Stylo Clique ^_^

Tuesday, June 12, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 8 ::.




BAB 8


Rafiq menepuk-nepuk bahu Wafi sebaik sahaja mendengar perkhabaran baik daripada rakan kuliahnya itu.

“Tahniah Wafi. Akhirnya, temuduga ke lima belas membuahkan hasil. Sebagai tanda ucapan tahniah aku, aku belanja kau lepas habis main ni. Apa macam?” cadang Rafiq lalu meneguk air mineral di dalam botol.

Malik selaku ketua pasukan ragbi universiti mengajak mereka turut sama turun padang untuk membantu pemain yang lain dalam membuat latihan.

“Susah-susah aje kau ni. Tak sangka pula aku syarikat tempat aku temuduga tu tak jauh daripada pejabat kau.” balas Wafi sambil mengelap peluh yang mengalir. Badannya terasa segar setelah sekian lama tidak mengeluarkan peluh.

“Apa nama syarikat tempat bapa A.D kerja tu?”
“Bina Kurnia Berhad.”

Mata Rafiq serta-merta menjadi bulat. Wajahnya terkejut.

“Kenapa kau diam?”
“Bina Kurnia Berhad? Eh, syarikat besar tu. Selalu projek juta-juta memang syarikat tu dapat. Kiranya dahsyat jugalah bapa A.D tu kan? Kau ada jumpa bapa dia tak?”
Wafi menggeleng.
“Aku tak tahu mana satu bapa dia. Aku pun lupa nak tanya minah tomboi tu siapa nama bapa dia.”
“Cakap pasal budak tomboi tu, kau dah fikir masak-masak belum?”
“Ni yang aku serba salah ni. Kalau aku tak tolong, kasihan pula kat dia. Aku dapat kerja ni pun sebab dia yang tolong cadangkan nama aku.”

Rafiq cuba mendekatkan wajahnya ke muka Wafi. Cuba mencari sesuatu di sebalik wajah itu sambil tersenyum. Tangan kanannya berada di dahi Wafi.

“Kenapa dengan kau ni?”
“Tak adalah, aku nak rasa suhu badan kau. Panas ke tak. Manalah tahu demam, otak kau tak berfungsi.”
“Kenapa kau cakap macam tu? Kalau aku sakit, aku tak adalah kat depan mata kau sekarang ni.”
“Kalau kau tak sakit, sejak bila kau ada perasaan belas kasihan kat budak tomboi tu? Bukan kau benci dengan dia ke? Kau jangan bro, perasaan kasihan ni bahaya. Mula-mula memang kasihan, lama-lama terasa nak berkasih sayang pula. Lepas tu tiba-tiba tak sengaja terjadi pula kekasih. Semuanya di sebabkan perkataan kasih.”

Wafi terdiam. Dia tidak sedar yang dia ada perasaan seperti itu terhadap A.D.

“Apasal diam?”
“Bila masa aku ada cakap aku kasihan kat dia?”
“Kau jangan nak belit-belit cerita pula. Tadi kau ada sebut kalau aku tak tolong, kasihan pula kat dia. Telinga aku ni 3 hari sekali servis, aku tak salah dengar.”
“Mana ada. Aku cuma rasa yang aku kena tolong dia sebab aku nak balas balik jasa baik dia kat aku. Kalau aku tak balas, aku dah hutang dengan dia. Kau kan tahu aku tak suka hutang dengan orang. Lagi-lagi dengan budak macam A.D tu. Lagipun, aku buat semua ni sebab Dhira. Aku nak kumpul duit untuk dia. Bila dah cukup duit aku nanti, aku buatlah macam yang dia suruh,” jelas Wafi dengan panjang lebar.

Rafiq ketawa sambil menggelengkan kepala. Lucu apabila melihat Wafi menjadi gelabah.

