BAB
12
Wafi sedang meyemak
semula lakaran rekabentuk struktur bangunan komersial setinggi 5 tingkat yang
baru sahaja diserahkan kepadanya pagi tadi. Kerjayanya sebagai jurutera
menyebabkan jadual masanya menjadi padat. Tambahan lagi dia masih hijau dalam
bidang pembinaan mendorong Wafi untuk terus belajar dan menimba ilmu daripada
yang lebih berpengalaman. Kakitangan di Bina Kurnia Berhad tidak lokek ilmu
untuk membantunya. Pintu pejabatnya diketuk.
“Masuk.”
Azhar, salah seorang
jurutera senior yang berpengalaman di Bina Kurnia Berhad melangkah masuk.
“Encik Azhar, ada
apa-apa yang saya boleh tolong ke?”
Azhar tersenyum.
“Saya tengok menantu
Encik Ridzuan ni tekun betul bila buat kerja.”
“Eh, tak adalah Encik
Azhar. Banyak benda saya kena belajar ni. Sebab tu saya kena fokus.”
“Memang patut Encik
Ridzuan tu jadikan awak menantu dia. Ada nampak ciri-ciri junior Encik Ridzuan
dalam diri awak.”
“Encik Azhar ni memuji
saya pula. Saya banyak kena belajar dengan Encik Azhar dan Encik Ridzuan.”
“Saya puji bukan kosong
aje ni. Saya akan puji orang kalau betul-betul dia berkebolehan. Saya
sebenarnya nak serahkan lukisan untuk projek Vila Tropika kat Melaka ni untuk
awak. Saya rasa saya dah boleh serahkan sedikit demi sedikit projek yang ada
untuk awak uruskan sepenuhnya.”
“Tapi Encik Azhar,
masih banyak yang belum saya tahu.”
“Awak jangan risau, apa
yang awak akan lakukan semuanya di bawah pemantauan saya. Encik Ridzuan yang
arahkan sebab saya yang cakap dengan dia yang awak ni berkebolehan.”
“Terima kasih Encik
Azhar. Saya tak tahu nak cakap apa.”
“Awak tak payahlah
cakap apa-apa. Orang bijaksana pernah beritahu, kurangkan bercakap lebihkan
bekerja. Saya keluar dulu. Apa-apa hal awak boleh tanya saya.”
“Terima kasih Encik
Azhar,”
Azhar hanya tersenyum
lalu melangkah keluar daripada pejabat Wafi. Hati Wafi tidak berhenti-henti
mengucap syukur. Dia bersyukur kerana Ridzuan mempercayai kebolehannya. Jika
bukan kerana Ridzuan, dia tidak akan berada di situ. Sudah lebih sebulan dia
berkerja di Bina Kurnia Berhad, boleh dihitung dengan jari dia bertembung dengan
ayah mertuanya itu. Jadual masa Ridzuan sentiasa dipenuhi dengan mesyuarat,
lawatan ke tapak projek dan perbincangan bersama dengan pihak berkaitan
mengenai pembinaan. Jika Ridzuan berada di pejabat sekalipun, dia jarang
berkomunikasi dengan pekerjanya. Hanya senyuman yang diberikan jika ada kaki
tangan Bina Kurnia Berhad yang menegurnya.
Telefon bimbit Wafi
berbunyi. Wafi segera mengeluarkan telefon itu daripada kocek seluarnya.
Tertera nama itu. Ya, nama itu yang paling dinantikan selama ini setiap kali
telefonnya berbunyi. Sudah lama dia tidak mendengar suara gadis itu. Perasaan
rindu menyelubungi seluruh jiwanya terhadap gadis itu selama ini. Entah mengapa
hatinya ketika saat ini seolah-olah tidak gembira seperti dahulu apabila nama
itu muncul di skrin telefonnya. Jari telunjuk Wafi menyentuh skrin sentuh lalu
meluncurkan jarinya ke kanan. Suara itu kini kedengaran di cuping telinganya.
----------------------
Benarlah kata orang,
kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan. Hati Wafi nekad mahu meminta
maaf daripada A.D pagi tadi. Tetapi A.D tiada di kamarnya sebaik sahaja Wafi
mengetuk pintu bilik itu berkali-kali. Tekaannya bertambah tepat apabila
melihat almari kasut yang terletak berhampiran dengan pintu masuk. Topi keledar
A.D tiada di situ. Disebabkan hal itu, Wafi merancang mahu pulang ke rumah awal.
Dia mahu memasak sesuatu untuk A.D sebagai tanda minta maaf. Namun, apa yang
dirancang tidak menjadi. Nadhira telah pun berada di hadapannya ketika ini.
