BAB
14
Alat kawalan jauh
berulang kali ditekan. Bosan dengan rancangan yang disiarkan. Satu pun tidak
menarik perhatian Wafi. Sudah cecah seminggu hubungannya dengan Nadhira putus.
Apa yang menjadi hairan, hatinya seperti mampu menerima keputusan Nadhira.
Perasaannya kembali seperti asal. Dia mengakui, semasa mendengar keputusan
Nadhira, jiwanya tidak menentu. Tetapi lama-kelamaan, perasaan itu lenyap.
Perasaan yang dibina selama 3 tahun seperti tidak memberi kesan terhadap
hatinya. Mungkinkah kerana adanya A.D? Wafi memandang dinding. Jam menunjukkan
pukul 10 malam. Pada kebiasaannya A.D akan pulang ke rumah ketika ini. Pandangan
Wafi silih berganti. Sekejap dia menonton televisyen dan seketika kemudian ke
arah pintu. Drama seram yang disiarkan menarik perhatiannya semula untuk
menonton televisyen. Setelah 10 minit, kedengaran tombol pintu dipulas. Mata
Wafi sempat menjeling. A.D sedang menuju ke dapur seperti kebiasaannya, mencari
air untuk membasahi tekak.
“Kau baru balik kerja
ke?” tegur Wafi apabila melihat A.D melintasinya.
“Yalah, tak kan aku
baru nak pergi pula. Budak tadika pn tahu. Janganlah tanya soalan bo………”
Tiba-tiba A.D teringat
yang Wafi pantang mendengar perkataan itu, lantas dia tidak meneruskan
kata-katanya.
“Janganlah tanya soalan
apa?”
Wafi tahu perkataan itu
yang A.D mahu sebutkan.
“Tak ada apalah. Kau
tengok cerita apa?” soal A.D serta-merta. Dia malas mahu mencari pasal dengan
Wafi memandangkan badannya terasa letih.
“Cerita hantu.”
“Cerita hantu? Tak ada
cerita lain ke nak tengok?”
“Biarlah, daripada aku
mengadap muka kau. Apasal kau cakap macam tu? Cerita hantulah barulah seronok.
Lainlah kalau kau tu penakut.”
“Apasal pula? Ada aku
cakap aku takut? Dahlah, layan mamat sengal macam kau ni buat bertambah penat aje.
Lebih baik aku masuk bilik, membuta lagi bagus.”
“Memang dasar penakutlah tu. Sengaja cakap macam tu, padahal kau takut sebenarnya kan?”
“Eh, sengal. Kau ingat
aku ni pengecut nak tengok cerita hantu? Ok, aku akan buktikan kat kau. Biar
aku tengok sekarang dengan kau.”
A.D segera melabuhkan
punggungnya ke sofa. Wafi tersenyum sendiri. Sememangnya dia sengaja memprovok
A.D supaya dia dapat melihat wajah itu lebih lama.
----------------------
A.D seperti
terpinga-pinga apabila melihat sekelilingnya. Dia kini berada di rumah usang
yang dipenuhi dengan akar kayu. Setiap ruang seolah-olah ada mata yang sedang
memerhatikannya. A.D sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh menjejakkan kaki ke
rumah tersebut. Bunyi sahutan anjing menyalak menerpa ke cuping telinga. Tiba-tiba
bau asap kemenyan menyengat deria baunya. Bulu tengkuk A.D sudah menegak.
“Sam, Wanie…….kau orang
ada kat sini ke?” jerit A.D tetapi tiada balasan.
Perasannya tadi Samsul
dan Izwanie mengajaknya ke rumah itu. Tiba-tiba sahaja mereka berdua lenyap
sebaik sahaja mereka tiba.
“Sam, Wanie..kau orang
jangan nak main-main dengan aku. Kenapa tiba-tiba ada bau kemenyan ni?”
Suasana masih lagi
seperti tadi. Sunyi, hanya kedengaran anjing menyalak dan bunyi burung hantu.
Kaki A.D terus melangkah, dia mahu mencari pintu keluar rumah usang itu. Dia
tidak mahu tinggal lebih lama di tempat tersebut. Setiap kali dia melangkah,
dia dapat merasakan ada bayang-bayang mengekoriya. Apabila dia menoleh, bayang-bayang
itu hilang dan apabila dia meneruskan langkah bayang-bayang itu kembali semula.
