Stylo Clique ^_^

Thursday, June 28, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 17 ::.





BAB 17


“Apasal bro? Kenapa nak jumpa aku sangat ni? Sampai tak boleh nak cakap dalam telefon?” tanya Rafiq sebaik sahaja dia sampai di Restoran Singgah Selalu.
“Apasal kau datang lambat?”
“Aku banyak kerjalah. Ni pun aku berhenti kejap sebab waktu makan, ada kertas kerja kena siapkan. Eh, kejap-kejap, aku tengok muka kau hari ni lain sikit. Tak macam selalu.” ucap Rafiq sambil menarik kerusi lalu duduk berhadapan dengan Wafi.

Jelas wajah Wafi ceria. Matanya seolah-olah sedang memberitahu hatinya sedang dilamun perasaan indah.


“Aku ada benda nak cakap dengan kau.”
“Kebetulan, aku pun ada benda nak cerita dengan kau.”
“Benda yang aku nak cakap ni lagi penting. Ni soal hidup mati aku.”
“Kenapa? Kau ni, janganlah nak guna perkataan hidup mati. Serius sangat bunyinya. Biar aku teka, ni mesti pasal perempuan kan? Kalau pasal kerja aku rasa kau tak ada masalah.”


Wafi tersenyum. Hatinya terasa seperti di awangan.


“Aku tak tahu macam mana nak huraikan sifat yang ada pada dia. Dia tak sama macam perempuan lain. Dia nampak kasar, tapi dalaman dia lembut. Sangat-sangat lembut. Dia nampak macam tak pedulikan orang lain, tapi hati dia penuh kasih sayang. Dia nampak degil, tapi jiwanya manja. Kau akan nampak dia keras kepala, tapi sebenarnya dia macam budak kecil. Kau akan nampak dia ego, tapi sebenarnya dia akan minta maaf kalau dia buat salah dan dia pemaaf orangnya. Kalau kau nak pujuk dia, tak payah nak beli bunga atau hadiah mahal-mahal. Kau belikan dia makanan kucing aje, sudah cukup buat dia tersenyum. Kau faham tak apa yang aku cuba nak cakapkan ni?”


Rafiq segera menggeleng. Dahi Rafiq berkerut. Dia tidak mengerti maksud yang cuba disampaikan oleh Wafi. Tekebil-kebil mata Rafiq mendengar huraian Wafi.


“Aku rasa, dia memang lain. Perempuan lain sibuk dengan alat solek, kasut tumit tinggi, kecantikan tapi dia dengan topi keledar, motor superbike, kucing. Dia……..”
“Oppss…sekejap….kau cakap pasal siapa ni? Kau bukan cakap Dhira ke? Bila masa pula Dhira…………? Kau dah baik dengan Dhira kan? Sebab tu muka kau ceria macam ni?”
“Bukan……..A.D. Aku cakap pasal A.D.”


Rafiq terkejut. Dia sama sekali tidak menyangka yang Wafi akan memuji A.D sejauh itu. Bukan setakat memuji, tetapi Wafi mengagumi gadis kasar itu.


“Maaf bang, boleh saya ambil pesanan?” soal pelayan restoran itu.
“Beri saya air tembikai dengan nasi goreng paprik.” balas Rafiq.


Pelayan itu segera beredar setelah mengambil pesanan Rafiq.


“Dari tadi kau cakap pasal A.D? Bukan Dhira? Wafi Azrel Shah cakap pasal A.D? Selama ni mata kau cuma nampak Nadhira aje. Dalam masa sebulan ni, kau dah berubah?”
“Kau ingat aku minta ke semua ni? Aku sendiri tak sangka. A.D memang lain. Dia tak sama macam Dhira. Kau akan nampak Dhira tu macam senang untuk dibawa bincang tapi sebenarnya dia keras kepala. Kalau A.D, kau akan nampak dia keras kepala, tapi sebenarnya dia senang untuk berbual, boleh dengar pendapat orang lain, mudah dibawa bincang. Kalau Dhira cerewet dan leceh, A.D is simple. Tak banyak karenah.”
“Kau sedar ke tak Wafi, yang kau sekarang tengah membandingkan A.D dengan Dhira? Semua apa yang kau cakap, semuanya A.D yang menang. A.D tu dah buat apa aje kat kau? Sedangkan dulu aku tahu macam mana perasaan kau kat Dhira. Sekarang, kau dah mengaku A.D tu perempuan?”


