Stylo Clique ^_^

Friday, June 1, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 1 ::.




BAB 1


Jam di tangan dilihat berulang kali. Bayang-bayang orang dinanti masih belum menjelma. Wafi resah, namun hatinya berbunga. Sekian lamanya dia tidak berjumpa dengan gadis itu. Rindu menggunung tersimpan di dalam jiwanya. Petang itu dia nekad untuk tidak hadir ke kuliah. Hanya ini sahaja masa yang ada untuk dia meluangkan masa bersama dengan insan teristimewa. Sesekali dia memerhatikan dirinya di hadapan kaca butik pakaian tempat dia berdiri. Rambutnya panjang paras bahu diikat kemas.
“Hai dear,” ucap suara itu dari belakang.
Wafi segera menoleh. Dia kenal benar dengan pemilik suara itu. Wafi mengukir senyuman setelah menatap wajah manis di hadapannya. Nurul Nadhirah, nama yang sering menjadi sebutan di kalangan pelajar universiti suatu ketika dahulu. Kini, sudah genap lima bulan Nadhirah melangkah ke alam pekerjaan.  
“Kenapa tengok Dhira macam tu?”
“Tak ada apa-apa. Sejak dah bekerjaya ni kedekut ya?” nada suara Wafi menduga.
“Kedekut? Kenapa pula?”
“Yalah, nak tengok muka orang yang Wafi sayang pun tak boleh ke?”
Dhira tersenyum mengerti. Penampilannya mampu menarik perhatian mana-mana lelaki. Petang itu Dhira mengenakan kemeja berwarna merah hati lalu dikenakan dengan seluar slack putih. Rambutnya disimpul moden, menambahkan lagi keanggunannya sebagai seorang pegawai pemasaran.
“Oklah, lain kali Dhira tak akan tanya lagi kalau Wafi tengok muka Dhira,”
“Betul ni? Tak kedekut?”
Dhira menggeleng manja.
“Dah lama tunggu Dhira? Sorry Wafi. Tadi ada kemalangan masa Dhira nak pergi sini.”
“Perasaan orang yang menunggu ni lebih perit daripada orang yang ditunggu sebab orang yang menunggu ni tertunggu-tunggu. Tak tahu ke yang orang menunggu ni rindu kat orang tu,” luah Wafi, pura-pura merajuk.  
“Wafi, Dhira bukan sengaja. Betul, tadi ada kemalangan kat depan tu. Ingat orang yang menunggu aje rindu? Orang yang terkejar-kejar nak jumpa orang yang menuggu ni tak rindu?”
Kali ini giliran Nadhira pula yang merajuk.
Wafi tersenyum. Sememangnya begitu perangai Nadhira. Pasti akhirnya dia yang memujuk buah hatinya itu meskipun pada mulanya Wafi yang merajuk. Namun, Wafi tidak kisah dengan karenah Nadhira kerana Nadhira ialah gadis idamannya. Nadhira memenuhi ciri-ciri yang dia mahukan untuk suri di dalam hidupnya. Nadhira juga menjadi rebutan semasa zaman pengajiannya.
“Sayang,” panggil Wafi dengan penuh lembut.
Nadhira masih lagi tidak mahu mengalah. Mukanya sengaja mencuka.
“Sayang Wafi ni, kalau merajuk tak cantik. Kita jarang jumpa kan? Tak kan nak isi masa yang ada ni dengan merajuk? Cuba senyum sikit.”
Nadhira menjeling manja. Dia tahu, Wafi pasti akan memujuknya. Wafi Azrel Shah adalah lelaki yang berjaya menawan hatinya. Hanya lelaki itu yang mampu memahami kehendaknya. Setiap kali dia merajuk, Wafi akan memanggilnya dengan panggilan ‘sayang’. Sedikit demi sedikit dia mengukir senyuman apabila Wafi merenung ke arahnya. Dia rindu dengan pandangan itu.
“Ha, kan dah cantik tu. Tak mahulah masam-masam.”
“Nasib baik tahu macam mana nak pujuk Dhira.”
“Dhira ni manja tau. Sebab Dhira orang yang Wafi sayang, mestilah Wafi pujuk.”
“Ok, kalau betul Wafi sayang Dhira, Wafi sanggup buat apa sahaja untuk Dhira?”
“Nurul Nadhira…Wafi Azrel Shah sanggup buat apa sahaja untuk kamu.”
Nadhira tersenyum gembira.
“Kalau macam tu, kita pergi makan dulu. Dhira lapar.”
“Tapi Wafi bawa 1 helmet je.”
“Hari ni naik kereta Dhira.”
“Kereta Dhira?”
“Yalah, Dhira baru beli kereta tu. Dhira nak buat kejutan kat Wafi. Jom, Dhira letak kereta kat sana,” ucap Dhira sambil tangannya sudah menarik lengan Wafi.

