Stylo Clique ^_^

Tuesday, July 14, 2015

Love, Made in Venice (Keris Di Venice) - Bab 8



HARI ini genap hari keempat Qadheer Alauddin berada di Venice. Semakin lama dia dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di Kota Air tersebut.
Dia menuruni anak tangga rumahnya dengan laju. Sambil berlari-lari anak menuju ke jambatan dengan mulut mengemam buah epal, Qadheer Alauddin mengenakan butang jaket varsitynya hingga ke separuh dada. Buah epal di mulut digapai.
“Masa mula-mula dulu susah nak telefon saya tapi hari ni banyak kali awak telefon. Belum sempat langit Venice ni nak terang, dah tiga kali saya dengar suara awak,” ucap Qadheer Alauddin sebaik sahaja menemui Nadhrah.
Ada huruf A kat jaket yang Al pakai.
Nadhrah sudah bercekak pinggang. Mana tidaknya, pagi itu mereka ada tugas. Qash Alaisyah meminta mereka berdua untuk membeli barang keperluan bistro di Pasar Rialto. Kebiasaannya, Qash Alaisyah dan suaminya yang akan ke pasar. Tetapi pada pagi itu Yusuf Danial diserang demam panas. Qash Alaisyah dan Yusuf Mikhail perlu menjaga lalu menghantar anak mereka ke klinik.
“Saya takut Encik Al tak bangun. Kita kena keluar awal hari ni.”
“Ya, saya tahu. Kak Syah dah pesan semalam.”
“Sekarang pukul 6.45 pagi. Kita kena naik vaporetto kalau nak pergi Pasar Rialto tu,” maklum Nadhrah setelah memasukkan telefon bimbit ke dalam poket seluar jeannya.


“Vaporetto?” Kunyahan Qadheer Alauddin pada buah itu serta-merta terhenti. Cebisan epal di dalam mulut ditelan dengan rasa kelat walaupun rasanya manis.
“Vaporetto tu kenderaan awam kat sini. Tak pun nama lainnya bas air.”
“Itu saya tahu, tapi memang kena naik vaporetto ke?”
“Encik Qadheer Alauddin, dah namanya Venice ni bandar air. Jadi, kita memang kena naik vaporetto tu. Cepat dan senang. Kita nak ke stesen vaporetto dari sini pun jalan kaki dalam 10 minit. Dengan vaporetto tulah kita boleh pergi Pasar Rialto. Ada faham?”
“Pagi-pagi macam ni ada ke vaporetto tu?”
“Pagi-pagi macam ni memang dah ada vaporetto tu. Kalau Encik Al nak naik malam pun ada juga. Sama macam bas kat Malaysia tu cuma bas Venice ni bergerak kat atas air. Saya dah duduk Venice ni dua tahun. Jadi,ada masalah lagi ke?”
“Tak boleh jalan kaki?” Qadheer Alaauddin masih lagi mencari alasan dan helah. Dia seboleh mungkin tidak mahu menaiki pengangkutan air tersebut.
“Encik Al gila nak jalan kaki? Jalan kaki dengan bawa bawang, sayur dengan kentang semua tu? Saya tahulah Encik Al boleh angkat semua barang tu. Tapi, Encik Al larat ke nak jalan sampai 20 hingga 25 minit? Membazir tenaga kalau macam tu. Kalau pergi bolehlah jalan kaki, tapi waktu balik memang kena naik vaporetto. Dari Rialto ke jeti Riva De Biasio tu memang dekat dengan bistro.”
“Untuk pengetahuan awak, setiap hari lepas saya bangun dan solat subuh, saya kena bersenam. Sekurang-kurangnya joging lima kilometer. Kalau tak joging, saya akan tekan tubi sebanyak 100 kali. Tapi hari ni saya tak dapat buat.”
Dah kenapa bercerita pasal jogging dengan tekan tubi bagai ni? Nak beritahu akulah tu yang dia hari-hari bersenam, sebab tu dapat lengan macam tu? bentak jiwa Nadhrah.
“Jadi, untuk menggantikan aktiviti tu, kita kena berjalan kaki ke Pasar Rialto. Bukan sahaja dapat menikmati keindahan Venice tapi dapat menyihatkan badan. Boleh?”