Langkah A.D semakin laju.
Akhirnya dia menemui pintu tersebut. Tatkala dia mahu
menghampiri ke arah itu, kakinya tiba-tiba sahaja ditarik dan menyebabkan dia
terjatuh. Alangkah terkejutnya A.D melihat wajah pemilik tangan tersebut. Wajah
Samsul dan Izwaie pucat dan penuh dengan torehan. Setiap torehan itu mengalir
darah. Apa yang dia sedang alami kini
sama seperti drama yang ditontonnya tadi.
“Tolong……tolong……..” jerit
A.D
“A.D……tolong aku.”
pinta Samsul sambil tangannya mahu mencekik leher A.D
“A.D…….kau tak
kasihankan kita orang ke?” ucap Izwanie pula sambil mata merahnya merenung mata
A.D.
“Lepaskan aku. Kau
orang bukan Sam dengan Wanie.”
“A.D….kau kawan aku.
Aku nak darah kau.”sambung Izwanie lagi.
“Tolong…….Wafi…” jerit
A.D.
Dia sendiri tidak tahu
mengapa dia menyebut nama lelaki yang paling dibencinya. A.D menjerit sekuat
hati apabila Samsul dan Izwanie semakin hampir mahu mencekiknya.
“Wafi………Wafi……tolong.”
Pandangan Wafi kabur.
Dia baru sahaja melelapkan mata. Gegendang telinganya menangkap suara A.D yang
sayup-sayup kedengaran. Wafi melihat telefon bimbit yang sedang dicas.
“Pukul 12.45? Kenapa
tomboi tu memekak malam-malam buta ni?”
Wafi menepuk-nepuk bantalnya
lalu dia baring semula. Dia cuba melelapkan mata sekali lagi. Selimut yang meliputi
tubuhnya ditarik ke atas.
“Tolong…tolong….jangan
apa-apakan aku. Korang bukan kawan aku.”
Sekali lagi Wafi
medengar suara A.D. Meskipun pintu tertutup rapat, dia masih lagi boleh
mendengar. Wafi segera bangun lalu keluar darpada kamarnya. Dia menghampiri
bilik A.D. Suara A.D menjerit meminta tolong semakin jelas.
“A.D….A.D…..kenapa?”
soal Wafi sambil mengetuk pintu bilik.
Suara A.D semakin kuat
kerana ketika itu di alam mimpinya bayangan Samsul dan Izwanie sedang
mencekiknya. Tanpa berfikir panjang, Wafi cuba memulas tombol. Dia sangkakan
pintu itu berkunci, ternyata rupanya tidak. Mata Wafi segera mencari A.D, dia
bimbang ada pencuri yang memasuki rumahnya. Wafi terpandang A.D yang berada di
atas katil. Mata A.D terpejam rapat namun kepalanya sekejap ke kiri dan ke
kanan. Wajah A.D gelisah. Jelas kali dia dalam berada keadaan takut ketika itu.
“A.D….A.D.”
A.D masih lagi keadaan
begitu. Manik jernih peluh kelihatan di dahi A.D. Wafi menyentuh pipi A.D. Pipi
itu basah dengan air mata. Wafi menepuk perlahan pipi A.D bertujuan untuk
menyedarkan A.D.
“A.D…bangun…kenapa ni?”
A.D seperti orang
sedang meracau ketika itu. Suara Wafi memanggilnya sayup kedengaran. Di alam
mimpinya, suara Wafi bergema. Lantas bayangan Samsul dan Izwanie lenyap. A.D
segera membuka matanya. Wafi berada di hadapannya. Dia segera duduk lalu
memeluk Wafi. Nafasnya turun naik. Wafi terkejut.
“Apasal ni?”
A.D segera memandang
Wafi.
“Hantu….hantu kat dalam
TV tu. hantu kat dalam TV tu nak cekik………”
Ketika itu Wafi baru
menyedari yang A.D mengalami mimpi ngeri.
“Tak….tak ada hantu kat
dalam TV tu kat sini.”
“Tadi dia ada. Dia nak
cekik lepas tu nak hisap darah….”
Tercungap-cungap A.D
menceritakan apa yang dia alami sebentar tadi.
“Tak….tu cuma mimpi.
Saya ada kat sini kan?” ucap Wafi lalu membawa A.D ke dalam dakapannya.