Wafi mengusap rambutnya ke belakang. Kemudian dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu. Dia sendiri tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan. 


“Aku sendiri tak tahu apa yang dah jadi dengan hati aku ni. Puas aku menafikan semua ni. Sebab aku tahu selera pilihan aku bukan A.D. Aku dah macam termakan dengan kata-kata aku sendiri. Dengan A.D aku mula belajar yang cinta datang dari hati, bukan mata. Dengan Dhira, aku memang cintakan dia tapi bukan dari hati. Aku tertarik dengan penampilan dia yang lemah lembut tu. Apa yang aku nak, aku nampak ada pada Dhira. Sebab tu perasaan tu tak kekal lama, boleh hilang macam tu aje.”
“Wow….hebat betul penangan A.D tu. Patutlah hari tu kau berhenti kat kedai haiwan tu. Kau beli makanan kucing untuk A.D sebab nak pujuk dia?”


Wafi mengangguk. Senyuman tidak pernah lekang tatkala dia menceritakan siapa Qurnia Adriana yang sebenarnya kepada Rafiq. Sewaktu Wafi bersama Nadhira, tidak pernah Rafiq melihat Wafi sebegitu.


“A.D penyayang. Dia sukakan kucing.”
“Aku nak tanya lagi ni. Waktu kau baru kahwin dulu, kau masih dengan Dhira kan? Bila kau dengan Dhira, kau ada fikir pasal A.D tak?”
“Ada juga tapi fikir sebab dia tu selalu sangat cari pasal dengan aku.”
“Bila kau dengan A.D sekarang ni, kau ada teringat pasal Dhira?”


Wafi mendiamkan diri seketika. Dia cuba mengingati peristiwa yang telah dia alami bersama A.D. Beberapa ketika kemudian dia menggelengkan kepala.


“Memang sah hati kau dah tak ikut cakap kau lagi. Hati-hati, tanpa kau sedari kau dah tak mampu nak kawal hati kau.”


Ya, Wafi mengakui kenyataan Rafiq. Dia sudah tidak mampu mengawal hatinya lagi. Biarlah beribu kali dia menafikan kehadiran A.D, berjuta kali juga perasaan itu mencengkam jiwanya. Wafi seperti sudah terperangkap. Sekelip mata sahaja Tuhan mengubah hatinya. Sekarang ni bukan sahaja dia tak mampu untuk mengawal hatinya, malah fikirannya juga telah dipengaruhi. Semasa mesyuarat di tapak pembinaan pagi tadi, dia berkhayal memikirkan A.D sehinggakan Azhar menegurnya kerana tidak memberikan tumpuan yang sepenuhnya.


“Aku memang tak sangka, apa yang aku sakat dulu tiba-tiba jadi kenyataan. Mula-mula kau kahwin dengan dia atas dasar RM20,000. Sekarang kau pula yang jatuh hati kat dia?”
“Entah, aku dah tak kisah pasal RM20,000 tu. Dhira nak baik semula dengan aku tapi aku tak nak. Aku sendiri tak tahu kenapa perasaan tu boleh hilang sedangkan dah 3 tahun aku dengan dia. Kalau boleh aku nak kenal dengan lebih dekat siapa A.D tu sebenarnya. Makin lama kau kenal dia, makin berbeza dengan apa yang kau lihat. Dah 3 bulan aku jadi suami dia. Walaupun mulut dia agak kurang ajar, tapi dia tahu hormat hak orang lain.”
“Patutlah Dhira ada mesej aku. Dia tanya aku sama ada aku kenal tak dengan perempuan nama A.D. Tapi aku tak jawab pun. Sebab tulah aku nak bincang dengan kau ni.”


Wafi hanya membisu. Perasaannya kosong apabila Dhira menjadi topik perbualan Rafiq. Tiba-tiba telefon bimbit Wafi berbunyi. Wafi terkejut apabila melihat nama yang tertera di skrin.


