Stylo Clique ^_^

Tuesday, June 19, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 13 ::.




BAB 13



Tangan Wafi meletakkan beg bimbit beserta bungkusan plastik di atas meja. Tali leher yang sedia ada longgar ditarik perlahan oleh Wafi sejurus tubuhnya bersandar di sofa separuh kulit di ruang tamu. Badannya terasa letih. Dia sengaja kerja lebih masa. Sedikit sebanyak dia mampu melupakan apa yang berlaku untuk seketika. Wafi memejamkan matanya sebentar. Terasa lega apabila dapat pulang ke rumah. Setelah pandangan gelap dalam dua minit, Wafi bangun, dia memandang jam di dinding. Sudah mencecah pukul 8 malam. Dia mahu membersihkan diri sebelum menunakan solat maghrib. Wafi mahu mengambil beg bimbitnya tetapi mata Wafi terpandang plastik yang berisi bungkusan yang terletak di atas beg tersebut. Lantas, Wafi menuju ke kamar utama. Dia mengetuk pintu bilik itu sebanyak tiga kali, namun pintu masih lagi tertutup rapat. Wafi mengetuk dengan lebih kuat seperti selalu. Akhirnya, apa yang diharapkan berlaku. Daun pintu dibuka.

“Nak apa? Kau memang ada masalah dengan pintu aku ke? Kalau ketuk mesti macam nak runtuh apartmen ni. Malam-malam macam ni mana ada kuliah.” bebel A.D. Wafi telah pun mengganggunya.
“Kau tak kerja pula hari ni?”
“Aku ni bukan robot. Hari ni cuti. Kau nak apa? Pagi-pagi tak cukup lagi ketuk bilik aku, kau nak ketuk malam pula? Kalau kau nak sangat ketuk pintu, kau ketuk la pintu sendiri.” sambung A.D lagi.

Tangan A.D mahu menutup semula pintu biliknya namun tangan Wafi pantas menahannya.

“Kau nak apa? Ketuk pintu sebab nak tanya aku kenapa aku tak kerja hari ni?”
“Nah,” ucap Wafi sambil menghulurkan bungkusan plastik kepada A.D
“Apa ni?”
“Dah buta? Tak boleh tengok sendiri? Budak tadika pun tahu apa benda tu.”

A.D menjeling Wafi lalu melihat isi kandungan plastik tersebut.

“Eh, makanan kucing. Macam mana kau……….?”

Nada ucapan A.D gembira apabila melihat bungkusan makanan itu. Namun segera dia berselindung.

“Kau suka?” soal Wafi apabila melihat tindakan spontan A.D tadi. Dia perasan.
“Apasal kau kasi aku makanan kucing ni? Bukannya aku boleh makan pun.”

Kali ini kata-kata yang dikeluarkan dengan nada serius.

Aikk…? Tadi macam suka, sekarang dah tak suka? Soal Wafi sendiri.
“Kalau kau tak boleh makan pun, kau kasilah kucing-kucing kat tepi jalan tu.”
“Kalau kau nak kasi, kau kasilah sendiri.”
“Sebenarnya aku nak minta maaf pasal kelmarin.”

A.D memandang wajah lelaki di hadapannya.

“Aku nak minta maaf sebab aku marah kau macam tu sekali pasal nasi goreng.” sambung Wafi lagi.

A.D melihat anak mata Wafi. Terpancar keikhlasannya. Hati A.D mengakui apa yang dilihatnya. Hatinya juga tersentuh. Dia belum pernah bertemu dengan lelaki yang mengakui kesalahannya. Lelaki yang pernah A.D kenal semuanya ego meskipun melakukan kesilapan. Fikiran A.D segera mengusir perasaan itu.

“Tulah. Tahu pun salah. Bodoh aje, pasal nasi goreng pun nak marah sampai macam tu sekali.”

Wafi mendengar perkataan itu. Dia segera menarik telinga kiri A.D.

“Weiii…….sakitlah bodoh. Sengal ke apa kau ni?” marah A.D.
“Kau cakap lagi sekali perkataan tu.”

Semakin kuat Wafi menarik telinga A.D

“Sakitlah bo……….”
“Ha…cakaplah lagi.”

Tangan A.D mahu mencapai rambut Wafi namun cepat-cepat Wafi melepaskan telinga A.D. Dia sudah dapat mengagak tindakan A.D

“Opppsss……aku dah tahu kau akan buat macam tu. Kau mesti nak tarik rambut aku.”
 “Kurang asam. Itu pun bukan rambut. Itu………”
“Ekor kuda. Kau nak cakap rambut aku ni ekor kuda kan?” celah Wafi.