“Wafi sibuk sangat ke
kat pejabat tu?” soal Nadhira memulakan perbualan sebaik sahaja makanan siap
dipesan.
“Kenapa Dhira tanya?”
“Yalah, Dhira kena
tunggu Wafi sampai pukul 8 malam baru Wafi siap kerja.”
“Kenapa? Tak sanggup
nak tunggu Wafi? Kan Wafi pernah cakap dengan Dhira perasaan orang yang
menunggu ni lebih perit daripada orang yang ditunggu sebab orang yang menunggu
ni tertunggu-tunggu.”
“Ok..jadi, Wafi nak
balas dendam kan Dhira la ye?” duga Nadhira.
“Dhira, ini bukan soal
balas dendam. Selama ni Wafi sanggup tunggu Dhira. Sebelum Dhira terima Wafi,
Wafi tetap sabar tunggu keputusan Dhira. Sampai masanya Dhira kena faham
situasi Wafi. Wafi bukan sengaja nak buat Dhira tunggu Wafi. Tapi ini soal
tanggungjawab. Kerja Wafi tak pernah habis. Lagipun Wafi baru lagi kat syarikat
tu. Wafi buat semua ni untuk Dhira tau, bukan untuk orang lain. Wafi nak kumpul
duit sebab papa Dhira. Jadi, Wafi kena korbankan masa dan tenaga untuk Dhira.”
Benar, Wafi telah
melakukan pengorbanan untuk memenuhi permintaan Dhira dan juga Datuk Hamdan.
Dia berkorban dengan menikahi A.D. Atas nama maruah dan perasaan, dia terpaksa
menyembunyikan rahsia yang diciptanya daripada pengetahuan orang di sekelilingnya.
Semua ini kerja gila. Dia terpaksa menelan semula kata-kata yang dikeluarkannya
dahulu. Kata-kata yang mengatakan bahawa dia tidak akan berkahwin dengan
perempuan seperti A.D tetapi apa yang menjadi realiti kini adalah sebaliknya.
“Sayang….thank you so much. Sebab tu Dhira yakin
sangat yang Wafi boleh buat. Tak sangka sayang Dhira ni boleh kerja kat Bina
Kurnia Berhad. Dhira cerita kat papa, dia suka sangat. Kenapa tak beritahu
Dhira yang Wafi dapat kerja kat syarikat tu? Wafi beritahu Dhira yang Wafi dah
dapat kerja aje. Nasib baik Dhira tanya Rafiq, kalau tak Wafi tak nak beritahu
kan?”
Wafi tersenyum sinis
apabila mendengar yang Datuk Hamdan menyenangi keadaannya ketika ini. Kenapa
baru sekarang? Kenapa tidak dari dulu lagi semasa dia tidak mempunyai apa-apa?
“Bukan Wafi tak nak
beritahu. Dhira yang sibuk kan? Lama sangat kat Sarawak tu sampai nak dekat
sebulan. Bila Wafi telefon, Dhira sibuk. Malam pun sibuk juga ke?”
“Wafi, papa cadang nak
buka cawangan kat sana. Papa cakap kat sana banyak peluang, jadi Dhira kena
tinjau strategi pemasaran, mesyuarat dengan pelabur dan kena rangka
perancangan. Papa nak Dhira belajar semua tu. Tadi Wafi juga cakap yang kerja
ni tanggungjawab kan?”
“Memanglah, tapi dah
tak ingat langsung kat Wafi? Wafi ada masalah ke, tengah tertekan ke ada Dhira
tahu?”
“Wafi, sorry. Dhira bukan sengaja.”
“Bila Wafi perlukan
Dhira sangat-sangat, Dhira tak ada. Kenapa dulu Dhira boleh luangkan masa untuk
Wafi walaupun sekejap meskipun Dhira sibuk?”
“Wafi, dulu lain
sekarang lain. Sekarang Dhira ada kerjaya, ada komitmen. Kan Dhira dah minta
maaf. Wafi ingat Dhira nak ke semua ni jadi?”
Kali ini giliran Nadhira
pula yang menarik muka. Nadhira merasakan Wafi seperti menyalahkan dirinya.
Komitmen kerja dan tangungjawab yang diberikan oleh Datuk Hamdan menyebabkan
masanya terbatas. Kakak dan abangnya juga menggalas tanggungjawab yang sama.
Sudah menjadi kemestian Datuk Hamdan yang anak-anaknya harus bekerja di
syarikat warisan keluarga yang diasaskan oleh arwah ayahnya 18 tahun lalu.
Melalui nada suara
Nadhira, Wafi dapat mengagak yang dia terpaksa memujuk gadis itu meskipun pada
awalnya hatinya yang minta dipujuk.
