Stylo Clique ^_^

Wednesday, July 15, 2015

Love, Made in Venice (Keris Di Venice) - Bab 11



BANTAL yang berada di atas permukaan katil ditepuk berulang kali. Tidak cukup dengan itu, dia menumbuk objek itu berulang kali agar kekabu yang mengisi bantal tersebut memenuhi ruang yang ada. Nadhrah menghenyak lembut kepalanya sekali lagi.
Perasaan itu masih tetap ada. Membuntang luas jadinya bukaan mata Nadhrah. Dia tepat memandang siling berwarna putih itu. Tangan Nadhrah menggapai telefon bimbit yang teletak di sisi tilam. Jam berformat digital menunjukkan pukul 12.07 tengah malam.
“Ya Allah, apasal tak dapat tidur malam ni?” soal Nadhrah setelah meletakkan semula telefon tersebut ke tempat asal.
Gadis itu memaksa matanya terpejam. Mulanya terlentang, kini dia mengiring ke kanan. Selimut ditarik menyelubungi keseluruhan tubuh. Tidak sampai 20 saat, dia bangkit daripada baringan. Terasa sesak nafas. Sama seperti keadaan petang tadi tatkala Qadheer Alauddin menanyakan soalan cepu cemas itu.

“Awak rasa saya ni ada tak ciri-ciri lelaki macam Tuah?”
Suara Qadheer Alauddin sayup singgah pada gegendang telinga Nadhrah. Suara lelaki itu hampir tenggelam dengan bunyi kepakan burung yang berterbangan. Namun, Nadhrah yakin dengan nalurinya bahawa ayat sedemikian yang diajukan oleh insan tersebut. Lama dia membiarkan soalan itu tertangguh tanpa jawapan sehinggakan Qadheer Alauddin sendiri memberikan reaksi wajah ingin tahu.
“Tuah?”
“Yalah, saya cukup tak ciri-ciri macam Tuah untuk memiliki Keris Nadhrah... Tak, maksud saya, keris Taming Sari.”
Saat itu Nadhrah hanya mampu mendiamkan diri. Penat dia cuba memikirkan jawapan yang sesuai. Soalan Qadheer Alauddin benar-benar menikam jiwa.
“Tuah... Hmm... Tuah... Memang... Memang bertuah kan burung merpati hari ni? Dapat makan jagung banyak-banyak. Saya nak pergi beli jagung kering lagi.”
Bergema suara Qadheer Alauddin pada deria pendengarannya. Bertimpa-timpa jadinya perasaan resah dalam sanubari. Silih berganti alunan suara Qadheer Alauddin di minda Nadhrah.

