Stylo Clique ^_^

Saturday, June 2, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 2 ::.





BAB 2


Bunyi deruman enjin motosikal kedengaran di cuping telinga Rafiq. Rafiq menjangkakan pasti salah seorang teman serumahnya telah pulang. Tiba-tiba pintu rumah teres setingkat itu dihempas kuat sebaik sahaja kaki itu melangkah masuk. Rafiq yang dari tadi leka bermain permainan di komputer ribanya terkejut dengan bunyi itu. Perasaan Wafi bercampur menjadi satu. Marah, geram, tidak puas hati dan kusut menyelubungi seluruh jiwa Wafi. Wafi segera menuju ke kamarnya lalu menghempaskan tubuh ke tilam bujang yang terletak di atas lantai.
“La, kau rupanya. Balik tak bagi salam tiba-tiba hempas pintu depan tu. Kau jangan cari pasal Wafi. Kang jahanam pintu depan tu, siapa nak ganti? Dahlah hujung-hujung semester ni. Duit pun tinggal hujung-hujung juga,” ucap Rafiq.
“Kepala aku serabut la,” balas Wafi.
“Kalau kau sendiri serabut, janganlah buat orang lain serabut juga. Aikkk…?? Tadi petang selamba aje ponteng dengan muka ceria. Tup..tup..malam ni balik jadi serabut? Bukannya kau cakap tak sabar nak jumpa dengan Dhira ke?”
Rafiq menoleh ke arah Wafi yang sedang baring. Hairan dengan sikap rakan baiknya itu. Mustahil perasaan marah muncul sebaik sahaja Wafi bertemu dengan Nadhira. Rafiq tahu benar betapa dalamnya perasaan Wafi terhadap gadis itu. Pasti ada sesuatu yang telah berlaku yang menyebabkan Wafi bertindak menghempas pintu tadi.
“Ok..ok…cuba kau cerita dengan aku apa yang jadi sebenarnya.”
“Macam-macam benda jadi hari ni.”
Wafi segera duduk daripada baringnya. Rafiq menantikan butiran ayat seterusnya dari bibir Wafi.
“Dhira ajak aku kahwin lepas habis belajar ni.”
Rafiq mengerutkan dahi sebaik sahaja mendengar ayat pendek itu. Agak terkejut dengan apa yang didengarinya.

------------------------

Wafi meneguk laju air masak yang dihidangkan di restoran itu. Restoran mewah itu kelihatan tenang. Suasana eksklusif menjadikan tempat itu kelihatan elegan dan mewah. Itulah selera Nadhira. Gadis manja berasal dari golongan berada. Apa sahaja yang dilakukan olehnya, semuanya perlu sempurna.
“Wafi, sudahlah tu. Janganah marah-marah lagi. Sayang Dhira ni tak macho la kalau marah.”
“Macam mana Wafi tak marah, budak tomboi tu kurang ajar. Langsung tak minta maaf kat Dhira.”
“Wafi, Dhira tak ada apa-apa la. Luka sikit je ni,” ucap Dhira sambil menujukkan luka yang berada di tapak tangannya. Wafi segera menyentuh kawasan luka itu. Dia tidak sanggup melihat Nadhira terluka.
“Wafi minta maaf ya. Lepas makan ni, kita pergi klinik. Ok?”
Nadhira tersenyum lalu mengangguk. Hatinya lega apabila melihat Wafi tidak lagi baran seperti tadi.
“Kalau Wafi nampak muka dia tu, tahulah macam mana Wafi nak kasi pengajaran kat dia.”
“Wafi tak pernah nampak dia ke sebelum ni?”
“Kenapa Dhira cakap macam tu? Dhira kenal ke siapa tomboi tu?”
“Tak silap Dhira, dia satu universiti dengan kita. Sama fakulti dengan Wafi rasanya.”
“Budak tomboi tu satu universiti dengan kita? Gaya cakap macam orang tak pergi sekolah, boleh pula masuk universiti. Wafi tak pernah nampak pun. Dhira silap orang tak.”
Wafi seperti tidak dapat menerima apa yang dikatakan oleh Nadhira. Mustahil perempuan seperti itu belajar di fakulti yang sama dengannya.
“Dhira tak pasti. Tapi Dhira macam pernah nampak motosikal tu kat kawasan universiti.”
“Dhira, kat dalam dunia ni bukan dia seorang aje yang pakai motosikal besar tu. Orang lain punya agaknya. Dahlah, jangan cakap pasal dia lagi. Buat Wafi sakit hati je. Kita cerita pasal benda lain.”
Wafi segera membelek helaian menu di hadapannya. Dia tidak mahu pertemuan mereka terganggu kerana peristiwa tadi. Dia juga tidak mahu seleranya hilang.
“Dhira tahu perkara apa yang boleh buatkan sakit hati Wafi tu hilang.”
“Apa dia?” soal Wafi sambil memandang mata Dhira yang bulat itu.
“Mestilah pasal kita,” ucap Nadhira tersenyum manja.
“Maksud Dhira?”
“Dulu kan Wafi pernah jumpa dengan keluarga Dhira kan? Jadi, papa dengan mama setuju nak satukan kita,”
Terpancar wajah terkejut di muka itu. Menu di hadapannya diketepikan. Wafi sememangnya pernah bertemu dengan Datuk Hamdan ketika majlis di rumah ahli tokoh korporat itu. Pertemuan ketika majlis meraikan tamat pengajian Nadhira masih lagi segar di ingatan Wafi. Datuk Hamdan memberikan reaksi tidak senang ketika itu. Walaupun Wafi masih muda lagi akan asam garam kehidupan tetapi dia mampu membaca pandangan Datuk Hamdan yang memandang sinis terhadapnya.
“Maksud Dhira? Kita kahwin?”
“Yalah, kahwin. Lepas Wafi habis belajar mesti Wafi kerja kan? Cadangan papa, dalam tempoh setahun lepas Wafi habis belajar, Wafi kena pinang Dhira,”
“Pinang Dhira?”
Nadhira mengangguk. Wafi sudah tidak senang duduk tetapi sebaliknya pula bagi Nadhira. Dia bahagia kerana berjaya meyakinkan ayahnya yang Wafi adalah pilihan terbaik buat dirinya. Nadhira menggenggam jari jemari Wafi.
“Dhira yakin sangat dengan Wafi yang Wafi boleh sediakan RM20,000 untuk pinang Dhira.”
“Apa?  RM20,000?” Wafi hampir menjerit.
Pelanggan di sekitar meja mereka masing-masing melihat Wafi. Wafi segera mengangkat tangan sebagai tanda minta maaf.
“Kenapa Wafi jerit macam tu? Ni bukan kedai mamak la.”
Nadhira tidak menyenangi dengan tindak balas spontan Wafi.
“Dhira, kalau Wafi tak dapat nak kumpul RM20,000 tu dalam masa setahun macam mana?”
“Papa cakap nak kahwinkan Dhira dengan pilihan dia. Tapi Dhira yakin yang Wafi boleh buat.”

