“Biar berdentum guruh
di langit, bumi tak akan hancur sebelum kiamat.”
Matanya seperti
terpukau melihat kertas lukisan itu. Pandangannya seolah-olah terpaku dengan
apa yang ada di dada kertas itu. Halus, kreatif dan penuh dengan jiwa. Itu yang
terbit di fikirannya. Lukisan seorang lelaki sedang berjalan sendirian sambil
memandang langit terbentang luas yang beransur jingga itu begitu menarik
perhatiannya. Seolah-olah lelaki di dalam lukisan itu mahu mencoretkan sesuatu
ke dada langit. Tambahan lagi latar belakang waktu senja itu menambahkan lagi
perasaan sayu si pelukis. Sepertinya lelaki itu mahu bebas daripada cengkaman
hidup yang melanda diri. Dia cuba menyentuh lukisan itu.
“Cantik ke?”
Tangannya terhenti lalu
memandang lelaki bersusuk tubuh kurus itu sambil memberikan senyuman.
“Cantik,”
“Cik nak beli ke?”
tanya Amsyar.
“Lukisan ni encik yang
punya ke?”
“Kenapa ya?”
“Saya kagum. Halus
hasil tangan pelukis ni. Encik ke orangnya?”
“Eh, bukan saya. Dia
tak ada. Keluar kejap. Ada hal katanya.”
Pandangannya kembali
kepada lukisan itu.
“Macam dah jatuh cinta aje
dengan lukisan tu,”
Kedengaran ketawa kecil
keluar daripada mulut yang merah mekar itu.
“Bukan senang nak
hasilkan lukisan macam ni. Seni lukisan tak cukup dengan ilham dan tangan yang
berbakat malah ia memerlukan jiwa, perasaan dan naluri. Setiap garisan dan
bayang yang terhasil ada makna yang mahu disampaikan. Kadang-kadang meluahkan
sesuatu ke atas kertas lebih lantang bunyinya daripada memekik menggunakan
bibir. Lukisan ni ada kuasa untuk berbicara walaupun ia bisu. Kalau kita
melukis dengan hati, orang akan tahu apa yang kita rasa.”
Amsyar menggaru-garu
kepalanya yang tidak gatal itu, kurang mengerti dengan apa yang cuba
disampaikan oleh gadis itu.
Pandangannya beralih
kepada lukisan yang lain. Senyuman tidak lekang dari bibirnya. Dia seperti
tenang melihat hasil kreatif pelukis yang tidak dikenalinya. Amsyar hanya
memerhatikan pelakuan gadis itu. Dari kaca mata Amsyar, gadis berbaju putih itu
begitu menjiwai lukisan Inderawan, sepertinya dia turut berada di dunia lukisan
itu.
“Boleh saya ambil
gambar lukisan ni? Saya dapat rasakan sesuatu emosi bila saya tengok lukisan
ni. Saya janji, saya tak akan buat apa-apa pun. Cuma koleksi gambar peribadi
saya aje,” pinta gadis itu.
“Rasanya boleh kut,”
balas Amsyar dengan perasaan berbelah
bahagi.
--------------------------------
Jelas kedengaran bunyi
tamparan itu di telinga Zulqarnain. Tangan Inderawan berada di pipi, menahan
rasa pedih.
“Kau memang dah makin
kurang ajar dengan ayahanda,”
Pandangan Inderawan
semakin tajam terhadap Dato’ Mahmood.
“Kenapa tak nak tampar
lagi sebelah, ayahanda?”
Inderawan seolah-olah
mencabar ayahnya.
“Abang Indera..!!”
tegur Zulqarnain.
Terkejut benar
Zulqarnain dengan perubahan Inderawan. Sebelum dia berangkat ke Milan dahulu
sifat Inderawan tidak sebegitu. Raudhah, Syaqir dan Naqiuddin hanya mampu
membisu. Sudah lama mereka bertiga tidak menyaksikan pertengkaran dua beranak
itu semenjak abang sulung mereka melangkah keluar daripada banglo tersebut.
