Stylo Clique ^_^

Thursday, June 7, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 6 ::.




BAB 6


Samsul mengelap air matanya yang mengalir keluar. Ketawanya masih lagi tidak berhenti. Entah mengapa, dia merasakan cerita yang baru sahaja A.D suarakan itu mencuit hatinya. Dia tidak pasti sama A.D bergurau atau serius. Izwanie sudah puas menekup mulut Samsul supaya berhenti ketawa, tetapi tidak berjaya.

“Sam, aku cakap serius la ni. Kau ni, kawan apa macam ni? Kata best friend forever, tapi ketawakan aku masa aku dalam susah ni."
“Tak adalah Cik Jah oii…nak buat lawak pun janganlah tengahari buta panas terik ni. Nasib baik peperiksaan dah habis sebulan yang lepas. Kalau tak, penat aje aku menghafal satu buku teks tebal macam buku panduan telefon tu. Bila dengar lawak kau ni, ketawa tak berhenti hilang ilmu di dada aku ni.”
“Yalah A.D. betul juga cakap Sam ni. Kau jangan nak buat lawak pasal kahwin dengan kita orang. Prinsip kau kan tak mahu kahwin sampai bila-bila. Tiba-tiba cakap papa kau suruh kau kahwin.”
“Wanie, Sam……aku ajak kau orang datang jumpa aku kat tempat yang nyaman lagi indah ni sebab nak tenangkan fikiran aku yang dah kusut ni. Aku rasa macam jadi akar pokor sekarang ni. Kau tahu akar serabut? Ha, macam tulah kepala otak aku sekarang ni.”

Samsul dan Izwanie saling berpandangan. Sangkaan mereka yang tadi A.D hanya bergurau tersasar sama sekali. Pada mulanya juga Samsul dan Izwanie agak hairan A.D mengajaknya untuk datang ke Hutan Bandar tersebut. Tidak pernah A.D mengajak mereka untuk meluangkan masa bersama di situ. A.D sudah menonong jalan ke hadapan meninggalkan mereka berdua yang masih lagi tercegat berdiri.

“Eh, entah-entah betul cakap A.D tu tak? Kalau fikir balik, mana ada dia nak sebut perkataan kahwin tu? Kita pun sama-sama tahu kan kenapa dia tak nak kahwin? Aku rasa kali ni dia tak buat lawak la,” kata Izwanie, cuba memberi kesimpulan kepada Samsul.

Samsul membisu. Dia cuba menganalisa semula kata-kata Izwanie.

“Yalah Wanie. Aku rasa dia tak main-main. Kau tengoklah muka si minah kental tu, memang serabut.”
“Kau punya pasallah ni Sam. Ketawakan A.D tak berhenti-henti.”
“Eh, apasal pula mak yang glamor ni? Mak ketawa tak sembnyi-sembunyi. Tak macam kau tu, nak ketawa tapi pura-pura tak nak ketawa. Plastik.”
“Dah habis gaduh dah Cik Jah berdua?” tanya A.D yang tiba-tiba muncul antara mereka berdua.

Samsul dan Izwanie sama-sama terkejut.

“Nyah, kau suka buat aku terkejut. Tadi kau bukan dah jalan ke depan ke tinggalkan kita orang. Konon-konon berlakon merajuk biar kitorang pujuk kau kan?” ucap Samsul sambil mengusap-usap dadanya.
“Tahu pun. Habis tu kau dengan Wanie bisik-bisik kat sini kenapa?”
“Alaaaa A.D, aku dengan Sam minta maaf. Aku ingat tadi kau gurau aje,” ujar Izwanie.
“Aku tahu kau orang mesti tak percaya. Kau dengan Sam tahu kan yang aku tak akan kahwin sampai bila-bila. Itu prinsip aku tapi bila papa aku dah suruh, aku tak tahu kenapa hati aku yang keras ni nak tunaikan permintaan papa aku. Macam mana kalau ini permintaan terakhir dia? Selama ni aku selalu menentang dia.”
“Ishh…choi..choi..A.D, kau ni tak baik cakap macam tu. Mungkin ni hidayah dari Allah nak buka pintu hati kau supaya kau membina masjid. Siapa tahu kan?” ucap Izwanie, memberi pendapat untuk menenangkan hati A.D.
“Tapi, siapa nak terima aku? Cuba kau cakap, ada ke lelaki nak terima aku macam ni?”

