BAB
16
Wajah lelaki tua yang
sedang berbual dengan Wafi dan Pak Aziz itu ditenung lama. Wajah lelaki itu
nampak tenang. Setiap garis halus kedutan seolah-olah menyembunyikan rahsia.
Meskipun gelaran papa yang disebut, dia belum benar-benar memahami isi hati
Ridzuan. Entah mengapa hatinya seperti sayu mahu berpisah dengan Ridzuan,
sedangkan dahulu dia langsung tidak kisah dengan apa yang berlaku terhadap
ayahnya itu. Apa sahaja yang dilontarkan oleh Ridzuan, pasti akan dibangkang
oleh A.D. A.D dahagakan kasih sayang seorang insan bernama ayah.
Namun, Ridzuan semakin
menjauhkan diri dengan anak tunggalnya tatkala Adilla pergi untuk
selama-lamanya. Atas dasar itu membuatkan A.D menjauhkan diri, cuba mencari apa
yang dicarinya di luar. Dia mahu hidup seperti orang lain. Hubungan A.D dengan
lelaki itu semakin pulih sejak dia bernikah dengan Wafi. Semalam, majlis
kesyukuran diadakan sempena Ridzuan mahu mengerjakan umrah. A.D berbual panjang
dengan ayahnya. Senyuman dan gelak ketawa tidak henti kedengaran. Mereka
mengimbau kembali kenangan semasa A.D kecil. Ridzuan menoleh setelah merasakan
dirinya diperhatikan. Dia mengukir senyuman.
“Kenapa dengan anak
papa ni?” soal Ridzuan. Tangannya menyentuh pipi A.D.
A.D menggelengkan
kepalanya. Pak Aziz dan Wafi juga turut memandang A.D. ketika itu A.D lengkap
berpakaian kurung berwarna hijau pucuk pisang. Dia berada di Lapangan Terbang
Antarabangsa Senai untuk menghantar Ridzuan. Ridzuan akan berlepas menuju ke
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan dari sana dia akan berangkat ke
Mekah bersama dengan rombongan jemaah yang lain.
“Riana, papa minta maaf
sebab abaikan Riana.”
“Pa….Riana dah lama
maafkan papa. Sebaliknya, Riana yang banyak buat salah dengan papa. Banyak
sangat dosa Riana. Riana dah jadi anak……..”
Ridzuan segera memintas
kata-kata A.D.
“Tak, jangan sebut
perkataan tu. Riana anak papa. Papa bangga ada anak macam Riana. Anak papa ni
tabah, cekal, berdikari. Apa yang jadi, semuanya salah papa. Papa terlambat nak
beri kasih sayang untuk Riana.”
Perasaan sebak timbul
di hati Pak Aziz. Dia mengetahui segala-galanya antara dua beranak itu. Puas
dia berdoa agar hubungan A.D dan Ridzuan pulih. Dan akhirnya, doa Pak Aziz
termakbul. A.D sudah mula mengubah panggilan namanya.
“Pa…..bila papa balik
nanti, Riana nak luangkan lebih banyak masa dengan papa. Riana janji, Riana
akan dengar cakap papa.”
“InsyaAllah sayang.
Riana jangan ponteng kelas lagi. Kalau boleh, Riana jangan kerja lagi. Tugas
Riana sekarang belajar untuk masa depan. Lagi satu, kena dengar cakap Wafi.
Riana dah jadi isteri Wafi. Papa nak sangat Riana jadi macam dulu.”
A.D tertunduk. Air
matanya mahu gugur. A.D bersyukur kerana kata-kata yang dikeluarkan oleh
Ridzuan merupakan kata-kata seorang ayah yang sedang menasihati anaknya. A.D
dapat merasakan kasih sayang Ridzuan. Lantas A.D memeluk Ridzuan. Pelukannya
erat, seperti tidak mahu melepaskan Ridzuan pergi. Dia tidak mahu kehilangan
ayahnya lagi.
“Papa…..Riana sayang
sangat dengan papa.”
