BAB
6
“Namamu indah, namu
harum. Hati menjadi gundah lalu tersenyum.”
Zulqarnain bersiul
kecil apabila melangkah masuk ke dalam banglo itu. Hatinya riang tak terkata
apabila berjaya memiliki kereta idamannya selama ini.
“Amboi seronok sangat
nampaknya si mamat Italy ni. Orang masuk rumah bagi salam. Dia bersiul pula,”
tegur Dato’ Mansoor yang sedang menonton televisyen di ruang tamu.
Zulqarnain menyengih.
“Assalammualaikum Dato’
Mansoor yang kacak bergaya.”
“Waalaikummussalam.
Baru betul cara orang Melayu masuk rumah. Awal sampai? Macam mana hari pertama
bekerja?”
Mata Dato’ Mansoor
sempat memandang jam dinding antik itu. Memang awal. Pukul 4.30 petang dah
sampai rumah.
“Okey tok ayahanda. Tak
ada masalah.”
“Masuk kerja lambat,
balik kerja cepat. Tang mana yang okey tu? Tang mana yang tak ada masalah?
Raudhah yang pergi kerja awal pun tak balik-balik lagi,”
Zulqarnain segera
memicit kaki Dato’ Mansoor. Tahu sahaja datuknya itu yang dia pergi kerja lewat
pada pagi itu.
“Hari ni belajar apa?”
“Belajar macam-macam
tok ayahanda. Belajar…..mmm…belajar…..”
Aduh..cepatlah datang
idea temberang ni. Masa nilah kepala otak kau nak tersekat-sekat pula. Cepat
Nine, fikir-fikir.
“Cakap ajelah. Tak
payah fikir idea temberang lagi. Tadi pergi mana?”
“Nine pergi pandu uji
kereta baru. Ayahanda kasi sempena Nine masuk Taming Sari Berhad.”
“Dah bawa sampai ke
mana? Italy?”
“Tok ayahanda, agak
diluar jangkaan jugalah kalau sampai Italy. Kereta BMW tu mana ada sayap nak
terbang. Nine pergi main boling dengan PA dan bodyguard Nine.”
“Apa??? Pergi main
boling? Budak bertuah ni, kau nak lingkupkan syarikat aku tu ke?”
Tangan Dato’ Mansoor
laju sahaja memiat telinga Zulqarnain.
“Aduh..aduh..sakitlah
tok ayahanda.”
“Tahu pun sakit ya?
Dahlah buat jahat, lepas tu ada hati ajak orang lain sekali tu.”
“Ala..tok ayahanda,
main boling sorang-sorang mana seronok. Sebab tulah Nine ajak Haq dengan Wardah
sekali. Lagipun Nine stres gila dengan keadaan sekarang ni. Sebab tu pergi main
boling. Ingat nak rehat-rehat dulu. Ingat belajar tu tak penat ke? Belum sampai
seminggu lagi kat Malaysia ni dah kena kerja,” ucap Zulqarnain dengan nada
sedih sambil mengusap telinganya.
“Dah buat salah tu, ada
hati nak menjawab dengan perasaan tak bersalah.”
“Relakslah tok
ayahanda. Eh, Shaq dengan Que mana?”
“Dia orang belum balik
lagi. Kelas sampai pukul 6 katanya. Kau jangan nak mengelak ya. Saja ubah
topik. Tengok, orang belajar pun tak balik awal macam orang kerja.”
“Tok ayahanda, sila
rehatkan minda anda. Jangan marah-marah, nanti darah tinggi naik. Nine nak
tanya sesuatulah. Sejak bila ayahanda ada upah pengawal peribadi ni?”
“Dah lama juga. Dah
setahun ada rasanya. Tak adalah, sekarang ni kan macam-macam kes. Bunuh jutawan
lah, culik usahawan lah, tikam ahli perniagaanlah. Sebab tulah ayahanda kau tu
upah pengawal peribadi. Taming Sari Berhad dah semakin maju. Satu Malaysia dah
kenal, kau apa tahu duduk kat Italy tu.”
Zulqarnain mengangguk
mengerti. Dia tersenyum sendiri apabila memikirkan akan gadis itu. Sungguh tak
sangka gadis itu menjadi tempat dia berlindung. Tambahan lagi, Wardah tu
kategori dahi licin.
Eh, tapi dah tak
macolah kalau awek tu jadi bodyguard aku. Buat apa aku jadi lelaki kalau
perempuan yang jadi bodyguard aku? Betul tak? Buat malu aje kalau orang lain
tahu. Mmmm…bila difikirkan balik, boleh tahan juga kalau minah tu jadi
girlfriend aku. Apa salahnya kan? Dah alang-alang jadi pengawal peribadi, jadi
pengawal hati terus kan senang. Masalahnya, dia tu macam jenis garang. Macam
payah aje nak ngurat minah tu. Tapi, kalau payah tulah seronok. Susah nak dapat.
