BAB
11
A.D melangkah masuk ke
dalam rumahnya yang terletak di tingkat 3. A.D baru sahaja pulang dari kerja.
Hari itu dia hanya bekerja selama 4 jam, bermula dari pukul 5 petang sehingga 9
malam. Kehidupannya yang terpaksa menghadiri kuliah sejak akhir-akhir ini
meletihkan tubuhnya. A.D menuju ke dapur sebaik sahaja meletakkan topi keledar
dan kunci motorsikalnya di meja makan lalu membuka pintu peti sejuk. A.D mencari
sesuatu untuk menghilangkan dahaganya. Dia mengambil sebotol air mineral lalu
dituangkan air tersebut ke dalam gelas. A.D meneguk laju air sejuk itu. Hilang
rasa hausnya. Matanya seperti menangkap sesuatu di dapur. Ada yang lain, tidak
seperti selalu.
“Kuali kat atas dapur?
Mamat sengal ni masak ke?”
A.D segera membuka
tudung kuali. Bau nasi goreng kampung menggamit deria baunya.
“Bau boleh tahan.”
A.D mencuci tangan lalu
segera mengambil sudu yang terletak di rak pinggan. Dia menceduk sedikit nasi
yang berada di dalam kuali.
“Boleh tahan sedap.”
A.D menjengah jam
digital di tangannya. Jamnya menunjukkan puku 9.45 malam lalu memandang pintu
bilik Wafi. Ianya tertutup rapat. A.D menjangkakan yang Wafi sudah pun makan
malam memandangkan kuantiti nasi goreng itu sedikit.
“Mesti dia dah makan.
Dah nak pukul 10 ni. Memandangkan aku pun belum makan lagi, lebih baik aku
makan. Daripada basi, lagi rugi.”
A.D segera mengambil
pinggan lalu memindahkan nasi itu ke pinggan yang diambilnya tadi. A.D duduk di
meja makan lalu menjamu selera.
Ada guna juga mamat
sengal ni. Pandai juga masak, ingat memang tak boleh pakai. A.D sempat mengomel
di dalam hati. A.D terus menyuap nasi itu ke dalam mulutnya untuk mengisi
perutnya yang lapar.
Wafi keluar daripada
kamarnya setelah selesai mandi dan menunaikan solat Isyak. Kerja yang banyak di
pejabat memaksa Wafi pulang lewat hari itu. Dia tiba di rumah pada pukul 8
malam. Meskipun letih, tekaknya sudah jemu untuk makan malam di restoran. Hari
itu dia bercadang untuk memasak nasi goreng kampung. Sebelum tiba di rumah, dia
sempat menyinggah ke restoran untuk membeli nasi putih sahaja. Baru sahaja dia
berangan untuk menikmati hidangan makan malamnya, namun perasaan itu terus
lenyap apabila dia semakin menghampiri meja makan.
“Weii…..kau makan nasi
goreng aku eh?”
Suara Wafi agak
meninggi. A.D terkejut, mujur dia tidak tercekik.
“Kau ni kenapa? Tak
reti nak cakap perlahan sikit? Aku ni tak pekak.”
“Memanglah kau tak
pekak tapi kau ni buta. Eh, gila……suka hati kau aje nak makan nasi goreng aku.”
“Apasal pula tak boleh?
Kau ni kenapa nak kedekut sangat? Lagipun aku tengok kat kuali nasi goreng ni
tinggal sikit, aku habiskanlah. Kalau simpan pun, esok pagi dah basi.”
“Amboi..amboi…suka hati
kau aje cakap nasi tu tinggal sikit. Nasi tu memang sikit sebab aku masak untuk
mulut aku aje, bukan mulut kau.”
A.D serba salah
dibuatnya. Sememangnya silapnya. Sangkaannya meleset sama sekali.
“Dahlah aku balik
lambat hari ni, penat badan pun tak hilang. Kau ni memang teruk kan? Kau memang
sengaja nak dengki aku sebab aku paksa kau pergi kuliah kan? Kau memang nak
balas dendam kan? Aku tak pernah jumpa lagi orang macam kau ni. Suka hati aje,
tak pernah fikir perasaan orang lain. Kalau tak tahu, tanyalah. Lain kali,
belajar macam mana nak hormat hak orang lain.” sambung Wafi lagi.
Perasaan bersalah A.D
bertukar menjadi geram dan marah apabila mendengar kata-kata Wafi. Sememangnya
dia tidak sengaja.
“Apasal diam? Aku nak
makan apa malam ni? Semuanya kau dah habis melantak.”
“Habis tu, kau nak aku
muntahkan balik semua nasi tu? Kalau kau nak, aku boleh buatlah.”
“Oiii gila…..sisa kau
makan pun aku tak nak tau.”
“Kalau dah tahu tak
nak, tak payahlah nak cakap macam tu. Aku tak sengaja. Dah nak pukul 10 pun.
Aku ingat kau dah makan.”