A.D
segera bersandar di dada Wafi. Dia merasakan selamat bersama Wafi. Wafi cuba
menenangkan A.D yang masih lagi dalam ketakutan. Untuk pertama kalinya, A.D
bersifat seperti seorang perempuan. A.D mahukan perlindungan daripada seorang
insan bernama lelaki.
“Hantu tu tak akan
kacau awak selagi saya ada kat sini.” perlahan suara Wafi membisikkan ke
telinganya.
Ketakutan yang
dirasakan semakin lama semakin pudar. Wafi mengusap lembut rambut pendeknya dan
akhirnya A.D terlelap di dalam dakapan Wafi. Wafi melihat A.D apabila pelukan
itu semakin terlerai. Mata A.D sudah pun terpejam. Perlahan-lahan Wafi
meletakkan kepala A.D di atas bantal. Dia menutupi tubuh A.D dengan selimut
bercorak jalur hitam biru itu. Wafi mengusap lembut dahi A.D.
“A.D…..A.D, dah tahu
takut tengok cerita seram, kenapa awak tengok? Kan dah terbawa-bawa ke dalam
mimpi.” bebel Wafi sendiri.
Wafi……kau sedar tak kau
panggil tomboi ni ‘awak’. Kau gelarkan diri kau ‘saya’ kat dia. Selama ni kau
aku aje kan?
Tiba-tiba ada suatu
suara sedang membisik. Serta-merta tangannya yang berada di dahi A.D dialihkan.
Kakinya mahu melangkah
keluar tetapi hatinya menyebabkan dia membatalkan niat itu. Wafi duduk di sisi
katil. Dia mahu memastikan A.D benar-benar terlena, barulah dia akan beredar.
Wafi memandang gadis itu dari dekat. Perlahan-lahan Wafi mengusap rambut A.D.
Haruman rambut A.D menggamit deria baunya. Perasaannya seperti sedikit bergetar.
Kemudian, perlahan-lahan dia menyentuh kening A.D. Kening itu halus bewarna
hitam pekat. Jari-jemarinya menyentuh hidung A.D yang kecil lalu menyentuh
bibir merah A.D. Setelah itu dia mengusap pipi A.D. Kulit itu terasa lembut.
Cantik. Kalau tengok dari
dekat, comel juga dia ni. Tapi sayang, jadi tomboi. Kalau dia tak kasar dan
kurang ajar, mesti aku……….Astaghfirullahalazim. Apa yang kau fikir ni Wafi? Tak
kan kau dah mula suka dengan lelaki? Tak normal ke aku ni? Tapi dia bukan
lelaki, dia perempuan. Ya Allah… Wafi, kau dah mula mengaku yang A.D ni
perempuan ke? Hati Wafi bermonolog sendiri.
Cepat-cepat Wafi
mengalihkan tangannya daripada wajah A.D. Dia menampar pipi lalu menepuk
dahinya. Rambut yang panjang sengaja dikusutkan. Bayang-bayang A.D sudah berada
di mindanya. Dia tidak mahu A.D berjaya mempengaruhi perasaannya. Dia tidak
boleh jatuh hati dengan A.D. A.D bukan perempuan yang dicarinya selama ini.
Wafi segera berpaling daripada melihat A.D. Perasaannya menjadi tidak menentu
ketika itu. Wafi merasakan, dia perlu membuang perasaan itu. Perasaan itu
haruslah wujud untuk seorang perempuan yang sebenar. Tiba-tiba mata Wafi
terpandang rak buku yang terletak bersebelahan dengan katil A.D. Rak buku yang
dipenuhi dengan novel. Ketika di vila Ridzuan dulu, terdapat rak sebegitu di
bilik A.D. Wafi menghampiri rak tersebut lalu tangannya mencapai salah satu
novel yang ada. Fikirannya membuat kesimpulan yang A.D gemar membaca novel.
Hobi itu kebiasaannya menjadi hobi seorang gadis. Gadis biasanya suka dengan
khayalan dan keindahan. Membaca novel mampu membawa gadis itu ke alam fantasi.
Untuk malam itu, buat kali ketiga Wafi memandang A.D sebagai seorang gadis
bukan perempuan kasar.
