NADHRAH menjengahkan kepalanya sedikit
ke bahagian dapur. Pelanggan yang berada di kaunter sudah pun diuruskan. Dia memerhati gelagat lelaki itu sejak mereka pulang
dari Pasar Rialto. Qadheer Alauddin kelihatan begitu leka dan fokus dengan
kerjanya. Entah mengapa pada pandangan mata Nadhrah, apron yang dikenakan pada
tubuh sedang-sedang sasa itu kelihatan segak dan kena dengan gaya maskulinnya.
Qadheer Alauddin
mengambil adunan tepung yang nipis sebagai kulit karipap
ke tapak tangan. Kemudian dia meletakkan inti kentang berserta daging ke atas tepung itu. Dengan penuh
gaya seni, hujung jarinya melakukan kelim pada karipap itu.
“Apa yang awak
tengokkan tu, Cik Keris Nadhrah Sari?”
Nadhrah
tersentak. “Wah! Encik Al pun pandai buat kelim karipap?”
“Kalau saya tak
pandai buat, saya bukan cucu Puan Fatimah,” balas Qadheer Alauddin sambil
jarinya laju menyelesaikan kelim pada kuih tersebut.
Nadhrah mengatur
langkah menghampiri Qadheer Alauddin memandangkan tiada pelanggan di kaunter.
“Kat bistro ni,
yang pandai buat kelim Kak Syah dengan Naz aje. Saya pernah cuba, tapi tak
jadi. Bukan jadi kelim karipap tapi jadi kelam-kabut karipap,” gurau Nadhrah.
“Lepas ayah saya
meninggal sebab kemalangan dan tak lama lepas tu mak saya pula meninggal sebab
kanser, nenek saya yang besarkan saya dengan Kak Syah. Saya membesar dengan
karipap nenek saya. Daripada berjalan kaki
sampailah nenek mampu buka perniagaan karipap sendiri. Dan sekarang Bistro
Karipap La Timah ada kat Venice. Mak cik dan pak cik saya pun turut sama besarkan
perniagaan nenek saya. Sebab tulah saya tahu buat kuih karipap ni.”
“Jadinya,
perniagaan ni memang perniagaan turun-temurunlah?
Patutlah sedap karipap yang Kak Syah buat. Belajar dengan nenek Encik Al
rupanya.” Timbul perasaan kagum di hati Nadhrah setelah mendengar cerita
Qadheer Alauddin.
“Pergi cuci
tangan lepas tu lap tangan tu kering-kering,” arah Qadheer Alauddin tiba-tiba
“Ha? Kenapa?”
“Saya nak tengok
juga macam mana awak buat.”
“Kena buat? Oh... Lupa pula saya nak jaga kaunter. Encik Al
siapkanlah ya.”
Qadheer Alauddin
pantas menghalakan tepung yang sudah diisi dengan inti ke wajah Nadhrah.
Nadhrah berkerut memerhatikan objek yang berada di tangan Qadheer Alauddin itu.
“Saya adik bos,
awak mana boleh melanggar arahan adik bos. Betul tak?” ugut Qadheer Alauddin.
“Encik Al marah
lagi ke pasal pagi tadi? Saya teka aje yang Encik Al mabuk laut. Ini kira nak
balas dendam ke?”
“Hisy... Sebut lagi perkataan tu. Kan tadi masa kita
kat vaporetto awak dah janji tak nak cakap lagi. Ini boleh menyebabkan luka terhadap maruah
diri saya.”
“Okey, okey... Saya tak cakap lagi.” Nadhrah menuju ke singki sambil senyumannya terukir.
Semasa menaiki vaporetto sebaik sahaja
mereka selesai di Pasar Rialto, mata Qadheer Alauddin sentiasa terpejam. Dari
awal lagi adik Qash Alaisyah itu memberi amaran. Jangan berkata apa-apa akan
kelemahannya yang satu itu.
Gadis itu
mengelap tangannya hingga kering lalu mengambil karipap yang masih belum lagi
dikelim. Terkial-kial jari-jemari Nadhrah.
Gaya itu tidak kena, gaya ini pun tidak kena.
Qadheer Alauddin
menerangkan cara dan teknik bagaimana mahu menghasilkan kelim karipap yang
cantik. Nadhrah mendengar dengan teliti. Sehabis daya dia cuba memahami apa
yang diajarkan oleh Qadheer Alauddin. Lelaki tersebut membandingkan hasil tangan
Nadhrah dengan karipap miliknya. Qadheer Alauddin menggelengkan kepala dan
dalam masa yang sama mulut itu mendecit dua saat.
“Okeylah tu
Encik Al. Jadi juga, kan?”
“Jadi apanya?
Besar-besar kelim karipap ni. Nanti karipap ni, awak yang makan.”
“Memanglah
besar. Tangan saya tak beberapa profesional macam Encik Al. Lagipun Encik Al kan cucu Puan Fatimah, adik Kak
Syah. Mestilah pandai.”
“Habis tu apa
yang awak pandai? Pandai main skateboard aje?”
Nadhrah
mencebikkan bibirnya.
