HUJUNG
jari telunjuk kanan dikenakan daya agar anggota itu dapat menekan butang
berwarna hitam yang terletak di bahagian atas kamera. Kedengaran bunyi
terhasil setelah pemandangan yang dikehendaki diambil menerusi alat tersebut
sebaik sahaja tapak kakinya menekap di kota Venice. Pemandangan yang diingini
jelas di skrin berbentuk segi empat itu. Bibir Qadheer Alauddin mengukir
senyuman. Ada satu lekukan kecil terbentuk pada pipi kanannya.
“Grazie,” ucap Qadheer Alauddin sebaik sahaja turun daripada kereta
api. Ucapan terima kasih ditujukan kepada salah seorang pekerja yang berada di
Stesen Kereta Api Venezia Santa Lucia. Lelaki berketinggian melebihi 195
sentimeter itu mengangguk lalu memberikan senyuman.
“Benvenuti a Venezia (Selamat datang ke Venice),” ungkap pekerja tersebut dengan ramah dan mesra.
“Thank you,” balas Qadheer Alauddin. Dia sendiri tidak beberapa mengerti. Dia
hanya mengagak yang pemuda itu mengucapkan selamat datang berdasarkan perkataan
Venezia. Venezia adalah nama Venice dalam bahasa Itali yang disebut dengan suku
kata Ve-neth-zia.
“Buone vacanze (Selamat bercuti).”
Butiran kata itu yang
terluah tatkala melihat penampilan Qadheer Alauddin. Cukup hanya melihat kamera
di tangan dan beg sandang ala pengembara backpackers
berada di belakang bahu, sesiapa sahaja tahu penampilan sebegitu adalah
pelancong. Akan tetapi, bukan itu sahaja matlamat Qadheer Alauddin tiba di kota
air tersebut.
Terkebil-kebil seketika
mata Qadheer Alauddin apabila mendengar tutur kata lelaki itu. Qadheer Alauddin
hanya mampu tersenyum lalu meneruskan perjalanan. Setelah beberapa ketika
menapakkan kaki, langkahnya terhenti. Ponte degli Scalzi atau Jambatan Scalzi
kelihatan di hadapan mata. Ia merupakan salah satu jambatan yang merentangi
Grand Canal, terusan utama Venice yang berbentuk seperti S terbalik. Jika di
Malaysia, Grand Canal ini umpama Lebuhraya Utara Selatan, laluan utama yang
menghubungkan pelbagai tempat.
Qadheer Alaudin menarik
nafas lalu menghembuskannya perlahan-lahan. Bau air terusan Grand Canal singgah
di hidung sekaligus menerjah deria baunya. Ini merupakan kali kedua lelaki
berusia 28 tahun itu menghirup udara dan menjejakkan diri di bumi Venice. Apa
yang dirasakan masih sama seperti kali pertama. Perasaan yang dialami umpama
merentasi masa ke zaman dahulu kala kerana di kelilingi dengan struktur
bangunan serta monumen yang lama lagi klasik.
Dia memandang seketika
jam yang berada di tangan kiri. Waktu menjengah pukul 9.15 pagi. Qadheer
Alauddin mengambil keputusan untuk membeli secawan kopi. Tekaknya sudah dapat
merasa keenakan minuman tersebut sambil mata dihidangkan dengan suasana klasik
seperti dalam filem The Tourist. Cermin mata hitam yang terletak di dahi
diturunkan ke anggota penglihatan. Misi Qadheer Alauddin bermula.
“EXCUSE ME… Excuce me!” jerit Nadhrah dari jauh.
Orang ramai yang sedang
berada di hadapannya segera ke tepi. Kaki kiri Nadhrah berada di atas papan
luncur manakala kaki kanannya laju memacu supaya papan beroda itu terus
bergerak.
“Ops… Sorry… Mi Scusi,”
ucap Nadhrah, mengungkap kata-kata maaf tatkala bahunya berlanggar dengan salah
seorang pejalan kaki yang berada di lorong itu.
