari jauh. Dia cuba melambai namun kedua-dua insan itu seperti tidak menyedari kehadirannya. Zulqarnain menggelengkan kepala lalu melangkah yakin sambil menolak troli berisi bagasinya ke arah Inderawan. Penerbangan daripada Milan Malpensa Airport ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur lalu ke Lapangan Terbang Senai benar-benar membuatkan dirinya letih.

“Ehem.”

Zulqarnain berdehem kecil sebaik sahaja tiba di sisi Inderawan yang masih lagi seperti orang berkhayal memikirkan sesuatu. Inderawan terkejut lalu menoleh ke arah kirinya. Begitu juga dengan Pak Hamid. Zulqarnain menanggalkan kaca mata hitamnya. Rambut perang pekat semulajadi tersisir kemas. Kulitnya kelihatan lebih cerah berbanding sebelum ini. Haruman minyak wangi Attitude Giorgio Armani hinggap ke deria bau Inderawan. Zulqarnain semakin bijak dalam penampilannya.

Accogliere in casa, Jebat Zulqarnain,” ucap Inderawan yang membawa maksud selamat pulang.
“Grazie, mio fratello maggiore. (Terima kasih, wahai abangku),” balas Zulqarnain.
“Come stai? (Apa khabar?)” soal Inderawan.
Per favore (tolonglah), my big brother. Dah balik Malaysia pun kena cakap Italy ke?”
“Manalah tahu. Lidah Melayu dah biasa jadi mat saleh Italian.”

Zulqarnain tersenyum lebar. Begitu juga dengan Inderawan. Perasaan rindu terhadap adiknya tidak dapat lagi dibendung. Mereka segera berpelukan.

I miss you badly. Kenapa abang tak nak datang Milan jenguk Nine? Milan is also your second home, right?” tanya Zulqarnain sebaik dakapan mereka terlerai.

Kata-kata Zulqarnain ada benarnya. Milan, Italy umpama rumah keduanya. Dia juga pernah melanjutkan pelajaran di dalam bidang hiasan dalaman di sana. Italy juga merupakan kota yang penuh dengan kesenian, sesuai dengan jiwanya. Inderawan hanya membiarkan soalan Zulqarnain itu tanpa sebarang jawapan sebaik sahaja melihat Zulqarnain bertegur sapa dengan Pak Hamid.

“Apa khabar Pak Hamid? Wah, makin kacak bergaya Nine tengok Pak Hamid sekarang. Dah jumpa pengganti ke?” gurau Zulqarnain.

Pak Hamid ketawa besar apabila mendengar usikan Zulqarnain. Begitulah perbezaan mereka berdua. Seorang agak pendiam dan seorang lagi banyak telatahnya. Pak Hamid sudah lama menduda sejak kematian isterinya lima tahun yang dahulu.

“Pak Hamid memang kacak bergaya sejak dari dulu lagi. Nine aje yang tak perasan. Kamu ni Nine tak sudah-sudah dengan gurau kamu tu. Dah 3 tahun kat Italy pun masih tak berubah. ”
“Pak Hamid ni boleh tahan juga ya. Makin lama makin berisi,” sakat Nine lagi.

Pak Hamid hanya menggelengkan kepala sambil tesenyum.

“Kenapalah ayahanda susah payah suruh Pak Hamid ambil Nine? Kan Nine dah cakap dengan ayahanda nak abang Indera yang jemput Nine. Ayahanda tak cakap dengan Pak Hamid ke?” ujar Nine lagi.

Wajah Pak Hamid sedikit berubah lalu pandangannya beralih kepada Inderwan. Reaksi Inderawan juga berbeza.

“Pak Hamid tak tahu pula. Tapi ini arahan Dato’ Mahmood. Dia suruh Pak Hamid jemput Nine.”
“Tak apalah kalau macam tu. Cakap dengan ayahanda, Nine nak ikut abang Indera.”
“Abang rasa lebih baik Nine ikut Pak Hamid. Lagipun abang sibuk sikit hari ni.”

Inderawan cuba memberi alasan konkrit.