Air mata Ridzuan sudah
pun mengalir. Hatinya sayu mendengar pengakuan A.D. Ridzuan merasakan sedikit
kesal di dalam jiwanya. Kesal kerana terlambat untuk menunaikan tanggungjawab
yang telah diabaikannya dulu. Ridzuan tidak mahu saat itu berlalu. Tapi,
Ridzuan tetap manusia biasa. Dia tidak mampu melawan takdir. Manusia tidak
mempunyai kuasa untuk melawan kehendak Maha Pencipta. Ridzuan tidak mahu anak
tunggalnya sedih.
“Qurnia Adriana, papa
pun sayang kamu. Sayang sangat-sangat. Kamu satu-satunya harta papa.” ucap
Ridzuan sambil tangannya menyapu air mata yang mengalir di pipi A.D.
“Anak papa cantik pakai
baju kurung macam ni.” sambung Ridzuan lagi.
Sengaja dia memuji A.D. Dia mahu melihat anaknya tersenyum.
Sengaja dia memuji A.D. Dia mahu melihat anaknya tersenyum.
A.D tersenyum apabila
mendengar pujian Ridzuan.
Kedengaran ustaz yang
mengetuai rombongan sedang memanggil jemaah untuk berkumpul. Mereka perlu
menunggu di balai pelepasan.
“Papa kena pergi dulu
ni. Riana jaga diri baik-baik ya. Dengar cakap Wafi. Riana dah jadi
tanggungjawab Wafi sepenuhnya. Walau apapun yang jadi, Riana tetap anak papa
yang manja.”
Masih jelas diingatan
Ridzuan semasa A.D berumur lima tahun. Setiap kali A.D mahu melelapkan mata,
dia akan meminta Ridzuan untuk membacakan cerita. Anak itu akan terlena di
pangkuannya.
A.D mengangguk lalu
bersalaman dengan Ridzuan. Agak lama dia mengucup tangan lelaki itu.
“Papa, saya nak ucapkan
terima kasih kepada papa kerana mempercayai saya. Bukan sekadar kerana Bina
Kurnia tapi kerana papa mempercayai saya untuk menjaga anak tunggal papa. Saya
janji, akan jaga Riana sepenuh hati saya. Saya tak akan sia-siakan dia.”
A.D memandang wajah
Wafi, terkejut apabila Wafi menyebut nama itu. Pertama kali Wafi memanggilnya
Riana. Apa yang lebih mengejutkannya lagi ialah janji yang diucapkan lelaki itu
terhadap ayahnya. Tidak mungkin Wafi akan berjanji seperti itu. Adakah ini
hanyalah lakonan ataupun kenyataan?
“Ok.
Kau memang bukan perempuan. Memang tak akan berlaku apa-apa perubahan lepas
kita kahwin, tapi aku ni kena bertindak bijak sikit daripada kau yang gila ni.
Kita kena berlakon. Buat perkahwinan ni macam logik sikit kat mata orang lain.
Aku tak nak lah orang tahu rancangn kita ni. Kalau rosak rancangan kita ni,
macam mana aku nak dapat RM20,000 tu?”
Bergema suara Wafi
mengucapkan kata-kata itu semasa malam pernikahan mereka dulu. Masakan Wafi
benar-benar memaksudkan apa yang dikatakan tadi.
“Terima kasih Wafi.
Papa tahu kamu tak akan kecewakan papa. Tolong jaga harta papa yang paling
berharga ni baik-baik. Papa tak minta lebih daripada tu.”
“InsyaAllah papa. Saya
akan pegang amanah papa tu.” ucap Wafi lalu bersalaman dan berdakapan dengan
Ridzuan.
“Aziz, terima kasih
untuk segala-galanya. Tolong saya tengok-tengok kan budak berdua ni. Tolong
anggap Riana dengan Wafi macam anak Aziz sendiri.”
“Saya dah lama anggap
mereka berdua ni macam anak saya sendiri. Semoga perjalanan tuan berjalan
dengan lancar. Saya doakan tuan selamat pergi dan selamat pulang.”