“Yang kau nak terangkan semua ni kat aku kenapa pula? Aku tanya sikit aje, kau jawab macam nak buat karangan.”
“Aku tak naklah kau salah faham. Nanti kau ingat aku kahwin dengan budak tomboi tu sebab aku suka kat dia pula. Aku tak gila lagi tau nak lepaskan Dhira sebab budak A.D tu. Jauh sangat daripada ciri-ciri gadis idaman aku. Sipi pun tak ada.”
“Ok..ok..aku faham. Kau tak payah cakap apa-apa. Aku tahu kau tak akan jatuh cinta dengan A.D. Puas hati Encik Wafi Azrel Shah?”
“Ha…betul. Pandai pun,”
“Cakap pasal Dhira, kau nak beritahu dia tak pasal pernikahan gila kau ni?”
“Aku tak nak Dhira tahu. Aku tak nak Dhira sedih. Kau bayangkan, seorang perempuan macam Dhira boleh terima ke kalau aku kahwin dengan minah tomboi sebab aku nak kumpul duit untuk kahwin dengan dia? Lelaki yang dia sayang, kahwin dengan tomboi. Mesti dia kecewa. Aku tak ada pilihan. Tak adil rasanya kalau aku tak tolong A.D walaupun A.D pernah cakap dia tak kisah sama ada aku nak tolong dia atau pun tak. Walaupun mulut dia kurang ajar, tapi aku dapat rasakan yang hati dia taklah jahat mana.”
“Ehem…”

Rafiq sengaja berdehem.

“Kau jangan salah faham pula.”
“Aku tak cakap apa-apa pun. Elakkan kau yang jatuh dengan dia sebab aku rasa kau dah mula memuji budak tu.”
Stop it la. Hati aku ni masih waras untuk mendengar kata-kata aku. Aku dah cakap yang hati aku ni untuk Nadhira aje.”
“Aku cuma cakap aje. Habis tu nenek dengan adik kau tahu tak pasal ni?”
“Aku rasa tak payahlah. Tak lama pun, setahun aje. Kau ingat nenek aku tu setuju kalau aku cakap aku nak kahwin dalam masa setahun je lepas tu cerai. Tak ke nenek aku tu terus kena sakit jantung kalau dengar pasal ni. Ala…setahun tu tak lama. Sekejap aje.”
“Memang kau rasa sekejap, tapi kau kena ingat. Apa-apa boleh jadi dalam masa setahun. Bayi yang baru lahir pun dah boleh belajar nak berdiri dalam masa setahun. Setahun tu pun dah cukup lama sebab dalam sekelip mata je apa-apa pun boleh berubah apatah lagi dalam masa 365 hari.”

Wafi hanya mendiamkan diri apabila mendengar kata-kata Rafiq. Fikirannya seperti mengakui nasihat sahabatnya itu. Ya, dalam masa setahun apa sahaja boleh berlaku. Wafi segera menafikan apa yang bermain di fikirannya. Tidak mungkin dia boleh jatuh hati dengan gadis kasar itu. Tiada apa yang akan berlaku selepas mereka kahwin nanti. Semuanya sama seperti asal. Dia tidak akan jatuh cinta dan begitu juga A.D kerana itu prinsip hidup A.D. Masakan apa yang bermain di fikirannya akan berlaku. Semuanya mustahil. Kehidupan mereka akan tetap sama seperti sekarang. Ya, Wafi yakin akan hal itu. Namun, Wafi tetap manusia. Hanya DIA yang satu sahaja tahu apa yang akan berlaku.

-----------------------

“Jadi, Wafi Azrel Shah la orangnya ya?” soal Ridzuan kepada A.D yang sedang duduk di sofa. Mereka sedang menantikan kedatangan Wafi ke vila itu.
“Wafi Azrel Shah?”

A.D menjawab soalan Ridzuan dengan pertanyaan. Pertama kali dia mendengar nama itu. Akan tetapi dia seperti pernah nampak baris nama itu. Dia sendiri sudah lupa.

“Wafi Azrel Shah, tak kenal?”

A.D sedang memaksa ingatannya untuk mengingati kembali di mana dia pernah lihat nama itu sebelum ini. A.D memandang sekeliling. Dia cuba untuk tidak menampakkan wajahnya gelisah dan sedang berfikir. Tiba-tiba memori itu kembali.

“Ooohh…Wafi Azrel Shah. Kawan yang A.D cakap kat P.A papa hari tu.”

Ya, dia pernah lihat nama itu. “Wafi Azrel Shah bin Kamaruddin” tertera di sijil Wafi. A.D menarik nafas lega. Mujur dia membelek fail itu tempoh hari.
Kenapalah aku lupa nak tanya nama mamat sengal tu? Nasib baik aku ada tengok sijil tu, kalau tak kantoi dengan papa. Hati A.D sempat memarahi diri sendiri.

“Kelulusan dia boleh tahan. Dia sama fakulti dengan Riana kan? Jadi, kenal masa belajar la ni?”

A.D menganggukkan kepalanya. Dia seperti tidak mampu bersuara. A.D memandang jam antik yang terletak di dinding rumahnya. Tepat menunjukkan pukul 8.15 malam. A.D merasakan masa terlalu lama berlalu. Dia pasti selepas ini akan ada lagi soalan yang lebih mencabar daripada ayahnya.

