BAB
4
A.D sedang menyapu
sampah di kaki lima berhadapan dengan kedai serbaneka 24 jam. Sekali sekala dia
beralih ke tepi apabila terdapat orang yang mahu lalu lalang di situ. A.D
sempat memandang jam tangannya. Lagi setengah jam waktu kerjanya tamat. Sedang
dia sibuk mahu menyiapkan kerjanya, dia terdengar satu bunyi berada di situ.
“Miow…miow..miow…….”
Anak kucing berwarna
putih tompok hitam itu sedang memandang ke arahnya. Anak kucing itu
perlahan-lahan menuju ke kaki A.D.
“Eh..ala..alala..sayang.
Comelnya. Kenapa ni?”
A.D segera meletakan
penyapu di tepi dinding lalu tunduk, membelai kucing itu. A.D meletakkan jari-jemarinya
di leher kucing itu lalu mengusap lembut. Terpejam-pejam mata anak kucing itu
menerima belaian A.D.
“Miow…miow..miow……”
Sekali lagi anak kucing
itu bersuara.
“Kenapa? Awak lapar ya?
Kejap tau. Nak pergi ambil biskut untuk awak yang comel ni. Jangan pergi
mana-mana.”
Seolah-olah seperti
mengerti dengan apa yang dikatakan oleh A.D, anak kucing itu segera duduk. A.D
segera masuk ke dalam, lalu menuju ke belakang. Dia mahu mengambil biskut
kucing yang sememangnya sentiasa ada di dalam begnya. Perasaan sayangkan haiwan
terutama sekali kucing sudah menjadi sifat semulajadi A.D. Oleh itu, dia akan
pastikan ada bekalan makanan bersamanya untuk haiwan tersebut terutama sekali
untuk kucing yang terbiar di tepi jalan.
“Aku tak sangka
perlawanan hari ni sengit. Boleh tahan pasukan UPM tu. Tahun lepas macam kurang
saingan. Tak sangka la dia orang tahun ni makin mantap,” ucap Wafi, cuba
mengulas semula perlawanan petang tadi.
“Aku pun tak sangka
juga. Tapi nasib baik kita menang. Itu pun sipi-sipi aje mata. Diorang punya fly half memang dahsyat la. Sekali
tendang memang kencang, jauh kan bola tu pergi.”
Rafiq yang sedang
memandu juga mahu turut serta untuk mengulas tentang perlawanan mereka. Mereka
baru sahaja pulang daripada makan malam bersama dengan ahli pasukan ragbi yang
lain sempena meraikan kejayaan mereka menewaskan pasukan lawan petang tadi.
“Nasib baik kita ada
kapten macam Malik tu. Pandai buat strategi,” sambung Wafi.
“Kau pun apa kurang
tadi, hebat. Masa kau campak bola tu bersunguh-sungguh. Macam aku cakap hari
tu, main ragbi ni memang boleh hilang stres. Campak bola jauh-jauh, ibarat kau
nak campak serabut kat kepala kau dalam laut.”
“Ayat perli nampak? Kau
nak cakap pasal budak A.D tu ke?”
“Eh, kau ni kenapa? Aku
cakap pasal Dhira. Bukannya kau cakap budak tomboi tu tak mampu nak
huru-harakan hidup kau ke?”
“Sudahlah, aku malas
nak layan kau. Tadi masa kita lalu sini waktu nak pergi restoran tu, aku nampak
ada kedai 24 jam kat depan tu. Kau nanti berhenti kejap kat situ. Aku nak beli
mi segera.”
“Eleh, ubah topik la
tu. Elakkan kau ada jodoh je dengan budak tu.”
“Aku? Dengan budak tu?
Kau buat lawak ke apa? Dhira aku tu kau nak aku letak mana?”
Rafiq membalas soalan
Wafi dengan senyuman. Benci benar Wafi dengan A.D. Rafiq menekan brek sebaik
sahaja keretanya menghampiri kedai 24 jam. Seperti yang diminta, Rafiq segera
memberhentikan keretanya di hadapan kedai tersebut. Pandangan Rafiq menangkap
susuk tubuh di hadapan kedai itu.