A.D terkejut bagaimana Wafi tahu akan hal itu.

“Memang, memang aku nak cakap rambut kau tu ekor kuda. Lelaki mana ada rambut panjang.”
“Habis, kau tu rambut pendek terpacak kenapa? Perempuan mana ada rambut macam kau ni.”
“Sejak bila pula kau cakap aku ni perempuan?” tanya A.D.

Wafi seperti baru tersedar dari alam mimpi. Dia terkejut dengan pertanyaan A.D kerana dia sememangnya tiada jawapan untuk soalan itu. Dia sendiri menanyakan soalan itu kepada dirinya. Dia tidak sedar dengan apa yang dituturkannya tadi. Memang selama ini dia menganggap A.D bukan seorang gadis akan tetapi lama-kelamaan jiwanya semakin mengakui sifat yang ada pada A.D membuatkan gadis kasar itu digelarkan seorang perempuan. A.D berpaling mahu menutup pintu apabila melihat reaksi Wafi yang hanya mendiamkan diri, namun tangan Wafi sempat menarik lengan A.D. A.D tersentak dengan pelakuan Wafi. Selama ini Wafi hanya menarik telinganya tetapi tika dan saat itu Wafi menarik lengannya pula.

“Kau ni kenapa pula? Tadi tarik telinga, sekarang tarik lengan aku pula?”

Wafi segera melepaskan lengan A.D.

“Aku belum habis cakap lagi.”
“Tadi diam macam tugu negara masa aku tanya, ingat dah tak ada benda nak cakap lagi,” omel A.D lagi.
“Aku nak ucapkan terima kasih sebab gantikan nasi goreng yang kau dah makan malam tu. Walaupun kau tak pandai masak, aku………..”
“Aku apa?”

Nafas Wafi seperti tersekat ketika itu. Dia seperti sukar untuk meluahkan apa yang dirasanya.

“Aku dapat rasa yang kau betul-betul minta maaf. Cuma, aku tak sangka orang macam kau sanggup nak minta maaf. Sebab tu aku rasa, aku yang salah dalam hal ni. Kau lupakanlah apa yang aku cakap malam tu. Aku memang tak ada niat pun.”

Mata A.D terkaku memandang Wafi. Dia sama sekali tidak menyangka Wafi akan mengungkapkan kata-kata seperti itu. Wafi yang dikenalinya dahulu tidak sama. Ternyata Wafi berbeza.

“Apasal kau tengok muka aku? Aku tahulah aku ni handsome.” ucap Wafi dan kemudiannya dia menuju ke biliknya. 

Sebelum menutup pintu, Wafi sempat menjengah melihat reaksi A.D. Berkerut-kerut wajah A.D memerhatikan Wafi, kehairanan dengan sifat lelaki itu. Wafi sempat mengukir senyuman lalu pintu tertutup rapat.

--------------------------------

Malam itu terasa dingin sekali. Ridzuan sedang duduk di kerusi yang terletak di laman rumahnya. Dia memandang ke langit. Fikirannya mengimbau kenangan yang lalu. Langit hitam yang terbentang luas umpama skrin yang menayangkan kembali kenangan yang terlintas. Pak Aziz yang baru sahaja mengunci pintu pagar memandang Ridzuan yang sedang merenung ke langit. Majikannya itu jarang sekali mengambil angin malam.

“Tuan Ridzuan tengok apa kat langit tu?” soal Pak Aziz.

Ridzuan menoleh lalu tersenyum.

“Saya teringat benda-benda yang lepas, Aziz.”
“Patutlah tuan tengok langit tu lama sangat. Orang memang cakap, malam ni memang sesuai sangat untuk kita mengimbau kembali apa yang kita pernah lalui. Sebab malam tu sunyi. Sunyi tu membuatkan kita mahukan sesuatu untuk temani kita. Apa yang boleh dijadikan teman adalah kenangan kita.” ucap Aziz.
“Aziz…Aziz, kamu cakap macam orang sastera. Duduklah, temankan saya pada malam yang sunyi ni.”

Pak Aziz segera menuruti arahan Ridzuan.