“Dia tahu Riana siapa? Maksud papa, dia tahu Riana ni pewaris Bina Kurnia Berhad?”
Kali ini A.D menggeleng.
“Patutlah masa temuduga, muka dia jelas memang tak tahu siapa papa. Papa agak kagum dengan kelulusan dia. Nampak jenis orang yang berdisiplin. Papa ada tanya dia sama ada dia kenal Qurnia Adriana atau pun tak.”

Berderau darah A.D apabila mendengar kata-kata Ridzuan. Dia merasakan darahnya seperti tidak mengalir ke seluruh tubuh badannya. A.D tidak senang duduk.
Mampus kau A.D. Mamat sengal tu mana tahu nama kau. Sekali lagi hati A.D berbicara sendiri. A.D merasakan rancangannya sudah musnah.

“Dia cakap dia tak kenal. Betul ke Wafi Azrel Shah tu orangnya?”
“Tak ada pa….dia memang tak tahu nama penuh A.D. Masa A.D kenal dengan dia pun A.D guna nama A.D je,” spontan sahaja ayat itu keluar. Nasib baik otaknya ligat berfikir.

Ridzuan menganggukkan kepala setelah mendengar jawapan anak tunggalnya itu. Suasana sepi kembali. A.D  berharap tiada soalan yang mampu membuatkan ayahnya tahu akan rancangannya apabila munculnya Wafi sebentar lagi. Bunyi loceng menggamit telinga seisi vila tiga tingkat itu. Mak Som segera membuka pintu.

“Assalammualaikum mak cik,” ucap Wafi sebaik sahaja wajah Mak Som di pandangannya.
“Waalaikummussalam,” balas Mak Som sambil tersenyum.
“Nama saya Wafi. Saya nak tumpang tanya, betul ke ni rumah A.D?”
“Betul. Anak ni kawan A.D kan?”
“Saya tak silap ke? Mak cik pasti?” soal Wafi sekali lagi untuk mendapatkan kepastian.
“Ya nak. Betul ini rumah A.D. Tuan Ridzuan pemilik vila ni. Mak cik dah lebih 20 tahun kerja kat sini.”

Muka Wafi jelas menggambarkan keliru. Dia tidak menyangka yang A.D tinggal di vila itu.

“Som, Wafi ke yang datang?” soal Ridzuan yang datang dari ruang tamu.
“Ya, tuan. Wafi baru sampai ni.”

Ridzuan segera menuju ke pintu masuk bersama A.D. Wafi memandang wajah Ridzuan dengan penuh rasa terkejut.

“Wafi Azrel Shah, nampaknya kita berjumpa lagi,” ucap Ridzuan.
Wafi segera menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan bakal ayah mertuanya itu dan Ridzuan menyambutnya.

“Kalau tak silap saya, tuan yang menemuduga saya semalam kan? Maknanya tuan ialah ayah A.D?”

Ridzuan tersenyum melihat reaksi Wafi.

“Saya Ridzuan, papa kepada Riana,”
“Riana?”
“Atau Qurnia Adriana. Ataupun anak tunggal uncle ni kenalkan diri dia A.D pada kamu?”
“Qurnia Adriana? Nama yang pernah tuan tanya kat saya masa temuduga semalam? Maaf tuan, saya memang tak tahu. Saya kenal anak tuan sebagai A.D sahaja, bukan Qurnia Adriana. Saya betul-betul minta maaf.”
“Kamu tak salah. Mari masuk. Banyak benda yang kita kena bincang,” ajak Ridzuan, mempelawa bakal menantunya masuk ke dalam rumah. Wafi melangkah masuk. Dia sempat memandang A.D. A.D membalas pandangan tersebut.

Sejak kebelakangan ini pandangan Wafi terhadap gadis berimej lelaki itu berbeza. Wafi merasakan A.D penuh dengan kejutan. A.D seperti cuba menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan orang di sekelilingnya.

-------------------------

A.D menyerahkan sampul surat berwarna putih itu kepada Samsul dan Izwanie. Samsul yang sedang sibuk memilih baju terkejut dengan pemberian A.D.

“Apa ni Cik Jah? Sampai-sampai aje terus kasi aku sampul surat ni?”

A.D baru sahaja tiba di pusat membeli-belah. Sememangnya mereka bertiga sudah berjanji untuk bertemu pada hari itu. A.D menanggalkan sarung tangan hitam yang tersarung kemas di tangannya sebagai pelindung tangan semasa dia sedang menunggang motosikal.