Come on, abang. Hari ni baru Nine jejakkan kaki ke Malaysia. Nine rasa ayahanda tak kisah kalau Nine ikut abang. Sama ajekan? Sampai rumah juga nanti kan? Lagipun Taming Sari Berhad tak akan jatuh muflis kalau abang Indera tak masuk pejabat satu hari.”

Inderawan menjadi resah. Bukan itu menjadi masalahnya. Dia tahu, dia tidak mampu menyembunyikan hal itu lebih lama. Lambat laun, adiknya itu akan tahu juga.

One more thing……orang nak pergi pejabat, tak kanlah pakai baju macam ni kan?”

Mata Zulqarnain memandang penampilan Inderawan yang begitu santai. Inderawan hanya mengenakan baju kemeja T lengan panjang berwrna hitam dan seluar jeans biru lusuh Masakan pakaian sebegitu sesuai dipakai untuk ke pejabat.

“Pak Hamid, tak apalah. Biar Nine dengan saya.”
“Indera pasti ke?”
“Saya pasti Pak Hamid.”
“Pak Hamid janganlah risau. Saya yang akan tanggung semuanya.”

Pak Hamid mengangguk mengerti

“Kenapa abang dengan Pak Hamid ni? Macam ada buat salah aje dengan ayahanda. Ada yang tak kena ke?” soal Zulqarnain setelah membaca riak wajah kedua-dua lelaki di hadapannya itu.
“Tak ada apa-apalah Nine. Kalau tak ada apa-apa, Pak Hamid beredar dulu.”
“Yalah. Nanti kita jumpa kat rumah ya,” ujar Zulqarnain lalu mengenakan cermin mata hitamnya.

Pak Hamid hanya mampu tersenyum lalu melangkah pergi meninggalkan mereka. Inderawan mengerti dengan bahasa tubuh pemandu ayahnya itu. Dia juga merasakan Pak Hamid begitu bimbang dengan apa yang bakal berlaku nanti. Zulqarnain mencapai pemegang troli bagasinya. Belum sempat dia menolak, ada sesuatu seperti sedang bertembung dengan trolinya. Troli milik gadis itu melanggar troli miliknya yang masih lagi tidak bergerak.

“Apa ni? Tak nampak ke? Buta?” tempik gadis itu kepada Zulqarnain.

Sekali lagi Zulqarnain menanggalkan cermin matanya. Terkejut dengan tindakan perempuan di hadapannya. Sudah terang lagi bersuluh gadis itu bersalah. Kerana terburu-buru mencari sesuatu di beg tangannya, dia bertembung dengan troli Zulqarnain. Inderawan keliru dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh gadis yang sedang menyinga itu. Dia juga jelas dengan apa yang berlaku. Belum sempat Zulqarnain mahu meninggikan suaranya, matanya terlebih dahulu menangkap raut wajah gadis berambut perang itu. Rambutnya yang ikal di hujung, sesuai dengan warna kulitnya yang berwarna cerah itu.

Gadis itu mahu mengambil semula begnya yang telah terjatuh namun tangan Zulqarnain segera menahan. Dia tersentak dengan tindakan Zulqarnain itu.

“Orang yang secantik awak ni tak sepatutnya angkat benda yang berat-berat ni,” ujar Zulqarnain.

Inderawan tersenyum melihat tindak tanduk adiknya.
Benda berat? Setakat beg tangan tu kira berat ke? Kalau berat, macam mana perempuan ni boleh bawa ke hulur ke hilir? Nine…Nine..Perangai itu tidak berubah. Hati Inderawan bermonolog sendiri.

Pantang melihat gadis berdahi licin sedikit, pasti ayat manis akan keluar daripada bibir Zulqarnain. Inderawan sempat memerhatikan gadis itu. Memang hatinya mengakui gadis itu dikategorikan sebagai seorang gadis yang menawan. Tetapi sayang, penampilan gadis itu sudah hilang sifat melayunya. Gadis itu mengenakan kemeja berlengan pendek mengikut potongan badan dan menampakkan sedikit bahagian dadanya. Kemeja berwarna putih itu dikenakan dengan skirt biru pekat paras lutut.