Samsul dan Izwanie sekali lagi berpandangan antara satu sama lain. Mereka tahu sejarah silam A.D semasa gadis itu menjadi Riana suatu ketika dahulu.

“A.D, semua orang ada jodoh masing-masing. Jodoh tu rahsia. Mungkin Allah memang dah ciptakan satu watak dalam dunia ni untuk terima kau seadanya,” Izwanie masih lagi mencuba untuk membuka mata hati rakan baiknya itu.
“Wanie, wanie…kau ingat ni cerita novel? Oklah, lupakan pasal semua tu. Tadi masa aku jalan tinggalkan kau orang, tiba-tiba aku dapat idea. Aku dah tahu siapa calon yang sesuai untuk jadi bakal suami aku nanti,”
“Siapa nyah? Cepatnya dapat calon. Kau jumpa kat celah-celah Hutan Bandar ni ke?” tanya Samsul dengan nada penuh ingin tahu.

A.D menggelengkan kepala sambil tersenyum. Namun, pandangannya tidak beralih daripada melihat Samsul. Sekali sekala keningnya sengaja diangkat. Izwanie seperti dapat memahami maksud pandangan itu. Samsul terpinga-pinga melihat pandangan A.D terhadapnya.

“Beb, kau nak suruh Sam ni jadi calon suami kau ke?” soal Izwanie.

Pertanyaan Izwanie dibalas dengan anggukan.

“A.D, kau nak suruh aku jadi…………………..,”
“Yalah, aku kenal kau, kau kenal aku. Oklah tu. Kita kahwin olok-olok. Bukan, maksud olok-olok tu………….aaa…maksudnya kita cuma kahwin aje.. Cuma nama. Aku tak nak kahwin dengan orang yang aku tak kenal. Papa aku cakap dia dah ada calon. Dibuatnya calon papa aku tu macam Osman Kering macam mana? Tak pun macam Malik Nor. Nanti aku kena belasah kalau aku tak pandai masak.”
“A.D, kau ni demam malaria ke apa? Tak naklah aku. Lagi pun kau kawan aku la.”
“Sebab kau kawan aku la kau kena tolong aku.”
“A.D, tak kanlah kau nak tipu diri kau dan aku pun nak tipu diri aku yang kita kena kahwin? Aku dengan kau best friend forever ok. Mana boleh kahwin. Lagipun selera mak yang macho ala-ala Fahrin Ahmad.”
“Amboi kau, tak sedar diri yang kau tu lelaki. Kang aku sunat kali kedua baru tahu,” tegur Izwanie.
“Aku main-main ajelah. Kau ingat aku nak ke kena laknat dengan Allah. Tak nak aku. Aku nak kahwin dengan mak janda kaya ok. Nanti aku kahwin, dah senang,” balas Samsul.
“Habis tu, siapa nak tolong aku?”
“Kau tak tanya dengan budak-budak gang motor kau? Ala….kau kan dulu selalu race motor kat litar. Mesti kat situ banyak lelaki-lelaki yang boleh dibuat pilihan kan?”
“Wanie, kau gila ke apa? Kau ingat papa aku tu setuju nak buat dia orang tu jadi menantu dia? Lagipun aku dah lama la tak turun sana. Aku dah buntu. Sebab tu aku boleh fikir idea gila tu. Kau tahu tak, lagi sebulan aje lagi. Kalau aku tak dapat, aku kena kahwin dengan lelaki Malik Nor pilihan papa aku tu.”
“Kau ni, memandai aje cakap macam tu. Belum tahu lagi lelaki tu macam mana. Imaginasi jauh sangat. Kau doalah banyak-banyak. Mana tahu kejap lagi ke, esok ke, tak pun lusa tiba-tiba muncul anugerah dari Ilahi, seorang pahlawan tiba-tiba kat depan mata kau secara tak sengaja. Ha, masa tu hati kau cakap, dialah orangnya. Ooohh…romantiknya,” ucap Samsul, sambil matanya bersinar-sinar mengangankan situasi tersebut.
“Kau pun serupa aje dengan aku. Imaginasi jauh. Berangan,” balas A.D