“Bukalah dulu. Kau kan tak nak jadi suami olok-olok aku. Nah, aku kasi hadiah untuk kau,” balas A.D

Izwanie sudah pun terlebih dahulu membaca isi kandungan sampul surat itu.

“Ya Allah, kau biar betul A.D? Ni kad jemputan kahwin.”
“Apa? A.D nak kahwin?”

Samsul tidak sempat membuka sampul surat miliknya, dia segera melihat kad yang berada di tangan Izwanie.

“Bukan jemputan kahwin, jemputan ke majlis pernikahan. Kau jangan kecoh-kecoh sampai nak buat pengumuman kat radio pula. Habis 1 Malaya ni tahu aku nak nikah. Aku nikah aje, tak mahu kecoh-kecoh. Aku jemput kau orang berdua aje. Kalau orang lain tahu, memang kau orang lah yang buat onar tu.”

“Wanie, kau biar betul tengok kad tu? Aku macam tak percaya aje,”
“Sam, cuba kau baca kau punya kad. Entah-entah aku punya salah cetak tak,” pinta Izwanie seperti tidak percaya.

Samsul segera membaca kad miliknya.

“Jemputan ke majlis penikahan Qurnia Adriana binti Ridzuan dengan pasangannya Wafi Azrel Shah bin Kamaruddin.”

Samsul membaca isi kandungan kad jemputan itu.

“Wafi Azrel Shah, aku pernah dengar nama ni. Wafi budak fakulti kita tu ke?”
“Eh, kau orang pun tahu ke yang dia tu budak fakulti kita?”
Of course la mak tau nyah. Si Wafi tu jejaka idaman Malaya malah antarabangsa. Pemain ragbi univesiti a.k.a selera mak otot sasa macam Fahrin Ahmad.”

“Apasal aku tak pernah nampak dia?”
“Amboi……kau nak bagi soalan tak nak fikir dulu. Macamlah dunia zahir dan batin kau kat universiti tu 24 jam kan nak tanya macam tu. Yang kau tu kejap tenggelam kejap kuncup nak pergi kuliah tu kenapa? Dah namanya kaki ponteng kuliah kan? Sibuk aje dengan kerja, macam mana nak nampak Wafi tu,” balas Izwanie pula.
“A.D, kau ni salah cetak nama pengantin lelaki ke? Ke kau berangan, syok sendiri ni? Bukannya Wafi dengan Nadhira yang lemah lembut tu ke?” soal Samsul, kehairanan.
“Mulut kau kan Sam memang tak ada gear reverse kan? Cakap main lepas je.”
“Yalah nyah, mulut aku ni gear automatik. Tekan sikit je terus jalan. Wafi dengan Nadhira kan pasangan merpati sejoli. Semua orang tahu.”
“Panjang ceritanya. Sebab korang berdua ialah BFF aku, aku akan cerita kat kau orang nanti. Sekarang aku lapar la. Kau orang dah siap pilih baju belum?”
“Bila majlisnya A.D?” tanya Izwanie.
“Entah, aku pun tak ingat. Dalam bulan ni juga lah,”

Izwanie segera membaca isi kandungan kad itu semula.

“Kalau ikut tarikh ni tak silap aku lusa.” ucap Izwanie.
“Ha….??? Lusa ke?”
“Eh, nyah. Kau ni berlakon terkejut ke apa? Tarikh nikah sendiri pun tak ingat?
“Serius aku tak ingat. Aku ingat minggu depan,”
“Ha……jangan-jangan baju nikah pun kau tak siapkan lagi kan?” duga Izwanie.
“Baju nikah? Kalau pakai baju kurung raya dua tahun lepas tak boleh ke?”

Samsul segera menepuk dahi A.D, seperti mahu menyedarkan A.D daripada sikap acuh tidak acuhnya itu.

“Astaghfirullahalzim. A.D, kau ni kena virus malaria ke apa? Kau ingat majlis nikah kau ni majlis rumah terbuka hari raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin? Boleh pakai baju kurung zaman batu? Ini majlis paling bermakna dalam hidup kau. Kau kena pakai baju cantik. Aku pun kalau boleh nak jadi glamor, lip lap baju aku masa aku kahwin nanti,” tegur Samsul.
“Ala…nikah tu tak sampai setengah hari pun. Buat apa nak pakai cantik-cantik,”
“Aduhai…boleh semput kencing manis la mak dengan kau ni A.D. Wanie, budak tomboi mana kau kutip ni?”
“Ha, tomboi kau jangan sebut. Kau tahu kan aku pantang kalau orang panggil aku tomboi.”
“Ha…..kalau dah macam tu, jom Wanie. Hari ni kita batal shopping untuk diri sendiri. Sementara kita kat plaza yang nan indah ni, lebih baik kita shopping baju nikah untuk A.D ni,” ajak Samsul.
“Ha?”
 