“Habis tu, kau ingat
aku ni baik hati sangatlah nak masakkan untuk kau? Dahlah mulut kurang ajar,
perangai kasar, pakaian dengan rambut dah macam jantan. Buat apa aku nak buat
baik dengan kau? Aku pun tak tahulah macam mana aku boleh setuju kahwin dengan
kau. Aku rasa masa tu aku tak makan ubat agaknya.”
“Kau ni memang tak ada
hati perut kan? Kan aku dah cakap, aku tak sengaja. Kalau aku tahu, aku pun tak
ingin nak makan. Walaupun aku macam ni, tapi aku tahu lagi macam mana nak
hargai hak orang lain. Lain kali letak papan tanda besar-besar kat kuali tu
‘Dilarang Makan’, baru aku yang buta ni nampak.” ucap A.D lalu mengambil beg
sandangnya dan keluar daripada rumah. Hatinya sakit dituduh sebegitu.
“Ha…keluarlah. Tomboi
macam kau ni memang macam tu. Tak boleh nak tegur.”
Wafi membiarkan sahaja
A.D keluar. Baginya, A.D perlu diberi pengajaran atas sikapnya tadi. Wafi
terpandang pinggan yang terletak di atas meja. Nasi di pinggan itu masih lagi
berbaki suku. Agak lama dia memandang pinggan itu.
Wafi..Wafi…..pasal nasi
goreng pun kau nak marah dia sampai macam tu sekali? Tiba-tiba sahaja hati Wafi
berbisik sebegitu. Tidak semena-mena, perasaan bersalah timbul di hatinya. Mata
Wafi terpandang kunci motor dan topi keledar milik A.D yang masih lagi terletak
di atas meja itu. Tangannya segera mencapai kedua-dua barang itu.
“Si gila ni keluar tak
bawa helmet dengan kunci ke? Kalau
dia tak bawa, dia pergi mana aje?”
Perasaan bersalah tadi
ditimpa pula dengan perasaan risau dan bimbang. Dia sudah berjanji dengan
Ridzuan untuk menjaga A.D. Perutnya yang lapar itu tidak diendahkan. Wafi
segera keluar, dia mahu mencari A.D. A.D kini sudah menjadi tanggungjawabnya.
------------------------
Wafi menoleh kiri dan
kanan kawasan apartmen itu. Puas dia mencari setiap ruang yang ada. Motosikal
itu masih di situ tetapi A.D tiada. Wafi bimbang. Meskipun A.D berperwatakan seperti lelaki, tetapi dia
masih lagi seorang perempuan. Wafi meninjau lagi di sekitar kawasan itu.
Kakinya melangkah menuju ke pondok pengawal.
“Abang, tumpang tanya.
Ada nampak tak perempuan rambut pendek macam lelaki keluar jalan kaki daripada
kawasan ni? Biasanya dia bawa motor besar warna hijau tu.” soal Wafi kepada
lelaki berusia 40-an itu sambil jarinya meunjukkan ke arah motosikal milik A.D.
“Ooohh..A.D ke? Ada,
tak silap dia macam pergi ke kawasan kedai depan tu.”
“Betul? Ok bang, terima
kasih banyak-banyak.”
Lelaki itu hanya
mengangguk. Mukanya kehairanan apabila melihat sikap gelabah Wafi. Wafi segera
menyeberangi jalan raya menuju ke kawasan kedai. Mata Wafi melilau-lilau
mencari susuk tubuh itu. Dia pasti A.D tidak akan pergi jauh memandang dia
tidak membawa kunci motosikal. Hati Wafi tidak menentu. Dia tidak tahu mengapa
bibirnya boleh mengeluarkan kata-kata itu. Mungkin kerana tekanan di tempat
kerja dan Nadhira yang sudah lama tidak menghubunginya akibat terlalu sibuk
menyebabkan Wafi melepaskan geram terhadap A.D. Dia sama sekali tidak pernah
maksudkannya. Langkah Wafi terhenti apabila melihat A.D sedang duduk di tangga
berhadapan dengan sebuah kedai pakaian. Kedai itu sudah pun tutup memandang
masa sudah mencecah pukul 10 malam. Tangan A.D sedang membelai seekor kucing
berwarna coklat. Terdapat seekor lagi sedang makan berada di sisi A.D. Wafi
merasa lega lalu menghampiri A.D perlahan-lahan. Kelihatan A.D mengusap
perlahan kepala kucing itu.
“Kucing, aku tak
sengaja makan nasi goreng dia. Kalau aku tahu dia tak makan lagi, aku tak makan
nasi tu.”
Langkah Wafi terhenti
apabila mendengar suara A.D. A.D nampaknya sedang meluahkan perasaan terhadap
haiwan itu.
“Aku tahulah aku ni tak
macam perempuan. Tapi, aku tak adalah kejam. Ada ke patut dia cakap aku ni nak
balas dendam. Makan nasi pun boleh kaitkan dengan dendam ke? Aku memang tak sengaja.”
Wafi tercegat di situ.
