Stylo Clique ^_^

Wednesday, June 13, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 9 ::.






BAB 9


Wafi memandang kolam ikan yang terletak di halaman tepi vila Ridzuan. Fikiranya melayang. Peristiwa petang itu menggamit kotak fikirannya. Masih jelas tutur Rafiq kepada dirinya.

“Memang kau rasa sekejap, tapi kau kena ingat. Apa-apa boleh jadi dalam masa setahun. Bayi yang baru lahir pun dah boleh belajar nak berdiri dalam masa setahun. Setahun tu pun dah cukup lama sebab dalam sekelip mata je apa-apa pun boleh berubah apatah lagi dalam masa 365 hari.”

Siang tadi baru sahaja berlangsung majlis pernikahannya dengan A.D. Hatinya tiba-tiba sahaja menjadi ragu-ragu.
Tak mungkin akan berlaku apa-apa. Wafi, kau buat semua ni sebab Dhira. Hati Wafi berbisik. Dia tidak mahu gadis kasar itu mempengaruhi hidupnya.

“Kalau kau tak sakit, sejak bila kau ada perasaan belas kasihan kat budak tomboi tu? Bukan kau benci dengan dia ke?”

Tiba-tiba bergema suara Rafiq menanyakan hal itu kepadanya. Wafi tidak sedar yang dia mengucapkan perkataan itu untuk A.D. Dia ada perasaan belas kasihan terhadap insan yang dibenci dalam hidupnya?

“Kau jangan bro, perasaan kasihan ni bahaya. Mula-mula memang kasihan, lama-lama terasa nak berkasih sayang pula. Lepas tu tiba-tiba tak sengaja terjadi pula kekasih. Semuanya di sebabkan perkataan kasih.”

“Wafi tengok apa?”

Wafi tersentak. Lamunannya terhenti. Dia segera menoleh.

Uncle, terkejut saya.”
“Masih panggil uncle?”

Wafi tersenyum. Dia tidak biasa untuk menukar gelaran itu menjadi ‘papa’.

“Kerja kat Bina Kurnia ok?” soal Ridzuan lagi.
“Alhamdulillah papa. Saya masih belajar lagi dengan Encik Azhar. Tapi untuk setakat ni, semuanya ok bagi saya.”

Sudah cecah dua minggu Wafi bekerja sebagai jurutera di Bina Kurnia Berhad. Azhar, selaku pekerja senior dan jurutera yang lama berkhidmat di syarikat bapa mertuanya itu banyak memberinya tunjuk ajar.

“Alhamdulillah. Baguslah.”
“Saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyak kat papa sebab sudi beri saya peluang untuk kerja kat syarikat papa. Mungkin bagi orang lain, perkara ini memang biasa tapi tak pada saya. Peluang yang papa bagi kat saya ibarat sesuatu yang tak ternilai harganya. Hanya Allah sahaja yang mampu untuk balas budi baik papa.”
“Kalau nak dibandingkan apa yang papa buat, jauh bezanya dengan apa yang Wafi buat untuk hidup papa.”

Dahi Wafi berkerut. Dia tidak mengerti maksud yang cuba disampaikan oleh Ridzuan.

“Papa tahu Wafi dengan Riana tak bercinta kan?”

Alangkah terkejutnya Wafi tatkala mendengar butir ayat tersebut. Masakan ayah mertuanya tahu akan rancangan mereka berdua.

“Papa tahu sebab papa ni orang tua. Faham benar muka orang yang sedang berkasih sayang dengan orang yang tak ada perasaan. Wafi sanggup terima Riana, meskipun kamu tak tahu siapa dia.”

Wafi hanya tertunduk, dia tidak tahu bagaimana Ridzuan boleh tahu.

“Sejak Riana keluar daripada rumah ni dan dia berubah menjadi A.D, papa ada hantar orang untuk mengawasi kehidupan Riana. Papa tak nak ada hal yang buruk berlaku pada dia. Kamu dengan Riana selalu bertengkar kan?” sambung Ridzuan lagi.

Wafi mengangukkan kepalanya.