Membaca novel sudah
menjadi kegemaran A.D. Kerana novel jugalah dia selalu tidur lewat. Setiap
hari, dia akan membaca novel yang ada sehingga larut malam sebelum matanya
terlelap. Perasaan ingin tahu akan kisah selanjutnya menyebabkan dia sering
lambat sama ada untuk ke kuliah mahu pun bekerja. A.D gemar membaca sambil
berkhayal akan kisah tersebut. Sememangnya sifat sukar itu dibuang. Sama ada
dia Riana atau pun A.D, kedua-dua personaliti itu gemarkan novel. Selama ini
tiada siapa yang mengetahui akan rahsia tersebut, tetapi malam itu Wafi
tersenyum apabila dia dapat melihat siapa sebenarnya A.D.
--------------------
Nasi campur yang
terhidang di hadapannya dipandang sepi. A.D hanya menguis lauk ayam itu.
Sedikit pun tekaknya tidak mahu menjamah. A.D menghirup jus oren sambil matanya
merenung ke arah sesuatu. Dia berkhayal ketika itu, memikirkan kejadian malam
tadi. Dia masih tidak dapat memastikan sama ada apa yang dialaminya semalam itu
hanya sekadar khayalan atau kenyataan.
Semasa dia membuka mata pagi tadi, A.D
segera mencari tubuh itu di sebelahnya. Perasannya, malam tadi sebelum dia
melelapkan mata Wafi sedang memeluknya sehingga dia terlena. Izwanie menyenggol
tangan Samsul. Samsul yang sedang enak menjamu selera menoleh. Izwanie
memuncungkan bibirnya ke arah A.D yang berada di hadapan.
“Nyah, orang kat
Somalia kalau nampak kau buat macam tu kat makanan, bukan setakat nasi kau ni
dia orang makan, dengan kau sekali dia orang panggang tau.” tegur Samsul.
A.D masih lagi
sebegitu. Sedikit pun tidak keluar daripada alam khayalannya.
“Wahai hantu yang
merasuk Cik Qurnia Adriana binti Ridzuan, keluarlah kamu daripada badan ini
cepat,” jerit Samsul sambil tangannya mengetuk gelas yang berada di hadapan A.D
dengan sudu.
A.D terkejut.
“Wei……apasal kau ketuk
gelas aku ni?”
“Amboi……badan kat sini
jiwa kat Australia, ada hati nak tanya aku soalan macam tu? Kau apasal ni? Dari
tadi termenung,” sambung Samsul.
“Yalah A.D. Aku tak
tahu kau tengok apa. Aku perasan dari tadi masa kuliah. Selalunya kat kuliah
kau mesti membuta, tak kiralah sekejap sekalipun. Tapi hari ni, kau tak membuta
pun. Kau fokus tapi aku tahu kau fokus benda lain ni.” ujar Izwanie pula.
“Aku fokus salah, aku
membuta pun salah. Tak ada apa-apalah.”
A.D segera menyuap
sedikit nasi ke dalam mulut.
“A.D, satu dunia kau
boleh nak tipu tau. Dengan mak, kau jangan nak membohong. Ayat macam dalam
filem. Kau ingat ni cerita Maria Mariana nak buat dialog macam tu? Aku tahu
sangat kau tu macam mana.”
“Malam tadi aku mimpi
kau dengan Wanie jadi zombi nak cekik aku, sebab tulah aku jadi macam ni.”
Izwanie dan Samsul
saling berpandangan lalu mereka tergelak. Lucu mendengar alasan A.D.
“Kalau nak menipu pun,
logiklah sikit.”
“Wanie, aku tak
tipulah. Kau kan tahu aku tak suka tengok cerita seram tapi semalam aku tengok.
Ni semua pasal mamat sengal tu la.”
“Ok, kalau kita orang
yang jadi zombi, siapa pula yang jadi heronya?”
A.D berpura-pura tidak
mendengar pertanyaan Izwanie. A.D sengaja memandang sekeliling sambil
mengunyah.
“A.D, Wanie tanyalah.
Aku pun nak tahu juga. Mesti hero tu dah selamatkan kau sampai buat kau
termenungkan?” teka Samsul.
Sememangnya Samsul dan
Izwanie memahami dirinya. A.D cuba untuk memberitahu apa yang berlaku tetapi
lidahnya kelu.