TERUSAN kecil yang berada di belah kiri dipandang lama. Perasaan kekok muncul. Melalui lorong di Venice pada pagi itu terasa berlainan sekali. Bukannya dia tidak pernah berjalan kaki di situ, tetapi hari ini terasa berbeza.
Adakah mungkin kerana lelaki itu? Atau kerana perasaan malu dan bersalah pada pertemuan mereka pada hari pertama dahulu? Atau mungkin kerana dia berjalan seiring dengan Qadheer Alauddin?
Selama beberapa hari ini, Nadhrah bergerak terlebih dahulu di hadapan dengan papan luncurnya dan Qadheer Alauddin akan berada di belakang. Sekali-sekala pandangan mereka berdua bertaut. Namun, masing-masing cuba bertindak seperti tiada apa yang berlaku.
Nadhrah menghirup udara pagi Venice yang segar dan nyaman. Perlahan-lahan, ada sesuatu yang menyusup ke deria baunya. Haruman adunan roti yang baru siap dibakar tersebar luas lalu bau itu menyebabkan perutnya terasa lapar. Semakin lama dia melangkah, bau itu semakin jelas menghinggapi hidungnya.
Gadis itu memejamkan mata. Senyuman di bibir sedikit demi sedikit terukir. Dia dapat membayangkan betapa lembutnya roti itu sambil kepulan wap menerpa ke wajahnya sewaktu menggigit makanan tersebut. Menikmati hidangan sebegitu mampu membuatkan Nadhrah terasa seperti di awangan. Nadhrah menelan air liurnya sendiri ketika membayangkan situasi itu.
“Encik Al,” panggil Nadhrah.
Qadheer Alauddin membalas dengan menoleh. Kedua-dua keningnya diangkat. “Kita pergi pasticceria kat depan sana, boleh?”
“Pasti apa? Pasti ceria?”
Nadhrah tergelak kecil. Pasti ceria? Ingat ni rancangan TV kat Malaysia ke?


Pasticceria. Pasticceria tu kedai roti dan kek.”
“Cakaplah dari awal-awal kedai roti dan kek. Mentang-mentanglah saya tak tahu bahasa Itali,” bangkang Qadheer Alauddin dengan jelingan.
“Janganlah macam tu. Okey, biar saya belanja. Sebagai tanda minta maaf sebab tak sengaja terlanggar bahu Encik Al dan salam perkenalan daripada saya. Macam mana? Setuju?”
Qadheer Alauddin mengangguk sambil bibirnya tersenyum sedikit.
“Okey, kalau macam tu kita kena cepat. Roti tengah panas ni.” Nadhrah terus berlari dengan penuh keriangan meninggalkan Qadheer Alauddin.
“Dapat makan roti aje dah gembira macam ni?”
Dia mencepatkan langkahnya. Beberapa minit kemudian mereka sampai di kedai roti milik Agnese, kenalan Nadhrah.
“Selamat pagi, Aunty Agnese.”
“Selamat pagi, my dear,” balas Agnese yang sedang menyusun roti yang baru siap dibakar di dalam bekas pameran kaca.
Qadheer Alauddin terkejut tatkala mendengar perbualan antara Nadhrah dan Agnese. Wanita itu seperti boleh berbahasa Melayu. Nadhrah kelihatannya rapat dengan wanita tersebut. Setelah memperkenalkan Qadheer Alauddin kepada Agnese, barulah dia mendengar perbualan antara mereka dalam bahasa Inggeris.

Nadhrah memilih roti croissant dan latte macchiato iaitu campuran espresso dan susu. Qadheer Alauddin pula memesan roti jenis brioche dan kopi kegemarannya mochacino.
“Terima kasih, aunty,” ucap Nadhrah setelah bungkusan mereka bertukar tangan.
“Sama-sama,” balas Agnese dengan senyuman.
Setelah itu mereka menyambung semula perjalanan ke Pasar Rialto.
Penutup cawan kertas yang berisi mochachino pada genggaman Qadheer Alauddin dibuka perlahan. Dengan suhu yang dingin pada pagi hari, aroma air tersebut mampu menyegarkan perasaan. Asap tipis daripada kopi tersebut terasa hangat menyapa ke wajah lelaki itu. Dia meniup perlahan agar minuman tersebut mampu diterima lidah dan tekaknya. 