“Walaupun papa tak tahu apa sebabnya kamu boleh setuju untuk berkahwin dengan anak papa yang kasar tu, papa nak ucapkan terima kasih banyak-banyak sebab sudi terima Riana.”

“Saya minta maaf papa. Bukan niat saya nak rahsiakan semua ni. Sumpah, saya tak ada niat apa-apa terhadap A.D. Saya memang tak tahu yang A.D anak kepada pemilik Bina Kurnia, A.D tu anak papa.”
“Papa tahu semua tu. Kamu tak tahu siapa A.D. Sebab tu papa terima kamu sebagai menantu dalam rumah ni. Kamu sanggup terima diri dia sebagai A.D. Dan disebabkan kamu jugalah, dia nak kahwin. Kamu yang menjadi sebab dia setuju untuk bernikah. Dah banyak kali dia cakap dengan papa yang dia tak akan kahwin sampai bila-bila.”
“Saya bersalah dengan papa.”
“Kamu tak salah apa-apa, malah kamu dah gembirakan papa. Terima kasih Wafi. Papa lega semuanya sudah selesai. Lepas ni papa boleh tersenyum. Papa ingat papa nak pergi umrah. Memang dah niat papa nak pergi umrah lepas Riana kahwin. Bila papa tak ada kat sini, kamu boleh jaga dia.”
“Saya betul-betul minta maaf. Sepatutnya hal ni tak berlaku.”

Perasaan bersalah menimbun di hati Wafi. Dia tidak mahu Ridzuan kecewa. Orang tua itu terlalu baik dengannya.

“Apa yang berlaku, ada sebabnya. Sekurang-kurangnya, kamu boleh jaga Riana bila papa dah tak ada nanti. Papa rasa, kamu boleh kawal sifat kasar dia. Dan, mungkin kamu jugalah yang boleh mengembalikan Riana semula.”
“Maksud papa?”
“Tak apalah. Mungkin lama-lama nanti kamu akan kenal siapa sebenarnya Qurnia Adriana. Papa harap kamu dapat rahsiakan hal ini. Papa tak nak Riana tahu yang papa tahu tentang perkara yang sepatutnya papa tak tahu. Kamu tahu kan?”

Wafi tersenyum lalu mengangguk. Lantas Wafi bersalaman Ridzuan lalu mengucup tangan itu.

“Terima kasih, papa.”

--------------------------------

A.D segera mengemas pakaiannya lalu dimasukkan ke dalam beg. Dia mahu pulang ke rumahnya malam itu juga. Dia tidak sanggup untuk tidur sebilik dngan Wafi. Wafi masuk ke dalam kamar A.D sebaik sahaja selesai berbual dengan Ridzuan di halaman rumah.

“Kau ni kenapa suka hati je masuk bilik aku?”
“Habis tu, aku nak masuk bilik mana? Bilik air?”
“Sengalnya kau ni. Ini bilik aku, tak kan kau nak tidur kat sini?”

Mata Wafi segera menangkap beg yang berada di atas katil.

“Apasal kau macam nak lari dari rumah aje ni?”
“Aku nak balik rumah aku malam ni juga. Kau ingat aku nak tidur kat sini?”
“Eh..gila, kau ingat ni rancangan realiti Akademi Fantasia nak bungkus-bungkus beg ni? Kau nak semua orang tahu ke yang kita ni nikah olok-olok? Mana ada orang tinggalkan malam pertama dengan bawa beg baju macam nak lari dari rumah.”
“Eh…sengal, tak kan lah aku nak tidur sekatil dengan kau? Kalau macam tu, aku dengan kau sama-sama keluarlah daripada rumah ni. Kita cakap kita nak balik tidur kat rumah sendiri.”
“Gila, kau ni memang gila kan? Kau tengok jam tu pukul berapa sekarang? Pukul 10.30 malam. Kau ingat pengantin baru ada ke nak keluar rumah waktu macam ni.”
“Arrrgggghhh……..kau ni memang sengal la. Kan aku cakap, tak ada apa-apa perubahan lepas aku dengan kau kahwin. Kau ni bodoh ke?”

Wafi segera memulas telinga A.D.