“Lain kali jalan guna kaki, tengok dengan mata. Kalau tak, troli saya dengan awak tak berlanggar macam ni.”
“Biasanya, perempuan akan jadi tak beberapa nak nampak keadaan sekeliling kalau bertembung dengan saya. Saya rasa awak yang dah langgar saya tadi.”
“Saya tak ada masa nak layan orang macam awak ni.”

Tangan itu laju sahaja mencapai begnya yang berada di tangan Zulqarnain lalu di letakkan di atas troli.

“Tak ada masa? Bukannya dah dekat 2 minit awak luangkan masa untuk saya. Apa kata kita jadikan 2 minit tu kepada 20 minit. Ataupun saya rasa lebih baik 2 jam? Why not we have some coffee?

Gadis itu melemparkan reaksi yang sinis sebaik sahaja mendengar pelawaan Zulqarnain. Dia perlu bergegas menyelesaikan urusannya. Lantas, dia meninggalkan Zulqarnain di situ. Laju sahaja kakinya melangkah. Pandangan Zulqarnain seperti tidak mahu melepaskan gadis itu.

“Dah habis tengok?” soal Inderawan.

Zulqarnain membalas dengan menampakkan barisan giginya yang putih.

“Tersengih-sengih. Perangai tak berubah.”
Come on my big brother. Sememangnya perempuan diciptakan untuk lelaki. Sejak azali lagi perempuan itu menarik perasaan dan naluri lelaki.”
“Yalah. Nine tu semua perempuan menarik. Abang rasa, kat Italy tu entah berapa ramai yang jadi senarai menarik perhatian Nine kan?”
“Abang, Nine ni tak jumpa lagi yang betul-betul menusuk ke kalbu. Sebab tulah Nine terus mencari ni. Perempuan yang menarik mata lelaki ni memang ramai, tapi yang menarik kat hati ni payah nak cari.”
“Yalah tu. Bukannya Nine tu dari dulu lagi memang macam ni ke?”
“Ish abang ni. Mana ada. Ha…apa kata Nine carikan untuk abang seorang. Nak? Ke abang dah ada calon ni?”

Tersentak seketika Inderawan dibuatnya tatkala mendengar tutur kata Zulqarnain. Dia tidak menjawab, sebaliknya kakinya melangkah mahu menuju ke tempat letak kereta. Terkebil-kebil mata Zulqarnain dibuatnya melihat reaksi abangnya itu. Pelik.

--------------------------------

Langkah Inderawan terhenti sebaik sahaja tiba di tempat letak keretanya. Zulqarnain yang berada di hadapan menonong berjalan tanpa menyedari tindakan Inderawan.

“Nine, nak pergi mana tu?”

Zulqarnain menoleh sambil wajahnya memancarkan keyakinan yang dia mahu meneruskan langkahnya.

“Nak pergi tempat letak kereta abang lah. Nak pergi mana lagi.”
“Kita dah sampai dah pun. Ni kereta abang.”

Mata Inderawan menghalakan ke kirinya. Berkerut dahi Zulqarnain memerhatikan kenderaan tersebut.

“Kereta Kenari? Abang Indera, janganlah nak buat kelakar. Langsung tak kelakar tau.”
“Buat apa abang nak buat kelakar. Abang dapat apa?”
“Kakandaku Inderawan.....your car is BMW 3 Series Convertible E93 with Roof Folding Mechanism.  

 Jauh sangat bezanya dengan Kenari. Ingat Nine budak-budak ke? Kereta Kenari ni macam mana nak kasi lipat bumbung?”

“Sekarang dah tak lagi.”

Zulqarnain mahu meneruskan langkahnya namun terhenti sebaik sahaja mendengar kata-kata Inderawan.

What do you mean by sekarang dah tak lagi?”
“Abang betul-betul dah tak pakai kereta tu lagi.”
“Kalau dah tak pakai BMW, abang pakai apa? Volkswagen? Ferrari? Audi?”

Inderawan menggeleng. Jari telunjuknya menghala ke kiri.
Zulqarnain segera menggelengkan kepalanya. Masakan abangnya itu menaiki kereta itu.

“Abang…..what is going on here?”

Inderawan menunjukkan kunci lalu menekan punat yang berada di kunci tersebut. 

No comments:

Post a Comment