Dia mahu mendengar luahan hati A.D. Tangan A.D beralih mengusap kucing yang
satu lagi. A.D memberi lagi makanan kucing yang berada di dalam begnya. Kini,
kedua-dua kucing itu bersama-sama menjamu selera. Wafi tidak sedar yang
bibirnya sedang mengukir senyuman apabila melihat perbuatan A.D. Wafi merasakan
yang A.D mempunyai sifat kasih sayang. Meskipun dia kasar tetapi dia penyayang.
Nadhira pula tidak gemar dengan haiwan itu. Apabila Nadhira dan Wafi keluar,
Nadhira seboleh mungkin akan menjauhi dirinya daripada kucing kerana baginya
kucing di tepi jalan ni sesuatu yang kotor. Namun tidak bagi A.D. A.D membelai
haiwan itu dengan penuh kasih sayang.
Wafi, sejak bila kau
mula bandingkan Nadhira dengan minah tomboi ni? Bagi kau Nadhira memang tiada
tandingan. Nadhira ialah gadis yang kau impikan selama ni. A.D ni tak ada
ciri-ciri yang kau nak. Fikirannya segera mahu menyedarkan dirinya. Hati dan
otak Wafi seperti tidak sehaluan.
“Aku tahu aku salah
tapi janganlah marah sampai macam tu sekali. Dahlah buta, pekak lepas tu sengal.
Tarik rambut ekor kuda tu baru tau. Biar dia tahu sakit hati aku ni kat dia.”
Wafi…kenapa kau nak
sibuk-sibuk risaukan dia? Selama ni pun dia memang dah biasa hidup sendiri kan?
Selama ni pun kau memang tak kisah pasal dia.
Fikirannya sekali lagi
mengingatkan dirinya. Perlahan-lahan kakinya melangkah mengundur, dia tidak
mahu A.D tahu yang dia berada di situ.
----------------------------
Wafi memandang siling
kamar tidurnya. Puas dia menantikan kepulangan A.D. Tangan Wafi mencapai telefon
bimbit yang terletak di sebelah bantalnya. Jam di skrin telefonnya jelas
menunjukkan pukul 11.45 malam. Sudah lebih satu jam setengah A.D keluar. Dia
cuba melelapkan mata, tetapi tidak berjaya. Meskipun badannya terasa letih, ia
tidak mampu membuatkan matanya terpejam. Perut yang lapar hanya diisi dengan mi
segera setelah dia pulang daripada mencari A.D. Wafi tidak mampu untuk
berpura-pura seperti biasa setelah apa yang berlaku. Dia juga tidak mampu untuk
menafikan keresahannya. Wafi bangkit dan duduk di sisi katil. Dia mengusap
rambutnya ke belakang lalu jari jemarinya menyentuh bahagian rambut yang
diikat.
“Aku
tahu aku salah tapi janganlah marah sampai macam tu sekali. Dahlah buta, pekak
lepas tu sengal. Tarik rambut ekor kuda tu baru tau. Biar dia tahu sakit hati
aku ni kat dia.”
Terngiang-ngiang
kata-kata A.D sebentar tadi di benak fikirannya. Dia tersenyum sendiri.
“Rambut ekor kuda.”
Wafi berdialog sendiri.
Sudah berkali Wafi memberi amaran kepada A.D supaya tidak menyentuh rambutnya
tetapi amaran itu langsung tidak dihiraukan oleh A.D.
Tiba-tiba kedengaran
pintu rumah dibuka. Wafi dapat mengagak yang A.D sudah pun pulang. Dia segera
bangun menuju ke pintu biliknya. Namun langkahnya terhenti sebaik sahaja sampai
di hadapan pintu.
“Apasal aku macam
teruja aje bila dia balik? Kenapa perasaan risau aku belum hilang lagi, padahal
kan dia dah balik. Ish, nanti dia ingat aku risau kat dia pula kalau aku
keluar. Buat tak tahu macam biasa dah la.” ucap Wafi sendiri.
Dia menuju ke katilnya
semula. Ketika itu jiwanya seperti terbahagi dua. Satu bersifat mahu mendekati
A.D, dan satu lagi pula adalah sebaliknya. Jiwanya yang satu itu meminta
dirinya untuk keluar. Dia mahu melihat keadaan A.D dengan mata kepalanya
sendiri tetapi jiwa yang satu lagi telah dikuasai egonya.
Wafi tidak dapat
mengawal perasaan itu. Dia segera membuka pintu lalu melangkah keluar daripada
bilik. Dia meninjau ke dapur dan ruang tamu. Apabila melihat tiada A.D di situ,
Wafi dapat menjangkakan yang A.D sudah pun masuk ke dalam biliknya. Hatinya
sedikit kecewa. Dia mahu meminta maaf.
Wafi memandang meja
makan. Bungkusan polistrin dan sekeping nota berada di atas meja. Tangannya
mengambil bungkusan polistrin itu lalu membukanya. Nasi goreng kampung yang
masih panas di pandangan mata Wafi. Tangan Wafi mencapai cebisan nota itu pula.
Aku
minta maaf…..
Aku tak pandai masak, aku beli je kat kedai..
Aku tak pandai masak, aku beli je kat kedai..
No comments:
Post a Comment