Peristiwa petang tadi di Piazza San Marco seolah-olah terpampang pada siling.
“Tak boleh jadi ni. Apasal Encik Al tanya macam tu? Dia suka kat aku ke? Isy... Kau kalau berangan memang nombor satu, Nadh. Mat Jenin pun menangis kalau tahu tahap berangan kau melebihi tahap berangan dia. Kau jangan lupa yang Encik Al masih sayangkan arwah tunang dia.”
Nadhrah mengambil keputusan untuk turun dari katil. Dia menapak perlahan menuju ke jendela. Sambil melangkah dia mengusutkan rambutnya sendiri. Sama seperti perasaannya yang sedang berkecamuk.
Cermin tingkap yang terdiri dua daun itu dikuak seluas-luasnya. Pantas sahaja mata Nadhrah menumpu pada rumah yang betul-betul terletak bertentangan dengan kamarnya. Pemilik susuk tubuh yang menghantui fikiran sedang memandang Nadhrah. Cepat-cepat Nadhrah memperkemas helaian rambutnya yang kusut-masai.
Dia mahu berpaling. Namun, dibatalkan niat itu serta-merta. Sekali lagi Nadhrah memandang ke tempat yang sama. Kepala Qadheer Alauddin tidak bergerak walaupun seinci.
Nadhrah tersenyum. Tidak pasti lelaki itu perasan ataupun tidak. Nadhrah menemukan kedua-dua tapak tangan. Dia menghala anggota tersebut ke pipi kanan lalu dilentokkan sedikit kepalanya. Kemudian, dia kembali ke posisi asal dan mengangkat kepala sekali sebagai isyarat bertanya mengapa Qadheer Alauddin masih lagi tidak tidur.
Dahi Qadheer Alauddin berkerut. Tidak jelas dengan pergerakan Nadhrah memandangkan malam kelihatan kelam. Tambahan jarak mereka jauh terpisah hampir 20 meter. Qadheer Alauddin dapat merasakan sesuatu saat melihat Nadhrah yang tiba-tiba sahaja muncul tatkala dia sedang mengulit kenangan itu. Dia sendiri tidak mengerti bagaimana dia mampu meluahkan segala-galanya terhadap Nadhrah.
Dari bilik tidurnya, Qadheer Alauddin dapat melihat Nadhrah beredar. Tidak puas rasanya menatap dari jauh. Selang lima saat, nada dering telefon bimbit Qadheer Alauddin kedengaran.
“Assalamualaikum, Encik Al,” ucap Nadhrah.
“Waalaikumussalam,” balas Qadheer Alauddin.
Mereka berdua saling berpandangan melalui ruangan tingkap masing-masing.
“Saya ganggu ke?”
“Awak rasa?”
“Saya rasa... mungkin ganggu Encik Al.”
“Kalau rasa mengganggu, kenapa awak telefon saya?”
“Saya telefon sebab Encik Al macam tak faham aje apa yang saya tanya. Nak jerit kat tingkap ni, kang ganggu pula jiran-jiran nak tidur,” ujar Nadhrah.
Qadheer Alauddin tersenyum sedikit. “Awak nak tanya apa?”
“Encik Al tak tidur lagi ke?”
“Kalau saya tidur, maknanya sekarang ni saya tengah mengigau bercakap dengan awak.”
“Mengigau? Maknanya, saya masuk dalam mimpi Encik Al?”
“Macam mana saya nak mengigau kalau saya sendiri tak dapat tidur? Awak ada hati ke nak masuk dalam mimpi saya?”
Alunan suara Qadheer Alauddin jelas serius. Nadhrah menggaru-garu kepala. Sejak kenal Encik Al ni, banyak betul kelumumur kat kepala ni. Ke memang dah ada moyang kutu membiak? Isy... selisih Cik Salmah oi.
Qadheer Alauddin menundukkan kepala sedikit, menyembunyikan reaksi wajah. Hujung bibirnya bergerak ke atas. Dia dapat melihat tangan Nadhrah berada di atas kepala.
“Yalah, manalah tahu Encik Al masih lagi jet lag walaupun dah 10 hari kat sini. Encik Al fikirkan sesuatu?” teka Nadhrah.
“Mungkin,” jawab lelaki itu, pendek.
“Encik Al teringat kat arwah? Saya minta maaf kalau peristiwa petang tadi membuatkan Encik Al rasa tak selesa. Saya tak terlintas langsung nak bangkitkan isu kahwin tu. Saya betul-betul...”
“Keris...” Qadheer Alauddin laju memintas. Dia mahu melenyapkan rasa bersalah di hati Nadhrah
“Ya, Encik Al,” jawab Nadhrah sambil matanya tepat merenung Qadheer Alauddin dari jauh.
“Perkara ni tak ada kena-mengena dengan awak. Kalau kita tak cakap pasal hal ni tadi, saya tetap akan ingat kenangan saya dengan arwah.”
Nadhrah membisu. Memang ketara kasih sayang Qadheer Alauddin masih menebal terhadap Anis Nadhira.
“Jadi, tak perlu awak nak salahkan diri awak. Faham?” sambung Qadheer Alauddin.
“Saya faham. Rasanya tak ada apa-apa soalan lagi yang saya nak tanya Encik Al. Lebih elok kalau saya letak telefon ni.”
“Yang awak sibuk nak tahu saya tak tidur lagi, tapi awak tak tidur lagi tu kenapa?”
Saya teringat Encik Al. Boleh ke aku jawab macam tu? desis hati kecil gadis itu.
“Saya tak mengantuk lagi.” Ringkas sahaja butir bicara Nadhrah.
Suara Qadheer Alauddin yang berada di hujung talian tidak kedengaran. Dia membiarkan sahaja perbualan mereka diselangi dengan sunyi sepi. Pandangan yang bertaut dengan jarak begitu membuatkan degupan jantung Nadhrah berdetak kencang. Masing-masing hanya mendiamkan diri. Lama-kelamaan situasi bertambah kekok.
“Memandangkan Encik Al tak dapat tidur dan saya pula belum mengantuk lagi, saya rasa lebih elok kalau saya baca buku cerita. Macam bedtime story tu,” usul Nadhrah, memecah hening.
“Apa dia? Baca buku cerita?”
Nadhrah melangkah menuju ke rak buku setinggi 120 sentimeter yang berada di bilik tidurnya. Dia mengambil naskah tersebut lalu menuju semula ke tempat dia berdiri tadi.
Taraa!” ucap Nadhrah sambil menayangkan buku tersebut ke arah Qadheer Alauddin.
 “Awak ingat saya nampak ke buku apa yang awak tunjuk tu?”