“Eh, Wafi. Tu bukan
budak tomboi yang kau menyampah tu ke?” tanya Rafiq sambil pandangannya
menghala ke arah A.D.
Wafi segera memandang
ke arah yang ditunjukkan oleh anak mata Rafiq. Ya, memang benar A.D berada di
hadapannya. A.D sedang asyik membelai anak kucing yang sedang makan itu. Wajah
A.D kelihatan gembira setiap kali mengusap lembut haiwan tersebut. Terserlah
wajah perempuan di sebalik penampilan yang kasar. Buat pertama kalinya dia
memandang A.D dengan pandangan sebegitu. Senyuman A.D terukir apabila anak
kucing itu menggesel-geselkan tubuhnya ke kaki A.D. Mungkin sebagai tanda
terima kasih kepada A.D kerana tidak membuatkan ia kelaparan pada malam itu.
A.D segera mengangkat kucing itu lalu diletakkan di lengannya seperti mendukung
bayi.
“Budak tomboi ni suka
kucing rupanya. Penyayang juga aku tengok. Aku ingat budak ni kasar dan teruk
macam yang kau cerita.”
Wafi mendengar
kata-kata Rafiq, akan tetapi pandangannya tidak mahu beralih. Dia seperti dapat
melihat A.D pada sudut yang lain.
“Ehem…,” Rafiq sengaja
berdehem.
Wafi tersentak, seperti
baru sahaja terhenti dari lamunannya lalu memandang Rafiq. Rafiq sedang
menjongket kening. Seolah-olah pandangan itu memberi makna sinis terhadapnya.
“Apa?”
“Apa…apa?”
“Tak ada. Aku pelik,
apasal aku asyik nampak budak ni aje? 1 hari ni aje dah dua kali aku nampak.
Dulu bukan main tak nampak kelibat tomboi ni. Sekarang ni nak jumpa bukan main
senang.”
“Tu maknanynya, mungkin
petanda kot.”
“Ha…….yalah memang
petanda. Petanda yang aku kena balas dendam dan ajar budak yang kurang ajar ni
biar cukup ajar,” ucap Wafi lalu keluar daripada kereta.
Wafi tidak sabar-sabar
untuk mengajar A.D. Perhitungan lepas masih lagi belum selesai. Perasaan tidak
puas hati masih lagi terbuku di dadanya.
“Kedai ni masih buka lagi
ke?”
A.D terkejut mendengar
kerana ada suara dari belakang menegurnya lantas dia menoleh. A.D terkesima
seketika apabila memandang wajah lelaki di hadapannya. Dia segera meletakkan
anak kucing itu di bawah.
“Kau rupanya? Apasal?
Kau tak puas hati ke pasal hari tu sampai cari aku kat sini?”
“Kau ingat aku ada
banyak masa nak cari orang macam kau ni?”
“Habis tu, tak payahlah
kau nak jadi tiang lampu bertauliah kat depan aku ni. Blah la.”
“Kau ingat tempat ni
kau punya? Tempat ni tempat awam, suka hati akulah aku nak pergi mana. Aku
tanya, kedai ni buka lagi ke tak?”
A.D ketawa sambil
menggelengkan kepala apabila mendengar pertanyaan Wafi.
“Kau ni memang buta la.
Aku rasa orang buta pun tak buta macam kau. Kau dah nampak kan kedai ni tulis
24 jam, masih lagi nak tanya aku? Ke kau ni pun buta huruf juga?”
Wafi semakin menjadi
baran apabila mendengar ayat yang dikeluarkan oleh A.D. A.D seperti mencabar
keegoannya. Dia tidak mahu mengalah.
“Kalau aku buta
sekalipun, tapi aku tak macam kau. Kuat ponteng. Masa kerja pun ada masa nak
melayan kucing.”