“Anak biadap,” jerit
Dato’ Mahmood lagi.
Lantang suara Dato’
Mahmood bergema di segenap ruang banglo itu lantas satu tamparan lagi hinggap
di pipi kiri Inderawan. Kali ini tubuh Inderawan seperti tercampak ke sofa
baldu itu. Berdengung telinga Inderawan ketika itu. Dato’ Mahmood sudah hilang
sabar.
“Ayahanda tak kira. Kau
mesti ikut cakap ayahanda,”
“Indera bukannya
budak-budak lagi nak ikut semua kemahuan ayahanda,”
“Kau ni kenapa? Nak
memberontak sejak ayahanda kahwin dengan Aunty Tria? Ataupun kau marah sebab
ayahanda paksa kau kahwin dengan anak pemilik Laksmana Holdings tu?”
“Seorang ayah yang baik
tidak akan sesekali memaksa anaknya melakukan sesuatu yang boleh menyakiti
anaknya sendiri. Walaupun ayahanda besarkan Indera, tapi itu bukan alasan
ayahanda boleh paksa Indera.”
“Apa??!! Kau ingat
ayahanda ni siapa? Ayahanda ni bapa kandung kau tau.”
Inderawan tersenyum
mengejek apabila mendengar perkataan itu.
“Bapa kandung? Bapa
kandung patut ke perangai tak senonoh macam tu?”
Tangan kanan Dato’
Mahmood sudah naik.
“Ayahanda, jangan!!”
Zulqarnain cuba
menghalang. Dia semakin keliru dengan apa yang berlaku. Pantas sahaja Inderawan
berkeras tidak mahu melangkah masuk ke banglo itu tadi. Puas dia memujuk, baru
Inderawan bersetuju.
Dato’ Mahmood memandang
Zulqarnain lalu membatalkan niatnya.
“Susah sangat ke kau
nak ikut kemahuan ayahanda? Ayahanda cuma nak kau tunang dulu anak Datuk Ramli
tu. Dia kawan baik ayahanda. Tapi….kau dah ambil keputusan untuk melangkah
keluar daripada rumah ni dan kau jadi pelukis tepi jalan. Itu ayahanda tak
boleh terima. Ayahanda tak nak kau melukis kat tepi jalan tu tak tentu pasal.
Macam orang jalanan, macam pengemis, macam orang tak ada tujuan,”
“Indera tak menyusahkan
ayahanda meskipun Indera cuma seorang pelukis jalanan.”
“Tak menyusahkan
ayahanda? Orang sekeliling nampak, nanti orang cakap ayahanda ni tak mampu nak
kasi kau makan sampai kau sanggup mengemis kat tepi jalan tu. Susah payah
ayahanda majukan Taming Sari Berhad. Ayahanda buat semua ni untuk kau orang
adik-beradik. Dah hidup kau memang senang kat Taming Sari Berhad jadi CEO,
tiba-tiba nak keluar jadi pelukis jalanan?”
“Untuk Indera? Ke untuk
nama ayahanda? Ayahanda malu sebenarnya kan? Malu kalau orang cakap anak Dato’
Mahmood jadi pelukis jalanan.”
Kata-kata Inderawan
seperti api yang marak di telinga Dato’ Mahmood.
“Abang Indera, ayahanda
apa yang dah jadi sebenarnya?” ucap Zulqarnain dengan nada yang separuh tinggi,
dia tidak mahu pertengkaran itu berterusan.
Kalau dia berada di
tempat abangnya, dia biarkan sahaja Dato’ Mahmood memarahinya meskipun dia
tidak pasti apa alasan yang menyebabkan perbalahan itu berlaku.
“Ayahanda dah buat
keputusan. Kau suka ke tak suka, kau tetap kena tunang dan kahwin dengan anak
Datuk Ramli tu. Kau jangan nak malukan ayahanda, Indera. Selagi kau tak mahu
jejakkan kaki ke rumah ni dan kau tetap nak jadi pelukis tepi jalan macam peminta
sedekah tu, jangan harap ayahanda nak wariskan apa yang ayahanda ni pada kau,”
ucap Dato’ Mahmood dengan nada yang sangat tegas.