Ridzuan segera mendakap
Pak Aziz. Dia terhutang budi dengan pemandunya itu. Pak Aziz membalas pelukan
Ridzuan. Sifat Ridzuan yang tidak mementingkan darjat itulah membuatkan dia
menyenangi majikan itu.
“Papa pergi dulu.” ucap
Ridzuan lalu berpaling menuju ke kumpulan jemaah yang lain.
Air mata A.D semakin
laju. Langkah Ridzuan diiringi dengan manik jernih itu. Belum puas A.D
memandang lelaki itu lebih lama, seolah-olah dia tidak mampu untuk melihat
susuk tubuh itu selepas ini. Wafi merenung A.D. A.D menangis seperti gadis yang
lain. Mungkin inilah sifat sebenar A.D yang selama ini cuba disembunyikan.
Hatinya tidak tegar melihat air mata itu terus gugur. Wafi segera menarik tubuh
A.D lalu dibawa ke dalam dakapannya. Naluri A.D yang sejak azalinya memang
seorang perempuan membiarkan Wafi menenangkannya. Sememangnya, itulah naluri
A.D sebenarnya. Sentiasa memerlukan seseorang yang mampu untuk menyapu
kesedihannya. Pak Aziz tersenyum melihat mereka berdua.
“Sudah, jangan nangis
lagi. Papa pergi tak lama kan? Dua minggu nanti dia balik. Kalau papa tengok
awak nangis macam ni, macam mana dia nak beribadat dengan tenang?” ujar Wafi.
Ridzuan menoleh lagi, dia melihat Wafi sedang memujuk A.D. Ridzuan tersenyum. Senang dia melihat tindakan Wafi itu. Ridzuan tidak akan menyesal dengan apa yang telah dilakukan untuk masa depan A.D. Meskipun nafasnya terhenti nanti, dia mampu pergi dengan tenang.
“Wafi, kita nak balik
sekarang ke?” soal Pak Aziz sebaik sahaja Ridzuan hilang dipandangan mereka.
“Pak Aziz pergi ke
kereta dulu. Nanti kami datang.”
Pak Aziz mengangguk
lalu beredar meninggalkan mereka. A.D masih lagi menangis.
“Awak, janganlah nangis
lagi. Papa nak pergi umrah tu, bukan nak pergi berperang,”
Perang…..? Desis hati
A.D. A.D baru tersedar yang dia berada di dalam dakapan Wafi. Di depan khayalak
ramai Wafi memeluknya. A.D segera menjarakkan tubuhnya lalu segera menyapu air
matanya.
“Kau sengaja kan?”
“Apa?”
“Nak berlakon pun tak
payahlah sampai nak peluk-peluk?”
“Aku peluk kau sebab aku
tak sanggup tengok kau nangis sampai macam tu sekali. Orang kat sekeliling
tengok, kau tahu tak? Buat malu aje nangis macam budak kecil. Kau ingat aku
sengaja nak peluk kau? Tadi tu tindakan spontan namanya. Manusia akan buat
tindakan secara tak sengaja kalau ada berlakunya satu kejadian. Lupa? ”
“Kalau ya pun tindakan
spontan, tak payahlah lama-lama. Lepas tu nak berjanji bagai pula dengan papa.
Aku tahulah perkahwinan ni kena nampak logik. Tapi tak payahlah nak janji
dengan papa. Nanti kena makan dengan sumpah macam Si Tanggang tu baru tahu.”
ucap A.D lalu kakinya melangkah meninggalkan Wafi di situ.
Wafi tersenyum. Wafi
tahu A.D menganggap apa yang diucapkannya tadi itu hanyalah lakonan. Tetapi apa
yang pasti, dia benar-benar berpegang dengan apa yang telah dijanjikan. Meskipun
dia belum pasti dan masih keliru dengan perasaannya, Wafi akan melaksanakan
dengan atas niat tanggungjawab.
-------------------------
“Kenapa? Terkejut?
Mesti tak sangka Dhira ada kat sini kan?”