Kali ini marah Wafi
berpindah kepada A.D. A.D benci orang yang tidak tahu akan kasih sayang
terhadap haiwan.
“Kalau aku ponteng pun,
aku tak buta hati macam kau. Tak tahu belas kasihan terhadap kucing. Kau ni
memang sengal. Aku pun pelik, kenapa awek kau yang cantik tu boleh suka dengan
orang sengal macam kau.”
“Mulut kau tu memang
kurang ajar kan? Macam ni kau layan pelanggan yang datang kedai ni? Kau nak aku
laporkan kat bos kau?”
“Kalau mulut aku ni
kurang ajar, kau blah la pergi kedai lain. Berlambak kedai kat Malaysia ni.
Bodoh, itu pun aku nak ajar ke?”
Wafi sudah hilang sabar
apabila A.D menyebut perkataan bodoh terhadap dirinya. Baginya, A.D sudah
melampau. Wafi segera menarik lengan A.D lalu memulas telinga A.D.
“Eh, sakitlah bodoh.
Kau apasal tiba-tba nak pulas telinga aku ni?”
“Kau cakap apa tadi?”
Sekali lagi Wafi
memulas telinga kanan A.D dan dia tidak mahu melepaskannya.
“Sakitlah, bodoh.”
“Aku nak kau minta maaf
dengan aku depan-depan muka aku sekarang. Dah la hari tu kau tak minta maaf
dengan Dhira kan? Sekarang aku nak kau minta maaf. Selagi kau tak minta maaf,
aku tak akan lepaskan telinga kau ni.”
Wafi merapatkan
wajahnya ke arah wajah A.D. Dia mahu mewujudkan perasaan gentar di hati A.D.
Rafiq yang berada di dalam kereta terkejut apabila melihat pelakuan mereka.
Kelihatan semakin berat apabila melibatkan fizikal. Rafiq tidak mahu perkara
lebih teruk terjadi. Dia segera keluar daripada kereta.
“Aku tak nak minta maaf
dengan orang sengal macam kau,” balas A.D, dia juga tidak mahu mengalah.
Entah bagaimana dia
mendapat akal untuk melepaskan dirinya. Tangan A.D segera mencapai rambut Wafi
yang sedang berikat. Kali ini giliran A.D pula membalas dendam. A.D segera
menarik rambut Wafi sekuat hati, lantas tangan Wafi melepaskan telinga A.D.
Wafi tidak gemar jika ada orang menyentuh rambutnya. A.D menjeling sambil
mengusap perlahan telinganya yang masih sakit.
“Kau ni memang minah
tomboi. Suka cari pasal dengan aku. Kau tahu tak, rambut aku ni aku sorang aje
boleh sentuh.”
“Eh, Wafi. Dahlah tu.
Kau ni kenapa nak cari pasal dengan perempuan? Sampai nak tarik-tarik telinga
dengan rambut ni,”
Rafiq cuba meleraikan
pergaduhan mereka.
“Dia ni bukan perempuan
la.”
“Sudahlah tu. Tak macho
la gaduh dengan perempuan. Jomlah kita pergi kedai lain.”
Wafi tidak membalas.
Nafasnya turun naik menahan geram.
“Nasib baik ada encik
yang bijak lagi bestari kawan kepada si sengal yang bodoh ni. Kau tak malu ke
nak cari pasal dengan aku? Apa? Kau ingat aku tak berani lawan lelaki macam kau
ni.”
“Kau tengok..kau
tengok? Siapa yang mulakan dulu?”
Rafiq menggaru-garu
kepalanya. Semakin tidak faham dengan apa yang berlaku.
“Bro, kita lelaki macho. Kau buat pekak je apa yang dia cakap.”
“Encik bijak bistari,
tak payah suruh si sengal ni buat pekak. Dia memang pekak pun.”
Rafiq ketawa kecil.
Lucu benar dengan kenyataan A.D.