Nadhrah perlu segera
menghantar pesanan yang dipesan oleh pelanggan kerana bistro tempatnya bekerja
punya etika dalam perkhidmatan penghantaran.
“Buongiorno Nadhrah,” sapa wanita lingkungan 40-an yang memakai
apron corak bunga matahari sebaik sahaja Nadhrah melintasi hadapan kedai pastrinya.
Dia mengungkap ucapan selamat pagi terhadap gadis tersebut.
Nadhrah menoleh ke
belakang seketika. Dia melambai lalu memandang ke hadapan semula untuk
meneruskan peluncuran.
“Buongiorno. Hai Aunty Agnese. Bye Aunty Agnese.”
Agnese hanya
menggelengkan kepala. Tahu benar dia dengan keadan Nadhrah. Pasti ramai
pelanggan yang membuat pesanan jika gadis Melayu itu langsung tidak sempat
singgah bertegur sapa.
“Take care my dear. Jumpa lagi,” pesan Agnese dengan pelat Itali
apabila bertutur dalam bahasa Melayu. Nadhrah yang mengajarnya. Perkenalan
dengan gadis itu sedikit sebanyak menceriakan hidup memandangkan anak-anaknya berhijrah
jauh.
Ketika itu, Qadheer
Alauddin menguak pintu kaca restoran setelah selesai membeli secawan mochaccino. Baki wang syiling yang
dikembalikan oleh pekerja kedai minuman itu dimasukkan ke dalam poket seluar. Fon
kepala yang tersangkut di leher segera dikenakan pada telinga.
“Excuse me… Signore. Excuse me, signore!” pekik Nadhrah apabila
melihat Qadheer Alauddin sejauh 50 meter dari tempatnya.
Qadheer Alauddin tidak
memberikan sebarang reaksi. Tangannya laju menari-nari di skrin telefon pintar.
Lagu yang berkumandang terasa tidak kena pada pendengaran lalu dia mencari lagu
lain yang sesuai dengan seleranya pada waktu itu. Lelaki tersebut diam berdiri
tegak. Tangan yang menggenggam cawan perlahan digerakkan, mahu ditemukan dengan
bibir sambil pandangan jatuh terhadap permukaan telefon.
“Signore… Sir… Sir… Encik yang kacak tengah pakai headphone!”
Habis semua bahasa
terpacul, Nadhrah panik. Bentuk muka bumi lorong itu sedikit menuruni bukit.
“Ya Allah… Tak dengar
ke dia ni? Dahlah nak cepat ni. Sorry
sir… Could you move a bit aside? So, we don't bother each other!”
Qadheer Alauddin tidak
menghiraukan apa yang berlaku di sekeliling. Nampaknya tiada cara lain,
melainkan mereka akan bertembung bahu. Kaki Nadhrah mengubah sedikit haluan
papan luncur ke kanan. Sudahlah lorong di Venice ini kebanyakannya sempit.
Boleh dikatakan hanya muat dua hingga tiga orang berjalan dengan selesa. Seperti
yang dijangka, beberapa detik kemudian bahu mereka berdua bertemu.
Tubuh Qadheer Alauddin
teralih dengan sendiri dari kedudukan asal dan cawan kertas bertutup yang
dipegang nyaris jatuh. Namun, dia berjaya menyelamatkan situasi itu daripada
berlaku. Beg merah berat yang disandang di bahunya membuatkan Qadheer Alauddin
hampir terlentang tetapi cuba diimbangi. Dia menarik nafas lega kerana dia
berjaya mengawal keadaan.
Qadheer Alauddin
mengukir wajah tidak puas hati. Pantas tangannya menyimpan semula gadjet tersebut ke dalam poket seluar.Tangan
kanannya menurunkan fon kepala yang berada di kepala ke leher. Nadhrah agak jauh
meninggalkan Qadheer Alauddin. Dia memandang penampilan Nadhrah dari belakang. Beg
sandang saiz sederhana terletak pada bahu tersebut. Rambut gadis itu panjang. Namun,
diikat tinggi sehingga hujung rambutnya mencecah tengkuk, memakai baju overall jean biru dan baju T di dalam
berwarna merah.