Samsul hanya menyengih manakala Izwanie menggelengkan kepala sambil tersenyum. Jauh di sudut hati A.D mengharapkan apa yang diangankan oleh Samsul tadi menjadi kenyataan. Tetapi, setiap kali dia memikirkan akan peristiwa pahit itu, segala angannya untuk berumah tangga lantas akan lenyap. Dia tahu, tiada siapa yang boleh menerima dirinya. Disebabkan hal itu, Riana yang dulu hilang. Identiti A.D dicipta supaya tiada siapa akan jatuh cinta terhadap dirinya dan dia juga tidak mahu cinta hadir dalam hatinya.

------------------------------

Mata Wafi tepat memandang bangunan itu. Dia berdiri di seberang jalan tanpa menghiraukan orang yang sedang lalu lalang di situ. Agak lama dia memerhatikan bangunan tersebut dari situ. Sudah lebih sepuluh kali dia ditemuduga, tetapi semuanya tidak menjadi. Sudah puas dia memohon jawatan berdasarkan kelulusannya dalam tempoh sebulan ini, namun tiada satu pun memberikan jawapan positif. Wafi mengeluh setiap kali memandang sijil-sijil di tangannya. Perasaan putus asa sudah mula dirasai dalam jiwa itu. Tatakala memikirkan permintaan Nadhira, fikirannya menjadi tidak menentu dan bertambah tertekan. Tinggal lebih kurang 11 bulan lagi dia perlu melaksanakan cabaran yang diberikan oleh Datuk Hamdan. Firma kejuruteraan tersebut adalah harapan terakhirnya.

“Wafi Azrel Shah bin Kamaruddin, kau boleh buat. Rezeki memang ada untuk kau, cuma belum sampai lagi. Mana tahu firma kat depan kau ni ialah jawapannya,” ucap Wafi kepada dirinya sendiri, dia mahu menghilangkan perasaan putus asa di dalam dirinya. 

Perlahan-lahan Wafi menarik nafas lalu menghembuskannya sedikit demi sedikit lalu dia melangkah, mahu menyeberangi jalan. Entah mengapa, tanpa dia sedari ada motorsikal sedang menuju ke arahnya. Hampir sahaja melanggarinya, namun pemilik motosikal tersebut sempat menekan brek. Apa yang terlintas di fikiran Wafi sebentar tadi ialah kemalangan akan menimpa ke atas dirinya. Nafas Wafi menjadi turun naik. Orang di sekeliling juga memandang Wafi dan pemilik motosikal berkuasa besar itu. 

A.D terkejut, mujur dia sempat bertindak tadi. A.D segera memandang tubuh di hadapannya. Perasaan cuak bertukar tidak puas hati apabila melihat wajah itu.

“Kau tak nampak ke apa? Nak lintas pun tengoklah kiri kanan. Ni jalan raya, bukan balai raya,” marah A.D sebaik sahaja turun daripada motosikal. 

Visor topi keledarnya dinaikkan. Terkebil-kebil mata Wafi dibuatnya. Perasaan cemas masih lagi jelas di mukanya. Mata Wafi sempat menangkap nombor pendaftaran motosikal yang hampir melanggarnya lalu segera sahaja pandangannya beralih kepada A.D.