Wafi hanya memandang
wajah itu. Sememangnya dia terkejut.
“Dhira saja jogging kat
sini. Manalah tahu terserempak dengan Wafi. Wafi dengan Rafiq kan suka jogging
kat sini.” ucap Dhira.
Wafi mengangguk,
menandakan dia mengerti lalu dia hanya tersenyum. Nadhira terasa janggal
apabila melihat reaksi Wafi sebegitu.
“Boleh Dhira duduk kat
sebelah?”
“Duduklah.”
“Wafi sorang aje?
Rafiq?”
“Tak ada, memang saya
nak jogging sorang. Saja aje. Awak?”
“Samalah. Dhira ganggu
Wafi ke?”
“Eh? Kenapa nak ganggu
pula? Lagipun ni tempat awam kan? Apa salahnya kalau terserempak sekali pun.”
“Wafi sihat? Dah lama
Dhira tak dengar cerita Wafi.”
Wafi mengangguk.
“Semenjak dah hampir
sebulan kita putus, Wafi langsung tak telefon Dhira.”
“Namanya pun dah putus
kan?”
“Kalau dulu Dhira
merajuk, Wafi cepat-cepat akan pujuk.”
“Namanya pun dulu.
Sekarang tak sama.”
“Tapi kita tetap kawan
kan?”
“Mestilah. Tetap kawan.
Awak sihat?”
“Sihat, tapi macam
biasalah sibuk. Papa Dhira dah nak mula buka cawangan kat Sarawak. Dhira kena
uruskan. Itupun nasib baik hari ni hari minggu. Ada masa sikit untuk diri
sendiri. Bila semuanya dah selesai, Dhira ada masa. Apa kata kita keluar ke?
Makan tengahari, tak pun minum petang. Then,
we will talk about us.” cadang Nadhira.
Dia mengharapkan
jawapan yang positif dari bibir itu. Selama ini dia yakin yang Wafi akan
sentiasa berada di sisinya. Tetapi apa yang berlaku sama sekali tidak sama apa
yang dijangkakan. Sepanjang tempoh mereka berpisah, Wafi langsung tidak
menghubunginya. Jika dahulu, tatkala Nadhira mengugut mahu memutuskan
perhubungan, pasti Wafi yang berusaha untuk memujuknya. Nadhira yakin Wafi akan
menjadi miliknya tidak kira apa yang berlaku.
“Rasanya tak perlu.
Lagipun awak sibuk, tak perlu awak nak susah payah luangkan masa awak untuk
saya. Saya rasa masa saya pun sibuk. Tambahan lagi saya kena uruskan Bina
Kurnia. Banyak benda saya kena belajar.”
“Wafi masih marahkan
Dhira lagi ke? Dhira minta maaf.”
“Tak ada apa yang boleh
saya maafkan. Saya terima keputusan awak. Lagipun, saya bukan pendendam
orangnya.”
“Kalau macam tu, kenapa
Wafi tak nak jumpa dengan Dhira? Kalau dulu, apa sahaja yang Dhira minta Wafi
akan tunaikan.” ucap Nadhira sambil tangannya memegang tangan Wafi.
Wafi segera menarik
tangannya. Baginya sentuhan itu akan menimbulkan salah sangka. Perasaannya
kosong apabila memandang Nadhira. Selama tiga tahun ni sudah cukup dia menahan
kerenah Nadhira hanya kerana Nadhira mempunyai kriteria idamannya. Nadhira
terkejut dengan tindakan Wafi. Wafi sudah berubah.
“Nurul Nadhira binti
Datuk Hamdan, tu semua dulu. Kita tak boleh nak macam dulu sebab kita berada
dalam keadaan sekarang.”
Wafi bingkas bangun.
Dia tidak mahu terus menyeksa Nadhira. Dia pasti perasaan itu sudah lenyap.
“Wafi tipu kan? Wafi
sengaja nak hukum Dhira, betul tak? Dhira tahu, Dhira yang salah dalam hal ni.