Nafas Inderawan turun
naik, menahan geram. Geram dengan ayahnya.
“Ayahanda memang suka
aturkan hidup orang lain kan? Ayahana terlalu pentingkan diri sendiri. Pernah
tak ayahanda fikir pasal bonda? Ayahanda tahu tak apa yang ayahanda buat pada
bonda?”
“Jangan sesekali kau
nak libatkan soal bonda. Sekarang ayahanda tengah cakap pasal kau. Seseorang
anak yang baik seharusnya menurut perintah ayahnya.”
Inderawan mulai ketawa
mendengar butir kata Dato’ Mahmood. Ketawanya penuh dengan nada sinis.
“Ayahanda nak berbicara
soal anak yang taat? Kalau menurut, biar berakal. Kalau mengikut, biar pintar.
Tuah Inderawan tak akan sesekali menurut perintah Dato’ Mahmood yang tidak
masuk akal. Bagaimana seorang anak mahu menjadi anak yang taat sedangkan
ayahandanya sendiri tidak tahu apa ertinya taat.”
Pandangan Dato’ Mahmood
tepat ke mata Inderawan yang sedang menatapnya. Ego dan maruahnya tercabar
dengan kata-kata anak sulungnya itu.
“Tuah Inderawan, jangan
sesekali mahu menduga taring si belang. Kau jangan lupa dengan siapa kau sedang
bercakap.”
“Kenapa ayahanda?
Bimbang taring sang harimau akan patah ataupun kuku sang belang akan tumpul tatkala
pekung di dadanya terbuka? Ataupun ayahanda ada penyakit alahan kepada
kebenaran?”
“Kau memang anak yang
tak……………………”
Belum sempat Dato’
Mahmood menghabiskan ayatnya, suara itu bergema di segenap ruang tamu.
“Mahmood,
Inderawan……apa yang dah berlaku ni?”
Tiba-tiba sahaja suara
itu menjelma, mencelah di antara suara mereka. Dato’ Mansoor sedang berdiri
sambil tangan kanannya memegang tongkat. Kesemua isi rumah memandang ke arah
Dato’ Mansoor. Wajahnya jelas menunjukkan kemarahan.
“Tok ayahanda….”
panggil Inderawan.
Dato’ Mansoor masih
lagi kelihatan gagah walaupun raut wajah itu mempamerkan berpuluh kedutan.
Dato’ Mahmood duduk sebaik sahaja ayahnya mula masuk campur.
“Sudah berapa kali aku
suarakan, jangan sesekali menyalakan bara api dalam rumah ini. Kau anak beranak
nak rumah ini hangus terbakar dijilat api dek keegoaan dan dendam kamu berdua?”
Inderawan hanya
membisu. Bukan ini yang dia minta sebaik sahaja bertemu dengan datuknya. Dan
bukan ini yang dia harapkan tatkala bertentang mata dengan Dato’ Mansoor. Dia
sama sekali tidak mahu menjadi punca terhadap nyalaan api pertengkaran itu.
Akan tetapi dia sendiri tidak mengerti. Setiap kali dia memandang wajah
ayahnya, pasti perasaan itu muncul. Langsung tidak terlintas di hatinya mahu
menjadi anak yang derhaka.
“Hari ini sepatutnya
menjadi hari yang penuh dengan kesyukuran kerana menyambut kepulangan
Zulqarnain. Tapi sekarang dah jadi malapetaka yang memakan diri. Mahmood,
sepatutnya kau sambut kepulangan Nine dan Indera.”
“Ayahanda, Indera perlu
ditegur kerana sudah membuat kesilapan.”
Dato’ Mansoor berjalan
perlahan menuju ke sofa tunggal yang terletak berhampiran dengan tempatnya
berdiri. Si kembar Syaqir dan Naqiuddin segera membantu datuk mereka berjalan,
bimbang jika ada apa-apa yang berlaku. Kesihatan Dato’ Mansoor tidak menentu.