“I think you should say something!” ucap Qadheer Alauddin dengan
nada yang tinggi dan sinis.
Nadhrah berpaling. Dia
mengangkat tangan.
“I’m
sorry, signore!” balas Nadhrah dalam nada yang sama.
Qadheer Alauddin menggelengkan
kepala. Dia mengibas perlahan bahagian dada serta bawah bajunya. Manalah tahu
jika baju tersebut terkena air kopi yang dipegangnya tadi. Mujur tiada titisan
air kopi yang terkena pada pakaiannya.
“Tapi saya ada pesanan
untuk encik. Lain kali jangan pakai headphone
kalau lalu kat lorong Venice ni!”
Nadhrah sengaja
berbicara dalam bahasa Melayu. Pada sangkaan Nadhrah, lelaki yang bertembung
dengannya tadi bukan dari Malaysia. Geram pun ada. Dari awal lagi dia meminta
Qadheer Alauddin untuk memberikan laluan. Qadheer Alauddin terkejut mendengar
pesanan daripada Nadhrah. Dia memberikan senyuman sinis, menampakkan sedikit
sahaja barisan gigi atas.
“La… Melayu rupanya.
Jangan pakai headphone kalau lalu kat
lorong Venice ni? Perli ke?”
Qadheer Alauddin
menundukkan pandangannya sedikit, melihat fon kepala yang tergantung di
lehernya lalu matanya dihalakan ke hadapan semula.
“Saya pun ada pesanan
juga untuk awak. Jangan sesuka hati aje nak main skateboard kalau lalu kat lorong Venice ni!” laung Qadheer Alauddin
tetapi Nadhrah sudah jauh meninggalkan dirinya.
(gambar hanya hiasan semata-mata) |
Jambatan Rialto atau
Ponte de Rialto merupakan jambatan tertua dan terkenal di Venice yang
menghubungkan San Marco dan San Polo. Ia telah dibina seawal tahun 1180 dan
pernah runtuh beberapa kali. Namun, jambatan ini diperkukuhkan lagi dengan
pembinaan batu marmar berdasarkan idea Antonia de Ponta sekitar akhir abad
keenam belas iaitu bermula pada tahun 1588 dan siap pada 1591. Terdapat tiga
laluan pejalan kaki yang merentasi jambatan ini, dua di sepanjang birai luar dan satu yang lebih luas di
tengah yang memisahkan dua deretan kedai. Para pelancong
dapat melihat panaroma yang cantik sepanjang Grand Canal terutama sekali waktu menghampiri senja. Sememangnya padan Jambatan Rialto
berwarna putih itu digelar sebagai Jantung Venice.
Mata Qadheer Alauddin tertumpu seketika pada aliran Grand Canal. Air terusan yang menjadi nadi Venice itu seakan warna hijau permata zamrud. Terdapat beberapa gondola baru sahaja melalui lengkungan gerbang bawah jambatan itu lalu pergerakan gondola dan dayung membentuk gelombang kecil pada permukaan air. Sebagaimana Venice yang terkenal dengan gelaran Kota Air, maka segala perhubungan pengangkutan melalui sungai dan terusan.
Sedang dia asyik
menikmati keindahan ciptaan Tuhan, ada sesuatu yang bergegar pada poket seluar
kirinya. Qadheer Alauddin mengeluarkan telefon bimbit. Tertera nama My Girlfriend pada skrin telefon
pintarnya.
“Assalamualaikum amore mio.”
“Waalaikumussalam.
Siapa pula am… am… more mio ni? Cerita Do Re Mi P.Ramlee ke?”
Qadheer Alauddin
tergelak kecil. Sememangnya wanita yang berada di hujung talian tersebut
peminat setia cerita seniman agung negara itu.
“Amore mio tu maksudnya my
love. Kekasihku. Kata kat kota romantis, kenalah cakap bahasa Itali. Al pun
tak pandai sangat cakap, tapi kenalah tahu sikit-sikit.”
“Amboi, ada hati ke nak
duduk sana?” teka Fatimah.