“Wafi pun tak nak semua
ni jadi tapi Wafi perlukan seseorang untuk Wafi mengadu macam dulu. Dhira dulu
bukan sekadar orang istimewa dalam hidup Wafi tapi Dhira juga boleh jadi kawan
tempat Wafi mengadu. Tapi sekarang Wafi dah hilang sebahagian daripada Dhira.
Sebelum Wafi capai apa yang Wafi ada sekarang, Wafi tertekan dan hampir putus
asa.”
“Bukan Dhira tak nak ada kat sisi Wafi cuma
Wafi kena faham situasi Dhira.”
“Dhira, dah lama Wafi
faham keadaan Dhira. Bila pula masanya Dhira nak kena faham keadaan Wafi?”
“Wafi, Dhira jumpa Wafi
hari ni sebab Dhira gembira sangat dengan apa yang Wafi capai. Papa pun tumpang
bangga dengan Wafi. Tapi kalau Wafi nak luahkan benda-benda yang remeh macam
ni, lebih baik tak payah jumpa.”
“Benda remeh Dhira
cakap? Agaknya Wafi ni dah tak penting dalam hidup Dhira. Dhira tak tahu apa
yang Wafi korbankan semata-mata untuk penuhi kehendak Dhira.”
“Habis tu, Wafi nak
salahkan papa sebab semua ni? Wafi nak salahkan Dhira?”
“Bukan tu maksud Wafi.
Wafi cuma perlukan seseorang.”
Nadhira hanya membisu.
Dia sedang menahan marah. Wafi benar-benar mencabar kesabarannya. Tidak pernah
dia merasakan perasaan marah seperti ini terhadap lelaki itu. Wafi seperti
sengaja mengundang amarahnya. Nadhira merasakan yang Wafi mahu menyalahkan
ayahnya. Bagi Nadhira, apa yang dilakukan oleh Datuk Hamdan adalah untuk
kebaikan mereka bersama. Nadhira pasti ayahnya mahukan masa depan yang terjamin
untuk kebahagiaan dia bersama Wafi kelak. Wafi memandang Nadhira yang berada di
hadapannya.
“Wafi minta maaf. Bukan
niat Wafi nak bertengkar dengan Dhira. Mungkin kerja kat pejabat tu yang
buatkan Wafi tertekan. Wafi tak sengaja.”
Nadhira sengaja
mendiamkan diri. Egonya menahan dirinya untuk memaafkan Wafi. Sebaliknya egonya
mendorong dirinya untuk mengajar lelaki itu.
“Dhira, Wafi minta maaf
ya?”
“Kalau Wafi rasa Dhira
ni tak macam dulu, kita putus.”
“Dhira, apa yang Dhira
cakapkan ni?”
Suara Wafi sedikit
meninggi, terkejut dengan kata-kata Dhira.
“Wafi, Dhira rasa rimas
dengan Wafi. Wafi macam nak salahkan Dhira atas apa yang berlaku. Wafi cakap
Dhira tak faham Wafi kan? Memang, Dhira memang tak faham dengan Wafi. Senang
cerita, kita putus.”
Lancang benar kata-kata
Nadhira ketika itu. Dia sama sekali tidak memaksudkannya. Apa yang terbit dari
bibirnya hanyalah kerana perasaan marahnya terhadap lelaki itu. Hati Nadhira
tidak mahu perkara itu terjadi tetapi kerana ego, baris ayat itu terluah jua.
Nadhira percaya yang Wafi akan memujuknya kerana dia tahu perasaan sayang Wafi
terhadap dirinya. Kata orang, manusia itu akan lebih menghargai sesuatu apabila
dia kehilangan perkara itu. Nadhira segera meninggalkan Wafi yang masih lagi
terkejut. Apa yang mampu Wafi lakukan ketika itu hanyalah membiarkan sahaja apa
yang berlaku.
----------------------------
“Tak pernah-pernah kau
ajak aku makan tengahari. Mimpi apa semalam?” soal Rafiq sebaik sahaja keluar
daripada restoran.
Semenjak Wafi bekerja di Bina Kurnia Berhad, ini merupakan kali pertama
rakannya itu mengajak dirinya untuk makan tengahari bersama. Mereka baru sahaja
selesai makan. Masa berbaki yang ada, Wafi mengajak Rafiq bersiar-siar di
sekitar plaza.
“Tak ada apa-apalah.
Pejabat aku dengan kau dekat aje, tak adalah jauh mana pun tapi tak pernah nak makan
tengahari sama-sama.”