Eh, tak boleh..tak boleh. Kalau aku terlebih pula, dia buka langkah silat dia,
mahu lebam biji mata aku ni. Aku ajak main boling pun dia tak nak tadi. Duduk
kat tepi tu macam tugu negara. Jiwa dan hati Zulqarnain sedang berdialog sesama
sendiri.
Dato’ Mansoor
memerhatikan gelagat cucunya itu. Kejap menyengih, kejap berkerut. Buang tabiat
ke apa?
“Kasihan cucu aku
seorang ni. Muda-muda lagi dah jadi orang gila.”
“Tok ayahanda, mana ada
gila. Nine tengah fikir seorang perempuan ni. Nama dia Harum Wardah. Orangnya
memang harum semerbak seharum nama dia. Cantik. Dia pengawal peribadi Nine.
Ha..tok ayahanda percaya tak? Perempuan jadi pengawal peribadi Nine.”
“Perempuan? Jadi
pengawal peribadi? Mesti hebat bersilat budak tu. Baguslah. Baru kau nak usik
dia sikit, dia dah buka langkah.”
“Tok ayahanda ni bukannya
nak bagi semangat.”
“Bilalah nak berubah
perangai tu? Asyik nak seronok aje. Aku rasa, kau ni memang kena kahwinlah.
Bila dah kahwin, barulah perangai tak senonoh tu hilang agaknya.”
“Apasal pula kena kahwin
tok ayahanda ni. Abang Indera pun belum kahwin, mana boleh langkah bendul.
Lagipun Nine tak jumpa lagi perempuan idaman hati. Nine belum sedia lagi. Tok
ayahanda, Nine naik dululah. Mengantuk sangat ni. Tak biasa lagilah dengan
waktu Malaysia ni. Lepas tu Nine ingat malam ni nak keluar. Nak pergi club.
Bosan tengah-tengah malam tak dapat tidur.”
Zulqarnain bingkas
bangun, segera menuju ke tingkat dua.
“Kau nak pergi kelab
mana pula? Kelab kebudayaan ke kelab dangdut?”
--------------------------------
Zulqarnain menapakkan
kakinya secara perlahan-lahan menuju ke lobi lif. Terjinjit-jinjit kaki itu
ketika berjalan, bimbang kalau Dato’ Mahmood menyedari kehadirannya ketika itu.
Walaupun pejabatnya terletak di tingkat 4 dan ayahnya di tingkat 2, namun dia
masih khuatir jika Dato’ Mahmood berada di situ.
“Ehemmmm.”
Tiba-tiba sahaja ada
suara berdeham dari belakangnya. Zulqarnain membatukan diri seketika. Otaknya
ligat mengenal pasti, adakah itu suara ayahnya. Perlahan-lahan dia menoleh ke
belakang.
Sebaik sahaja melihat
susuk tubuh itu, dia mengurut dadanya. Lega.
“Fuhhh…nasib baik bukan
ayahanda. Uncle rupanya.”
Raziq, ketua di
bahagian kewangan sudah tersenyum simpul di situ.
“Tarik nafas lega
nampaknya. Uncle rasa dah nak masuk minggu keempat Nine kerja tapi baru hari ni
uncle nampak Nine.”
Zulqarnain menyengih.
Memang itu sajalah modalnya. Yalah, mana tidaknya. Matahari sudah terpacak ke
langit, baru Zulqarnain terbit.
“Nine sibuk sikit
uncle. Banyak benda nak kena belajar.”
“Uncle faham keadaan
Nine. Uncle tahu Nine keluar pergi tempat lain kan?”
“Eh, uncle. Tak adalah.
Nine pergi tengok perkembangan projek kita.”
Tangan Raziq sudah pun
menepuk-nepuk bahu Zulqarnain.
“Nine jangan risau.
Uncle faham perasaan Nine. Baru aje habis belajar. Dah kena paksa. Kalau uncle
jadi ayahanda Nine, mungkin uncle akan bagi peluang untuk Nine cuti dulu.
Yalah, orang muda kan mestilah fikiran nak seronok.”
“Uncle, you are the
best. Nine bukannya tak nak kerja dengan ayahanda tapi Nine belum sedia lagi.”
“Uncle dah cakap dengan
ayahanda kamu berkenaan jawatan CEO tu. Uncle dengar dia nak serahkan pada Nine
jawatan tu.”
“Tulah, Nine rasa
tanggungjawab ni terlalu besar.”
“Uncle rasa tu
tanggungjawab Indera. Dia tak sepatutnya tinggalkan Taming Sari Berhad macam tu
aje. Tapi bila difikirkan semula dengan keadaan sekarang ni, Indera tak sesuai
rasanya untuk kembali ke syarikat.”
“Tak silap Nine,
jawatan tu sekarang uncle yang pangku untuk sementara waktu kan? Uncle memang
kawan baik ayahanda. Sanggup tolong ayahanda.”
Raziq tersenyum
mendengar pujian Zulqarnain. Namun senyuman itu membawa seribu erti.