Dhira minta maaf. Tak mungkin semua ni hilang macam tu aje. 3 tahun kita
bersama, Wafi. Tak mungkin perasaan tu hilang dalam masa sebulan ni. Ke Wafi
dah jumpa pengganti Dhira?”
Langkah Wafi terhenti.
Wafi cuba mencari perasaan itu. Jika boleh, dia mahu kembali kepada Nadhira.
Entah mengapa, perasaan itu sekelumit pun tiada.
“Siapa A.D tu? Tadi
Wafi ada sebut nama dia. Tak kanlah A.D tu nama lelaki tak? Masakan Wafi nak
sebut nama lelaki tiba-tiba. Mesti A.D orangnya kan?”
Wafi menoleh ke arah Nadhira
yang masih duduk di bangku itu. Pandangan matanya tepat ke mata gadis yang
suatu ketika dahulu pernah menjadi gadis idamannya.
“Nadhira, cuma satu
saya minta dengan awak. Tolong terima kenyataan. Saya tak minta semua ni, tapi
awak yang minta. Tolong terima kenyataan yang awak ciptakan sendiri.” kata Wafi
lalu segera meninggalkan Nadhira di situ.
Langkah Wafi laju.
Selaju perasaannya yang telah lenyap untuk Nadhira. Air mata Nadhira gugur. Dia
sama sekali tidak menyangka reaksi Wafi begitu tenang. Seolah-olah dia dapat
menerima apa yang berlaku. Sebaliknya, hati dia sendiri yang merana. Menyesal
yang menggunung di jiwanya kerana mengungkapkan kata-kata itu tempoh hari. Dia
hanya mahu menguji Wafi kerana dia tahu Wafi akan menurut apa sahaja
kemahuannya.
“Tak mungkin….tak
mungkin….” jerit Nadhira, dia mahu melepaskan kemarahannya.
Syak wasangka terhadap
insan bernama A.D yang disebut Wafi tadi menebal di otaknya. Nama itu menjadi
tanda tanya di fikiran Nadhira.
---------------------
Wafi sedang berdiri di
balkoni. Dia menantikan kepulangan A.D. Melalui balkoni tersebut, dia dapat
melihat motorsikal A.D memasuki kawasan tempat letak kenderaan apartmen itu.
Kerjanya di pejabat semakin bertambah semenjak Ridzuan pergi mengerjakan umrah.
Segala keputusan akan dilakukan oleh Wafi di bawah pengawasan Azhar yang lebih
berpengalaman. Meskipun badannya terasa penat, dia tetap mahu memastikan A.D
pulang dengan selamat. Oleh itu, setiap hari dia akan menunggu di situ. Sebaik
sahaja dia melihat motosikal A.D, dia akan masuk ke dalam biliknya. Dia tidak
mahu A.D tahu akan perbuatannya itu.
Wafi memandang ke
langit. Bintang malam kelihatan jelas. Wafi masih lagi mencari jawapan.
Peristiwa tempoh hari bertemu dengan Nadhira seperti ulang tayang di benak
fikirannya. Nadhira punya segala-galanya. Wafi sendiri keliru. Perasaan yang
disemai selama 3 tahun sudah tidak bercambah lagi. Seolah-olah sudah mati.
Sudah banyak kali dia bertanya soalan itu terhadap dirinya sendiri, dia sendiri
masih tiada jawapan yang kukuh. Setiap kali dia cuba menyelami perasaannya,
wajah A.D yang akan muncul.
“Wafi, kau tak pelik
ke? Macam mana si minah tomboi tu boleh menandingi Dhira? Dia orang jauh beza
tu. Macam planet Pluto dengan Bumi. Apasal kau boleh nampak A.D aje sekarang?
Kau sendiri tak dapat kawal hati kau kan? Apa yang kau nak langsung tak sama.”
Wafi berdialog sendiri.
Wafi berdialog sendiri.
Wafi mengeluh seketika.
Dia sudah tidak mampu menidakkan perasaan untuk A.D. Dia memicit-micit
kepalanya. Wafi memejamkan mata. Dia cuba bertenang.