“Al ada nenek kat
Malaysia. Buat apa Al nak duduk sini? Nenek tengah buat apa? Tengah makan karipap
sambil tengok cerita Korea ke?”
“Kau ni Al, macam
tahu-tahu aje. Sekarang ni tengah tengok cerita yang Kim Woo Bin berlakon tu.
Lee Min Ho jadi hero tapi nenek lagi suka Kim Woo Bin.”
Qadheer Alauddin
berkerut sekejap. Dia bukan kenal pun siapa pelakon Kim Woo Bin dengan Lee Min
Ho tu. Neneknya lebih maju ke hadapan kalau bercerita mengenai drama yang
ditayangkan di kaca televisyen. Sebut apa sahaja cerita, tidak kisahlah Melayu,
Hollywood, Hindustan, apatah lagi Korea, semuanya umpama di hujung jari
Fatimah.
“Yalah nek. Sekarang
Malaysia waktu petang. Kalau petang-petang macam ni, memang itu ajelah kegiatan
tanpa henti nenek dengan Cik Hawa tu. Tak tengok drama Melayu, tengok
Hindustan. Tak pun tengok drama Korea. Lepas tu nangis sorang-sorang,” balas
Qadheer Alauddin dan dalam masa yang sama menguntum senyuman. Hampir ketawa pun
ada juga mengenangkan kerenah neneknya itu. Mak Cik Hawa atau panggilannya Cik
Hawa adalah pembantu rumah keluarga Qadheer Alauddin. Cik Hawa sudah berkhidmat
lebih daripada 10 tahun. Mujur ada Cik Hawa, sekurang-kurangnya pembantu rumah
itu boleh jadi peneman Fatimah sekiranya tiada sesiapa di rumah.
“Sebab tulah nenek ajak
Cik Hawa kau nangis sekali dengan nenek. Kalau tak Cik Hawa yang temankan
nenek, siapa yang nak temankan nenek? Nak harapkan Al, asyik lari aje kalau
nenek tanya pasal kahwin. Ke Al memang nak lari? Sebab tu pergi Venice, kan?”
Suara wanita itu jelas
meninggi sedikit berbanding tadi.
“Nenek yang sangat Al
sayangi, kenapa pula Al nak lari daripada nenek? Kan Al ada beritahu yang Al
nak datang Venice.”
“Memanglah Al ada
beritahu tapi nenek baru teringat yang hujung minggu ni cucu nenek Sarah, kawan
nenek tu nak datang. Ooo… Pandai ya kau. Lari jauh-jauh sampai ke sana tu, biar
nenek tak dapat cari kau.”
Qadheer Alaudin dapat
mengagak perkara ini yang akan berlaku. Lagipun memang itu juga matlamat lelaki
tersebut datang ke Venice. Tidak sudah-sudah Fatimah mahu mencari jodoh yang
sesuai untuk dirinya.
“Eh? Ya ke nek? Minggu
ni ke? Bukan bulan depan?”
“Kau nak main wayang pukul
4 petang ke, Al?” perli Fatimah.
Qadheer Alauddin
tersenyum lagi. Memang tiada perkara yang dapat dia sembunyikan daripada
perempuan tua itu.
“Nenek, kan Al dah ada girlfriend. Neneklah girlfriend dan kesayangan Al. Buat apa
nak susah-susah carikan untuk Al?”
“Qadheer Alauddin bin
Alam Syah, kau nak kena luku kepala ke? Nasib baik telefon ni tak ada lubang. Kalau
tak, nenek dah piat-piat telinga tu. Nenek ni tetap nenek kau. Al dah umur 28
tahun. Dah sesuai sangat kahwin. Asyik pergi majlis orang aje tak sudah. Nenek
nak buat kenduri kahwin untuk Al. Nenek nak merasa juga dapat cucu menantu,”
bebel Fatimah.
“Nenek, bak kata John
Lennon, Life Begins at 40. Masa tu Al
kahwin. Dia orang yang dah kahwin tu sebab dah sampai seru. Al ni belum sampai
lagi jodoh. Nenek nak cucu menantu lagi? Kan kakak dah kasi cucu menantu siap
seorang cicit lagi. Masih tak cukup ke?” balas Qadheer Alauddin.