“Kau cakap apa tadi?”
“Sakitlah bodoh,”
“Kau cakap lagi aku bodoh, aku………..”

Belum sempat Wafi menghabiskan ayatnya tangan A.D panjang sahaja mencapai rambut Wafi yang sedang berikat lalu menariknya sekuat hati.

“Sakitlah gila,” balas Wafi lalu tangannya melepaskan telinga A.D. Wafi segera menarik getah yang sudah hampir terlerai daripada rambutnya. Rambutnya panjang paras bahu sedikit kusut dikemaskan.
“Habis tu, kau suka hati aje tarik telinga aku.”
“Dah kau cakap aku bodoh. Perempuan tak baik cakap benda-benda macam tu. Kurang ajar namanya.”
“Biarlah. Kau sendiri yang cakap aku ni bukan perempuan.”
“Ok. Kau memang bukan perempuan. Memang tak akan berlaku apa-apa perubahan lepas kita kahwin, tapi aku ni kena bertindak bijak sikit daripada kau yang gila ni. Kita kena berlakon. Buat perkahwinan ni macam logik sikit kat mata orang lain. Aku tak nak lah orang tahu rancangan kita ni. Kalau rosak rancangan kita ni, macam mana aku nak dapat RM20,000 tu?”

A.D terdiam. Memang ada alasan kukuh Wafi berkata begitu. Dia sendiri tidak memikirkan akibatnya. Ketika ini mereka harus saling bantu-membantu.

Find. Aku tidur kat atas katil, kau tidur kat atas sofa tu.”
“Kalau tak pasal RM20,000, aku pun tak nak tidur satu bilik dengan kau.”

A.D mencebik. Dia meletakkan begnya di tepi almari baju. Meskipun Wafi tidak sekatil dengannya, dia masih tidak selesa. Walaupun penampilannya kasar dan sikapnya seperti lelaki, naluri A.D masih lagi seorang perempuan. Perasaan ragu-ragu wujud. Dia bimbang jika ada sesuatu berlaku apabila dia pejamkan mata nanti.

“Kau tak payahlah risau. Aku tak akan buat apa-apa kat kau. Macam mana aku nak buat apa-apa kat kau, tengok kau pun macam aku tengok orang lelaki. Tak ada selera. Nafsu pun tak ada, macam mana aku nak………..”
“Dasar lelaki. Memang tu ajelah kau orang fikir kalau tengok perempuan kan?”
“Masalahnya muka kau tu macam takut aku nak buat apa-apa kat kau. Kau ingat kahwin ni semata-mata nak buat benda tu aje ke? Lagipun kau kan bukannya perempuan.”

Sedikit sebanyak kata-kata Wafi melegakan hatinya. Sebelum memejamkan mata, dia sempat menoleh ke arah sofa.

-----------------------

A.D segera membuka kelopak matanya sebaik sahaja merasakan yang wajahnya seperti baru disiram dengan air.

“Celik pun mata tu. Aku ingat kau dah tak bangun-bangun tadi. Nasib baik aku tak bacakan Yaasin.”

Selamba sahaja tutur kata Wafi. Sudah berkali-kali dia cuba untuk mengejutkan A.D daripada tidur. Mata A.D terpandang gayung yang berada di tangan Wafi.

“Kau siram aku?”
“Habis tu, kau nak aku buat apa? Tak kan aku nak sentuh badan kau, nak gerak-gerakkan badan kau?”
“Tak boleh ke kau sebut nama aku kuat-kuat sikit? Aku ni tak pekak macam kau.”
“Aku dah buat, tapi kau tak dengar. Bangunlah. Dah pagi pun. Kita turun sama-sama. Tadi 
Mak Som dah ketuk pintu, papa ajak sarapan sama-sama.”
“Kalau kau nak turun, turun ajelah. Tak payahlah nak tunggu aku. Lagipun, aku tak pernah sarapan sama-sama dengan bapa aku.”
“Masalahnya sekarang, kau dah kahwin.”
“Kan aku dah cakap dengan kau, tak kan ada apa-apa perubahan lepas kahwin. Kau ni tak faham bahasa ke?”
“Kau pun sama kan? Tak faham bahasa juga. Aku dah cakap dengan kau, kita kena buat perkahwinan ni logik. Kau dah tolong aku, aku dah tolong kau dan sekarang kita kena sama-sama tolong-menolong. Kalau tak……..”
“Kalau tak, kau tak kan dapat kumpul RM20,000 tu. Dahlah, tak payah membebel. Aku pergi mandi ni.” ucap A.D lalu segera bangun. Dia membuka almari baju, mengambil persalinan selepas mandi dan kemudiannya dia melangkah ke kamar mandi.