“Eh, ya tak ya juga. Tak apa, biar saya terangkan apa yang ada pada buku ni. Kulit buku warna kuning. Ada 286 muka surat. Muka depan ada ilustrasi seorang puteri, putera raja, lelaki berjanggut, kapal yang belayar kat lautan dengan beberapa ekor haiwan seperti sang kancil, merpati dan tupai. Tajuk buku ni 366 Cerita Rakyat Malaysia.”
“366 Cerita Rakyat Malaysia? Hikayat? Kisah dongeng?”
“Dua-dua ada. Saya mulakan dengan cerita pertama. Tajuknya Pelanduk Berani Negeri Terbilang.”
“Pelanduk? Cerita pasal Melaka?” soal Qadheer Alauddin. Ternyata hati lelaki itu tercuit minat untuk mendengar cerita daripada tukang karut bernama Keris Nadhrah Sari. Dia bersandar pada dinding tingkap.
“Mestilah Melaka. Takkan Venice pula. Ini kisah favourite saya. Sambil saya baca untuk rasa mengantuk, saya baca bedtime story untuk Encik Al. Saya nak mulakan ni. Dengar tau.” Sebelum berbicara, Nadhrah berdeham sebanyak tiga kali.
“Pelanduk Berani Negeri Terbilang. Raja Iskandar Syah sangat suka berburu. Baginda mempunyai anjing perburuan yang baik-baik. Peran baginda juga memiliki ilmu dan firasat hutan yang tinggi. Mereka boleh menjejak pelanduk. Melihat jejaknya sahaja mereka boleh mengagak sebesar mana pelanduk yang lalu di sesuatu denai. Raja Iskandar Syah pandai memanah. Baginda juga mahir melempar lembing,” kata Nadhrah dengan alunan dan lenggok seperti seorang guru bercerita kepada anak murid.
“Pada suatu hari, baginda berburu di sebuah hutan. Di hutan itu ada sebatang sungai. Bertam namanya. Pokok-pokok di situ tinggi-tinggi bagaikan mencapai awan. Di hutan itu baginda melepaskan...”
“Sekejap,” cantas Qadheer Alauddin secara melulu.
“Kenapa Encik Al?”
“Awak cakap tadi, buku ni ada 366 cerita. Katakan satu hari satu cerita awak baca untuk saya. Saya kat Venice kurang 20 hari. Lagi 346 cerita, awak nak ceritakan waktu bila?”
“Yang lagi 346 tu saya cerita kalau Encik Al datang Venice lagi.”
“Jadi, awak memang harap saya datang lagi ke Venice ni?” duga Qadheer Alauddin.
Nadhrah menelan air liur.
“Takkanlah saya nak telefon Encik Al kat Malaysia tu hari-hari? Ingat murah ke caj antarabangsa? Lainlah kalau Enck Al yang nak telefon saya,” bidas Nadhrah.
Qadheer Alauddin senyum. Memang ada sahaja jawapan Nadhrah. “Ooo... Sekarang ni awak harap saya akan telefon awak bila saya balik Malaysia nanti?”
Nadhrah serta-merta terkedu. Dia memejamkan mata. Mimik mukanya gelisah. Dia mencebikkan muka. Kenapa semua soalan cepu cemas tak sudah ni? rintih Nadhrah dalam jiwa.
“Sa... Sa... Saya tak cakap macam tu pun. Saya nak sambung cerita ni. Encik Al nak dengar tak?”
Kedengaran Qadheer Alauddin tergelak kecil di hujung talian tatkala Nadhrah menjadi gagap saat diusik oleh lelaki tersebut.

No comments:

Post a Comment