“Mulut kau ni memang
nak kena cili kan? Lain kali aku jumpa kau, aku nak kasi cili padi kat mulut
kau tu. Eh….Fiq, kau ketawakan aku?”
“Kau jangan salah faham.
Aku bukan ketawakan kau. Kau orang berdua tak rasa pelik ke? Baru jumpa berapa
kali, tapi dah tarik telinga dengan rambut. Tak rasa macam ada jodoh ke?”
A.D dan Wafi terdiam
membisu. Lidah masing-masing menjadi kelu. Wafi sendiri tidak sedar bagaimana
tangannya boleh menyentuh telinga A.D. Mereka berdua saling berpandangan.
“Dahlah. Aku nak blah.
Tak ada maknanya aku nak suka dengan orang lelaki macam budak ni. Selera aku
perempuan lemah lembut Melayu terakhir.”
A.D mencebik.
“Habis tu, kau ingat
aku nak la dengan mamat sengal macam kau ni?”
Wafi tidak mempedulikan
kata-kata A.D. Dia segera menuju ke kereta. Akhirnya, berjaya juga Rafiq
meleraikan pertengkaran mereka. Rafiq menuruti langkah Wafi. Mereka segera
beredar. A.D masih lagi mengusap perlahan telinganya. Telinganya terasa sakit
dan panas. Kakinya mahu melangkah masuk ke kedai tetapi ada seseorang menepuk
bahunya.
“Nak apa lagi? Tak puas
hati lagi ke?” spontan sahaja ayat itu keluar daripada bibir A.D tanpa melihat
siapa pemilik tangan tersebut. A.D menyangkakan Wafi datang semula kerana tidak
puas hati tetapi sangkaannya meleset sebaik sahaja dia menoleh.
“Kenapa ni A.D?”
“Pak Aziz.”
---------------------------------
A.D menghirup air milo
suam di hadapannya. Masih lagi kelihatan wap-wap kecil keluar lalu hilang ke
udara. Sekali sekala A.D meniup perlahan air tersebut sebelum mengalirkan air
tersebut ke tekaknya. Masih terasa panas meskipun suam. Pandangan A.D beralih
kepada Pak Aziz yang berada di kanannya. Lelaki tua itu masih lagi seperti
dulu. Umurnya lebih muda 6 tahun daripada ayah A.D. Pemandu kepada Ridzuan itu
masih lagi gagah meskipun sudah kelihatan puluhan kedutan di mukanya. Pak Aziz
mengajaknya untuk minum di kedai tepi jalan berhampiran setelah A.D selesai
bekerja.
“Pak Aziz sihat? Dah
lama A.D tak jumpa Pak Aziz,” tanya A.D memulakan perbualan.
“Alhamdulilah. Pak Aziz
sihat. Yalah, memang la dah lama A.D tak jumpa dengan Pak Aziz sebab A.D dah
jarang balik rumah Tuan Ridzuan,” jawab Pak Aziz.
A.D hanya tersenyum.
Dia tidak mahu membalas dengan perkataan yang sesuai setiap kali lelaki itu
menyebut nama ayahnya.
“A.D sihat? Pak Aziz
tengok A.D makin kurus. Tak makan ke?” soal Pak Aziz sebaik sahaja melihat
reaksi A.D seperti itu.
“Alhamdulillah. A.D
sibuk kerja. Kadang-kadang lupa nak makan,”
“Ke A.D tak cukup duit
nak makan?”
“A.D cukup duit ke, tak
cukup duit ke, ini hidup A.D. A.D kena harungi juga,”
“A.D tahu kan yang A.D
masih ada lagi papa? Tugas A.D sekarang bukan bekerja, tapi belajar. Pak Aziz
tahu kenapa A.D buat macam ni. A.D memberontak dengan Tuan Ridzuan kan?”
“Entahlah Pak Aziz.
Kadang-kadang A.D rasa yang papa tak tahu pun adanya kewujudan A.D kat dunia
ni. Papa sibuk sangat dengan kerja dia dari dulu lagi. Papa abaikan mama.