Terkebil-kebil mata A.D apabila Izwani dan Samsul menarik tangannya.

--------------------

A.D memandang siling biliknya. Otaknya masih memikirkan akan keputusannya untuk bernikah dengan Wafi. Kadang-kala perasaan tidak kisah muncul dan sekali sekala perasaan ragu-ragu pula muncul di dalam hatinya. Apabila memikirkan jika dia tidak berkahwin dengan Wafi, ayahnya akan menjodohkan dirinya dengan orang yang tidak dikenali, terus A.D nekad dengan keputusannya. Sekejap A.D mengiring ke kanan dan sekejap pula ke kiri. Dia sendiri tidak pasti dengan perasaannya. Keresahannya terhenti sebaik sahaja mendengar bunyi ketukan pintu.

“Siapa?” soal A.D
“Ni papa, Riana.”

A.D tidak selesa apabila mendengar suara itu. A.D seboleh mungkin tidak mahu bertembung suara dengan Ridzuan. Baginya, hubungan dia dengan Ridzuan hanya sebagai nama sahaja.

“Masuklah,” ucap A.D sambil duduk di sisi katil.

Akhirnya A.D merelakan Ridzuan masuk ke dalam kamarnya. Ridzuan memulas tombol pintu lalu kakinya melangkah ke dalam. Tangannya membawa sesuatu.

“Riana tak tidur lagi?”
“Belum lagi,”

Ridzuan sempat memandang jam dinding di dalam bilik A.D. Jam sudah menunjukkan pukul 12.20 malam.

“Dah pukul 12 lebih ni. Esok kan majlis nikah Riana. Tak baik pengantin bangun lambat,”

A.D hanya membisu. Dia tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan kepada ayahnya. Ridzuan yang tadi berdiri, kini duduk di sisi anak perempuannya. Tangannya menghulurkan sepasang baju kurung bewarna putih kepada A.D.

“Apa ni, pa?”
“Baju nikah mama masa mama nak nikah dengan papa dulu,”

A.D menyambut baju kurung itu sebaik sahaja mendengar jawapan daripada bibir Ridzuan.

“Kenapa papa kasi A.D?”
“Sebab Riana anak papa dengan mama.”
“Tapi A.D dah ada baju nikah. Sam dengan Wanie beriya pilihkan untuk A.D semalam.”
“Tak apalah. Memang papa dah niat nak kasi Riana baju mama ni masa Riana nak nikah. 
Baju ni barang kesayangan mama. Biarlah apa yang mama sayang, papa kasi pada orang yang papa sayang. Riana adalah satu-satunya harta yang paling berharga buat diri papa.”
A.D memandang wajah lelaki di sebelahnya. Sudah lama dia tidak memandang wajah itu dari dekat.
“Riana tahu tak? Muka Riana sekarang sebiji macam arwah mama masa dia muda dulu. Manis, berpendirian, luar nampak kasar tapi hati penuh dengan kelembutan,” ucap Ridzuan sambil mengusap rambut A.D yang pendek itu.
“Cuma mama Riana rambut panjang masa tu. Semua apa yang ada pada mama, ada pada Riana. Cuma satu aje perangai papa yang ada pada Riana. Keras kepala. Papa bertuah sangat sebab Riana macam mama. Mama berjaya didik Riana jadi anak yang baik. Kalau papa, belum tentu papa boleh jadi macam mama.”

A.D hanya mendiamkan diri. Hatinya sedikit terusik apabila mendengar kata-kata Ridzuan.

“Papa tahu papa dah banyak sangat buat salah dengan mama dan Riana. Papa tak tahu macam mana nak tebus semua kesalahan papa. Papa bukan tak pedulikan Riana, tapi papa tak tahu macam mana caranya biar hati anak papa ni tak terluka. Papa tahu, Riana sekarang ni tak sama dengan Riana yang dulu. Tidak kira sama ada Riana atau A.D, kat mata papa kamu tetap anak papa, Qurnia Adriana binti Ridzuan. Papa juga tahu yang Riana jadi A.D sebab papa kan? Papa minta maaf sangat-sangat sebab papa tak ada kat sisi Riana selama ni.”