“Yalah tu. Aku kenal
siapa Wafi Azrel Shah. Masa makan tadi muka macam kena paksa makan aje.”
“Sudahlah kau Fiq. Kau
tu memang memandai aje kerjanya.”
Rafiq hanya menyengih.
Rafiq melipat lengan baju kemejanya hingga ke siku. Terasa sedikit rimas
setelah selesai makan.
“Kau dengan A.D macam
mana?” tiba-tiba sahaja Rafiq teringat akan A.D.
“Mulut kau tu kalau tak
perli aku satu hari tak boleh ke?”
“Aku ni prihatin.
Bahagia ke tak lepas kau orang berdua kahwin?”
“Bahagia apanya? Aku
kahwin dengan A.D tu macam kahwin dengan orang lelaki. Tak ada apa-apa
perasaan. Kau tengok ajelah minah tu macam mana. Atas bawah semua macam lelaki.
Bawa motor pun motor superbike. Aku
yang lelaki ni pun tak bawa motor tu tau. Pakai motor kapcai aje pergi kerja.
Mana ada jurutera pergi kerja naik motor?”
“Relaks la bro. Eh, dia anak orang kaya kan? Kenapa
dia nak kerja kat kedai 24 jam tu?”
“Aku pun perasan juga.
Tapi aku tak pernah tanya dia. Mungkin dia nak berdikari agaknya.”
“Memuji nampaknya?”
“Bila masa aku puji
dia? Kan aku cakap, agaknya.”
“Yalah, kalau benci
mesti kau agak yang negatif. Contoh, agaknya dia ada hutang dengan along, dia
takut nak cakap dengan bapa dia sebab tu dia kerja. Ni tidak, cakap dia nak
berdikari.”
“Tolonglah, dia tu
bukan perempuan la.”
“Ok…ok..kau nak
perempuan macam Dhira kan? Kau dah banyak kali cakap dengan aku. Kau dengan
Dhira macam mana pula?”
Serta-merta wajah Wafi
berubah. Rafiq dapat melihat dengan jelas tindak balas Wafi sebaik sahaja dia
menanyakan soalan itu. Wajah Wafi tidak seperti selalu. Jika tidak, muka Wafi
pasti ceria setiap kali nama itu kedengaran di telinganya.
“Eh, aku tanya kau ni.
Apasal muka kau macam tu?”
“Aku dengan dia dah
putus. Dah tak ada apa-apa,” balas Wafi dengan nada perlahan.
“Putus?”
Rafiq terkejut lalu
langkahnya terhenti. Rafiq mengulangi perkataan itu. Bimbang jika telinganya tidak
dapat mendengar dengan jelas. Pantas sahaja Wafi tidak selera makan. Muka itu
jelas memancarkan kegusaran yang tersirat di hati.
“Dia yang minta putus
sebab aku ni merimaskan dia,” ucap Wafi lalu meninggalkan Rafiq.
Kakinya melangkah
perlahan. Matanya hanya memerhatikan satu-persatu kedai yang ada. Rafiq segera
mengekori Wafi.
“Tak kanlah sebab tu?
Kau tak pujuk?”
“Dia yang minta. Aku ni
dah banyak kali mengalah dengan dia. Aku dah penat,”
“Tapi kau juga yang
cakap Dhira tu gadis idaman yang kau cari. Ayu, cantik, lemah-lembut, manja,
berpendirian, perempuan Melayu terakhir. Ramai lelaki nak kat dia tapi dia nak
kat kau. Itu ciri yang kau nak kan? Kau tak kisah? Kau orang dah sama-sama 3
tahun,”
“Kau iangat aku tak sedih
ke? Mungkin ini yang terbaik. Hati aku ni dah penat.”
“Habis tu, perjanjian
kau dengan A.D macam mana pula?”
Tiba-tiba sahaja Wafi
memberhentikan kakinya di hadapan suatu kedai. Dia memandang lama kedai itu.
Dia memandang anak kucing di dalam sangkar yang diletakkan di hadapan kedai.
Senyumannya terukir. Rafiq kehairanan melihat telatah Wafi.
“Eh, apasal kita
berhenti kat kedai haiwan ni? Tak pernah-pernah kau senyum tengok kucing,”
Fikiran Wafi melayang
memikirkan A.D apabila terpandang kucing berwarna hitam dan setiap kakinya pula
bewarna putih, seolah-olah kucing itu seperti memakai stoking.
“Aku nak masuk kedai ni
kejap. Nak beli barang sikit.”
“Eh, kau nak beli apa
kat kedai haiwan ni? Kau mana pernah masuk kedai macam ni?”
“Adalah,” balas Wafi.
No comments:
Post a Comment