-----------------------

“Patut la kau hempas pintu tu. Kalau aku bukan setakat nak hempas, kalau boleh nak kasi cabut. Gilalah, mana nak gali RM20,000 tu? Dalam masa setahun pula tu.”
“Itulah pasal. Aku tahu ni semua taktik bapa Dhira nak kenakan aku.”
“Kau ni, tak baik buruk sangka dengan bakal bapa mertua. Belum jadi menantu lagi mulut kau dah macam hantu menyumpah dia. Kau anggap ini ialah cabaran.”
“Aku bukan menyumpah dia la Fiq. Masalahnya sekarang ni benda tu mustahil. Aku ada tanggungjawab kat kampung. Aku nak kasi kesenangan untuk nenek aku dulu. Bila semuanya dah stabil, baru aku fikir pasal Dhira.”
Wafi memicit-micit dahinya. Moga-moga dapat hilang seketika kekusutan yang berada di kepalanya.
“Kalau aku kat tempat kau pun aku tak tahu nak buat apa. Aduhai..apa malangnya nasib. Hari sepatutnya dipenuhi dengan bunga-bunga kegembiraan akhirnya gugur layu akibat dua orang perempuan.”
“Apasal dua orang pula? Aku kusut sebab Nadhira aje. Mana pula datang seorang lagi?”
“Yalah, minah yang langgar Nadhira kesayangan kau tu bukan perempuan? Yang tadi kau cerita penuh perasaan tak puas hati tu bukan ke?”
“Yang tu bukan perempuan, tu tomboi. Perempuan kat dalam diri dia dah tak ada. Langsung tak sesuai nak disebut perempuan apatah lagi sebagai calon isteri. Siapa aje yang nak kahwin dengan orang macam tu.”
“Macam ni jelah. Kau kasi relaks kejap kepala otak kau tu. Kau pergi mandi dulu, lepas tu solat. Mana tahu bila kau solat nanti, dapatlah petunjuk. Ha, lagi satu friendly match lusa dengan UPM tu mesti mampu hilangkan stres kau. Ragbi kan mampu jadi tempat kau lepaskan geram. Kau kasi baling jauh-jauh bola tu. Ibarat kau nak campak jauh-jauh masalah kau ni,” seloroh Rafiq diiiringi dengan gaya orang seperti cuba membaling bola.
Wafi ketawa melihat telatah Rafiq. Wafi dan Rafiq merupakan ahli pasukan ragbi universiti. Wafi berada di dalam kedudukan forward manakala Rafiq di posisi queus.  Kedua-duanya sama hebat dan selalu berjaya mencuri pandangan mana-mana gadis di universiti mereka. Tidak mustahil Wafi mampu memikat hati Nadhira. Wafi dan Nadhira masing-masing mempunyai tarikan tersendiri dan terkenal di dalam bidang mereka. Wafi gah dengan ragbinya manakala Nadhira dengan lemah lembut dan kepintarannya. Namun, keindahan yang dikecapi suatu ketika dahulu hanyalah sementara. Permintaan Datuk Hamdan terlalu berat bagi Wafi malah agak mustahil untuk dicapai.