“Tegur biar berlapik,
cakap biar beralas, Mahmood. Apa yang ayahanda dengar bukan tegur tapi
bertengkar,” ucap Dato’ Mansoor sebaik sahaja duduk.
Inderawan segera menuju
ke arah Dato’ Mansoor lalu menghulurkan tangan mahu bersalam dengan datuknya
dan tangan yang berurat itu menyambutnya.
“Tok ayahanda, maafkan
Indera. Indera bukannya ada niat untuk menyakiti tok ayahanda apatah lagi mahu
menghunus sembilu di hati tok ayahanda. Mungkin kedatangan Indera ke rumah ini
langsung tidak diterima dengan hati yang terbuka.”
“Rumah ini rumah Indera
juga. Rumah ini milik tok ayahanda,” balas Dato’ Mansoor.
“Maafkan Indera.
Mungkin rumah ni dulu rumah Indera juga. Tapi bukan sekarang. Apa yang jadi
sekarang dah tak sama macam dulu. Masakan masa yang sudah berputar boleh
diundur kembali, tok ayahanda. Biar Indera hidup berdikari.”
“Anak tak tahu dek
untung dan budi. Tak tahu apa itu senang, apa itu payah, ada hati hendak
berdikari? Biarkan dia ayahanda. Biar dia tahu langit tu rendah ataupun
tinggi,” sindir Dato’ Mahmood.
Inderawan menoleh ke
arah Dato’ Mahmood semula.
“Kalau ayahanda lebih
tahu langit itu tunggi ke rendah, kenapa ayahanda masih meminta daripada anak
sulung ayahanda ni untuk kahwin dengan anak Datuk Ramli tu? Kenapa ayah masih
merayu kepada pengemis jalanan ini? Masih tidak cukup tinggi jajahan langit
ayahanda atau belum cukup luas lagi taklukan bumi ayahanda? Tidak cukup lagi ke
dengan apa yang ayahanda miliki sampai sanggup membuang anak sendiri?”
“Ayahanda tak pernah
buang kau. Kau sendiri yang nak keluar daripada rumah ni.”
“Sudah Mahmood, Indera.
Aku kat sini bukannya tunggul kayu yang tidak mempunyai suara.”
Inderawan tertunduk.
Sememangnya pendirian Dato’ Mahmood tidak bisa diubah.
“Abang Indera,
ayahanda, tok ayahanda….apa yang sedang berlaku sebenarnya ni?” soal
Zulqarnain.
Dia dari tadi masih
lagi teraba-raba di dalam gelap mencari arah. Seolah-olah sedang memekik
sendirian meredah hutan yang tiada penghujungnya. Mengapa semua orang dalam
rumah itu berubah? Tidak sama seperti hari terakhir dia melangkah ke Italy
dulu. Dato’ Mansoor juga berubah. Dia kenal benar perangai datuknya itu.
Datuknya bukan pemarah orangnya. Dan mengapa Inderwan juga begitu?
Inderawan segera
melangkah, mahu meninggalkan banglo itu.
“Inderawan, jangan kau
nak teruskan lagi melukis tepi jalan tu kalau kau rasa kau masih lagi darah
daging aku.”
Kata-kata Dato’ Mahmood
bagaikan jarum yang menusuk ke jantungnya. Sakit tidak terkata. Kalau ikutkan
hati, mahu sahaja dia bertikam lidah tetapi tidak sanggup rasanya terus menerus
mencetuskan peperangan dengan Dato’ Mahmood di hadapan Dato’ Mansoor. Sudah
dari awal lagi dia menduga perkara ini akan berlaku sebaik sahaja Zulqarnain
pulang daripada Milan, Italy. Peristiwa hampir setahun yang lalu menjelma
semula di fikirannya.
Belum sempat dia
memulas tombol pintu itu, terlebih dahulu ada seseorang sedang membuka pintu
tersebut. Inderawan kenal benar dengan wajah itu. Tidak mungkin dia mampu
melupakan wajah wanita itu daripada kotak fikirannya. Ibu tiri Inderawan cuba
mengukir senyuman tetapi dibalas dengan pandangan yang sama seperti pandangan
Inderawan terhadap Dato’ Mahmood. Benci dan dendam yang teramat dalam.