“Aziz, dah berapa lama kamu kerja dengan saya?”
“Lama juga Tuan Ridzuan, saya rasa ada 20 tahun.”
“Kalau orang luar yang saya anggap macam keluarga saya sendiri, tak lain dan tak bukan kamu dengan Som. Saya pasti kamu berdua tahu apa yang terjadi dengan keluarga saya kan?”
“Apa maksud tuan?”
“Saya tahu saya kurang beri kasih sayang kepada Adilla dengan Riana. Saya tahu itu semua salah saya. Saya sibuk cari kesenangan untuk mereka sampai saya lupa yang saya abaikan mereka. Tapi, bila saya nak tebus kesalahan saya dengan Riana lepas pemergian Adilla, saya terpaksa jauhkan diri saya.”
“Itu semua bukan salah tuan. Cuma Allah nak uji sejauh mana keimanan hambaNya.”
“Saya rasa Allah mungkin sedang menghukum saya sebab saya abaikan tanggungjawab sampaikan saya tak ada peluang untuk baikinya.”
“Tuan, apa yang berlaku ada hikmahnya. Kita sebagai manusia memang tak akan nampak apa yang tersirat. Apa yang tuan lakukan, semuanya bersebab. Tuan tak nak Riana sedih.”
“Saya pernah tanya kamu dulu, betul ke tidak dengan tindakan saya memaksa Riana kahwin,”
“Saya masih ingat lagi, tuan.”
“Masa tu kamu jawab, apa yang saya rasakan terbaik untuk anak tunggal saya, maka ia akan jadi terbaik. Apa yang hati saya rasakan, itulah petunjuk dariNya. Sampai sekarang saya ingat ayat kamu tu.”
“Tuan menyesal ke nikahkan Riana dengan Wafi?”

Ridzuan menggeleng perlahan. Dia menghirup air teh panas beransur sejuk yang terhidang di atas meja.

“Saya tak menyesal. Walaupun saya tahu Wafi tak pernah ada perasaan dengan Riana tapi dia terima Riana seadanya. Itu ciri-ciri yang saya cari untuk menantu saya. Saya yakin dia mampu mengubah A.D  lalu mengembalikan Riana yang dulu.”

Pak Aziz tersenyum. Majikannya itu kelihatan tabah. Hanya dia sahaja yang tahu apa yang berlaku. Ridzuan sudah banyak kali berpesan supaya merahsiakan akan hal dirinya daripada pengetahuan A.D. Ada sebab mengapa Ridzuan seolah-olah mengabaikan A.D.

“Aziz, saya rasa masa saya tak lama. Kalau terjadi apa-apa pada saya, kamu tahu apa yang perlu lakukan kan? Saya cuma ada Riana dan Wafi. Mereka yang akan mewarisi apa yang saya ada.”
“Tuan, janganlah cakap macam tu. Tuan pasti tak nak Riana tahu?”
“Saya tak nak dia tahu. Saya pernah abaikan dia, jadi apa salahnya saya abaikan dia sekali lagi.”
“Tuan berhak menerima kasih sayang Riana.”
“Tak apa Aziz. Sebelum saya lepaskan Riana kepada Wafi, saya dah rasa kasih sayang dia. Dia dah maafkan saya. Sebelum saya pejam mata, saya nak anak tunggal saya tu bersama dengan orang yang mampu lindungi dia dan impian saya tu dah tercapai.”
“Kalau saya jadi anak tuan, pasti saya bangga dengan pengorbanan yang ayah saya lakukan.”

Ridzuan tersenyum apabila Pak Aziz memujinya.

“InsyaAllah, bulan depan saya akan mengerjakan umrah.”

Ridzuan sengaja menukar topik perbualan.

“Alhamdulillah.”
“Saya tak tahu berapa lama masa yang saya ada. Kalau boleh saya nak pejam mata kat sana, Aziz,” ucap Ridzuan.

Matanya kelihatan berkaca namun sedaya upaya Ridzuan tahan. Sememangnya dia tidak mampu melawan takdir. Apa yang dia mampu lakukan ketika ini hanyalah dengan memberikan apa yang terbaik untuk A.D. Dia tidak mahu A.D membuat pilihan yang salah di dalam hidup. Cukuplah Riana berubah menjadi A.D, dia tidak mahu Qurnia Adriana melakukan kesilapan lagi.

“Aziz, saya ada satu permintaan. Saya harap sangat-sangat kamu dapat tunaikan permintaan saya ni.”

Pak Aziz melihat wajah majikannya itu. Dia cuba membaca fikiran Ridzuan. Jarang sekali Ridzuan meminta sesuatu daripadanya. Dahulu Ridzuan pernah memintanya menyimpan rahsia. Butir kata yang sama pernah diluahkan ketika itu.  Begitu juga dengan wajah Ridzuan. Reaksi yang sama diberikan.

“Apa permintaan tuan tu? InsyaAllah saya akan tunaikan.”
“Saya tahu kamu dapat tunaikan permintaan saya ni.” balas Ridzuan sambil bibirnya mengukir senyuman. 


No comments:

Post a Comment