“Uncle dah lama kerja
dengan Dato’ Mahmood. Mungkin uncle orangnya yang sesuai untuk melaksanakan
tugas yang ditinggalkan oleh abang kamu tu.”
Entah mengapa,
tiba-tiba sahaja Zulqarnain tersentak dengan kenyataan Raziq. Ayat Raziq
seperti tidak senang dengan kehadiran dirinya di situ atau lebih tepat lagi,
mungkinkah Raziq tidak mahu jawatan itu diserahkan kepada Zulqarnain suatu hari
nanti?
“Nine rasa Dato’
Mahmood tahu apa yang dia lakukan dan dia tahu juga apa yang terbaik untuk
Taming Sari Berhad. Takkanlah Dato’ Mahmood nak runtuhkan empayar Dato’
Mansoor, ayahandanya sendiri kan?”
Kali ini Raziq pula
yang terpukul dengan kata-kata Zulqarnain. Sememangnya Zulqarnain handal bidang
membidas kata-kata ni. Kalau bab bagi alasan, memang dialah orangnya.
Namun, Raziq sedikit
pun tidak gentar dengan kenyataan Zulqarnain. Alangkah jerung di laut dapat ku
jinakkan, inikan pula anak kucing di taman. Kuku tidak berasah, manakan mungkin
dapat melawan taring si belang.
“Okeylah. Uncle nak
keluar. Ada kerja sikit. Nine jangan risau pasal ayahanda Nine. Dia tak akan
turun sebab ada perbincangan dengan Datuk Ramli. Rasanya macam ada kaitan
dengan Nine.”
Raziq memberikan
pandangan dan senyuman sinis lalu beredar meninggalkan Zulqarnain di situ.
Terkebil-kebil mata itu
sebaik sahaja mendengar kenyataan Raziq. Dahinya berkerut.
“Datuk Ramli? Ada
kaitan dengan aku? Macam pernah dengar nama dia.”
Zulqarnain bermonolog
sendiri. Dia cuba untuk mengimbas kembali peristiwa beberapa hari yang lalu.
Otaknya ligat berfikir dan tiba-tiba….
“Susah
sangat ke kau nak ikut kemahuan ayahanda? Ayahanda cuma nak kau tunang dulu
anak Datuk Ramli tu. Dia kawan baik ayahanda. Tapi….kau dah ambil keputusan
untuk melangkah keluar daripada rumah ni dan kau jadi pelukis tepi jalan. Itu
ayahanda tak boleh terima. Ayahanda tak nak kau melukis kat tepi jalan tu tak
tentu pasal. Macam orang jalanan, macam pengemis, macam orang tak ada tujuan,”
Kata-kata Dato’ Mahmood
tempoh hari sewaktu bertengkar dengan Inderawan berkumandang di telinganya.
“Datuk Ramli yang tu
ke? Tapi apa kena mengena dengan aku?”
“Awal bos masuk hari
ni. Semalam masuk pukul 1, hari ni masuk pukul 12. Ada peningkatan. Tahniah
bos.”
Kedengaran suara Haqimi
mencelah di khayalannya.
“Terima kasih. Bagus
kan? Esok pukul 11.30 pula.”
Haqimi segera
menggelengkan kepalanya sambil hatinya berbisik sesuatu.
Bos aku ni memang
langsung tak ada perasaaan bersalah bila dah buat salah.
Haqimi sememangnya
sudah masak dengan sifat Zulqarnain. Masuk hari ini sudah hampir sebulan
Zulqarnain menjejakkan kaki ke Taming Sari Berhad. Satu hari boleh dikatakan
hanya dua jam sahaja Zulqarnain duduk di atas kerusi pejabat, yang bakinya
berada di luar. Akan tetapi Haqimi mengagumi sifat Zulqarnain yang cepat
belajar. Sama macam abangnya, Inderawan.
Seperti semalam,
sewaktu perbincangan diadakan bersama staf kreatif yang lain, Zulqarnain
kelihatan tenang bertukar idea dan pendapat dengan staf senior. Nampak sahaja
dia sebegitu, suka berhibur. Namun, Zulqarnain mampu mengeluarkan idea dan
konsep yang sesuai untuk suatu rekaan hiasan dalaman mengikut kehendak
pelanggan. Zulqarnain sememangnya membuktikan dia adalah graduan kelulusan
jurusan seni reka hiasan dalaman daripada universiti di Italy, kota yang penuh
dengan kesenian.
“Dato’ Mahmood ada
perbincangan dengan Datuk Ramli ke?” soal Zulqarnain tiba-tiba.
Persoalan akan Datuk
Ramli masih lagi belum terjawab di benak fikirannya.
“Macam mana bos tahu?”
“Dia orang bukan
bincang pasal projek kan?”
Haqimi hanya membisu.
Dia tidak berani mengeluarkan sebarang kenyataan. Peristiwa seperti ini pernah
berlaku dahulu sewaktu dia menjadi pembantu peribadi kepada Inderawan.
“Ada kena mengena
dengan aku ke?”
No comments:
Post a Comment