“Indera….baru sampai
ke?” tegur Tria yang baru sahaja pulang daripada membeli-belah.
Inderawan memerhatikan
wanita yang sudah menjadi isteri ketiga kepada Dato’ Mahmood. Dia tahu,wanita
itu punya agenda tersendiri ketika mengahwini ayahnya.
“Saya rasa mesti aunty seronok kan kerana dilimpahi
dengan wang ringgit. Mesti aunty
bahagia kan setelah melihat penderitaan orang lain? Betul kan aunty Tria?”
Serta merta wajah Tria
berubah tatkala mendengar kata-kata Inderawan. Kaki Inderawan segera melangkah
keluar daripada rumah itu. Dia sudah nekad. Dia pasti dengan keputusan yang dia
lakukan.
--------------------------------
Inderawan meletakkan
kereta Kenari merah miliknya di tempat biasa. Dia sudah menjejakkan kakinya di
Arked Jaya. Kakinya laju menuju ke gerai itu. Sebaik sahaja kakinya berhenti,
tangannya laju menggapai stand lukisan yang berada di dinding lalu dilaraskan
mengikut keselesaannya. Inderawan meletakkan kanvas lukisan yang masih lagi
berbaki separuh siap ke atas stand kayu itu. Amsyar yang sibuk melayan
pelanggan yang datang ke gedai bukunya segera menoleh sebaik sahaja melihat
kelibat itu tiba. Amsyar yakin, pasti ada yang tidak kena pada Inderawan.
Inderawan duduk di
bangku kecil itu lalu menekup mukanya seketika. Tatkala tapak tangannya
menyentuh pipi, baru dia terasa perit. Kesan tamparan yang menghinggapi anggota
itu baru kini terasa pedihnya. Tetapi tidak mampu menandingi pedih dan luka di
hatinya. Inderawan tidak pasti apakah perasaan yang sedang menyelubungi segenap
jiwanya. Semuanya bercampur aduk. Bagaikan dikisar lalu menjadi campuran yang
entah apa rasanya. Dia mengambil sebatang pensel lalu diasah dengan pisau
menjadi separuh tajam. Dia cuba untuk menenangkan jiwanya yang semakin
bercelaru itu. Hanya dengan luahan di atas kertas putih itu sahaja yang mampu
mengurangkan segala beban yang terbuku.
Inderawan merenung
lukisannya yang separuh siap itu. Renungannya seperti boleh menembusi kertas
itu sehingga kedai yang berada di hadapannya. Tangan kanannya masih lagi
memegang pensel hb itu. Baru sahaja dia menemukan mata pensel itu dengan kanvas,
tangannya seperti kaku untuk bergerak. Jiwanya kosong, fikirannya memikirkan
kata-kata ayahnya.
“Kalau dah tak suka,
jangan dipaksa, Wan,” tegur Amsyar yang baru sahaja selesai memasukkan wang
kertas ke dalam beg pinggangnya.
Inderawan segera
memandang Amsyar. Amsyar mengambil bangku merah dan bungkusan coklat yang
berada di meja gerai bukunya lalu diberikannya bungkusan itu kepada Inderawan.
“Apa ni?”
“Kegemaran kau. Apa
lagi kalau bukan getuk ubi Mak Cik Leha depan sana tu,” balas Amsyar sambil
melabuhkan punggungnya di atas bangku merah itu.
Inderawan tersenyum.
“Kau belanja aku ke
ni?”
“Makan ajelah. Aku tahu
kau belum makan lagi.”
“Macam mana kau tahu
aku belum makan lagi? Perut kau kongsi dengan perut aku ke?”
“Wan, aku kenal kau
sejak hari pertama kau melukis kat sini lagi. Kau pakai sari dari jauh pun aku
dah kenal siapa kau.”
Inderawan hanya mampu
memberikan senyuman. Wan, itulah panggilan untuk dirinya ketika berada di situ.