-----------------------------

Pintu kedai serbaneka 24 jam itu ditolak sambil matanya melihat jam yang terletak di tangan kanannya. Tepat menunjukkan pukul 5.35 petang. Inilah saat yang dinantikan oleh A.D. Waktu kerjanya sudah tamat. Belum sempat lagi dia mengenakan topi keledar muka penuh Corsair V itu ke kepalanya, kedengaran suatu suara memanggilnya. A.D segera menoleh.
“A.D, esok jangan datang lambat lagi. Ingat tu,” pesan Encik Razak, penyelia kedai tersebut.
“Ok bos. Saya cuba datang awal sikit daripada biasa esok,” ucap A.D sambil menunjukkan tabik hormat.
“Engkau tu hari-hari cakap macam tu. Entah apa agaknya kau buat tiap-tiap malam sampai pergi kerja pun lambat,” rungut Encik Razak sambil melangkah masuk ke dalam. A.D hanya mampu menyengih.
Sudah berbuih mulutnya menasihati A.D untuk datang tepat pada waktunya tetapi A.D tetap begitu. Mujur mutu dan kesungguhan A.D yang baik semasa bekerja mampu membuatkan Encik Razak tidak berkira dengan A.D. A.D pasti akan menggantikan masa lambatnya dengan pulang lewat daripada waktu yang sepatutnya.
A.D segera memakai topi keledar lalu menuju ke motosikalnya yang terletak berhampiran kedai. Dia tercari-cari gugusan kunci di dalam beg sandangnya. A.D tergesa-gesa kerana malam ini ada lagi kerja separuh masa yang dia mahu lakukan iaitu kerja mencuci pinggan apabila terdapatnya majlis-majlis tertentu. Bukan setiap hari dia dapat mencari wang lebih. Pasti peluang itu tidak mahu dilepaskan. A.D segera menghidupkan enjin sebaik sahaja kunci ditemui. A.D mengambil jaket hitam di dalam begnya lalu disarung kemas ke tubuhnya. Kakinya segera mengangkat stand motosikal lalu cuba mengundur kebelakang. Tanpa dia sedari, ada sepasang kekasih yang sedang leka berbual sambil berjalan semakin menghampiri kedudukannya. A.D terus mengundur sambil menoleh ke kanan tanpa menghirau kirinya. Dan, tanpa dia sedari juga belakang motosikalnya bertembung dengan tubuh gadis itu.
“Aduh,”
Nadhira terjatuh. Wafi terkejut. A.D juga kaget lalu segera turun daripada motosikalnya. Wafi segera mendapatkan Nadhira yang sedang menahan kesakitan. Mujur hanya luka kecil di tapak tangan. Perasan terkejut Wafi bertukar marah apabila menoleh ke arah pemilik motorsikal itu.
“Apa ni bro? Nak undur pun tengok-tengoklah.”
Wafi cuba membela nasib Nadhira. A.D mengangkat visor topi keledarnya lalu memerhatikan keadaan Nadhira yang sedang terduduk itu.
“Kalau nak mengundur pun, tengok kiri kanan. Takkanlah baru pertama kali bawa motor? Motor besar, tapi takkan tak pandai bawa?”
Bertubi-tubi Wafi melemparkan kemarahannya apabila melihat A.D seperti tidak mempedulikannya.
“Ala, sikit aje tu. Luka kat tangan aje,” ucap A.D sambil matanya merenung tepat ke mata Wafi. Suara A.D seperti antara jelas dan tidak kerana topi keledar yang dipakainya.
“Memang la sikt aje bro, tapi dah kes menganiaya ni. Kalau nak mengundur, hati-hatilah. Mata kena jaga-jaga. Jangan harap pakai motor besar je, tapi tak tahu jaga keselamatan.”
Wafi segera membantu Nadhira berdiri. Perasaan tidak puas hati Wafi sudah berada di tahap maksima. Ada perhitungan yang perlu diselesaikan. A.D pada mulanya mahu membiarkan sahaja, tetapi apabila sudah diperkatakan sebegitu oleh Wafi, dia sudah mula hilang sabar lalu menanggalkan topi keledarnya.
“Mulut tu jaga-jagalah sikit. Tak payah la nak cari pasal dengan aku. Eh, minah….boyfriend kau ni lebih-lebih lah.”
