QADHEER ALAUDDIN menghenyakkan tubuhnya
ke katil setelah mengemas keperluan dan membersihkan diri. Badannya terasa
letih. Namun, dia tidak mampu untuk melelapkan mata. Sekejap ke kiri, sekejap
ke kanan badan Qadheer Alauddin. Dia cuba mencari posisi yang sesuai untuk
tidur, ternyata usahanya tidak berjaya.
Pandangan mata
singgah di hujung katil. Kamera miliknya berada
di atas meja. Qadheer Alauddin bangkit daripada
baringan. Dia mengambil gadjet tersebut, kemudian
menekan satu butang. Skrin yang tadi
gelap kini sudah menyala. Satu per satu gambar gadis itu diperhatikan.
Anis Nadhira.
Nama itu memang sudah lama bertakhta dalam hati
Qadheer Alauddin. Perkenalan selama setahun sewaktu mereka belajar di Amsterdam
mewujudkan perasan indah di hati mereka berdua.
Ibu jari kanan
Qadheer Alauddin terus menekan punat ke kanan. Gambar gadis tersebut silih
berganti. Bagi dirinya, senyuman Anis Nadhira tiada bandingan. Gadis itu mampu
menenangkan perasannya jika dia berada dalam keresahan. Akan tetapi,
segala-galanya berubah semenjak dua tahun yang lalu. Mulai saat itu, kehidupan
Qadheer Alauddin bertukar menjadi sesuatu yang asing. Semuanya tidak seperti
dulu, hanya kerana Anis Nadhira.
Sudah menjadi
kebiasaannya memandang raut wajah Anis Nadhira sebelum melelapkan mata. Bagi
Qadheer Alauddin, hanya itu sahaja cara yang dia mampu untuk mengubat rasa
rindu yang menggunung di jiwa. Bukan dia tidak mahu berubah, tetapi dia terlalu
bahagia memiliki cinta gadis tersebut sehinggakan hatinya seakan-akan tidak mahu berganjak daripada apa yang dirasa.
Rakaman pegun
yang ada terus beralih. Sedang asyik dia mengulit kenangan yang tersimpan
selama dua tahun ini, ibu jari Qadheer Alauddin tidak semena-mena menjadi kaku.
Gambar Keris Nadhrah Sari sedang mengukir senyuman
berada pada pandangannya.
KETAWA Yusuf Danial tidak henti
kedengaran dari tadi. Nadhrah sedang bergurau senda dengan anak kecil berumur lima tahun itu. Yusuf Mikhail pula sedang berbual
dengan Nazri.
“Rapat betul
Danial dengan pekerja akak tu?” soal Qadheer Alauddin.
Mereka baru
sahaja selesai makan malam. Qadheer Alauddin membantu Qash Alaisyah mengelap
pinggan mangkuk yang sudah siap dibasuh.
“Danial dengan
Nadh memang rapat. Kalau Danial ada kat bistro, Nadhlah
yang melayan kerenah Danial tu. Nadh tu suka hiburkan budak-budak. Dia tak
sampai hati nak tengok budak menangis. Selalu dia bagi Danial gula-gula sampai
akak pernah cakap dengan Nadh jangan dimanjakan sangat si Danial tu,” balas
Qash Alaisyah.
Ingatan Qadheer
Alauddin melayang memikirkan peristiwa siang tadi semasa dia berada di Jambatan
Rialto. Padanlah Nadhrah berjaya memujuk kanak-kanak perempuan tersebut dengan
mudah. Sudah biasa dengan anak kecil rupanya.
“Kenapa Al
tanya?” Kali ini giliran kakaknya pula yang menyoal.
“Tak ada apa-apalah
kak. Tengok Danial seronok betul bila bergurau dengan pekerja akak tu.”
“Panggil dia
Nadh, Al.” Qash Alaisyah tahu adiknya itu cuba mengelak menyebut nama tersebut.
“Al tak boleh,
kak.”
“Bukannya Al tak
boleh. Tapi sebab Al tak cuba dan Al tak pernah nak cuba.”
Qadheer Alauddin
hanya membisu.
Qash Alaisyah
meletakkan kain lap pinggan itu di atas meja. Dia mengambil kamera milik
Qadheer Alauddin lalu dia kembali semula ke dapur. Qash Alaisyah tahu, kamera
itu umpama kotak kenangan dan memori adiknya.
“Akak dah agak.
Anis Nadhira masih ada lagi kat kamera ni.”
Qadheer Alauddin
tidak memberikan sebarang reaksi.
Qash Alaisyah
terus memerhatikan gambar yang ada sambil menggelengkan kepalanya. “Tak salah
Al kalau nak memilih setia. Tapi bukan pada yang tak ada. Akak mengaku, Anis
Nadhira memang baik, sopan santun, hormat orang tua tapi jodoh Al dengan dia
tak ada.”