“Kau rupanya. Kau nak langgar aku sebab nak balas dendam ke?”

Perasaan A.D bertambah marah apabila dituduh sebegitu. Sememangnya dia tidak menyangka akan ada orang cuba melintas. Jika orang lain yang melintas tadi, pasti reaksinya berbeza daripada sekarang.

“Wah…wah, suka hatinya nak tuduh aku. Kau ingat aku ni sengal macam kau? Kalau aku nak langgar kau pun, aku akan upah orang lain la. Kalau kau nak melintas sekali pun tengoklah kiri kanan dulu. Sini kawasan kenderaan lalu, dah namanya pun jalan raya kan.”

Wafi terdiam. Sememangnya dia bersalah dalam hal ini. Fikirannya seperti berada di tempat lain.

“Apasal diam? Tak ada modal nak cakap?”
“Aku minta maaf. Memang salah aku,” ucap Wafi lalu pergi meninggalkan A.D di situ. 

Sebelum melintas, dia menoleh kiri dan kanan, seperti mana yang dinasihatkan oleh A.D sebentar tadi.

A.D terkejut apabila mendengar ucapan maaf Wafi. Hairan. Wafi bukan sebegitu selama ini terhadap dirinya. Dia memerhatikan langkah Wafi. A.D memandang wajah Wafi. Wajah itu penuh dengan kesusutan. Pasti ada sesuatu yang tidak kena.

“Kau ni, memandai je cakap macam tu. Belum tahu lagi lelaki tu macam mana. Imaginasi jauh sangat. Kau doalah banyak-banyak. Mana tahu kejap lagi ke, esok ke, tak pun lusa tiba-tiba muncul anugerah dari Ilahi, seorang pahlawan tiba-tiba kat depan mata kau secara tak sengaja. Ha, masa tu hati kau cakap, dialah orangnya. Ooohh…romantiknya.”

Tiba-tiba sahaja ayat itu bergema di kotak fikiran A.D. A.D cuba mengingati kembali peristiwa sebentar tadi. Wafi tiba-tiba sahaja muncul untuk melintas di hadapannya. Sama seperti yang diangankan oleh Samsul. Lantas satu perasaan timbul. Mungkin insan tersebut adalah orangnya. A.D segera meletakkan motosikalnya di tempat letak kenderaan berhampiran. Dia berlari-lari anak mendapatkan Wafi.

“Kau minta maaf dengan aku?” soal A.D sebaik sahaja berjalan seiring dengan Wafi.
“Yalah. Sekarang ni kau pula yang pekak ke? Tulah, dulu cakap aku pekak lagi.”
“Ha, kali ni baru betul kau.”

Wafi hanya tersenyum, tapi seperti dipaksa.

“Kenapa? Tak puas hati lagi dengan aku? Aku tak ada masa nak gaduh dengan kau hari ni”
“Kau nak pergi mana?”
“Aku nak pergi temuduga kat firma ni. Jadi, jangan kacau mood aku sekarang,”
“Muka macam baru lepas kena hon dengan kapal Titanic, macam mana orang nak ambil kau kerja,”

Langkah Wafi terhenti lalu memandang A.D.

“Kenapa kau nak cari pasal dengan aku? Apa kena mengena dengan kau?”
“Yalah, muka kau tu nampak sangat dah putus asa. Macam orang terpaksa.”
“Memang aku terpaksa. Dah banyak tempat aku pergi, satu tempat pun tak nak ambil aku kerja. Kalau aku tak kerja, macam mana aku nak dapat duit banyak? Kau tak akan faham apa itu kerja, sebab kau kan kaki ponteng. Jadi, kau tak payah susah-susah nak faham.” ucap Wafi seperti separuh menjerit. 

Laju langkah Wafi meninggalkan A.D yang masih lagi tercegat di situ.



1 comment:

  1. nice.. :)
    next chapter Ain.. hehehe :)
    Thanks tau sebab coment entry kte..

    ReplyDelete