Kau tak dapat tipu yang
hati kau dah tertarik dengan sifat yang ada pada A.D. Sekarang ni kau tak kisah
dengan penampilannya yang macam lelaki. Betul tak? Engkau sudah jatuh cinta
dengan A.D. Kau jatuh cinta dengan tomboi.
Jiwa Wafi sedang
memberikan jawapan kepada dirinya. Wafi segera membuka matanya. Suara itu sudah
lenyap.
“Aku jatuh cinta dengan
A.D? Kenapa? A.D? Lagipun minah tu macam lelaki. Tak kan aku suka dengan
lelaki? Tak normal ke aku ni? Tak……dia perempuan tapi macam lelaki. Normal, tak
salah kau suka kat dia. Ya Allah……..apa yang kau fikir ni Wafi? Wafi Azrel
Shah…kau dah gila. Kau tahu tak kau dah gila? Arggggggghhhhhhh…………TIIIIDDAAKKKKKKKKKKK……..!!!!!!!!!”
Pada mulanya dia
berbisik perlahan, tiba-tiba dia menjerit. Dia tidak menyangka itu yang
berlaku. Dia sudah tidak mampu mengelak dengan kenyataan.
A.D yang baru sahaja
masuk ke dalam rumah terkejut dengan jeritan di balkoni. A.D segera melihat ke
balkoni, susuk tubuh itu terlihat dari belakang. Wafi seolah-olah sedang
menjerit ke langit.
Tanpa berlengah, A.D
segera menghampiri Wafi lalu segera dia menarik rambut Wafi yang berikat.
Jeritan Wafi terhenti sebaik sahaja dia merasakan rambutnya ditarik. Dia
terkejut apabila melihat A.D sudah pun berada di sebelahnya.
“Bila masa kau ada kat
sebelah aku ni? Rumah ni punyalah besar, kenapa kau nak berdiri kat sebelah aku
juga?” soal Wafi, berpura-pura marah sedangkan dia bimbang yang A.D akan
mengetahui apa yang cuba dia selindungkan selama ini.
“Eh, suka hati akulah
nak berdiri kat mana sekali pun. Ni rumah aku. Kau ni kenapa jerit-jerit macam
orang gila?”
Wafi terdiam. Melihat
reaksi A.D, dia pasti A.D tidak mendengar kata-katanya tadi.
“Yang kau tu kenapa
pula? Suka-suka nak tarik rambut aku. Bila masa aku tarik telinga kau?”
“Memanglah kau tak
tarik telinga aku, tapi suara kau tu yang bingitkan telinga aku. Jangan sampai
orang kat apartmen ni buat rusuhan sebab kau terjerit-jerit macam orang gila
ni? Buat malu ajelah.”
“Biarlah, aku memang
suka malukan kau.”
“Aku rasa otak kau ni
dah kena rendam dengan sabun basuh agaknya. Sengal. Ke kau gaduh dengan Nadhira
ni? Sebab tu jadi sasau macam ni kan? Yalah, gaduh dengan gadis idaman mestilah
boleh jadi gila tak? Kasihan, dah lah sengal, sekarang jadi gila pula.”
Wafi membisu. Dia hanya
memerhatikan gelagat A.D. Suka benar dia melihat wajah itu. A.D melihat wajah
Wafi yang sedang merenungnya. Dia hairan kerana Wafi tidak membidas
kata-katanya sebaliknya Wafi sedang memandang wajahnya. Hati A.D jadi tidak
menentu. Sudah lama dia tidak merasa perasaan itu.
“Sudahlah. Daripada aku
layan orang gila macam kau ni, lebih aku pergi masuk bilik aku. Aku buat apa
yang patut.”
A.D segera melangkah
menuju ke kamarnya. Wafi memerhatikan A.D sehingga susuk tubuh itu tiada di pandangannya.
“Bukan sebab Nadhira
aku jadi gila macam ni, tapi sebab kau.”
No comments:
Post a Comment