Ya, mungkin Amsyar kenal siapa Wan, tetapi rakannya itu belum cukup mengenali
siapakah sebenarnya disebalik nama Wan itu. Cukup hanya sekadar nama pendek itu
menjadi panggilan. Dia tidak mahu berhadapan dengan kenyataan perit itu.
“Apa yang kau fikir?”
tanya Amsyar sambil tangannya menyeluk masuk bungkusan coklat yang berisi getuk
ubi itu.
“Apa yang aku fikir?”
Inderawan mengembalikan
soalan itu kepada Amsyar.
“Kau ni macam tulah
selalu. Bila aku tanya kau, kau tanya aku balik,” rungut Amsyar lalu mengunyah
lumat kuih tradisional itu.
“Yalah. Kenapa kau
tanya aku macam tu pula?”
Amsyar menghabiskan
kunyahannya terlebih dahulu sebelum kembali bersuara.
“Kalau kau dah mengadap
lukisan tu tapi kau tak buat apa-apa pun, maknanya kau tengah fikir benda lain
lah tu.”
“Yalah tu. Macam mana
kau tahu?”
“Orang seni macam kau
ni perlukan ilham untuk berkarya. Kalau tadi aku tengok tangan kau tak buat
apa-apa pun tapi mata kau tengok lukisan tu sampai tembus, sampai nak koyak
lukisan tu aku tengok.”
Inderawan menyengih
lalu menyuap bebola getuk ubi itu ke dalam mulutnya. Sememangnya Amsyar seperti
memahami perasaannya.
“Apasal pipi kau? Merah
semacam aje?”
Lantas Inderawan
menyentuh pipinya. Masih lagi terasa sakit. Semasa dia mengunyah tadi, turut
terasa peritnya.
“Tak ada apa-apalah,”
jawab Inderawan pendek.
“Tak ada apa-apalah?
Klise sangatlah jawapan kau tu. Semua orang pakai kalau ada benda yang tak
kena. Kenapa? Tiba-tiba aje? Tadi pergi muka kau elok aje. Tup tup balik merah
padam kiri kanan.”
“Tak ada apa-apalah,
Am.”
Pandangan Inderawan
mahu mengelak daripada menatap mata Amsyar. Dia mengalihkan penglihatannya ke
tempat lain.
“Kau ni memang macam ni kan? Suka simpan
sendiri semua benda. Kau ingat kau tu poket Doraemon? Simpan semua benda dalam
poket yang kecil tu? Masa pertama kali kau sampai sini pun kau ni macam misteri
orangnya. Sampaikan nama kau pun aku tahu Wan aje. Takkanlah nama kau Wan aje
kan? Dah banyak kali aku tanya tapi kau tak pernah jawab. Manalah tahu Ridhwan
ke, Izwan ke Cik Siti Wan Kembang ke, Wan Maimunah ke.”
Amsyar cuba berseloroh.
Begitulah sikapnya. Dia tidak suka orang disekelilingnya bemuram durja.
Inderawan masih lagi
mampu mendengar jenaka Amsyar namun semuanya umpama pantulan batu ke dinding.
Langsung tidak masuk ke fikirannya.
“Am, kau selalu gaduh
dengan ayah kau tak?” soal Inderawan, tiba-tiba.
“Ayah aku? Pernahlah
juga. Tipulah kalau kata tak pernah tapi taklah selalu. Kadang-kadang memang
ada perselisihan faham. Biasalah tu. Walauapapun yang jadi, meskipun aku
berlainan pendapat dengan ayah aku dalam sesetengah perkara, dia tetap orang
yang paling aku sanjung selepas mak aku.”
Inderwan memberikan
ketawa sinis setelah mendengar jawapan daripada Amsyar.
“Apasal? Kau gaduh
dengan ayah kau ke? Pipi sampai merah mak ngah ni sebab ayah kau ke?” teka
Amsyar.
Inderawan membisu.
Hanya pandangan kosong sebagai jawapan.
No comments:
Post a Comment