Hati A.D menjadi sebak mendengar luahan hati ayahnya. Hatinya sudah menangis, tetapi matanya tidak mahu menangis. Dia mahu menunjukkan yang dirinya kuat di hadapan Ridzuan.

“Papa nak sebelum papa tutup mata, hidup Riana senang. Bina Kurnia tu papa bina untuk Riana. Walaupun banyak kali Riana cakap sebab syarikat tu lah papa abaikan mama dengan Riana, papa tetap teruskan sebab semuanya untuk Riana bila papa dah tak ada nanti. Papa buat keputusan untuk Riana kahwin bukan sebab papa nak seksa hidup Riana. Papa tak nak Riana terus jadi A.D. Papa tak nak Riana terus buat silap di atas kesalahan papa. Sekurang-kurangnya ada orang yang akan jaga Riana bila papa dah tak ada nanti.”

Tangan Ridzuan mengusap-usap pipi A.D. Air matanya gugur. Sebak memikirkan hubungan mereka selama ini.

“Riana, maafkan papa. Papa dah tak ada sesiapa lagi melainkan kamu.”

Akhirnya, manik jernih itu mengalir di pipi A.D. Selama ini dia menentang lelaki tua di hadapannya. Jauh di sudut hatinya, dia rindukan kasih sayang seorang ayah.

“Pa, selama ini A.D tak pernah minta kesenangan daripada papa. A.D cuma nak papa jadi macam ayah orang lain. Yang ada kat sisi A.D masa A.D dapat keputusan cemerlang, yang ada kat sisi A.D masa A.D demam, yang akan marah A.D kalau A.D buat silap. A.D tak pernah dapat buat macam tu, pa.”
“Papa tahu. Tapi papa tak nak Riana rasa hidup susah macam mana papa pernah hidup dulu. Seorang ayah tak akan sanggup tengok anaknya dalam keadaan susah. Sebab tu papa sedaya upaya bangunkan Bina Kurnia sampai sekarang.”

Kehidupan Ridzuan yang penuh kedaifan suatu ketika dahulu ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang menyebabkan Ridzuan berusaha untuk memberikan kesenangan dan kemewahan kepada keluarganya sehinggakan dia terlupa untuk mencurahkan kasih sayang.

“Papa minta maaf. Sepatutnya papa dah lama ucapkan perkataan tu kan? Entah kenapa, malam ni papa rasa sedih sebab nak lepaskan Riana untuk Wafi.”

A.D segera memeluk Ridzuan. Sudah lama dia ingin melakukan perkara itu. Ridzuan terkejut dengan tindakan A.D. Dia sendiri sudah lupa bila kali terakhir dia memeluk anak tunggalnya.

“A.D minta maaf juga pa. Selama ni A.D kasar dengan papa. A.D dah jadi anak derhaka. A.D tak tahu macam mana caranya baru A.D dapat berbual dengan papa. Dengan cara tu saja papa akan bercakap dengan A.D.”


Ridzuan membalas pelukan A.D dengan erat. Hatinya terasa lega kerana A.D mahu menerima maafnya. Barulah jiwanya terasa tenang untuk melepaskan satu-satunya anak perempuan dalam hidupnya itu


4 comments:

  1. Errmmmm....saya nak kata ada kesalahan disini...
    Tomboi tu perempuan yang pakai baju laki tapi die masih suka pada lelaki...
    Lesbian pula perempuan yang suka kaum sejenis..
    Pengkid pulak perempuan yang berpakaian lelaki dan menyukai kaum sejenis...
    OK..tu je saya nak betulkan..
    yang lain ok2 je..:D
    Selamat berkarya lagi..
    Cerita awak memang kelas pertama..:D

    ReplyDelete
    Replies
    1. oohh..ok..terima kasih..
      mungkin sye tersilap pandang..
      anyway..tq.. ^_^
      klu ade rezeki, akan dicetak,mse tu sye akn betulkan..
      hihi..ni dh publish kat blog..
      terima kasih sbb sudi bce Superbike itu Cinta.. ;)

      Delete
  2. ain..nanges aq bc bab nie..cdey tetbe rindu kat arwah abah aq.. :'(

    ReplyDelete
    Replies
    1. makcik..serius ko nangis? jgnla begitu.. aku sendiri tulis n edit balik cite ni pun xsedar tibe2 air mata mengalir..
      anyway..teruskan membaca SIC.. hehe..TQ sbb bc

      Delete