“Siapa?”
“A.D.”
“Apasal terkejut? Sepatutnya kau gembira.”
“Sepatutnya dia tengah kuliah ni. Dia tak pernah nak telefon aku sebelum ni.”
“Angkat ajelah. Mana tahu ada perkara penting.”


Wafi membalas panggilan itu. Perasaannya indah kerana akan dapat mendengar suara A.D, tetapi dia perlu menyembunyikan rasa hatinya.


“Ha, kenapa telefon aku ni?”


Rafiq tersenyum simpul. Pandai benar Wafi berlakon.
Suara A.D seperti tersekat-sekat di telinganya. Wafi tahu yang A.D sedang menangis.


“A.D, apasal awak menangis ni? Cuba cerita dengan saya, awak kat mana sekarang ni?”


Wafi menjadi gelabah.


“Papa……papa…….” balas A.D.
“Kenapa dengan papa?”


Rafiq hanya memerhatikan Wafi. Nada suara Wafi berubah. Dia cuba membaca apa yang telah terjadi. Serta-merta wajah Wafi menjadi pucat dan terkejut.


“Innalillahiwainnailaihirojiun.”

 

------------------------------


Samsul dan Izwanie sedang sibuk mengemas di ruang tamu. Pinggan dan mangkuk disusun lalu dibawa ke dapur. Pak Aziz sedang sibuk menyapu di ruangan itu manakala Mak Som sedang mencuci di dapur. Bacaan Yaasin dan tahlil untuk arwah Ridzuan baru sahaja selesai. Pemergiaan Ridzuan telah mengejutkan A.D.


Jenazah Ridzuan dikebumikan di Mekah. Sebagaimana permintaan terakhir Ridzuan yang dinyatakan kepada Pak Aziz pada malam itu, lebih kurang sebulan sebelum pemergiannya ke kota suci. Dia sama sekali tidak menyangka perkara itu akan berlaku. Sekejap benar rasanya dia dapat bermesra dengan ayahnya. Pantas sahaja hatinya berat ketika menghantar Ridzuan tempoh hari. A.D bertambah terkejut tatkala mengetahui sebab pemergian ayahnya. A.D menghampiri Aziz, perasaannya bercampur aduk apabila melihat lelak tua itu.


“Kenapa Pak Aziz tak pernah beritahu A.D pasal penyakit papa? Kenapa papa dah pergi baru Pak Aziz nak beritahu A.D?”


Meskipun suara A.D perlahan, Pak Aziz tahu A.D marah terhadapnya. Dia baru sahaja memberitahu A.D mengenai penyakit Ridzuan sebelum majlis bermula. Itu amanahnya. Ridzuan hanya membenarkan Pak Aziz membuka mulut apabila dia sudah pergi. Pak Aziz menjadi serba salah. Penyapu yang berada di tangan diletak tepi.


“Tuan Ridzuan tak benarkan Pak Aziz beritahu sesiapa pun. Mak Som sendiri pun Pak Aziz tak beritahu.”
“Pak Aziz, A.D ni anak dia. Satu-satunya anak tunggal papa. Kenapa A.D tak boleh tahu?”
“Ini bukan soal A.D tak boleh tahu, ini soal amanah yang Pak Aziz kena pegang.”


Wafi baru sahaja selesai mengucapkan terima kasih kepada tetamu yang datang. Tetamu terakhir telah pun pulang. Dia melangkah menuju ke dalam rumah.


“Pak Aziz, papa kena sakit barah hati. Bukan benda kecil. Selama ni A.D salah faham dengan papa. Kalau A.D tahu benda ni lebih awal, mungkin perasaan apa yang A.D sekarang ni tak akan A.D rasa.”
“A.D, Pak Aziz faham perasaan A.D. Maafkan Pak Aziz,”
“Tak, Pak Aziz tak faham sebab Pak Aziz bukan kat tempat A.D. Selama ni A.D harungi hidup ni dengan salah faham. Salah faham terhadap papa. A.D sangkakan papa sibuk kerja kat luar, papa sibuk dengan mesyuarat sampai tak ada masa untuk A.D. Rupa-rupanya papa pergi dapatkan rawatan kat hospital luar negara. Pak Aziz faham tak apa yang A.D sedang tanggung sekarang ni?”