“Akak dengan
nenek dah cakap banyak kali benda ni pada Al. Al faham. Al tahu kak. Tapi Al
tak jumpa lagi. Bukannya Al tak cuba keluar dengan anak tak pun cucu
kawan-kawan nenek tu. Al dah keluar siap ambil nombor telefon lagi. Kalau akak
tak percaya, boleh tengok telefon Al. Penuh dah dengan nombor perempuan. Ada
yang sorang tu perasan cun sangat, ada yang terlebih perasan anak orang kaya
macam puteri raja. Ada yang terlebih bercakap tak berhenti, pendiam sangat pun
ada. Semua tak sesuai. Satu pun tak kena pada hati Al ni. Al tak jumpa yang
sama macam Anis Nadhira.”
“Kalau Al nak
cari yang sama macam arwah, memang tak akan jumpa Al. Dia ada satu aje kat
dalam dunia ni. Jangan cari yang sama. Cari yang lain. Al kena cari orang yang
boleh isi kekosongan hati Al, bukan pengganti Anis Nadhira.”
Lelaki itu tidak
membalas kata-kata Qash Alaisyah. Tangannya terus mengelap pinggan yang ada.
Tiba-tiba, Qash
Alaisyah mempamerkan wajah tanda tanya tatkala gambar itu kelihatan. Sesuatu
yang asing telah berada di dalam Kamera Nikon DSLR D5000 itu.
“Al, ini bukan
ke Keris Nadhrah Sari? Ni kat Jambatan Rialto,
kan? Macam mana Al boleh tangkap gambar dia dengan budak kecil ni?”
“Al tak sengaja.
Niat nak ambil gambar budak kecil tu aje. Comel budaknya. Dia terjatuh, lepas
tu ada orang kasi dia gula-gula, terus dah tak menangis lagi.”
“Siapa yang
comel? Keris Nadhrah Sari?”
“Akak... Budak kecil tu.”
“Belum pernah
ada perempuan luar yang tak ada ikatan dan pertalian darah dengan Al ada kat
dalam kamera ni selain daripada arwah.”
“Kak Qash
Alaisyah binti Alam Syah, Al tak sengaja.
Diulangi sekali lagi, tak sengaja dan tak sengaja.”
“Tak sengaja,
kenapa tak nak padam? Akak tolong deletekan,
nak?”
Qadheer Alauddin
segera menghampiri Qash Alaisyah. Dia mengambil kamera tersebut.
“Al, tak sengaja
itulah dinamakan takdir.” Qash Alaisyah tersenyum memandang adiknya itu. Bagi
dirinya, mungkin ada hikmah Qadheer Alauddin bercuti di Venice.
“Al bahagia
dengan cinta dan kasih sayang daripada dia kak.”
“Bahagia dengan
tengok gambar aje? Al yang tak nak melangkah ke hadapan. Jangan terus
mengundur, dik. Takut tak nampak apa yang ada kat depan mata kita.”
LELAKI itu membuang pandangannya ke luar tingkap. Cermin tingkap rumah yang
bertentangan itu kelihatan gelap. Dia pasti gadis itu sedang enak diulit mimpi.
Entah kenapa, ada sesuatu yang menarik perhatiannya saat melihat Nadhrah
tersenyum.
“Dia bukan Nadh
yang kau kenal, Al. Nama panggilan aje sama. Dia orang lain.”
Qadheer Alauddin
mengalihkan penglihatannya ke langit. Matanya masih lagi tidak mahu lelap. Puas
dia memandang sekeliling untuk mewujudkan rasa mengantuk, namun tidak berjaya.
Akhirnya dia mengambil keputusan mengambil kamera yang diletakkan di atas meja semula tadi. Dia menghalakan lensa kamera ke arah
rumah Nadhrah.
Pada ketika itu
juga Nadhrah menekan suis lampu. Qadheer Alauddin memandang telefon bimbitnya.
Waktu sudah menjengah 4.10 pagi.
Memang menjadi
kebiasaan Nadhrah untuk bangun pada waktu itu. Subuh di Venice sekitar
penghujung bulan April adalah seawal pukul 4.00
pagi. Rutin harian Nadhrah sudah berubah. Jika di Malaysia, dia akan bangun
dalam lingkungan 5.30 pagi.
Melalui skrin
kamera itu, Qadheer Alauddin dapat melihat pergerakan Nadhrah. Nadhrah menuju
ke tingkap dan menolak daun tingkap tersebut keluar. Detik itu, jari
telunjuknya laju menekan butang yang berada di atas kameranya. Nadhrah sedang
menghidu bunga yang terdapat pada planter box yang terletak
di luar tingkap biliknya.
“Al, tak sengaja
itulah dinamakan takdir.”