roti croissant
 
roti brioche

Aunty Agnese tu tahu cakap Melayu sikit-sikit sebab awak yang ajar ke?”
“Ya. Kenapa?”
“Biasanya orang bila datang ke Itali sibuk nak cakap bahasa tempatan. Tapi, awak siap ajar Aunty Agnese cakap Melayu.”
“Apa salahnya saya ajar dia? Setiap pedagang yang datang ke Melaka dulu mesti bertutur bahasa Melayu bagi membolehkan mereka berdagang atau istilah itu disebut sebagai lingua franca. Dalam bahasa yang lebih mudah, bahasa pengantaraan. Zaman tu, bahasa Melayu bukan sahaja dituturkan di Melaka, tapi kat pelabuhan lain juga.”
Qadheer Alauddin sedikit melopong mendengar kata-kata Nadhrah. Dia memerhatikan raut muka itu. Nadhrah memang petah berbicara.
“Salah satunya ialah Venice, pelabuhan yang sibuk yang menghubungkan Eropah dan Timur. Kerana itu, wujud satu kamus Melayu-Itali yang disusun oleh seorang lelaki Itali bernama Antonio Pigafetta, seorang pelayar berasal dari Venice yang meredah Laut Adriatik dan keluar menjelajah dunia. Jangan main-main dengan kehebatan bahasa Melayu. Memang tak salah kalau kita nak belajar bahasa yang lain sebab ilmu itu tiada penghujungnya. Cuma yang silap, kita sendiri yang tak memartabatkan bahasa Melayu itu sendiri. Siapa lagi yang nak mengangkat bahasa kita ke paras yang lebih tinggi kalau bukan kita, betul tak?” sambung Nadhrah lagi.
Qadheer Alauddin terdiam sekejap. Langkau beberapa detik, dia menghadiahkan senyuman terhadap Nadhrah. “Memang padanlah dengan nama awak. Keris Nadhrah Sari. Keris Melayu yang masih lagi tajam walaupun dihembus angin Venice. Melayu, tak akan cukup Melayu kalau sekadar nama sahaja Melayu.”
Qadheer Alauddin menghirup perlahan air mochacino yang beransur suam. Timbul perasaan kagum dengan jati diri gadis itu. Belum pernah dia berjumpa dengan gadis seperti Nadhrah. Meskipun berada di tempat orang, Nadhrah masih tahu asal usulnya.
“Maksud Encik Al?” soal Nadhrah lalu menghentikan langkah.
Qadheer Alauddin juga melakukan perkara yang sama. “Awak dengan Venice umpama air dan minyak di dalam gelas yang sama.”
Dahi Nadhrah sudah berkerut. Dia cuba mencernakan kata-kata Qadheer Alauddin, tetapi tidak berjaya. “Saya tak faham.”
“Kata orang, tak salah kalau kita nak hidup kat tempat orang. Tapi biarlah kita jadi seperti air dan minyak. Segelas air jika dicampur dengan minyak, ia tidak bercampur tetapi masih lagi berada di dalam gelas yang sama. Awak macam tulah. Dah lama duduk sini tapi masih lagi berbangga menjadi anak Melayu.”
Bibir Nadhrah tersenyum sipu mendengar pujian daripada Qadheer Alauddin. Wajahnya terasa hangat. Dia meneruskan langkah. “Encik Al, saya nak tanya sesuatu.”
“Awak nak tanya apa?” Qadheer Alauddin menggigit sedikit roti brioche yang dipesannya tadi. Perlahan-lahan giginya bertemu untuk menghancurkan cebisan makanan yang berasal dari Perancis itu. Kunyahan terasa lembut dan gebu. Roti hangat yang baru siap dibakar itu memang terasa enak melalui tekaknya.
“Encik Al pernah naik bot?”
Qadheer Alauddin menggeleng.
“Feri? Sampan?”
“Tak pernah.”
“Kapal layar? Rakit?”
“Saya tak pernah naik semua tu. Kenapa tiba-tiba aje tanya macam ni?”
“Saya dah tahu kenapa Encik Al tak nak naik vaporetto. Encik Al ada mabuk laut, kan?”