“Amboi, apanya
yang bising-bising ni?” soal Qash Alaisyah sebaik sahaja tiba di dapur.
“Kak Syah... Kak Syahlah penyelamat Nadh. Nadh nak pergi
jaga kaunter.”
Qash Alaisyah
ketawa melihat keletah Nadhrah yang kelam-kabut itu. Cepat sahaja dia membasuh
tangan lalu melangkah pergi ke hadapan.
“Danial macam
mana, kak? Dah okey?”
“Danial masih
lagi demam. Abang Yusuf pun macam nak demam juga. Akak tak boleh lama-lama
sangat kat bistro ni. Akak kasihan kat kau orang berdua. Nanti Naz dah masuk
kerja, akak balik rumah.”
“Akak jangan
risau pasal bistro. Al dengan Keris boleh jaga. Akak pergi balik rumah. Jaga
Danial dengan Abang Yusuf.”
“Tak apa. Akak
tolong Al siapkan karipap ni sementara tunggu Naz datang. Wah! Nampaknya masih
tajam lagi skil arkitek Qadheer Alauddin.” Qash Alaisyah membelek-belek hasil
kerja adiknya yang berada di dulang.
“Mestilah, kak.
Cuba tengok cucu siapa?”
“Tak sia-sia
dari kecil kau tolong nenek buat karipap. Tadi macam mana masa pergi pasar?”
“Macam mana apa
kak? Macam biasa ajelah.”
Qash Alaisyah
merasa tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Lantas tangannya
memiat telinga Qadheer Alauddin.
“Aduh, sakitlah
kak. Al buat apa?”
“Akak bagi
peluang kat Al untuk kenal-kenal dengan Nadh. Itu aje jawapannya? Naik vaporetto okey tak?”
“Akak memang
sengaja ya suruh Al pergi pasar dengan Keris? Kan akak tahu Al mabuk laut.
Seboleh-boleh nak elak tapi kena naik juga. Terluka jiwa raga Al kalau macam
ni.”
“Sudahlah. Tak
payah nak terluka jiwa raga sangat. Kalau akak tak suruh Al pergi, siapa nak
tolong dia bawa barang banyak-banyak tu? Tapi kan...
akak tengok tadi Al macam dah mesra aje.”
“Mana ada kak.
Akak tolong sambunglah. Al nak pergi stor kejap.”
“Aik? Nak lari
ke?”
NADHRAH menguak pintu kaca sebaik
sahaja selesai membuat penghantaran. Walaupun hari ni tidak menggunakan papan
luncur, Nadhrah membuat penghantaran di kawasan berdekatan sahaja. Kelihatan
Nazri sudah berada di kaunter membantu Qash Alaisyah.
“Nadh, cuba
jengah kat dapur sana. Al cakap dia ada bakarkan karipap hasil tangan Nadh tadi.”
“Apa Kak Syah?
Karipap hasil tangan Cik Keris Nadhrah Sari? Amboi kau Cik Salmah, aku tak ada
kat bistro kau bercengkerama kat dapur ya?”
“Mana ada. Ini
kes kena paksa.”
“Cik Mah kena
paksa tapi rela, kan? Bila dah rela, hati pun sanggup kasi nanti. Jaga-jaga,
Cik Salmah.”
Mimik mukanya
mencebik, mempamerkan yang dia membangkang usikan Nazri itu. Kemudian dia
menuju ke dapur. Dia memerhatikan ketuhar. Tiada
apa-apa di dalam ketuhar tersebut.
“Awak cari
karipap kelam-kabut awak ke?”
“Kata Kak Syah,
Encik Al ada bakarkan untuk saya.”
“Ayat tu
betulkan sikit. Saya tak bakarkan untuk awak tapi saya terpaksa masak karipap
tu sebab karipap tu tak boleh nak dijual. Karipap awak tu ada kat atas meja
ni.”
Mata Nadhrah
menyinggah ke atas meja yang dimaksudkan Qadheer Alauddin. “Boleh tahan juga
karipap kelam-kabut saya ni. Masih boleh diperbaiki, kan? Okey, sekarang saya
nak rasa tepung dengan inti karipap yang Encik Al buat ni.”
Tangan Nadhrah
mahu menyentuh kuih tersebut. Tiba-tiba ada satu renjatan menyinggah ke deria
sentuhannya. Karipap itu masih lagi terasa panas.
“Aduh! Panas
lagi rupanya.” Kulit jari telunjuk kanan Nadhrah kelihatan kemerahan. Nadhrah
memasukkan jari tersebut ke dalam mulut.
“Itulah padahnya
kalau tak sabar. Macam budak-budak. Dapat makan karipap aje pun dah gembira macam
ni?”
Qadheer Alauddin
mengambil pisau lalu membelah karipap itu kepada dua. Gumpalan asap kecil
keluar. Dia mengambil separuh bahagian, ditiup perlahan kuih tersebut sebanyak
tiga kali supaya sejuk sedikit.
“Nah, cuba
makan. Panas lagi tak?” Qadheer Alauddin menyuakan makanan tersebut ke paras
bibir Nadhrah.
Tangan Nadhrah
mahu menggapai karipap itu tetapi Qadheer Alauddin membeliakkan mata.