Wafi yang baru sahaja tiba di pintu masuk vila itu terkejut dengan apa yang berlaku. Samsul dan Izwanie berpandangan. Di mata itu, mereka dapat melihat dengan jelas A.D seperti menyalahkan Pak Aziz dengan apa yang berlaku. Kekesalan yang sedang dirasakan menyebabkan A.D melemparkan kemarahan kepada Pak Aziz hanya kerana lelaki tua itu sahaja yang mengetahui keadaan sebenar Ridzuan.


“A.D, Pak Aziz tak ada pilhan lain.”
“Kalau betul Pak Aziz anggap A.D macam anak Pak Aziz sendiri, Pak Aziz tak akan buat macam ni kat A.D. A.D rasa dikhianati.”
“Astaghfirullahalazim. A.D, hati Pak Aziz langsung tak ada niat nak khianati A.D.”


Pak Aziz beristighfar panjang. Dia sama sekali tidak menyangka A.D sanggup menuduh dia sebegitu. Pak Aziz faham perasaan A.D yang teramat sedih. Pak Aziz juga faham yang gadis itu kurang kasih sayang.


“A.D, kenapa cakap macam tu dengan Pak Aziz? Kalau marah sekali pun, jangan lupa hormat dengan orang yang lebih tua.” tegur Wafi, nada suaranya agak tinggi.


Dia harus masuk campur sebaik sahaja melihat A.D yang mahu menyalahkan Pak Aziz. A.D menoleh ke arah Wafi. Air matanya gugur, matanya merah kerana menangis. Dia segera menaiki tangga menuju ke biliknya. A.D tidak berniat untuk menuduh Pak Aziz. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan. Selama ini dia telah salah faham terhadap tindakan Ridzuan.
Samsul dan Izwanie hanya memerhatikan apa yang berlaku. Mereka agak terkejut dengan tindakan Wafi yang tiba-tiba sahaja muncul antara A.D dan Pak Aziz. Sememangnya A.D tidak patut menuduh pemandu ayahnya sebegitu rupa.


------------------------


Alam masih lagi gelap, sama seperti gelapnya dunia A.D ketika ini. A.D masih lagi tidak dapat melelapkan matanya. Kenangan bersama Ridzuan sebelum ayahnya itu berangkat ke Mekah masih lagi jelas. Dia bahagia ketika itu. Belum puas dia menikmati kasih sayang seorang ayah. Dia mahu terus merasakan perasaan itu sebaik sahaja Ridzuan pulang daripada mengerjakan umrah. Namun, impiannya tidak kesampaian. Ridzuan lebih rela dipersalahkan daripada membuat hati anak tunggalnya sedih.


Perlahan gerak tubuh A.D menuruni katil. Dia menuju ke dinding yang berhadapan dengannya. Dinding itu dijadikan khas sebagai ruang menyimpan dan mengabadikan memori yang pernah dia alami. Foto-foto kenangan bersama orang yang tersayang tergantung kemas. Mata A.D tertumpu kepada foto Ridzuan yang sedang memeluknya. Ketika itu dia berjaya memperoleh anugerah pelajar cemerlang semasa dia berumur 10 tahun. Air mata yang cuba ditahan akhirnya gugur jua. Dia tidak kuat untuk menerima kenyataan. Mata A.D kemudiannya beralih. Gambar A.D diapit Adilla dan Ridzuan ditenung lama. Kenangan itu terukir tatkala dia menyambut hari kelahirannya yang ke 15. Kini, usianya mencecah 23 tahun. Dia telah kehilangan kedua-duanya sekali.


A.D memandang jam di dinding biliknya. Waktu sudah menjengah pukul 1 pagi. A.D merasakan yang dia mahu mengembalikan segala memori yang ada. Dia melangkah keluar daripada biliknya dan menuju ke kamar Ridzuan. A.D segera membuka almari pakaian milik ayahnya. Bau lelaki itu masih lagi ada. 



No comments:

Post a Comment