----------------------------

A.D segera mematikan enjin sebaik sahaja meletakkan motosikal kuasa besar itu di tempat letak kenderaan. A.D berlari-lari anak menuju ke dapur restoran itu. Kali ini dia terlambat lagi. Semuanya akibat dia tidak menghiraukan bunyi telefon bimbitnya.
“Ha…A.D, sampai juga kau kat Restoran Indah Mahligai kepunyaan bonda kesayangan aku ni ha. Aku ingat kau dah sampai Australia,” tegur Samsul, anak kepada pemilk Restoran Indah Mahligai tempat A.D bekerja.
“Amboi..amboi..mulut kau tu memang tak ada insurans kan?”
“Habis tu nyah, aku ni penat tolong cover untuk kau tau,” balas Samsul dengan gaya lembutnya.
Sorry la, Sam. Aku tak sedar tadi. Kau pun tahu kan tadi aku kerja. Ingat nak lelap kejap, tiba-tiba dah jadi lama pula.”
“Kau sedap lelap kat rumah, aku ni lelah kat sini. Dahlah tak cukup orang nak cuci pinggan tu. Nasib baik mak aku dah keluar,” omel Samsul sambil mencuci pinggan yang ada. Sekali-sekala Samsul akan membantu ibunya di restoran.
“Ala…aku tahu. Kau kan kawan baik aku. Dapat gaji nanti, aku belanja kau la naik motor ronda-ronda JB ni.”
“Naik motor kau? Kiri kanan, depan belakang kosong. Kalau hujan, siapa nak jawab? Kalau mak ni sakit sebab kena hujan, buruklah muka mak, nyah oi. Kau nak tanggungjawab ke?”
A.D ketawa mendengar kata-kata Samsul. Samsul merupakan rakan sekuliahnya. Samsul jugalah yang banyak membantu A.D dalam mencari duit poket. Mujur ibu Samsul mahu mengupahnya sebagai pekerja separuh masa. Sedikit sebanyak, duit upah yang diterima A.D mampu menanggung kehidupannya. A.D segera memakai apron lalu berdiri di sebelah Samsul, mahu mencuci pinggan yang ada.
“Eh, majlis dah habis ke?” tanya A.D sambil melihat sekeliling restoran.
“Sudah, dia orang buat majlis hari jadi aje. Buat makan-makan sikit. Eh, minggu depan mak aku ada buat katering untuk majlis orang kahwin. Kau nak kerja tak masa tu? Mak aku suruh tanya kat kau ni.”
“Eh, mestilah nak. Masa orang kahwin lah mak kau kasi upah lebih. Terima kasihlah Sam. Kalau bukan pasal kau dengan mak kau, tak dapatlah aku nak menampung hidup aku ni.”
“Kau tu bukan anak orang susah, tapi sengaja cari susah,” ucap Samsul.
“Ala…kau janganlah nak sekolah kan aku lagi.”
“Yalah nyah, motor besar kau tu sebulan berapa ratus nak bayar. Sekarang ni pun, kau dah tak pergi kuliah lagi. Aku bukan apa A.D, aku kasihan kat kau. Aku……………”
Tiba-tiba kedengaran bunyi telefon A.D. A.D segera mencuci tangannya lalu mengelap dengan kain sehingga kering. A.D mengambil telefon bimbit yang terletak di poket seluarnya. Tertera nama ‘PAPA’ di skrin sentuh itu.
“Kau tengok…….kau tak sempat lagi habis ceramah kau, ceramah lain pula sampai.”
Samsul menyengih.
“Amboi nyah, servis ceramah aku ni berbayar. Ingat suka-suka aku nak kasi ceramah percuma kat kau? Apasal tak nak jawab? Jawab jelah panggilan tu. Bukan orang lain kan?”
Dia dapat mengagak siapakah yang dimaksudkan oleh A.D. A.D segera melangkah menuju ke pintu belakang. Dia tidak mahu orang lain mendengar perbualannya, namun Samsul dapat menjangkakan apa kesudahan perbualan mereka. Samsul sudah mengenali A.D hampir 3 tahun. Perkenalan semasa minggu suai kenal di universiti membawa persahabatan mereka kekal sehingga hari ini. Samsul tahu kisah suka-duka kehidupan insan itu. Biarpun luarannya nampak kasar, tetapi dalaman A.D adalah sebaliknya. Samsul memerhatikan A.D dari jauh. Jelas wajah A.D seperti membangkang.
“A.D…A.D…tak sudah-sudah dengan keras hati kau tu,” Samsul bermonolog sendiri.




No comments:

Post a Comment