“Pandainya kau cakap.
Kau nak menyeru apa? Menyeru jatuh dari langit? Nak tunggu umur kau 40, belum
tentu kau dengan nenek hidup masa tu. Masa tu memang sampailah serunya. Seruan
bertemu dengan Ilahi. Nenek nak menantu perempuan sebelum nenek pergi. Kakak
kau dah tentunya ikut suami dia,” leter orang tua itu lagi.
“Nenek ni ada ke seru
macam tu pula. Al ni hari-hari doa biar nenek umur panjang. Bila sampai masanya
nanti, Al kahwin. Sekarang ni, Al belum bersedia lagi.”
“Ha, macam tulah ayat
kau. Dah klise sangat. Kau tak kasihankan nenek ke, Al? Kalau esok lusa nenek
tak ada macam mana?”
“Nenek tak ada? Nenek
nak pergi mana?”
Qadheer Alauddin tahu
maksud sebenar Fatimah. Dia juga telah menghafal ayat yang bakal keluar
daripada mulut neneknya sebentar lagi.
“Kau macam tulah
selalu. Kalau nenek dah pejam mata nanti, tak sempat nenek nak tengok cucu
nenek yang lelaki ni bersanding. Kau nak nenek masuk batu belah batu bertangkup
ke? Al dah tak sayangkan nenek?” tanya Fatimah, sudah memulakan drama sedih
nampaknya.
Untuk beberapa baris
ayat yang terakhir itu, Qadheer Alauddin sempat menggerakkan bibirnya mengikut
kata-kata Fatimah tanpa bunyi. Memang dia tahu ayat itu yang akan didengarinya.
“Mestilah Al sayang girlfriend Al ni. Nenek, kat GPS tak
jumpa lokasi batu belah batu bertangkup tu. Yang ada cuma Batu Caves dengan
Batu Pahat aje. Nenek tak payah pergi sana. Ya… Ya… Nanti, bila Al dah balik
Malaysia, Al jumpa dengan semua calon nenek tu. Satu hari kita adakan sesi
beramah mesra, macam interviu tu. Ok?” pujuk Qadheer Alauddin.
“Betul? Kau jangan
berangan nak duduk sana ya. Nenek dah tak mahu menantu dari negeri orang putih
tu lagi. Biarlah kat Malaysia ni. Senang sikit kalau nenek nak pergi masuk
meminang.”
“Kalau Al jumpa jodoh
kat sini macam mana pula, nek? Jodoh ni kita tak tahu, kan? Manalah tahu kat
sini terselit perempuan Melayu terakhir yang Al cari.”
“Mana ada perempuan
Melayu terakhir kat Venice tu. Nenek tak nak menantu tak cukup pakai kain,
rambut kejung kena celup dengan besi karat. Dah tak ada beza rambut dengan
jerami padi. Nanti bukan tahu makan belacan…”
Fatimah meneruskan
celoteh dan bebelan. Qadheer Alauddin menjarakkan telefon bimbit dari telinga.
Dia mula membuat mimik muka keletihan. Telinga kirinya digosok perlahan. Sudah
mula terasa panas.
Dia memandang
sekeliling. Seorang ibu dan kanak-kanak warga tempatan sedang berjalan di
hujung Jambatan Rialto. Kanak-kanak perempuan itu kelihatan comel dan manis
mengenakan gaun paras lutut. Kepalanya pula dihiasi dengan skarf dan sebentuk aksesori
rama-rama sebagai pin rambut. Entah bagaimana, beberapa detik kemudian
kanak-kanak itu terjatuh dengan sendirinya.
best.
ReplyDeleteDone dgn bab 1
ReplyDeleteCan I have the picture of Qadheer Alauddin ?
ReplyDeleteSis... sorry lambat reply komen awak.
Deleteboleh..
saya update bab 1 ni, saya letak muka Qadheer Alauddin
apapun.. terima kasih sebab singgah dan baca novel Loveeeee, Made in Venice :)