“Ok, sebelum aku
beritahu siapa heronya. Aku nak tanya kau orang, kalau kita dah mula mimpikan
seseorang tu, kita ada perasaan kat dia ke? Kemudian, lepas kita sedar daripada
tidur, kita rasa dia macam ada kat sebelah. Seolah-olah mimpi tu macam betul.”
Terkebil-kebil mata
Izwanie dan Samsul memerhatikan A.D yang berada di hadapan mereka. A.D tidak
pernah menimbulkan topik perasaan apatah lagi soal cinta setiap kali mereka
berbual.
“Aku tanya ni,
jawablah. Benda ni dari aku buka mata pagi tadi sampailah sekarang mengganggu
kat otak aku ni.”
“Itu aku tak pastilah
A.D tapi mengikut pendapat aku, kalau seseorang tu dah berjaya masuk dalam
mimpi dan mimpi tu dah berjaya mempengaruhi kau sampai kau gelisah macam ni
sekali, jawapannya kemungkinan kau ada perasaan tu.”
Pandangan A.D menjadi
kaku tatkala mendengar jawapan Izwanie. Tidak mungkin dirinya ada perasaan
terhadap Wafi. A.D memikirkan semula apa yang berlaku semalam. Dia cuba
mengulang tayang kejadian malam tadi. Dia seperti berada di tengah-tengah alam.
Antara sedar dengan tidak, Wafi datang memeluknya. Ketika itu Wafi umpama
penyelamat dan dia benar-benar terasa selamat bersama Wafi. Tidak pernah dia
merasakan perasaan tersebut selama ini.
“Siapa orangnya yang
berjaya meruntuhkan kekerasan Qurnia Adriana yang tidak mahu jatuh cinta ni?”
soal Samsul.
“Tak ada maknanya aku
nak jatuh cinta.”
“Kau jangan, kang orang
yang tak disangka, orang yang dibenci tulah yang buatkan kau jatuh cinta.”
“Bila masa aku cakap
aku jatuh cinta dengan Wafi?”
Samsul dan Izwanie
terkejut. Mereka tidak pernah menyebut nama lelaki itu, tiba-tiba sahaja A.D
menggelabah.
“Eh, bila masa kita orang
sebut nama Wafi tu? Tak ada pun. Jangan-jangan…………..”
A.D mengeluh. Akhirnya
dia mengalah.
“Aku rasa tadi malam
aku mimpikan mamat sengal tu.”
Samsul tersenyum sambil
mengangkat keningnya.
“Tapi aku pasti yang
aku tak ada perasaan kat dia. Tak mungkin. Kan aku dah cakap dengan kau, hati
aku ni tak akan jatuh cinta.”
“Kau jangan cakap macam
tu A.D. Memanglah hati kita ni kita yang kawal, kita yang rasa tapi kau kena
ingat satu ni. Kalau Tuhan tu nak hati kau berubah, sekelip mata aje Dia boleh
buat. Bila hati kau dah berubah tanpa kau sedar, masa tu kau kena hati-hati.
Kata-kata kau ni boleh makan diri sendiri tau.” pesan Izwanie.
Dia ada perasaan dengan
Wafi? Dengan sejarah hitam yang terukir dahulu, tidak mungkin dia akan jatuh
cinta. Wafi adalah lelaki yang dibencinya. Bagi A.D, Wafi sudah pun memiliki
Nadhira. Tidak mungkin ada sikap Wafi yang mampu menarik perhatiannya.
Tiba-tiba sahaja otaknya memikirkan kejadian Wafi meminta maaf kepadanya tempoh
hari. Ketika itu A.D merasakan Wafi berbeza.
“Kau tengok, minah
kental ni termenung lagi.”
“Tak ada maknanya.
Sudahlah. Aku tak akan jatuh cinta dengan dia. Si sengal tu lagilah tak akan
suka kat aku. Jadi, semuanya akan sama macam dulu. Tak akan ada apa-apa yang
berlaku.” tegas A.D.
Dia mahu mengingatkan Izwanie dan Samsul atau lebih tepat
lagi mengingatkan dirinya sendiri.
ain: ble nk publish novel ni?..
ReplyDeletetak sabar nk bce smpai habis :)
hihi..ain pun xtau syida..
Deletedh antar kat Fajar Pakeer..
diorang tgh proses penilaian..
neves..neves..huhu..hopefully sume berjln lancar