“Kan tak tahan
panas, kalau awak pegang karipap ni jatuh kat lantai macam mana?”
“Nak makan
karipap pun kena marah ke?”
“Mana ada marah?
Saya suapkan lagi adalah. Ingat senang ke nak kena suap daripada saya? Saya ni
rebutan ramai, tahu tak?”
“Wah... Selalu marah-marah macam ni boleh jadi rebutan
ramai ke?”
Jelas alunan
suara Nadhrah menyindir lelaki itu. Nadhrah tertawa sinis.
“Ketawa pula. Nah, makan sendiri,” arah Qadheer Alauddin.
Sebelum menyerahkan kuih itu, dia meniup beberapa kali supaya lebih sejuk.
Karipap itu kini
bertukar tangan. Aroma kari kuih itu hinggap di hidungnya. Dia menggigit
sedikit dan mengunyah dengan perlahan, mahu menikmati air tangan Qadheer
Alauddin. Bunyi rangup kedengaran tatkala kulit tepung menyentuh gigi. Tekstur
empuk dan lembut ketulan kecil kentang serta keenakan daging cincang terasa
pada setiap kunyahan.
Gadis itu
memejamkan mata, terus menghayati gabungan yang ada pada reseptor lidahnya. Nadhrah membulatkan mata ke arah lelaki
itu sebaik sahaja makanan tersebut hancur dan melalui tekaknya.
“Ya Allah,
sedapnya. Tak sangka Encik Al pandai masak inti ni. Sama macam Kak Syah buat
tapi ada rasa lain sikit. Rasa apa ya?” Nadhrah berfikir sambil mengunyah.
Senyum simpul
jadinya Qadheer Alauddin mendengar pujian Nadhrah. Setiap lekuk wajah itu
diperhatikan.
“Tanya lagi rasa
apa pula. Mestilah rasa kasih sayang.” Suara itu muncul antara mereka berdua.
Qadheer Alauddin
dan Nadhrah memandang ke arah ruangan itu. Nazri dan Qash Alaisyah sedang
memerhatikan gelagat mereka.
“Bukan setakat
ada rasa kasih sayang aje, siap ada tiupan perasan bunga-bunga ke dalam
karipap. Lalu Cik Keris Nadhrah Sari memasukkan karipap itu ke mulut dan
menuruni ke hati dan jiwa. Lalu tajuk albumnya di sini, gelora jiwa melanda
diri.”
Qash Alaisyah
sudah ketawa mengekek-ngekek melihat gaya Nazri yang lembut itu. Kalau
budak ini ada, memang tak sunyi Bistro Karipap La Timah.
Sebab saya suka tengok cerita P.Ramlee lah saya dapat cipta watak Imran Nazri ni. Lagu kat babak ni yang Naz nyanyi. |
“Jiwa rasa gelora... Kasih pada teruna... Bukan kerna intan permata... Kerna budi bahasa...” Berpusing-pusing jadinya Nazri di dalam dapur, meniru watak Cik Salmah lakonan Saloma. Nazri begitu menghayati lagu Gelora daripada petikan filem Seniman Bujang Lapok.
“Kak Syah, sama
macam cerita P. Ramlee tak?”
Sekali lagi Qash
Alaisyah ketawa. Kali ini sehingga menekup muka. Tak tahan rasanya dengan gerak
tubuh Nazri.
Nadhrah juga
mahu ketawa tetapi perasaannya sudah jadi tidak tentu arah.
Qadheer Alauddin
memicit bahagian tepi dahinya. Memang pening dengan si Nazri ni. Ada sahaja
idea untuk menyakat orang yang berada di sekelilingnya. Qadheer Alauddin tidak
senang duduk. Pandangannya sempat mencuri raut muka Nadhrah. Memang sama
seperti yang dikatakan oleh Nazri. Perasaan gelora, malu dan resah terbit dalam jiwa.
Otak Qadheer
Alauddin ligat berfikir untuk keluar daripada perangkap perasaan yang semakin
membuatkan dirinya berpeluh. Dia melihat karipap yang berbaki di atas meja.
Tanpa berfikir panjang, Qadheer Alauddin memasukkan karipap itu ke dalam mulut
Nazri.
Nazri terkesima.
Terkejut sekejap kerana bibirnya terasa panas. Karipap yang berada di mulut
diambil sambil matanya terkebil-kebil.
“Sedap tak,
Encik Ramlee?” ucap Qadheer Alauddin lalu dia menuju ke kaunter.
Nadhrah akhirnya
ketawa melihat ekspresi wajah rakan baiknya itu.
“Kak Syah tak
masuk campur. Layan kau orang ni, memang tak habis. Lebih baik Kak Syah balik
dulu. Tengok anak dengan suami kat rumah lagi bagus.”
comel je nazri tu. lawak po ada. Miahaha...
ReplyDeletesye ucapkan Selamat Berpuasa & Hari Raya Aidilfitri…
http://norashaisyasiah.blogspot.com/2015/06/novel-couple-boy-bab9.html
hihi..terima kasih sbb sudi singgah blog saya & komen
DeleteSelamat hari raya juga drp saya :)