Alangkah terkejutnya Wafi dan Nadhira apabila melihat wajah di sebalik topi keledar itu. Apa yang disangkakan oleh mereka sama sekali meleset. Pemilik motosikal itu ternyata adalah perempuan. Ya, perempuan yang berimej seperti lelaki. Rambutnya hampir menyerupai lelaki. Pendek dan sedikit terpacak. Penampilannya jauh sekali tidak menggambarkan dirinya seorang gadis. Berjaket serta berseluar jeans lusuh. Akan tetapi masih lagi tidak mampu untuk menyembunyikan kurniaan Allah wajah mulus seorang perempuan.
“La….minah tomboi rupanya. Patutlah tak tahu bawa motor.”
“Mulut kau cakap baik sikit eh. Suka hati kau je nak panggil aku tomboi. Kang ada juga yang kena sebiji dengan helmet aku ni.”
“Dah memang jelas kau yang salah kat sini. Ada hati nak cari pasal dengan aku.”
A.D ketawa menyindir apabila mendengar kenyataan Wafi.
“Apasal kau ketawa? Aku nak kau bertanggungjawab dan minta maaf dengan girlfriend aku ni.”
“Kau ni, memang sengal la. Kasihan la kat kau minah. Harap muka je lawa, tapi malang dapat balak macam dia ni. Aku memang selalu dengar yang cinta tu buta. Tapi aku tak pernah sangka pula yang bercinta ni bukan sahaja boleh buat orang jadi buta tapi jadi pekak nak mampus.”
Wafi menghampiri A.D, mereka berpandangan antara satu sama lain.
“Ooo…sekarang kau nak cakap aku ni buta dengan pekak la?”
“Memang….bukan setakat buta, pekak tapi sengal. Dah terang-terang aku hidupkan enjin motor ni. Kau tak dengar ke? Tadi kau juga cakap dengan aku jangan harap pakai motor besar je, tapi tak tahu jaga keselamatan. Dah terang-terang la bro motor aku ni besar. Kau nak motor aku ni besar macam lori balak ke baru kau nak nampak? Kau nak motor aku ni bunyi macam hon kapal Titanic ke baru kau nak dengar?”
“Eh, mulut kau memang kurang ajar kan? Perempuan apa macam ni? Budi bahasa dah campak ke laut. Lepas tu tak nak terima aku cakap kau tomboi.”
“Sekurang-kurangnya aku tak buta macam awek kau ni yang boleh pula terima kau jadi boyfriend aku. Kemaruk sangat bercinta sampai tak nampak motor aku ni nak keluar.”
Nadhira mula tidak senang dengan apa yang berlaku.
“Wafi, dahlah. Jangan layan budak ni. Dhira tak ada apa-apa.”
“Ha, kau dengar tu. Nasib baik awek kau ni pandai. Nak cakap aku tomboi konon. Yang kau tu rambut berikat bagai tu kenapa? Simpan rambut panjang macam perempuan.”
Wafi sudah hilang sabar. Tangannya sudah menolak tubuh A.D.
“Kenapa kau nak cari pasal dengan aku?”
A.D juga tidak mahu mengalah. Topi keledar di tangannya akan dijadikan senjata jika berlakunya kecemasan.
“Apasal pula nak tolak-tolak aku ni..? Kau yang mulakan dulu. Kau jangan ingat aku tak berani nak kasi kau makan helmet aku ni.”
Kali ini giliran A.D pula yang menolak tubuh Wafi.
“Wafi, sudah. Jangan layan dia ni. Jom, kita pergi,” pinta Nadhira.
“Hei tomboi, perempuan macam kau ni aku tak akan pandang la. Mulut dah la kurang ajar. Memang aku buta la kalau aku boleh suka kat perempuan macam kau ni, apa lagi nak buat bini. Kau ingat eh minah tomboi. Kau dah cari pasal dengan aku. Kalau aku nampak muka kau sekali lagi, nahas kau. Jangan ingat aku nak layan kau macam perempuan.”
“Tak boleh nak cakap elok-elok ke? Kau yang cari pasal dulu. Siapa je entah nak jadi bini kau? Awek kau ni je yang sudi. Nak tunjuk berani sangat la depan perempuan.”
“Wafi, jomlah. Jangan pedulikan dia.”
Nadhira segera menarik lengan Wafi lalu beredar. Wafi hanya menuruti. Barannya masih lagi tidak hilang. Jikalau ikutkan hati, mahu sahaja dia mengajar perempuan itu.
“Lain kali bercinta, guna kepala otak bukan guna kepala lutut,” ucap A.D hampir separuh menjerit. Wafi segera menoleh, mahu menghampiri A.D. Namun Nadhira segera menahannya.






1 comment: