BAB
8
“Bak angin mengubah
haluan, sekelip mata tidak searah hati dan fikiran.”
Haqimi berdiri di
hadapan meja penyambut tetamu Hotel Hyatt Regency itu. Dia sedang menguruskan pendaftaran
bilik untuk Zulqarnain dan Wardah. Mahu atau tidak, Haqimi sebagai pembantu
peribadi terpaksa menuruti apa sahaja arahan anak Dato’ Mahmood itu. Setelah
apa yang berlaku di pusat hiburan tadi, Zulqarnain sudah mengambil keputusan
untuk tidak pulang ke rumahnya.
Zulqarnain memandang
Wardah. Mereka sedang duduk di sofa yang terletak di ruangan lobi. Zulqarnain
menyandarkan kepalanya. Selain daripada kesan minuman keras itu, tumbukan Danny
tadi juga menjadi faktor kepalanya terasa berat. Pandangannya juga sedikit
berpinar. Dia memejamkan kepalanya untuk seketika. Entah mengapa semua masalah
datang dalam satu masa yang sama. Semua bercampur aduk menyebabkan Zulqarnain
malas mahu memikirkan kenyataan yang sedang dia hadapi kini. Zulqarnain membuka
kelopak matanya perlahan-lahan lalu matanya beralih kepada Wardah yang sedang
duduk di sebelah kanannya. Lama dia memerhatikan gadis itu.
“Encik Nine nak apa-apa
ke? Air?”
Zulqarnain menggeleng.
“Kenapa awak tak nak
balik aje? Dah lewat malam ni.”
“Tugas saya belum
selesai lagi. Memandangkan Encik Nine tak nak balik, saya perlu berada di sisi
Encik Nine sebab itu adalah tugas saya.”
“Masa dulu sebelum awak
terima kerja sebagai pengawal peribadi Dato’ Mahmood, awak tak ada fikir segala
kemungkinan yang akan awak hadapi?”
“Saya dah fikir
masak-masak. Kalau tak saya tak berada di mana saya berada sekarang. Saya tahu
risiko kerja saya. Tapi ini dah jadi tanggungjawab saya. Saya agak sukakan
cabaran. Ingat orang lelaki aje boleh jadi pengawal peribadi?”
Zulqarnain tersenyum
tatkala mendengar jawapan Wardah. Sepanjang perkenalan mereka berdua, jarang
Zulqarnain melihat Wardah melepaskan rambutnya. Wardah lebih gemar menyanggul
moden helaian rambutnya itu. Akan tetapi malam itu, ikatan rambut Wardah
terlepas akibat pergaduhannya dengan Danny tadi. Sewaktu mengukir senyuman,
tiba-tiba sahaja pipi Zulqarnain terasa perit. Tangan Zulqarnain segera
menyentuh ke pipinya.
Apabila melihat keadaan
Zuqarnain, Wardah segera mengeluarkan sapu tangannya. Dia menekap pipi
Zulqarnain yang kelihatan sedikit bengkak itu.
“Encik Nine cuba tekap
dulu. Nanti dah sampai kat bilik, cuba tuam dengan air panas. Mana tahu kurang
sikit bengkak tu.”
“Terima kasih,” ucap
Zulqarnain lalu mengambil sapu tangan biru milik Wardah.
“Tak apa, Encik Nine.
Cuma sapu tangan aje.”
“Tak, bukan pasal sapu
tangan ni aje. Saya betul-betul berterima kasih dengan awak. Saya memang tak
sangka awak buat macam apa yang awak buat tadi masa kat kelab tu. Tapi, saya
agak tercabar juga bila awak yang pertahankan saya. Itu masalah saya.”
“Itu memang tugas saya.
Dato’ Mahmood dah arahkan saya untuk jaga keselamatan Encik Nine. Bila dah
melibatkan serangan anggota, itu sudah menjadi masalah saya. Apa saya nak jawab
dengan Dato’ Mahmood kalau dia nampak anak lelaki dia penuh dengan lebam-lebam
kat muka?”
“Yeah, you got the point. And thanks again.”
“Sebab?”
“Bagi saya tumbuk mamat
tu sebelum kita keluar daripada kelab tu.”
Wardah hanya tersenyum
lalu mengangguk.
“Tadi masa mamat tu
serang saya, awak langsung tak memberi serangan. Semuanya saya nampak awak
tepis. Langkah awak cepat. Patutlah awak salah seorang pengawal peribadi
ayahanda saya. Berapa banyak seni pertahankan diri awak ada?”
Terbit rasa kagum di
hati Zulqarnain apabila memerhatikan gadis itu. Wardah nampak seperti gadis
biasa yang lemah lembut.
“Sememangnya saya tak
suka memberi serangan. Selagi saya boleh tepis, saya akan tepis. Saya tahu
silat dan tae kwan do. Tapi saya lebih suka silat sebab ia sebati dengan adat
dan budaya kita.”
“Saya belum pernah
nampak perempuan macam awak.”
“Saya tahu, saya nampak
kasar sikit kan bila dah buka langkah?”
“Tak, saya rasa awak
nampak seksi.”
Pantas sahaja
Zulqarnain mengeluarkan kenyataan itu. Ayat itu spontan.
Nine..kau cakap apa ni?
Seksi? Apasal mulut kau ni cakap macam tu pula? Salah faham pula Mrs.bodyguard
aku ni. Rungut hati Zulqarnain sendiri.
Akan tetapi, itulah
perkataan yang sesuai untuk menggambarkan diri Wardah ketika itu. Entah mengapa
definisi perkataan seksi itu terasa sesuai digunakan untuk Wardah. Zulqarnain
sendiri tidak pasti. Selama ini gadis yang berambut panjang, bergaya dan pandai
berhias adalah menarik baginya. Tetapi, malam itu perspektifnya berubah.
Wardah terkedu seketika
apabila mendengar butir kata Zulqarnain. Wardah memerhatikan penampilannya
ketika itu. Puas dia memeriksa setiap inci pakaiannya. Manalah tahu ada yang
terdedah semasa pergaduhan tadi.
Tang mana pula aku ni
seksi? Aku pakai tutup semua ni. Tak ada yang terbelah sana, terbuka sini. Ke
mamat Italy ni memang dah mabuk? Ke dia bayangkan benda bukan-bukan bila tengok
aku? Kali ini giliran hati Wardah pula berkata-kata. Wajah Wardah sedikit
kebimbangan.
“Maksud saya bukan
macam tu. Bukan seksi. Awak jangan salah faham. Saya….memang tak ada niat
apa-apa. Maksud saya, awak nampak…………..”
“Bos, bilik dah siap. Bos
dengan Wardah dah boleh check-in,”
ucap Haqimi yang baru sahaja tiba di tempat duduk mereka.
“Bagus kau datang. Aku
rasa aku dah pening kepala sangat ni. Kau memang nak balik ke?”
Laju sahaja Zulqarnain
mengubah topik. Dia sendiri tidak pasti tiba-tiba sahaja lidahnya seperti kelu
untuk memberikan alasan.
“Yalah bos. Pejabat
dengan rumah aku dekat. Esok pagi banyak benda nak buat. Bos jangan lupa,
tengahari esok ada mesyuarat dengan CEO Bina Kurnia Berhad. Nak bincang pasal
hiasan dalaman untuk projek plaza tu.”
“Ya, aku ingat. Masuk
kali ni dah berapa juta kali kau ingatkan aku.”
“Yalah bos. Dato’
Mahmood dengan arwah pemilik Bina Kurnia Berhad tu kan klien tetap dengan
Taming Sari Berhad. Dato’ Mahmood anggap ini peluang untuk bos belajar. CEO
Bina Kurnia Berhad, Wafi Azrel Shah tu kan menantu arwah Tuan Ridzuan. Dato’
Mahmood nak bos jadi macam Wafi tu. Muda-muda dah ada semangat untuk berjaya.
Dato’ Mahmood juga nak tengok kemampuan bos.”
“Ya. Alasan ni pun dah
berapa juta kali kau cakap. Aku dah boleh hafal dah. Ayahanda aku tu pun satu.
Baru masuk kerja dah bagi aku macam-macam kerja.”
“Kalau macam tu, bos
dengan Wardah tidur ya? Ha, ini bukan macam kat Italy, boleh suka-suka masuk
bilik orang lain.”
“Gaji bulan ni aku
potong separuh nak?”
“Bos, relakslah. Aku
cuma ingatkan aje. Bos kan dah tak jejak bumi sekarang ni.”
“Kau jangan banyak
cakaplah. Dah, cepat hantar aku pergi bilik aku. Ingat, kalau Dato’ Mahmood
tanya pasal aku, kau jangan cerita pasal hal kat kelab tadi. Kau cakap dengan
dia aku tidur kat hotel malam ni. Nak cari ketenangan.”
“Ok bos.”
--------------------------------
Zara Alisha segera
melangkah masuk ke dalam rumahnya. Dia tahu ayahnya itu belum melelapkan mata
lagi. Dia tidak kisah jika dimarahi sekali lagi oleh Datuk Ramli. Perkara itu
sudah lali baginya. Dia juga mahu menunjukkan tanda protes kerana peristiwa
petang tadi. Datuk Ramli pulang awal pada petang itu. Dia dapat mendengar
dengan jelas perbualan antara ayah dan ibunya. Datuk Ramli sudah mengatur
segala-galanya. Ternyata soal perkahwinan yang sudah diaturkan itu yang
dinyatakan oleh Datuk Ramli pada tempoh hari adalah benar. Kali ini Zara Alisha
sudah tidak mampu berbuat apa-apa. Apabila difikirkan semula, memang salah
dirinya juga. Sengaja mencari pasal. Akan tetapi jiwa remajanya sering
memberontak. Dia mahu hidup bebas.
“Awal balik hari ni?
Kenapa? Dah tak nak cari pasal lagi?”
Mata Datuk Ramli sempat
menjeling ke arah dinding. Jam menunjukkan pukul 11.30 malam Zara Alisha hanya
membisu. Ketika itu dia tiada perasaan. Ini semua gara-gara kejadian di kelab
hiburan tadi. Kalau Danny tidak mencari masalah, pasti dia pulang lewat malam
itu.
Datuk Ramli menantikan
balasan kata-kata daripada anak bongsunya itu tetapi Zara Alisha hanya
mendiamkan diri. Dia juga melihat anaknya itu pulang dalam keadaan normal,
tidak seperti tempoh hari.
“Baguslah kalau Alice
balik tak mabuk lagi macam selalu. Abah nak cakap yang abah dah bincang dengan
Dato’ Mahmood. Abah dah buat keputusan yang Alice kena kahwin dengan anak dia.”
“Alice tahu. Alice dah
dengar semuanya petang tadi.”
“Kalau dah dengar, tak
payah abah nak terangkan semuanya. Alice akan kahwin dalam masa terdekat ni.
Nanti Alice buat apa yang patut untuk pesediaan sebelum kahwin. Abah tak nak
ada sebarang bantahan pun. Ini semua untuk kebaikan Alice.”
Sekali lagi Zara Alisha
tidak memberikan sebarang respon.
“Alice tak nak tanya
siapa bakal suami Alice tu?” soal Datuk Ramli.
“Tak apalah, abah.
Alice tak nak tahu apa-apa. Lagipun kalau tahu, ada beza ke? Sama aje kan? Abah
dah buat keputusan. Lainlah kalau tahu nama dia, Alice tak payah kahwin,” jawab
Zara Alisha lalu segera melangkah menaiki tangga.
“Bertuah punya anak.
Ada aje jawapannya.”
Datuk Ramli merungut
sendirian. Datuk Ramli merasakan ini sahaja caranya untuk mengubah Zara Alisha.
Perangainya sudah jauh kebaratan. Dia mampu bernafas lega kerana Dato’ Mahmood
setuju akan permintaannya itu. Soal perniagaan adalah urusan kedua baginya
walaupun dia tahu disebalik perkahwinan anak mereka, pasti mendatangkan
kelebihan kepada syarikat mereka. Selain ikatan persahabatan yang semakin utuh,
dia mahu anaknya itu berubah.
No comments:
Post a Comment