Suara Qash
Alaisyah tiba-tiba sahaja muncul seperti pita rakaman. Lantas, pandangan
Qadheer Alauddin silih berganti di antara
telefon dan tingkap rumah Nadhrah. Hatinya seakan-akan
mengharapkan sesuatu. Dia mahu melihat skrin telefon tersebut tertera nama
gadis tersebut.
Saya bayangkan rumah Al dengan Nadh beginilah. Saling berhadapan. Jadinya, Al boleh nampak Nadh dari rumah. |
JAM tangan yang berada di pergelangan kiri ditenung berulang kali. Nadhrah
mundar-mandir di situ dengan menaiki papan luncurnya. Kalau tidak kerana
Qadheer Alauddin, sudah lama dia bergerak ke Bistro Karipap La Timah.
“Manalah Encik
Al ni? Dah lambat ni. Tahulah adik bos.”
Kaki Nadhrah
menghentikan papan luncurnya daripada bergerak. Dia mengambil papan luncur itu
lalu menyeberangi separuh jambatan yang menghubungkan rumahnya dan rumah
Qadheer Alauddin. Dia bersandar pada selusur yang berada di tepi jambatan itu.
“Dia ni sakit
perut ke? Ke tengah tidur lagi? Hei... Ini
yang tiba-tiba rasa...” Belum sempat Nadhrah
menghabiskan susunan ayatnya, suara itu muncul.
“Tiba-tiba rasa apa?”
“Tiba-tiba rasa apa?”
Nadhrah segera
menoleh. Pemilik suara tersebut sedang mengunyah sesuatu. Rahang Qadheer
Alauddin bergerak-gerak. Lantas Nadhrah berdiri dan menelan air liur kerana
terkejut. Pandangan Nadhrah sempat mencuri penampilan Qadheer Alauddin.
Lelaki itu
mengenakan seluar Khakis panjang memenuhi
kaki, kemeja-T pendek berwarna merah
tersemat kemas pada badannya lalu Qaheer
Alauddin menyarung kardigan lelaki biru gelap memandangkan cuaca pada pagi itu
sememangnya sejuk. Topi hitam yang berada di tangan kemudiannya dikenakan ke
atas kepala.
Pergh... Lengan dia. Melayu tulen. Ayat itu yang
terlintas di fikiran Nadhrah tatkala melihat bentuk lengan Qadheer Alauddin
berdasarkan kardigan yang membaluti
anggota tersebut.
Lelaki itu
memerhatikan pandangan Nadhrah sambil menggigit sebahagian permukaan sebiji
epal. Dia menghancurkan tekstur buah tersebut sehingga hancur sebelum menelan. “Awak
tengok apa?”
“Tengok Encik
Al.”
“Kenapa?
Tergoda? Ada rasa apa-apa ke? Rasa sayang hei?” sindir Qadheer Alauddin.
Rasa sayang hei
pula. Nak perlilah tu, bisik Nadhrah dalam hati.
“Encik Al dari
mana? Tiba-tiba aje muncul.” Nadhrah segera menukar topik perbualan.
“Saya dari tadi
kat sini,” balas Qadheer Alauddin dengan
selamba.
“Ooo... Dari tadi kat sini? Kalau macam tu kita boleh
pergi kerja sekarang?”
“Kenapa awak tak
telefon untuk kejutkan saya?”
“Naz cakap Encik
Al dah bangun. Jadi buat apa saya kejutkan orang yang dah bangun?”
Sebaik sahaja
bangun pagi tadi, perasaan berbelah bagi sudah menjengah ke dalam diri Nadhrah.
Serba salah dibuatnya mahu mendail nombor itu ataupun tidak. Akhirnya, Nadhrah
menghubungi Nazri untuk mendapat kepastian.
“Telefon Naz
boleh, telefon saya tak boleh?”
“Telefon Naz
memang tak ada masalah sebab saya dah biasa dengan dia.”
“Kalau macam tu,
biasakan dengan saya.” Usai berkata sedemikian, Qadheer Alauddin menguap
panjang. Matanya kelihatan merah dan sembap.
“Encik Al tak
tidur ke malam tadi?”
Qadheer Alauddin
mengalihkan mukanya daripada terus ditatap oleh Nadhrah.
“Rasanya badan
Encik Al tak biasa lagi dengan waktu kat sini.”
“Jalan yang kita
lalu ni ada kedai kopi, kan?”
Nadhrah
mengangguk.
“Kalau macam tu,
nanti saya beli kopi untuk hilangkan rasa mengantuk ni.” Sekali lagi Qadheer
Alauddin menemukan giginya terhadap epal. Bunyi rangup buah tersebut
kedengaran.
Selain Kim Woo Bin, dia juga hero kegemaran saya. Robert Downey Jr. I lap u. hahaha |
No comments:
Post a Comment