Tidak semena-mena roti yang separa hancur itu tersekat di tekak. Laju tangan Qadheer Alauddin menghalakan cawan ke bibir. Dia cuba meneguk laju air tersebut walaupun terasa suam. Namun, lidahnya tidak mampu menerima. Qadheer Alauddin menepuk perlahan di bahagian dada berulang kali. Lelaki itu terkejut kerana Nadhrah dapat mengesan kelemahannya yang satu itu.
“Eh? Encik Al okey tak ni?”
“Mana ada saya mabuk laut,” tegas Qadheer Alauddin dengan ekspresi yang serius.
“Kalau tak mabuk laut, kenapa beria sangat tak nak naik vaporetto?”
“Suka hati sayalah.”
“Orang lain kalau pergi Venice, mestilah nak naik vaporetto sebab kat Malaysia mana ada.”
“Saya bukan orang lain.”
“Kan Venice ni gelarannya Kota Air. Dah sah-sahlah semua jalan kat sini air. Kalau Encik Al tak nak naik vaporetto, Encik Al nak naik apa? Naik gondola? Naik gondola lagilah tak boleh. Kalau macam tu, Encik Al kenalah jalan kaki nak...” Nadhrah tidak dapat meneruskan bicaranya kerana ada sesuatu tiba-tiba hadir ke dalam mulutnya.
Baki roti brioche yang masih lagi lebih separuh segera disumbat oleh Qadheer Alauddin ke dalam mulut Nadhrah. Qadheer Alauddin mengetap bibir. Terasa tercabar pula dengan kata-kata budak Keris ni.
Nadhrah membulatkan matanya. Terkesima dengan tindakan lelaki itu.
“Sedap tak roti ni?”
Tangan Nadhrah menggapai roti yang berada di mulutnya. “Encik Al, ni bukannya roti bekas Encik Al gigit ke?”
“Ya, memang roti yang saya gigit.”
Apa? Roti yang dah gigit? Maknanya? Nadhrah memejamkan dan mencelikkan matanya berulang kali. Tidak tahu tindakan apa yang harus dia lakukan.
Qadheer Alauddin perasan perubahan muka Nadhrah.
“Kenapa Encik Al sumbat roti Encik Al ni kat mulut saya?”
“Awak rasa, kenapa saya sumbat roti ni?”
Alamak... Sekali lagi terkena soalan maut. Nadhrah tidak dapat memberikan sebarang jawapan.
“Kenapa kalau bekas saya gigit? Awak ada rasa apa-apa ke?”
Nadhrah tidak tahu bagaimana mahu membalas pertanyaan itu melainkan dia menggelengkan kepalanya.
“Awak pasti? Ke ada terasa macam saya ci...” Sengaja Qadheer Alauddin tidak menghabiskan kata-katanya.
Nafas Nadhrah sudah tidak menentu. Kulit muka Nadhrah terus menjadi merah. Dingin pagi itu sudah tidak terasa, sebaliknya rasa panas pula yang menerpa.
“Agaknya, macam nilah cara nak buat awak tak bersuara, kan? Okey, saya dah tahu,” kata Qadheer Alauddin dengan renungan memberi seribu satu makna.
Nadhrah masih lagi terpaku di situ. Kalaulah ada pembesar suara pada dada Nadhrah, sudah pasti Qadheer Alauddin dapat mendengar degupan jantung Nadhrah yang semakin tidak menentu. Umpama orang sedang melakukan aksi bungee jumping di Menara Macau yang setinggi 233 meter.

4 comments:

  1. Nia.. Terima kasih banyak2 sebab sudi datang blog akak dan tinggalkan komen.. sangat2 terharu.. Buku Nia tuh memang best.. Komen dari hati.. semoga terus berkarya ye.. InsyaAllah kalau akak jumpa buku tuh akak baca dan komen ye...

    ReplyDelete
    Replies
    1. kak shahida..
      sama2 kak. saya lagi terharu bila akak review novel saya.
      saya nak minta izin share ya review akak tu kat FB saya nanti.
      InsyaAllah kak, selagi Allah kasi ilham & pembaca mcam akak ni yg sokong saya, saya akan terus berkarya.
      sekali lagi terima kasih kak :) <3

      Delete
  2. Replies
    1. terima kasih sbb baca ya..
      saya ada update bab 9 hingga 12.
      selamat membaca awak :)

      Delete