Sampaikan mama sakit pun, papa cuma kasi duit aje,”
“Itu dulu A.D. Seorang
ayah akan tetap ingat anak dia sampai bila-bila. Ini pun dia yang suruh Pak
Aziz jenguk A.D. Walaupun A.D nampak dia
tak ambil berat pasal A.D, tapi sebenarnya dia sayangkan A.D,”
“Yalah tu. Kalau betul
dia sayangkan A.D, kenapa dia tak jenguk A.D sendiri? Kenapa nak suruh Pak
Aziz?”
“Tuan Ridzuan tak ada
kat sini. Dia pergi Australia, jumpa dengan pelabur kat sana. Esok dia balik
sini semula. Sebab tu, dia suruh Pak Aziz tengok-tengok kan A.D.”
A.D hanya tersenyum
sinis. Pak Aziz menggelengkan kepala. Dia tahu anak majikannya itu keras
kepala. Sama seperti perangai Ridzuan. Ego.
“A.D, cuba A.D buka
pintu hati A.D untuk baik semula dengan papa. Papa tak ada siapa-siapa lagi
melainkan A.D. A.D anak dia. Mama A.D dah lama meninggal. A.D adalah kenangan
terindah untuk Tuan Ridzuan. Hanya A.D ialah harta peninggalan Puan Adilla
tinggalkan untuk Tuan Ridzuan. Papa nak jumpa A.D lepas dia balik Australia
nanti. A.D datang ya? Vila tu pun rumah A.D juga.”
A.D hanya tertunduk.
Hati A.D menjadi sebak memikirkan kehidupannya. Ridzuan sama sekali tidak
pernah mengambil berat akannya. Di mata A.D, ayahnya hanya tahu mencari harta.
Ayahnya jarang memberinya kasih sayang. A.D merasakan ayahnya semakin jauh
tatkala ibunya, Adilla meninggal dunia. Hidupnya ketika itu terumbang-ambing
hanyut di bawa arus dugaan dunia.
“Itu Pak Aziz yang
cakap. Bukan papa. Papa tak pernah sayangkan A.D. Apa sahaja yang A.D buat,
semuanya salah.”
“A.D, Pak Aziz dah lama
kerja dengan Tuan Ridzuan. Sejak dari umur A.D lima tahun lagi. A.D membesar
depan mata Pak Aziz. Pak Aziz tahu perangai papa A.D dan A.D. Tak kan Pak Aziz
nak bohong dengan A.D kan?” ucap Pak Aziz sambil matanya tepat memandang mata
A.D.
Pak Aziz dapat melihat
mata itu hampir berkaca. A.D sememangnya nampak kasar pada luarannya. A.D bukan
seperti A.D yang sekarang. A.D yang dulu jauh bezanya daripada A.D di
hadapannya. Dahulu juga nama panggilannya bukan A.D. Qurnia Adriana sudah
seperti anaknya sediri. A.D segera mengalihkan pandangannya ke tempat lain. Dia
tidak sanggup memandang mata itu lebih lama.
“Kadang-kadang A.D rasa
A.D lebih senang berbual dengan Pak Aziz daripada papa. A.D tak tahu macam mana
nak berbual dengan papa.”
“A.D, baliklah. Bila
A.D selalu balik, A.D akan tahu macam mana nak berbual dengan papa. Orang tua
ni tahu dia salah, tapi dia tak nak mengaku depan anak-anak. Tak salah A.D
mengalah kan? Tuan Ridzuan dah tua. Kita tak tahu umur manusia. Jangan sampai
masa itu, kita akan menyesal. Pak Aziz tahu, masih ada lagi Riana dalam diri
A.D.”
A.D terdiam.
Pandangannya kaku. Lidahnya kelu. Hatinya juga bertambah sayu apabila Pak Aziz
menyebut nama itu. Dia sendiri tidak pasti ke mana hilangnya Riana di dalam
dirinya.
No comments:
Post a Comment