Sementara menunggu A.D selesai mandi, Wafi memandang sekeliling kamar milik A.D. Bilik itu dihiasi dengan warna biru pekat dan dilawankan dengan warna putih. Langsung tidak menciri-cirikan kamar seorang gadis. Perabotnya juga berwarna putih. Wafi memandang dinding yang dihiasi penuh dengan beberapa bingkai gambar. Foto A.D berambut panjang bersama dengan Adilla dan Ridzuan tergantung kemas.

“Cantik juga dia ni rambut panjang. Baru nampak macam perempuan.” kata Wafi.

Gambar A.D bersama Samsul dengan Izwanie juga berada di situ. Mata Wafi meliar lagi lalu menangkap sesuatu di sudut bilik. Rak buku setinggi hampir satu setengah meter dipenuhi dengan buku. Wafi menghampiri rak tersebut. Hampir keseluruhan bahan bacaan di situ ialah novel.

---------------------

Wafi dan A.D sama-sama melangkah menuju ke meja makan. Ridzuan sudah pun berada di situ sambil membaca akhbar. Bau harum nasi goreng kampung menyengat deria bau A.D. Wafi melangkah sambil mengurut-urut bahunya. Sekali-sekala dia seperti menumbuk perlahan belakang badan dengan tangannya. Terasa sengal dan lenguh akibat tidur di atas sofa.

Morning Wafi, Riana.” ucap Ridzuan apabila melihat kelibat mereka berdua.
Morning pa,” balas mereka.

A.D dan Wafi duduk berhadapan. Ridzuan memandang Wafi yang seperti tidak selesa 
dengan keadaan dirinya pada pagi itu.

“Aiiikk Wafi, kamu sakit belakang ke? Pengantin baru tak tidur lena semalam?”

A.D mendiamkan diri. Dia faham maksud ayahnya. Dia segera menceduk nasi goreng yang terhidang.

“Eh, tak adalah pa. Semalam tidur nyenyak. Mungkin Wafi tak biasa tidur kat atas tilam kat bilik tu.”
“Tak apalah. Lama-lama nanti biasalah tu.”
“Pa, A.D ingat nak balik apartmen A.D hari ni.”
“Riana nak balik sana lagi? Duduk ajelah kat sini.”

A.D dan Wafi saling berpandangan. Perkara itu ialah perkara yang paling tidak diingini oleh mereka berdua.

“A.D dah biasa duduk situ.”
“Habis tu Wafi macam mana?”

Wafi memandang A.D sekali lagi.

“Kita orang dah bincang semalam. Saya akan duduk dengan A.D kat apartmen tu.”
Bila masa pula aku dengan kau bincang pasal ni semalam? Desis hati A.D.
“Baguslah macam tu. Papa pun memang nak suruh Wafi tinggal kat situ kalau kamu berdua tak sedia lagi nak duduk rumah ni.”
“Bukan apa pa. kita orang ingat nak cuba berdikari dulu.”
“Yalah. Bulan madu kamu berdua macam mana?” soal Ridzuan.
“Tak payah bulan madulah pa,” balas Wafi dengan A.D, saing-saing.

Ridzuan terkejut. Tidak menyangka yang anak dan menantunya menjawab pertanyaannya serentak.

“Kenapa?”
“Sebab Wafi kan baru kerja.” balas A.D dan dalam masa yang sama juga Wafi menjawab,
“Sebab A.D nak naik semester baru.”

Ridzuan menggelengkan kepala sambil tersenyum. Dia menghirup perlahan kopinya.

“Kamu berdua ni tak sudah-sudah serentak jawab soalan papa.”



No comments:

Post a Comment